Roslan SMS Corner |
Jangan berkata kecuali yang baik (20/6/12) Posted: 20 Jun 2012 12:23 AM PDT "Kerana pulut santan binasa kerana mulut badan binasa", itu pepatah lama Melayu yang memberi pengajaran agar kita berhati-hati dalam menyuarakan sesuatu. Fikir dan pastikan ianya benar dan tepat sebelum dimuntahkan keluar dari mulut, samada dalam bentuk lisan atau tulisan. Malah kadangkala ia mungkin benar atau tepat tetapi ada pula yang lebih baik dipendamkan sahaja. Demikianlah adab dan pantang larang kita. Ia bukan kekangan atau sekatan terhadap hak seseorang tetapi ia adab, dan adab sebagaimana konvensyen lain, perlu dijaga dan dipelihara takut nanti kita dikatakan tiada atau kurang adab. Malah dalam agama sendiri kita sudah sedia maklum akan adab dan pantang larang ini. Ayat-ayat Allah berkenaan perkara ini bukan bermaksud menyekat hak dan kebebasan kita bersuara, tetapi memilihara adab dan akhlak kita agar menjadi Muslim yang baik. Islam mengajar agar kita jangan sesuka mendengar atau menerima sesuatu kenyataan tetapi ia perlulah ditapis dan disaring. Allah swt berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (al Hujarat:6) Malah apabila perkara yang palsu kita terima dan ulangi pula kepada yang lain maka ia menjadi fitnah dan Allah swt berfirman: …….dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan……(al Baqarah:191) Dan dalam hal ini Rasulullah saw mengajar kita dalam sabdanya: "Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah." (Riwayat Bukhari dan Muslim) Malah al Quran sebagai rujukan dan panduan kita (bagi yang menjadikannya demikian) menyatakan secara jelas "SOP" (standard operating procedure) seorang Muslim dalam adab menerima dan menyampaikan maklumat (al Hujarat 11-12): Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim. Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. Sesunggunya masalahnya adalah pada diri kita sendiri. Ada dikalangan kita sudah menganggap dirinya (samada disedari atau tidak) sebagai insan kelas "satu". Terlalu sempurna dan baik sehingga punya hak untuk menjatuhkan hukum ke atas orang lain dan dirinya sendiri seolah maksum dan terpelihara dari sebarang cela dan kelemahan. Semoga apa yang saya nukilkan ini menjadi iktibar dan pengajaran paling penting kepada diri saya sendiri dan selebihnya kepada kawan-kawan yang lain. Saya terpanggil untuk mengulas hal ini ekoran berita terkini dalam The Star Online sebentar tadi di bawah tajuk: "Veteran journalist apologises for defamatory tweets" Demikianlah mahalnya harga apabila yang terlajak bukannya perahu tetapi kata, kerana pepatah mengajar "Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya." Dalam salah satu wasiatnya Imam as Syahid Hassan al Banna ada menyebut: "Jauhkan daripada membicarakan keaiban orang lain atau melukai mereka dalam bentuk apa pun dan jangan berbicara kecuali yang baik." Memang sukar direalisasikan kerana yang tak baik itulah selalu menjadi ikutan dan kemahuan umat manusia. Semoga Allah swt memelihara kita. |
You are subscribed to email updates from Roslan SMS Corner To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan