Jumaat, 17 Ogos 2012

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


Kalau Kerajaan Hari Ini Betul.., Buat Apa Saya Pilih Masuk Pas?

Posted: 17 Aug 2012 12:28 AM PDT


Bekas Setiausaha DUN Perak, Abdullah Antong mendedahkan konspirasi berhubung rampasan kuasa Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak pada tahun 2009 lalu dalam wawancaranya yang dipetik melalui PerakDaily.


Katanya, tindakan itu adalah disebabkan tekanan dari pihak atasan dan tidak berupaya untuk mengelak.


"Ketika kemelut politik yang memuncak, saya menjadi serba salah antara amanah dengan kepentingan pekerjaan.

"Semua kenyataan berkaitan sidang dewan dan sebagainya saya perlu keluarkan dan perlu ditandatangan atas kapasiti saya sebagai setiausaha DUN sehinggalah saya mengeluarkan satu kenyataan yang kontroversi itu.

"Daripada kenyataan itu juga, sidang DUN terpaksa diadakan di bawah pokok kerana Adun Pakatan dihalang memasuki dewan," katanya dalam wawancara itu.

Tambahnya, Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin tidak pernah dijatuhkan undi tidak percaya oleh ahli dewan.

"Dan sebab itu saya tidak terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan beliau tidak terlucut jawatannnya sebelum Mahkamah Rayuan memutuskan sebaliknya," katanya.

Jelasnya, jika mengikut Perkara 16(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, jawatan Menteri Besar gugur dengan tiga perkara iaitu disabitkan dengan salah laku tatatertib atau hilang kelayakan sebagai Adun, perletakan jawatan dan apabila berlakunya pembubaran DUN.

"Ahli Dewan juga boleh membuat usul undi tidak percaya kepada Menteri Besar dan sekiranya majoritinya mengundi tidak percaya, Menteri Besar ketika itu mempunyai dua pilihan iaitu meletak jawatan ataupun memohon perkenan Tuanku untuk membubarkan DUN bagi pilihan raya semula diadakan," katanya.

Ketika mengulas insiden Sivakumar diusung keluar ketika sedang menjalankan tugas sebagai Speaker, Abdullah berkata Umno-BN ketika itu sebenarnya tidak mempunyai kuasa sepenuhnya di dewan.

Bagaimanapun, Umno-BN tidak menghiraukannya malah mereka tidak 'nampak' ada satu lagi institusi ataupun jawatan Speaker yang ketika itu masih lagi dari kalangan Pakatan Rakyat.

"Tidak lengkap mendapat jawatan Menteri Besar jika belum menukar Speaker DUN kerana Speaker berkuasa penuh di dalam dewan ketika itu masih Pakatan Rakyat jadi bermakna Pakatan Rakyat masih berkuasa di Dewan Negeri.

"Malah semasa sidang DUN pada 7 mei 2009 yang berlaku dalam keadaan tegang itu, saya tidak nampak dan dengar speaker mengarahkan timbalannya mempengerusikan sidang DUN.

"Tetapi secara tiba-tiba Timbalan Speaker, Hee Yit Fong mengadakan satu sidang di hujung dewan untuk melantik Speaker baru dan saya sebagai Setiausaha DUN berasa pelik," katanya.

Abdullah menjelaskan mengikut Peraturan Tetap Dewan, tiada satu pasal pun yang membenarkan keadaan itu berlaku dan itu menunjukkan Peraturan Tetap Dewan dilanggar.

"Saya tidak pasti siapa yang mengusung Sivakumar ke luar dewan dan sudah pasti ia bukan kakitangan dewan kerana saya mengenali semua staff-staff tambahan yang dilantik bagi membantu Bentara Dewan.

"Kejadian tersebut telah menjadi sejarah dunia kerana ianya tidak pernah berlaku di mana-mana Negara Komanwel mahupun negara lain," katanya


Umno Kelantan Tak Kebulor Dengan Nasharudiin Mat Isa

Posted: 16 Aug 2012 09:46 PM PDT

Umno Kelantan tidak perlu kepada faktor 'Nasha' untuk menguasai negeri itu dalam pilihan raya umum akan datang, kata Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Katanya, Umno tidak memerlukan situasi sebegitu untuk memenangi hati rakyat sebaliknya yakin untuk menang dengan kekuatan sedia ada pada Umno dan parti komponen lain dalam BN.


"Umno tak perlu peristiwa sebegitu tapi perlukan pemimpin yang bekerja untuk rakyat," kata Mustapa kepada pemberita di majlis ramah mesra dan berbuka puasa bersama Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Khazanah di ibunegara malam tadi

Mustapa, yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri, mengulas mengenai saranan Pemuda PAS Kelantan dan beberapa pemimpin tertinggi parti itu yang mahu bekas timbalan presiden PAS itu keluar parti ekoran kenyataannya yang mengesa parti itu keluar daripada gabungan pakatan pembangkang sekiranya DAP terus menentang hudud.

Ditanya sama ada Umno sedia menerima atau memberi tempat kepada Nasharudin (kiri) yang juga ahli Parlimen Bachok, beliau berkata mengikut dasar parti, Umno terbuka kepada sesiapa sahaja.

Mustapa berkata saranan supaya Nasharudin keluar daripada PAS bukan perkara baru, malah telah pun berlaku sebelum ini, namun sehingga kini beliau masih kekal sebagai anggota PAS.

"Nasarudin seorang yang berfikiran terbuka dan ada pandangan berbeza daripada orang lain, dan atas dasarnya Umno juga sedia membuka pintu... dan ini tidak merujuk hanya pada Nasarudin," katanya.


Sebab Sebenar Kenapa Nasharuddin Marah sangat Dengan Pas

Posted: 16 Aug 2012 07:17 AM PDT

SHAH ALAM, 16 Ogos — Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, hari ini berkata, kenyataan yang dikeluarkan Nasharuddin Mat Isa berhubung PAS perlu keluar Pakatan Rakyat (PR) jika DAP terus menentang pelaksanaan hukum hudud adalah disebabkan rasa kecewa beliau yang gagal melihat parti Islam itu bergabung dengan Umno.

Menurut Khalid, bekas timbalan presiden PAS itu berkemungkinan mengharapkan impak yang besar daripada cadangan penggabungan PAS-Umno kerana beliau mungkin akan beroleh jawatan yang tinggi sekiranya penggabungan itu berjaya.


"Nasharuddin ini mungkin kecewa kerana PAS tidak mahu bergabung dengan Umno. Kalau penggabungan itu berjaya mungkin dia mengharapkan akan dapat menjawat jawatan tinggi, mungkin jawatan di Kabinet," kata Khalid.

Tambah Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor itu lagi, kenyataan Nasharuddin itu dilihat berkisar berkenaan hudud, dan beliau turut menggesa Nasha agar melihat kembali kepada kenyataan Umno yang turut menolak hudud sebelum ini.

"Dia kata PAS perlu keluar PR kerana DAP tak terima hudud, adakah Umno menerima hudud?" soal Khalid lagi.

"Nasharuddin sengaja menimbulkan isu ... dan mungkin itulah dia lihat (peluang) terlepas dan pada masa yang sama dia pun kecewa kerana dia kalah dalam pertandingan merebut jawatan timbalan presiden.

"Dan ini menyebabkan dia tidak seperti dulu dan dia memang nampak semakin rapat dengan pimpinan umno walaupun di parlimen," jelas Khalid lagi.

Nasharuddin sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi ekoran menyokong cadangan pembentukan kerajaan perpaduan Umno-PAS sehingga menimbulkan rasa kurang senang kepada Mursyidul Am parti komponen PR itu, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Ketika Muktamar Agung PAS tahun lepas, Nasharuddin juga gagal mempertahankan jawatan timbalan presiden dan tewas kepada Mohamad Sabu.

Nik Aziz juga sebelum ini berkata adalah lebih baik bagi Nasharudin meninggalkan PAS daripada menimbulkan masalah kepada parti.

Jelas Khalid lagi, keputusan sama ada nasib Nasharuddin bakal menjadi seperti Adun Gombak Setia Datuk Dr Hasan Ali juga tidak berasas, kerana dalam PAS, keputusan itu adalah hak individu.

"PAS bukan parti yang akan menentukan nasib sama ada nak pecat, lucut jawatan ahlinya, terpulang kepada mereka sendiri," tambah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu lagi.

Dr Hasan Ali sebelum ini telah dipecat keanggotaan daripada PAS kerana dikatakan mempunyai matlamat yang berbeza dengan perjuangan parti.


Wayang Terkini Talibarut Umno

Posted: 16 Aug 2012 06:58 AM PDT

Nasha tolak andaian akan sertai Umno

Bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa berkata pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan para ulama di Mekah, Arab Saudi baru-baru ini tidak sedikitpun menyentuh soal Umno atau PAS, kerana isu yang dibincangkan adalah lebih besar daripada itu, ia perbincangan mengenai ummah.

"Itu yang saya hairan sejak dulu bila ada saja pertemuan, hujahan timbul yang saya akan meninggalkan PAS dan masuk Umno.


"Saya cabar, di mana saya pernah buat kenyataan akan meninggalkan PAS atau masuk Umno?" katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebaik tiba dari Jeddah.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas teguran beberapa pihak dalam PAS selepas akhbar tempatan menyiarkan gambar beliau menyertai perdana menteri dalam pertemuan dengan tokoh-tokoh ulama sempena Persidangan Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berlangsung di Mekah.

Nasharudin hari ini menasihatkan mereka yang membuat tuduhan dan andaian tidak betul mengenai pertemuan di Mekah itu supaya bertaqwa kepada Allah dan banyak beristifar khasnya pada hari-hari terakhir Ramadan ini.

Katanya beliau dijemput ke Mekah dengan visa khas oleh kenalannya yang merupakan ulama di Arab Saudi sempena 10 malam terakhir Ramadan, dan kesempatan itu digunakan oleh para ulama berkenaan untuk bertanya bolehkah diatur pertemuan dengan perdana menteri.

"Saya hubungi pejabat perdana menteri, mereka kata boleh, sebab itulah pertemuan itu diadakan," katanya dan menambah perbincangan yang antara lain menyentuh isu Syria dan Rohingya itu diadakan di sebuah villa kenalannya yang terletak bersebelahan dengan Masjidil Haram.

Menurutnya para ulama itu menyebut mengenai peranan yang boleh dimainkan dan pelbagai kejayaan yang dicapai Malaysia, di samping berpesan supaya perdana menteri memastikan Malaysia terus mengangkat pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam memelihara kesucian Islam.

"Persoalan saya ialah adakah perbincangan mengenai penyatuan ummah itu satu jenayah? Yang menariknya tiba-tiba saya dikaitkan akan masuk Umno. Untuk kesekian kalinya saya sebutkan secara terbuka, saya tidak ada niat untuk masuk Umno," katanya.

Katanya beliau menganggap semua yang mengucap kalimah syahadah sebagai 'saudara seiman' termasuk pemimpin serta anggota Umno, dan mereka yang bukan Islam adalah sebagai 'saudara seinsan'.

Menjawab satu soalan mengenai cadangan beberapa pihak supaya beliau berjumpa dengan Majlis Syura PAS untuk membuat penjelasan, Nasharudin berkata beliau perlu melihat perkembangan terkini terlebih dahulu.

"Saya pun tak tahu apa perkembangan terkini dalam tempoh lapan jam penerbangan, saya difahamkan ada kenyataan (oleh beberapa pemimpin PAS) yang ditarik balik, jadi saya nak tengok dulu, kerana turun saja dari kapal terbang tadi saya dapat beberapa panggilan telefon yang menyatakan bahawa beberapa kenyataan telah ditarik balik, saya akan periksa," katanya.

Sementara itu merujuk kepada Karpal Singh, Nasharuddin berkata beliau kekal dengan pandangan bahawa pengerusi kebangsaan DAP itu bukan hanya sekadar anti-hudud tapi juga adalah anti-Islam.

"Sebagai peguam, dia tahu apa itu 'undang-undang substantif' dan 'undang-undang prosedur'. Pelaksanaan hudud memerlukan 'pembuktian' yang cukup tinggi untuk boleh dilaksanakan. Ada kesalahan yang memerlukan tahap pembuktian ke arah tanpa sebarang kesangsian, tahap pembuktian yang maksimum sebelum boleh dilaksanakan," katanya.

Bagaimanapun menurutnya Karpal menolak semua itu hanya kerana ia adalah undang-undang Islam, malah beberapa kali mengeluarkan kenyataan "langkah mayat saya dahulu" berhubung perkara itu.

"Maka saya mengambil pendirian, saya juga akan melakukan apa sahaja untuk mempertahankan agama saya. Terpulang kepada mana-mana pihak, yang mungkin kerana percaturan politik, akan mendiamkan diri seperti syaitan-syaitan bisu yang sering diungkap oleh pimpinan tertinggi parti," katanya.

"Insya-Allah saya tidak akan membiarkan mana-mana pihak sewenang-wenangnya menghina agama saya. PAS harus lebih tegas menyatakan pendiriannya dalam hal ini kerana sokongan yang diberikan oleh masyarakat umum adalah kerana perjuangannya untuk menegakkan syiah Allah, namun dalam isu hudud yang diserang dan dikecam oleh Karpal Singh masih ramai yang tertungu-tunggu apakah sikap PAS terhadap Karpal Singh," tambahnya.

Katanya beliau berharap apabila penjelasan dibuat oleh kepimpinan tertinggi PAS kepada masyarakat umum, maka akan terjawab segala kekaburan, kerana ketika ini kepimpinan dan anggota PAS mungkin sudah faham segalanya, namun masyarakat umum masih menanti penjelasan.

- Bernama


Tiada ulasan: