Khamis, 12 Julai 2012

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Hassan 'Bapa' kepada beratus pelajar dari seluruh dunia

Posted: 12 Jul 2012 02:28 AM PDT

SINAR HARIAN

Datuk Hassan Salleh
Datuk Hassan Salleh
 
 
ADELAIDE - Walaupun sudah mempunyai lebih 200 'anak' dari seluruh dunia, Datuk Hassan Salleh tidak keberatan untuk menambah lagi bilangan itu.

Beliau bertindak sebagai 'bapa' kepada mereka apabila syarikat pengurusan hartanahnya, Adelaide International Village, di Australia Selatan, mengurus kemudahan tempat tinggal untuk lebih kurang 250 pelajar sekolah menengah dan universiti di Bradford Lodge dan Highgate Lodge.  

Sebenarnya, anak kelahiran Johor ini, yang lebih mesra dengan panggilan Hass, mencipta kejayaan di Adelaide sejak hampir 50 tahun lepas, tanpa diduga dan dirancangnya.

Pada zaman Darurat di Tanah Melayu (1948-1960), bapa beliau berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Perubatan di Hospital Besar Johor Baharu.

"Pada suatu malam, bapa saya, Datuk Dr Mohd Salleh, mendapat panggilan supaya datang ke hospital; anak perempuan seorang pegawai tentera British sakit teruk," katanya.
  
"Selepas dirawat oleh bapa saya, dia sembuh dan sejak itu, pegawai berkenaan selalu berkata bapa sayalah yang menyelamatkan nyawa anaknya," kata beliau.

Apabila berhijrah ke Adelaide, pegawai itu bertugas sebagai bendahari di King's College (kini Pembroke School) dan sebagai tanda terima kasih, beliau menawarkan biasiswa kepada lima anak Salleh – Hassan anak kelima - untuk menyambung pelajaran di Australia.

"Kami tidak sabar untuk ke Australia, tapi oleh kerana tidak ada perkhidmatan udara ketika itu, kami menaiki kapal yang singgal di sebuah pekan di pesisiran pantai bernama Carnarvon ketika dalam perjalanan ke Perth.

"Satu kumpulan daripada kami berjalan memasuki pekan itu dan makhluk pertama yang saya jumpa di Australia ialah seekor gagak hitam besar yang hinggap di sebatang tiang. Ketika itu bulan Februari, dan oleh kerana cuacanya sungguh panas, saya berkata pada diri sendiri, kalau inilah Australia, saya nak pulang ke rumah," katanya.

Hassan tidak menyangka bahawa kisah ini menjadi sebahagian daripada sejarah migrasi Australia apabila ia diabadikan pada satu papan peringatan di Migration Museum di Pyrmont Wharf, Sydney.  

Walaupun tanggapan awalnya tentang Australia bukanlah sesuatu yang menyeronokkan, tetapi, kata Hassan, beliau dapat menyesuaikan diri sebaik saja sampai di Adelaide.

"Setelah tamat pengajian, saya mendirikan rumah tangga dengan seorang rakyat Australia. Saya pun buat keputusan tentang tempat untuk bermastautin dan selesailah satu masalah.

"Malah, selepas menamatkan persekolahan, pelajar Malaysia di King's College yang datang selepas saya, terus berhubung dengan saya kerana kesunyian dan ketika itu belum ada lagi restoran Malaysia," katanya.

Keadaan ini mendorong Hassan bertindak sebagai penyelaras sosial bagi pelajar berkenaan dan menghidangkan masakan Malaysia di rumahnya.

Pada setiap hujung minggu, Hassan dan isterinya meraikan 20 hingga 30 pelajar, yang menjadikan rumah mereka seolah-olah sebuah pusat sosial. Pada 1968, peranannya sebagai Pegawai Perhubungan mendapat pengiktirafan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia.

Komitmen Hassan terhadap rakyat Malaysia terus mendapat pengiktirafan apabila beliau dilantik sebagai Konsul Kehormat Malaysia di Australia Selatan pada 1978 dan dianugerahi gelaran "Datuk" oleh Yang di-Pertuan Agong pada 2011.

Ketika Hassan mangurus Bradford Lodge, anak beliau, Adam, pula mengurus dan menjaga kebajikan pelajar di Highgate Lodge.  

"Ia umpama kedai sehenti bagi pelajar. Kami membantu mereka dalam segenap hal dan ini memberi satu bentuk kepuasan dan keseronokan kepada saya.

"Saya tunjuk kepada para pelajar cara membasuh pakaian, memasak dan jenis perkhidmatan telefon yang patut mereka gunakan. Selain membimbing mereka, saya juga memberi peluang kepada mereka untuk mengalami sendiri sesuatu perkara agar mereka boleh berdikari.

"Saya lebih suka membiarkan para pelajar mencapai kematangan sepenuhnya ketika mereka membesar di Adelaide; khidmat yang kami beri bersifat menyokong, bukan mencampuri kehidupan mereka," katanya.

Berdasarkan segala khidmat dan jasa baik beliau menjaga beribu-ribu pelajar Malaysia di Australia, maka tidak hairanlah Hass diberi gelaran "Datuk' oleh Yang di-Pertuan Agong. -- Bernama

Nik Aziz kecewa laporan warga emas cerai

Posted: 12 Jul 2012 02:24 AM PDT

ZUMURNI HAMZAH

Nik Aziz kecam Harussani
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
 
 
MACHANG -  Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kecewa  dengan laporan suami isteri warga emas di Pasir Mas bercerai selepas 15 tahun bersama akibat perbezaan fahaman politik.

Menteri Besar Kelantan itu menegaskan, dalam keadaan sekarang, politik bukan sahaja berlaku dalam konflik keluarga malah perkara yang sama berlaku dalam institusi kerajaan.

"Ini mengecewakan saya, isu ini sama dengan Kelantan didiskrimasikan  oleh  Kerajaan Pusat sebab politik. Kenapa ada JPP (Jabatan Pembangunan Persekutuan) di Kelantan kalau bukan sebab politik. Ini bahaya.

"Kenapa politik dijadikan batas atau penghalang. Perkara ini mendukacitakan," katanya kepada pemberita  ketika diminta  mengulas perceraian seorang guru agama dan suaminya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian projek pembangunan tanah, anak muda Kelantan di kampung Selimbar, Ulu Sat, di sini, hari ini.

Cerai Isteri Kerana Dengar Ceramah Hassan Jati?

Posted: 12 Jul 2012 02:19 AM PDT


KELAB GREENBOC


Cerai isteri hadir ceramah Hasan Ali

KOTA BHARU – Hanya kerana tidak menyokong fahaman politik suami, seorang guru mengajar al-Quran dekat sini diceraikan, semalam.

Proses penceraian ke atas wanita itu, Cik Yah (bukan nama sebenar), 60, berlangsung di Mahkamah Syariah.

Gambar: Cik Yah menunjukkan rekod penceraian selepas hadir perbicaraan di Mahkamah Syariah di sebuah daerah, semalam.

Menceritakan kisah yang menyedihkan itu kepada Sinar Harian, Cik Yah, seorang ahli Umno yang aktif di kawasannya, memberitahu beliau mendirikan rumah tangga dengan lelaki itu, Awang (bukan nama sebenar), dalam lingkungan 70-an, kira-kira 15 tahun lalu, atas dasar suka sama suka.

Menurutnya, ketika itu Awang, seorang penyokong Pas, tidak kisah dengan fahaman politik yang dipegangnya, tetapi beliau mengambil keputusan melepaskan jawatan yang dipegang dalam Wanita Umno bagi menghormati pendirian suami.

"Bagaimanapun, awal bulan lepas, kami bergaduh besar. Ia berlaku selepas saya menghadiri majlis cabutan bertuah yang diadakan di Tanah Merah.

"Saya tidak tahu pun bahawa (bekas Naib Presiden Pas, Datuk Dr) Hasan Ali hadir dalam majlis tersebut," katanya.

Hasan, yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, dipecat daripada Pas pada 8 Januari lalu kerana mengkritik parti secara terbuka.

Menurut Cik Yah, selepas beliau memaklumkan perkara itu kepada suaminya, suaminya mula mempertikaikan tindakannya turut berada di majlis yang sama.

Pergaduhan bermula di situ dan akhirnya, Awang memfailkan penceraian di mahkamah pada 24 Jun lalu.

Mereka pernah berkahwin sebelum ini dan tidak mempunyai anak.

Cik Yah mendakwa beliau tidak pernah menghalang Awang menyertai mana-mana ceramah politik dan kecewa kerana suaminya pula mengugutnya hanya kerana beliau menghadiri satu ceramah yang dihadiri bekas pemimpin Pas.

Katanya, beliau sudah banyak kali berjumpa dengan imam di kawasan itu mengenai pertelingkahan dengan suaminya dan mendapatkan nasihat bagaimana hendak menyelamatkan rumah tangga mereka.

Bagaimanapun, katanya, perkahwinan mereka tidak dapat diselamatkan kerana suaminya terus mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan hati dan membuat keputusan untuk failkan cerai di Mahkamah Syariah.

Cik Yah mendakwa sikap bekas suaminya ini berubah menjadi terlalu sensitif dan panas baran apabila berhadapan dengan perkara berkaitan politik selepas sering menghadiri ceramah politik, yang diadakan setiap hujung minggu, di beberapa tempat di kawasan kediaman mereka.

Beliau syak Awang dihasut rakan-rakan yang berjaya membawa ahli keluarga masing-masing menyokong Pas, sehingga Awang berasa tercabar dan mengambil tindakan menceraikannya kerana perbezaan fahaman politik.

"Sebelum memfailkan cerai, bekas suami saya berkata dia tidak mahu lagi tinggal di rumah bersama saya, tetapi mahu berpindah ke rumah anak-anaknya, yang terletak hampir satu kilometer daripada rumah kami.

"Tindakannya itu menguatkan lagi telahan saya bahawa dia sudah tidak sayangkan saya lagi, sebaliknya mengutamakan politik daripada isteri sendiri," katanya. -SH

Bercerai angkara fahaman politik

PASIR MAS - Sepasang warga emas yang sepatutnya melalui hari-hari tua dengan penuh bahagia terpaksa menerima hakikat bahawa mahligai yang dibina selama 14 tahun musnah hanya disebabkan perbezaan parti politik masing-masing.

Episod pahit itu terpaksa dilalui oleh Che Hasnah Che Ahmad, 61, dari Kampung Cabang Tiga Chetok dekat sini selepas sah diceraikan dengan talak satu oleh suaminya Yahaya Ibrahim, 71, di hadapan Hakim Syarie, Mohd. Hafiz Daud di Mahkamah Rendah Syariah Pasir Mas pukul 9 pagi semalam.

Perceraian pasangan tersebut difailkan oleh Yahaya di mahkamah sama pada 24 Jun lalu selepas mereka tidak lagi sehaluan dan kerap bergaduh kerana isu politik.

Che Hasnah bercerita, perceraian kali kedua dalam hidupnya itu berlaku selepas bekas suaminya itu didakwa semakin taksub dengan fahaman parti politik yang menggunakan agama yang dikatakan turut memaksanya menerima fahaman politik berkenaan.

Sebelum bernikah dengan Yahaya, Che Hasnah pernah berkahwin dengan lelaki lain namun jodoh mereka tidak berpanjangan apabila bercerai pada 1995 tanpa dikurniakan anak.

"Kemuncak keretakan rumah tangga kami berlaku selepas saya menghadiri sesi ceramah oleh bekas Naib Presiden Pas, Datuk Dr. Hasan Ali yang kini merupakan Presiden Jalur Tiga (Jati) di Tanah Merah pada 11 Jun lalu.

"Sebaik sahaja balik daripada majlis tersebut, bekas suami saya marah-marah dan mengatakan saya sesat. Yahaya kemudian berpindah ke rumah anaknya yang terletak tidak jauh dari rumah saya," katanya ketika ditemui di luar mahkamah.
-kosmo

Ulasan GB

Ini apa punya berita da?

Apakah sekadar nak memburukkan PAS kononnya mencampur adukkan politik dengan rumahtangga?

Atau nak suruh orang datang ramai-ramai dengar ceramah Hassan Jati yang dah takda sambutan tu?

Ketara sangat wartawan yang cuba menggembar-gemburkan isu ini jahil dan tidak mengetahui ajaran dan hukum Islam.

Isteri kalau ingin berpuasa sunat pun jika suami tak bagi tak boleh dilakukan... Inikan pula keluar rumah pergi ceramah! Ini sudah dikategorikan sebagai NUSYUZ. Nusyuz membawa maksud suatu tindakan yang dilakukan oleh isteri yang dianggap menentang kehendak suami dengan tidak ada alasan yang munasabah menurut hukum syarak. Tindakan itulah dikira durhaka.

Cuba membuat berita yang karut-marut tetapi mendedahkan pekung kejahilan sendiri. Bodoh! (pinjam perkataan Ahmad Nisfu)

Kemasukan Pelajar Unisel Meningkat Di Bawah PR

Posted: 12 Jul 2012 02:14 AM PDT





SHAH ALAM: Meskipun dilemparkan dengan pelbagai isu negatif ketika berada di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat Selangor, permintaan melanjutkan pelajaran di Universiti Selangor (Unisel) telah meningkat dengan mendadak semenjak kebelakangan ini.

Demikian menurut Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL), Profesor Dr Anuar Ahmad ketika ditemui di Lobi Dewan Annex semalam.

"Campur yang belum graduasi hingga Oktober ini lebih kurang 2,800, pelajar yang sedang belajar 10,800 bermakna 13,600 adalah yang tertinggi pernah dicapai dalam sejarah Unisel.

"Jumlah permohonan kemasukan baru pula lebih 5,000 yang kita terima, tetapi kita cuma boleh ambil 1,500 hingga 2,000 sahaja lagi.

"Ini adalah yang tertinggi pernah dicapai dalam sejarah Unisel sehinggakan untuk 'pengambilan' Julai ini saya sangat risau, takut tak cukup tempat di Unisel," kata beliau.

Sementara itu ketika ditemubual dalam rakaman program Terus Terang terbitan TV Selangor, Dr Anuar menjelaskan setakat ini terdapat lebih 15,500 pelajar mengikuti pelbagai kursus di instituasi pengajian tersebut.

Menurut Dr Anuar, sesetengah fakulti terpaksa membuat tapisan dengan mengadakan temuduga terhadap calon pelajar bagi memastikan yang benar-benar layak menyambung pelajaran di Unisel.

Dalam isu yang sama, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor, Dr Halimah Ali pula mengucapkan terima kasih kepada pemimpin Umno-BN yang memberikan 'publisiti percuma' kepada Unisel.

"Terima kasih jugalah kepada Umno-BN kerana beri 'publisiti percuma' kepada Unisel walaupun mereka cuba memperkecilkan Unisel," ujar Halimah.

Unisel adalah sebuah institusi pengajian tinggi yang menawarkan program pengajian peringkat diploma hinggalah ke peringkat Doktor Falsafah itu merupakan milik penuh Kerajaan Negeri Selangor.

MB: Pusat Tidak Agih Kekayaan Negeri Dengan Adil

Posted: 12 Jul 2012 02:12 AM PDT





SHAH ALAM : Kerajaan Persekutuan didakwa tidak mengagihkan peruntukan secara adil terutamanya kepada negeri-negeri Pakatan Rakyat sebaliknya memberikan peruntukan sesuka hati kepada negeri-negeri yang ditadbir oleh BN.

Ketika menjawab pertanyaan Dr Abdul Rani Osman (Meru-Pas) dan Gan Pei Nei (Rawang -PKR), Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, biarpun Selangor menyumbangkan kutipan bayaran cukai tinggi kepada Kerajaan Persekutuan namun bayaran pulangan yang diterima semula adalah rendah dan tidak bebrpatutan.

"Lebih RM10 bilion dikutip daripada rakyat Selangor tetapi jumlah terimaan daripada Kerajaan Persekutuan, kita dapat hanya RM562 juta sahaja.

"Jika dilihat dari kajian Melaka mendapat peruntukan lebih sedikit dari segi peratus berbanding Selangor atau Perak. Semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, Kedah dan Langkawi mendapat peruntukan yang sangat tinggi," katanya.

Bagi mengatasinya, beliau berkata, cadangan perbincangan antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan telah dibangkitkan di Parlimen tetapi belum mendapat maklumbalas.

Tambahnya, sewajarnya negeri yang memperolehi perolehan cukai yang tinggi mendapat bayaran pulangan yang tinggi mengikut keperluan bagi pembangunan negeri tersebut.

"Jadi negeri yang bayar banyak boleh dapat lebih mengikut keperluan dan negeri yang bagi sedikit mungkin dapat kurang. Maka tidak perlulah sesebuah negeri itu tertunggu dan terpaksa melobi.

"Yang Berhormat Batang Kali (Mohd Isa Abu Kasim – BN) pernah menyatakan Kerajaan Persekutuan buat ini buat itu tetapi peruntukan itu tidak dijelaskan dan yang kedua adalah negeri ini bersetuju dengan pembangunan yang maknanya pembangunan itu bergerak selari," katanya.

Amalan perbincangan itu, katanya, melibatkan Kerajaan Persekutuan dan Negeri telah dilaksanakan di negara Australia dan Kanada bagi pengagihan ke negeri-negeri demi tujuan pembangunan secara adil dan saksama.

Najib pertahan ISA sebab tergugat tsunami politik 2008

Posted: 12 Jul 2012 02:10 AM PDT

Oleh Aisha Geoffrey


KUALA LUMPUR : Pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hanya untuk memulihkan kepercayaan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) yang semakin terhakis, kata Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh.



"Kenyataan terbaru (Datuk Seri) Najib (Razak) menunjukkan kerajaan selama ini seolah-olah menipu rakyat dengan mengatakan ISA adalah undang-undang telus yang digunakan untuk keselamatan negara dan tidak pernah disalahguna," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri semasa berucap di hadapan penjawat awam di Putrajaya mengatakan ISA dimansuh kerana tidak membantu survival politik pemerintah, malah menyemarakkan kemaraan politik orang yang ditahan.

Syed Ibrahim berkata, kenyataan itu juga menunjukkan pemansuhan ISA bukan atas dasar kerajaan benar-benar ingin berubah dan menghormati tuntutan rakyat, tetapi lebih untuk menjaga kepentingan politik BN yang semakin tergugat sejak tsunami politik 2008.

"Oleh kerana kezaliman ISA telah menjadi elemen motivasi yang memacu kebangkitan rakyat, maka secara terdesak kerajaan terpaksa mansuhkan kata itu," katanya dalam kenyataan bersama Penyelaras Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Syukri Razab.

Menurut mereka, Najib seperti mengiktiraf segala tindakan seperti tangkapan tanpa bicara, menyeksa serta mengurung tahanan sebagai langkah rasmi yang direstui kerajaan untuk mengekang kebangkitan seteru politik pemerintah.

"Tanpa menyesali segala penyeksaan dalam ISA, Najib sebaliknya seperti mengiktiraf segala kerja kotor yang berlaku dan tidak menyifatkannya sebagai satu kesalahan," tambah mereka lagi.

"Jika Najib menyifatkan ISA sebagai gagal mengekang kemaraan politik lawan, maka apakah Akta Kesalahan Keselamatan (Sosma) yang menggantikan ISA akan mengambil alih tugas tersebut dengan lebih berkesan?" soal mereka tegas.

Justeru, GMI menuntut Najib segera memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya kepada bekas-bekas tahanan dan keluarga yang dizalimi.

Menteri Dalam Negeri pula perlu mengunakan kuasa yang diperuntukkan di bawah Klausa 32 Akta Kesalahan Keselamatan untuk membatalkan perintah tahanan sekaligus membebaskan semua tahanan atau beri hak perbicaraan di mahkamah.

"Kami juga mahu Suruhanjaya Keadilan dan Rekonsiliasi ditubuhkan bagi menyiasat kes-kes penyeksaan dalam tahanan ISA dan membawa pihak yang terbabit ke muka pengadilan. Tahanan ISA dan keluarga juga perlu diberi pampasan setimpal dengan penderitaan mereka alami," kata mereka.

Tambah mereka, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) yang digubal bagi menggantikan ISA kerana berisiko untuk disalah guna seperti mana kerajaan telah menyalahgunakan ISA hendaklah ditarik balik atau digubal.

Polis maki, pijak berkali-kali sebab pakai baju Bersih

Posted: 12 Jul 2012 02:09 AM PDT

Oleh Aisha Geoffrey


KUALA LUMPUR : Seorang lagi peserta Bersih, Kumar Suppiah memaklumkan, beliau dipijak beberapa kali oleh polis dan penguasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Beliau turut menunjukkan bukti baju tersebut yang dipakainya pada 28 April, di mana banyak kesan tapak kasut sehingga mengejutkan semua yang hadir dalam sidang kedua pendengaran awam oleh Suruhan Jaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) semalam.

"Mereka pijak saya kerana pakai baju kuning Bersih, seolah-olah ia adalah satu kesalahan besar," kata Kumar.

Katanya, polis turut mengeluarkan kata-kata kesat seperti, "keling," dan "aku akan hapuskan kau bila sampai balai nanti".

"Polis pegang kolar saya dan heret sampai Dataran Merdeka, sambil itu pelbagai kata-kata kesat telah saya terima," jelas Kumar depan panel siasatan yang dipengerusikan Naib Pengerusi Suhakam, Datuk Lake Tee dan dibantu Pesuruhjaya Profesor Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid dan Detta Samen.

Kumar ditahan selama lebih enam jam di Pusat Latihan Polis (Pulapol) sebelum dibebaskan pada jam 12.30 malam.

Pangkalan data SPR gagal bersihkan daftar pemilih – Tian

Posted: 12 Jul 2012 02:07 AM PDT

Oleh Masdar Wahid

 KUALA LUMPUR- Sistem pangkalan data oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kekal pincang selagi ia tidak mengeluarkan nama pengundi yang sudah mati secara automatik, kata Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua.



"Lebih berkesan jika sistem itu berupaya memutuskan mana-mana individu yang mencapai usia 21 tahun menjadi pengundi secara automatik dan tempat mengundi ditentukan melalui alamat kad pengenalan.

"Tambah relevan jika pengundi yang sudah meninggal dunia, dikeluarkan secara automatik daripada senarai pemilih dan tidak perlu lagi mengisi borang," katanya dipetik.

Beliau mengulas cadangan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang mahu mewujudkan sistem pangkalan data sendiri.

Aziz turut menyatakan, sistem itu mampu menangani isu pendaftaran bertindih, pengundi mengundi dua kali dan pengundi hantu.

Mengulas lanjut, Tian berkata, SPR sepatutnya memastikan identiti pengundi yang sudah mati tidak diguna oleh pengundi hantu kerana hingga kini SPR gagal membersih daftar pemilih walau berpuluh tahun didesak Pembangkang termasuk menemui agensi kerajaan itu.

"Sistem itu tidak berupaya membersihkan daftar pemilih secara keseluruhan kerana isu pengundi di kalangan pekerja asing masih dipersoalkan.

"Kami berharap Suruhanjaya Diraja menyelesaikan segera isu pendatang asing tanpa izin yang didaftarkan sebagai pengundi," kata Tian yang juga Ahli Parlimen Batu.

Mengenai cadangan Aziz bahawa sistem itu akan dihubungkan dengan agensi seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB), beliau berkata, ia tidak relevan.

"Saya tidak nampak relevannya hubungan SPR dengan syarikat utiliti seperti TNB kerana kebanyakan bil utiliti tidak didaftarkan atas nama penginap atau penyewa.

"Sepatutnya SPR menjalin hubungan lebih rapat dengan JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) dan polis bagi membolehkan maklumat pengundi yang meninggal dunia diperoleh dengan segera, sekaligus mengurangkan jumlah pengundi hantu," katanya.

77,378 Kediaman Pangsapuri Terima Rebat Air Percuma

Posted: 12 Jul 2012 02:04 AM PDT





SHAH ALAM Sebanyak 77,378 unit kediaman pangsapuri yang masih menggunakan meter air pukal di Selangor telah menerima rebat air percuma semenjak program ini diperkenalkan pada Jun 2010.

Demikian ujar Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad di Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor pagi ini.

"Semenjak rebat air percuma diperkenalkan pada Jun 2010, lebih kurang RM11.87 juta nilai rebat air percuma telah diberi kepada 250 kawasan kemajuan pangsapuri yang terdiri daripada 77,378 unit kediaman," kata Iskandar di hari terakhir persidangan Dun itu.

Selain itu, Iskandar turut memberitahu, sistem kupon yang digunakan pada awal program rebat air percuma telah dimansuhkan berikutan beberapa masalah seperti salah guna kupon oleh pihak pengurusan bangunan dan kelewatan tuntutan kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Selain itu, Kerajaan Negeri juga terpaksa menanggung kos tambahan bagi kerja-kerja mencetak kupon.

"Jesteru itu pada 2011, penggunaan kupon telah dimansuhkan dan diganti dengan kaedah pengebilan amaun rebat air percuma secara automatik pada bil air unit kediaman setiap pembeli.

"Kaedah baru ini lebih telus, mudah dan sukar untuk disalah guna oleh pemaju, Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Jawatankuasa Bersama (JMC).

"Pada 2012, kaedah pemberian air percuma dipermudahkan melalui konsep 'Lapor dan Dapat' dengan format tuntutan kepada Syabas yang lebih ringkas supaya pengagihan rebat air percuma dapat dibuat secara lebih berkesan dan meluas kepada semua pangsapuri kos rendah di Negeri Selangor," jawab Iskandar lagi.

Gaji K/Tangan, Pusat Khidmat Dun Akan Dinaik Kepada RM1,500

Posted: 12 Jul 2012 02:00 AM PDT





SHAH ALAM  : Kerajaan Negeri Selangor akan mengkaji semula pengstrukturan gaji kepada kakitangan yang berkhidmat di Pusat Khidmat Dun dalam masa terdekat.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata perkara terbabit perlu diselaraskan kerana ia di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.

Katanya, gaji pokok akan dinaikkan kepada RM1,500 sebulan dan penambahan kakitangan di pusat khidmat itu juga akan ditambah kepada tiga kakitangan.

Selain itu, Kerajaan Negeri akan meminta Suruhanjaya Perkhidmatan negeri untuk mengkaji elaun petugas dewan Dun yang dikatakan tidak disemak sejak tahun 2004.

Abdul Khalid menambah, Kerajaan Negeri juga akan memberi peluang kepada pekerja bertaraf kontrak untuk diserapkan kepada jawatan tetap.

"Dalam masa terdekat ini saya akan bentangkan di Mesyuarat Exco untuk tindakan dan pandangan semua pihak," katanya yang menjawab cadangan Ng Suee Lim (Sekinchan -DAP).

Sebelum ini, Adun Skinchan, Ng Suee Lim mencadangkan Kerajaan Negeri supaya menyelaraskan gaji minimum kepada kakitangan Pusat Khidmat Dun.

Katanya, gaji pokok kakitangan terbabit sebelum ini adalah sebanyak RM1,100 dan kakitangan Kerajaan Negeri yang bertaraf kontrak lebih dari 10 tahun perlu diserap kepada jawatan tetap supaya kebajikan mereka di terjamin.

Skim Insurans Bantu Pekerja Berpendapatan Rendah

Posted: 12 Jul 2012 01:57 AM PDT





SHAH ALAM : Kerajaan Negeri Selangor sedang mempertimbangkan cadangan untuk melaksanakan skim insurans bagi membantu pekerja berpendapatan rendah dan tidak mempunyai pendapatan tambahan melalui kerja lebih masa.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pelaksanaan skim itu disifatkan lebih relevan dan dapat meringankan beban pekerja untuk menampung kos sara hidup yang semakin tinggi.

Menurutnya, Kerajaan Negeri telah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama pegawai kewangan negeri sejak tahun 2009 untuk mengatasi masalah tersebut.

"Kumpulan wang insurans (skim) ini lebih sesuai jika dibandingkan dengan cadangan penubuhan tabung pembangunan pekerja yang akan memerlukan dana lebih tinggi untuk dilaksanakan. Peruntukan itu akan dilaksanakan secara menyeluruh untuk kebaikan pekerja," katanya.

Abdul Khalid berkata demikian sewaktu menjawab pertanyaan Dr Nasir Hashim (PKR-Kota Damansara) berhubung tindakan Kerajaan Negeri untuk membantu pekerja berpendapatan rendah.

Sementara itu, ketika menjawab soalan berhubung pelaksanaan gaji minima, Abdul Khalid menjelaskan ia perlu dibuat secara menyeluruh baik di peringkat negeri mahupun persekutuan.

Beliau berkata, kerajaan pusat perlu mengambil tindakan segera bagi pelaksanaan perkara tersebut supaya jurang pendapatan antara pekerja di negara ini dpaat dikurangkan.

"Walaupun Selangor membuat inisiatif supaya menggerakkan usaha peningkatkan pendapatan, tetapi ia perlu dibuat secara menyeluruh. Perkara itu mesti sentiasa dikemukakan kepada kerajaan pusat untuk dilaksanakan," ujarnya.

Kes Fitnah II: Pendakwa raya ragui kewibawaan hakim?

Posted: 12 Jul 2012 01:54 AM PDT

Oleh Aisha Geoffrey


KUALA LUMPUR : Alasan pendakwaan yang mengatakan Hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf dalam membuat keputusan kes Fitnah II membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 9 Januari lalu sebagai tidak menghormati kewibawaan institusi kehakiman negara.




Ketua Penerangan KEADILAN, Dr Mohd Nur Manuty mempersoalkan adakah Mohamad Zabidin Mohd Diah yang berpengalaman luas dalam bidang kehakiman telah melakukan kesilapan dalam membuat keputusan ataupun pendakwa sememangnya meragui keputusan yang dibuat beliau.

"Khilaf itu maksudnya silap, jadi masakan seorang hakim yang berpengalaman lama boleh tersilap dalam memberi keputusan?

"Adakah dengan mengenepikan keputusan itu, pihak pendakwaan sebenarnya meragui hakim Mahkamah Tinggi yang membuat keputusan? Kononnya hakim tak layak?" tempelak beliau.

Isnin lalu, Pejabat Peguam Negara mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Rayuan agar mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Ketua Umum KEADILAN itu daripada pertuduhan tersebut dan antara 10 alasan itu termasuklah hakim telah terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta.

Tambah Mohd Nur, beliau turut meragui kenyataan pendakwa raya kerana katanya, terlalu jelas ada niat jahat untuk sengaja mensabotaj karier Ketua Pembangkang itu.

"Saya yakin, orang ramai tidak mungkin percaya lagi dengan fitnah itu, kerana semua tahu Peguam Negara sebenarnya bertindak di bawah telunjuk pemimpin Umno," tegasnya.

Dalam penghakiman bertulis setebal 80 muka surat bertarikh 2 Julai lepas, Mohamad Zabidin memutuskan mahkamah tidak boleh 100 peratus pasti tentang integriti sampel DNA yang diambil daripada pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Katanya, sampel berkenaan boleh diusik sebelum sampai kepada Jabatan Kimia untuk dibuat analisis.
Oleh yang demikian adalah tidak selamat bagi mahkamah bergantung kepada keputusan ujian DNA yang dilakukan terhadap sampel berkenaan.

Anugerah PM tiada nilai selagi kebebasan kartunis disekat – Zunar

Posted: 12 Jul 2012 01:52 AM PDT

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR : Kartunis politik tanah air, Zunar atau nama sebenarnya Zulkefli Anuar Ulhaq menolak anugerah dan trofi bernilai RM10,000 daripada Perdana Menteri berdasarkan beberapa prinsip.

"Bagaimana mungkin saya menerima anugerah dari Perdana Menteri sedangkan di bawah pemerintahan beliau hak dan kebebasan saya sebagai kartunis dinafikan," katanya mengulas kenyataan beberapa rakan kartunis yang mengkritik beliau kerana menolak anugerah itu.

Semalam, Sinar Harian dan Utusan Malaysia menyiarkan artikel bertajuk "Kartunis Zunar didakwa Keliru" serta "Kartun bukan Platform Kutuk Pemimpin".

Dalam laporan tersebut, kartunis-kartunis tempatan mengkritik Zunar, antara lain kerana menolak anugerah yang bakal disampaikan oleh Perdana Menteri serta pendirian politik dalam karya beliau.

Menurut zunar, sejak mula berkarya, beliau tidak pernah berhasrat untuk mengkritik karya atau pendirian sesama kartunis kerana itu bagi beliau tidak wajar.

"…Namun kerana ia dibangkitkan, saya perlu memberi penjelasan," katanya dalam satu kenyataan.
Pada 20 Jun lalu, Kelab Putra Malaysia bersama beberapa pertubuhan menganjurkan program "Anda, PM & Kartunis" di Pasar Seni.

Beberapa kartunis tempatan, termasuk Zunar ditawarkan anugerah berupa trofi dan wang tunai RM10,000. Anugerah ini bakal disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Memang saya menolak anugerah ini, tetapi saya tidak keliru malah penolakan ini atas soal prinsip berdasarkan fakta-fakta," jelas Zunar.

Pada September 2010, Zunar ditangkap dan dimasukkan ke lokap beberapa jam sebelum pelancaran buku "Cartoon-O-Phobia".

Beliau disiasat dibawah Akta Hasutan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun jika disabit kesalahan.

Pejabat beliau di Brickfields telah dua kali diserbu, manakala lebih 500 bukunya dirampas ketika serbuan.

Selain itu, enam buah buku kartun beliau diharamkan sejak 2009, iaitu Gedung Kartun, Perak Darul Kartun, Isu Dalam Kartun edisi 1, 2 dan 3 serta 1Funny Malaysia.

"Tidak cukup dengan itu, kilang-kilang pencetak yang mencetak buku saya diugut penarikan lesen, begitu juga kedai-kedai yang menjual buku saya di seluruh Malaysia," jelas Zunar lagi.

Sehubungan itu, beliau mahu kerajaan mengembalikan hak-haknya sebagai kartunis.

"Tanpa mengembalikan hak-hak saya, anugerah dan wang tunai tersebut tidak mempunyai apa-apa nilai, malah tidak keterlaluan kalau saya anggap itu sebagai 'gula-gula pelembut sahaja," katanya.

Zunar juga didakwa berat sebelah dan sepatutnya berkecuali dalam berkarya.

"Ingin saya jelaskan pendirian bahawa apabila kezaliman berlaku, kita wajar memihak dan membela pihak yang dizalimi. Berkecuali bererti menyokong pihak yang zalim.

"Ingin saya jelaskan juga, konflik yang berlaku bukan soal pertembungan politik antara Pakatan Rakyat dengan Barisan Nasional, tetapi jauh lebih besar iaitu antara rakyat menentang pemerintah yang zalim.
Dalam konteks saya, kartunis menentang pemerintah zalim," katanya.

Zunar pada tahun lepas mendapat anugerah "Keberanian Dalam Melukis Kartun Editorial 2011″ oleh Rangkaian Hak Asasi Kartunis Antarabangsa, Washington.

Malah, beliau juga mengadakan pameran kartun di Bilbao, Sepanyol dan di London hujung tahun lepas dan awal tahun ini.

Mahathir ‘songlap’ duit rakyat Selangor ke Langkawi

Posted: 12 Jul 2012 01:46 AM PDT



Oleh Norutul Ilham


SHAH ALAM : Tun Dr Mahathir Mohamad melarikan wang rakyat Selangor ke Langkawi ketika menjadi Perdana Menteri.

Perkara itu didedahkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

"Semasa Mahathir jadi Perdana Menteri, duit pembayar cukai rakyat Selangor (yang dilarikan) ke Langkawi adalah paling tinggi, tapi perkara itu tidak pernah dibincangkan.

"Dulu wakil dalam sidang DUN tidak berani nyatakan perkara tersebut," kata Adun Ijok itu menjawab pertanyaan Adun Meru, Abd Rani Osman berkenaan pembayaran cukai rakyat Selangor kepada Kerajaan Pusat.

Khalid berkata, sejak memegang tampuk pimpinan negeri itu pada 2008, beliau tidak akan membenarkan duit pembayar cukai Selangor 'dikebas' begitu sahaja.

"Sekarang saya berani untuk bertemu Kerajaan Pusat bagi membincangkan perkara tersebut kerana melibatkan duit rakyat. Saya akan carikan keadilan bagi mereka.

"Walaupun setiap tahun Kerajaan Pusat tidak pernah keluarkan pernyataan terperinci, namun kita boleh anggarkan jumlah pembayaran cukai rakyat Selangor melalui gaji perkapita dan pendapatan bulanan mereka," jelas Khalid.

Najib, bila lagi?

Posted: 12 Jul 2012 01:40 AM PDT

Oleh Muhammad Nazreen




Debat di antara Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Presiden MCA, Chua Soi Lek, rentetan daripada debat pertama mereka sebelum ini anjuran Institut Kajian Strategik dan Kepimpinan Asia (ASLI) membawa sindiran cabaran debat di antara Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Bukti debat demi debat yang berlangsung di antara para pemimpin Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional memberi kepastian bahawa idea politik baru bukanlah hal yang mengingkari norma masyarakat.

 Sebelum ini, kita disaksikan dengan penampilan tokoh politik muda Pakatan Rakyat, Rafizi Ramli berdebat sepentas dengan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkenaan hala tuju pendidikan negara.

Debat sebagai permulaan era demokrasi matang

Debat politik kini merupakan arus baru dalam mewadahi kredibiliti pimpinan negara. Tradisi debat bukanlah omongan yang direkayasa, malahan sejarah menyaksikan debat adalah suatu pentas yang membangunkan dhamir pemimpin-pemimpin yang punya kredibiliti.

Debat adalah cerminan para pemimpin untuk menaruh kepercayaan rakyat akan wawasan yang mereka bawa. Tuduhan beberapa pemimpin UMNO termasuklah Najib sendiri yang mendakwa debat tidak bersesuaian dengan norma masyarakat Malaysia adalah kenyataan yang serong. Tindakan 'menyelamatkan' diri Najib daripada berdepan dengan Anwar Ibrahim nyata membuktikan Najib bakal dirundum bala.

Debat sebagai 'bukan' budaya kita sepertimana yang dilaungkan Najib dan proksinya mempunyai asas yang lemah. Sebagai salah seorang pimpinan utama Malaysia, alasan yang dihujani beliau supaya terselamat daripada debat bersama Anwar Ibrahim menguatkan lagi bahawa Najib tidak bersedia dengan seruan 'transformasi' yang dia laungkan. Mengapa?

Perubahan budaya politik

Pertama, keadaan politik Malaysia sedia berubah ke arah yang lebih matang pasca 'Tsunami-Politik' dalam PRU ke 12. Ini terbukti apabila analisis terhadap politik pasca 2008 sama sekali menggerakkan kelompok masyarakat sivil untuk berpartisipasi di dalam arena politik negara. Kesannya, anjakan kebudayaan politik baru bukan bertitik daripada kelompok parti politik sahaja, tetapi gerakan masyarakat sivil mendapat lebih suara untuk didengari di ruang awam.


 Lantas, kesan kesedaran politik baru ini berjaya melobi para pemimpin politik supaya lebih matang. Salah satu ruang dalam menguji kematangan pemimpin politik ini adalah menerusi interaksi dua hala seperti debat awam. Bentuk interaksi politik sehala seperti ceramah yang akhirnya hanya dihidupi dengan sentimen 'maki-makian', monopoli politik terhadap media ini tidak lagi disahut sebagai kebanyakan rakyat. Rakyat kini lebih teruja untuk menyaksikan pertarungan idea diraikan di atas pentas yang lebih adil dan saksama demi kemaslahatan bersama.




Bukan soal kalah menang

Kedua, debat bukanlah wadah untuk menyaksikan kalah-menang. Barangkali Najib terperangkap dengan persepsi ini. Jadi, cabaran debat dari Anwar Ibrahim lebih dirasakan sebagai pertarungan kalah menang sokongan rakyat. Sentimen sebegini merupakan kesalahfahaman terbesar terhadap proses perdebatan ini.

Debat bukanlah kertas ujian yang menjadikan teras kejayaan sesebuah parti politik. Misalnya, mantan Perdana Menteri Britain, Tony Blair cukup dikenali sebagai pendebat yang sangat mahir. Namun, dia bukanlah seorang Perdana Menteri yang benar-benar berjaya. Dia kehilangan mandat rakyat Britain akibat daripada dasar luarnya yang lemah terutamanya di dalam isu penglibatan Britain dalam Perang Iraq-Amerika.

Debat bukan budaya kita?

Ketiga, kesan globalisasi serantau membawa kepada faktor kenapa alasan Najib bahawa 'debat bukan budaya kita' sama sekali tidak terpakai. Najib mungkin terlupa atau 'buat-buat lupa' bahawa kita hidup di era globalisasi. Pengaruh global mendorong keperluan para pemimpin untuk berdebat bagi memastikan manifesto kepimpinan parti-parti politik yang bakal bertanding pilihanraya wajib didengari dan diadili oleh semua.

Globalisasi memberi pendedahan  rakyat Malaysia kepada isu-isu semasa berkaitan politik, sosioekonomi, sosial hanya menerusi teknologi internet. Jadi, perkembangan demokrasi di negara-negara luar menyaksikan bahawa debat bukanlah norma yang begitu ganjil dengan demokrasi.

Kebanyakan negara yang menghuni demokrasi ternyata melihat debat sebagai acara penting yang bermanfaat. Kita menyaksikan pemilihan presiden di Amerika Syarikat seperti Barrack Obama dan John McCain, pemilihan presiden Perancis di antara Francois Hollande dan Nicolas Sarkozy serta debat tiga penjuru parti politik di Britain antara David Cameron, Nick Clegg dan Gordon Brown adalah kesediaan umum dalam mencorakkan perkembangan politik yang bertemakan demokrasi.

Jadi, adakah janji Najib memastikan Malaysia sebagai negara 'first class democracy' dengan menolak tawaran untuk berdebat dengan pesaing politik terdekat beliau jauh meleset?

Debat khazanah intelektual kita

Keempat, debat merupakan sebahagian khazanah intelektual negara kita. Menerusi debatlah, banyak polisi-polisi awam dirangka. Misalnya, Debat Kebudayaan yang berlangsung pada tahun 1968 di antara Prof Syed Naguib Al-Attas dan Lim Kit Siang menjadi teras kepada Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

Jadi, hujahan yang mendakwa debat sebagai 'tradisi' yang direka-reka Pakatan Rakyat untuk mencalarkan norma masyarakat sama sekali terpesong daripada fakta sejarah negara kita.

Debat juga menzahirkan pemikiran dan hala tuju varsiti. Penulis percaya debat adalah sebahagian daripada tradisi intelektual golongan cerdik-pandai/ mahasiswa untuk membina intergrasi sosial masyarakat Malaysia mencermati isu-isu semasa secara matang dan professional. Dakwaan Najib dan beberapa pimpinan UMNO sekali lagi gagal.

Mengapa ada Piala Tun Razak untuk pertandingan debat?

Kelima, tindakan Najib mengalu-alukan program debat di kalangan mahasiswa ternyata membuktikan bahawa debat adalah budaya kita. Jangankan tidak, Najiblah orang yang bertanggungjawab merasmikan sekaligus mempengerusikan Piala Perdana Menteri yang sememangnya menjadi rebutan para pendebat siswa di universiti-universiti tempatan.

Sekali lagi Najib dalam tidak sedar mentertawakan dirinya yang sememangnya sudah ditertawai banyak pihak.

Jadi, alasan yang dihujahkan Najib merupakan bahan jenaka yang menghakis kredibiliti beliau sebagai seorang Perdana Menteri. Sekalipun tidak bersedia untuk bertemu pesaingnya, Najib seharusnya lebih 'bijak' dalam menegaskan jawapan beliau apabila diajak berdebat bersama seteru politiknya.

Kini, tindakan-tindakan lawak Najib menuju ke persimpangan dan dilemma, apakah janji 'transformasi' politik yang digembar-gemburkan sebenarnya gurauan memperbodohkan diri sendiri?

Siri demi siri debat sudah pun terlaksana, banyak pemimpin-pemimpin utama Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional sendiri sudah ke hadapan untuk berdebat sesama sendiri tentang polisi, idea dan wawasan yang masing-masing bawa.

Kini rakyat Malaysia dahaga untuk melihat tokoh pimpinan utama Malaysia sedia tampil berdebat di ruang awam demi kesejahteraan bersama. Persoalannya sekarang, sanggupkah Najib? – Roketkini.com

Himpunan Oren; 2000 ‘Anak’ Terengganu Akan Turun

Posted: 12 Jul 2012 01:33 AM PDT

Wartawan Buletin

 KUALA TERENGGANU – Persatuan Anak-anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) negeri Terengganu akan mengerahkan seluruh cawangannya di negeri ini, turun ke Kuala Lumpur menyertai Himupnan Oren pada Sabtu 14 Julai.

Pengerusi Anak Terengganu, Cikgu Shalahuddin Jaafar (Gambar bawah) berkata, perkara tersebut telah diputuskan dalam mesyuarat Anak Terengganu yang diadakan di sini pada Selasa 10 Julai.

"Mesyuarat Anak terengganu kelmarin memutuskan semua cawangan Anak negeri Terengganu akan  menghantar wakil ke Perhimpunan Oren; Selamatkan Felda yang dianjurkan Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan,"ujarnya .

Menurutnya, Anak Terengganu mensasarkan seramai 2000 ahli dan penyokong Anak di negeri ini akan menyertai Himpunan tersebut.

Katanya, ia termasuk  penyertaan Anak Terengganu di perantauan, yang tinggal di luar termasuk di Kuala Lumpur dan beberapa bandar di Pantai Barat.

Beliau berkata, Himpunan Oren adalah amat penting, bertujuan menyerahkan Memorandum kepada Yang DiPertuan Agong supaya campur tangan dalam menyelematkan tanah-tanah rancangan Felda daripada tergadai.

"Saya menyeru kepada semua rakyat khususnya mereka yang sayangkan tanah air ini menyelamatkan tanah orang-orang Melayu di rancangan Felda yang akan tergadai ekoran penyenaraian Felda Global Venture Holding di Bursa Saham,

"kita akan menyerahkan memorandum kepada Yang DiPertuan Agong kerana beliau adalah 'payung' akan melindungi kepentingan rakyat jelata,"jelasnya.

Oleh itu,  beliau harap rakyat dapat keluar beramai-ramai berhimpun sebaik selepas solat Zohor dan solat Hajat yang akan diadakan di Masjid Wilayah

Permaisuri Johor bersuara isu media

Posted: 12 Jul 2012 01:30 AM PDT

KL TODAY

 
Tuanku Raja Zarith Sofiah ibni Sultan Idris Shah, permaisuri Sultan Johor, pada Rabu mengingatkan wartawan mengenai tanggungjawab mereka untuk menulis dan membuat laporan berdasarkan fakta dan tepat.

Baginda bertitah ini amat penting kerana media memberikan pengetahuan kepada orang awam mengenai pelbagai situasi dan peristiwa yang berlaku di dalam dan luar negara, terutama dalam dunia tanpa sempadan sekarang.

"Sebagai pelanggan kepada berita, kita menikmati kepelbagaian pandangan dan pendapat yang dilahirkan oleh penduduk dari negara-negara berbeza, dan semuanya boleh diperoleh menerusi hujung jari kita.

"Beta berharap pada persidangan ini, akan akan dapat mencari pandangan serupa dan matlamat bersama," titah baginda semasa merasmikan Persidangan Antarabangsa Pusat Maklumat dan Komunikasi Media Asia (AMIC)-UiTM bertajuk "Empat Puluh Tahun Media dan Komunikasi di Asia: Retrospek, Introspek dan Prospek", di sini.

Raja Zarith Sofiah bertitah kehadiran pengulas muda media Asia pada persidangan itu amat penting kerana mereka merupakan golongan yang mampu mencorakkan masa depan.

Posted: 12 Jul 2012 01:29 AM PDT

Khalil Affandi disahkan bukan ahli PAS

Posted by admin on July 11th, 2012
 


Polis masih menyiasat latar belakang pasangan yang mengamuk di kompleks Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya Isnin lepas bagi mengenalpasti kumpulan ajaran sesat yang mereka sertai, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

"Kita akan siasat latar belakang kedua-dua mereka, tujuan dan motif mereka termasuk blog dan facebook milik mereka, sama ada terdapat pengikut atau nama ketua ajaran sesat atau kumpulan militan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Balai League Table (BLT) Siri 1, 2012 di sini, hari ini.

Ismail berkata pihaknya percaya kedua-dua mereka "kurang sihat" dan apa yang mereka lakukan itu bukan sesuatu yang dirancang.

"Berdasarkan prosedur keselamatan serta menangani insiden amuk itu, pihak polis telah bertindak dengan pantas dan wajar," katanya.

Pada hari berkenaan, Khalil Afandi Hamid, 47, yang mengaku dirinya Imam Mahadi dan pasangannya yang bersenjatakan dua bilah pedang samurai dan sebilah pisau pemotong daging mengamuk di perkarangan Kompleks B, JPM di Putrajaya.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, Khalil Afandi mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas terkena tembakan di tangan dan bahagian ari-ari manakala wanita berkenaan, bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, terkena tembakan di paha kanan dan dirawat di hospital sama.

Ditanya mengenai kenyataan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail bahawa Malaysia akan mengikuti Singapura dalam menghapuskan hukuman gantung mandatori terhadap keldai dadah, Ismail berkata: "Kita bersedia untuk bekerjasama".

Ismail turut menafikan kadar jenayah meningkat serta ia tidak mempunyai kaitan dengan penghapusan Ordinan Darurat 1969 yang menahan penjenayah tanpa bicara.

"Ini merupakan cabaran baru kepada polis dan kita bersedia untuk menghadapi sebarang cabaran," katanya.

Khalil bukan ahli PAS

Khalil Afandi dilaporkan adalah  bukan ahli PAS.

"Saya sudah periksa namanya, tidak ada dalam senarai ahli PAS Petaling Jaya Selatan," kata Yang Dipertua PAS kawasan, Ghazali Shaari.

"Orang Taman Medan ramai yang tidak mengenali beliau jarang bercampur dengan orang ramai.

"Setahu saya, Khalil jarang ke masjid atau surau. Dia membawa diri sendiri," kata Ghazali lagi.

Menurut Ghazali, Khalil berasal dari PJS 4 tetapi telah berpindah ke Puchong sejak berusia tujuh atau lapan tahun.

Katanya, rumah asalnya itu kini didiami oleh adik lelakinya.

"Kalau tidak salah ingatan saya, ibu Khalil telah meninggal dunia," tambah Ghazali.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Ghazali  memberitahu, tidak ada kumpulan ajaran sesat di Taman Medan.

Bagaimanapun, katanya berdasarkan maklumat yang diperolehi dari penduduk setempat ada guru yang mengajar agama secara sembunyi di rumah pengikut kumpulan itu.

"Tetapi pengaruhnya tidak besar. Saya tidak tahu sama ada Khalil terbabit dengan kumpulan tersebut.

"Yang saya tahu beliau jarang datang ke masjid," kata Ghazali yang juga Pengerusi Masjid Nurul Ehsan, Taman Medan.

Posted: 12 Jul 2012 01:16 AM PDT

Tidak prihatin lihat mangsa ragut jatuh

KL TODAY

 
Tujuh orang telah berjalan sambil melihat mangsa ragut Tan Kim Chuan (gambar), 60, tanpa menghulurkan sedikit pun bantuan ketika dia sedang terbaring tidak sedarkan diri di atas jalan dengan tengkorak yang retak di kawasan rumah pangsa Rifle Range.

Rakaman CCTV menunjukkan dia terbaring di jalan raya selama kira-kira tujuh minit.Kim Chuan, yang jatuh dan kepalanya terhentak di atas jalan raya dalam kejadian pukul 6.02 pagi pada Selasa, meninggal dunia akibat kecederaan itu sembilan jam kemudian di Hospital Pulau Pinang.

Kakaknya Lay Yong, 63, mahu orang ramai yang lalu-lalang "mendengar suara hati mereka".

"Mereka yang melihatnya seharusnya melakukan sesuatu dengan sekurang-kurangnya menjerit untuk mendapatkan bantuan.

"Bagaimana mereka hanya boleh berjalan sahaja? Saya marah tetapi apa yang boleh saya buat?" Lay Yong berkata di bilik mayat Hospital Pulau Pinang, Rabu.

Dia berkata Kim Chuan ketika itu dalam perjalanan ke kedai kopi milik keluarga di Carnarvon Street.

Dia akan menaiki bas setiap pagi untuk membantu di kedai kopi itu.

"Kakak saya jenis orang yang tidak akan teragak-agak untuk membantu orang lain. Peragut yang melakukan ini sangat kejam," katanya.

Kim Chuan, seorang janda yang baru sahaja berpindah ke rumah pangsa Rifle Range dua minggu lalu, berjalan seorang diri berhampiran Blok J kawasan tersebut apabila beg tangannya diragut oleh penunggang motosikal.

Kira-kira pukul 6.10 pagi, tiga orang yang baik hati telah mengangkatnya ke tepi jalan dan memanggil ambulans.

Ketua Jabatan Forensik Perubatan Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Zahari Noor berkata bedah siasat menunjukkan punca kematian disebabkan beberapa kecederaan di kepala.

"Dia mengalami pendarahan dalaman di kepala dan bahagian belakang tengkoraknya retak akibat terjatuh ke atas jalan dengan tekanan yang kuat," katanya.

Mayatnya akan dibakar di Batu Gantong pada pukul 2 petang, Khamis.

 Sementara itu, Ketua Polis P.Pinang ACP Gan Kong Meng menggesa orang ramai untuk membantu polis dalam menangkap suspek.
 
"Disebabkan kita tidak dapat berada semua tempat pada setiap masa, kami menghargai maklumat daripada orang ramai, terutamanya daripada mereka yang mungkin telah menyaksikan kejadian itu," katanya kepada pemberita selepas memberi penghormatan terakhir kepada Kim Chuan.

Beliau juga menasihati orang ramai untuk sentiasa menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

"Satu tindak balas lebih cepat mungkin dapat menyelamatkan hidupnya," kata ACP Gan.

PAS Wilayah ajak rakyat ke Himpunan Hijau 14 Julai

Posted: 11 Jul 2012 05:14 PM PDT

Harakahdaily,
 
 
KUALA LUMPUR: PAS Wilayah Persekutuan (PAS WP) menyeru rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat supaya hadir ke Himpunan Hijau pada 14 Julai ini.
Setiausahanya, Khairul Anuar Abdul Manap berkata, Himpunan Hijau itu akan diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru bermula dengan Solat Maghrib berjemaah, diikuti dengan Munajat Perdana Umat Islam Kuala Lumpur diiringi dengan pidato pembakar semangat oleh pimpinan PAS Pusat serta tokoh-tokoh yang dijemput hadir.

Katanya, PAS WP ingin mengingatkan peserta-peserta agar memakai baju Hijau sebagai warna konsep program di samping membawa sejadah masing-masing serta berwuduk bagi menyertai Munajat selepas Maghrib nanti.

Beliau berkata, PAS WP akan membariskan pemimpin tertinggi antaranya Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ustaz Idris Ahmad dan Mazlan Aliman ( AJK PAS Pusat), Ustaz Nasrudin Hassan (Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia) serta Vincent Lee selaku Naib Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS.

Selain itu, PAS WP juga menjemput tokoh-tokoh yang telah menyertai PAS seperti Datuk Adnan Ibrahim, bekas Pengarah Pelajaran Perak, Datuk Ramli Buyung (Naib Presiden Kanan Felcra Bhd), Abdullah Ali (lagenda bolasepak negara), Kamal Bachaa (bekas Ahli MKT PPP) serta Cikgu Nazri Nordin (bekas AJK Umno Bahagian Gopeng).

Beliau menambah, bagi warga Kuala Lumpur khususnya ahli dan penyokong-penyokong PAS, Himpunan Hijau sebagai penyuntik semangat bagi menghadapi PRU13.

Menurutnya, tiga buah parlimen yang diamanahkan untuk PAS bertanding, iaitu Titiwangsa, Putrajaya dan Labuan menjadi asas kekuatan PAS di Kuala Lumpur ini.

Katanya, Putrajaya bukan lagi sebuah kawasan selamat bagi Umno kerana ia boleh runtuh bila-bila masa ditawan PAS manakala Labuan pula akan mencatat sejarah menjadi pertarungan paling sengit dalam PRU13 kelak manakala Titiwangsa, satu-satunya Parlimen yang dimenangi oleh PAS, menjadi  benteng penting untuk dipertahankan kemenangannya.

"Himpunan Hijau PAS WP kali ini diadakan di ambang Ramadhan bagi memperkukuh tarbiyah dan keimanan umat Islam menghadapi bulan penuh rahmat ini," ujarnya.

Di samping itu, tambah beliau momentum himpunan itu menjadi azimat dan bekal semangat buat semua rakyat pulang ke kampung pada musim perayaan nanti bagi membuat perubahan dalam PRU13.

Ujarnya, warga Kuala Lumpur adalah ejen perubahan paling penting bagi melatari landskap politik negara ini.

"Perubahan penting pasca PRU13 nanti dimulai dengan 'tsunami politik' warga Kuala Lumpur nanti, dan akan diikuti oleh negeri-negeri lain seluruhnya, Insya Allah," katanya.

Fatwa: Pelaburan emas Genneva Malaysia tak sah

Posted: 11 Jul 2012 05:12 PM PDT

Wartawan Sinar Harian

Profesor Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin
Abdul Shukor Husin
 
 
KUALA LUMPUR - Transaksi jual beli dan pelaburan emas Syarikat Genneva Malaysia Sdn Bhd didapati tidak mematuhi sepenuhnya peraturan hukum syarak dan undang-undang negara.

Ini disahkan oleh Pengerusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, Prof Emeritus Tan Sri Abdul Shukor Husin dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini hari ini.

Beliau berkata, muzakarah tiga hari majlis itu bermula Rabu lepas meneliti  laporan dan hasil siasatan Bank Negara Malaysia terhadap operasi jual beli dan pelaburan emas syarikat itu.

Katanya, operasi syarikat tersebut didapati tidak mematuhi sepenuhnya Parameter Pelaburan Emas seperti diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa

Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke 96 yang diadakan pada 13 hingga 15 Jun lepas.

Kenyataan itu menasihatkan umat Islam tidak melibatkan diri dalam aktiviti atau transaksi jual beli dan pelaburan emas oleh mana-mana pihak, sama ada syarikat di dalam negara atau luar negara yang bertentangan dengan prinsip jual beli emas seperti yang digariskan oleh syarak dan undang-undang negara.

Abdul Shukor berkata, transaksi jual beli mestilah memenuhi semua rukun jual beli yang digariskan hukum syarak, dan sesuatu transaksi dikira tidak sah sekiranya tidak memenuhi salah satu rukun jual beli.

Beliau berkata transaksi juga hendaklah bebas daripada unsur-unsur riba, perjudian, gharar yang berlebihan dan kezaliman. – Bernama

Umno terdesak upah bloggers burukkan PAS

Posted: 11 Jul 2012 05:09 PM PDT

Mohd Nor Yahya,

KOTA BHARU: PAS Kelantan menyifatkan Umno terlalu terdesak sehingga sanggup mengupah bloggers menyebarkan fitnah terhadap Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melalui gambar super impose.

Selain itu Umno juga menggunakan sepenuhnya ruang melalui akhbar harian yang dimiliki untuk memaparkan setiap berita negatif mengenai Kelantan, biar pun dalam banyak keadaan tiada kaitan dengan kerajaan negeri.

Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dr Muhammad Fadzli Hassan (gambar) berkata, Umno kini menggunakan sepenuhnya ruang media baru bagi memburukkan PAS dan Pakatan Rakyat tanpa menghiraukan soal moral dan maruah.

"Kami amat kesal terhadap tindakan bloggers Umno yang semakin ganas sehingga cuba memaparkan gambar Menteri Besar di luar normal akar yang waras.

"Ini secara jelas menggambarkan mereka tidak menghiraukan langsung soal dosa dan pahala. Mereka mahu mempersendakan seorang ulama yang diiktiraf di peringkat dunia," katanya di sini.

Kebelakangan ini kerap dipaparkan melalui blog yang dimiliki penyokong Umno bagi memburukkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz dengan melakukan super impose.

Dr Fadzli yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, sebagai seorang Islam mereka seharusnya sedar fitnah tersebut akan menjadi senjata makan diri sendiri.

"Setiap wartawan perlu ingat apa pun berita atau penulisan dibuat akan dipersoalkan di akhirat nanti," katanya.

Sementara itu beliau juga menafikan kononnya artis yang menyertai program anjuran PAS menuntut bayaran.

"PAS sebuah parti yang memperjuangkan Islam. Artis yang menyertai PAS tentunya faham kedudukan tersebut. Mereka datang dengan kehendak sendiri selepas memahami perjuangan Islam ada kelebihannya," ujar beliau.

SAMM seru anak muda sertai Himpunan Oren

Posted: 11 Jul 2012 05:07 PM PDT

Harakahdaily,
 

KUALA LUMPUR: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) sangat komited untuk bersama dalam Himpunan Oren yang akan berlangsung pada 14 Julai ini sambil menyeru kepada semua anak muda untuk turun berhimpun demi menyelamatkan saki-baki khazanah negara sebelum terlambat.


Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan berkata, Himpunan Oren dijangka mendapat sambutan yang besar kerana rakyat terutamanya golongan muda harus bertindak melakukan sesuatu mempertahankan hak negara ini daripada dirompak oleh lanun berkolar putih.

Katanya, SAMM juga melalui Segmentasi Peneroka dan Luar Bandar telah masuk ke beberapa gugusan Felda termasuklah pertemuan di Gugusan Felda Palong baru-baru ini untuk pencerahan Himpunan Oren dan juga mobilisasi massa.

Bagi SAMM, ujarnya penyenaraian FGVH seumpama memperjudikan nasib peneroka Felda yang sudah berpuluh tahun berbakti kepada negara.

Menurutnya, menyenaraikan FGVH adalah satu perjudian yang harus dielak dan ditentang kerana tiada jaminan keuntungan yang berkekalan malah peneroka Felda terdedah kepada risiko kerugian melampau sepertimana yang pernah berlaku pada tahun 1998 yang lalu.

"Kerajaan kononnya memberi jaminan adalah penipuan semata-mata merujuk kepada banyak amanah saham yang sebelumnya dijamin kerajaan tetapi lingkup menyembah bumi dan nasib pemegang saham langsung tidak dibela," ujarnya.

Beliau berkata, SAMM melihat tidak mustahil tanah Felda akan tergadai melalui penyenaraian FGVH dan ia akan melibatkan ratusan ribu hektar tanah rezab melayu.

SAMM juga, ujarnya turut mempersoal laporan yang menunjukkan Pengerusi Felda yang tidak mempunyai walau seinci pun tanah Felda yang dibangunkan, namun memperolehi 180 ribu unit saham sedangkan peneroka yang berpuluh tahun membanting tulang hanya dikurnia 800 unit saham sahaja.

Ini, ujarnya satu pengagihan tidak adil yang melampau dan harus ditentang habis-habisan.

"Ayuh anak muda Malaysia bersama SAMM berarak dari Masjid Wilayah di Jalan Duta ke Istana Negara untuk memberi tekanan dan signal yang jelas kepada kerajaan betapa rakyat terutamanya warga Felda menolak penyenaraian FGVH," ujarnya.

DAP90: Transformasi bodoh ke berlagak cerdik

Posted: 11 Jul 2012 05:04 PM PDT

Abdul Aziz Mustafa,
KUALA LUMPUR: Program transformasi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hanya sekadar berjaya mentransformasikan orang bodoh berlagak cerdik, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar).

Merujuk kepada tindakan dua orang yang mendakwa sebagai professor yang mengulas berita bohong Utusan Malaysia kononnya DAP akan bertanding 90 kerusi dalam pilihan raya umum akan datang, beliau berkata, selain dari mentransformasi orang bodoh sehingga boleh berlagak seolah-olah cerdik, tidak ada apa-apa yang boleh dibanggakan dari apa yang didakwa sebagai program-program transformasi Najib.

"Kalau kita baca blog Datuk (Mohd) Ariff Sabri (Abdul Aziz) umpamanya (sakmongkol.blogspot.com), kita akan dapat membaca begitu banyak hujah yang kukuh bahawa tidak ada apa-apa yang boleh dibanggakan dalam apa yang didakwa sebagai program-program transformasi Najib.

"Sebab itu saya kata satu-satunya kejayaan program-program transformasi Najib itu ialah mentransformasi orang bodoh sehingga boleh berlagak seolah-olah cerdik," kata Mahfuz.

Menceritakan lebih lanjut apa yang dimaksudkannya itu, beliau memberitahu, pada malam selepas Utusan menyiarkan berita tersebut, sebuah stesen televisyen menyiarkan ulasan dan komen dua orang yang mendakwa diri mereka professor dan mewakili Majlis Professor Negara.

"Kedua-dua mereka beria-ia dan bersungguh-sungguh mengulas berita bohong itu untuk menunjukkan kepada rakyat betapa tidak ada akalnya mereka sehingga sanggup berhempas pulas memerah otak untuk memutar-mutar cerita bagi untuk memanjang-manjangkan berita politik najis itu.

"Saya yakin, orang yang ada akal tentu malu habis-habisan untuk memanjang-manjangkan berita seperti itu," kata Mahfuz.

Beliau menyifatkan dua orang yang mendakwa diri mereka sebagai professor itu lebih kurang dengan pelajar-pelajar buta huruf dalam kelas Cikgu Ros anak Pendekar Mustar dalam filem Pendekar Bujang Lapok.

Mahfuz juga tertanya-tanya, di manakah keimanan mereka sebagai seorang Islam apabila sanggup memanjang-manjangkan berita bohong seperti.

Bubar Majlis Profesor

Mengenai dakwaan bahawa mereka mewakili Majlis Professor Negara, Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, majlis tersebut mesti dibubarkan.

"Sebelum ini ada seseorang yang juga mengaku mewakili majlis itu mendakwa bahawa negara ini tidak pernah dijajah.

"Terbaru, dua orang itu mempamerkan kebodohan mereka kepada seluruh negara mengulas berita bohong.

"Bubarkanlah sahaja Majlis Professor Negara itu kerana ia memalukan ahli-ahli akademik dan institusi pendidikan negara," tegas Mahfuz.

Malaysia di laluan getir pertahan Piala AFF

Posted: 11 Jul 2012 05:00 PM PDT

SINAR HARIAN

Harimau Malaya
Harimau Malaya
 
 
KUALA LUMPUR - Malaysia berdepan laluan sukar untukmempertahankan Piala AFF Suzuki yang dimenangi dua tahun lepas apabila diundi bersama naib juara edisi 2010, Indonesia dan juara tiga kali Singapura dalam Kumpulan B pada kejohanan itu yang akan berlangsung, November ini.

Turut akan disenaraikan dalam kumpulan berkenaan ialah naib juara pusingan kelayakan yang akan diketahui pada 13 Okober depan.

Pusingan kelayakan kejohanan itu akan berlangsung dari 5 hingga 13 Oktober di Myanmar dengan format kalah mati melibatkan pasukan Brunei, Kemboja, Laos, Timor Leste dan tuan rumah.

Skuad bola sepak kebangsaan yang turut dikenali sebagai 'Harimau Malaya' muncul juara edisi kelapan kejohanan dwi-tahunan itu pada 2010 selepas menumpaskan Indonesia dengan agregat 4-2 menerusi perlawanan timbal balik.

Pada undian yang berlangsung di Bangkok, Thailand hari ini dan disiarkan melalui laman web kejohanan www.affsuzukicup.com , juara tiga kali Thailand, yang menjadi hos bersama Malaysia pada kejohanan kali ini, mendapat laluan mudah selepas diundi dalam Kumpulan A bersama juara 2008, Vietnam, Filipina dan pemenang pusingan kelayakan, kelak.

Perlawanan Kumpulan A akan berlangsung di Stadium Rajamangala di Bangkok manakala saingan dalam Kumpulan B akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, dari 24 November hingga 22 Disember.

Dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan akan mara ke peringkat separuh akhir dan mereka akan bermain menggunakan format timbal balik bermula dari 8 hingga 13 Disember.

Pemenang saingan separuh akhir akan mara ke perlawanan akhir dengan menggunakan format yang sama pada 19 dan 22 Disember.

Skuad Harimau Malaya akan membuka kempen kejohanan menentang Singapura pada 25 November diikuti menentang naib juara pusingan kelayakan pada 27 November sebelummenutup aksi kumpulan menentang Indonesia pada 1  November.

Juara kejohanan akan menerima AS$200,000 (RM636,692) manakala naib juara AS$75,000 (RM238,676).

Sementara itu, beberapa bekas pemain dan jurulatih kebangsaan menyifatkan undian kali ini merupakan satu saingan yang cukup hebat kerana kebanyakan pasukan di rantau Asia Tenggara kini menunjukkan peningkatan.

Bekas pemain kebangsaan era 1980 dan 1990-an, Zainal Abidin Hassan berkata, undian kali ini memperlihatkan cabaran sebenar yang terpaksa ditempuh skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal untuk mempertahankan piala tersebut di hadapan penyokong sendiri.

"Saya melihat undian kali ini agak sengit memandangkan Indonesia dan Singapura sememangnya pasukan yang sukar dikalahkan... namun saya percaya dengan barisan pemain serta kelebihan bermain di tempat sendiri, kita mampu mempertahankan piala tersebut," katanya yang kini menjadi pengurus pasukan Pahang.

Pandangan Zainal Abidin itu turut dipersetujui bekas jurulatih kebangsaan Abdul Rahman Ibrahim yang melaungkan keyakinan bahawa skuad Harimau Malaya mampumempertahankan piala tersebut di laman sendiri.

"Saya akui undian kali ini agak sukar namun pemain kebangsaan tidak perlu menjadikan ia sebagai alasan untuk mempamerkan permainan sambil lewa... kita bermain di tempat sendiri, kelebihan itu wajar dipergunakan sepenuhnya pemain kita," katanya.

Beliau yang kini menjadi Ketua Jurulatih PKNS Selangor berharap pemain skuad Harimau Malaya tidak memandang mudah cabaran pasukan lain yang turut bersaing pada kejohanan kali ini. - Bernama

Tiada ulasan: