Khamis, 12 Julai 2012

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


Noh Omar - Skandal udang pulak dah ... ni la perangai hodoh Menteri Umno ...

Posted: 12 Jul 2012 08:42 PM PDT

SHAH ALAM- Dewan Negeri Selangor (DNS) semalam digemparkan tentang skandal pembelian tanah oleh Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar di Bagan Tengkorak, Tanjong Karang pada 1995.

Lebih lagi, Noh, yang sekarang Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, telah memulakan projek ternakan udang pada tanah 30 ekar itu bersama sebuah syarikat Pristine Agrofood Sdn Bhd.

Penglibatan Noh di dalam syarikat itu, kata Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) yang mendedahkan skandal tersebut, menimbulkan persoalan percanggahan kepentingan kerana Noh merupakan menteri yang bertanggungjawab mengelola industri itu.

Noh membeli tanah 30 ekar itu dengan hanya membayar RM100,000 berbanding harga asal kira-kira RM3 juta pada ketika itu, kata Suee Lim.

Katanya, tanah itu yang asalnya berstatus komersil kemudiannya ditukar kepada tanah pertanian demi menjayakan projek ternakan udang itu pada 2011.

"Rakyat susah untuk mendapat tanah tetapi seorang pemimpin kanan diberi tanah dengan mudah pada ketika itu. Saya telah melawat kawasan itu dan mendapati statusnya adalah untuk ternakan udang," katanya semasa sesi perbahasan di hari terakhir persidangan DNS.

Suee Lim dalam pada itu turut mendedahkan surat akuan sumpah yang membuktikan usahasama Noh bersama pengarah Pristine Agrofood Sdn Bhd, Chu Bak Teck.

Mengikut dokumen yang didedahkan Suee Lim, Noh mendapat tanah itu pada 13 Jun 1995.

Hasil carian di laman web Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menunjukkan Noh memenangi kerusi Ahli Parlimen Tanjong Karang buat kali pertama pada April 1995.

"Kes ini saya anggap sebagai skandal tanah dan bukti wujudnya percanggahan kepentingan kerana beliau ketika ini ialah seorang menteri yang memegang portfolio pertanian dan industri asas tani yang secara terang terlibat secara langsung dalam industri itu.

"Di manakah maruah Umno-BN yang kononnya memperjuangkan hak rakyat tetapi parti terlibat dalam kes sapu tanah rakyat?" soalnya.

Beli tanah kerajaan

Sementara itu, DNS meluluskan Rang Undang-undang yang dicadangkan Suee Lim supaya tidak membenarkan wakil rakyat, ahli majlis dan pihak berkuasa tempatan membuat sebarang permohonan untuk memiliki tanah kerajaan negeri.

Usaha TV Selangor menghubungi Noh bagi mendapatkan respon beliau bagaimanapun gagal.

Panggilan dan mesej pesanan ringkas yang dihantar kepada nombor telefon beliau tidak dibalas.

-harakahdaily

Khalil bertindak sendirian, tiada kumpulan,.. dalam perjuangan menawan negara seterusnya dunia

Posted: 12 Jul 2012 08:03 PM PDT

SHAH ALAM - Seorang lelaki dipercayai individu yang membuat pengakuan terbuka akan sentiasa bersama Khalil Afandi Abd Hamid dalam 'perjuangan' lelaki yang ditembak mati oleh polis ketika mengamuk di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Putrajaya, Isnin lalu, ditahan reman bermula kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, lelaki 39 tahun itu akan ditahan sehingga Ahad untuk membantu siasatan kes berkenaan.

"Kita juga dapati, Khalil bertindak secara individu dan tidak ada kaitan dengan sebarang kumpulan ajaran sesat," kata Chin Wah ketika dihubungi Sinar Harian.

Akhbar ini semalam melaporkan perihal seorang lelaki yang namanya disebut berulang kali dalam laman blog dan Facebook milik Khalil sebagai orang kanan yang sentiasa bersama lelaki amuk itu dalam perjuangannya.

Malah, lelaki itu sendiri dalam salah satu blog Khalil mengaku secara terbuka dalam kenyataan yang dipaparkan bersama nombor kad pengenalannya bahawa mereka akan sentiasa bersama.

Mengikut catatan yang dipercayai dibuat Khalil dalam blognya, dia dalam perjuangan menawan negara dan dunia. - sinar harian

Uncle seekers ditahan semula, teman wanita dibebas

Posted: 12 Jul 2012 06:30 AM PDT

JOHOR BAHARU: Polis menahan semula pengkaji aktiviti paranormal Syed Abdullah Syed Hussein Al-Attas bagi membantu siasatan berhubung penulisan di blognya www.uncleseekers.blogspot.com yang didakwa memfitnah Sultan Johor Sultan Ibrahim, selepas tempoh remannya berakhir semalam.
Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Ismail Yatim berkata Syed Abdullah atau lebih dikenali sebagai Uncle Seekers ditahan semula sejurus dibebaskan dengan jaminan polis pada pukul 7 malam semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)Nusajaya.
Katanya dia ditahan semula untuk siasatan mengikut Akta Hasutan 1948 selepas polis menerima satu laporan daripada seorang lelaki berumur 34 tahun, 4 Julai lepas.
Polis hari ini telah mendapatkan perintah mahkamah untuk meremannya selama tiga hari sehingga Sabtu ini, katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, Khamis.
"Syed Abdullah dibebaskan semalam selepas siasatan terhadapnya mengikut Seksyen 8(1)(d) Akta Rahsia Rasmi 1972 telah selesai dan kertas siasatan berkenaan kini dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya Johor untuk tindakan lanjut. Dia, bagaimanapun, ditahan semula selepas itu untuk siasatan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 berhubung 64 entri di dalam blog terbabit," katanya.
Ismail berkata teman wanita Syed Abdullah, yang sebelum ini turut ditahan reman telah dibebaskan semalam dengan jaminan polis.
Beliau berkata polis juga sedang menjalankan siasatan terhadap dua lagi rakan Syed Abdullah yang kini ditahan reman selepas kedua-duanya ditahan di Jalan Pantai Kundor, Tanjung Kling, Melaka, 8 Julai lepas.
Terdahulu, Syed Abdullah yang berpakaian lokap tiba di Kompleks Mahkamah Johor Baharu dengan diiringi anggota polis IPD Nusajaya kira-kira pukul 1.50 tengah hari dan dibawa keluar dari kamar mahkamah kira-kira 4 petang.
Permohonan reman dilakukan di hadapan Majistret Maslinda Selamat dan Syed Abdullah diwakili peguam D.Thiru Kumar.Syed Abdullah, 46, ditahan polis bersama wanita berumur 26 tahun terbabit di Plaza Tol Senawang, Negeri Sembilan, pada pukul 9.45 malam, 4 Julai lepas.
Pada 1 Julai lepas, 30 individu membuat laporan polis terhadap Syed Abdullah berhubung penulisan dalam blognya yang dikatakan berunsur provokasi, hasutan dan mengaibkan Sultan Johor. -BERNAMA

Tiada ulasan: