MIMPI SENJA |
- TGNA ke Parlimen, KJ MB Kelantan? bukan KJ UMNO tapi Kamaruddin Jaafar - hampa mai tengok apa kata Utusan lagi ....
- Jangan ikut hudud ciptaan UMporNO
- Cerai : Raja Azmi Terima ‘Hadiah’ Allah Kerana Cuai
Posted: 27 Jun 2012 09:57 PM PDT PILIHAN RAYA Umum Ke-13 negara akan diadakan tidak lama lagi. Mungkin tiga bulan lagi, jika bukan tahun depanlah. Tapi jika dilihat kepada kehangatannya, ia sudah terlalu hampir. Apa pun kita serahkan kepada PM untuk menentukan tarikhnya, kerana kata putus berada di dalam tangannya. Namun begitu secara kasarnya, kempen telah pun berlangsung. Di Selangor di mana saya tinggal, pihak pembangkang telah pun rancak berceramah. Jika pilihan raya berlangsung selepas raya ini, maka Ramadan akan digunakan sepenuhnya untuk bertazkirah, yang sudah tentunya akan condong kepada kempen pilihan raya. Kita semua amat arif, itulah kelebihan yang ada kepada pembangkang khususnya Pas. Mereka akan menggunakan surau dan masjid secara maksimum. Itu pasallah di beberapa masjid di sekitar Selangor sekarang berlaku kecelaruan apabila AJK lama masjid ditukar kepada yang pro-Pas, sehinggakan ada antara kes calon-calon AJK yang di luar daripada kariah masjid itu sendiri pun telah dilantik. Bagi saya itu bukan satu kesalahan, kerana Pas di Selangor mempunyai advantage. Sesiapa pun berkuasa, dialah yang akan mempunyai kelebihan. Selain berceramah dan berkempen, masing-masing parti politik, baik kerajaan atau pembangkang juga sedang rancak untuk menyusun calon-calon yang akan menghadapi peperangan politik itu kelak. Penyusunan dan perancangan calon ini amat penting sekali. Bagi BN, yang akan menjadi underdog kali ini, penentuan itu amat-amat krusial sekali. Silap orang, maka undi akan terjunam. Maka itu, benar kata PM beliau akan memilih muka-muka baru yang boleh menang kali ini. Tepat sekali strategi PM itu, kerana itu jugalah yang dimahukan oleh pengundi. Pengundi kali ini mahu melihat calon-calon BN terdiri daripada muka-muka baru, yang segar dan berseri-seri. Ingat pada pilihan raya lalu, pihak pembangkang yang underdog pernah meletakkan muka-muka yang tidak pernah pun orang kenal, dan rata-rata mereka menang. Yang lama dan yang sudah bertanding empat, lima penggal, berilah peluang kepada yang tidak pernah lagi mencuba. Kecualilah, jika yang empat, lima penggal itu benar-benar disayangi oleh para pengundi. Kepada pembangkang kali ini mereka bukan underdog lagi. Mereka yakin akan menang. Lim Guan Eng nampak gayanya semakin bongkak mendabik dada akan menang lagi kali ini. Jika beliau menang lagi maka, lebih banyaklah "perubahan demi perubahan" yang akan dilakukan di Pulau Pinang itu. Mungkin lebih banyaklah yang akan melukut di tepi gantang. Tapi bagi orang Melayu, tumpuan sudah tentulah kepada dua negeri di Utara dan Pantai Timur tanah air, iaitu Kedah dan Kelantan. Ini adalah kerana kedua-dua negeri itu mengandungi majoriti kaum itu. Kedah bagi saya, BN boleh ambil balik. Tapi ada tapinya. Ia banyak bergantung kepada siapa calon-calonnya. jangan rebut-merebut dan gaduh-gaduh. Formula seperti di atas amat-amat diperlukan untuk menang. Potensi memang ada. Jika Kedah kalah kali ini, maka negeri itu akan menjadi satu lagi Kelantan yang akan dipasak oleh Pas selama-lamanya. Tapi saya lebih berminat kali ini untuk mengulas mengenai kedudukan Kelantan. Nik Aziz Nik Mat yang pernah mencabar Dr. Mahathir Mohamad supaya berundur kerana dikatakan sudah tua dan nyanyuk, kini telah memerintah negeri itu selama 22 tahun. Dia pernah mencabar Dr. Mahathir supaya meletak jawatan bagi membolehkan dia juga akan letak jawatan. Tapi sebagai orang politik yang totok, Nik Aziz tidak pernah mengotakan janjinya. Difahamkan kali ini, buat ke sekelian kalinya, Nik Aziz bercita-cita mahu bertanding lagi. Walaupun asyik masuk-keluar hospital, dia masih mahu bertanding lagi. Tapi kali ini, mungkin lain macam sedikit. Saya diberitahu oleh orang-orang dalaman Pas, Nik Aziz kali ini mahu bertanding di Parlimen pula. Dia mahu merasai bagaimana berada dalam Dewan Rakyat. Dia mahu melepaskan jawatan sebagai MB Kelantan, setelah dikatakan terpaksa mengakui gagal membangunkan negeri itu sebagaimana yang dikehendaki. Dia tahu kelemahannya. Dia tahu, mungkin, jika dia masih berada di situ rakyat Kelantan akan membuat perubahan. Maka, dia dikatakan akan bertanding di Parlimen P20 Pengkalan Chepa. Jika benar, maka siapa yang akan menggantikannya? Apakah anak emasnya, Husam Musa? Tapi Husam kini dikatakan terlalu banyak bebanan? Husam memanglah bercita-cita mahu menjadi MB, menggantikan Nik Aziz, tapi adakah beliau akan dipilih? Saya diberitahu, bukan Husam. Tapi nama yang disebut itu ialah KJ. Bukan KJ Pemuda UMNO, tapi Ahli Parlimen P19 Tumpat iaitu Kamaruddin Jaafar. KJ ini disebut-sebut akan menggantikan Nik Aziz sebagai MB Kelantan selepas PRU-13 kelak. Difahamkan, jika benarlah, KJ ini yang menjadi AP Tumpat sejak 1999 akan bertanding di DUN N3 Pasir Pekan (di kampung halamannya) dalam kawasan parlimennya sekarang. Ahli DUN N3 Pasir Pekan yang kini dipegang oleh Datuk Ahmad Yaakob (kini Timbalan MB Kelantan) akan bertanding di kerusi Parlimen Tumpat. Tapi siapa Kamaruddin ini? Yang kita tahu dia ini adalah orang kuat dan orang kanan Anwar Ibrahim. Juga disebut-sebut, KJ ini pun dikatakan memasuki ke dalam Pas atas perintah Anwar yang mahu beliau menyusup masuk ke dalam parti itu. Apakah Anwar, akhirnya mahu menguasai Kelantan pula secara tidak langsung? Jika tidak benar pun andaian ini, mengapa tiba-tiba angin bertiup. Ia kini menjadi buah mulut orang-orang Pas di Kelantan. Anwar ini memang licik orangnya. Itu pun semua orang tahu. Jika benarlah maka Anwar memang bijak. Adakah jika KJ menjadi MB Kelantan kelak, maka akan mudah PKR dapat bertapak di bumi Kelantan selepas ada tanda-tanda jelas akan kehancuran pertahanan PKR di bumi Selangor dan Pulau Pinang. Semua orang tahu markas Anwar di Permatang Pauh kini telah goyah. Jika ini benar-benar terjadi, maka adalah tidak mustahil MB KJ akan membuka peluang kepada seorang ahli DUN daripada PKR menjadi Timbalan MB Kelantan? Faktanya, KJ ini merupakan strategis Anwar di dalam think-tanknya, Institut Kajian Dasar (IKD). Semasa KJ menerajui IKD dia dikatakan banyak mengeluarkan buku mengenai fahaman yang cuba dibawa oleh Anwar mengenai masyarakat madani. Kebanyakan buku-buku itu dikatakan ditaja oleh sebuah yayasan dikenali sebagai Kondrad Adeneur, sebuah pertubuhan milik Parti Kristian Demokrat di Jerman. Datuk KJ bukan calang-calang orang. Beliau juga pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Ghafar Baba. Semasa itu, Anwar ialah Menteri Kewangan. Tapi semasa KJ bersama Ghafar, Anwar juga sudah bercita-cita mahu menjadi TPM, menggantikan Ghafar. KJ dan Anwar pernah aktif dalam ABIM dan merupakan sahabat baik. Akhirnya pada 1993, Anwar melawan Ghafar dan oleh kerana permainan politik wang yang terlalu hebat, Anwar menang dalam permilihan UMNO. Beliau kemudian dilantik menjadi TPM. KJ pula secara rasmi berada bersama Anwar di dalam lingkungan TPM Anwar. KJ diberi peranan oleh Anwar untuk menjalankan perniagaan. Nik Aziz yang selama ini amat mengkagumi Anwar, kini melihat KJ mempunyai potensi. Kamaruddin dikatakan boleh melonjakkan ekonomi Kelantan. Nik Aziz yang selama 22 tahun hanya mampu membaca doa tazkirah sahaja mengakui gagal melakukan transformasi ekonomi negeri itu. Nik Aziz amat mempercayai keupayaan Kamaruddin yang dikatakan mempunyai rangkaian hubungan dengan pihak antarabangsa termasuk dari Jerman, Amerika Syarikat dan negara-negara lain. Jika perkembangan ini benar berlaku, maka ia akan menjadi satu lagi dimensi baru bagi sains politik di negara ini. Persoalannya adakah Pas akan berdiam diri? Kita tunggu dan lihat. -Utusan | ||
Jangan ikut hudud ciptaan UMporNO Posted: 27 Jun 2012 08:22 PM PDT
SHAH ALAM: DAP meminta semua rakyat terutamanya penyokong parti-parti di dalam Pakatan Rakyat agar tidak terikut dengan persepsi Umno Barisan Nasional (BN) berhubung isu hudud. "Walaupun isu hudud seringkali ditimbulkan oleh Umno-BN kita sebagai rakyat dan juga parti di dalam Pakatan Rakyat jangan terikut dengan persepsi mereka tentang hudud. "Umno-BN sering sahaja menggunakan isu ini untuk memecah belah perpaduan yang dibina dalam Pakatan Rakyat," kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. Tambahnya, persefahaman dan perpaduan yang telah dipersetujui dalam Pakatan Rakyat perlu dipegang bersama agar matlamat untuk menjatuhkan Umno-BN dapat dicapai. "Persepsi palsu akan terus dimainkan oleh mereka jika kita terikut dengan rentak mereka itu hanyalah akan menguntungkan mereka (BN) sahaja. "Pihak lawan akan terus berusaha untuk memecah belahkan Pakatan Rakyat, perpaduan yang telah dibentuk ini perlu diperkemaskan sekuat-kuatnya," sambungnya. Lim Guan Eng turut menyatakan Umno BN cuba menakut-nakutkan bukan Islam dengan PAS dan hudud dengan berharap bukan Islam akan menolak PAS. "Seperti mana Umno-BN menakutkan orang bukan Islam tentang PAS dan hudud begitu jugalah orang Melayu bila mereka mengatakan DAP anti Islam. "Namun sepanjang sejarah negara ini kita tidak pernah mendengar bahawa PAS mahupun DAP telah membunuh orang bukan Melayu ataupun orang Melayu tetapi peristiwa Memali membuktikan siapa yang perlu kita takuti," sambungnya lagi. Katanya lagi, persepsi yang dibawa oleh Umno-BN itu perlu diketepikan sepenuhnya dalam usaha Pakatan mencari pentadbiran terbaru yang akan membanteras kemungkaran sepenuhnya. "Kita mahu rakyat hidup dengan bermaruah tanpa ada perasaan takut, kita juga mesti saling hormat menghormati antara satu sama lain. "DAP tidak pernah mengancam Islam malah kami menghormati Perlembagaan Persekutuan yang menjelaskan Islam itu agama rasmi," kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu lagi. Lim Guan Eng bertindak sebagai panelis bersama pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malek pada program wacana 'Benarkan Dasar DAP Mengancam Islam'. Wan Saiful Wan Jan, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS bertindak sebagai moderator. - Harakah | ||
Cerai : Raja Azmi Terima ‘Hadiah’ Allah Kerana Cuai Posted: 27 Jun 2012 07:58 AM PDT Oleh WAHIDUZZAMAN (wahi@thestar.com.my) KUALA LUMPUR: Produser filem Raja Azmi Raja Sulaiman menganggap perceraiannya dengan bekas jaguh badminton negara, Jalani Sidek di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini pada Rabu adalah satu hukuman kerana cuai dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Penerbit filem ...Dalam Botol itu turut reda dengan "hadiah" yang diberikan Allah sempena ulang tahun kelahirannya ke-53 yang jatuh pada hari sama talak dilafazkan. "Saya percaya perceraian ini adalah hadiah daripada Allah bersempena sambutan hari lahir saya pada hari ini (Rabu). Saya terima hukuman Allah di dunia ini kerana kesilapan saya. "Semoga saya tidak dihukum di akhirat nanti," luahnya kepada mStar Online ketika ditemui di luar mahkamah di sini, Rabu Jalani atau nama sebenarnya Mohamed Jalani Mohamad Sidek,49, melafazkan talak satu terhadap Raja Azmi di hadapan Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin. Pasangan terbabit mengambil keputusan tersebut atas alasan tidak lagi wujud kasih sayang dan persefahaman selain berhadapan dengan konflik rumah tangga yang berpanjangan selama ini. Penulis novel itu turut berkata, perceraian yang berlaku dibuat atas persefahaman bersama bagi membolehkan hubungan dia dan bekas suami terus akrab dan baik seperti sebelum ini. "Kami bercerai dengan persetujuan bersama dan anak-anak memahami serta menerimanya. Hubungan saya dan Jalani akan terus baik seperti biasa selepas ini. "Malah, kami sekeluarga baru berkumpul pada malam semalam (Selasa) bagi meraikan hari jadi saya. Selepas pulang dari mahkamah, kami akan berbincang mengenai hal anak-anak dan beberapa urusan keluarga," katanya. Hasil perkahwinan selama 28 tahun, kedua-dua pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Puteri Suraya, 27, Puteri Suaida, 23, dan Megat Deli, 18. Mereka juga memiliki seorang cucu berusia setahun iaitu Muhammad Akid Mohd Shadan, anak kepada Puteri Suraya. Raja Azmi sebelum pernah didakwa berkhalwat dengan bekas jaguh badminton negara, Roslin Hashim pada Ogos 2010 di Hotel Corus, Jalan Ampang, di sini. Bagaimanapun, mereka dibebaskan pada 19 Ogos tahun lalu oleh pihak mahkamah selepas setahun proses siasatan berlangsung. Jailani juga pernah dihimpit kontroversi kononnya dikatakan mempunyai hubungan dengan seorang ahli perniagaan berstatus janda. - mStar |
You are subscribed to email updates from MIMPI SENJA To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan