Kerabu Bersuara ® |
- Bersih haram bukan fatwa tetapi nasihat - Mashitah
- Gelagat Umno sebelum turun takhta
- Bapa Chong Wei nafi mahu bunuh diri
- Dr Mashitah Bidas Ustaz Azhar Dalam Kolum Sinar Harian? Apa Yang Mashitah Dengki?
- Majlis makan tengahari bagi meraikan johan Tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan kali ke-55 tahun 1433H/2012M
Bersih haram bukan fatwa tetapi nasihat - Mashitah Posted: 12 Jun 2012 05:08 AM PDT Harakahdaily KUALA LUMPUR: Selepas hampir sebulan dimainkan media Umno kononnya Bersih 3.0 difatwakan haram, tiba-tiba hari ini Parlimen diberitahu kenyataan Majlis Fatwa Kebangsaan tempoh hari bukan fatwa, sebaliknya adalah nasihat. Penjelasan itu dinyatakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim (gambar) di Dewan Rakyat petang ini. Beliau berkata demikian sebagai jawapan balas kepada ucapan penangguhan oleh Ahli Parlimen Kuala Kedah Ahmad Kassim yang mendakwa fatwa tersebut membawa kekeliruan kepada rakyat. Ahmad dalam ucapannya juga mendakwa fatwa pengharaman Bersih 3.0 itu juga bertentangan dengan konsep amar makruf nahi mungkar. Beliau juga turut membawa pandangan ulamak antarabangsa seperti Dr. Wahbah Az Zuhaili dan Dr.Yusuf Al Qaradawi yang berpandangan sebaliknya. Pada 6 Mei lalu, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang bersidang, memutuskan tindakan individu yang menyertai demonstrasi yang menghasilkan natijah tidak baik termasuk Bersih 3.0 adalah haram. Pengerusinya, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin berkata, perbuatan itu juga haram sekiranya ia mempunyai niat untuk menjatuhkan sebuah negara yang sah dari segi undang-undang. |
Gelagat Umno sebelum turun takhta Posted: 11 Jun 2012 08:53 PM PDT Ahmad Lutfi Othman Regim yang hampir tumbang sepatutnya melakukan usaha pembaharuan bagi merebut kembali sokongan rakyat, dengan berusaha sebaik mungkin menjinakkan hati dan minda pengundi, supaya dapat terus bertakhta. Malangnya, apa yang sering berlaku, kebanyakan penguasa yang dibenci massa itu, selalu bertindak di luar jangka, dengan meneruskan -- malah meningkatkan lagi -- tahap kejahatan dan kezaliman, sehingga menyebabkan kebencian dan kemarahan orang ramai bertambah. Mereka seolah-olah gagal membaca isyarat kejengkelan rakyat yang muncul di mana-mana. Sekadar contoh, perhatikan saja bagaimana perilaku bekas Presiden Indonesia di ambang kejatuhannya, 14 tahun lalu. Di kala rakyat mula memberontak dan menunjukkan aksi protes secara terbuka, ketika itu jugalah Suharto cuba memperkukuh kedudukannya dengan melantik suku-sakat dan anak-anaknya ke jawatan atau posisi strategik, yang menambah-parah amarah rakyat. Dua bulan sebelum berundur secara paksa, selepas 31 tahun memerintah, Suharto masih ghairah bertanding untuk penggal ketujuh. Bagaimana pula dengan Hosni Mubarak, yang memerintah Mesir sejak 1981 dan dihukum penjara seumur hidup baru-baru ini? Masakan agensi perisikan yang berpengaruh besar di zamannya gagal mengesan mood rakyat, hinggakan menjelang perletakan jawatan pada Februari 2011, Hosni tetap angkuh mahu mewariskan Mesir buat anak-anaknya, menyebabkan kemarahan rakyat yang tertindas sejak sekian lama meledak. Di negara kita, Najib Razak dan pemimpin-pemimpin Umno-BN kelihatan resah gelisah mencari strategi terbaik untuk memastikan kekal berkuasa. Jangkaan tarikh PRU13 -- ibu segala pilihan raya -- terus berubah-ubah, tanda sang penguasa tidak yakin bahawa rakyat sekali lagi akan memberi mandat, walaupun pelbagai insentif one-off dicurahkan, selain dana "durian runtuh" ditabur, misalnya kepada peneroka Felda. Malah, semasa berkempen di Kulim, dalam program Jelajah Janji Ditepati, pada 8 Jun lalu, Najib membayangkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 untuk keluarga berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan akan diberikan buat pusingan kedua. Ternyata, peruntukan hampir RM3 bilion untuk giliran pertama baru-baru ini belum cukup untuk membeli sokongan rakyat. Najib tidak senang duduk berkejar ke sana sini melaksanakan program yang diatur buatnya, semata-mata untuk meraih simpati pengundi. Ada segmen berbeda buat khalayak berlainan, bukan saja dikategorikan oleh perbedaan kaum dan agama, juga meliputi himpunan khusus buat anak-anak muda, terutama pemilih yang baru pertama kali mengundi. Himpunan Jutaan Belia di Putrajaya hujung Mei lalu, digambarkan Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Shabery Cheek, sebagai mendapat sambutan luar biasa, dengan 2.4 juga pengunjung. Hanya segelintir yang percaya angka tersebut, namun lebih ramai mengingati program itu dengan kemunculan artis Korea dalam persembahan sensasi K-Pop, yang turut dihadiri Perdana Menteri dan isteri di atas pentas. Gambar Najib bersalaman dengan penyanyi berpakaian seksi itu menjadi bualan ramai. Kontroversi timbul bukan saja berpunca daripada bentuk persembahan dan pakaian menjolok mata tiga kumpulan K-Pop itu, tetapi kos besar membawa mereka datang ke Malaysia. Ada blogger mendedahkan invois bernilai RM2.4 juta tetapi Kementerian Belia dan Sukan menjelaskan jumlah itu dibuat berdasarkan perkiraan awal dan hasil perbincangan kos akhirnya adalah RM900,000 (masih terlalu tinggi, 'kan?). Sukar untuk dipastikan apakah kos yang membazir itu boleh membawa keuntungan politik kepada Umno-BN? Terujakah generasi muda untuk menyokong BN selepas menghadirinya? Apakah formula lapuk BN, dengan menyogokkan hiburan tanpa adab itu kepada anak muda, akan memberi kelebihan kepada mereka, bagi memastikan Putrajaya tidak terlepas? Saya yakin, jika itulah strateginya, dengan melekakan generasi muda, target tersebut pasti tersasar. Sekonyong-konyong, debat Rafizi Ramli dan Khairy Jamaluddin, yang disiarkan secara langsung Astro Awani, membicarakan isu yang menarik tumpuan anak-anak muda, berkaitan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Rata-rata penonton berpendapat hujah dan argumen Pengarah Strategi KeADILan itu lebih memikat dan bernas. Generasi muda terpelajar dapat diyakinkan bahawa Malaysia di bawah Pakatan, yang memerangi rasuah dan ketirisan, mampu menyediakan pendidikan percuma, apabila khazanah kekayaan negara dilindungi oleh pemerintah yang beramanah. Dua tahun lalu, dalam jawapan di Dewan Rakyat, Menteri Pengajian Tinggi, Khaled Nordin menjelaskan, sehingga April 30 April 2010, seramai 1.5 juta pelajar mendapat pinjaman PTPTN. Tentulah jumlah peminjam sehingga kini menghampiri 2 juta orang, satu angka yang cukup besar dan dapat mempengaruhi PRU13. Pengundi seramai itu, dan mempunyai kelayakan akademik yang tinggi, tidak boleh diremehkan kecenderungan mengundi mereka. Seterusnya, Najib dan timbalannya, Muhyiddin Yasin (juga mentornya, Dr Mahathir Mohamad) dikejutkan dengan kehadiran lebih 100,000 ahli dan penyokong PAS di Himpunan Hijau ke Putrajaya, di Stadium Darul Aman, malam 1 Jun lalu. Siapa sangka, dengan persiapan tidak sampai dua minggu, gelombang lautan hijau mencipta sejarah baru dan menggegarkan Alor Setar? Gugup dengan situasi yang semakin mengasak Umno-BN itu, tanpa diketahui siapa perancang dan penasihatnya, tiba-tiba, pada Selasa lalu, kita dikejutkan dengan berita pembekuan pinjaman PTPTN untuk pelajar baru Unisel dan Kuis, dua IPT di bawah Kerajaan Negeri Selangor. Tidak syak lagi, ini merupakan amalan politik dendam kesumat berniat jahat Umno-BN, bukan saja untuk merampas Selangor tetapi bertujuan memburuk-burukkan imej Pakatan Rakyat yang menjanjikan pendidikan percuma. Umpama kata pepatah, tiada tanduk, telinga dipulas. Pelajar yang tidak berdosa -- dan 80 peratus daripada mahasiswa baru Unisel itu adalah Melayu -- menjadi mangsa politik bebal Umno. Arahan yang dibuat Menteri Pengajian Tinggi Khalid Nordin -- seperti disahkan Pengerusi PTPTN, Ismail Mohamad Said, yang juga Ahli Parlimen BN Kuala Krau -- yang direstui Muhyiddin dan pastinya disokong sepenuhnya oleh Noh Omar, Timbalan Pengerusi Umno Selangor, telah mendapat reaksi yang cukup mengejutkan Najib: Tentangan dan kecaman cukup meluas dan merata! Beberapa pemimpin Umno, misalnya Khairy dan Saifuddin Abdullah, yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi secara terbuka membantah langkah primitif itu. Ya ... dalam suasana genting BN mengharapkan undi anak muda, tiba-tiba Umno mempamerkan wajah hodoh dan jelik. Tentu pelik dan aneh, 'kan? Reaksi awal MB Khalid Ibrahim bahawa Unisel akan mencairkan asetnya, hartanah seluas 500 ekar yang diperolegi hasil penyusunan semula hutang Talam, makin menambahkan gelabah Umno. Noh, yang selalunya kelihatan berang dan garang, terkedu seribu bahasa. Sebelumnya, beliau berkata pembekuan PTPTN hanya akan ditarik balik jika kerajaan PKR (istilah ciptaannya) "mengaku salah dan mengiytiharkan tidak mampu memberikan pendidikan percuma dan tidak membuat janji kosong". Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin melihat daripada perspektif yang menarik: "Nampaknya kedua-dua menteri (Khalid dan Muhyiddin) dari Johor ini tidak tetap pendirian. Mereka mula kelam kabut kerana Johor yang menjadi kubu kuat Umno selama ini sedang menjadi sasaran utama Pakatan Rakyat. Pada pilihan raya akan datang, Pakatan Rakyat akan pastikan Johor bukan lagi deposit tetap bagi Umno BN. "Kita percaya pembekuan ini ditarik balik kerana tidak tahan dengan desakan dalaman dan luaran atau juga Khaled baru sedar bahawa pembekuan ini seumpama menggali kubur untuk dirinya dan Umno. Kita berterima kasih kepada Khaled yang juga disebut-sebut bakal menggantikan MB Abdul Ghani Othman ... Selepas ini, Khaled akan dijadikan kambing hitam sebagai punca kekalahan Umno-BN, nasib yang sama dialami Dr Khir Toyo." Mungkin suasana kelam-kabut, flip-flop dan keliru ini, membayangkan Umno sengaja menempah maut, sepertimana tindak-tanduk penguasa zalim atau diktator tua di penghujung pemerintahan mereka, misalnya kes Hosni Mubarak dan Suharto tadi. |
Bapa Chong Wei nafi mahu bunuh diri Posted: 11 Jun 2012 07:55 PM PDT Ah Chai berharap orang ramai tidak salah faham dengan tindakan yang dilakukannya. GEORGETOWN - Bapa pemain badminton nombor satu dunia, Lee Ah Chai, 59, menafikan laporan media yang mengaitkannya cuba membunuh diri di atas Jambatan Pulau Pinang di sini, awal pagi kelmarin. Beliau yang dihubungi Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita dan Komuniti, Ong Kok Fooi kelmarin mengakui ada memberhentikan kenderaan di atas jambatan, namun bukan berniat untuk membunuh diri. "Ketika itu, saya dalam perjalanan dari pantai Queensbay dan mahu pulang ke rumah. Ketika melalui Jambatan Pulau Pinang saya berasa tidak selesa lalu menghentikan kenderaan di tepi jalan untuk mengambil angin dan tenangkan fikiran. "Namun orang lain telah salah sangka dan menganggap saya ingin bunuh diri...ini tidak betul," katanya. Sementara itu, Kok Fooi ketika dihubungi Sinar Harian semalam berharap orang ramai tidak salah faham dengan kejadian ini. Beliau berkata, media juga tidak perlu menghebahkan lagi perkara ini kerana ia adalah masalah keluarga dan boleh diselesaikan oleh keluarga Ah Chai sendiri. "Saya difahamkan, Ah Chai telah ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan anaknya, Datuk Lee Chong Wei. "Kita harap semua masalah yang dihadapi akan dapat diselesaikan dengan baik," katanya. |
Dr Mashitah Bidas Ustaz Azhar Dalam Kolum Sinar Harian? Apa Yang Mashitah Dengki? Posted: 11 Jun 2012 05:28 PM PDT Bertauliah elak sindrom keliru DR MASHITAH IBRAHIM 8 Jun 2012 Hari ini, ramai orang yang dipanggil ustaz, ustazah, tok guru atau tuan guru. Ada yang memang layak diberi gelaran itu, ada juga yang jenis instant. Gelaran ini besar maknanya dari segi peranan dan tanggungjawab yang datang bersamanya. Kalangan penceramah juga bukan semua adalah pendakwah, begitu juga sebaliknya. Seorang pendakwah berkredibiliti adalah berpengetahuan, berpengalaman dan diiktiraf kebolehannya pihak berkuasa agama. Mengikut Dr Yusof al-Qardawi, matlamat berdakwah adalah membawa manusia kepada Islam, dalam melaksanakan ketetapan dan taat ALLAH SWT di muka bumi dan mengajak kepada kebajikan dan kebaikan. Oleh itu, seseorang pendakwah mestilah ilmuwan agama, cekap dan bertauliah. Hakikatnya dalam masyarakat hari ini, wujud pendakwah meragukan dari segi latar belakang dan ilmu mereka. Andainya selebriti berkongsi pengalaman kerana mahu mendalami agama atau didorong penghijrahan diri, ini dibolehkan. Namun tidak bermakna mereka sebagai pendakwah berwibawa. Apabila ada pula ustaz bermain alat muzik dan menyanyi sepanjang berceramah tanpa isi yang jitu atau berseloroh hampir sepanjang ceramah bagaikan Maharaja Lawak. Ini juga mewujudkan suasana keliru. Masyarakat lebih celaru jika penceramah yang tidak layak tetapi mempertikai keputusan Majlis Fatwa atau mengeluarkan fatwa songsang, misalnya menghalalkan perkara yang haram dan menyeru pengikut berbuat kerosakan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Agaknya apa akan jadi pada akhir zaman apabila wanita mula bangkit memberontak, anak muda sudah hilang akhlak dan kamu pula rasa tidak perlu lagi untuk berjihad." Sahabat bertanya: "Ya Rasulullah, apa mungkin akan berlaku akhir zaman begini? Nabi berkata: "Ya, akan berlaku. Lagi dahsyat akan berlaku." Sahabat bertanya. "Apakah ada lagi yang lebih dahsyat daripada suasana wanita memberontak, anak remaja sudah hilang akhlak dan umat Islam tidak berminat lagi untuk berjuang?" Nabi berkata, "Orang sudah tidak peduli lagi soal dakwah. Orang sudah tidak mengambil kira lagi untuk mengajak kepada kebaikan atau mencegah kepada kemungkaran." Sahabat bertanya: "Ya Rasulullah, apakah mungkin keadaan ini akan berlaku?" Nabi SAW menjawab: "Yang lebih dahsyat lagi akan berlaku dari itu.' Sahabat bertanya: "Apa yang lebih dahsyat?" Kata Nabi: "Apabila ada pendakwah yang keliru, tidak tahu membezakan mana yang baik, mana yang buruk. yang mungkar nampaknya makruf dan makruf seperti mungkar." Sahabat terkejut dan bertanya: "Ya Rasulullah, apa mungkin akan berlaku keadaan begitu?" "Ya, lebih buruk akan berlaku" kata Rasulullah, "apabila yang buruk disuruh, yang makruf dilarang, " Apa mungkin berlaku, ya Rasulullah begini? Kata Nabi SAW: "Inilah satu keadaan dugaan besar untuk umat Islam sehingga orang yang baik pun akan menjadi keliru." Agama Islam dasarnya ilmu kefahaman dan keyakinan terhadapnya dibina daripada wahyu. Bukan boleh cakap sembarangan atau guna akal semata-mata. Perlu ada kepakaran dalam mentafsir al- Quran, hadis dan falsafah hukum. Bukan sekadar memetik ayat tertentu untuk kepentingan tertentu. Ceramah agama bukan tempat mengumpat dan mengaibkan saudara seagama. Untuk memartabatkan profesion berdakwah, seseorang pendakwah mestilah berkredibiliti. Di Malaysia, syarat untuk mengajar agama dan berdakwah mestilah memiliki tauliah. Inilah asas keputusan Mahkamah Persekutuan yang dibuat sebuah panel yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Arifin Zakaria, yang mengikat kepada semua mahkamah di negara ini, termasuk Mahkamah Syariah. Adalah menjadi kesalahan bagi seseorang Islam mengajar tanpa tauliah. Jika bersabit kesalahan, hukuman yang dijatuhkan ke atas pesalah adalah sah dan mengikut Perlembagaan Persekutuan. |
Posted: 11 Jun 2012 05:13 PM PDT Majlis makan tengahari bagi meraikan johan Tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan kali ke-55 tahun 1433H/2012M telah di adakan di Dewan Teratai Kompleks Kota Darulnaim(SUK),turut hadir pada majlis ini YAB. Tuan Guru Dato' Bentara Setia Hj. Nik Abdul Aziz bin Hj. Nik Mat Menteri Besar Kelantan,YB. Dato' SUK serta exco-exco negeri Kelantan. |
You are subscribed to email updates from Kerabu Bersuara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan