Ahad, 8 Julai 2012

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI


Rafizi: Najib bimbang tergugat ekoran pendedahan skandal LRT Ampang

Posted: 08 Jul 2012 07:43 AM PDT

Saya memandang berat tingkah laku pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang nampaknya lebih mementingkan kekuasaan UMNO/BN berbanding keselamatan rakyat.

Tindakan PDRM yang menolak mentah-mentah dari menyiasat campur tangan Najib Razak dalam anugerah kontrak kerja-kerja pembinaan tambahan LRT laluan Ampang (LRT) tetapi cepat-cepat menubuhkan pasukan khas kononnya menyiasat kebocoran maklumat sulit negara apabila dokumen tender mula diketahui umum, mengesahkan persepsi kebanyakan rakyat bahawa pimpinan PDRM meletakkan kepentingan UMNO/BN mengatasi segala-galanya.

Kenyataan Bakri Zinin semalam mengesahkan dua perkara:

1. Bahawa dokumen-dokumen Kementerian Kewangan termasuk minit yang ditandatangani oleh Najib Razak dan dokumen lain berkaitan tender tersebut adalah benar dan asli;

2. Bahawa Najib Razak (gambar kanan) bimbang skandal ini bakal menggugat kedudukan beliau apabila maklumat mengenainya tersebar luas.

Saya kesal dengan kenyataan Bakri Zinin kononnya kebocoran maklumat sebegini menjejaskan keselamatan dan kepentingan negara.

Apakah beliau tidak memahami bahaya kepada jutaan orang awam yang sedang dan bakal menggunakan sistem LRT laluan Ampang sekiranya sebuah syarikat yang langsung tidak ada pengalaman di dalam sistem LRT dianugerahkan kontrak ini?

Adakah beliau sendiri berani menaiki LRT sistem laluan Ampang saban hari ke tempat kerja sekiranya beliau sedar bahawa seluruh kerja-kerja pembinaan dikendalikan oleh sebuah syarikat yang hanya berpengalaman mengilang meter air?

Paling dikesali, pimpinan PDRM tidak pula bergegas mahu menyiasat kebocoran maklumat pertahanan negara apabila dokumen sulit mengenai strategi dan kekuatan pertahanan negara dijual kepada syarikat asing, seperti yang didedahkan di Mahkamah Perancis baru-baru ini.

Jelas sekali, kepimpinan PDRM berbeza pendapat dengan rakyat Malaysia mengenai makna sebenar "kepentingan awam".

Saya sedar tanggungjawab yang perlu kami galas dan risiko yang perlu dihadapi. Nyawa jutaan rakyat Malaysia yang menggunakan sistem LRT laluan Ampang adalah terlalu berharga dan perlu dipertahankan sehinggalah kontraktor yang layak dan berkemahiran dilantik bagi projek ini.

Sebarang usaha untuk menakut-nakutkan saya dan rakan-rakan dari terus membongkar skandal ini adalah sia-sia.

Saya akan meneruskan siri pendedahan seterusnya pada hari Isnin 9 Julai 2012 seperti biasa.  Malah, mulai minggu depan kami akan mula turun ke stesen-stesen LRT untuk mengedarkan risalah maklumat dan melancarkan kempen "Utamakan Keselamatan Rakyat" di seluruh LRT laluan Ampang.

*Kenyataan media oleh Mohd Rafizi Ramli (gambar kiri) selaku Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat.

Lim Guan Eng: Saya bukan Chua Soi Lek

Posted: 08 Jul 2012 07:41 AM PDT

Saya ingin mengecam sekeras-kerasnya mengenai cubaan membunuh karektor  peribadi yang dilakukan bukan sahaja terhadap diri saya tetapi juga terhadap isteri dan anak-anak saya oleh Barisan Nasional dan MCA.  Jelas BN mengamalkan politik kotor dengan cuba menjatuhkan pemimpin yang dipilih secara demokratik bahkan menyerang ahli-ahli keluarga yang tidak bersalah.  Sebelum ini anak saya yang berumur 15 tahun, yang masih di bawah umur, dituduh melakukan pencabulan seksual terhadap rakan wanita sekelasnya oleh laman web UMNO, iaitu UMNO Online serta Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin dan blog-blog pro-UMNO.

Gambar wanita yang kononnya menjadi mangsa anak saya tersiar di internet.  Mangsa wanita yang dikatakan itu telah dikenal pasti sebagai Anya Corke, juara catur dari Hong Kong yang tidak pernah langsung bertemu saya atau anak saya.  UMNO Online atau Khairy Jamaludin tidak pernah meminta maaf atas pembohongan mereka dan tidak ada apa-apa tindakan yang diambil oleh polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ke atas laporan polis yang difailkan oleh saya.  Sebaliknya, tindakan segera diambil hanya apabila terdapat kempen yang memburuk-burukkan pemimpin BN.

Setelah gagal untuk menghancurkan hidup anak saya dan gagal untuk menjejaskan saya, jentera media BN kini telah melaksanakan satu lagi kempen keji, kali ini melalui perbuatan memburukkan isteri saya melalui MCA.  Pengerusi MCA Melaka, Gan Tian Loo telah menyalahgunakan keistimewaan dan jaminan perlindungan di dalam Dewan Undangan Negeri Melaka dengan membuat dakwaan palsu mengenai skandal moral terhadap saya dan isteri di dalam dewan tersebut.  Saya mahu Gan untuk mengulangi tuduhan itu di luar supaya saya dan isteri boleh membuat saman fitnah kerana mengeluarkan kenyataan yang kurang ajar atau biadap itu.

Jika Gan tidak berani berbuat demikian, maka dia telah menunjukkan dirinya sebagai seorang yang pengecut dan tidak layak untuk menjadi seorang pemimpin, ahli EXCO dan wakil rakyat.  Lebih teruk lagi, dia akan menunjukkan dirinya sebagai orang yang tidak layak untuk menjadi suami dan bapa kepada anak-anaknya kerana sanggup membuat tuduhan palsu terhadap orang lain untuk menghancurkan bukan sahaja karier politik tetapi juga kebahagiaan rumah tangga orang lain. Apakah jenis pemimpin seperti Gan ini apabila dia sanggup dipergunakan sebagai orangsuruhan UMNO untuk bermain politik longkang itu?
Ulangi kenyataan di luar supaya saya dan isteri boleh buktikan di mahkamah bahawa Lim Guan Eng bukanlah seperti Chua Soi Lek.

DAP tidak pernah terlibat dalam politik longkang.  DAP tidak pernah menyalahgunakan keistimewaan dan prosiding Parlimen untuk menyerang Presiden MCA Chua Soi Lek atas salah laku peribadi apabila terdedah video lucah beliau dengan seorang wanita yang bukan isterinya.  Sebaliknya serangan terhadap Soi Lek dibuat oleh pemimpin-pemimpin MCA sendiri semasa krisis parti MCA.  Walau bagaimanapun saya kecewa kerana walaupun DAP telah menahan diri daripada menyerang peribadi Soi Lek, MCA tanpa segan silu telah merendahkan maruah mereka.

Justeru, saya tidak meminta Chua Soi Lek untuk mengarahkan Gan mengulangi dakwaan palsu terhadap saya di luar Dewan Undangan Negeri Melaka.  Ini kerana Soi Lek tidak ada kuasa moral untuk mengarahkan orang bawahannya memandangkan Chua juga mempunyai skandal moral sebelum ini.

Sebaliknya saya mahu Perdana Menteri Najib Razak mengarahkan MCA untuk mengulangi dakwaan palsu mereka di luar Dewan Undangan Negeri Melaka bahawa isteri saya telah menyerang bekas kakitangan saya kerana mempunyai hubungan yang rapat dengan saya.

Saya tidak mempunyai mana-mana hubungan rapat atau rahsia dengan bekas kakitangan saya.  Isteri saya tidak pernah menyerang saya atau sesiapa pun dalam hidupnya.

Biar saya dan isteri saya membuktikannya di mahkamah bahawa MCA berbohong dan meminta MCA mendedahkan cubaan untuk membunuh karektor dan mendedahkan sumber maklumat palsu ini.  Biar MCA mengulangi dakwaan mereka di khalayak ramai supaya saya dan isteri boleh buktikannya di mahkamah bahawa "Lim Guan Eng bukan Chua Soi Lek".

*Lim Guan Eng (gambar kanan) ialah Setiausaha Agung DAP, Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap ahli parlimen Bagan.

Rakyat Boleh Banding Keikhlasan PR dan Umno-BN

Posted: 08 Jul 2012 07:39 AM PDT


PETALING JAYA 8 JULAI : Walaupun Umno-BN meniru idea dasar dan program Pakatan Rakyat, rancangan dan niat mereka tidak nampak ikhlas tetapi sekadar meraih undi, kata Timbalan Speaker Dewan Negeri(DNS) Selangor Haniza Talha.
Menurutnya, Umno-BN juga tidak lagi mampu mempengaruhi pemikiran rakyat walaupun mereka menguasai media perdana dan tidak mengamalkan dasar kebebasan maklumat.
"Umno-BN tiada idea. Mereka bagi duit kepada rakyat bukan mereka nak bantu dan tolong rakyat macam bagi RM500 (BR1M).
"Dia bagi dengan tujuan untuk dapat undi bagi mengekalkan kuasa termasuk mendapatkan kembali Selangor. Kalau benar-benar ingin menolong kenapa ia tidak dibuat sejak dulu sebelum kita memerintah?," soal Haniza.
Haniza berkata, sejurus Pakatan mengambilalih Kerajaan Selangor pada Mac 2008 ia bertindak segera dengan menyalurkan bantuan 20 meter padu air percuma kepada rakyat dalam tempoh 100 hari.
Kerajaan Pakatan Selangor juga memulakan bantuan di dalam program Skim Mesra Usia Emas (SMUE) pada 2011.
Ini berbeza dengan Umno-BN di peringkat pusat yang hanya memulakan BR1M, pada April tahun ini semasa spekulasi pilihan raya umum memuncak.
Walaupun Umno-BN menguasai saluran media tradisional seperti televisyen, radio dan surat khabar, ledakan maklumat di internet dan rangkaian media sosial membolehkan rakyat berita tentang Pakatan.
"Apa dilakukan pemimpin Pakatan sekarang adalah pergi terus kepada rakyat di bawah dan rakyat dapat merasakan perubahan itu yang mana tidak dialami sebelumnya.
"Mereka (Umno-BN) boleh gunakan saluran media dikuasai mereka dengan membuat pelbagai dakyah tetapi rakyat akan tahu segalanya," beliau berkata di dalam temu ramah eksklusif TVSelangor di dalam rancangan Fokus Isu.

PKR Dakwa Syarikat Dari Perancis Berkaitan Scorpene Bakal Laksana Projek LRT Ampang

Posted: 08 Jul 2012 07:37 AM PDT


AMPANG 8 JULAI : Isu projek LRT Ampang makin menjadi tumpuan apabila PKR mendakwa sebuah syarikat dari Perancis yang ada kaitan dengan penjualan kapal selam 'second hand' bakal melaksanakan projek berkenaan.
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dalam ceramahnya di Kompleks Muhibbah Taman Nirwana di sini berkata syarikat George Kent hanya berminat mendapatkan keuntungan 'atas angin' sahaja dan bakal menyerahkan pelaksaan projek itu kepada syarikat dari Perancis terbabit.
"Maknanya Datuk Seri Najib Razak tidak cukup dia dapat RM600 juta daripada syarikat Perancis yang menjual kapal selam 'second hand' tetapi 10 tahun kemudian syarikat yang sama itu Datuk Seri Najib rancang dan berikan kontrak RM1 bilion," dakwa Rafizi.

Tambah Rafizi, syarikat George Kent ini dimiliki oleh seorang peniaga yang bernama Tan Sri Tan Kay Hock seorang 'taukey' yang merupakan rakan akrab Datuk Seri Najib Razak daripada sekolah menengah sehingga kini.

"George Kent yang merupakan syarikat membuat meter paip ini adalah merupakan 'Ali Baba' yang tidak berminat dan hanya akan mengambil keuntungan di atas angin sahaja," kata Rafizi.
Jelas Rafizi, beliau tidak gentar dengan ugutan dan ancaman daripada terus mendedahkan skandal RM1 bilion ini demi rakyat.

Negara ini berhadapan dengan skandal yang cukup bahaya kerana ia melibatkan nyawa dan keselamatan rakyat yang bakal menggunakan sistem pengangkutan LRT jika syarikat yang tidak mempunyai kepakaran melaksanakan projek penting ini.

"Kami Pakatan Rakyat akan membawa isu ini kepada penduduk di Ampang, Pandan, Cheras dan Bandar Tun Razak minggu depan kita akan turun untuk mengedarkan risalah agar lebih ramai orang yang akan faham skandal LRT Ampang ini bukan soal hanya politik, tetapi ia melibatkan nyawa rakyat.

"Tiap-tiap minggu kita akan dedahkan dokumen baru untuk membuktikan bahawa inilah rancangan dan angkara Datuk Seri Najib Razak,dia tidak fikir tentang keselamatan rakyat," katanya.
Tambah Rafizi, pendedahan skandal RM1 bilion akan terus 'membenamkan' karier politik Najib.
"Projek LRT Ampang ini memang cukup dibimbangi oleh Najib jika ia diketahui rakyat kerana ada surat dan dokumen yang ditandatangani sendiri oleh Najib sendiri," tegasnya.

Tiada ulasan: