Sabtu, 21 Julai 2012

MiLo SuaM

MiLo SuaM


Cybertrooper Umno dapat peruntukan RM300,000 sebulan

Posted: 20 Jul 2012 11:22 AM PDT

DALAM sebuah artikel di blog Papa Gomo, blogger kaki lucah Barisan Nasional itu mendedahkan bahawa cybertroopers upahan di bawah Unit Media Baru, UMB mendapat peruntukan sebanyak RM300,000 sebulan.

Difahamkan, dalam artikel itu Papa Gomo menggesa agar peruntukan RM300,000 dikeluarkan kerajaan kepada Unit Media Baru Umno dinaikkan lagi bagi meningkatkan keberkesanan propaganda mereka di alam maya [Papa Gomo].



Sebulan RM300,000 kali 12 bulan setahun, maka RM3.6 juta diperuntukan oleh Umno setahun untuk mengupah cybertrooper mereka menyerang di internet.

Tidak hairanlah blog-blog pro Umno bercambah bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.

Apa yang menariknya, ada sebuah blog Umno melakukan fitnah kononnya Jingga 13 kelolaan Cikgu Fariz Musa membayar upah kepada cybertrooper Pakatan Rakyat.

Banner fitnah dibawah ini dicipta sebagai taktik "black operation".



Oleh kerana mereka dapat bayaran dan peruntukan, maka mereka sangka orang lain pun terima bayaran seperti mereka. Ternyata mereka silap.

Banner fitnah ini terkantoi apabila perkataan "Cybertroopers" digunakan. Buat pengetahuan anda Jingga 13 tidak menggelarkan ahli mereka sebagai "Cybertroopers" kerana tidak mahu menyerupai Umno.

Buat pengetahuan anda juga, Jingga 13 sendiri tidak mempunyai wang untuk bergerak, sebaliknya bergantung kepada inisiatif ahlinya sendiri.

Salah satu cara Jingga 13 mendapatkan dana ialah melalui penjualan "sticker" di dalam ceramah-ceramah dan sumbangan orang ramai.



Bagi mereka yang pernah ke program ceramah Jingga 13, tentu anda biasa mendengar promosi
jualan sticker untuk tabung Jingga 13.

Jingga 13 sendiri nak bergerak pun tak mampu, apa lagi nak upah that so called "cybertrooper"? Memang tak masuk akal.

ReJaM© sendiri adalah salah seorang yang terlibat mengasas dan menubuhkan Jingga 13. Di sini ReJaM© mengesahkan kami tidak mengupah mana-mana ahli untuk menyerang Umno dan Barisan Nasional.

Kami nak upah orang memang tak ada, tapi kalau orang nak bagi duit kepada kami, kami terima seadanya. Tugas kami mengumpulkan rakyat yang inginkan perubahan di dalam menolak Umno dan Barisan Nasional.



ReJaM© "Umno ni suruh buat banner fitnah pun kantoi kah kah kah... "

Adakah Petronas sudah menjadi si Tanggang?

Posted: 20 Jul 2012 03:05 AM PDT



PADA awal bulan Jun baru-baru ini, PETRONAS secara tidak langsung telah menyatakan hasratnya di Persidangan Gas Se-Dunia bahawa perbadanan multinasional terbesar negara ini sudah tidak sanggup lagi untuk menjadi seperti kilang pencetak wang kerajaan Malaysia. PETRONAS mahu menghentikan pembayaran subsidi gas, malah sejak tahun lepas, PETRONAS mahu membayar dividen yang lebih rendah!

Adakah PETRONAS seperti si Tanggang? Hasil wang minyak & gas adalah milik rakyat dan juga amanah kerajaan. Banyak penulisan yang telah mengulas mengenai kemampanan pembayaran yang berterusan dari PETRONAS. Artikel ini cuba mengupas hal ini dari satu perspektif berbeza, memberikan realiti industri minyak dan gas tempatan serta menerangkan mengapa pembayaran wang yang tinggi dari PETRONAS mungkin bukanlah keputusan yang terbaik untuk rakyat Malaysia sendiri, dalam jangka masa panjang.

Pada tahun 1974, PETRONAS yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia telah ditubuhkan dan diberi hak milik, tanggungjawab dan kawalan sepenuhnya ke atas rizab minyak dan gas negara. Kini, Petronas telah berkembang menjadi sebuah syarikat gergasi antarabangsa serta termasuk antara syarikat minyak dan gas yang paling terbesar dan menguntungkan di dalam senarai "FORTUNE 500" dengan jumlah tenaga kerja lebih daripada 48,000 orang.

Mungkin ramai yang bersetuju tokoh-tokoh seperti Tun Abdul Razak dan Tengku Razaleigh Hamzahlah yang paling berjasa; sebagai para pengasas PETRONAS, mereka telah meletakkan asas yang kukuh serta visi dan objektif yang cemerlang sehingga berjaya memastikan kepimpinan dan pengurusan kemudiannya seperti Tan Sri Azizan, Tan Sri Hassan Marican, dan yang terkini Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Shamsul Azhar, mampu untuk terus mendukung dan mengembangkan PETRONAS ke persada dunia. Asas yang kukuh ini jugalah yang telah membolehkan PETRONAS mengembangkan sayapnya ke lebih dari 30 buah negara di seluruh dunia. PETRONAS juga telah di sebutkan sebagai "seven sisters" yang baru, satu istilah yang pada asalnya dicipta oleh ahli perniagaan Itali Enrico Mattei, untuk merujuk kepada syarikat-syarikat gergasi minyak dan gas tersohor dunia seperti Exxon Mobil, Chevron, BP dan Shell.

Soalan 1 - Adakah Malaysia terlalu bergantung kepada PETRONAS dan rizab minyak dan gas untuk kelangsungan kebolehtahanan ekonomi negara?

Hasil dari PETRONAS telah menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan pesat Malaysia. Sejak penubuhan PETRONAS pada tahun 1974, RM 529.0 bilion di dalam bentuk dividen, cukai, hasil minyak dan gas dan duti eksport telah dibayar kepada kerajaan Malaysia. Sejumlah RM 136.5 bilion pula telah dikeluarkan untuk membayar subsidi kepada TNB, pengeluar tenaga bebas, pihak komersial dan lain-lain. (Sumber: Laporan Tahunan PETRONAS 2011)

Dalam lima tahun kewangan PETRONAS yang terakhir, sejak tahun kewangan 2007, PETRONAS telah membayar kerajaan Malaysia kira-kira RM 61.0 bilion setiap tahun, secara puratanya. Dividen sahaja telah direkodkan mencecah 53.0 peratus daripada keuntungan tahunan PETRONAS; satu jumlah yang jauh lebih tinggi dari purata 38.0 peratus yang dibayar oleh syarikat minyak dan gas nasional lain di seluruh dunia kepada kerajaan masing-masing. Jumlah pembayaran yang telah dikeluarkan oleh PETRONAS kepada kerajaan secara puratanya adalah sebanyak 41.0 peratus daripada jumlah pendapatan kerajaan Malaysia.

Bukan sahaja itu, malah kerajaan Malaysia juga telah menggunakan "khidmat" PETRONAS untuk pelbagai keperluan mengikat jamin. Contohnya ikat jamin Bank Bumiputera bernilai RM2.5 bilion pada tahun 1985, diikuti dengan RM 1.0 bilion tambahan pada tahun 1991. Melalui MISC pada tahun 1997, PETRONAS juga telah menyelamatkan Konsortium Perkapalan Berhad (KPB), yang menghadapi kerugian sebanyak RM 2.0 bilion pada ketika itu.

PETRONAS kemudiannya juga dirujuk untuk menanggung kos pembinaan Menara Kembar PETRONAS bernilai RM 6.0 bilion dan juga pembinaan Putrajaya yang mencecah RM 22.0 bilion.


Soalan 2 – Hasil bumi minyak dan gas Malaysia bakal habis?


Semua sedia maklum bahawa hasil bumi minyak dan gas adalah sumber yang tidak boleh diperbaharui dan bakal lupus. Pengeluaran minyak Malaysia mencatatkan pengeluaran tertinggi (iaitu lebih kurang 650,000 tong minyak sehari) pada tahun 1994, dan kemudiannya merosot. Walaupun tahun 2002 telah menyaksikan sedikit peningkatan, tetapi statistik pengeluaran kembali menurun sejak tiga tahun yang lalu, dan kini mencatatkan hanya lebih kurang 600,000 tong minyak sehari. Pengeluaran gas pula, berdasarkan projek-projek yang telah beroperasi, menghasilkan 6.1 bilion kaki persegi padu gas sehari. Ini dijangkakan akan menurun kepada hanya 1.5 bilion kaki persegi padu gas sehari menjelang tahun 2025.


Situasi ini sejajar dengan corak pertumbuhan pengeluaran minyak dunia, yang mendatar daripada tahun 2005 hingga tahun 2009. Journal of Energy Security (2008) menyimpulkan bahawa potensi untuk meningkatkan pengeluaran gas dan terutamanya minyak adalah terhad. Saudi Aramco, syarikat minyak dan gas gergasi terbesar Arab Saudi, mengakui bahawa pengeluaran daripada rizab minyak dan gasnya yang telah digali kini menurun pada kadar 8.0 peratus setahun. Menurut International Energy Agency (2007) pula, berdasarkan kajian daripada 800 buah telaga minyak, pengeluaran minyak dan gas dunia akan menguncup pada kadar 6.7 peratus setahun.


Rizab minyak dan gas yang belum diusahakan di Malaysia juga tidak banyak seperti dahulu. Lapangan-lapangan minyak dan gas kecil (marginal oil and gas fields) yang sebelum ini dianggap sekadar "tulang" kini menjadi "isi"; seolah-olah peluang keemasan yang ingin direbuti oleh semua pihak. Tambahan pula, pengeluaran dari lapangan minyak sedia ada di Malaysia sudahpun melihat puncaknya dahulu, dan kini hanya semakin merosot. Rizab minyak dan gas yang tinggal pula lebih sukar untuk dibangunkan kerana hasilnya kurang lumayan berbanding usaha yang diperlukan, ataupun lokasinya yang terletak di kawasan laut dalam lalu sukar dibangunkan akibat had-had teknologi dan menjadikannya jauh lebih mahal.


Kajian juga telah menunjukkan bahawa peningkatan aktiviti carigali minyak dan gas secara intensif tidak semestinya menjamin meningkatan pengeluaran, terutamanya di kawasan-kawasan lapangan minyak dan gas yang sudah matang. Di antara tahun 1974 dan 1978, sejumlah 40 telaga penerokaan yang digerudi menghasilkan penemuan rizab minyak dan gas tambahan sebanyak 1,580 juta tong minyak. Antara tahun 2004 dan 2008, walaupun sebanyak 140 telaga telah digerudi (iaitu 3.5 kali ganda lebih banyak), hasil penemuan rizab minyak dan gas hanyalah sebanyak 1,050 juta tong minyak! Kadar pengeluaran purata dari telaga-telaga minyak dan gas di Malaysia kini juga hanyalah pada kadar 33.0 peratus. Usaha-usaha meningkatkan kadar ini pula memerlukan penggunaan teknologi yang lebih mahal.



Dalam kata lain, teknologi yang lebih kompleks dan lebih mahal akan diperlukan untuk meningkatkan pengeluaran minyak dan gas daripada lapangan-lapangan kecil dan lapangan-lapangan di laut dalam. Oleh itu, PETRONAS akan memerlukan jauh lebih banyak wang.


Soalan 3 - Berapa banyakkah wang yang kita perlukan untuk meneruskan kemampanan perniagaan minyak dan gas?


Dianggarkan untuk tahun 2012, perbelanjaan untuk pembangunan industri minyak dan gas secara global akan mencatatkan jumlah perbelanjaan modal lebih daripada RM 3.0 trilion. Menurut PEMANDU, pertumbuhan masa depan minyak dan gas Malaysia hanya akan datang daripada inisiatif seperti kaedah "Enhanced Oil Recovery" (EOR), pendekatan inovatif pembangunan lapangan "marginal" dan juga menggiatkan aktiviti penerokaan oleh pengendali minyak dan gas di Malaysia serta penerokaan penemuan laut dalam. Inisiatif-inisiatif ini adalah cadangan-cadangan yang bernas. Sungguhpun begitu ia akan memakan belanja yang tinggi dan syarikat-syarikat pengendali minyak dan gas, seperti PETRONAS Carigali, akan memerlukan wang tunai yang lebih banyak untuk membiayainya.


Sebagai salah satu cara mengatasi masalah ini, PETRONAS telah mengembangkan operasi minyak dan gasnya ke lebih daripada 30 buah negara. Ini merupakan satu langkah strategik yang harus dipuji; hasil daripada pandangan jauh pihak pengurusan, dan juga kerajaan, dalam menangani kebimbangan terhadap kehabisan rizab minyak dan gas di Malaysia. Pada sidang yang sama, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan, Datuk Shamsul juga berhujah bahawa kini adalah masa yang paling sesuai untuk membeli lapangan-lapangan minyak dan gas antarabangsa yang boleh mendatangkan keuntungan besar, memandangkan pengeluaran tempatan semakin berkurangan. Namun, inisiatif begini juga memerlukan dana yang besar. Malah, mengikut PETRONAS seperti pengumumannya tahun lepas, memerlukan lebih kurang RM 300.0 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang untuk pelaburan modal (capital investment).


Ya, mungkin ada yang akan berhujah bahawa keperluan wang tunai ini boleh diselesaikan dengan mudah melalui pinjaman; melalui sukuk dan bon terbitan, tetapi pengukuhan rizab tunai PETRONAS juga wajib dijadikan keutamaan.


Soalan 4 - Adakah industri tempatan minyak dan gas di Malaysia boleh dipertingkatkan lagi?


Anggaran kasar dengan mudah boleh menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya RM 1.0 trilion telah dibelanjakan untuk pengeluaran minyak dan gas sebagai perbelanjaan modal sepanjang lebih 38 tahun yang lalu. Berapa banyakkah daripada modal ini yang telah diturunkan kepada industri minyak dan gas tempatan? Hanya dengan melihat perbandingan mudah, yakni syarikat-syarikat minyak dan gas yang disenaraikan di pasaran saham, dapat menunjukkan 25 syarikat minyak dan gas yang tersenarai (berdasarkan Industrial Classification Benchmark) di Bursa Malaysia mencatatkan jumlah pendapatan sebanyak RM 73.0 bilion dalam tahun kewangan terakhir. Sebagai perbandingan, Singapura, yang bukan merupakan negara pengeluar minyak dan gas pun, mempunyai 31 syarikat minyak dan gas tersenarai di pasaran sahamnya, dengan saiz pendapatan berjumlah RM 149.0 bilion!

Tidak dinafikan, terdapat juga syarikat tempatan seperti Malaysian Marine Heavy Engineering (bernilai RM 9.0 bilion) dan syarikat SapuraKencana Minyak dan gas yang baru ini menggabungkan Sapura dan Kencana (bernilai RM 11.0 bilion) yang muncul sebagai syarikat "fabrication" dan marin yang mampu berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Walaupun begitu, bagaimanakah hasil mereka ini jika dibandingkan dengan jumlah perbelanjaan yang telah dikeluarkan untuk membangunkan industri minyak dan gas tempatan? Tambahan pula, bagaimanakah mereka jika dibandingkan dengan pesaing-pesaing terhebat dunia Hyundai Heavy Engineering, Samsung Heavy Industries, Keppel Shipyard, Sembcorp Marine dan juga McDermott?

Harus diperakui bahawa perbelanjaan ini telah berjaya membangunkan kepakaran tenaga pekerja tempatan dalam semua sektor minyak dan gas. Ini merangkumi semua bidang daripada kejuruteraan, pembinaan, pemasangan, pemasangan di lautan, peralatan khas, serta tenaga buruh mahir, dan macam-macam lagi. Bakat tempatan kita juga boleh dikatakan mampu bersaing di peringkat global, malah kini ramai yang diambil bekerja di seluruh pelusuk dunia. Syarikat kejuruteraan tempatan seperti Ranhill Worley, RNZ Engineering dan MMC O&G juga boleh dikatakan berjaya meletakkan syarikat mereka setaraf dengan syarikat antarabangsa lain.

Langkah strategik untuk membangunkan Malaysia sebagai pusat minyak dan gas dunia juga boleh dijadikan salah satu usaha untuk memastikan kelangsungan industri minyak dan gas Malaysia. Adalah diharapkan Malaysia dapat menarik pelaburan daripada luar serta menawarkan khidmat menyeluruh untuk semua keperluan industri minyak dan gas serantau dan juga dunia. Projek seperti RAPID adalah satu permulaan yang baik untuk menjadikan Malaysia pusat minyak dan gas. Marilah kita menjadikan Malaysia, untuk rantau ini, setaraf dengan Houston di rantau Amerika, dalam dunia minyak dan gas!


Akhir sekali, terdapat juga sektor-sektor lain di dalam industri minyak dan gas yang perlu dibangunkan di Malaysia; iaitu (1) sektor pembuatan dan pemasangan dan (2) sektor perkhidmatan. Syarikat pengendali minyak dan gas tempatan seringkali terpaksa bergantung kepada peralatan khas yang di import seperti mesin turbo (penjana dan pemampat), pam meter berbilang, peralatan elektrik, instrumen dan kawalan serta injap-injap bersaiz besar. Ini merupakan peluang bagi syarikat tempatan. Dari perspektif sektor perkhidmatan industri minyak dan gas, kita juga perlu memupuk dan mengembangkan daya saing pemain tempatan supaya setaraf dengan syarikat-syarikat perkhidmatan minyak dan gas berkelas antarabangsa seperti Schlumberger dan Halliburton. Jika ini boleh dicapai, rakyat Malaysia bolehlah mengurangkan kebergantungan kepada rizab minyak dan gas tempatan, kerana ekonomi sekunder yang dibangunkan ini telah mampu meneruskan kelangsungan industri ini walaupun Malaysia sendiri setelah kehabisan rizab minyak dan gas!


Cetusan Minda – Mari Berfikir Sejenak


Sejak tahun lepas, PETRONAS telah mencadangkan untuk menurunkan dividen tahunan yang dibayar kepada Kerajaan melalui format pengiraan dividen baru; menggunakan peratusan keuntungan dan bukanlah jumlah tetap. Ini bermakna jika PETRONAS untung kecil ia akan membayar amaun yang kecil, dan sebaliknya. Idea ini juga telah disokong oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir (mungkin ada yang mempersoalkan sokongannya hanyalah dizahirkan kerana kebanyakan pembelanjaan telahpun dilakukan di zaman pemerintahannya). Tambahan pula, perbincangan di Persidangan Gas Dunia baru-baru ini telah, secara terbukanya, mempersoalkan keperluan subsidi gas.


Kebergantungan terhadap PETRONAS sebegini, jika berterusan, akan mengurangkan rizab tunainya dan berisiko merencatkan potensi pertumbuhan PETRONAS. Bagi lima tahun yang lalu, PETRONAS telah membelanjakan pada kadar purata 28.5 peratus daripada aliran tunai bebasnya (free cash flow). Sebaliknya, Shell, di antara syarikat yang mempunyai kadar nisbah pelaburan semula yang tertinggi di dunia, melabur kembali sebanyak 75.0 peratus daripada aliran tunai bebas, jauh meninggalkan PETRONAS di belakang!

Malaysia dan rakyatnya sememangnya sangat bergantung kepada pendapatan minyak dan gas negara sehinggakan ia telah menjadi instrumen penting pembangunan negara yang tidak boleh dinafikan. Kita terlalu bergantung kepadanya sehinggakan halatuju negara tidak dapat dibayangkan tanpa pendapatan ini. Maka, adalah wajar bahawa usaha perlu dilakukan untuk mengurangkan kebergantungan kepada "si Tanggang" ini. Ini adalah supaya kita tidak merencatkan pertumbuhan PETRONAS dan yang lebih penting lagi, untuk memastikan Malaysia tidak tumpas suatu hari nanti, tanpa "pelan persaraan."

Jadi, wajarkah PETRONAS dilabel sebagai "si Tanggang"? Ataupun adakah PETRONAS sekadar mencuba untuk mencadangkan alternatif lain, untuk kebaikan Malaysia sendiri, dalam jangka masa panjang?


* Anas Alam Faizli sedang berkhidmat dengan sebuah syarikat minyak dan gas antarabangsa. Beliau memegang ijazah Sarjana dalam Pengurusan Projek dan sedang mengambil kedoktoran dalam bidang pentadbiran perniagaan. Kajian beliau meliputi amalan-amalan dalam penilaian modal pelaburan (capital investment evaluation practices) dan proses membuat keputusan (decision-making).

Tiada ulasan: