Biaqpila |
- PEMENANG LOGO MERDEKA TERIMA HADIAH LAMBOGHINI
- Puasa, Ayam Goreng Dan Kegilaan Berbelanja
- Cukai kenderaan boleh dihapus jika keborosan Najib dihentikan
PEMENANG LOGO MERDEKA TERIMA HADIAH LAMBOGHINI Posted: 28 Jul 2012 10:37 AM PDT Berita yang baru kami terima sebentar tadi dan belum disiarkan dalam mana-mana media pengampu barisan nasional.Dijangka berita ini memang tidak akan tersiarpun dalam media tersebut. Seperti yang dijanjikan,pencipta logo merdeka tahun ini baru saja menerima sebuah lamboghini sumbangan kelab ikan bakaq tarian pungkoq....kah!kah!kah! Ada sapa dah dapat ka hadiah lamboghini hari tu? Janji ditepati sungguh puak-puak pengampu ni...janji masyuuuukkk kah!kah!kah! KONGSI ARTIKEL INI MELALUI FACEBOOK |
Puasa, Ayam Goreng Dan Kegilaan Berbelanja Posted: 27 Jul 2012 09:00 PM PDT Ramadan sudah masuk seminggu. Daripada seminggu itu, tiga hari berbuka di kedai mamak; atau lebih sopannya 'restoran India Muslim'. Sebagai anak kelahiran Pulau Pinang Darul Mamak, sepatutnya saya tidak rasa bersalah. Tapi tak apalah. Pokoknya sudah tiga hari berbuka puasa dengan nasi putih panas, ayam goreng rangup, sayur kubis yang dimasak dengan apa entah sampai jadi kuning menyala, kuah kari campur (kuah kambing lebih sikit) dan papadom. Menu tidak berubah. Tetap makan benda serupa. Senang begitu, supaya tak perlu jenuh fikir apa nak makan. Cumanya walaupun menu serupa, tetapi harga tak sama. Ini sebenarnya tidak begitu pelik. Kalau di Pulau Pinang, zaman juruwang kira guna jari, udang seekor boleh berubah harga dalam beberapa jam sahaja. Tengah hari harga lain, malam harga lain. Udang yang sama. Tetapi dalam kes saya ini, tidak melibatkan udang. Adalah kesilapan besar untuk makan udang dan sotong di kedai nasi kandar. Ini kesilapan biasa para warga Kuala Lumpur yang beriya mahu makan nasi kandar yang konon paling power setiap kali singgah ke Pulau Pinang. Dasar pelancong. Memang nak kena sembelih. Tapi itu cerita lain. "Ayam satu ketul lima ringgit" Kes saya ini melibatkan ayam. Memandangkan itulah satu-satunya benda yang saya makan, maka saya dapat melihat indeks naik turun harga ayam goreng dengan lebih dekat dan jitu. Hari pertama, 'mapley' yang cedok kuah jerit kepada juruwang "sembilan lapan". Ya, RM9.80 untuk hidangan yang telah saya sebut di atas. Kali kedua, turun jadi "tujuh dua" dan baru petang semalam, dia laungkan "lapan anam". Saya tidak pandai matematik, maka saya tidak mahu berhujah panjang. Tetapi saya mahu tahu juga, menatang apa yang saya makan sampai jadi mahal begitu? Ayam belanda? Atau NFC ada bikin projek ternak ayam daging istimewa yang saya tak tahu? "Kepala otak hang," bisik hati sanubari saya yang semakin hari semakin tertekan dengan kenaikan harga barang yang menggila ini. Sejak bila ayam goreng seketul jadi lima ringgit? Saya melihat perihal kenaikan harga barang makanan ini sebagai suatu fenomena akhir zaman. Ya, akhir zaman; di saat manusia bertuhankan wang dan harta serta diperhambakan hutang dan harga kereta. Puitis betul – harta, kereta. Namun ini pokok pangkal permasalahan umat manusia akhir zaman. Dan melihat perkara ini terjadi di kala Ramadan adalah sesuatu yang amat mengharukan. Ada sekeping gambar yang dikongsikan di laman Facebook siang tadi. Kapsyennya menceritakan bahawa seorang ulama Arab Saudi yang sedang berbicara dalam forum secara langsung di kaca televisyen, menerima panggilan telefon dari Somalia. Adatnya mahu bertanyakan soalan hukum hakam agamalah, seperti kelaziman manusia menelefon ulama yang sedang bercakap di televisyen. Soalan berbunyi, "Adakah puasa saya diterima sekiranya saya tidak bersahur dan tidak juga berbuka?" Sang Ulama lantas terus terdiam menitiskan air mata mengenangkan nasib umat manusia di Somalia yang sedemikian sengsara menahan lapar dahaga. Ini pelik sebenarnya kerana kita sedia tahu bahawa umat manusia di Semenanjung Tanah Arab berbuka puasa dengan hidangan nasi mandy dan kambing panggang seekor yang dikongsi lima orang, atau mungkin tiga – kerana dua lagi sudah tertidur kekenyangan. Di saat negara tanduk Afrika itu mengharungi Ramadan dengan lapar dan dahaga yang berkepanjangan; ada segerombolan besar cukong minyak kaya raya terbongkang kenyang di tepi talam briyani dengan perut sebesar gunung Uhud. Petunjuk masalah sosial Ini petunjuk besar kepada kesialan perangai manusia yang mengaut kekayaan berlebihan dan melupakan tanggungjawab sosial. Ini masalah kapitalisme jahat yang harus diperangi habis-habisan. Ya memang tidak salah untuk melantak sampai pengsan, itu hak masing-masing. Tetapi celah mana hilangnya unsur besar Ramadan yang bertujuan mendidik kesederhanaan dan pemilihan jalan tengah moderat dalam melakukan apa sahaja tindakan. Ini juga kedapatan dalam budaya masyarakat Malaysia. Meski mengeluh tak ada duit mahu berbelanja, bila sampai bab makan dan berbuka puasa dia tetap tak mahu mengalah. Lihat sahaja gejala budaya berbuka puasa di hotel secara bermewah-mewah yang semakin menjadi kelaziman masyarakat, walaupun ia sedar diri bahawa ia sebenarnya tidak ada kemampuan itu. Malangnya dia sengaja membiarkan diri dipujuk oleh sekalian kapitalis tamak yang menjadikan kelaparan sebagai modal untuk mengaut untung berlipat ganda di bulan mulia ini. Kenapa biarkan diri tertipu? Kenapa wajib sangat berbuka secara bufet di hotel mewah untuk melantak kambing golek dan roti jala RM5 sekeping? Bukankah ini satu kegilaan dan kepelikan yang jelas nyata? Lapar sangat kah? Apakah kebab RM3 di pasar ramadan tidak mencukupi? Setipa orang Islam berpuasa kerana mematuhi ajaran agama. Tetapi apabila agama menganjur supaya jangan membazir, ada pula yang tidak mahu ikut. Apabila agama menganjur supaya bersedekah dan melangsaikan tanggungjawab sosial kepada fakir miskin, ada yang bersikap lantak saja sang fakir yang mengemis sambil berselawat di tengah-tengah kesibukan pasar Ramadan. Yang penting nasi kerabu mesti dibeli. Mesti bergegas untuk dapatkan nasi kerabu, kalau lambat nanti telur asin habis. Kalau boleh biar dua tiga bungkus. Kalau ada duit lebih sikit, enjoy saja bufet Ramadan di hotel-hotel. Mengagungkan nafsu ini adalah mentaliti yang dibentuk dengan cemerlangnya oleh kapitalis jahat supaya konsumsi manusia kekal malar atau semakin bertambah pada waktu yang sepatutnya dia belajar bersederhana dan berjimat cermat. Fikiran yang mengundang kepada semangat mementingkan tembolok inilah yang menghancurkan ramai pemuka United Malays National Organisation; maka perangai ini harus malah wajib dijauhi. Betapa rancak panah-panah kapitalis itu dilancarkan dari busur-busur ketamakan mereka yang dibayangi dogma kononnya Ramadan bulan menjana ekonomi Islam. Berselindung di sebalik agama untuk mengaut untung berlipat ganda. Yang keluar duit siapa? Kamu! Yang kutip duit siapa? Dia! Kamu dapat kenyang dan kemudian terbongkang tak pun pergi sembahyang. Dia seronok kira wang. Ini kezaliman dalam mengambil kesempatan terhadap kelaparan dan kegampangan manusia yang mudah tertipu dengan godaan makanan dan hawa nafsu. Kebendaan sembahan baru Dari segi sosial, amalan Ramadan, Hari Raya dan duit sudah tidak dapat dipisahkan. Ulama UMNO sepatutnya tegas bersuara dan memfatwakan bahawa semua ini bid'ah yang sesat belaka. Ini langsung tidak kena dengan anjuran Perdana Menteri supaya berwasatiyah dan mengambil jalan tengah, sifat sederhana sebagaimana yang telah dianjurkan DAP – parti yang tidak mencampuradukkan agama dan politik. Hairan juga dengan satu jenis manusia yang melolong memekik kononnya Melayu Pulau Pinang tertindas tetapi dengan muka selamba menabur wang membazir syok sendiri dengan bufet Ramadan mewah dan rumah terbuka Hari Raya yang niatnya meraikan Datuk Datin Tan Sri Puan Sri Tun Toh Puan, sedangkan mereka yang fakir hanya meleleh air liur mengenangkan puasa bersahur air sejuk dan berbuka dengan sebutir kurma. Jadi ketamakan, kapitalisme kroni dan kebankrapan budaya yang menjadi tunjang keberadaan UMNO inilah yang mesti dibetulkan. Hanya dengan itu kita boleh menstabilkan ekonomi negara supaya bebas dari sebarang ketirisan. Mungkin selepas UMNO ini meninggalkan kursi Putrajaya, barulah kedai nasi kandar boleh jual ayam goreng seketul seringgit setengah; macam waktu saya sekolah rendah dulu. Atau campur tolak kadar inflasi sekarang, setakat dua ringgit pun masih masuk akal lagi. Oleh Izmil Amri – Roketkini.com KONGSI ARTIKEL INI MELALUI FACEBOOK |
Cukai kenderaan boleh dihapus jika keborosan Najib dihentikan Posted: 27 Jul 2012 06:00 PM PDT PETALING JAYA 27 Julai: Semakan ke atas perbelanjaan luar perancangan dan belanja tambahan sesuka hati oleh Perdana Menteri berjumlah RM11.8 bilion mengatasi jumlah cukai eksais dan cukai import yang dikenakan ke atas kereta. Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, jumlah itu meliputi tiga kategori iaitu perbelanjaan di luar perancangan, peningkatan belanja mengurus Jabatan Perdana Menteri(JPM) dan peningkatan belanja pembangunan JPM. "Contoh perbelanjaan di luar perancangan oleh Perdana Menteri termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (RM2.6 blion), Bantuan Kembali Ke Sekolah (RM530juta) dan Bantuan Buku 1Malaysia (RM260 juta). "Begitu juga pelbagai skim membeli undi rakyat di bawah jenama 1Malaysia, serta pelbagai pengumuman peruntukan projek segera sepanjang jelajah Janji Ditepati yang dianggarkan mencecah RM180 juta setakat ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, hari ini. Menurut Rafizi, sejak Najib menjadi PM pada 2009, perbelanjaan mengurus dan pembangunan oleh JPM juga naik mendadak. "Secara puratanya dengan membandingkan perbelanjaan di bawah pentadbiran Tun Abdullah Badawi dengan purata perbelanjaan tahun-tahun 2009, 2010, 2011 dan peruntukan 2012, perbelanjaan mengurus JPM telah melonjak sebanyak RM1.4 bilion, sementara perbelanjaan pembangunan meningkat sebanyak RM4.6 bilion," jelas Rafizi. "Sebab itu KEADILAN yakin, rombakan struktur cukai ke arah memastikan harga kereta lebih murah tidak akan membebankan negara jika segala keborosan PM dihentikan," katanya. Tambah Rafizi, jumlah ini tidak termasuk pengumuman segera yang dibuat Najib di setiap kawasan yang dilawatinya, sepanjang jelajah Janji Ditepati. "Ada tempat yang sepatutnya untuk mengagihkan duit ini kepada rakyat. Bukannya mengumumkan peruntukan segera dengan menggunakan program Janji Ditepati, seolah-olah duit ini, duit mereka," tegas Rafizi. Dalam pada itu, beliau memaklumkan mekanisme rombakan struktur cukai secara terperinci untuk memastikan penghapusan cukai eksais yang diganti dengan sumber pendapatan baru akan diumum Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim. "Mekanisme ini akan diumumkan Datuk Seri minggu depan sekembalinya beliau dari ibadah umrah," kata Rafizi. KD KONGSI ARTIKEL INI MELALUI FACEBOOK |
You are subscribed to email updates from Biaqpila™ To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan