Selasa, 19 Jun 2012

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Saari Sungip SAHKAN Kewujudan Seksaan Kamunting

Posted: 19 Jun 2012 06:30 AM PDT



[KD] KUALA LUMPUR 19 Jun: Bekas tahanan, Saari Sungib mengesahkan wujud pelbagai deraan mental dan fizikal sepanjang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) termasuk dibogel dan kemaluan dijolok dengan kayu serta seksaan lain.

Bercakap kepada Keadilan Daily, beliau menyalahkan polis atasan kerana menerapkan anggota bawahan dengan pendekatan deraan menyerupai ala Guantanamo terhadap tahanan yang belum dibuktikan bersalah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang itu berkata, banyak ketidakadilan berlaku, antaranya dihalang bertemu ahli keluarga dan tidak dibenar berjumpa peguam.

"Tahanan tidak boleh hubungi sesiapa termasuk peguam dan keluarga selama 60 hari. Pada 90 hari pertama, tahanan diasing dalam sel berbeza.

"Selepas 60 hari, baru dapat jumpa keluarga, itupun dipantau. Langsung tiada akses kepada peguam melainkan keluarga buat kenyataan bertulis mohon peguam dibenar melawat.

"Apabila dibebas pula, tahanan disyarat hanya boleh 'buka cerita' selepas setahun," katanya menceritakan pengalamannya mengulas nota penyeksaan yang diseludup keluar dari Kem Kamunting.

Saari berkata, kezaliman ISA terserlah apabila bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga ditumbuk hingga matanya lebam.

Beliau menyeru lebih ramai peguam tampil memberi pandangan dan sokongan kepada bekas tahanan untuk memberi kekuatan kepada mereka supaya bercerita pengalaman ngeri ditahan ISA.

"Kesan seksaan memerlukan kekuatan untuk pulih dari trauma. Bukan mudah mahu ceritakan pengalaman," katanya yang mencatat penderitaannya dalam buku secara bersiri "Suara Dari Kamunting" dan "Siri Mansuhkan ISA."

Beliau ditahan ISA kali pertama pada 12 Oktober 1998 dan kali kedua, 10 April 2001.

Nota penyeksaan yang memperinci seksaan ala Guantanamo terhadap 45 tahanan yang masih dikurung di pusat tahanan di Taiping, Perak terbongkar.

Nota tanpa tarikh itu diseludup keluar dari kem tahanan ISA di Kamunting oleh kakitangan kem dan diserah kepada Malaysiakini.

Seksaan itu berlaku, ketika proses soal siasat semasa individu berkenaan ditahan di satu pusat tahanan reman, sebelum dipindahkan ke Kamunting.

Antaranya mangsa dipaksa menanggalkan pakaian dan hanya memakai pakaian dalam dan "digantung terbalik" daripada satu "mesin" yang bergerak mengelilingi satu "bilik penyeksaan khas yang disyaki terletak di Bukit Aman".

Selain itu, minyak panas dilumur ke kemaluan mangsa dan mencucuh kemaluan dengan api rokok.



Nota Dari Kamunting: Penyeksaan Ala Guantanamo???

Posted: 19 Jun 2012 05:00 AM PDT


[MK] EKSKLUSIF "Nota penyeksaan" yang didakwa diseludup keluar dari kem tahanan ISA di Kamunting, menimbulkan persoalan berhubung kaedah soal siasat yang digunakan pihak berkuasa.

Nota berkenaan, didakwa diseludup keluar oleh kakitangan kem dan diserahkan kepada Malaysiakini, menyatakan dengan terperinci penyeksaan ala Guantanamo yang didakwa dialami oleh 45 orang tahanan yang masih dikurung di pusat tahanan di Taiping, Perak.

Tiada tarikh dinyatakan dalam nota berkenaan, namun insiden berkenaan didakwa berlaku ketika proses soal siasat ketika individu berkenaan ditahan di satu pusat tahanan reman, sebelum dipindahkan ke Kamunting.

Kandungan nota berkenaan tidak dapat disahkan secara bebas, namun dakwaan itu termasuk:
  • Dipaksa menanggalkan pakaian sehingga hanya memakai pakaian dalam, dan "digantung terbalik"  daripada satu "mesin" yang bergerak mengelilingi satu "bilik penyeksaan khas yang disyaki terletak di Bukit Aman".
  • "Tiba-tiba mesin pun berhenti. Lantas, bertubi-tubi seluruh tubuhnya dipukul dengan objek tumpul (mungkin cota)".
  • "Apabila pukulan dihentikan, mesin itu pun kembali bergerak. Tidak berapa lama mesin itu dihentikan semula dan dia kembali dipukul teruk".
  • Minyak panas dilumurkan ke kemaluan.
  • Mencabut bulu di badan, termasuk bulu kemaluan.
  • Melumur "cili boh" ke badan, terutama ke kemaluan, dan "dipaksa membiarkan cili itu mengering pada badannya" untuk tempoh dua hingga tiga hari.
  • Mencucuh kemaluan dengan api rokok.
  • Dipaksa berbogel dan melakukan ketuk ketampi selama beberapa jam untuk tempoh sehingga 60 hari.
Difahamkan, pasukan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) ketika melawat kem berkenaan untuk memeriksa tahanan berkenaan, yang menjalankan mogok lapar, turut menerima set nota yang sama.

Pesuruhjaya Muhammad Sha'ani Abdullah berkata Suhakam kini sedang "membincangkan" kandungannya.
 
 
Bahagian 2:
 
Doktor Saksi Utama 

[MK] Tahanan ISA yang mendakwa diseksa ketika siasatan polis menamakan seorang doktor kerajaan yang merawat mereka sebagai saksi utama dalam kejadian yang didakwa.

Menurut nota yang diperolehi Malaysiakini, doktor berkenaan telah merawat pelbagai kecederaan yang dialami tahanan berkenaan dalam lawatan mingguannya ke pusat tahanan reman, sebelum tahanan berkenaan dihantar ke kem Kamunting di Taiping.

Doktor berkenaan dinamakan di dalam nota berkenaan namun Malaysiakini masih merahsiakan identitinya sehingga disahkan.

Doktor tersebut didakwa telah campur tangan bagi pihak tahanan berkenaan yang didakwa telah diserang dengan "teruk."

"(Nama dirahsiakan) adalah individu penting. Ada khabar angin mengatakan dia telah bersara. Dahulu khabar angin mengatakan dia bekerja di HKL (Hospital Kuala Lumpur)... Dia tahu lebih banyak rahsia berbanding siapa pun," nota tersebut dipetik.

Nota itu didakwa diseludup keluar daripada kem Kamunting oleh seorang kakitangan,

Semakan dengan unit di hospital yang dinamakan dalam nota berkenaan mendedahkan bahawa doktor berkenaan, yang dipercayai berusia lebih daripada had persaraan, tidak berkhidmat di situ.

Setakat ini, belum jelas sekiranya doktor berkenaan, yang didakwa turut dikaitkan dengan hosptal dalam dokumen rasmi lain, kini berkhidmat di unit lain atau telah bersara.

Malaysiakini telah menghubungi individu yang dipercayai sebagai doktor berkenaan melaui emel dan media sosial, namun belum mendapat maklum balas.
 
 

Akaun 3 Bilion: Anwar Dedah Akaun Bersumpah Bekas Pengarah Siasatan BPR

Posted: 19 Jun 2012 02:35 AM PDT



[KD] KUALA LUMPUR 19 Jun: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan surat akuan bersumpah oleh bekas Pengarah Siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR), kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abdul Razak Idris.

Surat akuan bertarikh 10 November 2009 yang dimuat naik dalam laman blog beliau semalam memaparkan bukti bahawa siasatan terhadapnya berhubung pertuduhan menyorok RM3 bilion dalam akaun asing dan mempunyai kaitan dengan kepentingan barat telah pun ditutup kerana tiada sebarang kes.

"Siasatan telah dijalankan oleh satu Cawangan di bawah penyeliaan saya di Ibu Pejabat BPR Malaysia.

"Siasatan dijalankan secara mendalam, menyeluruh dan teliti termasuk ke luar negara seperti Singapura dan United Kingdom.

"Siasatan itu menghasilkan tiada sebarang kes terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim atau sesiapa berhubung dengan Akuan Bersumpah tersebut dan saya mengarahkan siasatan itu ditutup," kata Abdul Razak dalam akuan tersebut.

Menurut akuan itu lagi, selaku Pengarah Siasatan BPR pada tahun 1999, Abdul Razak telah mengarahkan siasatan dijalankan di bawah Akta Pencegahan Rasuah 1997 ke atas akuan bersumpah oleh bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid yang diterbitkan dalam akhbar-akhbar tempatan.

Bekas Pegawai Kanan BPR itu memberi keterangan akuan bersumpah itu dalam kes saman fitnah RM100 juta yang difailkan oleh Anwar terhadap News Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) dan bekas Ketua Pengarang Kumpulannya, Datuk Abdullah Ahmad.

Anwar memfailkan saman itu pada 4 Julai 2003.

Artikel yang didakwa berunsur fitnah itu, disiarkan pada 2 Mac 2002.

Abdul Razak membuat kesimpulan bahawa dakwaan dalam akuan bersumpah itu adalah tidak berasas dan mengarahkan supaya siasatan ditutup.

Murad menandatangani akuan bersumpah itu pada 20 Oktober 1999 – kira-kira sebulan selepas Anwar ditahan selepas dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada awal September tahun berkenaan.

Abdul Razak kemudiannya membuat akuan bersumpahnya mengenai perkara itu dan mengemukakannya kepada mahkamah.

Dalam perkembangan sama, Abdul Murad semalam dilapor menegaskan sudah memberi keterangan kepada pihak berkuasa berhubung isu berkenaan.
 
 
 

Tentera Israel Mogok Lapar Sokong Tahanan Palestine

Posted: 19 Jun 2012 12:07 AM PDT


[HM] BAITULMAQDIS: Seorang tentera Israel yang enggan bertugas di Palestin, memulakan mogok lapar di penjara bagi menunjukkan sokongannya terhadap tahanan tanpa bicara rejim Zionis, lapor akhbar semalam.

Menurut Haaretz, Yaniv Mazor, 31, dipenjara 20 hari mulai minggu lalu kerana enggan menjalankan tugas berdepan dengan penunjuk perasaan di penempatan haram Yahudi di kawasan Palestin.

Peguam Mazor berkata, tentera simpanan itu memulakan mogok lapar sehari selepas ditahan.

"Mogok itu dibuat bagi mengalih perhatian daripada situasi sendiri kepada sokongan terhadap tahanan tanpa bicara Israel," katanya. Pada 14 Mei lalu, 1,550 warga Palestin yang dijel Zionis menamatkan mogok lapar mereka.

Bagaimanapun, segelintir lagi meneruskannya, termasuk pemain bola sepak, Mahmud Sarsak, 25, yang mogok sejak lebih 80 hari lalu. - AFP



Isteri Pulang ke Kampung, Suami Bawa Teman Wanita ke Rumah

Posted: 18 Jun 2012 08:23 PM PDT


[SH] AMPANG - Tindakan seorang suami membawa pulang teman wanitanya ke rumah ketika isteri dan anaknya pulang ke kampung membawa padah apabila dia dicekup kerana disyaki berkhalwat.

Dalam operasi yang dijalankan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Pegawai Masjid Al-Azim, Pandan bersama Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) pada jam 2 pagi itu, lelaki itu yang juga kakitangan kerajaan ditahan bersama pasangannya yang bukan beragama Islam.

Pegawai Masjid Al-Azim, Ahmad Nawi Othman berkata, selepas pihaknya mengetuk pintu beberapa kali, seorang lelaki yang hanya memakai seluar pendek terkejut melihat kehadiran penguat kuasa sebelum membenarkan mereka masuk membuat pemeriksaan.

"Lelaki itu memberi alasan tinggal seorang diri di rumah berkenaan, namun anggota penguat kuasa menemui seorang wanita yang berseluar pendek dan berbaju kemeja menyorok di belakang pintu bilik," katanya.

Menurutnya, difahamkan lelaki itu tidak tinggal sebumbung dengan isterinya sejak dua tahun lalu kerana isterinya bekerja di Kedah.

"Lelaki tersebut mengenali teman wanitanya yang berusia 34 tahun itu sejak setahun lalu," katanya. Ahmad Nawi berkata, lelaki berkenaan dibawa ke Balai Polis Pandan Indah untuk dibuat laporan, manakala pasangannya terpaksa dibebaskan kerana bukan beragama Islam.

Dalam serbuan berasingan, seorang penuntut sebuah pusat pengajian tinggi tempatan tidak berpuas hati malah mempertikaikan serbuan Jais dan pegawai Masjid Al Azim di kediamannya di Pandan Perdana.

Menurutnya, lelaki berusia 33 tahun itu berang dan mempersoalkan berhubung akta ketika disoal siasat oleh penguat kuasa.

"Pasangan berkenaan berpakaian lengkap ketika ditahan dan mereka dibawa ke Balai Polis Pandan Indah untuk dibuat laporan," katanya.

Operasi dijalankan mengikut Seksyen 29, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995, jika disabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.
 
 

Tiada ulasan: