Isnin, 11 Jun 2012

SIASAH

SIASAH


Sabotaj dalaman terus hantui Umno

Posted: 10 Jun 2012 09:21 PM PDT

"Cah keting" menjadi istilah popular dalam kalangan Umno pada masa ini, ketika Pilihan Raya Umum ke-13 sedang dinanti-nanti.

Isu cah keting atau sabotaj menjadi salah satu isu utama yang disuarakan pemimpin-pemimpin parti, yang semakin kerap memberi amaran kepada ahli supaya tidak melakukan sabotaj sejak kebelakangan ini.

Terbaharu, dalam Mingguan Malaysia semalam, pengerusi lembaga disiplin Umno Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail menggesa supaya amalan cah keting dihentikan dalam usaha menawan kembali negeri Kelantan dari PAS.

Walaupun isu cah keting dan istilah itu sendiri paling utama dikaitkan dengan Umno Kelantan, kebimbangan ini kini dirasai di seluruh negara, termasuk negeri kritikal seperti Selangor yang mempunyai ramai "warlord" dan bekas pemimpin yang kini kecewa seperti Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

Ketika isu cah keting hangat diperkatakan, tercetus pula isu penggantungan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara, PTPTN kepada pelajar Universiti Selangor (Unisel), yang jelas kelihatan seperti satu tindakan politik dendam oleh pemimpin parti pemerintah.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin muncul menjuarai tindakan yang akhirnya memalukan Umno itu, malah sehingga kini terus mempertahakan tindakan itu.

Episod ini telah mendedahkan ketidakmatangan politik kedua-dua pihak pemerintah dan pembangkang yang menaburkan janji populis memberi pendidikan percuma, malah turut mencadangkan hutang PTPTN tidak dibayar balik.

Tetapi, pihak yang mempunyai kuasa dalam ini ialah pemerintah, dan akhirnya telah menunjukkan kuasanya dengan cara yang terburu-buru, tidak matang dan memalukan, yang didedahkan melalui tindakan membekukan pinjaman itu dan kenyataan mempertahankan tindakan itu yang bersifat kebudak-budakan.

Tindakan mengembalikan semula pinjaman selepas dikecam hebat menambahkan lagi kesan negatif kepada Umno dan Barisan Nasional, kerana menunjukkan bahawa tindakan menghentikan pinjaman itu tidak dapat dijustifikasi sewajarnya.

Tindakan menahan pinjaman itu mewakili elemen berhaluan kanan yang lebih ekstrem dalam Umno, yang menyaingi usaha pemimpin utama parti, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak mengemukakan pendekatan lebih liberal dan bergerak ke tengah dalam usaha menarik pengundi pertengahan

Elemen ini,yang bergerak dengan gaya politik lama yang tidak memisahkan pentadbiran dengan politik kepartian dan berkecenderungan kuat untuk menghukum mereka yang tidak menunjukkan sokongan masih berleluasa dalam Umno.

Perkembangan ini menunjukkan satu masalah Umno menangani elemen berhaluan kanan dalam parti yang berpotensi bertindak sebagai satu bentuk sabotaj kepada usaha menunjukkan wajah dan pendekatan politik yang lebih matang, dalam keadaan parti pemerintah diperhatikan setiap tindakannya oleh rakyat dan parti lawan.

Tiada ulasan: