Kelab Greenboc |
- [TAZKIRAH] Mana Mak?
- [VIDEO] Ular Sawa Hamil Dilanggar, Anaknya Berterabur Di Jalanraya
- Bersih: Majlis Fatwa Kebangsaan Cepat Melatah
- Harga Kereta Mahal Kerana Duti Eksais Cadangan Syarikat Ada Kaitan Dengan Khairy
- Dia Belum Berupaya Untuk Mengampunkan Isterinya....
- Ulamak Muda UMNO Memfitnah Ketua Pemuda PAS
- Keajaiban Dan Keanehan Air Zam-Zam
- Masa Depan Asrul Terjejas, Buta Sebelah Mata Terkena Kanister Gas Pemedih Mata
Posted: 25 Jul 2012 01:01 AM PDT Jam 6.30 petang. Mak berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bungsu balik dari sekolah agama. ... ... Ayah baru balik dari sawah. Ayah tanya Mak, "Along mana?' Mak jawab, "Ada di dapur tolong siapkan makan." Ayah tanya Mak lagi," Angah mana?" Mak jawab, "Angah mandi, baru balik main bola." Ayah tanya Mak, "Ateh mana?" Mak jawab, "Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam?" Ayah tanya lagi, "Adik dah balik?" Mak jawab, "Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik." Mak jawab soalan ayah penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak dan bagaimana keadaan anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika. Dua puluh tahun kemudian Jam 6.30 petang Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak tengahari. Ayah tanya Along, "Mana Mak?" Along sedang membelek-belek baju barunya. Along jawab, "Tak tahu." Ayah tanya Angah, "Mana Mak?" Angah menonton tv. Angah jawab, "Mana Angah tahu." Ayah tanya Ateh, "Mana Mak?" Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh yang asyik membaca majalah. Ayah tanya Ateh lagi, "Mana Mak?" Ateh menjawab, "Entah." Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah. Ayah tanya Alang, "Mana Mak?" Alang tidak jawab. Alang hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu. Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan facebook. Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah mahu. Tidak ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana Mak. Mata dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah yang mencari-cari di mana Mak. Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap kali ayah bertanya, "Mana Mak?" Tiba-tiba adik bungsu bersuara, "Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!" Tersentap hati Ayah mendengar kata-kata Adik. Dulu anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah. Mereka akan tanya "Mana Mak?" apabila Mak tidak menunggu mereka di depan pintu. Mereka akan tanya, "Mana Mak." Apabila dapat nomor 1 atau kaki melecet main bola di padang sekolah. Mak resah apabila anak-anak Mak lambat balik. Mak mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap ketika. Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya 'Mana Mak?" Semakin anak-anak Mak besar, soalan "Mana Mak?" semakin hilang dari bibir anak-anak Mak . Ayah berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja sebegini Mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit lutut. Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan memakai payung yang sudah uzur. Besi-besi payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti. Mak menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan bagi Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan. Sampai di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak. Mak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. Mak rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat. Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham. Sekarang Mak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak seperti masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau Mak lakukannya. Lima buah kereta milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Mak tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya. Kereta warna merah bata, warna kesukaan Mak. Mak belum merasa naik kereta anak Mak yang ini. Baju mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam Mak tidak berjawab. Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi. Mak letakkan bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus kueh koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak Mak suka makan kueh koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun raut wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda faham. Semasa menerima bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi, Mak sempat berkata kepada Mak Uda, "Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kueh koci kamu ni." Sekurang-kurangnya itulah bayangan Mak. Mak bayangkan anak-anak Mak sedang gembira menikmati kueh koci sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamat. Sering kali Mak akan beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu sering singgah di kepala Mak. Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur. Selepas Mak tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur. Mak ajak anak-anak Mak makan kueh koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak. Mata dan hati anak-anak Mak sudah bukan pada Mak lagi. Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan. Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat gembira dan berlari mendakapnya seperti dulu. Ayah temankan Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan anak-anak Mak akan makan bersama. Setiap hari Mak berharap begitu. Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan setiap malam. Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak masak rebung masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak Mak. Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak jawab, "Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata semua tak berangkat." Mak minta Mak Uda telefon anak-anak yang Mak tidak boleh berjalan balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan di hati Mak agar salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan kereta. Mak teringin kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta barunya. Tidak ada siapa yang datang jemput Mak. Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telepon berbunyi. Mak ingat kata-kata ayah, "Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat saja sendiri apa-apa pun. Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak payah sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa menaiki kereta mereka sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang merasa anak-anak mengangkat kita kat bahu mereka." Mak faham buah hati Mak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di hati anak-anak Mak. Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan. Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak. Beberapa tahun kemudian Mak Uda tanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, "Mana mak?". Hanya Adik yang jawab, "Mak dah tak ada." Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit. Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi. Dalam isakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur Mak. Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak boleh bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang selalu memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa Mak semasa anak-anak Mak kecil dulu. Mak pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar handphone berbunyi semasa ayah telepon untuk beritahu mak sakit tenat. Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak. Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak.. Mak tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai. Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah, "Mana Along?" , "Mana Angah?", "Mana Ateh?", "Mana Alang?", "Mana Kak Cik?" atau "Mana Adik?". Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan ayah itu dan jawapan Mak memang tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada setiap waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak tetapi hati anak-anak Mak ada orang lain yang mengisinya. Ayah sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, "Mulai hari ini tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik , "Mana mak?" " Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari belakang. Hati ayah hancur teringat hajat Mak untuk naik kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata Mak malam itu, "Cantiknya kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita jalan-jalan kat Kuala Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci buat bekal." "Ayah, ayah....bangun." Suara Ateh memanggil ayah. Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh.. Terketar-ketar ayah bersuara, "Mana Mak?" Ayah tidak mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan "Mana Mak?" masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia. Sebuah cerita pendek buat tatapan anak-anak yang kadang-kadang lupa persaan ibu. Kata orang hidup seorang ibu waktu muda dilambung resah, apabila tua dilambung rasa. Kata Rasulullah saw. ibu 3 kali lebih utama dari ayah. Bayangkanlah berapa kali ibu lebih utama dari isteri, pekerjaan dan anak-anak sebenarnya. Solat sunat pun Allah suruh berhenti apabila ibu memanggil. Berapa kerapkah kita membiarkan deringan telepon panggilan dari ibu tanpa berjawab? |
[VIDEO] Ular Sawa Hamil Dilanggar, Anaknya Berterabur Di Jalanraya Posted: 25 Jul 2012 12:35 AM PDT Ini adalah rakaman video yang menggambarkan seekor ular sawa raksasa yang sedang hamil dilanggar sebuah kendaraan dijalan raya hingga mati, tragisnya telur yang berisi janin ular dalam kandungan ular itu berterabur keluar hingga bersepah di jalan raya. Masih banyak orang bingung sebenarnya ular itu bertelur apa beranak seperti halnya mamalia lain, tapi bukankah ular tidak menyusui? Bererti bertelur yang lebih tepat adalah Ovovivivar. Kebanyakan jenis ular berkembang biak dengan bertelur. Jumlah telurnya boleh beberapa butir saja, hingga puluhan dan ratusan butir. Ular meletakkan telurnya di lubang-lubang tanah, gua, lubang kayu lapuk, atau di bawah timbunan daun-daun kering. Beberapa jenis ular diketahui menunggui telurnya hingga menetas; bahkan ular sawa 'mengerami' telur-telurnya. -ohalkisah |
Bersih: Majlis Fatwa Kebangsaan Cepat Melatah Posted: 24 Jul 2012 10:01 PM PDT Sikap cepat melatah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung isu perhimpunan Bersih (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil) dikesali dan sekaligus merendahkan martabat dan kewibawaan institusi agama itu di mata rakyat. Ini berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang mengisytihar bahawa pertubuhan Bersih 2.0 adalah sebuah pertubuhan yang sah di sisi undang-undang. Sewaktu membuat penghakiman, hakim Rohana Yusof berkata arahan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein (untuk mengharamkan Bersih) yang dibuat tahun lalu ditolak. "Pada pandangan saya, keputusan diambil (untuk mengharamkan Bersih) telah dicemari dengan ketidak-rasionalan. Keputusan untuk mengharamkan Bersih dibuat tanpa mengambil kira fakta-fakta yang relevan atau mengambil kira fakta-fakta yang tidak relevan," katanya. Pengerusi Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Prof. Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin dalam satu kenyataannya mengeluarkan 'fatwa' bahawa perhimpunan Bersih Bantah Duduk 3.0 pada 28 April lalu di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur adalah satu perhimpunan haram. Majlis Fatwa menuduh para peserta Bersih telah mencetuskan kekacauan dan mengganggu ketenteraman awam sedangkan tuduhan tersebut tidak berasas sama sekali. Keputusan mahkamah itu seolah-olah menampar pipi Majlis Fatwa yang bertindak begitu cepat untuk mengeluarkan hukum atau 'fatwa' kononnya apa yang diperjuangkan oleh Bersih adalah bercanggah dengan Islam. Kenapa tidak pimpin Bersih? Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu turut melahirkan rasa kecewa dengan tindakan Majlis Fatwa yang cepat melatah dan mengeluarkan 'fakwa' kononnya Bersih adalah satu pertubuhan haram. "Majlis Fatwa cepat sungguh membuat keputusan (sedangkan perbicaraan masih berjalan ketika itu). Mereka ikut arahan siapa, saya pun tak tahu," katanya kepada FMT ketika ditemui selepas majlis Tazkirah Ramadhan di Surau Al Ikhwan, Selayang dekat sini malam tadi. Ujar beliau, "sepatutnya Majlis Fatwa yang terdiri daripada alim ulama' yang memimpin perhimpunan Bersih. Kenapa Majlis Fatwa tidak pimpin Bersih? Komen Mohamad Sabu ini seolah-olah berbaur sinis tetapi sebenarnya beliau serius kerana kerja-kerja untuk memastikan pilihan raya berjalan dengan bersih dan adil adalah sebahagian dari syariat dan tuntutan dalam Islam. Bukankah umat Islam diseru untuk melakukan amal makruf nahi mungkar dan menegakkan kebenaran serta keadilan yang seharusnya menjadi agenda kita sebagai seorang Muslim? Keputusan Majlis Fatwa yang cepat-cepat mengeluarkan 'fatwa' seolah-olah menunjukkan ahli jawatankuasanya dipengaruhi oleh pihak Eksekutif kerana Majlis Fatwa tidak pernah berbincang dengan penganjur perhimpunan Bersih. Majlis Fatwa membuat keputusan hanya dengan mendengar pandangan sebelah pihak dan ini merupakan satu sikap yang berat sebelah serta bercanggah dengan tuntutan Islam. Adalah menjadi tugas dan tanggungjawab Majlis Fatwa untuk membuktikan kepada rakyat di negara ini bahawa mereka bebas membuat keputusan, mengeluarkan fatwa dan bebas dari cengkaman parti politik serta pengaruh pihak Eksekutif. Majlis Fatwa, lain kali jangan cepat melatah! -Zainal Abidin Nor/FMT Ulasan GB Dengan keputusan mahkamah semalam, jelas integriti dan kredibiliti Majlis fatwa Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Prof. Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin terjejas dan dpersoalkan. Memang memalukan. Majlis Fatwa Kebangsaan yang sepatutnya bebas dari kepentingan politik kepartian kini ternyata menjadi kuda tunggangan UMNO/BN. GB sudah mengulasnya sebelum ini. GB nyatakan: Kita berharap Majlis Fatwa Kebangsaan bertindak adil dan saksama, fatwa yang hendak dikeluarkan perlulah bersandar kepada ilmu bukan bersandar kepada UMNO. klik untuk baca |
Harga Kereta Mahal Kerana Duti Eksais Cadangan Syarikat Ada Kaitan Dengan Khairy Posted: 24 Jul 2012 07:38 PM PDT Pakatan Rakyat akan menjadikan pengurangan harga kereta - yang dianggap barangan keperluan - sebagai sebahagian daripada manifesto pilihan raya umum akan datang. Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata laporan Kajiselidik Pendapatan dan Kemudahan Isi Rumah 2009 yang baru dikeluarkan Jabatan Perangkaan menunjukkan hampir 72 peratus isi rumah menggunakan kereta sedangkan 53 peratus isi rumah Malaysia berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan. Peratusan yang tinggi itu katanya, berpunca daripada kegagalan Dasar Automatif Negara yang digubal BN pada tahun 2006. Pada masa sama katanya, hutang kereta persendirian meningkat sebanyak RM16 bilion atau 14 peratus dalam masa 18 bulan sejak November 2010. Ini membuktikan ia adalah isu pilihan raya yang perlu diberikan perhatian oleh parti-parti yang bertanding, kata Rafizi. "Keadaan ini membayangkan bahawa hutang kereta yang disebabkan harga kereta yang tinggi adalah satu beban utama pada rakyat," katanya. Menurut Rafizi, harga kereta kini tinggi kerana rakyat membayar duti eksais, cukai import dan cukai jualan apabila membeli kereta. Harga tinggi kerana cukai, duti eksais Pengenalan duti eksais - sekurang-kurangnya 60 peratus daripada harga kereta - pada masa itu dilakukan untuk mengimbangi cukai import yang dikurangkan kerana Asian Free Trade Agreement (AFTA), katanya. Rafizi mendakwa tindakan itu dibuat setelah kerajaan antara lainnya menerima nasihat daripada syarikat perunding Ethos Consultancy yang didakwa mempunyai kaitan dengan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin. "Beliau (Khairy) perlu kongsi dengan kita apakah pertimbangan pada masa itu yang membuatkan kerajaan perkenalkan duti eksais," katanya. Duti eksais ke atas kereta juga kata Rafizi, ibarat mencukai rakyat atas pembelian barang keperluan seperti makanan, air dan elektrik. "Anda (kerajaan) tidak sepatutnya menghukum rakyat dengan kutip cukai atas barang keperluan. "Kalau ada ruang fiskal (belanjawan) yang perlu ditutup, kerajaan perlu cari mekanisma lain," katanya. Justeru katanya, Pakatan akan melihat kemungkinan menghapuskan duti eksais secara berperingkat untuk mengurangkan harga kereta. ADUN Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin dalam sidang media sama berkata pimpinan muda PKR akan membuat jelajah keliling negara untuk berdialog dan menerangkan perkara itu kepada orang ramai bermula 5 Ogos ini. "Kita cadangkan dialog peringkat kebangsaan. "Kita mahu dengar (cadangan) daripada rakyat dan kumpulan berkepentingan seperti Malaysian Automotive Association (MAA), berkenaan perkara ini," katanya. -mk |
Dia Belum Berupaya Untuk Mengampunkan Isterinya.... Posted: 24 Jul 2012 05:20 PM PDT Saya sering membaca kisah-kisah yang dipaparkan dalam ruangan ini yang banyak mengisahkan kecurangan suami sahaja. Biasanya kaum wanitalah yang sering mengadu tentang keburukan kelakuan, tabiat dan perbuatan sumbang suami masing-masing. Namun saya tak salahkan mereka kerana mereka yang merasakan penderitaannya tentulah sakit hati dan ingin meluahkan perasaan masing-masing. Mereka tahu cerita mereka menjadi rahsia, dan apa yang tersemat di hati mereka cuma penulis sahaja yang tahu. kali ini saya ingin mencurahkan perasaan saya. Kalau selalunya wanita berasa tertipu dengan suami masing-masing, perasaan saya lebih sakit lagi apabila dikhianati isteri sendiri. Demikian cerita Zain ketika penulis menghubungi beliau setelah membalas e-melnya kerana ingin bertanya lebih lanjut lagi. Memang terkejut tetapi bukan mustahil boleh berlaku kerana dunia ini pentas dan kita semua adalah pelakonnya. Apa perasaan puan bila baca cerita saya, terkejut tak? Tentu terkejutkan! Saya rasa bukan saya seorang sahaja suami yang berperasaan demikian. Ada lagi mungkin tidak ramai kaum lelaki yang mempunyai pengalaman pahit seperti yang saya lalui, tetapi mereka suka mendiamkan diri. Dulu saya pun menyimpan perasaan yang sama, tetapi semakin lama kita simpan semakin perit, pedih dan menjadi racun berbisa. Jadi hari ini saya luahkan kepada puan, pertimbangkanlah. Memang benar zaman ini macam-macam perkara yang kita tak sangka boleh berlaku. Demikian pengalaman pahit yang saya lalui. Saya bekerja tetap tahun 70-an, oleh kerana saya daripada keluarga susah, ramai adik-beradik, maka saya amat sayangkan kerja. Saya bekerja tak tentu masa kerana terlalu gembira dengan tugas, sesuatu yang saya idam-idamkan selama ini. Walaupun saya mendapat tawaran ke U tetapi saya tolak, sebab keluarga miskin, jadi saya berkorban supaya saya boleh bekerja dapat duit, bantu ayah sekolahkan adik-adik. Saya bersyukur semua adik-beradik saya berjaya dalam pelajaran, lulusan U dan semuanya memegang jawatan yang baik juga. Biarpun saya tidak lulus U tetapi kerana dedikasi dan ketekunan bekerja, saya naik pangkat dan menjawat jawatan yang baik. Ini balasan Allah daripada pengorbanan besar yang saya lakukan demi pelajaran adik-adik saya. Kerana terlalu sayangkan kerja, saya terlupa usia semakin meningkat dan tak kahwin. Hidup saya cuma rumah dan tempat kerja saja. Sebelum pukul 8 saya dah mula bekerja dan balik pukul 6 petang ada kalanya lewat malam. Dan bila kerja banyak ada kalanya sampai pagi. Hari Ahad dan Sabtu sama saja. Ada satu ketika rutin ini berterusan hingga 114 hari, termasuk hujung minggu dan cuti umum, hingga risau ibu di kampung. Saya hanya lulus MCE, tetapi nasib menyebelahi saya. Jawatan kerajaan yang dipegang adalah idaman ramai. Pendapatannya lumayan bagi seorang bujang umur 20-an, dapat kereta baru, dan dihormati ramai, tentu glamor juga di mata gadis-gadis. Tetapi kerana taksub dengan kerja, saya lupa dunia, hiburan dan hidup berkeluarga. Akhirnya ketua jabatan, seorang pengarah merancang konspirasi menjodohkan saya kerana tidak mahu melihat hidup saya habis di pejabat. Awal tahun 70-an usia dah dekat 30 tahun masih bujang. Di pejabat, saya digelar the most eligible bachelor. Konspirasi mereka menjadi, mereka memaksa saya berkahwin dengan seorang gadis yang boleh dikatakan cantik juga. Anak ulama daripada keluarga agak tersohor dan dikenali secara peribadi oleh ketua jabatan saya. Hampir setahun berkenalan, akhirnya saya mendirikan rumah tangga dengan Hamizan. Belum dua tahun berkahwin, Hamizan melahirkan anak, disusuli seorang lagi tiga tahun kemudian dan ketiga, lima tahun kemudian. Dalam pada itu saya dinaikkan pangkat, melayakkan saya menduduki banglo kuarters kerajaan di KL. Saya juga dianugerahkan bintang kebesaran Persekutuan, semua dalam tempoh kurang 13 tahun saya bertugas. Hamizan bekerja di sebuah badan berkanun. Dia gemar bersukan apa jenis pun dan aktif berpersatuan. Rajin menyertai kegiatan kesenian dan kebudayaan, seperti menari dan berdrama. Kebolehannya ini membawanya ke seluruh negara dan ASEAN dalam misi mengeratkan silaturahim antara badan-badan yang sama antara negara tersebut. Kerana aktif berpersatuan, dia sering pulang lewat selepas pukul 8 malam dan kadangkala sehingga pukul 10 malam. Saya tidak merasa syak-wasangka kerana kami diketahui ramai sebagai pasangan ideal. Tetap bergurau senda, berpegang tangan semasa berjalan dan tidak kurang menunjukkan affection pada bila-bila masa. Kami saling sayang-menyayangi. Suatu hari lebih kurang sedekad lalu, seorang hamba Allah menelefon saya dan bertanya mengapa saya biarkan isteri diusung orang merata tempat. Saya jadi bingung kerana selama ini Hamizan tidak menunjukkan sebarang tanda dia curang selain pulang lewat. Sungguhpun saya sangsi cerita pemanggil itu, namun hati saya mula curiga. Saya bawa bertenang, dan tidak terburu-buru menyergah Hamizan. Saya cuba siasat sendiri. Suatu hari saya pulang pukul 3 pagi, dengan kehendak Allah jua saya ternampak bukti pertama sebuah diari di sebelah Hamizan, ketika itu dia tertidur. Hampir pitam saya bila membelek diari itu. Rupa-rupanya dia keluar masuk hotel dengan teman-teman lelakinya, termasuk orang berpangkat tertinggi di jabatannya, juga berpangkat rendah. Bila diajukan dengan bukti Hamizan tidak dapat mengelak daripada mengakuinya. Dia menceritakan segala-galanya, termasuk kecurangannya. Mahu saya cekik dia ketika itu. Tapi ingatkan anak-anak dan maruah keluarga, saya mengucap berkali-kali. Ketika itu anak-anak sedang membesar dan pencapaian pelajaran mereka amat menggalakkan. Mengenangkan masa depan mereka, saya tidak bertindak. Kalau dulu saya berkorban untuk adik-beradik, kali ini saya berkorban untuk anak-anak, maruah mereka dan keluarga saya. Walaupun marah, namun saya beri amaran keras bahawa sekiranya perbuatan ini berulang lagi padahnya amat berat. Dia menangis meminta ampun. Malangnya pisang berbuah banyak kali. Hamizan mengulangi kegiatannya meskipun tidak lagi pulang lewat. Kali ini saya menemui bukti setelah menerobos masuk ke e-melnya. Kali ini temannya seorang jurutera sebuah syarikat telekomunikasi dan seorang jeneral yang pernah dikenali semasa remaja. Saya tak mahu marah lagi, kerana inilah sifat buruknya yang sebenar. Mulai hari itu antara kami sudah tidak ada apa-apa. Namun untuk meyakinkannya saya hubungi teman-temannya itu, dan berjaya mendapatkan pengakuan bertulis mereka, ada juga secara lisan. Saya beritahu mereka perbuatan mereka akan ada balasannya, tiada statute of limitation, bermakna balasannya mungkin serta-merta, lepas lima tahun atau 20 tahun, bila-bila saja. Allah maha besar. Apa yang menghairankan saya, Hamizan bukan anak orang sembarangan, dia anak ulama, pandai mengaji al-Quran kalau berlagu ala qari terkenal Ismail Hashim, baca Yasin setiap malam Jumaat dari dulu sampai sekarang, sembahyang, puasa, termasuk yang sunat, tak pernah tinggal, bertudung, pakaian sopan. Malah kalau berzanji merdu suaranya. Setelah difikirkan baru saya sedar, apa yang dilakukan adalah untuk mengaburi mata saya daripada melihat maksiat dan kecurangan yang dilakukan di luar. Walaupun saya begitu marah tetapi memukul tidak sekali-kali. Saya bawa bertenang kerana memikirkan anak-anak kami ketika itu sedang membesar. Tetapi sedihnya peristiwa pahit dalam kehidupan saya, belum berakhir. Satu hari anak kedua saya Nuraine yang melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan di IPTA pulang bercuti. Sampai di rumah dia terus memeluk saya dengan tangisan. Katanya, dia bukan anak saya. Darah kami berlainan. Saya terkejut besar. Bila saya tanya mana dia tahu, katanya ketika menderma darah dia dapati jenis darahnya tidak ada persamaan dengan darah saya. Saya langsung tidak terfikir kecurangan Hamizan sampai ke tahap ini. Hamizan ketika ditanya menafikan, namun ujian darah membuktikan bahawa Nuraine adik-beradik dengan anak-anak saya yang lain, satu emak tetapi lain ayah. Hamizan tetap berdegil tidak mengakui kesahihan ujian tersebut, meskipun saya dapat agak siapa sebenarnya ayah Nuraine. Malah pernah rakan-rakan sepejabat Hamizan ada mengatakan wajah Nuraine sama seperti salah seorang pegawai tinggi di pejabatnya. Tetapi Hamizan menafikan. Bukan sekali dua wajah Nuraine menjadi pertanyaan ramai, banyak kali. Hamizan kini masih sebumbung dengan saya, tetapi saya tidak pernah menyentuhnya sejak hampir 10 tahun lalu. Anak-anak tidak menghormatinya lagi. Mereka enggan bertegur sapa, tidak bercakap sopan, kalau bercakap pun dengan kasar, membuatkan Hamizan menangis. Anak-anak tahu perbuatan keji emak mereka dan tahu pengorbanan saya demi menjaga hati, maruah dan pembelajaran mereka. Anak sulung saya kini star-performer di jabatannya. Nuraine mewakili syarikatnya bertugas di Eropah sementara anak ketiga akan tamat pengajian tidak lama lagi. Inilah pengorbanan saya. Biar hati lebur asal anak-anak bahagia. Yang penting saya tidak mahu korbankan masa depan mereka dengan sikap saya yang tidak sabar dan mengikutkan rasa saya. Nuraine hampir setiap hari menelefon saya bertanya khabar. Anak-anak lebih sayangkan saya dan lebih suka berbincang dan berbual dengan saya daripada emak mereka. Inilah sebabnya saya masih tidak menceraikan Hamizan. Saya tetap tidak mengampunkan Hamizan. Biar dia nazak dan meminta maaf atau saya sedang nazak dan dia sujud menangis meminta ampun, saya tetap tidak akan memaafkannya. Saya tahu Allah Maha Pengampun, Nabi Muhammad juga mengampunkan umatnya. Namun, saya bukan Allah dan saya juga bukan Nabi Muhammad. Saya seorang biasa dan tidak akan melakukan sesuatu untuk menyamai Allah atau Nabi. Ada saya terbaca bahawa ibadah seseorang isteri tidak diterima Allah sekiranya dia melakukan dosa besar terhadap suaminya dan tidak mendapat pengampunan daripadanya. Jika benar, saya tidak akan mengampunkan apa juga dosa Hamizan. Sungguh saya tidak menyangka kebahagiaan, kesenangan, kesetiaan dan kepercayaan yang saya curahkan kepada dia disia-siakan. Kalaulah membunuh bukan satu kesalahan dan tidak membawa aib kepada keluarga, sudah lama saya cincang-cincang Hamizan untuk menjadi jamuan anjing-anjing liar di tepi jalan dengan daging busuknya, demikian cerita Zain. Nampaknya Zain telah melakukan pengorbanan besar bukan sahaja untuk adik-beradiknya, anak-anaknya malah menjaga nama baik dan maruah mentuanya. Namun saya tertanya-tanya apakah Zain sudah bertanya kehendak Hamizan untuk masa depannya? Mungkin dia ingin menjadi burung yang terbang bebas? Kepada pembaca, dapatkah anda pertimbangkan jika mempunyai isteri yang curang seperti ini? -emel Ulasan GB Apa pun kesalahan yang dilakukan oleh suami atau isteri terhadap kita, hendaklah kita bersabar dan memaafkannya - itulah yang terlebih baik untuk kita dan roh kita. Benar kita bukan Allah, kita bukan Muhammad, namun kita hendaklah berakhlaq dengan "akhlaq" Allah dan RasulNya Muhammad yang merupakan "uswatun-hasanah" (contoh tauldan yang terbaik). Maksud dengan "akhlaq" Allah ialah jika Allah bersifat Pengasih maka kita wajar bersifat demikian juga. Memang perit dan sakit untuk menerima hakikat seorang isteri sendiri berlaku curang terhadap suami. Namun ia adalah ujian terhadap seorang suami... ujian daripadaNya juga, maka hendaklah kita bersabar dan redha dengan ujian itu. Biarlah Allah swt yang membalas kecurangannya tetapi balasan/ganjaran Allah terhadap orang yang sanggup memaafkan kesalahan dan dosa orang lain amatlah besar. Allah SWT berfirman dalam surah al-A'raf ayat 199 yang bermaksud: "Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf serta berpalinglah daripada orang yang jahil." Daripada Ibnu Abbas ra, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda berdasarkan daripada apa yang telah diriwayatkan daripada Allah Taala : "Sesungguhnya Allah telah menulis kebaikan-kebaikan dan kejahatan-kejahatan, kemudiannya Allah menerangkan perkara tersebut. Barangsiapa yang berniat mengerjakan kebaikan, dan tidak melakukannya, maka Allah akan mencatat disisinya satu kebajikan yang penuh. Jika sekiranya seseorang itu melakukannya, maka Allah akan mencatatkan di sisinya sepuluh kebajikan sehingga tujuh ratus dan digandakan dengan gandaan yang banyak. Jika sekiranya seseorang berniat mengerjakan kejahatan, dan dia tidak melakukannya, maka Allah mencatat disisinya satu kebajikan yang penuh. Jika sekiranya dia berniat mengerjakannya, dan melakukannya, maka Allah akan mencatatnya dengan satu kejahatan." – Riwayat al-Bukhari dan Muslim. Wallauhu 'alam |
Ulamak Muda UMNO Memfitnah Ketua Pemuda PAS Posted: 24 Jul 2012 10:44 AM PDT Inilah fitnah dan pendustaan melampau dari dia yang bergelar Ulamak Muda UMNO di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. Menuduh Ketua Pemuda PAS kononnya "rela" disolekkan oleh jurusolek ASTRO Awani dan memuji Ulamak Muda UMNO Fathul Bari kononnya memilih untuk menyolek diri sendiri kerana khuatir dan bimbang tersetuh dengan wanita. Kemudian ditambahkan pula dengan rumusan yang meluatkan berbentuk pertanyaan: apa guna perjuangkan Islam anda! hal semudah itu tidak dapat dijaga.renung2kan. Sedangkan hakikat (kebenaran)nya ialah seperti gambar di bawah ini: Siapakah di dalam foto di atas yang membenarkan dirinya disolek oleh jurusolek itu? Ketua Pemuda PASkah atau Ulamak Muda UMNO, iaitu Fathul Bari namanya? Firmanullah s.w.t: Orang yang memfitnah orang mukmin (yang lelaki) dan mukminah (yang perempuan), kemudian mereka tidak bertaubat, bagi mereka azab jahanam dan neraka yang membakar. Al-Buruj : 10 FITNAH seakan sudah menjadi budaya dan darah daging UMNO, daripada presidennya, para menterinya, akhbarnya, bloggernya, para ulamak tua dan mudanya. Komain lancang mulut mereka bercakap dan tangan mereka menulis fitnah-fitnah demi untuk mempertahankan nyawa parti mereka yang sednag nazak itu. Dan GB tertanya-tanya: layakkah dia bergelar "ulamak" atau "ustaz" seandainya FITNAHnya begitu jelas dan ketara? |
Keajaiban Dan Keanehan Air Zam-Zam Posted: 24 Jul 2012 07:02 AM PDT Tidak ramai yang tahu bagaimana telaga zam-zam boleh mengeluarkan puluhan juta liter pada musim haji dan ia tidak pernah kering walaupun sekali. Seorang pengkaji diperintahkan oleh raja Faisal untuk menyelidik telaga zam-zam bagi menjawab tuduhan liar seorang doktor dari Mesir. Berapa Juta Liter Air Zam-Zam? Berapa banyak air zam-zam yang di ambil setiap kali musim haji? Mari kita kira secara rambang, Jemaah haji yang datang dari seluruh pelusuk dunia pada setiap musim haji dewasa ini berjumlah lebih kurang dua juta orang. Semua jemaah diberi 5 liter air zam-zam ketika pulang ke tanah airnya, jika 2 juta orang membawa pulang masing-masing 5 liter air zam-zam ke negaranya, ini sahaja sudah menjadi 10 juta liter. Disamping itu sepanjang berada di Mekah dan kebanyakannya jemaah tinggal 25 hari dan setiap orang menghabiskan 1 liter sehari maka jumlahnya sudah 50 juta liter. Keanehan Air Zam-Zam Pada tahun 1971, seorang doktor dari Mesir mengatakan kepada akhbar di Eropah bahawa air zam-zam tidak sihat untuk diminum. Pendapatnya berdasarkan bahawa kota Mekah itu ada di bawah garis permukaan laut, Air Zamzam itu berasal dari air sisa buangan penduduk kota Mekah yang meresap, kemudian mendap terbawa bersama-sama air hujan dan keluar dari telaga air zamzam. Berita ini sampai ke telinga Raja Faisal yang kemudian memerintahkan Menteri Pertanian dan Sumber Air untuk menyelidiki masalah ini dan menghantar sampel air zam-zam ke Laboratorium-laboratorium di Eropah untuk diuji. Tariq Hussain seorang jurutera kimia yang bekerja di Institut Penapisan Air Laut untuk diminum di Jedah, mendapat tugas menyelidikinya. Pada masa memulakan tugasnya Tariq belum ada gambaran bagaimana telaga air zam-zam boleh menyimpan air yang begitu banyak seperti tidak ada hadnya. Ketika sampai di dalam sumur, Tariq amat terkejut apabila melihat bahawa ukuran "kolam" telaga itu hanya 18 x 14 kaki saja (Kira-kira 5 x 4 meter). Tidak terbayang bagaimana telaga sekecil ini boleh mengeluarkan jutaan galen air setiap kali musim haji, dan ini berlaku sejak ribuan tahun yang lalu semenjak zaman Nabi Ibrahim AS. Penyelidikan menunjukkan bahawa mata air zam-zam boleh mengeluarkan air sebanyak 11-18 liter air per saat, dengan demikian setiap minit 660 liter air akan dihasilkan, itulah yang mengejutkan. Tariq mula mengukur kedalaman air telaga dan meminta pembantunya masuk ke dalam air, ternyata air telaga itu hanya mencapai sedikit di atas bahu pembantunya yang tinggi tubuhnya 5 kaki 8 inci. Lalu dia menyuruh pembantunya untuk memeriksa, apakah mungkin ada cerukan atau saluran paip di dalamnya. Setelah memeriksa dari satu tempat ke tempat lainnya, ternyata tidak menemui apapun! Dia berfikir mungkin sahaja air telaga ini diambil dari luar melalui saluran pam berkapisiti besar, jika itu keadaannya maka dia boleh melihat turun-naiknya permukaan air secara tiba-tiba. Tetapi dugaannya meleset, beliau tidak menemui gerakan air yang mencurigakan, juga tidak menemui ada alat yang boleh mendatangkan air dalam jumlah besar. Seterusnya dia minta pembantunya masuk lagi ke dalam telaga, lalu menyuruh berdiri dan diam ditempatnya sambil mengamati sekelilingnya. Perhatikan dengan cermat dan laporkan apa yang terjadi walau sekecil apapun, setelah melakukan proses ini dengan cermat, pembantunya tiba-tiba mengangkat kedua tangannya sambil berteriak: "Alhamdulillah, Saya temuinya ! Pasir halus menari-nari di bawah telapak kakiku, dan air itu keluar dari dasar telaga". Lalu pembantunya diminta berpusing mengelilingi telaga ketika tiba masa pengepaman air (untuk disalurkan ke tempat pengagihan air) berlaku. Dia merasakan bahawa air yang keluar dari dasar telaga sama besarnya seperti sebelum tempoh pengepaman. Aliran air yang keluar besarnya sama di setiap titik di semua kawasan, ini menyebabkan permukaan telaga itu stabil tidak ada goncangan yang besar. Mengandungi Zat Anti Kuman Hasil penyelidikan sampel air di Eropah dan Arab Saudi menunjukkan bahawa air zam-zam mengandungi zat fluorida yang ada daya efektif membunuh kuman, sama seperti sudah mengandungi ubat. Lalu perbezaan air zam-zam dibandingkan dengan air telaga lain di Mekah dan sekitar Arab adalah dalam hal kuantiti kalsium dan garam magnesium. Kandungan kedua-kedua mineral itu sedikit lebih banyak pada air zam-zam, mungkin sebab itulah air zam-zam dapat menyegarkan bagi jemaah yang keletihan. Keistimewaan lain komposisi dan rasa kandungan garamnya sentiasa stabil sentiasa sama dari sejak terbentuknya telaga ini. Rasanya" selalu terjaga, diakui oleh semua jemaah haji dan umrah yang selalu datang setiap tahun. Boleh Menyembuhkan Penyakit Nabi saw menjelaskan: "Sesungguhnya, air zam-zam ini air yang sangat diberkahi, ia adalah makanan yang mengandungi gizi". Nabi S.A.W. menambahkan: "Air zamzam bermanfaat untuk apa saja yang diniatkan ketika meminumnya. Jika engkau minum dengan maksud agar sembuh dari penyakitmu, maka Allah menyembuhkannya. Jika engkau minum dengan maksud supaya merasa kenyang, maka Allah mengenyangkan engkau. Jika engkau meminumnya agar hilang rasa hausmu, maka Allah akan menghilangkan dahagamu itu. Ia adalah air tekanan tumit Jibril, minuman dari Allah untuk Ismail". (HR Daruqutni, Ahmad, Ibnu Majah, dari Ibnu Abbas). Rasulullah (S.A.W.) pernah mengambil air zam-zam dalam sebuah kendi dan bekas dari kulit, kemudian membawanya kembali ke Madinah dan Air zam-zam itu digunakan Rasulullah (saw) untuk memercikkan kepada orang sakit dan kemudian disuruh meminumnya. Dalam penyelidikan ilmiah yang dilakukan di laboratorium Eropah, terbukti bahawa air zamzam memang lain dari yang lain. Kandungan airnya berbeza dengan telaga-telaga yang ada di sekitar Makah. 1) Kadar Kalsium dan garam Magnesiumnya lebih tinggi dibanding telaga lain, berkhasiat untuk menghilangkan rasa haus dan kesan penyembuhan. 2) Air Zam-zam juga mengandungi zat fluorida yang berkhasiat memusnahkan kuman-kuman yang terdapat dalam kandungan airnya. 3) Yang juga menakjubkan adalah tidak ada sedikit pun lumut di telaga ini. Air Zam-zam sentiasa bebas dari pencemaran kuman. 4) Ajaibnya lagi, pada masa semua telaga air di sekitar Mekah dalam keadaan kering, telaga air zam-zam tetap berair. Dan air zam-zam memang tidak pernah kering sepanjang zaman. Beberapa ulama fiqah mencadangkan agar jemaah haji membawa air zam-zam ketika pulang ke negaranya kerana air zam-zam boleh jadi sebagai ubat untuk penyembuhan. Ini terbukti ramai jemaah dari negara umat Islam mahupun negara lain yang pernah merasakan keajaiban air zam-zam. -Crewfathi |
Masa Depan Asrul Terjejas, Buta Sebelah Mata Terkena Kanister Gas Pemedih Mata Posted: 24 Jul 2012 02:33 AM PDT Kuala Lumpur: Seorang anggota Unit Amal memberitahu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bahawa mata kanannya kemungkinan besar mengalami kecacatan kekal akibat terkena kelongsong gas pemedih mata pada perhimpunan Bersih, 28 April lalu. Asrul Hadi Ahmad, 26 berkata, beliau menerima rawatan di lima hospital, dua hospital kerajaan dan tiga hospital swasta. "Doktor bagitahu penglihatan saya ada masalah dan pakar telah memberitahu mata saya sukar untuk pulih atau cynical blind," kata beliau pada sidang pendengaran awam mengenai dakwaan pelanggaran semasa dan selepas perhimpunan Bersih 3.0 di Ibu Pejabat Suhakam hari ini. Asrul yang berasal dari Pulau Pinang menerima sembilan jahitan di mata dan dua jahitan di hidung dan masih menerima rawatan susulan sehingga hari ini. Ketika kejadian, beliau berada di kawasan Masjid Jamek untuk menyertai perhimpunan Bersih 'Duduk Bantah'. Ketika mencari ayahnya yang terpisah selepas gas pemedih mata dilepaskan, satu kelongsong gas yang dilepaskan mengenai tepat mata kanannya. Beliau pengsan dan dirawat orang sekeliling sebelum dibawa ke Hospital Besar Kuala Lumpur. Menurut Asrul juga, masa depannya turut terjejas akibat kecacatan tersebut. "Sepatutnya saya lapor diri di sebuah syarikat selepas 28 April tapi akibat mata saya yang macam ni, saya tidak diterima bekerja. "Saya pun ada pergi temuduga di tempat lain tapi syarikat kata sukar nak ambil saya kerja sebab mata itu sangat penting. Susah kalau saya hanya dapat melihat sebelah mata sahaja," kata beliau yang berkelulusan jurutera mekanikal dari universiti tempatan. Asrul memberi keterangan di hadapan panel siasatan yang dipengerusikan Naib Pengerusi Suhakam, Datuk Dr Khaw Lake Tee dan dibantu oleh Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen. -HD klik untuk baca |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan