Khamis, 5 Julai 2012

Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Blog Rafizi Ramli digodam.. siapa punya kerja ni?

Posted: 05 Jul 2012 08:10 AM PDT


Blog pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli yang beralamat www.rafiziramli.com disedari digodam oleh pemiliknya bermula pukul 11 pagi tadi.

Rafizi meningkat naik dalam PKR dan Pakatan Rakyat (PR) berikutan dengan pendedahan skandal NFC sehingga menyebabkan, menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil terpaksa meletak jawatan.

Pengarah strategi PKR itu percaya, blognya digodam akibat daripada dokumen-dokumen sulit - dimuat naik ke blognya termasuk membabitkan minit mesyuarat yang ditandatangani oleh perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan dokumen-dokumen kementerian kewangan.

"Saya percaya serangan terhadap blog saya akibat daripada dokumen-dokumen yang dimuat naik berkaitan dengan kerja-kerja pembinaan tambahan LRT laluan Ampang.

"Saya sudah hubungi syarikat teknikal yang menguruskan server dan mereka sahkan blog digodam dan sedang mencuba untuk menyelamatkan data-data blog hasil kerja keras selama dua tahun," kata Rafizi Ramli yang bakal menjadi calon PKR di kerusi parlimen Pandan.

Percubaan  untuk melayari blog Rafizi membuktikan laman tersebut digodam dan "Amaran: Melawat laman web ini boleh memusnahkan komputer anda" turut keluar.

The Store buat promosi jualan Carlsberg sempena Ramadhan

Posted: 05 Jul 2012 07:14 AM PDT


PETALING JAYA: Langkah sebuah pasaraya di Sri Petaling membuat promosi arak Carlsberg dengan meletakkannya 'Ramadhan Sale' menyemarakkan darah umat Islam menjelang Ramadhan ini.

Iklan itu yang kemudiannya dimasukkan dalam facebook sekejap sahaja sudah menerima puluhan komen dari pengguna laman sosial itu.

Posting gambar iklan ini dibuat melalui facebok milik Lajnah Penerangan Dppsa (Dewan Pemuda PAS Shah Alam) dan beberapa pemilik lagi telah mendapat pelbagai reaksi dari orang ramai.

Ramai yang marah-marah namun ada juga yang agak rasional dengan berkata, mungkin ianya dibuat oleh orang Bukan Islam yang tidak faham.

Oleh itu, mereka yang terjumpa iklan sebegini sepatutnya terus membuat bantahan kepada pihak pengurusan pasaraya ini.

Iklan ini seumpama promosi daging babi panggang yang dibuat oleh akhbar MCA, The Star dalam bulan Ramadhan yang lalu.

The Star telah menerima amaran ekoran penyiaran itu.

Namun pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus juga memberi amaran apabila The Star membuat satu lagi kesilapan apabila menyiarkan tulisan dan gambar penyanyi Amerika, Erika Badu yang bertatu nama Allah di dadanya yang telanjang.

Harakahdaily.net

Uncle Seekers ditahan Polis di bawah OSA..

Posted: 05 Jul 2012 01:07 AM PDT


Semakin menarik nih!.. Kenapa Polis menahan Uncle Seekers di bawah Akta Rahsia Rasmi jika apa yang didedahkannya itu dikatakan fitnah?

Pasti ada rahsia yang benar-benar rahsia telah didedahkannya... jadi.. apa kata kita semua print semua artikel yang dah dia siarkan tu sebelum Blog dia kena padam..

Polis tahan Uncle Seekers mengikut OSA

Penulis blog Syed Abdullah Syed Husein Al-Attas yang lebih dikenali dengan nama Uncle Seekers ditahan polis di plaza tol Senawang, Negeri Sembilan pada malam tadi.

Timbalan ketua jabatan siasatan jenayah Johor ACP Mohd Akhir Ishak berkata, lelaki itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 8(1)(d) Akta Rahsia Rasmi 1972.

"Kami menahan seorang lelaki dipercayai pemilik laman blog Uncle Seekers (www.uncleseekers.blogspot.com). Dia ditahan pada pukul 9.45 malam, 4 Julai (semalam).

Katanya lagi, polis akan mendapatkan perintah reman ke atas lelaki berkenaan pada petang ini.

Anak kepada penulis buku politik popular Syed Hussein Al-Attas itu kini ditahan di lokap polis Air Molek, Johor, katanya.

Dalam operasi di Senawang pada malam tadi, polis turut menahan seorang wanita berusia 26 yang berada bersama lelaki berkenaan, tambahnya.

Tiga puluh individu pada Ahad lalu dilaporkan menuntut supaya siasatan dijalankan ke atas pengamal paranormal itu supaya berhubung penyiaran tulisan kontroversi dalam blog tersebut.

Kumpulan itu mendakwa, tulisan dalam blog berkenaan berunsur provokasi, hasutan dan mengaibkan Tunku Mahkota Johor, Sultan Johor serta penjawat awam kerajaan Johor.

Kumpulan itu juga meminta pihak berkuasa supaya menutup blog yang didakwa menyiarkan "dokumen sulit" itu.

Laporan berkenaan bagaimanapun tidak menyatakan dakwaan yang ditimbulkan Syed Abdullah.

Statistik di blog berkenaan menunjukkan ia telah menerbitkan tulisan sejak Julai 2008 dan kini menerima kunjungan hampir 10 juta pembaca.

Ia antara lainnya menerbitkan 64 bahagian tulisan berhubung isu yang didakwa melibatkan keluarga Istana negeri tersebut.

Pada Selasa lalu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika mengulas mengenai tuduhan yang ditimbulkan Syed Abdullah itu berkata: "Biarlah anjing itu menyalak semahunya. Saya tahu kebenarannya, rakyat Johor juga tahu kebenarannya.

"Mengapa saya harus beri reaksi kepada (dakwaan) karut," katanya ketika menjawab satu soalan yang diajukan seorang pengikutnya di Twitter.

Malaysiakini

Sumber BN dedahkan pemimpin UMNO berebut jawatan MB kerana Najib tangguh PRU..

Posted: 04 Jul 2012 09:00 PM PDT


Penangguhan pilihan raya umum (PRU) menyebabkan berlakunya persaingan merebut jawatan menteri besar(MB) bagi pemimpin Barisan Nasional (BN) yang percaya Datuk Seri Najib Razak akan membuat perubahan bagi memastikan program transformasi disokong di setiap peringkat, kata sebuah sumber dari kerajaan pusat.

Ketua Menteri (KM) Melaka, Datuk Seri Ali Rustam dikatakan sudah bersedia untuk berkhidmat di peringkat pusat setelah memimpin negeri kecil itu semenjak 1999.

The Malaysian Insider melaporkan pada bulan Mei lalu mengenai hanya MB Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan dan Datuk Seri Md Isa Sabu dari Perlis, yang sudah terjamin terus bertugas sebagai MB jika BN masih menang di kedua-dua negeri tersebut.

"Perlumbaan menjadi semakin sengit selagi tarikh pilihan raya tidak diumumkan. Ramai yang mahukan jawatan tersebut melobi agar diberikan peluang, kata seorang pemimpin BN .

Dikhabarkan, Najib yang juga pengerusi BN dan presiden Umno, telah bertemu dengan beberapa orang pemimpin Umno yang dilihat layak untuk menggantikan mereka yang telah memimpin negeri semenjak zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad masih menjawat jawatan PM. Dr. Mahathir mengundur pada tahun 2003.

Selain daripada Mohd Ali, menteri besar yang lama seperti Datuk Abdul Ghani Othman yang memimpin Johor semenjak 1995 dan Pahang oleh Datuk Seri Adnan Yaakob yang mengambil alih jawatan pada tahun 1999.

Paling lama memimpin negeri adalah ketua menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang berjaya membawa kemenangan BN dalam pilihan raya negeri Sarawak tahun lalu.

Penggal ini dilihat sebagai penggal terakhir Taib yang telah memegang kuasa semenjak 1981, tahun sama Dr. Mahathir angkat sumpah sebagai PM.

Sumber BN berkata, ahli parlimen Tangga Batu, Datuk Idris Haron adalah calon teratas untuk menggantikan Mohd Ali sebagai KM Melaka.

Di lihat sebagai sekutu rapat Mohd Ali, Idris juga adalah pengerusi bagi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), agensi kerajaan yang seringkali ambil alih projek perumahan terbengkalai dan menguruskan projek perumahan kos rendah.

Dizaman Tun Abdullah Badawi, Idris adalah timbalan menteri selepas PRU 2008 tetapi digugurkan dari kabinet selepas Najib ambil alih jawatan pada April, 2009.

Dua lagi calon untuk jadi KM Melaka adalah ahli parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Abu Seman dan exco negeri, Datuk Ghafar Atan. Ketiga-tiga calon merupakan ketua bahagian Umno kata satu sumber.

Di Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dikatakan akan dihantar ke pusat selepas PRU 13. Dr. Zambry ditukarkan dari negeri ke pusat, pusat ke negeri dengan menteri kewangan kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, kata satu lagi sumber BN.

"Perak mempunyai ramai pemimpin 'lama' yang mengintai jawatan tertinggi negeri. Pertukaran antara Zambry dan Ahmad Husni dilihat lebih baik bagi mengelak konflik dalaman" kata sumber itu lagi sambil menjelaskan terdapat beberapa pemimpin yang merasakan mereka boleh melakukan kerja sebagai MB lebih baik daripada Zambry.

Adun Pangkor adalah calon yang tidak disangka-sangka akan dilantik sebagai MB selepas BN ambil kembali Perak pada Febuari 2009, selepas tiga Adun Pakatan Rakyat (PR) melompat parti.

Di Pahang pula, Adun Lanchang, juga pemimpin nombor dua Umno negeri disebut-sebut sebagai pilihan utama untuk menggantikan Adnan yang berpengalaman luas dan dirasakan berguna di Putrajaya.

Sementara di Kedah, spekulasi mengatakan timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Datuk Mukhriz Mahathir boleh menjadi MB jika BN berjaya rampas negeri dari PR yang menang pada tahun 2008.

Ahli parlimen Jerlun itu adalah orang nombor dua Umno Kedah yang tidak pernah memegang apa-apa jawatan di peringkat negeri tersebut.

Sumber BN turut berkata, perlumbaan merebut jawatan tertinggi negeri di Johor, Selangor dan Terangganu menjadi semakin sengit selagi PRU ditangguhkan. Najib mempunyai masa untuk memanggil pilihan raya selewat-lewatnya sehingga April tahun hadapan akan tetapi, terdapat spekulasi pilihan raya akan diadakan bulan ini atau selepas Bajet 2013 yang akan dibentangkan pada 28 September.

Calon utama bagi Selangor adalah timbalan pengerusi Umno negeri, Datuk Seri Noh Omar akan tetapi sumber mengatakan beberapa tokoh korporat turut dimasukkan dalam senarai Najib yang juga pengerusi Umno Selangor.

"Setiap minggu akan ada nama baru tetapi Najib berhati-hati dan akan mengambil masa untuk buat keputusan," kata sumber.

Sumber yang memberitahu The Malaysian Insider pada bulan Mei lalu turut berkata, BN akan mengambil kira pendangan Istana Negeri sebelum mencadangkan mana-mana calon. "Ia haruslah seseorang yang dipersetujui dan di hormati oleh Istana Negeri, jika tidak akan berlaku kekecohan," memberi contoh pertukaran saat akhir di Perlis dan Terengganu selepas pilihan raya 2008.

Selepas 8 Mac 2008, ketua BN pada ketika itu, Datuk Seri Abdullah Badawi mencalonkan datuk Seri Shaidan Kassim untuk terus memimpin Perlis tetapi ditolak oleh Raja Perlis.

Di Terengganu, Istana negeri menolak calon Abdullah, Datuk Seri Idris Jusoh untuk terus berkhidmat sebagai MB sebaliknya menyuruh Datuk Seri Ahmad Said, Adun Kijal untuk mengangkat sumpah sebagai MB walaupun terdapat protes dan tentangan besar dari Umno Terangganu termasuklah pemecatan sementara MB baru dari parti. Isu ini kemudiannya berjaya diselesaikan apabila Abdullah bersetuju dengan pilihan Istana Terengganu.

Najib yang akan menyemak satu persatu calon, berkata keputusan akhir terletak ditangannya termasuklah bagi calon-calon dari 13 parti komponen BN.

Walaupun telah berpengalaman lebih dari 30 tahun dalam kerajaan, ini adalah kali pertama Najib memimpin BN dalam PRU dan beliau turut memerlukan mandat sendiri sebagai PM.

Penganalsis bersetuju bahawa Najib akan terus memenangi PRU 13 cuma yang menjadi persoalan adalah saiz kemenangannya.

Pilihan raya akan datang bakal menyaksikan pertambahan 2.2 juta pengundi baru kepada 12 juta pengundi berdaftar.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)telah menerima cadangan untuk menggunakan dakwat kekal dan sekurang-kurangnya 10 hari berkempen dalam pilihan raya akan datang selepas protes menuntut pilihan raya bersih dan adil dilakukan.


The Malaysian Insider

Hudud belum sesuai dilaksanakan di negara ini kata Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang

Posted: 04 Jul 2012 06:38 PM PDT


Shaik Hussein berkata, jika Pas boleh melaksanakan hukum hudud di Kelantan, Pemuda Umno Pulau Pinang khususnya akan bersama parti itu melaksanakannya di Malaysia.

Pemuda UMNO Pulau Pinang akan bersama PAS?... berapa orang?.. diri sendiri pun tak berapa kerat yang sokong nak bawa Pemuda UMNO Pulau Pinang..

Ni ada sikit cerita aku dapat pasal mamat ni dari seorang pemimpin UMNO (pemimpin bukan pencacai ya... ) masa pergi dengar ceramah Ummi Hafilda hari tu..

Ceritanya pasal isu tapak masjid di Ivory Cost yang mamat ni jadikan isu..

Aku tanya pemimpin UMNO tu kenapa UMNO Pulau Pinang jadikan tapak Masjid di Ivory Cost sebagai isu? Takkan tak tahu peraturan dah 50 tahun memerintah?

Dia jawab.. "Ha.. ha.. ha.. Pasal kami tahu peraturanlah kami biar anak mamak tu bawak isu ni.. biar dia kena.."

"Kena apa" tanya aku.. jawab dia " Kena saman dengan Guan Eng lah.. bila dia kena saman, tak mampu nak bayar muflis.. bila dah muflis mana boleh jadi calon dah.... "

"Lagipun.. bukan kami yang angkat dia jadi Ketua Pemuda.. hang carilah sapa yang angkat dia.. spesis sama dengan dia jugak.. hang cari!"

Nampak tak bagaimana pemimpin UMNO yang ada gunakan pemimpin dan juga penyokong PR untuk menyingkirkan individu yang mereka tak senangi?

Ini laporan pasal hudud di Pulau Pinang.. nampak hipokrit sungguh depa ni..

Umno Pulau Pinang 'OK' jika perkenal hudud

GEORGETOWN - Sebagai seorang yang beragama Islam, Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Shaik Hussein Mydin bersetuju dengan pelaksanaan hukum hudud.

Sungguhpun begitu, beliau berkata, ia belum lagi sesuai dilaksanakan di negara ini.

Bagaimanapun, Pas yang mendakwa memperjuangkan Islam harus melaksanakan hudud di Kelantan terlebih dahulu sebelum dilaksanakan di Johor.

"Di Kelantan majoriti penduduknya adalah kaum Melayu dan beragama Islam. maka lebih memudahkan Pas untuk melaksanakan hudud," katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Umno Bagan diminta mengulas cadangan Adun Kemelah, Datuk Ayub Rahmat agar pelaksanaan hukum hudud dimulakan di Johor.

Shaik Hussein berkata, jika Pas boleh melaksanakan hukum hudud di Kelantan, Pemuda Umno Pulau Pinang khususnya akan bersama parti itu melaksanakannya di Malaysia.

Untuk itu, Pas harus memastikan hudud yang dilaksanakan itu adalah hukum Islam dan bukan hukum Pas.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Betong, Muhamad Farid Saad berkata, beliau bersetuju dengan cadangan pelaksanaan hukum hudud.

Ini kerana agama Islam sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai agama rasmi.

"Sebagai seorang yang beragama Islam, kita harus bersetuju dengan hudud kerana ia adalah hukum ALLAH. Tiada siapa yang berani melawan hukum ALLAH," katanya - Sinar Harian

Mahathir, Najib dan Rosmah sudah tentu gembira bila baca pengakuan Anwar ini..

Posted: 04 Jul 2012 09:43 AM PDT


Printscreen di atas adalah sebahagian dari temubual Anwar Ibrahim dengan 'Financial Times' dimana Anwar telah berkata "We present our manifesto, our policies and, of course, if I get a mandate, I continue, otherwise I think I'll go back to teaching,"


Maknanya "Kami mempersembahkan manifesto, polisi dan sudah tentu jika kami mendapat mandat rakyat, saya akan teruskan. Jika tidak berjaya saya fikir mahu kembali mengajar,"

Mahathir, Najib dan sudah tentu Rosmah akan gembira jika Anwar benar-benar bersara... tapi jangan gembira sangat.. sebabnya samada Anwar bersama atau tidak UMNO tetap akan ditentang...lagpun Anwar kata "If" dan juga "I think"...

Berikut adalah laporan dari Sinar Harian..

SHAH ALAM – Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menimbang akan bersara daripada politik jika pakatan pembangkang yang dipimpinnya gagal merampas Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Pengakuan itu dibuat dalam satu wawancara disiarkan akhbar Financial Times.

Anwar, 65, berkata, selepas bersara, beliau akan kembali kepada aktiviti asalnya sebelum menyertai politik - mengajar.

Namun Ketua Pembangkang di Parlimen itu tidak pula menyatakan sama ada akan mengajar di dalam atau di luar negara.

Anwar pernah jadi pensyarah jemputan di Universiti Georgetown, Amerika Syarikat.

Sebelum dibawa menyertai Umno pada 1982 oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika itu Perdana Menteri keempat, Anwar adalah pengasas dan tenaga pengajar di Yayasan Anda Akademik, Kuala Lumpur selain bergiat aktif dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Beliau kemudian dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 1993 selepas memenangi jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan Umno tahun itu. Kedua-dua jawatan itu disandangnya sehingga dipecat pada 1998.

Dalam wawancara itu, Anwar mengaku sudah penat berusaha menawan Kerajaan Pusat sebuah negara yang kompleks seperti Malaysia.

"Kami mempersembahkan manifesto, polisi dan sudah tentu jika kami mendapat mandat rakyat, saya akan teruskan. Jika tidak berjaya saya fikir mahu kembali mengajar," katanya.

Kenyataan Anwar itu sudah tentu mengejutkan banyak pihak, dalam dan luar pakatan pembangkang terutama kerana ia disuarakan ketika negara sedang menunggu Parlimen dibubarkan.

Anwar yang ketika ini difahamkan berada di luar negara tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai kenyataannya itu. Beliau bagaimanapun dijadualkan akan menghadiri satu program di Selayang hujung minggu ini.

Pada PRU12, kerjasama part-parti pembangkang diterajui Anwar mencatat sejarah besar dalam arena politik negara apabila berjaya meleburkan rekod penguasaan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat oleh Barisan Nasional (BN).

Kerjasama itu membawa kepada pembentukan Pakatan Rakyat (PR).

Kerjasama itu juga menumbangkan BN di Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak selain mengekalkan Kelantan yang dikuasai Pas sejak 1990.

Pada pilihan raya kecil Ogos 2008, Anwar bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh, yang dikosongkan oleh isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan dipilih sebagai Ketua Pembangkang.

Pada 16 September 2008, Anwar mengaku mempunyai jumlah Ahli Parlimen yang cukup untuk menumbangkan kerajaan BN, namun ternyata ia tidak berlaku, sebaliknya beberapa wakil rakyat PR pula menyertai BN.

Kemudian, pada perhimpunan Bersih 3.0 28 April lalu, pelbagai pihak menuduh Anwar cuba merampas kuasa dengan mengadakan rusuhan jalanan ala kebangkitan Arab Spring, namun tuduhan itu dinafikan sekeras-kerasnya oleh pemimpin PR.

Anwar dan beberapa lagi pemimpin PKR telah dikenakan beberapa tuduhan berkenaan Bersih 3.0 dan jika didapati bersalah, beliau boleh dijatuhi hukuman penjara dua tahun, sekali gus statusnya sebagai wakil rakyat gugur - Sinar Harian

Tiada ulasan: