Selasa, 28 Ogos 2012

:: @ AL-BAKISTANI @ ::

:: @ AL-BAKISTANI @ ::


[WACARA RANG UNDANG-UNDANG HUDUD KELANTAN 2] MOHSAN DAN GHAIR MOHSAN

Posted: 28 Aug 2012 12:30 PM PDT


BAB DUA : MUHSON DAN GHAIR AL-MUHSAN

Dalam Rang Undang-Undang Hudud Kelantan, dalam klausa 10(2) menyatakan;
            'jika pesalah itu (zina) sudah berkahwin dengan sah dan telah menikmati persetubuhan dalam perkahwinan itu, maka pesalah itu dinamakan 'mohsan' tetapi apabila pesalah itu belum berkahwin atau sudah berkahwin tetapi belum merasai nikmat persetubuhan dalam perkahwinan itu maka pesalah itu dinamakan 'ghairu mohsan''.

Jika diperhatikan, didapati definisi ini saling tidak tumpah dengan maksud definisi yang diambil dari kitab Qanun Jenayah Syar'iyyah, tulisan Bekas Mufti Sabah, iaitu Haji Sa'id Haji Ibrahim. Dalam kitab tersebut menyatakan;

"Zina Muhsan, iaitu lelaki atau perempuan yang telah pernah melakukan persetubuhan halal (Sudah berkahwin)"

"Zina Ghairu Muhsan, iaitu lelaki dan perempuan yang belum pernah melakukan persetubuhan yang halal (belum pernah berkahwin)" (hlmn 27[1])

Walaubagaimanapun, dari klausa ini, kita dapati adalah seperti berikut;

Mohsan adalah:
1-      orang yang sudah berkahwin.
2-      Pernah merasai jimak yang sah. 

Adapun ghairu mohsan pula adalah:
1-      Zina bagi orang yang belum berkahwin;
2-      atau pernah berkahwin tapi tidak pernah melakukan jimak dalam perkahwinan itu.

Dalam klausa 11(1) Rang undang-undang hudud itu pula menyatakan;
 'jika pesalah yang melakukan zina itu mohsan, maka pesalah itu hendaklah dihukum dengan hukum rejam, iaitu dilontar dengan batu yang sederhana besarnya sehingga mati'

Dalam kluasa 11 (2) pula menyatakan;

 'Jika pesalah yang melakukan zina itu ghairu mohsan, maka pesalah itu hendaklah dihukum dengan hukuman sebat sebanyak seratus kali sebatan dan sebagai tambahan hendaklah dipenjara selama setahun'

Kita tidak nafikan, ini adalah definisi dalam kitab-kitab fiqh, tetapi sewajarnya ia tidak diambil secara literal atau copy paste tanpa diperbincangan secara mendalam, lalu diberikan satu definisi yang lebih tepat dan adil.

Melihat kepada definisi mohsan, timbul perbincangan beberapa persoalan, antaranya adalah;

1-      Bagaimana pula jika penzina itu adalah duda atau janda?
2-      Bagaimana jika penzina itu seorang perempuan yang ditinggalkan suami lebih jangka yang sepatutnya?

Jika merujuk kepada definisi Rang undang-undang hudud kelantan, mereka ini termasuk dibawah muhsan, makanya mereka akan dikenakan hukuman rejam.

Namun begitu, jika kita merujuk kepada perbincangan dikalangan fuqaha' kontemporer; antaranya menurut Rashid Ridha, tentang maksud muhsan, kita akan dapati ada sikit perbincangan yang menarik.

Menurut Rashid Ridha, yang dikatakan mohsan itu adalah orang yang berkahwin. Apabila bercerai, maka orang itu sudah tidak boleh lagi disebut sebagai mohsan. Ia membandingkan dengan orang yang bermusafir. Apabila seorang pemusafir kembali dari permusafirannya, maka orang itu tidak boleh lagi dikira sebagai musafir, sepertimana orang sakit yang telah sembuh, tidak boleh digelar sebagai pesakit lagi.  (Tafsir al-Manar, jld 5, hlmn 21)

لِأَنَّهُمْ يَعُدُّونَ مَنْ تَزَوَّجَتْ مُحْصَنَةً بِالزَّوَاجِ وَإِنْ آمَتْ بِطَلَاقٍ، أَوْ مَوْتِ زَوْجِهَا، وَالْوَصْفُ لَا يُفِيدُ ذَلِكَ فَإِنَّ الْمُحْصَنَةَ بِالزَّوَاجِ هِيَ الَّتِي لَهَا زَوْجَ يُحْصِنُهَا، فَإِذَا فَارَقَهَا لَا تُسَمَّى مُحْصَنَةً بِالزَّوَاجِ كَمَا أَنَّهَا لَا تُسَمَّى مُتَزَوِّجَةً، كَذَلِكَ الْمُسَافِرُ إِذَا عَادَ مِنْ سَفَرِهِ لَا يُسَمَّى مُسَافِرًا، وَالْمَرِيضُ إِذَا بَرِئَ لَا يُسَمَّى مَرِيضًا

Imam Abu zuhrah pula menyatakan bahawa tiada nas yang saheh yang boleh menentukan sama ada seorang perempuan yang telah diceraikan atau lelaki yang isterinya sudah meninggal harus dikelaskan dibawah mohsan. Pada Abu Zuhrah, seorang yang mohsan adalah seorang yang dilindungi dalam berkaitan wanita, oleh suaminya dan jika terdapat perceraian, dia bukan lagi muhsanah sepertimana dia juga bukan seorang mutazawwijah, ataupun seorang perempuan berkahwin.  (al-Jarimah wa al-Uqubat fi al-Fiqh al-Islami, hlmn 101 - 102)

ANTARA TUJUAN PERNIKAHAN CEGAH ZINA

Antara kandungan maqasid disebalik pensyariatan pernikahan adalah mencegah dari kerosakan sistem kekeluargaan. Ia boleh menjadi rosak dengan berlakunya zina. Ekoran itu, Allah SWT menyatakan dalam al-Quran;

وَمِنْ آَيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُمْ مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُمْ مَوَدَّةً وَرَحْمَةً

Maksudnya;
                "Daripada tanda-tanda kekuasaan -Nya bahawa Dia menciptakan kamu dari diri kamu sendiri pasang-pasangan hidup, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya. Dijadikan diantara kamu kasih dan sayang" (Surah al-Rum, ayat 21)

Dalam ayat ini, Allah SWT menyatakan tujuan perkahwinan itu sendiri adalah "li taskunu", iaitu kecenderungan dan merasa tenteram. Ulama-ulama Tafsir memberi maksud bagi "li taskunu" itu adalah kecenderungan hati. Sedangkan maksud dengan "mawaddah" itu adalah, kasih dengan persetubuhan, dan "Rahmah" pula adalah sayang dengan mendapat anak" (al-Tafsir al-Kabir, Imam Fakr al-Din al-Razi, jld 12, hlmn 225)

Dan lagi, jika diperhatikan dari sudut perbahasan kitab-kitab fiqh, faktor perkahwinan menjadi wajib adalah, apabila tidak berkahwin itu boleh membawa kepada zina. Perkara ini ditegaskan dalam mazhab Maliki[2], Hanafi[3], Syafie[4] dan Hanbali[5].

Dengan ini, dapat difahami bahawa antara tujuan terpenting bagi perkahwinan adalah mencegah diri manusia dari kecenderungan kepada persetubuhan secara haram. Perkara ini amat sesuai dengan satu sabda Nabi SAW;

يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنْ اسْتَطَاعَ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ

Maksudnya;
                "Wahai para pemuda, barangsiapa dikalangan kamu yang ada kemampuan, maka hendaklah dia berkahwin, kerana ia dapat menundukkan pandangan dan dapat menyelamatkan bagi kemaluan (dari zina)" (al-Bukhari, hadis no : 4678)

Namun begitu, dalam beberapa keadaan berlaku, iaitu ada orang yang sudah berkahwin, lalu ia bercerai atau berlaku kematian atau ditinggalkan suami secara tidak bertanggungjawab. Dengan maksud, punca untuk menyelamatkan kecenderungan mereka kepada zina sudah tiada. Dengan maksud, kecenderungan mereka zina lebih mendesak. Makanya dikenakan hukuman rejam kepada mereka ini amat tidak sesuai dengan kandungan syariat itu yang bersifat ihsan.

Oleh itu, Jika dilihat dari kerangka itu, sudah pasti pendefisian muhsan dari rangka Rang undang-undang hudud kelantan ini menyalahi konsep ihsan. Ini kerana, pengawalan kehendak hawa nafsu bagi mereka yang pernah merasai persetubuhan berbeda dengan mereka yang tidak pernah bersetubuh langsung. Dengan maksud, kecenderungan untuk melakukan seks itu lebih kuat berbanding mereka yang tidak pernah melakukan hubungan seks.  

KESIMPULAN

Jika dilihat dari sudut rang undang-undang hudud kelantan pun, orang yang berzina, kemudian berzina buat kali kedua, dia juga dikira sebagai gharu mohsin. Makanya ia dikenakan hukuman sebat. Tetapi orang yang sudah berkahwin, lalu bersetubuh dan kemudiannya bercerai; kemudian berzina dikenakan hukuman lebih berat, iaitu rejam.

Melihat ini, sudah nampak kekalutan sikit dari sudut ihsan jika dirujuk pada Rang undang-undang hudud kelantan.  Ini kerana, ruang zina itu lebih terbuka berbanding ruang pernikahan.

Makanya adalah lebih relevan dirujuk kepada kupasan Abu Zuhrah dan Rashid Ridha dalam hal ini. Lebih-lebih lagi, ia amat bersesuaian dengan maksud mohsan itu sendiri dari sudut falsafahnya, iaitu seseorang yang telah menikmati keindahan alam perkahwinan, dia lebih terdorong untuk menjaga dan melindungi ikatan perkahwinan tersebut.

Melihat kepada perkara ini, dicadangkan kepada para ilmuan Islam di Malaysia – Khususnya dari PAS – bahawa diberikan pendefinisian yang lebih tepat yang  terkandung maksud adil dan ihsan dalam Rang Undang-Undang Hudud kelantan.

Bersambung dalam bab lain.... (smile, peace .... :D)


Wallahu 'Alam.


[1] Dalam kitab tersebut dinyatakan bahawa rujukan kedua-dua definisi ini adalah dari kitab kifayah al-Akhyar, jld 2, hlmn 178.
[2] المالكية - قالوا: يفترض النكاح على من له رغبة فيه ويخشى على نفسه الزنا إذا لم يتزوج ولم يستطع كف نفسه بالصيام
[3] الحنفية - قالوا: يكون الزواج فرضاً بشروط أربعة: الأول أن يتيقن الشخص الوقوع في الزنا إذا لم يتزوج

[4] الشافعية - قالوا: الأصل في النكاح الإباحة فيباح للشخص أن يتزوج بقصد التلذذ والاستمتاع فإذا نوى به العفة أو الحصول على ولد فإنه يستحب. ويجب النكاح إذا تعين لدفع محرم كما إذا خافت المرأة على نفسها من فاجر لا يصده عنها إلا التزوج فإنها يجب عليها أن تتزوج
[5] الحنابلة - قالوا: يفترض النكاح على من يخاف الزنا إذا لم يتزوج ولو ظناً سواءً أكان رجلاً أم امرأة

[WACANA RANG HUDUD KELANTAN] IJTIHAD DALAM PERLAKSANAAN

Posted: 28 Aug 2012 10:56 AM PDT


BAB SATU : IJTIHAD TANZILI

Sebelum Kita mulakan isu perlaksanaan Rang undang-undang hudud kelantan, perlu diperjelaskan dahulu tentang pembahagian hukum itu sendiri. Sesuatu hukum itu perlu dilihat dari dua sudut, iaitu tasyrik dan tanzili.

TASYRIK

Dari segi tasyrik atau pensyariatannya, semua kandungan syariah telah sempurna. 

Firman Allah;

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا

Maksudnya:
"hari ini, telah aku sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan aku cukupkan bagimu nikmatku, dan aku redha Islam sebagai agama"[Al-Maidah : 3]

TANZIL

Ada satu lagi yang perlu diperhatikan tentang hukum ini adalah dari sudut tanzil atau perlaksanaan. Disamping perbincangan tentang ijtihad fi Fahm al-Nusus (ijtihad dalam memahami nas), tidak boleh diabai satu lagi ijtihad yang disebut oleh al-Ijtihad al-Tanzili, iaitu ijtihad dalam perlaksanaan.

Ijtihad fi at-Tatbiq atau al-tanzili adalah "al-Ijra' al-amali atau proses amali  terhadap perkara yang telah terhasil atas tahap kefahaman yang nyata bagi hukum-hukum syarak (untuk diadaptasikan) terhadap reality sesuatu perbuatan" (Fi al-Ijtihad al-Tanzili, hlmn 19)

Menurut Dr Basyir, perbincangan tentang tanfiz dalam kitab-kitab usul amat berkurangan. Sekiranya wujud perbincangan pun, ia sekadar perbincangan yang sedikit, juga bersifat mujmal atau tidak terperinci. Ekoran itu, ada sebilangan ulama menyatakan bahawa orang yang mula-mula membicarakan perkara ini secara bersungguh-sungguh adalah Al-Imam Abu Ishaq As-Syatibi menerusi kitab beliau yang masyhur, iaitu al-Muwafaqat.

Buktinya adalah seperti termaktub dalam kitab al-Muwafaqat dengan katanya, "tujuan disebalik dalil-dalil adalah diselaraskan perbuatan mukallaf mengikut kadarnya" (al-Muwafaqat, jld 3, hlmn 23)

Menurut Dr Bashir lagi, antara ulama terkemudian yang membicarakan perkara ini secara bersungguh-sungguh adalah Dr Muhammad Fathi al-Duraini. (al-Ijtihad al-Tanzili, hlmn 22)

Dalil-dalil ijtihad Tanzili;

Dalil pertama:

Sabda Nabi SAW;

قَدْ كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ فَقَدْ أُذِنَ لِمُحَمَّدٍ فِي زِيَارَةِ قَبْرِ أُمِّهِ فَزُورُوهَا فَإِنَّهَا تُذَكِّرُ الْآخِرَةَ

maksudnya;
                "aku pernah menghalang kamu dari menziarahi kubur. Lalu sesungguhnya telah diizinkan kepada Muhammad untuk menziarahi kubur ibunya, maka ziarahilah, kerana ia boleh menyebabkan mengingati akhirat"(al-Tirmizi, hadis no : 974)

Dari sudut tasyrik, harus ziarah kubur. Tetapi dari sudut tanzil, di awal-awal Islam, Nabi SAW melarang ziarah kubur. Kerana, mengenangkan sahabat yang baru sahaja dengan keimanan, budaya jahiliyyah (niyahah atau meratap) akan dilakukan sesama di kubur.

Dalil kedua;

Nabi SAW pernah maklumkan kepada Aisyah bahawa Kaabah tidak berada ditapaknya yang tepat. Baginda SAW ingin ubahnya, tetapi tidak dilakukan waima telah menguasai makkah. Itu menyebabkan Aisyah bertanya. Nabi SAW menjawab;

لَوْلَا حِدْثَانُ قَوْمِكِ بِالْكُفْرِ لَفَعَلْتُ

Maksudnya;
"kalau la tidak umat kamu baru sahaja meninggalkan kekufuran, sudah pasti aku lakukannya" (Muwatta', hadis no : 710)

Dari sudut tasyrik adalah meletakkan tapak itu pada tapaknya yang tepat. Tetapi dari sudut tanzili, nabi tangguhkan dahulu.

Dalil ketiga:

Abdul Malik, iaitu anak Umar bin Abdul Aziz bertanya kepada ayahnya bahawa tindakan bapanya yang tidak terus menukarkan beberapa perkara dalam pemerintahan agar total sesuai dengan Islam. Mendengar pertanyaan anaknya itu, Umar bin Abdul Aziz berkata;

لَا تَعْجَلْ يَا بُنَيَّ، فَإِنَّ اللَّهَ ذَمَّ الْخَمْرَ فِي الْقُرْآنِ مَرَّتَيْنِ، وَحَرَّمَهَا فِي الثَّالِثَةِ، وَإِنَّى أَخَافُ أَنْ أَحْمِلَ الْحَقَّ عَلَى النَّاسِ جُمْلَةً، فَيَدْفَعُوهُ جملة، ويكون من ذا فتنة

Maksudnya:
"jangan kamu gopoh wahai anakku, sesungguhnya Allah haramkan arak dalam Quran sebanyak dua kali, dan haramkannya pada kali ketiga. Aku bimbang melaksanakan Islam secara total, maka akan ditolak oleh rakyat secara total. Maka itu adalah fitnah" (al-Muwafaqat, jld 2, hlmn 148)

Arak itu sendiri, pengharamannya wujud semenjak awal lagi, iaitu dalam taurat dan injil. Tetapi, diharamkan secara bertahap-tahap kerana faktor tanzili.

Nyata dari sini, bahawa hukum itu sendiri terbahagi kepada dua; tasyrik dan tanzili. 

FATWA ULAMA BERSIFAT TANFIZ

Di sini dipaparkan beberapa fatwa ulama-ulama muktabar yang dapat dibedakan antara perkara tasyrik dan perkara tanzili. Antaranya adalah seperti berikut;

IMAM HANAFI

Beliau pernah mengizinkan orang farsi membaca fatihah dalam bahasa farsi ketika awal mereka memeluk Islam. (al-Siyasah al-Syariyyah, Qaradawi, hlmn 193)

IMAM MALIK

Dalam salah satu fatwa beliau, boleh bunuh kambing yang boleh merosakkan tumbuh-tumbuhan kepunyaan orang awam tanpa wajib diganti balik, walhal hukum asal, wajib ganti balik apabila merosakan binatang orang tanpa izin. (al-Mudawwinah, jld 5, hlmn 440)

IMAM AS-SYATIBI

Beliau pernah menfatwakan bahawa boleh penjarakan orang yang disyaki (yang kuat) melakukan sesuatu jenayah, walhal dlm syariah, asal adalah seseorang itu bebas dari sebarang kesalahan. (al-I'tisam, jld 2, hlmn 323)

IMAM AL-IZZ BIN ABDIS SALAM

Pada beliau, perlu dilantik orang kurang fasiq daripada dua orang fasiq untuk jawatan pemerintah dikala tiada orang fasiq. Walhal, dlm nas dilarang melantik pemerintah fasiq[1]. (Qawaid al-Ahkam Fi Masalih al-Anam, jld 1, hlmn 9)

UMAR BIN AL-KHATTAB

Dalam pemerintahan, beliau pernah melarang kawin dengan ahli kitab, walhal nas mengizinkan perkara ini. (al-Tahlil al-Maqasidi, hlmn 141)

Firman Allah :

الْيَوْمَ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ وَطَعَامُ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ حِلٌّ لَكُمْ وَطَعَامُكُمْ حِلٌّ لَهُمْ وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ الْمُؤْمِنَاتِ وَالْمُحْصَنَاتُ مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلِكُمْ إِذَا آَتَيْتُمُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ مُحْصِنِينَ غَيْرَ مُسَافِحِينَ وَلَا مُتَّخِذِي أَخْدَانٍ

Maksudnya;
                "Pada hari ini dihalalkan bagimu yang baik-baik. Makanan (sembelihan) orang-orang yang diberi Al Kitab itu halal bagimu, dan makanan kamu halal (pula) bagi mereka. (Dan dihalalkan mangawini) wanita yang menjaga kehormatan[402]diantara wanita-wanita yang beriman dan wanita-wanita yang menjaga kehormatan di antara orang-orang yang diberi Al Kitab sebelum kamu, bila kamu telah membayar mas kawin mereka dengan maksud menikahinya, tidak dengan maksud berzina dan tidak (pula) menjadikannya gundik-gundik" [Al-Maidah : 5]

IMAM HANBALI

Ibnu rajab Hanbali berpendapat bahawa boleh sembelih kambing yang hampir mati kerana hendak menjaga harta dari membazir, walhal sembelih kambing kepunyaan orang lain adalah haram. (al-Qawaid, hlmn 227)

Begitujuga, Ibnu qayyim menyatakan larangan  melaksanakan hudud kepada pemaksiat ketika sedang berlaku peperangan. ('Ilam al-Muwaqqiin, jld 3, hlmn 115)

KESIMPULAN

Hukuman-hukuman yang terkandung dalam hudud, dari sudut tasyrikh atau pensyariatannya adalah wajib diterima secara qatie tanpa pertikaian lagi. Namun, dalam kerangka demokrasi, ia perlu dibukukan dalam satu bentuk bertulisan untuk dijadikan rujukan oleh hakim dan peguam-peguam yang berhujjah dalam menentukan sesuatu hukuman atau kesalahan. 

Makanya, apabila ia di enakmenkan atau ditaqninkan, sudah pasti ia tertakluk kepada pendapat-pendapat fuqaha'. Makanya ia tidak lepas dari ijtihadi. Apabila ia sudah jadi ijtihadi,  ia semestinya bersifat boleh dikritik, dan sudah pasti terdapat unsur tepat atau tidak tepat, sesuai atau tidak sesuai; apakah perlu disegerakan, atau tidak. Semua ini perlu diperhalusi agar perlaksanaan itu sememangnya mendatangkan kebaikan lebih banyak berbanding keburukan.

Dalam perlaksanaan, jika boleh mendatangkan keburukan lebih banyak berbanding kebaikan, adalah wajar ia ditangguhkan terlebih dahulu dan dibaik-pulih sehingga ternyata ia berjaya dilaksanakan dengan jayanya.


[1] Imam Al-Qurtubi menyatakan;

لأنه لا خلاف بين الأمة أنه لا يجوز أن تعقد الإمامة لفاسق

Maksudnya;
                "Tiada khilaf dikalangan umat bahawa tidak harus melantik pemimpin yang fasiq" [al-jami' al quran : 1/101]

Ini kerana, antara faktor asasi melantik pemerintah adalah untuk menghapuskan kezaliman dari tersebar. Pemerintah yang fasiq, tidak mungkin mampu menghapuskan kezaliman.

Firman Allah SWT;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا

Maksudnya;
                "Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu orang fasiq dengan berita, maka hendaklah kamu siasat"
[Al-Hujurat : 6]

Dalam menafsirkan ayat ini, Imam Quddamah menyatakan dalam kitab Al-Mughni;

وَلَا يَجُوزُ أَنْ يَكُونَ الْحَاكِمُ مِمَّنْ لَا يُقْبَلُ قَوْلُهُ ، وَيَجِبُ التَّبَيُّنُ عِنْدَ حُكْمِهِ ؛ وَلِأَنَّ الْفَاسِقَ لَا يَجُوزُ أَنْ يَكُونَ شَاهِدًا ، فَلِئَلَّا يَكُونَ قَاضِيًا أَوْلَى

Maksudnya;
                "tidak harus bahawa seseorang hakim itu dilantik dari kalangan orang yang perkataannya tidak didengari. Wajib mendapat pembuktian dari perkataannya. Ini kerana, orang yang fasiq itu tidak harus menjadi saksi. Maka terlebih utama tidak boleh menjadi qadhi" [Al-Mughni : 22/454]

[NAIL AL-AWTAR 4] SAHABAT HORMATI NABI

Posted: 27 Aug 2012 05:10 PM PDT


Dari huzaifah bin al-Yaman ; sesungguhnya Rasulullah saw berjumpanya dalam keadaan dia‏ ‏sedang berjunub. Dia pun mengelak dari berjumpa dengan baginda. Kemudian dia mandi lalu datang kepada baginda. Lalu berkata, aku tadi berjunub. Lalu baginda saw menjawab, 'sesungguhnya orang islam itu tidak bernajis' (riwayatkannya jemaah kecuali bukhari dan tirmizi)

1- orang islam tidak bernajis

hadis ini membuktikan bahawa orang islam tidak bernajis, sama ada berjunub atau tidak. Makanya, bekasan air orang berjunub tidak boleh dikira sebagai air najis.

Disamping hujjahnya dengan hadis huzaifah ini, ia seiras dengan hadis Abu Hurairah yang mengelak berjumpa dengan Rasululllah saw dalam keadaan sedang berjunub.

Hadis ini juga menjadi dalil bahawa orang islam tidak najis, sama ada hidup atau mati. Cuma ada sebilangan ulama berpendapat bahawa orang muslim yang mati dikira sebagai najis juga. Pendapat ini didokong oleh Abu Hanifah, dan dua tokoh dari ahl bait, iaitu al-hadi dan al-Qasim. Alasan yang digunakan mereka adalah di zaman salaf berlaku satu kejadian seorang lelaki habsyah mati terjatuh dalam telaga zam zam. Lalu dibuang sebilangan air telaga zam zam ekoran untuk membersihkan air tersebut.

2-  najiskah orang kafir?

Orang kafir tidak dikira sebagai najis. Ini kerana, terdapat banyak nas-nas hadis yang menyatakan bahawa orang kafir yang disentuh oleh nabi seperti bersalaman, bahawa nabi saw tidak membasuh tangannya.

Disamping itu juga, ada beberapa kejadian bahawa nabi saw mengikat sumamah bin usal dalam masjid.

Namun begitu, ada sebilangan ahli zahir, al-hadi dan al-qasim dari ahl bait dan malik berpendapat bahawa orang kafir itu adalah najis. Mereka beralasan dengan zahir ayat al-Quran bahawa Allah SWT berkata, 'sesungguhnya orang kafir itu adalah najis'.

Namun begitu, pendapat ini dibangkang oleh jumhur ulama dengan menyatakan bahawa najis yang dimaksudkan dalam ayat al-Quran adalah kenajisan aqidah, bukan badan mereka itu adalah najis. Juga diihtimalkan maksudnya adalah tidak terjaga mereka dari najis, seperti anjing dan babi.

3- bekas makanan orang kafir

bekas makanan orang kafir adalah suci selama bekas itu tidak terkena najis, seperti bekas minuman arak dan makan babi.

Adapun bekas itu tidak terlibat dengan perkara najis, maka ia dikira sebagai suci. Ini disandarkan banyak dalil, antaranya adalah nabi saw pernah berwudu menggunakan bekas orang kafir, nabi saw ikat sumamah bin usal dalam masjid ketika dia masih lagi musyrik, nabi saw makan kambing yang dihadiah oleh yahudi, nabi saw makan keju yang diambil dari negara nasrani dan banyak lagi.

4- hormat orang mulia

dalam hadis ini, kita dapati bagaimana para sahabat menghormati Nabi saw. Walaupun soal junub ini adalah perkara yang tidak nampak dilihat, mereka tetap tidak berjumpa dengan nabi dalam keadaan mereka berjunub.

Perbuatan berjumpa dalam keadaan berjunub bukanlah perbuatan yang haram, tetapi tindakan itu dikira sebagai beradab dengan nabi saw.

Wallahu 'Alam

(nail al-awtar, jld 1, hlmn 20 - 22)

HUDUD ATAU KALAHKAN BN?

Posted: 27 Aug 2012 04:38 PM PDT


-1-

Terbentuk sesebuah kerajaan islam itu bukan dengan usaha kita mahu laksanakan hudud, tetapi apabila kita berusaha hendak memberi hak kepada orang yang berhak.

Dalam satu wacana al-syariah wa al-hayah,  al-Qaradawi menyatakan bahawa adil itu merujuk kepada satu sabda Nabi SAW;
 'berikan hak kepada mereka yang berhak' (al-Bukhari, hadis 5674)

Al-Quran sendiri ada menyatakan,
 'Apabila datang pertolongan dan kemenangan, kamu akan lihat orang masuk kepada Islam beramai-ramai' (surah al-Nasr, ayat 1-2)

Dengan maksud, kemenangan itu tertakluk dengan pertolongan. Pertolongan akan tercapai apabila umat itu melaksanakan keadilan.

Ibn Taimiyyah menyatakan dalam kitab al-hisbah;
 'sesungguhnya Allah tolong negara yang adil, waima ia kafir sekalipun' (hlmn 4)

Perkataan ibn Taimiyah ini selaras dengan firman Allah;
'Sesungguhnya Allah tidak akan membinasakan ahli sebuah kerajaan secara zalim dalam keadaan rakyatnya saling melakukan islah atau pembaik pulih' (surah Hud, ayat 117)

al-Qaradawi menyatakan;
 'iaitu Allah tidak akan membinasakan mereka dengan semata-mata mereka musyrik apabila mereka saling melakukan pembaik pulih sesama mereka' (daur al-qiyam wa al-akhlak fi al-iqtisad al-islami, hlmn 356)

Dengan nyata bahawa kemenangan islam bukan terletak kepada usaha perlaksanaan syariat, tetapi usaha melaksanakan keadilan setahap kemampuan boleh. Adapun perlaksanaan syariat itu terhasil apabila mendapat kerajaan. Kerajaan itu tercapai dengan hadiah dari Allah SWT. 

Firman Allah;
'katakanlah muhammad kepunyaan Allah segala kerajaan. Dia akan berikan kepada siapa yang dia mahu' (surah al-imran, ayat 26)

Dengan ertikata yang lain, kita akan berjaya melaksanakan syariat apabila sebelum itu kita berusaha melaksanakan keadilan. Apabila usaha mencapai keadilan itu dilakukan, ketika itu mendapat hadiah dari Allah, iaitu pemerintahan Islam. Dengan pemerintahan itu, terlaksananya syariat.

- 2 –

UMNO memerintah Malaysia sejak sekian lama. Perbedaan antara pas dan umno, bukan kerana pas mahu hudud dan UMNO tak mahu hudud, tetapi lebih besar itu adalah UMNO tidak melaksanakan keadilan, malahan kezaliman itu telah mendominasi kerajaan dengan penyelewengan harta rakyat, rasuah, ISA, dasar pemerintahan yang tidak berasaskan kepada keadilan.

Pas yang tidak melaksanakan hudud tidak mengurangkan status pas sebagai gerakan Islam, seperti tidak terhapus statusnya jahat UMNO apabila mereka sudah ada ulama muda UMNO; sudah bercakap soal maqasid syariah dan sebagainya. 

Namun begitu, ia bukan bermaksud hudud itu perlu diabaikan terus, sebaliknya perlu difikirkan agenda yang lebih besar dari hudud. Ia bukan bermakna hudud itu kecil, tetapi memikirkan yang lebih besar dan ternyata diterima rakyat, seperti soal dasar ekonomi negara yang membebankan rakyat, makanya pas perlu mencadangkan dasar ekonomi berasaskan kepada Islam; dasar pendidikan yang menjumudkan daya berfikir, makanya pas perlu mencadangkan dasar pendidikan yang benar-benar boleh melahirkan manusia berdaya saing dalam medan ilmu, seperti menjadi setahap al-qaradawi, al-raisuni dan sebagainya.

Disamping itu pula, didapati dalam rang undang-undang hudud kelantan yang dicadangkan mempunyai banyak kelemahan, iaitu apabila kita tengok klausa-klausa rang undang-undang, seperti pendefisian muhsan, hukuman bunuh bagi orang murtad, kesalahan mencuri jika melibatkan orang bukan islam yang tidak sama dengan hukuman orang islam,  hukum rejam bagi penzina dan sebagainya. Yang ini jika dilihat dalam perbincangan kitab-kitab fiqh mazhab dan ulama kontemporer sebagai syaikh muhammad al-Ghazali dan Abu Zuhrah, pasti kita dapat melihat betapa perlunya diwujudkan wacana segar dalam beberapa klausa dalam rang tersebut. Perkara ini perlu diselesaikan di kalangan ilmuan-ilmuan dalam dan di luar pas untuk diselesaikan dengan jitu.

- 3 -

politik islam memang tidak boleh lepas dari dakwah. Namun begitu, melihat hanya dakwah sahaja fokus politik islam adalah satu kelemahan dalam memahami politik islam itu sendiri.

Kalau mengikut al-Qaradawi dalam kitab siyasah syariiyyah, politik islam itu didefinisikan sebagai 'melaksanakan sesuatu perkara dengan apa yang dapat memberi kemaslahatan kepada rakyat' (hlmn 29‏(‏

Jika dilihat dalam kerangka politik Malaysia, disamping tugas dakwah yang perlu dibuat oleh pas, tapi yang penting juga dilakukan adalah bagaimana hendak mengurangkan kemudharatan terhadap pengkhinatan terhadap amanah rakyat. 

Melihat politik dalam kerangka dakwah sahaja, tanpa memikirkan usaha hendak mengurangkan pengkhianatan terhadap amanah rakyat adalah sama sepertimana yang diperjuangkan oleh gerakan yang lain, seperti JIM, ABIM, Tabligh dan sebagainya.

Dengan menfokuskan tugasan dakwah, disamping gagal mengalahkan UMNO/BN yang menjarah amanah rakyat merupakan kedunguan tahap maksima terhadap pemahaman politik islam dalam kerangka malaysia. 

Perkara senang sebegini mudah difahami tanpa mendapat tarbiah ikhwan yang begitu lambat nak menang jika dilihat mereka sejak ditubuhkan. Mereka tubuh awal, tetapi lambat memerintah berbanding pas yang lambat tubuh, tapi dah memerintah di beberapa n

- 4 - 

Melihat politik dengan merujuk kepada nas secara sawabit adalah satu perkara yang silap. Ini kerana, sifat politik itu sendiri adalah mutaghayyirat. 

Jika melihat politik itu secara sawabit, maka lahirlah fikrah-fikrah jumud seperti Hizbut Tahrir yang mengharamkan demokrasi secara mutlak dan fikrah Ulama Muda UMNO yang haramkan tegur pemimpin negara secara terbuka.

Kerangka politik adalah sebagai mekanisma sahaja. Yang paling penting adalah, bagaimana hendak memberi kemaslahatan kepada rakyat seperti yang diredhai oleh Allah.

Kalau dibaca kerangka politik secara sawabit, keterlibatan pas dalam demokrasi itu sendiri sudah salah. Seharusnya bukan demokrasi pilihan pas, tetapi perang. Ini kerana, dalam nas tidak dinyatakan tentang demokrasi, tetapi ayat yang menceritakan perang cukup banyak.

Namun begitu, soal perang dalam nas bersifat politik. Makanya, ia tertakluk dengan tujuan, iaitu  agar tidak mendatangkan fitnah.

Firman Allah;

'perangilah mereka hingga tidak berlaku fitnah' (surah al-Baqarah, ayat 193)

di malaysia, perang bukan untuk mengelak fitnah, sebaliknya berperang itu sendiri boleh mewujudkan fitnah. Makanya, bagi hendak mengelak fitnah, di malaysia menggunakan pilihanraya, demokrasi dan sebagainya.

- 5 –

jika kita melihat konsep ilahi ini, kita akan nampak banyak kebijakan untuk diadaptasikan untuk zaman kemudiannya.

Kita tidak nafikan bahawa nabi saw tidak memilih untuk menjadi raja, walaupun ditawar. Tetapi, ia tidak diterima oleh Nabi saw ekoran penerimaan itu bersyarat bahawa baginda mesti  tidak menghalang apa yang telah diamalkan oleh jahiliah. Ia sama seperti pas gabung dengan UMNO, maka ISA kekal wujud, pengurusan balak dikuasai oleh parti bukan dibahagikan kepada orang yang layak diteruskan, dasar ekonomi BN tetap berjalan seperti biasa. 

Namun Nabi saw tetap bertegas. Ini kerana, ia bukan isu tidak mahu jawatan, tetapi bagaimana hendak menggantikan dasar sedia ada dengan dasar yang mahu dibawah oleh Nabi.

Jika beralasan bahawa nabi saw tidak boleh mencela sembah-sembahan selain Allah, sudah pasti dakwaan itu tersasar dengan firman Allah;
'jangan kamu cela sembah-sembahan selain dari Allah, bimbangnya mereka mencela Allah dengan permusuhan dan tanpa ilmu' (surah al-An'am, ayat 108)

jika dibaca dalam kitab tafsir, kita akan dapati bahawa ayat ini diturunkan ekoran celaan Nabi muhamad saw terhadap sembahan terhadap tuhan-tuhan orang musyrik. Keadaan itu sehinggakan mereka berkata kepada nabi, 'wahai muhammad, sama ada kamu berhenti dari cela tuhan kami atau kamu cela tuhan kamu' Ekoran dari perkataan itu, menyebabkan Allah SWT turunkan ayat ini. (dari Ibn Abbas, Ibn Kathir, jld 3, hlmn 314)

yang pastinya, keadaan ketika nabi ditawarkan itu, nabi saw sudah mendapat satu lesen besar, iaitu himayah atau penjagaan dari bapa saudaranya, iaitu Abu Talib. Makanya tidak hairan Baginda saw menolak tawaran tersebut disamping menerima tawaran menjadi raja itu sebenarnya menawarkan kegagalan dalam menukar sistem yang sedia diamalkan oleh quraish pada ketika itu.

- 6 – 

semua kandungan sumber islam itu, sama ada al-quran atau sunnah, ia mesti terkandung maqasid ammah, seperti keadilan, menolak kerosakan yang lebih besar dan sebagainya. Namun begitu, dalam beberapa hukum dalam syariah, ia ada maqasid khassah.

Perlaksanaan hudud mengandungi maqasid khassah, sedangkan disamping perlaksanaan hudud itu, perlu dilihat juga dari sudut maqasid umumnya, iaitu keadilannya.

Perlaksanaan hudud dalam keadaan wujud syubhat boleh menafikan keadilan, juga boleh mendatangkan kerosakan yang lebih besar. Makanya tidak hairan, Umar pada tahun kelaparan menangguhkan hukuman potong tangan. Ia kerana, maqasid ammah didahulukan berbanding maqasid khassah.

Jika di zaman umar, faktor lapar adalah syubhat. Tetapi di era ini, faktor kekeliruan yang dicipta oleh UMNO terhadap hudud yang telah diusahakan untuk difahamkan oleh pendakwah merupakan satu syubhat. Ini kerana, dengan kekeliruan tersebut, ia memberi implikasi boleh membawa kepada penolakan terhadap hukum Allah SWT itu sendiri. Jika ini terjadi, ia bercanggah dengan konsep bahawa sesuatu kebaikan yang hendak dilaksanakan boleh melahirkan keburukan yang lain. Ia seperti hendak menyelamatkan nyawa dari tercekik, maka diminum racun.

Tanpa dinafikan melaksanakan hudud itu satu kebaikan, tetapi dilaksanakan dikala boleh berlaku penolakan terhadap hukum Allah secara besar-besaran merupakan satu keburukan yang lebih besar berbanding kebaikannya.

Ia sama seperti yang diungkapkan oleh Umar bin abdul aziz, 'sesungguhnya aku bimbang laksanakan kebenaran secara total, makanya manusia menolaknya secara total. Itu merupakan fitnah' (al-Muwafaqat, jld 2, hlmn 148)

- 7 –

di kala ini, jika pas menyendiri, pas tidak akan berjaya melaksanakan hudud Jika pas bersama dengan UMNO pun, tiada jaminan pas nak laksanakan hudud. Begitujuga jika pas bersama dengan pkr dan dap. 

Namun, jika pas bersama dengan pkr dan dap, pas mempunyai peluang besar untuk membentuk politik segar, seperti penghapusan terhadap rasuah, penyelewengan harta rakyat, membaiki sistem kehakiman, memberikan hak demokrasi kepada rakyat, kebebasan media  dan sebagainya.

Adapun hudud, ia tidak sewajarnya menjadi punca kepada kegagalan membina budaya politik baru ini. Ia tidak sepatutnya menjadi seperti sejarah 2004 yang pas berpecah dengan dap atas nama BA ekoran isu negara islam. 

Ini kerana, yang paling penting kita adalah step by step atau tadarruj. Kita mulakan dengan budaya politik baru, iaitu dengan menjatuhkan regim BN. Setelah dapat budaya politik baru, baru kita berusaha melaksanakan apa yang kita cita-citakan.

Yang kita mahu sekarang, yang kejar kita dapat; yang kita kendong pun tak keciciran. Kalau tidak dapat isteri arab pun, dapat isteri  muka macam arab pun dah ok dah. (smileee. Peace…:D)

Wallahu 'Alam.

Tiada ulasan: