Ahad, 10 Jun 2012

Roslan SMS Corner

Roslan SMS Corner


Raja dan rakyat berpisah tiada.....(10/6/12)

Posted: 10 Jun 2012 07:27 AM PDT



Melihat kepada gambar dan laporan dalam akhbar The Sunday Star hari ini : "Injured guard gets royal visitor" di:                           
http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2012/6/10/nation/11451404&sec=nation                                                                                         
 saya pasti ramai seperti saya tersentuh perasaan. Lantas mengingatkan saya kepada persetiaan yang membentuk apa yang ada pada kita hari ini.
Petikan dari Sejarah Melayu:

Maka titah Sri Tri Buana:"Hendaklah pada akhir zaman kelak anak cucu bapak jangan derhaka pada anak cucu hamba.Jikalau ia zalim dan jahat pekertinya sekalipun."Maka sembah Demang Lebar Daun:"Baiklah tuanku.Tetapi jikalau anak cucu tuanku dahulu mengubahkan dia,(maka) anak cucu patik pun mengubahkan dia".Maka titah Seri Tri Buana,"Baiklah,kabullah hamba akan waad itu."Maka keduanya pun bersumpah-sumpahlah,barang siapa mengubahkan perjanjiannya itu di balik Allah subhanahu wataala bumbungan rumahnya kebawah,kaki tiangnya keatas.Itulah sebabnya maka dianugerahkan Allah subhnahu wa taala kepada segala raja-raja Melayu,tiada pernah memberi aib pada segala hamba Melayu;jikalau sebagaimana sekalipun besar dosanya,tiada diikatnya dan digantungnya dan difadihatkannya dengan kata yang jahat.
Tidak seperti Negara lain dalam dunia, Raja-raja kita sememangnya mempunyai kedudukan dan tempat yang istimewa dalam Negara dan kedudukan ini dihormati oleh rakyat lantas memberikan keseimbangan yang positif dalam hubungan raja dan rakyat bukan hanya sejak Merdeka tetapi sejak terbentuknya Kesultanan Melayu di tanahair ratusan tahun dahulu.

Sejak Merdeka Raja-raja Melayu menjadi Raja berperlembagaan di negeri masing-masing dan demikian juga Yang Dipertuan Agong diperingkat nasional. Kedudukan ini kekal sehingga hari ini kerana masing-masing Raja dan rakyat menyedari dan menginsafi hakikat betapa masing-masing perlu-memerlu dan lengkap-melengkap di antara satu sama lain, terganggu atau tergugat sahaja hubungan ini maka ianya akan merosak dan meruntuhkan kedaulatan Negara dan keharmonian yang telah dibina dengan darah dan air mata zaman-berzaman.
Sebagai Raja berperlembagaan diperingkat negeri atau Persekutuan, segala tindak-tanduk dan urusan Tuanku perlulah selari dan selaras dengan peruntukkan yang telah ditetapkan dan diterima. Atas hakikat itu maka Tuanku menjadi payung kepada rakyat, negeri dan Negara. Dalam urusan agama Islam Tuanku menjadi teraju dan demikian juga dalam urusan hal ehwal dan adat istiadat orang-orang Melayu.

Kerana itu Tuanku tidak seperti orang awam, terlibat dalam politik atau cenderung kepada mana-mana pihak atau kelompok, Tuanku adalah Raja kepada semua tanpa mengira fahaman, kepercayaan, anutan mahupun keturunan dan kaum, selagi sesiapa sahaja rakyat di bawah naunagn payung Tuanku maka selagi itulah hubungan Raja dan rakyat itu tidak pernah terpisah.
Rakyat menghormati Tuanku atas sifat dan peranan Tuanku itu. Sebagaimana persetiaan antara Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun itu, keadilan Tuanku dalam ruang lingkup peranan Tuanku tadi itulah yang dinanti dan disanjung rakyat.

Raja-raja Melayu hari ini apabila sahaja menghamburkan perasaan kasih kepada rakyatnya ketika itulah penghormatan dan taat setia rakyat semakin menebal. Rakyat bukannya menuntut untuk tinggal di istana atau menaiki kenderaan di Raja, tetapi yang dituntut adalah kasih sayang dan murah hati Tuanku.
Dalam sejarah Negara lantaran Raja-raja Melayu terus berperanan demikianlah maka rakyat terus menerus memberikan taat setia tidak berbelah bahagi.

Saya pernah menukilkan di blog ini akan beberapa "sentuhan" Raja-raja Melayu yang mencerminkan betapa besarnya hati Baginda dan betapa prihatinnya Raja-raja Melayu sesungguhnya terhadap nasib dan masa depan rakyatnya.
Saya pernah catatkan di blog ini akan seorang Raja Melayu yang pernah menziarah tahanan ISA semasa zaman British dahulu, juga akan Raja Melayu yang pernah berkhutbah, menulis kitab, menghadiahkan istana untuk dijadikan institusi agama dan banyak lagi. Tun Salleh Abbas di dalam bukunya "Mayday for Justice" ada merakamkan keprihatinan Raja-raja Melayu terhadap pemecatannya satu ketika dahulu sehingga pernah mengadakan pertemuan tertutup dengan Tun untuk mencari jalan penyelesaian.

Alhamdulillah sehingga hari ini "sentuhan" ini terus diwarisi dan ada dikalangan Raja-raja Melayu begitu "sejuk" di hati rakyat lantaran tidak jemu-jemu mempertingkatkan "sentuhan" nya itu dengan rakyat dari masa ke semasa.
Rakyat tersentuh perasaan apabila Tuanku turun mencemar duli mengambil tahu nasib rakyat, terutama ketika mereka dilanda malapetaka atau derita. Atau juga semasa hari-hari biasa, tambah lagi apabila Tuanku mengimamkan solat seperti di sebuah negeri hari ini.

Kalau ada Negara di dunia yang bosan dan sudah tidak mahukan lagi sistem beraja di Negara mereka, tidaklah begitu di sini.
Malah sistem beraja "ala" Malaysia ini insyallah bakal kekal lama selagi mana persetiaan Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun terus kekal dan dihormati semua pihak. Sesungguhnya banyak telah kita lalui dan tempuhi sehingga sampai ke destinasi hari ini, tiada kita hari ini tanpa pengorbanan dan sumbangan semua pihak terdahulu sehingga membawa kita ke hari ini. Janganlah ada pihak yang mempertikaikan hakikat ini.


Tiada ulasan: