KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan semakan kehakiman, yang dibuat penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Adam Adli Abdul Halim, 22, mencabar keputusan pusat pengajian tinggi itu menggantung pengajiannya, Januari lalu.


Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) Abang Iskandar Abang Hashim di dalam kamarnya.


Peguam yang mewakili Adam Adli, Fadhiah Nadwa Fiqri berkata, hakim memberi kebenaran kerana permohonan yang  dikemukakan tidak remeh dan mempunyai merit untuk didengar mahkamah.


"Ini bermakna Adam boleh merujuk kepada pihak universiti mengenai keputusan mereka menggantung pengajiannya selama tiga semester," kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online kemudian.


"Selepas ini, kita akan serahkan kepada pihak pengurusan Upsi untuk memberi pertimbang bagi menyelesaikan kes Adam ini," tambahnya.


Bagaimanapun tarikh pendengaran akan ditentukan kemudian.


Adam Adli yang merupakan pelajar semester lima jurusan Pengajian Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) mencabar keputusan pergantungan pengajiannya selama tiga semester bermula semeseter kedia sesi 2011/2012.


Hukuman itu dijatuhkan selepas didapati bersalah menurunkan bendera Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa berdemonstrasi di pekarangan Menara Dato' Onn pada 17 Disember lalu.


Dia dijatuhkan hukuman mengikut Peraturan 3 dan 4 Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) kerana mencemar nama baik universiti dan memudaratkan ketenteraman awam.


Adam, menurunkan bendera Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak di PWTC di ibu negara semasa demontrasi pelajar pada 17 Disember tahun digantung pengajian bermula 8 Mac lalu. - SINAR HARIAN