Selasa, 21 Ogos 2012

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


MCA Kedah Sokong Hudud

Posted: 20 Aug 2012 09:54 PM PDT

ALOR SETAR - Ini sesuatu yang amat mengejutkan. Di sebalik kelantangan pucuk pimpinannya membantah sebarang cadangan untuk melaksanakan hudud di negara ini, MCA Kedah tiba-tiba sahaja membuat kenyataan yang menongkah arus - bersetuju - dengan undang-undang Islam itu.

Pengerusinya, Datuk Chong Itt Chew berkata, rasionalnya mudah, hudud tidak melibatkan orang bukan Islam.


"Sekiranya pelaksanaan undang-undang itu (hudud) membawa kebaikan kepada rakyat dan negara, ia tidak akan jadi masalah termasuk kepada orang bukan Islam. DAP juga tidak patut membantah," katanya di sini, semalam.

Itt Chew berkata, dalam keadaan sekarang, Pas yang memperjuangkan pelaksanaan hudud sejak penubuhannya, harus menimbang semula kedudukannya dalam Pakatan Rakyat (PR) apabila DAP yang menjadi rakan sekutunya dalam pakatan itu berterusan menolak hudud.

"Pas mesti buat keputusan yang lebih baik dengan meninggalkan PR. Selagi bersama PR, Pas tidak akan berjaya melaksanakan hudud," katanya.

Dalam situasi begini, kata Itt Chew, Pas harus menyertai Umno dan BN untuk membina sebuah negara Islam yang lengkap.

"MCA Kedah akan setuju jika Pas ingin menjalin kerjasama dengan Umno untuk meneruskan perjuangan Pas. Pas harus menerima setiap polisi yang ditetapkan parti dan tidak meletakkan sebarang syarat.

"Saya melihat gabungan Umno dan Pas adalah satu tindakan yang baik demi masa depan rakyat dan negara," katanya.

- Sinar Harian


Seluruh Akar Umbi Pas Sokong Nasharuin Mat Isa - Utuseks

Posted: 20 Aug 2012 07:29 PM PDT

KEPALA BATAS 20 Ogos - Ahli-ahli akar umbi Pas Pulau Pinang menyatakan sokongan padu terhadap pendirian bekas Timbalan Presiden parti itu, Nasharudin Mat Isa (gambar) yang sanggup melakukan apa sahaja bagi mempertahankan kesucian Islam.

Mereka juga bersependapat dengan Ahli Parlimen Bachok tersebut supaya Pas mengkaji semula kedudukannya termasuk keluar daripada pakatan pembangkang dan menjadi parti yang berdiri dengan sendiri.


Mereka turut melahirkan kekecewaan dengan sikap pemimpin tertinggi Pas yang membisu dalam soal penentangan keras DAP terhadap pelaksanaan hukum hudud.

Ketua Pas Cawangan Bagan, Azmi Jaafar berkata, pemimpin parti itu sepatutnya meletakkan kepentingan Islam dan perpaduan ummah melebihi agenda politik sempit mereka.

"Pemimpin atasan Pas dilihat mula menggadai prinsip perjuangan asal demi meraih sokongan politik pada pilihan raya semata-mata.

"Selama ini kami dididik oleh mereka supaya memegang teguh prinsip menegakkan Islam tetapi tiba-tiba mereka jugalah yang menggadai atau menjual prinsip tersebut demi meraih kuasa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar yang dihadiri oleh sekumpulan ahli Pas Pulau Pinang termasuk yang pernah memegang jawatan-jawatan penting dalam parti itu di sini Jumaat lalu.

Khamis lalu, sebaik sahaja tiba dari Mekah, Nasharudin mengadakan sidang akhbar khas bagi membalas kenyataan beberapa pemimpin Pas yang mempertikaikan kehadirannya di Tanah Suci bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mereka juga membidas Nasharudin berikutan kenyataan beliau yang menggesa Pas mengkaji semula kedudukannya dalam pakatan pembangkang jika DAP terus menolak pelaksanaan hukum hudud.

Sementara itu, bekas Setiausaha Pas Pulau Pinang, Mohamad Nordin Mohd. Nor berkata, pemimpin DAP terutama Pengerusinya, Karpal Singh secara terang-terangan menunjukkan beliau menentang penubuhan negara Islam.

Justeru, sebagai orang Islam, sudah semestinya menjadi kewajipan untuk ahli Pas menghentikan mana-mana perbuatan menyentuh perasaan dan kesucian agama itu.

"Sekiranya Karpal sanggup menggadai nyawa untuk memastikan sistem perundangan Islam tidak dilaksanakan di negara ini, maka ahli-ahli Pas juga rela berbuat perkara sama demi Islam," tegasnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan Karpal dan pemimpin DAP lain supaya berhenti menimbulkan perkara sensitif sedemikian bagi mengelakkan keadaan buruk berlaku.

Bagi bekas Setiausaha Pas Kepala Batas, Abdul Halim Abd. Rashid, matlamat utama perjuangan Pas bukannya mahu memerintah Malaysia tetapi hendak mewujudkan keharmonian dalam kalangan semua kaum dengan cara berdakwah.

Beliau memberitahu, pemimpin Pas sepatutnya dapat mengajar erti perpaduan ummah sebenar kepada rakan mereka yang bukan Islam.

Tambahnya, mereka wajar menunjukkan Islam sebagai agama yang telah terbukti berjaya menjaga keharmonian semua kaum di dunia dengan asas-asas perpaduan sesama umat.

"Sebaliknya jika Pas sendiri kini menjadi juara perpecahan umat Islam dengan sikap dwistandard mereka dalam isu perpaduan ummah. Bagaimanakah keharmonian semua kaum dalam negara ini akan terjamin?" ujarnya.

Utuseks Malaysia


Ketua Pemuda Pas: 'Karpal makin keterlaluan'

Posted: 20 Aug 2012 02:47 PM PDT

SHAH ALAM - Sementara spekulasi mengatakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) semakin dekat, Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan Tantawi mendakwa Karpal Singh "semakin keterlaluan" kerana cuba merendah dan mempertikaikan keupayaan hukum hudud dalam mengatasi jenayah.

Katanya, pendekatan Pengerusi DAP Kebangsaan itu "bakal berdepan dengan kemarahan umat Islam."


"Saya saran DAP nasihatkan Karpal supaya tidak pertikai hukum hudud sekali gus jaga sensitiviti umat Islam serta hubung baik sesama (Pakatan Rakyat) PR," kata beliau menerusi Twitter malam tadi.

Pandangan ini dikeluarkan ketika Karpal dan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa terlibat dalam pertikaman lidah berhubung isu hukum hudud dan Negara Islam.

Isu hudud menjadi tumpuan perbincangan politik sejak Pas mengambil langkah pelaksanaan undang-undang Islam itu hampir dua dekad lalu.

Ekoran kenyataan Nasharudin bahawa Karpal seorang anti-Islam minggu lalu, pemimpin DAP itu mengeluarkan kenyataan Jumaat lalu mahu memulakan prosiding mahkamah ke atas Ahli Parlimen Bachok berkenaan.

Nasharudin menyahut cabaran itu sambil berkata bersedia untuk jumpa Karpal di mahkamah.

DAP dari awal tidak setuju dengan pelaksanaan hukum hudud di negara ini atas alasan ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Dewan Pemuda Pas Malaysia juga kesal MCA tentang dan pertikai hukum hudud, Umno pula membisu, Majlis Fatwa kaku. Utk semua: Tolong jangan pertikai hukum ALLAH," katanya lagi.

Soal hukum hudud tidak dimasukkan ke dalam Buku Jingga yang dipegang oleh ketiga-tiga komponen PR.

- Sinar Harian


FB kontroversi: Pemuda Umno buat laporan polis

Posted: 20 Aug 2012 04:02 AM PDT

Ibdillah Ishak sedang membuat laporan di Balai Polis Tun H S Lee. - Foto ihsan Ibdillah Ishak

SHAH ALAM - Pemuda Umno membuat laporan polis berhubung laman Facebook kontroversi, yang mendakwa undi kepada Pakatan Rakyat (PR) bermakna sokongan kepada usaha menjadikan Kristian sebagai agama persekutuan, dikendalikan sayap itu.


Laporan dibuat oleh Setiausaha Kerja Pemuda BN, Ibdillah Ishak di Balai Polis Tun H S Lee kira-kira jam 4 petang tadi.

Tindakan itu dimaklumkan menerusi laman Twitter Ibdillah kira-kira jam 4 petang tadi.

"Membuat laporan polis bagi pihak YB Khairy (Jamaluddin) berkenaan laman FB yang berbaur hasutan," katanya.


Lanun Mengganas Di Rawang

Posted: 20 Aug 2012 02:18 AM PDT

Beri amaran lepas gagal curi

BEGINI...Romzi melakonkan semula aksi penjenayah yang cuba memasuki rumahnya.

RAWANG: Berang gagal memecah masuk dua rumah untuk mencuri, sekumpulan 10 lelaki bersenjatakan pedang samurai dan parang memberi amaran untuk datang semula dalam kejadian di Perumahan Primulan serta Julian, Bandar Tasik Puteri, di sini.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi, 2 Ogos lalu, kumpulan terbabit memberikan amaran berkenaan kepada sebuah keluarga selepas mereka terserempak suspek yang cuba memecah masuk rumah itu.


Menceritakan semula insiden berkenaan, mangsa, Romzi Ismail, 45, berkata, ketika kejadian, dia tidur sebelum terdengar jeritan isterinya.

"Pemeriksaan mendapati pintu rumah terbuka sebelum melihat beberapa lelaki bertopeng dengan bersenjatakan parang dan pedang samurai berada di pekarangan rumah.

"Ketika itu, saya dan isteri melihat beberapa lagi lelaki cuba memecah masuk rumah jiran," katanya ketika ditemui, kelmarin.

Menurutnya, biarpun kejadian itu disedari dia dan isteri, kumpulan terbabit langsung tidak melarikan diri sebaliknya berhimpun di hadapan rumahnya sambil mengangkat parang dan pedang samurai seperti memberi amaran kepada mereka.

Katanya, jiran yang datang sebaik mengetahui kejadian itu melihat kumpulan terbabit berjalan bersahaja tanpa rasa takut sebelum menghilangkan diri di dalam ladang kelapa sawit kira-kira 100 meter dari taman itu.

"Sekarang, kami sekeluarga begitu takut untuk tinggal di rumah kerana bimbang kumpulan itu datang lagi.

"Malah, kami juga memilih untuk tidak berada di rumah pada waktu siang kerana takut dengan ancaman berkenaan," katanya.

Katanya, keadaan itu diburukkan lagi dengan beberapa siri cubaan dipercayai kumpulan sama yang dilihat penduduk setempat berlegar-legar di hadapan rumahnya.


Tiada ulasan: