Selasa, 14 Ogos 2012

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


Mufti - Kerajaan bermaruah tak akan biar gelar 'kafir harbi'

Posted: 13 Aug 2012 11:37 PM PDT

Mufti Perlis Dr Juanda Jaya berpendapat bahawa kerajaan yang bermaruah tidak akan membiarkan pihak yang mencabar kuasa mereka seperti tindakan mengisytiharkan perang dengan menggelar golongan tertentu sebagai "kafir harbi".

Katanya, pandangan bahawa haram bagi umat Islam menyokong DAP yang diutarakan guru pondok, Abdullah Sa'amah itu juga merupakan pendapat "ketinggalan zaman dan bersifat kebudak-budakan".

Pandangan Abdullah, yang turut menggelarkan DAP sebagai "kafir harbi" itu mencetus kontroversi apabila ditonjolkan melalui laporan Utusan Malaysia minggu lalu.

Juanda berkata, sikap "meraikan dan memberi ruang kepada pandangan ekstrem dan anti-demokrasi" seperti itu merupakan satu perkara yang amat mendukacitakan.

Berikut adalah wawancara dengan Dr Juanda Jaya yang dijalankan melalui emel:

Malaysiakini: Apa pandangan Dr berhubung pandangan Abdullah Sa'amah bahawa haram kepada umat Islam menyokong DAP? Apakah hujah yang digunakan berasas dan apakah pula kesan pandangan sebegini kepada masyarakat?

Dr Juanda: Saya rasa pandangan pelik sebegini tidak wajar diraikan. Dalam negara yang berperlembagaan, ada undang undang, mengamalkan demokrasi, juga negara yang memperakui kebebasan beragama oleh mana mana pengikut agama, maka pandangan pelik sebegini tidak sewajarnya diraikan.

Ini pandangan orang yang ketinggalan zaman dan bersifat kebudak-budakan. Barangkali pandangan ekstrem sebegini muncul akibat sikap ekstrem pihak lain yang melingkari keadaan masing masing. Namun jika ada pihak yang mahu meraikan dan memberikan ruang kepada pandangan ekstrem dan anti demokrasi serta sukakan perbalahan dan pergaduhan di dalam sebuah negara yang aman damai seperti Malaysia ini, maka ia adalah suatu sikap yang amat mendukacitakan.

Ia adalah sikap yang anti-perlembagaan negara dan anti-demokrasi yang diakui oleh undang-undang. Sikap sebegini tidak wajar wujud pada seorang Muslim dan rakyat Malaysia.

Kalau nak marah kepada bukan Islam sekalipun, sikap isytihar perang adalah sikap yang amat tidak cerdik. Ini dinamakan mahu ambil alih tugas kerajaan dan pemerintah yang sah. Sikap mahu melabelkan pihak tertentu layak diperangi adalah mencabar kuasa pemerintah yang sah. Ulil amri yang ada maruah diri sepatutnya mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuba secara terang terangan mahu mengambil alih tugas mereka yang sah di sisi undang-undang dan agama.

Sepatutnya orang Islam meletakkan diri sebagai umat dakwah, yakni sentiasa berusaha mendakwahkan bukan Islam untuk memahami Islam secara lebih baik dengan bertunjangkan al-Quran dan al-Hadis. Islam tidak kasar dan suka bergaduh dengan bukan Islam. Soal hidayah urusan Allah. Kita yang wajib berdakwah, bukan bergaduh. Ini umat Islam yang sebenar. Sikap suka bergaduh dan mirip teroris seperti ini bukan sikap umat Islam yang meletakkan dakwah dan penyampaian agama secara berhikmah sebagai satu keutamaan. Imej Islam boleh tercalar oleh mereka yang ekstrem sebegini.

Malaysiakini: Bagaimana pandangan ini harus ditangani oleh pelbagai pihak, termasuk masyarakat, pihak berkuasa agama dan kerajaan?

Dr Juanda: Saya syorkan jika pihak berkuasa mahu menerima pandangan pelik sebegini, maka suatu kajian dan peraturan baru perlu diperkenalkan terutama berkaitan dengan kewarganegaraan dan berparti politik. Soal bernegara dalam Islam adalah amat dinamik dan berkembang menurut zaman. Sistem kependudukan zaman Nabi dan sahabat ribuan tahun lalu pasti berbeza dengan apa yang wujud pada hari ini dalam sistem nation state. Hak demokrasi dan berpolitik juga adalah suatu hak yang diakui oleh Islam. Oleh itu, jika pihak berkuasa mahu menerima pandangan pelik sebegini, maka ubahlah sistem yang ada. Tapi saya percaya, rakyat majoriti tidak akan menerima perubahan terhadap sistem yang sudah utuh ini buat masa ini.

Negara sejak merdeka sudah menerima sistem memberikan kewarganegaraan kepada penduduk asal dan mereka yang layak yang telah datang ke Malaysia sebelum dan selepas merdeka. Ini sistem yang telah utuh. Ini juga menunjukkan setiap mereka yang menerima Malaysia sebagai negara mereka adalah mereka yang akur kepada segala perjanjian dan peraturan menjadi rakyat negara ini.

Orang Islam yang menerima syarat dan perjanjian ini terikat kepada isi perjanjian yang telah dimeterai. Ia suatu kewajipan yang mesti dipenuhi. Nabi SAW bersabda yang maksudnya: Orang orang beriman itu terikat dengan syarat-syarat perjanjian yang mereka telah persetujui, kecuali perjanjian yang menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.

Bahkan mereka yang terima perjanjian ini adalah orang-orang zimmi yang Nabi SAW perintahkan umat Islam untuk melindungi mereka dan memberikan hak-hak kepada mereka. Ini perintah Nabi SAW.

Malaysiakini: Bagaimana sikap politik yang harus diambil oleh umat Islam dalam suasana demokrasi dan kepelbagaian kaum di negara ini?

Dr Juanda: Saya ingin menarik perhatian ummat Islam terhadap Hadis Abu Bakrah seperti yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim mengenai kesaksian palsu atau syahadtuz zur:

Maksudnya; Daripada Abi Bakrah katanya, Rasulullah SAW bersabda: Mahukah kamu semua jika aku beritahukan tentang sebesar-besar dosa besar? Kami menjawab: Sudah tentu (kami mahu) wahai Rasulullah. Baginda bersabda: Menyekutukan (syirik) Allah dan menderhakai kedua ibu bapa dan berkata dusta (palsu). Pada masa itu baginda sedang bersandar lalu baginda duduk dan bersabda: Ingatlah (juga dosa yang sangat besar ialah) perkataan palsu dan kesaksian palsu. Baginda tidak henti-henti mengulanginya sehinggalah kami berkata: Alangkah baik kalau baginda berhenti (diam dan tidak mengulanginya lagi). Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Hadis ini amat relevan dalam kehidupan berdemokrasi di dalam negara kita pada hari ini – di mana sistem demokrasi diterima dan kepelbagaian adalah suatu realiti yang tidak dapat dielakkan. Memahami rangka demokrasi yang positif dan kepelbagaian yang merupakan realiti amat penting agar kehidupan bernegara akan terus berada dalam keadaan rukun dan damai.

Sistem dan realiti ini sudah wujud separuh abad di Malaysia dan terbukti apabila sistem ini dihormati, negara aman damai. Jelasnya, jika semua pihak jujur dalam berpolitik maka kebenaran dan kejujuran yang akan berjaya. Rakyat mesti difahamkan terutama umat Islam, proses membina negara adalah tugasan semua pihak. Ia bukan hanya kerja orang politik sahaja. Semua wajib terlibat dengan politik walaupun bukan mesti mereka masuk dalam mana-mana parti politik. Semua juga wajib memilih dan mengundi mereka yang benar benar layak untuk memegang tampuk kepimpinan, sebab kesilapan pemilihan akan membawa bahana kepada negara.

Dalam bahasa yang mudah, dukunglah pihak yang membawa agenda yang menepati kehendak agama dan membawa kestabilan negara, juga pangkahlah calon yang benar benar layak, ada sifat al-quwwah (kekuatan) dan al-amanah. Jika didukung pihak yang tidak membawa agenda untuk kemakmuran agama dan negara maka itu adalah kesaksian palsu yang diharamkan oleh islam.

Demikian juga, jika dipangkah individu yang tidak layak menjadi pemimpin, maka itu juga adalah kesaksian palsu yang diharamkan oleh agama, yang merupakan suatu dosa besar yang paling besar. Kesedaran bahawa kehidupan politik dalam bernegara adalah termasuk urusan agama amat dituntut dpd umat Islam di Malaysia


Himpunan Janji Bersih bukan berunsur politik

Posted: 13 Aug 2012 09:36 PM PDT

KUALA LUMPUR – Angkatan Warga Aman Malaysia (WargaAMAN) mendakwa perhimpunan Janji Bersih yang dirancang diadakan bersempena sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini di Dataran Merdeka bukan berunsur politik.

Setiausaha Agungnya, S.Barathidasan sebaliknya mendakwa, Janji Bersih hanya merupakan satu himpunan yang mengkehendaki para pesertanya memakai pakaian berwarna kuning untuk menyambut hari kemerdekaan.


"Himpunan ini juga sebagai simbolik kepada usaha menuntut pilihan raya yang bersih, bebas dan adil. Sehubungan itu WargaAMAN tidak berasa gembira dengan kenyataan supaya tidak `mempolitikkan' hari kemerdekaan.

"Mengapa menjadi kesalahan untuk berpakaian warna kuning semasa Janji Bersih sedangkan ia melambangkan sesebuah organisasi iaitu Bersih," dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Media pada Jumaat lalu, melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menasihati pihak tertentu supaya tidak mengadakan perhimpunan berunsur politik semasa sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 pada 31 Ogos ini.

26 NGO

Beliau dipetik berkata, pihak terbabit tidak sepatutnya mencampur aduk usaha meraih sokongan politik dengan Hari Kemerdekaan.

Sebelum ini lebih 20 badan bukan kerajaan (NGO) dikatakan akan menyertai himpunan Janji Bersih untuk mengingatkan kerajaan persekutuan berhubung janji-janji bagi memastikan wujudnya pilihan raya bersih dan adil sempena sambutan Hari Kemerdekaan di Dataran Merdeka.

Bagaimanapun acara ini tidak dianjurkan oleh Bersih kerana hanya 26 daripada 84 gabungan menyertai acara ini, NGOs lain dijangka menyertainya kemudian.

WargaAMAN juga ingin menegaskan sekali lagi kepada Kumpulan antiBersih Majlis Tindakan Peniga-peniaga Kecil Kuala Lumpur (MTPKL) bahawa Himpunan Janji Bersih sama sekali bukan lah bermotif Politik seperti yang mereka sangka kan.

Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk A.Samad Said dilaporkan berkata, perhimpunan itu akan diadakan pada 30 Ogos pukul 10 malam di dataran berkenaan.


Pakatan yakin tambah 5 kerusi di Melaka pada PRU 13, goncang kubu kuat BN

Posted: 13 Aug 2012 04:48 PM PDT

KUALA LUMPUR, 14 Ogos — Pakatan Rakyat (PR) yakin akan menambah lima kerusi di negeri Melaka — empat kerusi dewan undangan negeri (Dun) dan satu kerusi parlimen pada pilihan raya umum (PRU) ke 13 akan datang.

Menurut sumber dari PKR, empat kerusi Dun yang bakal dirampas dari Barisan Nasional (BN) adalah Duyong, Klebang, Paya Rumput dan Machap.

"Kerusi Duyong dan Klebang akan ditandingi oleh DAP manakala Paya Rumput dan Machap pula, PKR akan meletakkan calon.


"Bagi kerusi parlimen pula, PKR yakin akan merampas Bukit Katil dari BN," kata sumber tersebut lagi.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mat Akin yang juga berasal dari negeri Melaka akan diberi tanggungjawab besar tersebut dan jika berjaya, akan menjadi kerusi parlimen pertama bagi PKR di Melaka.

"Shamsul sudah mula turun padang di kawasan Bukit Katil semenjak dua tahun lalu.

"Nampaknya kali ini PKR akan meletakkan tokoh nasional di Melaka," katanya.

Pada pilihan raya 2008, Shamsul bertanding di kerusi parlimen Dungun dan kalah kepada calon BN.

Setakat ini, PR hanya mempunyai satu kerusi daripada enam kerusi parlimen di negeri Melaka iaitu di kerusi Kota Melaka yang dimenangi oleh DAP pada PRU 2008.

Jika Shamsul berjaya, BN hanya tinggal empat kerusi parlimen di negeri yang menjadi kubu kuat gabungan tersebut semenjak pilihan raya pertama diadakan pada tahun 1955.

Cakap-cakap telah kedengaran perdana menteri (PM) mahu menukar hampir kesemua calon menteri besar (MB) dan ketua menteri (KM) bagi BN dan Datuk Seri Ali Rustam yang begitu kuat di Melaka tidak terlepas dan bakal dibawa ke pusat.

Ahli parlimen Tangga Batu, Datuk Idris Haron disebut-sebut sebagai pengganti kepada Ali.

Sumber dalaman PKR itu juga memberitahu peluang PR untuk menambah lebih kerusi di Melaka boleh dilakukan sekiranya PAS lebih berbesar hati untuk memberikan kerusi yang mereka tidak berpeluang menang kepada PKR.

"PAS kena berbesar hati, mereka sudah bertanding di Melaka semenjak pilihan raya pertama dan tidak akan menang di sesetengah kerusi.

"Contohnya, kerusi Bukit Baru yang terletak di bawah parlimen Bukit Katil pada PRU 2008.

"Bagi undi kerusi parlimen Bukit Katil, PKR kalah 700 undi di Dun Bukit Baru.

"Sementara keputusan PRU bagi Dun Bukit Baru pula, PAS kalah dengan majoriti 2,700 undi dan ini membuktikan PKR lebih berpeluang menang kerusi Dun tersebut berbanding PAS, kata sumber itu lagi.

Melaka mempunyai 28 kerusi Dun dimana BN menguasai 23 kerusi dan PR (kesemuanya DAP) memenangi 5 kerusi dalam PRU 2008. Sementara daripada enam kerusi parlimen, PR hanya memenangi satu kerusi di Kota Melaka dan selebihnya BN.

Jika menang lagi empat kerusi, PR akan mempunyai sembilan kerusi dan BN hanya tinggal 19 kerusi Dun di negeri Melaka.

Walaupun masih memegang pemerintahan Melaka, Dun negeri tersebut akan bergegar dengan pertambahan suara pembangkang.

Negeri-negeri di Selatan Semenanjung Malaysia, yang selama ini menjadi kubu kuat BN menjadi sasaran PR seperti Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

PAS serius untuk bertapak di Johor dan telah mengumumkan naib presidennya, Salahuddin Ayub untuk mengetuai PR bagi menyerang negeri kelahiran musuh tradisi mereka iaitu Umno.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka akan membubarkan parlimen pada tahun hadapan bagi memberi laluan kepada PRU 13.

Sebelum ini, Najib pernah berkata, beliau yakin BN akan menawan kembali semua negeri yang terlepas ke tangan PR dan akan menggembalikan majoriti dua pertiga yang mereka hilang pada tahun 2008.

Profesional Muda Pas Siap Sedia Ke Putrajaya

Posted: 13 Aug 2012 06:45 AM PDT

SHAH ALAM: Sejumlah RM50,000 berjaya disumbangkan oleh para profesional muda PAS yang berhimpun dan mengikuti program 'Xpresi Profesional Muda Ke Putrajaya' Sabtu lepas.

Program yang bertempat di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, Seksyen 7, Shah Alam itu berjaya menghimpunkan 600 orang profesional muda.

Di samping lebih 500 peserta di kalangan muslimin dan muslimat yang hadir berhimpun di Shah Alam, program penuh bersejarah ini turut diikuti oleh hampir 100 peserta di luar negara, Sabah dan Sarawak secara 'live video-conferencing'.


Antaranya dari Dublin, Manchester, Lancaster, Dubai, Miri, Bintulu, dan Kota Kinabalu, di samping saluran 'live audio- streaming' yang diikuti secara langsung di lebih 50 lokasi serata dunia.

Bertemakan agenda "Maknakan Kemenangan", program ini dilihat amat bertepatan dengan iklim politik negara semasa yang menatijahkan kesedaran dan kebangkitan rakyat, khususnya kelompok anak muda, yang mengharapkan bentuk bernegara dan bermasyarakat yang lebih baik di Malaysia.

Pemuda PAS melihat PRU-13 bakal menyaksikan pertembungan pilihanraya paling sengit dalam sejarah Malaysia, tatkala BN mahu merampas kembali majoriti 2/3 di parlimen.

Di samping lanskap politik semasa yang tidak menentu, khususnya peranan pihak media yang rancak memainkan sentimen perkauman di kalangan masyarakat, pertambahan komposisi pengundi muda yang dianggarkan mencecah 52% jika parlimen dibubarkan pada suku pertama 2013 juga memberikan makna yang besar.

Di dalam ucapan perasmian, Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi menyeru seluruh profesional muda membina kepakaran demi agenda mengisi kemenangan pasca PRU-13.

Beliau merujuk kejayaan teman-teman profesional muda di kalangan Ikhwanul Muslimin berjaya memastikan peralihan kuasa di bumi Mesir pasca regim Hosni Mubarak berjalan dengan baik mengikut acuan Islam.


Ustaz Nasrudin Hassan turut mengingatkan profesional muda yang hadir bahawa PRU-13 ini bakal menjadi medan pertembungan polisi oleh setiap parti politik yang bertanding untuk mengemukakan gagasan dasar dan program yang mampu menarik sokongan pengundi.

Ia memberikan fokus kepada memperbaiki masalah sosio-ekonomi rakyat bawahan di samping kebimbangan terhadap dayatahan ekonomi negara yang menanggung beban hutang yang kian meningkat, hasil daripada pemborosan dan salah urus tadbir kewangan oleh pemimpin negara.
Justeru, golongan profesional muda perlu mempersiapkan diri dalam menggalas agenda penting ini, kata Nasrudin.

Beliau menambah, agenda pembaharuan ini, yang boleh dibahagikan kepada aspek penambahbaikan (corrective) dan penyusunan-semula (restructuring), sudah pasti menuntut kepada komitmen dan kepakaran dari semua peringkat penggubal dasar dan pelaksana polisi, khususnya di kalangan profesional muda.

Beliau turut melahirkan rasa bangga di atas penganjuran program ini, dan dengan penuh yakin menzahirkan bahawa Pemuda PAS dan Ameerah bersedia melahirkan generasi muda yang terbaik.

Berdasarkan sambutan yang di luar jangka, Pemuda PAS sudah mengatur tindakan selanjutnya hasil daripada Xpresi ini, antaranya mengemaskini kumpulan pakar (expert group) di kalangan profesional muda.

Ia bakal dibuat secara lebih sistematik, penyaluran kepakaran profesional muda untuk Pimpinan dan Ahli Parlimen PAS, serta penganjuran diskusi serta wacana polisi dalam agenda mempersiapkan anak muda mengisi dan memakna kemenangan di Putrajaya, insyaAllah.

Ekoran kejayaan mereka menyumbangkan RM500,000 untuk PAS, ia dilihat sebagai manifestasi kebersamaan profesional muda dalam menjayakan misi PAS dan Pakatan Rakyat menuju Putrajaya, seterusnya sebagai simbol kebersamaan profesional muda dalam agenda Membangun Negara Berkebajikan kelak.

Rata-rata peserta yang ditemui teruja dan berpuasa hati dengan mutu penganjuran dan pengisian Xpresi Profesional Muda ini.

Saudara Ir Nazim Khir yang merupakan jurutera bertauliah berkata, "Walaupun pendirian politik kami tidak dapat dizahirkan atas faktor amalan demokrasi yang tidak sihat di Malaysia, namun ia tidak pernah melunturkan semangat dan tekad kami untuk memberi sumbangan berdasarkan kepakaran masing-masing dalam agenda membina masyarakat dan negara yang lebih sejahtera."

Pandangan beliau turut disokong Dr Ghazali Abdullah yang merupakan seorang pakar perubatan yang menyebut, "Program ini berjaya memberi peluang kepada profesional muda yang berjiwa besar berinteraksi secara 'menegak' (vertikal ) untuk meluahkan pandangan, idea dan kritikan terhadap pimpinan pemuda dan pusat, di samping ruang interaksi 'mendatar' (horizontal) untuk kami profesional muda ini, saling berkenalan membina jaringan (networking) dari profesion yang pelbagai."

Di akhir Xpresi tersebut, para profesional muda melafazkan ikrar sokongan demi menjayakan misi kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat dalam PRU13, seterusnya berjanji untuk berperanan aktif dalam usaha mengisi dan memakna kemenangan, selaras dengan agenda membangun Negara Berkebajikan.


Tokoh-tokoh



Bersempena program ini, Dewan Pemuda PAS Malaysia berbesar hati mengiktiraf sumbangan dan jasa tokoh-tokoh profesional tanahair di atas kepakaran dalam profesion yang diceburi di samping menghargai jasa dan bakti besar yang ditabur terhadap agama dan negara.

Majlis penyampaian anugerah tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Presiden PAS, Tn Hj Mohamad Sabu. Anugerah – anugerah tersebut adalah:

Anugerah Tokoh Profesional Muda - dianugerahkan kepada Dr Sufyan Hassan bagi menghargai kepakaran dan jasa beliau dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan gagasan polisi negara;

Anugerah Tokoh Profesional Harapan - dianugerahkan kepada Dr Syed Khalid yang telah menempa nama dalam bidang perubatan dan sukarelawan, dalam dan luar negara.

Anugerah Tokoh Profesional Antarabangsa - dianugerahkan kepada Ir Jufri Bade di atas kejayaan beliau menempa kepakaran di bumi Eropah dan peranan beliau dalam membina komuniti rakyat Malaysia di Eropah.

Anugerah Tokoh Profesional Terbilang – dianugerahkan kepada Almarhum Tan Sri Professor Ameritus Ahmad Ibrahim di atas sumbangan besar beliau yang terpahat dalam sejarah perundangan dan dasar pentadbiran negara, di samping jasa beliau dalam bidang pendidikan dan kemasyarakatan yang tiada tandingan.

Anugerah Tokoh Profesional Tarbiah – dianugerahkan kepada Almarhum Tuan Guru Datuk Yahya Othman di atas usaha gigih dan jasa beliau yang amat besar dalam mendidik, mengasuh dan mentarbiah generasi dai'e yang bertebaran di Malaysia dan seluruh dunia

Di dalam ucapan penutup, Haji Mohamad Sabu menyeru para profesional muda, mempersiapkan diri dengan ilmu dan kepakaran dalam menjayakan misi mencapai kemenangan dalam PRU13 dan seterusnya memainkan peranan yang lebih besar dalam usaha mengisi kemenangan mengikut acuan Negara Berkebajikan.

Beliau turut memuji Pemuda PAS di atas penganjuran program yang sangat baik ini, dan melahirkan keyakinan beliau bahwa PAS mempunyai masa depan yang sangat cerah, hasil dokongan generasi muda yang punyai idealism, kepakaran dan tekad untuk membangun Negara Berkebajikan.

harakahdaily.net


MISTERI - 1000 Tanda Nama Polis Disorok Bunian

Posted: 13 Aug 2012 03:02 AM PDT

Seorang pegawai polis yang bertanggungjawab ke atas operasi pasukan itu di Dataran Merdeka semasa perhimpunan BERSIH 3.0 berkata beliau tidak mengetahui bagaimana tanda nama anggotanya tertanggal ketika perhimpunan tersebut memuncak.

ASP Ahmad Jais Usang, yang mengetuai operasi di zon Dataran Merdeka semasa perhimpunan tersebut berkata, semua 1,000 pegawai itu memakai tanda nama ketika beliau memberi taklimat pada pagi 28 April.


"Pada waktu pagi semasa taklimat semua mereka memakai tanda nama," katanya kepada panel Suruhanjaya Hak Asasi Manusia dalam inkuiri yang dijalankan pagi ini.

Bagaimanapun, pakaian seragam itu hanya menunjukkan nama anggota dan tidak menunjukkan nombor anggota terbabit.

Ahmad Jais menjelaskan bahawa sesetengah tanda nama itu dijahit di pakaian seragam tertentu manakala yang lain menggunakan kancing velcro yang boleh dipasang dan ditanggalkan pada bila-bila masa.

Inkuiri yang masuk hari ke-13 hari ini bertujuan untuk menyiasat dakwaan pelanggaran hak asasi manusia semasa dan selepas perhimpunan BERSIH 3.0.


Towkey 'Sekinchan Ikan Bakar' Ancam Buat Kacau

Posted: 13 Aug 2012 02:10 AM PDT

Jawatankuasa Bersih akan membincangkan ugutan Kumpulan anti-BERSIH, Majlis Tindakan Peniaga-peniaga Kecil Kuala Lumpur (MTPKL) yang mengancam untuk bertindak agresif ke atas Himpunan Janji BERSIH.

Pengerusi Bersama BERSIH 3.0, Datuk A Samad Said ketika dihubungi TVSelangor memberitahu satu mesyuarat akan diadakan malam ini.

"Asalnya kita hanya menganjurkan majlis berbuka puasa namun apabila perkara ini dibesar-besarkan maka kita akan berbincang lanjut mengenainya.


"Selepas perbincangan tersebut, saya yakin kita akan mencapai kata putus mengenai tindakan selanjutnya berhubung ugutan tersebut," jelas beliau yang lebih mesra dipanggil Pak Samad.

Tambahnya, sebarang keputusan yang dicapai akan diumumkan oleh Pengerusi BERSIH, Datuk S. Ambiga kelak.

Sebelum ini, lebih 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengumumkan akan menganjurkan 'Himpunan Janji BERSIH' sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 pada tahun ini.

MTPKL bagaimanapun meminta gabungan NGO pimpinan Sasterawan Negara itu untuk menimbang semula cadangan mengadakan perhimpunan tersebut bagi mengelakkan ia menjadi medan pertempuran. -selangorku

NGO ancam tindakan agresif ke atas Janji BERSIH

Kumpulan anti-BERSIH, Majlis Tindakan Peniaga-peniaga Kecil Kuala Lumpur (MTPKL) mengancam untuk bertindak agresif ke atas Himpunan Janji BERSIH yang merancang untuk berhimpun ketika sambutan ambang kemerdekaan pada 30 Ogos.

Laporan Berita Harian hari ini memetik kenyataan pengerusi MTPKL, Datuk Jamal Md Yunus yang "bosan dengan permainan politik" yang didakwa "banyak merugikan peniaga dan menyusahkan orang ramai".


"Kali ini kita akan bertindak agresif serta tidak membenarkan perkara ini berlaku dan mereka tidak dapat menjangka tindakan yang diambil.


"Kita yang mempunyai 98,000 ahli akan membincangkannya pada perhimpunan ketika Aidilfitri. Mereka berniat mencemarkan sambutan ambang Hari Kemerdekaan," kata pemilik rangkaian restoran Sekinchan Ikan Bakar itu dalam laporan tersebut.


Katanya lagi, 26 NGO dipimpin Sasterawan Negara Datuk A Samad Said yang merancang perhimpunan itu perlu menimbang semula perhimpunan berkenaan "bagi mengelakkan ia menjadi medan pertempuran pada malam itu".


Sementara itu, A Samad ketika dihubungi Malaysiakini bagaimanapun enggan mengulas mengenai ancaman berkenaan.


Katanya, gabungan NGO tersebut akan mengadakan satu mesyuarat pada malam ini - yang dijangka akan membincangkan mengenai ugutan berkenaan.


A Samad Said sebelum ini berkata, perhimpunan berpakaian kuning pada malam 30 Ogos di Dataran Merdeka dirancang untuk mengingatkan kerajaan persekutuan berhubung janji-janji bagi memastikan wujudnya pilihan raya bersih dan adil.

Samad bagaimanapun menegaskan, acara itu tidak dianjurkan oleh BERSIH kerana hanya 26 daripada 80 badan gabungan menyertai acara itu. Kumpulan lain dijangka menyertainya kemudian.

Kumpulan MTPKL pula sebelum ini mencuri perhatian apabila mengadakan perhimpunan "BERSIH 4.0 Cintakan Negara" di depan rumah Pengerusi Bersama BERSIH, Datuk S Ambiga di Kuala Lumpur pada Jun lalu.


Mereka pada awalnya merancang untuk membuka gerai jualan semasa perhimpunan tersebut, namun dihalang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akhirnya hanya berhimpun dan membawa sepanduk.


Jamal juga mencetuskan sensasi media apabila menawarkan pelbagai hadiah mewah, termasuk Lamborghini dan BMW sekiranya laman Facebook mereka mencapai jumlah sasarah peminat tertentu.


Bagaimanapun, Jamal kemudiannya mendakwa kempen itu menghadapi masalah apabila laman Facebook itu telah digodam. -mk



Tiada ulasan: