Jumaat, 13 Julai 2012

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Musa Hassan Dedahkan Jenayah Memang Meningkat, Gesa Polis Usah Sorokkan Fakta

Posted: 13 Jul 2012 12:38 AM PDT

Tak perlu sorok fakta, jenayah memang meningkat, kata Musa Hassan

KUALA LUMPUR, 13 Julai — Bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan mendakwa kadar jenayah di Malaysia sememangnya telah meningkat dan meminta agar pihak berkuasa tidak menyorokkan fakta sebenar kepada orang ramai.

"Rakyat perlu tahu perkara sebenar, tidak perlu sorok-sorok tentang masalah jenayah.

"Sewaktu saya memikul tanggungjawab sebagai KPN dahulu, saya sering sebut tentang peningkatan kadar jenayah," kata Musa dalam wawancara bersama The Malaysian Insider semalam.

Bekas KPN itu turut mengakui kadar jenayah di Malaysia pada hari ini berada di tahap yang membimbangkan.

"Jika jenayah tak teruk, tak perlulah menteri-menteri dan orang kaya guna ramai 'bodyguard'.

"Kerana banyak jenayahlah menteri-menteri dan orang-orang besar perlukan 'bodyguard',"
kata Musa.

Musa Hassan telah berkhidmat untuk Polis Di Raja Malaysia (PDRM) selama empat dekad dan memimpin pasukan tersebut selama empat tahun semenjak tahun 2006 sebelum digantikan oleh Tan Sri Ismail Omar pada 13 September 2010.

Walaupun berlakunya kes serangan, rompakan dan penculikan, polis, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) dan kementerian dalam negeri (KDN) mengeluarkan statistik kadar jenayah negara telah menurun semenjak kerajaan memperkenal Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Unit Pencegahan Jenayah Pemandu dalam majlis bersama media semalam — langkah untuk mengurangkan kerisauan orang ramai, menyatakan statistik kadar jenayah menurun sebanyak 10.1 peratus pada lima bulan pertama tahun ini.

Sebelum ini, Unit Pencegahan Jenayah Pemandu telah mengeluarkan angka untuk menunjukkan penurunan indeks jenayah sebanyak 11.1 peratus dari 2010 sehingga tahun lalu manakala jenayah jalanan menurun 39.7 peratus pada tempoh sama.

Pemandu turut merayu agar media membantu mereka mengubah persepsi rakyat dan mendesak agar laporan seimbang diberikan.

Ketika ditanya mengenai kenyataan Pemandu berkenaan statistik jenayah yang menurun, Musa mencadangkan kerajaan agar melantik pihak ketiga yang lebih bebas seperti universiti untuk memberikan data seperti statistik jenayah kerana mereka lebih bebas.

"Sewaktu zaman saya dulu, saya minta Universiti Sains Malaysia untuk keluarkan statistik jenayah.

"Ini turut dilakukan oleh pasukan polis di Amerika yang sering menggunakan universiti agar data yang diperolehi tepat dan tidak menyorokkan apa-apa fakta,"
kata Musa lagi.

Menurut bekas KPN itu lagi, kadar jenayah diseluruh dunia meningkat akibat daripada kemerosotan ekonomi dunia akibat dariapada kemelesetan ekonomi yang berlaku di Eropah.

"Globalisasi menyebabkan sukar untuk sesebuah negara untuk mencegah berlakunya jenayah.

"Globalisasi menyebabkan ramai orang luar masuk ke Malaysia, yang kita tak tahu latar belakang dia, 'especially' dari Nigeria tentang kehidupan dadah mereka.

"Ini adalah diantara punca berlakunya peningkatan jenayah dalam negara," kata Musa lagi.

Untuk mencegah masalah jenayah yang berleluasa hari ini, bekas KPN mencadangkan agar polis membuat penambahbaikan dari segi mengubah teknik dalam memerangi jenayah sekarang ini kepada 'intelligence procurement' atau 'perolehan risikan'.

"Kita perlu mendapatkan maklumat-maklumat risikan terdahulu.

"Jika maklumat risikan polis bagus dari segi perolehannya, mempunyai hubungan rapat dengan penguatkuasa luar negara, maka kita boleh mengetahui awal berkenaan latarbelakang seseorang dan boleh memantau jika mereka penjenayah.

"Sama seperti dalam negara kita, kita perlu pantau geng-geng jahat dan penjenayah-penjenayah ni," kata bekas KPN itu lagi. -TMI


LAPORAN SEBELUM INI

IGP: Tak percaya polis, boleh rujuk GPI


Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar Jumaat menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan berlaku peningkatan kadar jenayah di negara ini berdasarkan kes jenayah yang dilaporkan media massa termasuk media sosial.

Beliau berkata dakwaan itu tidak benar kerana berdasarkan statistik yang diperoleh daripada polis negeri dan daerah termasuk platform antarabangsa seperti Indeks Keamanan Global (GPI), menunjukkan keberkesanan negara dalam menangani dan mengurangkan kadar jenayah.

"Sekiranya ada pihak yang masih tidak mempercayai dengan apa yang dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak pelaksanaan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dua tahun lepas, boleh rujuk laporan yang dikeluarkan antaranya oleh GPI.

"Dan, semalam ahli panel antarabangsa yang menghadiri mesyuarat dua hari Panel Antarabangsa mengenai Kajian Semula Mengurangkan Kadar Jenayah 2012 melalui NKRA turut mengakui apa yang kita buat adalah benar," katanya kepada pemberita selepas majlis menghijaukan Bukit Aman di Kuala Lumpur semalam.

Mesyuarat dua hari itu turut dihadiri Pengarah Pengurusan Pasukan Polis Hong Kong, SAC Tang How Kong dan bekas Pengarah Sumber Manusia Polis Metropolitan London, Peter Clarke.
- Bernama


Usaha BN Takutkan Kaum Cina Terhadap Hudud Gagal

Posted: 12 Jul 2012 11:31 PM PDT



Hukum Kebenaran dan Keadilan tidak semestinya mengikut hukum akal manusia yang serba lemah.

Apabila parti komponen BN samada UMNO atau MCA memainkan isu Hudud dengan harapan untuk menakut-nakutkan orang bukan Islam terhadap perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS, ternyata usaha itu gagal.

Didapati lebih ramai masyarakat bukan Islam yang memahami dan menyokong perjuangan PAS.

Mereka sudah muak dan mual dengan agenda penyelewengan dan rasuah pemimpin BN dan sudah siap sedia untuk menobatkan Pakatan Rakyat menggantikan BN sebagai kerajaan baru di negara ini.


55 Ahli MIC Serah Borang DHPP

Posted: 12 Jul 2012 08:35 PM PDT

AMPANG: Penyerahan borang keahlian Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) oleh 55 ahli MIC Ampang mem­ buktikan PAS semakin mendapat sokongan di ka­langan masyarakat bukan Melayu.

Wakil Belia MIC, Tiru Morty a/l Amasamy telah menyerahkan 55 borang ke­ ahlian DHPP kepada Ahli Dewan Negeri (Adun) Lem­bah Jaya, Kasim Abdul Aziz dalam majlis minum petangmdi kampung Tasek Permai, dekat sini, baru­-baru ini.

Menurut Kasim, konsep mesra rakyat yang diamal­kan wakil rakyat Pakatan Rakyat tanpa mengira wak­tu menjadi faktor orang bukan Melayu memberi so­kongan kepada PAS.

Sebelum Pakatan Rakyat mentadbir Selangor kata­nya, Ampang mempunyai wakil rakyat Melayu dari­pada BN yang meminggir­kan masyarakat India.

Ini katanya, berbeza de­ngan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat yang mem­bela semua kaum tanpa mengira agama dan status.

"Ada kampung di Ampang yang wakil rakyat dahulu ti­dak pernah masuk sehingga masalah banjir tidak dapat diselesaikan," katanya.

Bagaimanapun tambah beliau, setelah Pakatan Rakyat mentabdir masalah banjir dihadapi penduduk berjaya diselesaikan de­ngan menaik taraf saliran.

"Apa yang kita buat ini bu­kan untuk memancing undi tetapi kita lakukan perkhid­matan terbaik untuk kesele­saan rakyat," tegasnya.

Turut hadir dalam ma­jlis tersebut Ketua DHPP Ampang, Kalaimani, Ketua DHPP Selangor, Letchu­manan dan Adun Teratai, Jenice Lee.

Skandal Noh Omar Terbongkar: Beli Tanah Murah, Buat Ternakan Udang

Posted: 12 Jul 2012 07:41 PM PDT

Shah Alam, 12 Jul : Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini digemparkan tentang skandal pembelian tanah oleh Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar di Bagan Tengkorak, Tanjong Karang pada 1995.

Lebih lagi, Noh, yang sekarang Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, telah memulakan projek ternakan udang pada tahan 30 ekar itu bersama sebuah syarikat Pristine Agrofood Sdn Bhd.

Penglibatan Noh di dalam syarikat itu, kata Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) yang mendedahkan skandal tersebut, menimbulkan persoalan percanggahan kepentingan kerana Noh merupakan menteri yang bertanggungjawab mengelola industri itu.

Noh membeli tanah 30 ekar itu dengan hanya membayar RM100,000 berbanding harga asal kira-kira RM3 juta pada ketika itu, kata Suee Lim.

Katanya, tanah itu yang asalnya berstatus komersil kemudiannya ditukar kepada tanah pertanian demi menjayakan projek ternakan udang itu pada 2011.

"Rakyat susah untuk mendapat tanah tetapi seorang pemimpin kanan diberi tanah dengan mudah pada ketika itu. Saya telah melawat kawasan itu dan mendapati statusnya adalah untuk ternakan udang," katanya semasa sesi perbahasan di hari terakhir persidangan DNS.

Suee Lim dalam pada itu turut mendedahkan surat akuan sumpah yang membuktikan usahasama Noh bersama pengarah Pristine Agrofood Sdn Bhd, Chu Bak Teck.


Mengikut dokumen yang didedahkan Suee Lim, Noh mendapat tanah itu pada 13 Jun 1995. Hasil carian di laman web Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menunjukkan Noh memenangi kerusi Ahli Parlimen Tanjong Karang buat kali pertama pada April 1995.

"Kes ini saya anggap sebagai skandal tanah dan bukti wujudnya percanggahan kepentingan kerana beliau ketika ini ialah seorang menteri yang memegang portfolio pertanian dan industri asas tani yang secara terang terlibat secara langsung dalam industri itu.

"Di manakah maruah Umno-BN yang kononnya memperjuangkan hak rakyat tetapi parti terlibat dalam kes sapu tanah rakyat?" soalnya.

Sementara itu, DNS meluluskan Rang Undang-undang yang dicadangkan Suee Lim supaya tidak membenarkan wakil rakyat, ahli majlis dan pihak berkuasa tempatan membuat sebarang permohonan untuk memiliki tanah kerajaan negeri.

Usaha TV Selangor menghubungi Noh bagi mendapatkan respon beliau bagaimanapun gagal. Panggilan dan mesej pesanan ringkas yang dihantar kepada nombor telefon beliau tidak dibalas. -selangorku



[IKTIBAR] Jangan Laju Sangat Bang.....

Posted: 12 Jul 2012 05:16 PM PDT

Abang ni, pakai tu elok-elok la sikit," kata Julia lembut sambil membetulkan pakaian Ahmad. Ahmad tersenyum memandang isterinya.

"Cantik isteri abang hari ni," Ahmad mencubit pipi Julia lembut.

"Ayah, ayah, cepat la yah," Liz dan Lin meluru masuk ke bilik kerana dah tak sabar-sabar nak bertolak pulang ke kampung.

"Yelah, yelah, ayah dah siap ni."

Julia hanya tersenyum melihat suaminya itu melayan karenah anak-anak mereka yang comel dan manja. "Abang, dah lama kita tak balik kampung macam ni, ye?"

"Iyelah, maklumlah abang ni sibuk dengan urusan perniagaan. Baru kali ni abang ada peluang untuk cuti panjang." Ahmad berkata kepada isterinya tercinta.

Perjalanan daripada KL ke Teluk Intan mengambil masa lebih kurang empat jam. Liz dan Lin dah pun terlelap kat kerusi belakang. Begitu juga dengan isterinya, Julia. "Tak sabar rasanya nak tiba kat kampung," Ahmad berkata dalam hati.

Sedikit demi sedikit Ahmad menekan minyak keretanya. Semakin lama keretanya semakin laju dan Ahmad semakin seronok. Ahmad dah tak sabar untuk segera sampai ke kampungnya. Pedal minyak ditekannya lagi dan Honda Civicnya mula memecut. Ahmad cilok kiri, cilok kanan. Habis semua kenderaan dipotongnya. Bangga betul Ahmad masa tu. Terlupa dia sekejap pada anak dan isterinya yang sedang tidur.

"Eh abang, kenapa bawa laju sangat ni?" tiba-tiba Julia terjaga dari tidurnya.

"Tak ada apa la sayang, rileks... cepat sikit kita sampai kampung nanti."

"Sabar bang, sabar. Biar lambat tak apa.... jangan laju sangat bang, Julia takut." Julia cuba memujuk Ahmad supaya memperlahankan kenderaannya.

"Rileks Julia, tak ada apa-apa," Ahmad terus memotong bas ekspres didepannya tanpa was-was.

"Haaa..kan, tengok. Tak ada apa-apa kan?" kata Ahmad setelah berjaya memotong bas ekspres tadi.

"Sudah la tu bang."

"Ha... tu ada satu lagi bas ekspres. Julia tengok abang motong dia aaa...." Ahmad terus masuk gear 3, pedal minyak ditekannya hingga jejak ke lantai.

Ahmad terus membelok ke kanan untuk memotong dan.... di depannya tersergam sebuah
lori balak yang besar dan gagah dan..... BANG!!.

"Julia....bangun nak," sayup-sayup terdengar suara emaknya.

Julia membuka matanya. Dia terlihat emaknya di situ. "Mana abang Ahmad mak? Macammana dengan suami saya, mak? Liza, Linda....mana anak-anak saya mak?"

Bertubi-tubi Julia menyoal emaknya. Julia tak dapat menahan kesedihannya lagi. Julia menangis semahu-mahunya di depan emaknya. Emaknya memandang Julia tepat-tepat.

"Macamana dengan suami Julia mak, abang Ahmad?" Julia masih terus menangis.

PANGGG!!. Kepala Julia ditampar oleh emaknya dengan tiba-tiba. Julia terdiam. Kenapa emaknya buat dia macam tu?

"Banyak la engkau punya suami! Muka dahlah tak cun, study pun malas, kerja pun takde, ada hati nak berlaki. Apa punya anak dara la kau ni?? Tu la, tidur lagi senja-senja macam ni! Dah! Bangun pegi sembahyang! Asar pun dah nak habis!" emaknya terus merungut sambil berlalu keluar....... dan Julia tersengih keseorangan. Rasa macam nak masuk dalam tin biskut! "

Moral of the story: Solat terlebih dahulu sebelum dapat pelempang!

[BONGKAR] RM20 juta Ditawarkan Untuk Mengkatakkan Seorang MP PKR

Posted: 12 Jul 2012 07:50 AM PDT

Ahli Parlimen (MP) Tanah Merah, Amran Ab Ghani mendedahkan, beliau ditawar RM20 juta supaya meninggalkan KEADILAN.

Ia merupakan jumlah paling tinggi selepas episod pendedahan tawaran membeli Ahli Parlimen Pakatan Rakyat didedahkan di Parlimen baru-baru ini.

"Satu perjumpaan diaturkan orang tertentu untuk membeli Ahli Parlimen daripada KEADILAN. Tawaran bermula daripada RM10 juta. Akhirnya pihak itu mematikan harga dengan RM20 juta seorang.

"Perkara ini terjadi apabila pakej berlaku, iaitu kelapan-lapan Ahli Parlimen ini melompat. Kalau seorang tarik diri, perkara ini tidak jadi," kata Amran pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini hari ini.

Menurut Amran, tawaran itu dibuat semasa peralihan kuasa pada era Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Berkongsi pengalaman sama, MP Kelana Jaya, Gwo Burne Loh dan MP Ketereh, Ab Aziz Kadir turut mengesahkan mereka juga menerima tawaran keluar parti seperti yang didedahkan MP Indera Mahkota, Azan Ismail sebelum ini.

Amran berkata, selain dipujuk, beliau dan keluarganya ditekan pelbagai ugutan.

"Saya ditekan dari sudut orang muda iaitu jika saya tidak dicalonkan lagi, pencen hanya bermula umur 50 an.

"Dia mengandaikan parti ini (KEADILAN) hanya menggunakan saya, kerana pada PRU13, saya tidak akan dicalonkan semula," ujarnya.

10 juta disuruh ke Indonesia, 10 juta lagi dapat gudang

Bagaimanapun katanya, tawaran RM10 juta itu membuah hasil apabila kumpulan lapan Ahli Parlimen itu ada yang lompat selepas berlaku perbincangan.

"Dalam perbincangan itu, diberikan penjelasan berkenaan tawaran RM10 juta bahawa mereka akan diberikan gudang di sekitar KL dan dijadikan seperti pencen.

"Manakala RM10 juta lagi supaya bawa isteri tinggal di Indonesia dua atau tiga tahun. Maknanya jika balik kampung selepas itu, orang kampung tidak marah," jelas Amran.

"Tawaran ketika itu menarik kerana tidak perlu lompat masuk BN tapi keluar dan duduk atas status Bebas dan sokong kerajaan, itu gambarannya," kata Amran.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang turut hadir dalam sidang media itu dengan sinis meminta media mengesahkan perkara tersebut dengan MP yang sudah lompat parti.

"Ini transformasi Najib, jadikan manusia tukar jadi katak, kalau boleh tuan-tuan hubungi Bandar Baharu, Wangsa Maju, Bayan Baru, Bagan Serai, tanya mereka yang melalui transformasi berdasarkan cerita mereka ini," ujarnya. -KD

RM160 juta tarik lapan MP PKR lompat

SHAH ALAM: Umno BN didakwa sanggup membayar RM160 juta kepada Ahli Parlimen PKR bagi mendapatkan majoriti 2/3 di parlimen sewaktu Datuk Seri Najib Razak mula-mula mengambil jawatan Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Tanah Merah, Amran Ab Ghani memberitahu proses pembelian Ahli Parlimen memang berlaku sewaktu Najib mula-mula menjadi Perdana Menteri.

Menurutnya lagi, beliau bersama tujuh lagi telah ditawarkan dalam bentuk pakej iaitu seramai lapan orang bagi mendapatkan majoriti kepada BN di Parlimen.

"Kami seramai lapan orang ditawarkan RM10 juta seorang tetapi dinaikkan sebanyak RM20 juta bagi tujuan mendapatkan majoriti 2/3 di Parlimen.

"Menurut mereka bayaran ini akan dilaksanakan jika kesemua kelapan-lapan Ahli Parlimen lompat," jelasnya pada sidang media di bangunan Annex, di sini.

Beliau turut memberitahu, kesemua mereka tidak perlu lompat masuk ke Umno tetapi cukup sekadar sebagai Ahli Parlimen bebas dan memberi sokongan kepada BN.

"Mereka menjanjikan RM10 juta akan diberikan dalam bentuk aset bangunan kedai manakala RM10 juta lagi diberi tunai.

"BN mengarahkan kami semua tinggal di Indonesia selama dua tahun sehingga semuanya reda," tambah Amran.

Amran menyatakan prinsip perjuangan dan kesetiaan pada parti tidak dapat dibeli dengan wang ringgit walaupun tawaran diberikan itu satu nilai yang tinggi.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Abdul Khalid Samad memberitahu kegiatan pembelian Ahli Parlimen ini akan diteruskan dan pendedahan video akan dilakukan oleh Azam Ismail dan Indera Mahkota.

"Walaupun mereka dari Umno menafikannya tetapi kita ada video yang boleh membuktikannya.

"Soal beli Ahli Parlimen adalah satu hakikat dan tawar menawar itu berlaku, ia bukan satu perkara yang direka oleh Pakatan Rakyat," jelas Khalid.

Beliau menyata, tranformasi yang dilakukan dalam pemerintahan Najib adalah membeli Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dengan tujuan untuk mendapatkan majoriti di Parlimen.

Sementara itu, Abdul Aziz Kadir, Ahli Parlimen Ketereh beliau turut menerima panggilan telefon dan dipanggil berbincang namu beliau telah menolak pelawaan tersebut kerana kesetian beliau pada parti dan juga Pakatan Rakyat.
-HD


Dr.Asri Bersemangat Bangkit Menentang UMNO Gara-gara Tun Faisal

Posted: 12 Jul 2012 06:30 AM PDT

Raja boleh dikritik, kata bekas mufti

KUALA LUMPUR, 12 Julai — Tokoh Islam terkenal, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, mendakwa raja tidak kebal dari kritikan dan mesti bertanggungjawab terhadap tindakan mereka — mencetuskan kemarahan di laman sosial Twitter selepas beliau mengeluarkan kenyataan yang dikaitkan dengan kritikan terhadap keluarga diraja baru-baru ini.

Bekas mufti Perlis itu yang kini merupakan zamalah pelawat di Universiti Oxford memuji British kerana menyemak perbelanjaan keluarga diraja dan memastikan mereka bertanggungjawab terhadap pembayar cukai. Menurut Dr Asri, langkah ini baik untuk mencegah penyelewengan.

Dalam tulisan bertajuk "Mereka Paling Mencegah Kezaliman Raja", beliau menyatakan, walaupun keluarga diraja British memberikan sumbangan besar dalam sejarah negara tersebut, mereka (keluarga diraja) tidak dibiarkan untuk berbuat sesuka hati.

Dr Asri menulis perkara tesebut selepas membaca laporan akhbar Daily Mirror yang diterbitkan pada 3 Julai lalu tentang perbelanjaan perjalanan keluarga diraja British yang melambung tinggi mencecah 6.1 juta pound sterling tahun lalu.

Dr Asri membandingkan pengalaman British dengan dunia Islam dimana British memberikan kebabasan kepada warga untuk mengkritik pemimpin manakala dunia Islam pula menjatuhkan hukuman kepada rakyat yang mengkritik pemimpin.

"Lihatlah dunia Islam di mana golongan bangsawan boleh mengaut segala kekayaan minyak, balak, gas, tanah dan segala harta awam rakyat tanpa siapa boleh mempertikaikan. Malahan siapa yang berani mempertikaikan akan menerima hukuman," tulis beliau lagi.

Dr Asri mengkritik golongan agama yang mempertahankan kezaliman penguasa sepertimana ulama berfatwa mempertahankan Muammar Qadafi, Hosni Mubarak dan rejim yang masih hidup iaitu Bashar al-Assad.

Walaupun tidak menyentuh tentang Malaysia dalam tulisannya itu, Dr Asri menimbulkan kontroversi dalam laman sosial Twitter Isnin lalu.

"Melayu salah baca sejarahnya; Jebat sbnarnya tdk derhaka tp Sultan Melaka yg celaka. Mnzalimi rakyat tp mndakwa brdaulat," kata beliau melalui akaun Twitter‏ nya, @realDrMAZA.

Tokoh agama popular itu mendapat reaksi serta merta dari penyokong Umno kerana kenyataannya mengenai Jebat – kisah mitos Melayu yang selama ini menyatakan Jebat adalah seorang penderhaka kerana berani melawan raja yang menindas sahabat baiknya, Hang Tuah.

Pada masa sama, Dr Asri menulis di laman sosial Twitter tentang insiden Syed Abdullah Hussien Al-Attas — lebih dikenali dengan nama Uncle Seekers di blognya — kini disiasat polis kerana memalukan Sultan Johor, berkaitan dengan kritikannya bekas mufti Perlis itu terhadap ketidakseimbangan kuasa.

"Uncle seeker hendaklah dibawa ke mahkamah dan dibicara dgn adil segala dakwaannya. Rakyat ingin melihat keadilan ditegakkan " kata Dr Asri.

Uncle Seekers bukanlah insiden pertama kerana sebelum itu, pemimpin popular yang juga ahli parlimen dan adun, Datuk Seri Nizar Jamaluddin turut disiasat dibawah akta hasutan kerana mengkritik Sultan Johor yang membeli nombor pendaftaran WWW1 dengan harga RM520,000 Mei lalu.

Pemimpin pemuda Umno, Tun Faisal Ismail Aziz, yang mengetuai Unit Media Baru (UMB) parti tersebut, terus menjawab tulisan Dr Asri itu di laman sosial Twitter.

"Blogger Pas mengamuk akibat dengar ceramah yang halalkan pemimpin diguling dengan mata pedang?" tulis Tun Faisal melalui akaun Twitternya @tunfaisal.

Tulisan Tun Faisal itu terus dijawab oleh Dr Asri — sebelum ini cuba dipancing oleh PAS untuk menyertai parti tersebut, tetapi intelektual Islam itu masih kekal bebas dari sebarang parti politik.

"Bala bagi UMNO jika org spt @tunfaisal ini menduduki kepimpinan.

"Rakyat tdk membenci UMNO ttp mmbenci perangai sstengah org/pemimpin UMNO. Mrklah yg mnyuburkn kbencian ramai pd parti trsebut,"
jawab Dr Asri.


Pemimpin NGO dan parti pembangkang telah lama mengkritik kerajaan kerana menggunakan Akta Hasutan 1948 sebagai senjata politik dan menghentikan kritikan, walaupun perkara yang dikritik itu benar.

Dalam usaha untuk memulihkan imej beliau sebelum pilihan raya umum yang perlu diadakan selewat-lewatnya April depan, perdana menteri mengumumkan pelan pentadbirannya untuk meminda akta berusia 64 tahun itu dan menggantikan dengan akta baru yang dinamakan Akta Keharmonian Nasional.

"Dengan adanya akta baru ini, kita akan lebih bersedia untuk menguruskan tahap kesilapan negara.

"Ia juga akan membantu mengukuhkan dan melindungi perpaduan negara serta memupuk keharmonian agama," lapor The Star. -TMI



TERBARU




Simpan Video Lucah Dalam Handfon Didenda RM1,500, Menari Lucah RM25

Posted: 12 Jul 2012 04:34 AM PDT

Hobi simpan koleksi video lucah bawa padah

KUALA TERENGGANU - Hobi bawa padah, itulah yang boleh digambarkan kepada seorang pemandu lori yang memiliki tabiat buruk menyimpan pelbagai koleksi rakaman video lucah di dalam telefon bimbit miliknya.

Gambar: Mohd Azam mengaku salah menyimpan 13 rakaman lucah di dalam telefon bimbit miliknya di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, semalam.

Bagaimanapun, tabiat tidak bermoral bapa kepada seorang anak ini membawa padah apabila dikenakan denda RM1,500 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd Azam Manap @ Awang, 32, dari Pekan Sari, Tepoh, di sini, mengaku salah terhadap pertuduhan memiliki bahan lucah.

Mohd Azam mengaku memiliki 13 rakaman video lucah yang disimpan di dalam telefon jenama Nokia model 7610 di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu kira-kira jam 4.15 pagi, 31 Julai 2008.

Dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Ngiam Ooi Ming manakala Mohd Azam tidak diwakili peguam. Berdasarkan fakta kes, pemeriksaan lanjut polis terhadap badan Mohd Azam yang ditahan di Pejabat BSJIPD Kuala Terengganu telah menemui sebuah telefon bimbit.

Pemeriksaan lanjut terhadap telefon bimbit berkenaan, polis menemui 13 rakaman video lucah. Sebelum ini, Mohd Azam yang dibebaskan dengan jaminan gagal menghadirkan diri ke mahkamah pada tarikh yang diberikan sebelum satu perintah waran tangkap dikeluarkan bagi menahannya.

Terdahulu, Mohd Azam dalam rayuannya memohon mahkamah meringankan hukuman terhadapnya atas alasan sudah insaf dan tidak lagi melakukan perbuatan sama. Dia turut memohon mahkamah tidak mengenakan hukuman penjara atas alasan perlu menjaga seorang anak yang masih bersekolah.

Ulasan GB

Pelik sungguh undang-undang di negara kita. Simpan video lucah dalam handfon denda RM1,500, tetapi menari lucah (kes penari tiang) denda cuma RM25.

Gambar-gambar lucah ditayangkan oleh media massa arus perdana samada bercetak atau eletronik terutama untuk dengan tujuan untuk mengaibkan pemimpin parti PR lansung tak didakwa.

Blogger pencacai sebar video dan gambar porno pun tiada tindakan diambil...

Kita tunggu hukum kebenaran dan keadilan mengambil tempatnya.


IMBAS KEMBALI
klik untuk baca



Tiada ulasan: