Blog-list Malaysia |
- Dakwa Rafizi Merupakan Tindakan Balas Dendam
- Ikat jamin Rafizi RM15,000 dan akan dibicarakan pada 10 September
- Botol Arak Gergasi Bertema 'Syawal Ceria' Hanya Di Pulau Pinang
- Terkini: Rafizi ditangkap polis
- Ku Li mahu BN selesai isu royalti Kelantan sebelum PRU13
- George Kent-Lion Pacific menang tender LRT Ampang
- Umno Konfiden Tawan Selangor Tapi Tak Berani Namakan Calon MB..
- "Sebuah negeri yang kaya-raya, pesat membangun rupa-rupanya indah khabar dari rupa,”
Dakwa Rafizi Merupakan Tindakan Balas Dendam Posted: 31 Jul 2012 11:21 PM PDT Pemimpin pelbagai parti dalam Pakatan Rakyat mengecam tindakan menahan dan mendakwa Pengarah Strategik PKR Rafizi Ramli bawah Akta Institusi Perbankan dan Kewangan (Bafia) pagi ini. Ketua Publisiti DAP Tony Pua berkata, tindakan itu memberi tamparan hebat kepada usaha membasmi rasuah yang mahu dilaksanakan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. "(Ia) melemahkan lagi prestasi yang lebih rendah mengenai Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dalam Program Transformasi Kerajaan (GTP)," kata Pua dalam kenyataannya hari ini. Pua (kiri) menyifatkan tindakan itu sebagai "membalas dendam" terhadap si pembocor maklumat. Beliau mendakwa pendakwaan terhadap Rafizi juga bertentangan dengan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, yang bertujuan untuk menggalakkan orang ramai membantu memerangi rasuah. Timbalan Presiden PKR Azmin Ali (bawah) berkata, penahanan dan pendakwaan itu bukti jelas bahawa Umno dan BN terdesak akibat pendedahan skandal National Feedlot Corporation (NFC). "PKR percaya Umno-BN sedang menggunakan pelbagai cara untuk menutup segala pekung penyelewengan dan salah guna kuasa daripada menjadi pengetahuan rakyat. "Namun kita yakin, rakyat Malaysia akan terus bersatu untuk menolak rasuah dan salah guna kuasa demi kemaslahatan negara," katanya. Sementara itu, Pemuda PAS beranggapan, penahanan bekas ketua eksekutif pejabat penasihat ekonomi Selangor itu menunjukkan kerajaan persekutuan tidak ikhlas dan telus dalam memastikan negara bebas daripada rasuah. "Kerajaan sepatutnya melihat isu yang ditimbulkan oleh Rafizi jauh lebih utama dan penting berbanding tindakan tindakan beliau yang membocorkan maklumat, kata naib ketua dewan itu Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob (kanan). Raja Ahmad sebaliknya berkata, tindakan Rafizi itu wajar dipuji kerana bertujuan memastikan negara bebas daripada "penyangak rasuah". |
Ikat jamin Rafizi RM15,000 dan akan dibicarakan pada 10 September Posted: 31 Jul 2012 09:16 PM PDT Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam, Tuan Aslam Zainuddin pagi tadi menetapkan perbicaraan kes Rafizi Ramli pada 10 September depan dengan ikat jamin RM15,000. Ketetapan itu selepas pihak penbelaan, peguam N.Surendran dan Puspawati Rosman berjaya mengetepikan tuntutan pihak pendakwaan, NFC yang menuntut ikat jamin RM100,000 serta passport dirampas. Rafizi, Ketua Strategik PKR diikat jamin oleh Ketua Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad. Rafizi, Ketua Strategik PKR didakwa di bawah Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (BAFiA) gara-gara mendedahkan akaun Projek Fidlot Kebangsaan (NFC) yang didakwa mempunyai unsur pecah amanah membabitkan keluarga bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Shahrizat Abdul Jalil. Dalam perkembangan sama, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dilaporkan mengumumkan peruntukan dana khas bagi membiayai Rafizi. Perkembangan terbaru ini sekaligus menyerlahkan wajah "Janji Dicapati" oleh pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dikatakan kian terdesak dengan penentangan rakyat pada musim Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13). |
Botol Arak Gergasi Bertema 'Syawal Ceria' Hanya Di Pulau Pinang Posted: 31 Jul 2012 05:54 PM PDT Atas apa juga alasan samaada pengurus pusat membeli belah yang mempamerkan replika botol bersama-sama 400 botol kosong arak itu bukan beragama Islam dan tidak memahami Islam atau apa sahaja, ini bukanlah alasan untuk tidak mengatakan bahawa ini adalah satu tindakan paling kurang ajar dan amat bodoh.. Tak perlulah membela dengan cuba mengaitkan dengan sejarah siapa yang merasmikan kilang arak di Malaysia. Biarlah itu menjadi sejarah. Apa yang pasti Kerajaan Pulau Pinang terutamanya exco agama yang baru patut peka dengan masalah ini. GEORGE TOWN, 31 Julai -- Replika susunan botol arak gergasi yang dipamerkan ditempat awam bersebelahan dengan perhiasan mempromosikan bulan Syawal di sini, hari ini. Orang ramai terutama umat Islam yang melalui kawasan pusat membeli-belah di Pusat Bandar George Town akan terkejut melihat replika susunan botol arak gergasi yang dipamerkan ditempat awam bersebelahan dengan perhiasan mempromosikan bulan Syawal. Lebih 400 botol-botol arak kosong disusun di dalam sebuah ruang pameran di kawasan awam yang dikunjungi oleh orang-ramai.-Bernama |
Terkini: Rafizi ditangkap polis Posted: 31 Jul 2012 05:42 PM PDT Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli ditangkap oleh polis pagi ini kerana didakwa terbabit dalam mendedahkan butiran perbankan yang berkaitan dengan skandal National Feedlot Corporation (NFC). "Saya kini ditahan di bawah BAFIA (Akta Institusi Perbankan dan Kewangan) dan akan dibawa ke mahkamah sekarang," katanya dalam mesej teks kepada Malaysiakini. Beliau berkata pihak polis datang ke rumahnya pada kira-kira jam 7 pagi ini. "Saya percaya saya sedang dibawa ke Mahkamah Shah Alam untuk didakwa," katanya. Rafizi telah disiasat di bawah BAFIA kerana didakwa mendedahkan butir-butir perbankan NFC dan pengarahnya. Syarikat itu dikendalikan oleh suami dan anak-anak bekas menteri kabinet Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. |
Ku Li mahu BN selesai isu royalti Kelantan sebelum PRU13 Posted: 31 Jul 2012 07:21 AM PDT SHAH ALAM - Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah mengulangi pendiriannya bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) perlu menyelesaikan segera isu royalti minyak yang dituntut Kerajaan Kelantan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Katanya, isu itu perlu diselesaikan sebelum PRU13 untuk menarik sokongan rakyat Kelantan kepada BN. Pas mengekalkan kerajaan negeri yang dirampas daripada BN pada 1990. Beberapa kajian terbaru, termasuk yang diumumkan minggu lalu menunjukkan negeri itu akan kekal di tangan Pas pada PRU13. Dipetik laporan Astro Awani, Tengku Razaleigh mengulas perkembangan selepas laporan beberapa bulan lalu bahawa Umno Kelantan mahu mendapatkan pandangannya untuk persiapan menghadapi PRU13. Razaleigh, yang pernah mengeluarkan pandangan yang sama tahun lalu, mengakui bahawa beliau ada didatangi oleh beberapa pemimpin Umno Kelantan yang meminta pandangan bagaimana untuk menguatkan semula Umno di Kelantan. "Saya kata apa yang dilakukan oleh mereka sudah cukup kecuali hendak digerakkan di peringkat 'grass root' supaya mereka tak tunggu pemimpin datang baru nak bergerak. Tengok parti-parti lawan bergerak sepanjang masa. "Jadinya, saya cadang kalau boleh diatasi atau diselesaikan dua perkara yang dihadapi oleh rakyat Kelantan, saya rasa masalah boleh selesai... "Satunya mengenai tuntutan rakyat Kelantan terhadap royalti minyak yang sememangnya sudah pun ditentukan oleh Akta Kemajuan Petroleum yang dibuat pada tahun 1974 atas kehendak Tun Razak yang juga menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno ketika itu," kata beliau lagi. Ahli Parlimen Gua Musang ini menambah, satu lagi isu yang perlu ditangani ialah infrastruktur bagi kemudahan rakyat terutamanya jalan raya. Tengku Razaleigh pada masa yang sama menepis kritikan kononnya beliau menyokong kerajaan Pas yang menuntut royalti petroleum. "Saya cakap bukannya kerana saya memihak kepada pembangkang, tidak. Saya cuma hendak jelaskan apa yang terkandung dalam Akta Kemajuan Petroleum yang saya tolong gubalkan atas arahan arwah Tun Razak. "Kalau itu boleh diterima oleh Umno pada ketika itu, masa Tun Razak jadi Presiden, saya jadi Naib Presiden, mengapa Umno sekarang ini tidak boleh pakai, tidak munasabah," katanya yang pernah menjadi Menteri Kewangan. Pada Ogos 2010, Kerajaan Pas Kelantan mengemukakan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Petronas berhubung tuntutan royalti minyak yang didakwa dikeluarkan dari perairan negeri itu. Dalam kes saman itu kerajaan negeri tidak menetapkan tuntutan yang dibuat, sebaliknya terserah kepada mahkamah menentukannya. Semalam, Timbalan Menteri Kewangan Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin menyifatkan penganjur Konvoi Royalti, yang menjelajah negeri ini, sepatutnya menunggu mahkamah membuat keputusan mengenai kes tuntutan royalti minyak oleh kerajaan Kelantan terhadap Petronas. "Jika mereka mengambil langkah sebelum mahkamah membuat keputusan, ia dibimbangi tidak selari dengan keperluan undang-undang," katanya. Gabungan Profesional Menuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (Royalti) menganjurkan Konvoi Royalti, yang diketuai Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, ke Gua Musang selama dua hari bermula kelmarin. Awang Adek, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengagihan Wan Ehsan Kelantan berkata, pemberian wang itu dilaksanakan mengikut keperluan undang-undang dan dilakukan dengan telus membabitkan semua golongan seperti pelajar, mangsa kebakaran rumah dan bencana alam, tanpa mengira fahaman politik. Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan kira-kira RM24 juta setahun bagi tujuan berkenaan, kata beliau. Kerajaan Pas Kelantan menuntut Kerajaan Pusat membayar royalti minyak RM1 bilion bagi pengeluaran petroelum dan gas di perairan negeri itu antara 2004 hingga 2009. Kerajaan Pusat menolak tuntutan itu. Tengku Razaleigh adalah Pengerusi Petronas semasa perjanjian royalti petroleum itu ditandatangani dengan Kerajaan Negeri Kelantan lebih tiga dekad lalu. sinarharian |
George Kent-Lion Pacific menang tender LRT Ampang Posted: 31 Jul 2012 05:16 AM PDT KUALA LUMPUR, 31 Julai — Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) hari ini mengumumkan George Kent-Lion Pacific JV sebagai pemenang bidaan kontrak untuk projek tambahan LRT Ampang, petang tadi. Projek yang bernilai RM7 billion itu merangkumi laluan baru dari laluan Kelana Jaya dan laluan Ampang yang akan bersambung di stesen baru di Putra Heights. Projek tambahan LRT Ampang ini akan merangkumi sepanjang 17.7 kilometer dari Stesen Sri Petaling dan akan mempunyai 11 stesen baru dengan dua stesen tambahan untuk masa hadapan. Sebelum ini, pengarah strategik PKR, Rafizi Ramli berulang kali mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak campurtangan dalam proses bidaan projek ini untuk memberi kepada George Kent yang didakwa mempunyai hubungan rapat dengan beliau. Projek tambahan LRT Ampang ini juga tersenarai dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk membangunkan perkhidmatan pengangkutan awam di tengah bandar raya Kuala Lumpur. Projek ini dijangka akan menjadi pemangkin kepada kemajuan ekonomi di kawasan yang terlibat dalam laluan ini dandijangka akan siap pada 2014 dan menambah kapasiti penumpang LRT sebanyak 300,000 orang setiap hari. Sebelum ini Rafizi pernah mendakwa, laporan dari Halcrow, sebuah perunding kejuruteraan terkemuka dunia membuktikan bahawa George Kent JV tidak mempunyai kemampuan dalam teknikal dan kewangan. Jawatankuasa Peroleh Menteri Kewangan (JPMK) sebelum ini memilih syarikat Balfour-Beatty dalam bidaan sebelum ini, tetapi Najib telah memilih George Kent JV untuk projek tambahan LRT Ampang yang bernilai RM1 billion itu, kata Rafizi lagi. "Dalam projek NKRA ini, kesan dari projek tambahan ini akan dapat menyenangkan orang ramai untuk bergerak di Lembah Kelang, bahkan meningkatkan produktiviti dan peluang pekerjaan," kata Masnizam Hisham, ketua komunikasi Prasarana dalam sebuah kenyataan media yang dikirimkan kepada The Malaysian Insider petang ini. http://penburukonline.blogspot.com/2012/07/apabila-timbalan-menteri-kewangan.html |
Umno Konfiden Tawan Selangor Tapi Tak Berani Namakan Calon MB.. Posted: 31 Jul 2012 04:14 AM PDT JIKA BN berjaya menawan semula Kedah dalam PRU 13 ini calon Menteri Besarnya ialah Dato Mukhriz Mahathir. Calon itu bukan sudah ditentukan Datuk Najib sebagai Pengerusi BN tetapi ditentukan oleh orang-orang dalam Majlis Profesor Negara. Tetapi mereka belum menentukan lagi siapa calon MB untuk Kelantan dan Selangor. UMNO pernah mencalonkan Dato Mustapa Mohamed tetapi tidak menjadi. PRU 2008 dicalonkan pula Dr. Awang Adek Hussein. Tidak jadi juga. Kali ini belum dicalonkan sesiapa kerana keadaan itu seperti harap ada, percaya tidak. Atau juga mungkan harap tidak, percaya pun tidak. Maka mungkin MB Kelantan itu ditentukan betul-betul PAS kalah. Selagi PAS belum kalah di Kelantan, eloklah tidak dinamakan sesiapa dulu. Yang BN yakin dapat rampas semula ialah Selangor. Maka di sini UMNO boleh menyediakan calon MBnya. Tetapi setakat ini UMNO belum lagi mencalonkan sesiapa, malah para professor pun belum berani menamakan sesiapa. Mereka berani mencalonkan Mukhriz di Kedah, walau pun professor lain yang mengatakan Dato Seri Azizan Razak akan kekal sebagai MB seperti yang dibayangkan oleh Prof. D. Mansor Mohamad Nor. Tetapi setakat ini semuanya tercari-cari siapa calon MBnya? Dr. Khir Toyo sudah dari awal tak termasuk dalam senarai. Nama yang ada dalam baris depan UMNO Selangor ialah Noh Omar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Selangor. Sepatutnya dialah calon yang pertama. Merdeka Center patut mengambil langkah membantu BN siapakah yang dikehendaki oleh UMNO dan pengundi Selangor jadi orang yang terbaik untuk menjadi Menteri Besar kiranya ia berjaya menumbangkan Tan Sri Khalid Ibrahim. Saya tidak kata, Pakatan Rakyat dan Tan Sri Khalid akan digulingkan, tetapi semua profesor sudah bersorak sorai mengatakan UMNO akan memenangi Selangor semula. Jika Selangor sudah boleh diambil semula maka mereka mestilah menamakan siapa pula Menteri Besarnya. Bukanlah hak professor itu untuk menamakan calon MB itu. Ia hak mutlak PM Najib pada masa ini. Dia ketua UMNO dan dia ketua BN. Kuasanya saja yang berhak menamakannya. Bukan orang lain. Tetapi kerana sang professor sudah berani menamakan Mukhriz orang yang paling popular untuk menjadi calon pertama jawatan itu di Kedah, tentulah mereka juga boleh menamakan sesiapa di Selangor. Cuba agensi kaji selidik dapatkan pandangan responden di Selangor adakah Noh Omar menjadi pilihan yang terbaik bagi menjadi Menteri Besar Selangor atau ada orang lain yang mereka kira lebih baik? Mereka jangan fikirkan Noh itu adalah orang terpenting UMNO Selangor selepas Datuk Najib. Datuk Najib telah awal-awal lagi bahawa calon utama baginya untuk BN di mana-mana saja adalah calon yang boleh menang. Ketua UMNO Bahagian dan pemimpin UMNO negeri belum tentu dijamin menjajdi calon boleh menang. Maka kita tidak dapat agak siapa yang Najib fikir boleh menang. Maka yang pertama professor dan agen kaji selidik patut bantu PM apakah Noh Omar boleh jadi calon boleh menang di mana DUN di Tanjung Karang. Mungkin dia boleh menang di mana DUN di Selangor, tetapi adakah dia calon yang membantu kemenangan untuk semua DUN bagi menjadikannya Menteri Besar? Mungkin calon yang lain ialah Dato Seri Mohd. Zain Mohamad, Setiausaha Perhubungan UMNO Selangor. Dia pernah menjadi menteri kerja raya dalam kabinet Tun Abdullah Badawi selepas PRU 2008 tetapi telah digugurkan oleh Najib. Mungkin Selangor yang terkaya itu memerlukan seorang korporat untuk menjadi MB bagi mengimbangi imej profesional Tan Sri Khalid bagi menjamin aliran pembangunan Selangor mendapat sambutan. Calon saudagar yang paling hebat di Selangor ialah Tan Sri Rozali Ismail, CEO Syabas. Peranannya lebih banyak dari Noh dalam usaha menjatuhkan kerajaan Pakatan. Mungkin Rozali lebih tepat jadi MB Selangor yang baru? Subky Latif |
"Sebuah negeri yang kaya-raya, pesat membangun rupa-rupanya indah khabar dari rupa,” Posted: 31 Jul 2012 01:28 AM PDT JOHOR BAHRU - "Saya tak sangka negeri yang terkenal sebagai sebuah negeri yang kaya-raya, pesat membangun rupa-rupanya indah khabar dari rupa," ujar artis Dayangku Intan kepada Harakah. Dayangku Intan kini berada di Johor sejak tiga minggu lalu bersama PKR negeri itu untuk turun ke bawah termasuk menyampaikan sumbangan kepada golongan miskin di negeri itu. Katanya, rakyat negeri itu walaupun kawasan bandar hidup mereka begitu dhaif, lebih miskin dari masyarakat Kelantan. "Saya heran media dan pemimpin BN dok kutuk Kelantan kononnya negeri itu dikatakan miskin, rakyat susah, tetapi sepanjang tiga minggu Intan di beberapa kawasan di negeri ini, sebenarnya indah khabar dari rupa. "Negeri kaya, kaya dengan rasuah nak buat apa, tentu tak berkat,"ujarnya. Menurutnya, dengan pendapatan RM150 sebulan sumbangan kerajaan negeri, mana mencukupi untuk mereka menyara hidup sebulan, apa lagi dengan harga barangan keperluan semakin tinggi. Sambungnya, berlainan Kelantan negeri miskin tetapi rakyatnya kaya raya kerana keberkatan pemimpinnya yang berlandaskan Islam disamping menjaga harta rakyat. katanya, beberapa tempat telah beliau turun bersama pimpinan PKR negeri termasuk PAS untuk menyumbang pada mereka yang memerlukan. Beliau memberitahu, hasil sumbangan dari rakan-rakan termasuk sumbangan zakat, beliau kumpul untuk diagihkan pada masyarakat di negeri itu. Pada masa yang sama beliau turun untuk berkempen bagi menghadapi Pilihanraya Umum (PRU 13) akan datang di negeri itu. Selain menyampaikan ceramah, beliau turut menyampaikan risalah-risalah berkenaan Pakatan Rakyat dan mendedahkan korupsi yang telah dilakukan oleh kerajaan BN. Jelasnya, dalam soal ini ada yang memberi respon yang baik ada yang sebaliknya. "Tetapi tak apalah, kita doakan saja semoga yang tidak boleh menerima akhirnya dapat bersama kita, insyaallah perbanyakkan doa di bulan Ramadan,"ujarnya. Sehubungan itu, Intan turut mengingatkan penceramah Pakatan Rakyat khususnya PAS dan PKR supaya menjaga perilaku serta menggunakan bahasa yang lunak sepanjang Ramadan sewaktu berceramah. Semoga kebaikan bulan Ramadan yang diamalkan dapat diteruskan sebaiknya selepas itu, katanya. http://mimpi-senja.blogspot.com/2012/07/sebuah-negeri-yang-kaya-raya-pesat.html |
You are subscribed to email updates from BlogList Malaysia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan