Rabu, 18 Julai 2012

pemuda cheh

pemuda cheh


Pertarungan Adik-Abang Di Parlimen Kulim-Bandar Baharu

Posted: 17 Jul 2012 05:26 PM PDT

PENULIS mendapat maklumat bahawa dalam pilihanraya umum yang akan datang Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Sahlan Ismail akan dicalonkan di parlimen Kulim-Bandar Baharu menentang adiknya sendiri, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifudin Nasution.

Saifudin yang juga ahli parlimen Machang telah diputuskan akan bertanding di negeri asalnya, Kedah.
Pada yang tidak tahu, Saifudin pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Lunas di Kedah pada tahun 2000 setelah menang pilihanraya kecil tahun tersebut mengalahkan calon MIC.  Saifudin bagaimanapun gagal mengekalkan kerusi tersebut dalam pilihanraya umum 2004, termasuk tewas di parlimen Padang Serai.
Dalam sejarah pilihanraya negara kita, adik beradik bertanding dalam pilihanraya bukanlah perkara baru.  Datuk Shahril Samad (BN-Johor Bharu) dan YB Khalid Samad (PAS-Shah Alam) telah membuktikannya dalam pilihanraya umum yang lepas.
Tapi adik beradik bertanding sesama sendiri di kerusi Parlimen yang sama, itu adalah jarang-jarang berlaku.  Mungkin dulu-dulu pernah terjadi tapi setakat dalam pengetahuan penulis, ini adalah kes yang pertama.
Motif sebenar di sebalik tindakan UMNO mencalonkan Sahlan menentang adiknya sendiri di Kulim-Bandar Baharu ini agak memeningkan kepala penulis.  Dari sumber yang menyakinkan sebelum ini, Sahlan dikatakan akan bertanding tapi bukan di Kulim-Bandar Baharu sebaliknya di tempat lain, masih di Kedah juga.
Adakah UMNO cuba memecah belahkan hubungan adik beradik yang selama ini kekal baik walaupun berbeza fahaman politik?  Saifudin dan Sahlan adalah tenaga penggerak kepada Persatuan Keluarga Ismail Harun Nasution yang berfungsi memastikan keturunan bapa mereka kekal utuh walau apa pun terjadi.
Selain itu, penulis melihat peluang Saifudin untuk menang agak tipis dengan Sahlan sebagai lawannya.  Kulim-Bandar Bharu memang diketahui kubu kuat UMNO sejak sekian lama.  Tan Sri Kadir Sheikh Fadhir saja telah menjadi ahli Parlimen kawasan tersebut selama 5 penggal sebelum berundur untuk memberi peluang kepada adiknya, Datuk Aziz Sheikh Fadhir pada 2008, tetapi tewas.
Kekalahan Aziz dikaitkan dengan rasa tidak puas hati rakyat Kulim-Bandar Bharu terhadap pentadbiran Perdana Menteri pada waktu itu, Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi yang juga merupakan satu fenomena nasional sehingga menyebabkan BN kehilangan majoriti 2/3, kali kedua selepas 1969.
Justeru, untuk memastikan kemenangan Saifudin, penulis suka mencadangkan agar beliau dipindahkan dari bertanding kawasan yang sama dengan Sahlan di parlimen Kulim-Bandar Baharu.
Saifudin mungkin boleh dipertimbangkan untuk kerusi parlimen Merbuk yang akan dikosongkan oleh penyandangnya sekarang, Datuk Rashid Din.
Lagipun, calon yang diletak dalam senarai pertimbangan di kawasan tersebut sekarang oleh PKR, Zamri Yusof, tidak sehebat mana dari segi populariti dan karisma yang diperlukan untuk menang, berbanding dengan Saifudin.
Atau mungkin PKR boleh membuat pertukaran kawasan dengan Naib Presidennya, N Surendran yang dicalonkan di kerusi Parlimen Padang Serai yang pernah ditandingi Saifudin pada 2004.

Tiada ulasan: