Nuffnang

Pengikut

Muslimeen United

sumber :-

Muslimeen United


Himpunan Hijau Jadikan Harapan Tawan Putrajaya Semakin Menjadi Kenyataan

Posted: 18 Jul 2012 12:55 AM PDT


Berdasarkan bilangan manusia yang membanjiri Himpunan Hijau ke Putrajaya peringkat negeri Selangor di Stadium Kuala Selangor hujung minggu lalu seolah-olah pusat pentadbiran negara sudah ditawan Pakatan Rakyat.

Penyertaan lebih 20,000 penyokong dan ahli PAS bersama para pemimpin Pakatan bagaikan cerminan peristiwa Dataran Tahrir di mana ratusan anak muda dan rakyat Mesir keluar untuk menggulingkan rejim zalim Presiden Hosni Mubarak.

Kalau di negeri-negeri lain hanya penyokong dan pemimpin PAS sahaja yang hadir tetapi berbeza dengan lanskap penyertaan rakyat yang mewarnai Stadium Kuala Selangor ini.

Kehadiran para pemimpin selain dari PAS seperti Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen Seputeh DAP Teresa Kok dan bekas menteri Umno Tan Sri Kadir Sheikh Fadhil memberi satu identiti nasional kepada suatu perjuangan melibatkan rakyat dari semua peringkat umur dan warna kulit.

Para pemimpin PAS yang hadir ialah Timbalan Presiden Mohamad Sabu, Timbalan Pesuruhjaya I PAS Selangor Khalid Samad, Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor Iskandar Abdul Samad, AJK PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad dan Pengarah Pilihan Raya PAS Dr Hatta Ramli.

Dan tidak ketinggalan turut hadir ialah Sheikh Ismail Abdul Hamid dari Ikwanul Muslimin yang mewakili Presiden Mesir Dr Mohamad Morsi.

Sambutan yang diberikan terhadap perhimpunan ini seolah-olah menggambarkan Putrajaya sudah ditawan atau sekurang-kurangnya memberi harapan dan keyakinan bahawa perjalanan ke Putrajaya sudah semakin dekat dan hampir pasti menjadi kenyataan.

Keghairahan penyokong dan pemimpin yang hadir dapat disimpulkan daripada kata-kata Mohamad Sabu di akhir ucapannya.

Beliau berkata jika pilihan raya umum kali ini tidak dijalankan secara bersih dan adil maka "kita akan bawa Dataran Tahrir ke Malaysia," sambil mendapat tepukan gemuruh dari para hadirin.

Kadir yang sudah bergelumang dalam parti Umno selama 56 tahun mengungkapkan kata-kata yang tidak diduga, "saya bangga dapat kibarkan bendera yang mulia ini" sambil mengibarkan bendera PAS di atas pentas utama.

Sheikh Ismail ketika berucap berkata, sekiranya beliau adalah rakyat Malaysia sudah pasti beliau akan menjadi ahli PAS, sambil menyifatkan kehadiran malam tadi sebagai sesuatu yang beliau tidak duga.

Melayu yang jahat

Terdahulu, Mohamad Sabu hadir pada Majlis Ramah Mesra Timbalan Presiden PAS bersama ahli Dewan Himpunan PAS Pusat (DHPP) di Dewa MBSA, Paya Jaras Kawasan Subang.

Dalam ucapannya beliau berkata, Rasulullah saw melarang para pengikutnya (umat Islam) bercakap atau berjuang atas dasar perkauman atau asobiyyah.

"Melayu yang jahat kita mesti lawan. Umno yang menyokong puak-puaknya yang zalim dan melakukan rasuah serta kejahatan, kita mesti lawan.

"Apabila rumah (Pengerusi Bersama Bersih) Dato' S Ambiga kena 'serang' dengan mendirikan gerai daging burger dan senaman punggung, orang-orang PASlah yang mengawal rumah dan menjaga keselamatannya," ujar beliau, sambil disorak oleh para hadirin.

Pada akhir majlis, Mat Sabu menyampaikan bantuan berupa barangan makanan keperluan harian kepada golongan miskin daripada masyarakat India dan Cina yang bermastautin di sekitar Paya Jaras. -FMT


Himpunan Hijau Menuju Putrajaya: "BN sakit"




KUALA SELANGOR: Malaysia merupakan satu-satunya negara di dunia yang mana parti memerintah melaga-lagakan kaum dan agama untuk terus berkuasa, kata Pengerusi DAP Selangor Teresa Kok.

Berucap di hadapan puluhan ribu rakyat semasa Himpunan Hijau Menuju Putrajaya di Stadium Kuala Selangor malam tadi, beliau yang juga Ahli Parlimen Seputeh berkata, pembohongan dan fitnah yang melaga-lagakan kaum secara berterusan ke atas pimpinan Pakatan Rakyat mencerminkan betapa BN sedang 'sakit'.

Beliau yang juga Exco Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian Selangor menceritakan bagaimana beliau sendiri difitnah berkenaan isu azan di Puchong sehingga disumbatkan ke dalam ISA.

"Saya dimasukkan ke dalam ISA dulu, kemudian baru polis siasat. Kemudian hasil siasatan menunjukkan bahawa saya tidak pernah pun pergi ke masjid tersebut dan tidak pernah bangkitka isu azan dan (Timbalan Pengarang Utusan Malaysia) Zaini Hassan memutarbelitkan cerita ini di Utusan," katanya.

Menurutnya, fitnah perkauman terhadap Pakatan Rakyat terus dilakukan hingga sekarang, termasuk mendakwa bahawa beliau (Teresa) mahu menjadi Menteri Besar Selangor manakala Lim Kit Siang mahu menjadi Perdana Menteri.

"Ini semua tidak benar sama sekali. Kita telah jelaskan sejak dahulu lagi bahawa orang Melayu merupakan majoriti di negeri ini dan kita akan terus menyokong kepimpinan yang berintegriti dan bersih," tambah beliau.

"Lawan gergasi yang lama berkuasa"

Turut memberi ucapan pada malam gilang-gemilang tersebut ialah Presiden Parti Keadilan Rakyat Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail yang menyatakann bahawa dakwaan UMNO yang mengatakan Pulau Pinang kini diambil oleh 'Cina' adalah melucukan.

"Dulu Koh Tsu Koon tu Melayu kah?" ujar beliau disambut tepukan dan sorakan hadirin.

"Kalau Melayu pun, apa yang kita mahukan ialah kepimpinan yang bersih dan berintegriti. Kalau kepimpinan Melayu pun rosak, tidak ada gunanya."

Mengakhiri ucapan beliau, Wan Azizah menyeru agar seluruh pejuang Pakatan Rakyat yang mendokong kebenaran dan keadilan agar terus istiqamah.

"Kita bukan lawan mereka yang lemah, tetapi kita melawan gergasi yang lama berkuasa."

DAP gadai tanah rizab Melayu?

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pula meminta agar seluruh rakyat Malaysia menolak UMNO dalam pilihan raya akan datang kerana mereka telah banyak menggadaikan kepentingan rakyat dan negara.

"Siapakah yang telah menggadaikan dari 3 juta hektar tanah Melayu kepada hanya 1.7 juta hektar yang tinggal sekarang? Adakah DAP? Siapakah yang telah menghilangkan Bank Bumiputera, adakah DAP?"

Menurut beliau, kini pendedahan penyelewengan bukan sahaja dibuat oleh pimpinan oposisi seperti Lim Kit Siang dan Anwar Ibrahim, malah ia didedahkan oleh Jabatan Audit Negara sendiri.

"Dulu bila Lim Kit Siang dedahkan skandal Bank Bumiputera, mereka (UMNO) mengenakan dakwaan perkauman terhadap beliau seolah-olah ingin menjatuhkan kepentingan orang Melayu.

"Tapi kini, bila pegawai-pegawai audit yang terdiri dari orang Melayu sendiri yang mendedahkan penyelewengan kerajaan, mereka nak kata apa?" jelas beliau.
-roketkini

Saya tak boleh lupa bendera parti - TG Nik Aziz

Posted: 18 Jul 2012 12:54 AM PDT


Gambar: Tuan Guru Nik Abdul Aziz memukul gendang sebagai gimik pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Sambutan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Ke-55 Tahun 2012 Peringkat Negeri Kelantan sambil disaksikan Mustapa Mohamed. Foto: Rizal

KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau tidak boleh melupakan 'bendera parti' walau pun Kempen Kibar Jalur Gemilang diadakan.

Ini, katanya kerana kalau tidak ada parti, maka negara atau negeri tidak dapat diperintah.

"Zaman dahulu, zaman tidak ada parti politik.  Justeru negara atau negeri pada masa itu diperintah oleh raja-raja. Tetapi sekarang ada parti politik, maka di samping Jalur Gemilang, bendera parti 'ada juga'," kata beliau yang juga Mursyidul Am PAS kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Sambutan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Ke-55 Tahun 2012 Peringkat Negeri Kelantan di Stadium Sultan Mohd Ke-IV di sini malam tadi.

Beliau juga menggesa masyarakat tidak lupa bahawa orang pertama memerdekakan tanah air, bahkan memerdekakan manusia iaitu Nabi Muhammad s.a.w.

Katanya, Nabi Muhammad s.a.w. bukan saja memerdekakan tanah air tetapi juga memerdekakan akal manusia daripada dijajah oleh keduniaan dan 'taghut'.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata Nabi Muhammad s.a.w. walau pun baginda miskin ketika itu, namun apabila baginda sampai di Madinah disambut meriah sebagai 'Perdana Menteri'.

"Dan ini satu benda yang pelik.  Baginda miskin, ibu bapa tidak ada, bahkan Madinah bukan negeri dia, negeri dia di Mekah, tetapi orang menerima baginda di Madinah sebagai seorang 'Perdana Menteri', segala kata-katanya dihormati, segala perbuatannya dihormati dan tindak-tanduknya dihormati.

"Inilah benda yang kita nak buatkan di seluruh dunia termasuklah Kelantan khasnya. Mudah-mudahan rakyat Kelantan faham bahawa Islam bukan sekadar meminta negara dimerdekakan, tetapi negara dan kalbu manusia juga dimerdekakan daripada fikiran taghut dan pemikiran keduaniaan," ujarnya. -Hrkh

Pemuda PAS ajak artis dan seniman berusrah

Posted: 17 Jul 2012 05:40 PM PDT


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengajak para artis dan selebriti menyertai usrah Seniman, Karyawan dan Artis (Musika) sebagai langkah untuk mereka terus istiqamah dengan penghijrahan.

PAS sentiasa memastikan setiap ahlinya akan menyertai program usrah baik di peringkat akar umbi apatah lagi di peringkat pimpinan atasan kerana usrah dilihat sebagai aktiviti pentarbiyahan.

Ketuanya Nasruddin Hassan (gambar) berkata, program usrah Musika yang dikhususkan kepada artis dan selebriti pernah diadakan sebelum ini dan pada 19 Julai ini adalah untuk kali ke-3.

Dengan adanya program seperti ini, katanya artis yang belum menyertai PAS juga melahirkan minat untuk menyertai Musika.

"Ini adalah perkembangan yang baik, kita tidak mahu artis dan selebriti yang menyertai PAS mensia-siakan penghijrahan mereka dan daripada program ini insyallah mereka akan istiqamah," katanya ketika dihubungi.

Tambahnya,  usrah yang mungkin diadakan secara berkala itu akan turut membincangkan peranan dan penghijrahan yang mereka lakukan terhadap PAS dan masyarakat.

Di samping itu, DPPM akan bekerjasama dengan Lajnah Kebudayaan PAS Pusat untuk menganjurkan majlis dan taklimat khusus Presiden PAS kepada semua ahli baru yang bukan sahaja artis tetapi golongan penjawat awam yang menyertai PAS.

"Kita akan adakan pertemuan tertutup untuk jelaskan hala tuju, dasar dan prinsip PAS. Sekali gus mewujudkan hubungan secara tidak langsung individu dan pimpinan bersama golongan selebriti untuk pentarbiyahan secara tidak formal," katanya.

Katanya, PAS telah membuat perubahan besar mendekati golongan artis sehingga mencetuskan fenomena kemasukkan artis dalam PAS.

"Kita telah mulakan langkah awal menziarahi dan mendekati mereka, jadi inilah (Musika) yang akan menjadi jambatan menghubungkan PAS dengan artis," katanya.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (Dacs) Pemuda PAS Pusat, Halim Ahmad berkata, PAS harus memainkan peranan mempergiatkan usrah di kalangan artis untuk mengelakkan mereka yang baru berhijrah ini hanyut semula dalam dunia hiburan mereka.

"Usrah perlu diberikan kepada mereka, usrah merupakan akar tunjang. Bukan sahaja artis, pimpinan PAS sendiri yang tidak usrah pun boleh hanyut," katanya.

Hari ini ramai artis dengan berani tampil secara rasmi menyertai PAS antaranya, pelakon filem Lt. Adnan Hairie Othman, penyanyi popular 'Janji Manismu' Wan Aishah Wan Ariffin, komposer lagu Bob Lokman, dan pengarah drama Adam Hamid dan pelawak Leman Raja Lawak. -Hrkh

Umno-BN Tipu Rakyat Seperti Tipu Budak Darjah Tiga, Kata Cikgu Lau

Posted: 17 Jul 2012 05:37 PM PDT


SETIU – Bekas Setiausaha Parti Gerakan Negeri Kelantan, Cikgu Lau Chin Chua dukacita apabila Umno dan Barisan Nasional (BN) kini, menggunakan fitnah, tipu muslihat dan memperbodoh kan rakyat demi mahu mengekalkan kuasa.

Katanya, kerana takut kalah dalam pilihanraya umum akan datang Umno-BN telah menipu rakyat dengan mengatakan DAP akan menguasai negara sekiranya Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya.

"dia (Umno-BN) guna tipu muslihat dan cuba memperbodoh-bodohkan rakyat Malaysia, dia kata orang Melayu akan teraniya dengan pemerintahan Pakatan Rakyat,

"dia kata apabila Pakatan rakyat menang, Perdana Menterinya (orang) Cina daripada DAP, (Umno-BN) tipu kita (rakyat) serupa tipu budak darjah tiga,"katanya.

Namun sebaliknya,  rakyat sudah cerdik dan tidak mudah ditipu oleh Umno-BN kerana katanya, rakyat sudah ada banyak sumber berita media baru yang tidak terikat dengan media arus perdana.

Bekas guru besar yang juga bekas Pengerusi BN Bahagian Bachok itu berkata demikian ketka beliau berucap dalam majlis Ceramah Menuju Ke Putrajaya yang diadakan di Kampung Renek, Jabi dekat sini, pada Isnin 16 Julai.

Sebelum itu, beliau yang mengisytiharkan dirinya keluar dari parti Gerakan pada 3 Januari lalu mendakwa Umno-BN sudah terpesong dari landasan perjuangan apabila pemimpinnya hanya mementingkan projek apabila memegang jawatan.

Katanya, jawatan menjadi 'passport' kepada pemimpin Umno-BN untuk menjadi jutawan segera dan hidup dengan kaya raya.

"Puak-puak ni sudah 'gelecoh rel' (keluar dari landasan) kerana orang Umno (BN) terlalu mementingkan projek, dia pegang jawatan dia nak projek, jawatan adalah sebagai 'passport' untuk menjadikan orag yang kaya raya,

"menyebabkan ambo (saya) tak boleh terima perjuangan puak-puak ni (Umno-BN) jadi ambo mari duduk dengan parti yang masih betul, sebab itu ambo mari tolong parti PAS,"jelasnya.

Beliau berkata, mandat yang diberikan oleh rakyat kepada Umno-BN untuk memerintah negara selama 55 tahun, sudah tidak dianggap satu amanah dan tanggungjawab.

Turut berucap dalam majlis tersebut ialah Exco kerajaan negeri Kelanta Dato' Ustaz Nik Mohd Amar Nik Abdullah dan Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Terengganu merangkap Pengerusi Majlis Tindakan DUN Jabi, Dr. Azman Ibrahim. -BO


Comments (0)

BLOG - BLOG PAKATAN RAKYAT