Khamis, 28 Jun 2012

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Shahrizat diminta fail pernyataan balas

Posted: 28 Jun 2012 01:28 AM PDT

FREE MALAYSIA TODAY

Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin Meera menetapkan sehingga 13 Julai untuk Shahrizat berbuat demikian.




KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil memfailkan pernyataan balas terhadap pembelaan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zuraida Kamaruddin dan Pengarah Strategi PKR Mohd Rafizi Ramli.

Pesuruhjaya Kehakiman Vazeer Alam Mydin Meera menetapkan sehingga 13 Julai untuk Shahrizat berbuat demikian dan juga sebagai tarikh pengurusan kes.

Sebelum ini, Vazeer telah menetapkan 6 Ogos untuk perbicaraan kes.

Pada 19 Jan lalu, Shahrizat memfailkan saman terhadap Zuraida dan Mohd Rafizi berhubung kenyataan yang didakwa memfitnah beliau berhubung isu projek Perbadanan Fidlot Nasional (NFC).

Shahrizat menuntut ganti rugi am RM50 juta dan RM50 juta lagi bagi ganti rugi teladan dan teruk daripada kedua-dua defendan.

Beliau juga memohon injunksi bagi menghalang defendan daripada terus mengeluarkan kenyataan sama ada secara lisan atau dengan cara penerbitan terhadap beliau berhubung NFC atau syarikat-syarikat bersekutu.

Ketua Wanita Umno itu mendakwa kedua-dua defendan secara sistematik dan berniat jahat melancarkan satu kempen untuk "serang, mencemarkan nama baik, memburuk-burukkan dan memfitnah plaintif" dengan menyebarkan dakwaan mengandungi fitnah terhadap beliau.- Bernama

RM3 bilion: SPRM nafi panggil sesiapa

Posted: 28 Jun 2012 01:25 AM PDT

Wartawan Sinar Harian

RM3 bilion: SPRM nafi panggil sesiapa
Abu Kassim
 
 
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan mengatakan badan itu akan memanggil individu tertentu untuk menyiasat kes Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pemilikan 20 akaun induk berjumlah RM3 bilion.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed berkata, sebelum ini, pihaknya tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan berkaitan kes itu.

"Setahu saya, kita (SPRM) tak pernah kata nak panggil sesiapa siasat kes terbabit.

"Malah kita juga tidak pernah beritahu sama ada akan siasat semula atau tidak berhubung kes berkenaan," katanya selepas menyerahkan Laporan Tahunan SPRM 2011 kepada Pengerusi Jawatankuasa Khas Tentang Rasuah, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad, semalam.

Abu Kassim berkata, semua pihak perlu faham bahawa siasatan sesuatu kes hanya akan dijalankan atau dibuka semula, jika terdapat bukti baru yang benar-benar kukuh.

"Jika bukti itu jelas, baru kita akan tentukan sama ada terdapat keperluan membuka siasatan semula atau tidak," katanya.

Sebelum ini, Anwar pernah menyatakan kesediaan disiasat SPRM, jika kes berhubung pemilikan aset berjumlah RM3 bilion itu dibuka semula.

Terbaru, Pas juga menyatakan pendirian bahawa parti itu tidak ada masalah untuk memberi ruang kepada SPRM untuk menyiasat Anwar berhubung kes itu.

Nyatakan kerugian sebenar peniaga semasa Bersih 3.0

Posted: 28 Jun 2012 01:22 AM PDT

MALAYSIA CHRONICLE


KUALA LUMPUR- PAS meminta Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar menyatakan jumlah kerugian sebenar oleh peniaga-peniaga di sekitar Kuala Lumpur di hari perhimpunan Bersih pada 28 April 2012.

Di samping itu, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar turut meminta menteri berkenaan menyatakan satu persatu nama dan alamat lengkap premis-premis perniagaan serta jenis perniagaan yang diusaha yang mengalami kerugian pada hari tersebut.

Beliau mengemukakan soalan bagi jawab lisan itu pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Berikut ialah pertanyaan bagi jawab lisan daripada ahli-ahli parlimen PAS hari ini.

Muhammad Husain [ Pasir Puteh ] minta MENTERI BELIA DAN SUKAN menyatakan adakah pihak Kementerian mempunyai rancangan untuk bekerjasama dengan negara-negara serantau berhubung pembangunan belia, khususnya bagi mereka yang beragama Islam.

Dr. Che Rosli Che Mat [ Hulu Langat ] minta MENTERI PERTAHANAN menyatakan kejayaan yang dicapai sehingga kini oleh Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) bagi membantu Kementerian mencapai tahap teknologi tinggi menggunakan kepakaran tempatan.

Khalid Abdul Samad [ Shah Alam ] minta MENTERI KERJA RAYA menyatakan berapakah kos tambahan pembinaan Hospital Shah Alam berbanding kos asal dan apakah tempoh tambahan untuk pembinaannya berbanding tempoh kontrak asal.

Datuk Dr. Mohd Hayati Othman [ Pendang ] minta MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI menyatakan apakah peranan LKIM di dalam menstabilkan harga ikan di dalam negara dan berapa jumlah ikan yang diimport dari negara luar serta namakan negara pengeksport tersebut.

Mohd. Nasir Zakaria [ Padang Terap ] minta MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI menyatakan langkah Kerajaan bagi memastikan harga ikan yang sampai kepada pembeli adalah murah dan apakah tindakan Kerajaan untuk memperbaiki National Fishermen's Association of Malaysia (NEKMAT) yang dilihat tidak berfungsi seperti sepatutnya.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang [ Marang ] minta MENTERI KERJA RAYA menyatakan apakah perkembangan terkini pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa Kedua, dan apakah tindakan Kerajaan terhadap kontraktor-kontraktor yang gagal menyiapkan pakej masing-masing sehingga penyiapan projek tersebut tertunda.

Dr. Mujahid Yusof Rawa [ Parit Buntar ] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan kos perbelanjaan PDRM untuk berhadapan dengan himpunan Bersih 3.0.

Dr. Siti Mariah Mahmud [ Kota Raja ] minta PERDANA MENTERI menyatakan berapakah jumlah kehilangan pendapatan kepada FELDA selepas 360,000 hektar tanah ladang milik FELDA dipajakkan kepada FGVH. Apakah strategi FELDA untuk meningkatkan pendapatan dan menggantikan hasil keuntungan yang hilang akibat daripada pemajakan tanah milik FELDA kepada FGVH.

Dr. Mohd Hatta Md Ramli [ Kuala Krai ] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan apakah Kerajaan telah membuat taklimat undang-undang berkaitan Akta Perhimpunan Aman 2011 kepada seluruh anggota PDRM memandangkan ianya baru diwarta untuk dikuatkuasakan pada 23 April 2012.
Jika ada taklimat undang-undang itu dibuat, boleh nyatakan berapa kali taklimat itu dibuat, berapakah jumlah peserta taklimat dan siapakah yang memberikan taklimat itu kepada anggota PDRM.

Nasharudin Mat Isa [ Bachok ] minta MENTERI PELAJARAN menyatakan berapa peratuskah pelajar di Sekolah Menengah yang masih belum boleh membaca dan apakah usaha yang telah diambil bagi mengatasinya.

Datuk Mahfuz Omar [ Pokok Sena ] minta MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN DAN KESEJAHTERAAN BANDAR menyatakan jumlah kerugian sebenar oleh peniaga-peniaga di sekitar Kuala Lumpur di hari perhimpunan BERSIH pada 28 April 2012 dan nyatakan satu persatu nama dan alamat lengkap premis-premis perniagaan serta jenis perniagaan yang diusaha yang mengalami kerugian pada hari tersebut.

Mohd. Nasir Zakaria [ Padang Terap ] minta MENTERI PELAJARAN menyatakan bilangan guru sekolah menengah dan rendah seluruh Padang Terap serta bilangan kekosongan mengikut opsyen.
Datuk Seri Abdul Hadi Awang [ Marang ] minta PERDANA MENTERI menyatakan adakah benar Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan fatwa tentang Perhimpunan Bersih 3.0 baru-baru ini, jika benar minta Menteri berkenaan mengemukakan perinciannya.

Siti Zailah Mohd. Yusoff [ Rantau Panjang ] minta MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI, KOPERASI DAN KEPENGUNAAN menyatakan apakah Kementerian bercadang menghapuskan semua sistem monopoli dalam negara.

Dr. Che Rosli Che Mat [ Hulu Langat ] minta MENTERI KESIHATAN menyatakan keperluan imunisasi yang patut diberi kepada kanak-kanak mengikut peringkat umur dalam usaha membantu mengatasi serangan penyakit baru yang dihadapi oleh rakyat Malaysia.Harakahdaily

Anak Jawa Bagan Datoh jadi PM?

Posted: 28 Jun 2012 01:16 AM PDT

YUSOF HARUN

yusof harun
 
 
APABILA membincangkan siapakah yang harus menjadi Perdana Menteri (PM) kalangan pemimpin Pakatan Rakyat, balik-balik nama disebut ialah Anwar Ibrahim, kemudian Haji Hadi Awang. Ada orang kata, "Macam tak ada orang lain lagi."

Tafsirannya mudah. Nampaknya tidak ada barisan pemimpin pembangkang yang benar-benar layak untuk dicalonkan ke jawatan tertinggi itu. Sebaliknya, majoriti pemimpin dalam PKR dan Pas hanya berkemampuan jadi menteri sahaja. Itu pun berdasarkan ceramah politik atau kenyataan mereka yang tersiar dalam media.

Cakap memang semua orang boleh cakap sedangkan hasilnya belum terbukti, semua orang boleh buat. Ini berbeza dengan kem BN, terutamanya Umno. Sejak dulu lagi Umno tidak pernah ketandusan pemimpin yang layak menjadi PM. Cuma ada yang tidak bernasib baik dalam pemilihan pucuk pimpinan parti atau kurang berminat untuk mempromosikan diri sebagaimana dilakukan Anwar.

Dalam Umno, ramai pemimpin yang berpotensi, walaupun bukan daripada kalangan Naib Presiden Umno. Ada satu atau dua kalangan kepimpinan Pemuda yang mempunyai flair dan karisma untuk menjadi PM. Begitu juga mereka yang terpilih selaku Naib Presiden dalam pemilihan lalu. Antaranya, seorang anak Jawa dari Bagan Datoh yang pernah menjadi Ketua Pemuda Umno dan kini, Naib Presiden Umno.

Walaupun Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sering menjelaskan kepada umum bahawa beliau tidak bercita-cita menduduki jawatan tersebut tetapi beliau nampaknya tidak berdaya menghalang kejayaan yang ditakdirkan ke atas dirinya.

Kira-kira 30 tahun dulu ketika Dr Mahathir menjadi PM, Zahid hanyalah seorang Mat Motor yang berpendidikan tinggi, berakhlak dan berkerjaya. Beliau kerap menganjurkan konvoi motosikal berkuasa tinggi bagi memupuk kesetiakawanan kalangan belia. Kini cintanya pada motor besar masih berkobar-kobar. Atas semangat dan tujuan ini jugalah Zahid berada dalam Umno.

Namun ditakdirkan Zahid kini berada dalam kalangan pemimpin Pemuda Umno, dilantik menjadi Ketua Penerangannya ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi Ketuanya dan akhirnya menjadi Ketua Pergerakan tersebut. Ibarat orang bermain silat dalam gelanggang yang dipenuhi pemain yang sama handal, Zahid tidak menunjukkan buah-buah yang boleh membawa pukulan maut. Dia sedar bukan masanya untuk mendahului mana-mana pihak namun sebagai Naib Presiden Umno, Zahid berada kalangan tokoh yang bakal bersaing masa depan.

Tentu sekali, sebagai pemimpin kanan parti dan menjawat jawatan antara kementerian terpenting negara beliau tidak sunyi daripada ujian, kritikan, fitnah dan tohmahan. Namun Ahli Parlimen Bagan Datoh ini cukup masak dengan pengalaman politik – baik dalam mahupun luar Umno. Zahid melalui detik bersejarah apabila tekanan menyebabkan dia terpinggir sebagai Ketua Pemuda Umno - ini semua gara-gara perkataan kroni yang ditimbulkan dalam ucapan dalam perhimpunan agung Pemuda Umno. Ucapan itu ditujukan kepada kepimpinan Mahathir kerana ketika itu Anwar macam sudah tidak sabar untuk merampas kuasa.

Kini umum mengetahui betapa itu adalah permainan politik Anwar. Namun Anwar tidak sedari ketika itu ialah sesetengah dalam kepimpinan parti berasakan Zahid adalah pemimpin masa hadapan sebaik terpilih sebagai Ketua Pemuda. Telahan mereka itu tepat apabila Zahid kemudiannya dipilih pula menjadi Naib Presiden Umno. Undi tertinggi yang diperoleh adalah memberi pengertian bahawa "wak" sudah dipersiapkan sebagai pemimpin pelapis.

Walaupun sekadar memiliki ijazah pertama pada peringkat awal namun kesungguhannya dalam kesibukan pekerjaan berjaya mendapat ijazah sarjana serta kini peroleh ijazah PhD dari UPM. Jika perhatikan, kenyataan Zahid diadun dengan fakta. Contohnya, ketika menghadiri sidang media di Bagan Datoh baru-baru ini, subjeknya mengenai dasar baru tentera laut AS yang beralih dari Timur Tengah ke rantau sebelah sini bagi mengimbangi pengaruh Republik China.

Sebagai Menteri Pertahanan, Zahid memahami percaturan imbangan kuasa Barat-Timur, terutamanya Barat-China, yang mahu menjadikan Malaysia sebagai bidak atau pawn mereka. Komen beliau adalah sebagai unjuran pemikiran apa yang bakal dihadapi negara ini apabila disenarai negara maju dalam masa tidak sampai sedekad lagi.

Wawasan Zahid adalah praktis dan bersifat global. Hal seperti ini adalah tidak terlalu jauh daripada pemikiran seseorang PM yang harus memikirkan perihal negara dalam konteks global dan sejagat. Jika umum menghalusinya, jelas anak Jawa dari Jelapang Nyiur negara ini cukup berpotensi untuk menduduki jawatan nombor wahid itu satu ketika nanti.

Sharifah Aini sahut seruan daftar sebagai pengundi

Posted: 28 Jun 2012 01:14 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER



SHAH ALAM - Penyanyi terkenal, Datuk Sharifah Aini menarik perhatian para pengunjung di Pejabat Pos Besar Shah Alam di sini hari ini, apabila beliau hadir mendaftarkan diri sebagai pengundi dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurut beliau, langkahnya mendaftarkan diri sebagai pemilih kerana menyedari ini adalah masa paling tepat untuk menggunakan hak sivil sebagai warganegara bagi memilih kerajaan yang memperjuangkan hak anak seni sepertinya.

''Sebenarnya saya berasa malu dan bersalah kerana baru sekarang mendaftar sebagai pengundi.

''Namun hasil kesedaran yang diberi oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dua hari lalu (semasa Hari Perhimpunan Bintang 2012 anjuran akhbar Kosmo! dengan kerjasama Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menyebabkan saya hadir hari ini untuk mendaftar.-Utusan

Geran Selangorku: Dakwaan BN tidak masuk akal

Posted: 28 Jun 2012 12:56 AM PDT

NURULFATIHA MUAH

Geran Selangorku: Dakwaan BN tidak masuk akal
Laporan Sinar Harian semalam.
 
 
SHAH ALAM - Dakwaan sumber kewangan Geran Selangorku berjumlah RM300 juta adalah dana khas Pakatan Rakyat (PR) untuk Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), disifatkan sebagai tidak masuk akal.

Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata, dakwaan dicipta Barisan Nasional (BN) itu dilihat bertujuan melaga-lagakan kepimpinan PR negeri ini yang diketuai Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Katanya, BN tidak akan berjaya kerana kepimpinan mereka mengamalkan sikap saling tegur-menegur antara satu sama lain jika ia melibatkan kepentingan rakyat.

"Kita boleh suarakan secara terbuka dan perkara ini jugalah yang berlaku dalam Geran Selangorku. Kita pernah tanya secara terbuka mengenai geran ini dan dimaklumkan ia adalah duit kutipan hutang Talam Corporation yang tidak berjaya dikutip BN semasa mereka memerintah.

"Kita bukan seperti BN yang hanya mengiakan saja apa yang diperkatakan pemimpin mereka bulat-bulat," katanya ketika diminta mengulas mengenai dakwaan yang dibuat Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed yang mempertikaikan sumber kewangan Geran Selangorku.

Shuhaimi berkata, kira-kira satu per enam daripada peruntukan geran itu digunakan untuk membaiki infrastruktur, tetapi dituduh kononnya untuk kepentingan politik PR.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abdul Rani Osman berkata, jika PR dituduh menggunakan Geran Selangorku untuk tujuan politik, Bantuan Rakyat 1Malaysia juga dianggap kepentingan BN untuk meraih sokongan.

"Dakwaan itu tidak benar, itu (sumber kewangan geran) memang kutipan hutang.

Berdasarkan pengalaman lalu, Pas dapatkan dana pilihan raya daripada kutipan dan sumbangan ahli parti," katanya.

Sementara itu, Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok berkata, tuduhan itu menunjukkan BN yang cuba merampas Selangor dari PR tidak membuat 'homework' perkembangan negeri ini dengan baik.

"Sudah jelas, memang Geran Selangorku itu sumbernya daripada hutang Talam (Corporation). PR tidak pernah ambil satu sen pun wang daripada Kerajaan Negeri walaupun Selangor diperintah PR," katanya.

Kelmarin, Mohd Zin mempertikaikan sumber kewangan Geran Selangorku kerana mendakwa Abdul Khalid masih lagi berdolak-dalik menyatakan sumber sebenar dana itu.

Rafizi Ramli pula cabar Pengerusi GPRS

Posted: 28 Jun 2012 12:52 AM PDT

Jamilah Hamzah

Pengarah Strategik PKR, Mohd Rafizi Ramli
Pengarah Strategik PKR, Mohd Rafizi Ramli
 
 
SHAH ALAM - Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, beliau langsung tidak bimbang dengan cabaran Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Datuk Sohaimi Shahadan yang dibuat semalam berhubung jawatannya sebagai Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor.

Rafizi menghantar notis meletakkan jawatan itu minggu lalu dan keputusannya telah diterima oleh parti.

Rafizi turut berkata, sepanjang beliau berkhidmat sebagai Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor tidak pernah menyalahgunakan sumber kewangan untuk kepentingan parti.

"Saya tak rasa bimbang dengan cabaran Sohaimi itu.

"Saya yakin sepanjang saya berkhidmat tak ada salah guna wang rakyat yang diberikan untuk kerja-kerja parti," katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online, pagi tadi.

Beliau berkata, jika kerajaan Umno ingin membuat perbandingan prestasi atau rekod semasa perkhidmatannya sebelum ini, rekod penjawat jawatan kerajaan yang dipegang Umno itu lebih teruk berbandingnya.

"Berbanding rekod saya dengan rekod Umno, rekod mereka lebih teruk dan mereka tidak perlu berkata begitu.

"Ahli Umno yang banyak memegang jawatan dalam penubuhan untuk parti hanya mahu mendapatkan wang tanpa ada apa-apa fungsi," katanya.

Dalam satu kenyataan semalam, Sohaimi berkata, Rafizi perlu rasa berdosa kerana menggunakan wang rakyat tetapi gagal berbuat sesuatu untuk meningkatkan ekonomi negeri Selangor dan oleh itu, perlu minta maaf kepada rakyat atas kegagalannya.

Rafizi menerima cabaran Sohaimi, tetapi menegaskan Pengerusi GPRS perlu memastikan semua jawatan yang dipegang oleh pemimpin Umno dihapuskan dengan kadar segera.

"Jika Sohaimi pastikan semua jawatan dalam kerajaan yang gunakan wang rakyat untuk politik contoh seperti Jabatan Hal Ehwal Khas, yang pertubuhannya tidak mempunyai fungsi rasmi.

"Kalau itu berlaku, saya dengan gembira akan bayar balik wang gaji yang diupah saya dahulu," katanya lagi.

PRU: Rundingan kerusi PR selesai bulan depan

Posted: 28 Jun 2012 12:49 AM PDT

Wartawan Sinar Harian

Menjelang PRU 13
 
Menjelang PRU 13
 
 
KUALA TERENGGANU - Pakatan Rakyat (PR) masih lagi dalam proses rundingan di peringkat kepimpinan tertinggi ketiga-tiga parti bagi menyelesaikan isu pertindihan kerusi di beberapa kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun).

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah sebenar kerusi terbabit dengan alasan ia akan mengganggu proses rundingan antara ketiga-tiga parti.

Dipetik Bernama, Azmin berkata, proses rundingan akan selesai dalam seminggu dua lagi dan yakin masalah pertindihan itu dapat diatasi dengan baik berikutan pemuafakatan yang terjalin antara PKR, Pas dan DAP.

"Cukup saya katakan kerjasama dari Pas dan DAP cukup baik dan akrab yang akan memudahkan lagi proses rundingan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pengagihan bahan kempen Pilihan Raya Umum ke-13 di sini, hari ini.
  
Diminta mengulas berhubung keengganan Pas menyerahkan lebih banyak kerusi kepada PKR Terengganu pada pilihan raya umum kali ini, Azmin menegaskan, itu hanya pandangan dari peringkat akar umbi yang perlu dihormati.

 
PKR Terengganu sebelum ini menyuarakan hasrat untuk bertanding di 11 kerusi DUN dan tiga kerusi Parlimen namun ditentang oleh Pas Terengganu.
  
"Kita perlu hormati pandangan akar umbi sama ada dari PKR ataupun Pas, namun seperti yang saya nyatakan tadi, keputusan muktamad tetap akan diputuskan kepimpinan tertinggi ketiga-tiga parti," katanya.
  
Ditanya mengenai desas desus hubungan dingin beliau dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, beliau yang juga Pengerusi PKR negeri itu berkatam, perkara tersebut sengaja diperbesar-besarkan oleh media arus perdana.

Guan Eng belum sedia pindah ke Putrajaya

Posted: 28 Jun 2012 12:48 AM PDT

NOOR AZURA SAHRIL

Guan Eng belum sedia pindah ke Putrajaya
Lim Guan Eng ketika ditemui pada wawancara eksklusif bersama Sinar Harian dan Sinar Harian Online di pejabatnya di bangunan Parlimen semalam. 
 
 
KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, beliau lebih suka kekal di Pulau Pinang sebagai Ketua Menteri sekiranya Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih Kerajaan Pusat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Katanya, beliau lebih suka kekal di Pulau Pinang berbanding pindah ke Kuala Lumpur atau Putrajaya.

"Saya masih ada banyak kerja mahu buat di Pulau Pinang. Yang saya sendiri rancang pun banyak belum selesai lagi," kata beliau dalam satu pertemuan dengan Sinar Harian dan Sinar Harian Online, semalam.

Pemimpin berusia 52 tahun ini ditanya sama ada akan berhijrah ke pusat untuk menyandang jawatan menteri kanan jika PR menang PRU13.

"Apa pun keputusan ia bergantung kepada parti," katanya sambil menekankan bahawa menegaskan, matlamat akhirnya ialah "mahu menjadikan Pulau Pinang negeri yang selamat, bersih persekitaran, kekal dengan kehijauan dan bersih daripada gejala rasuah."

Beliau merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang yang keempat.

Guan Eng menyandang jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang selepas tiga parti dalam PR iaitu Pas, DAP dan PKR memperoleh kemenangan pada PRU12 empat tahun lalu.

Kepada satu pertanyaan, Guan Eng berkata, beliau sendiri belum pasti sama ada akan kekal bertanding dua kerusi, Parlimen dan negeri atau hanya salah satu pada PRU13.

Guan Eng merupakan antara beberapa pemimpin DAP bertanding di kedua-dua kerusi Parlimen dan Dun.

Beliau kali pertama dipilih sebagai ahli Parlimen pada 1986.

Ditanya mengenai pencapaiannya setakat ini selaku Ketua Menteri, Guan Eng menjelaskan, setelah empat tahun mentadbir Pulau Pinang, Kerajaan Negeri telah berjaya mengurangkan hutang sebanyak 95 peratus daripada RM630 juta kepada RM30 juta sahaja.

"Kami telah buktikan dengan kepimpinan yang bersih rasuah, hutang dapat dikurangkan dan ini merupakan rekod pengurangan hutang yang tidak pernah dilihat dalam sejarah negara," katanya.

Beliau berkata, buktinya Pulau Pinang mendapat pujian oleh Transparensi Antarabangsa sebagai negeri pertama di negara ini yang bebas rasuah.

"Pulau Pinang juga berjaya menarik pelaburan antarabangsa dan diiktiraf sebagai bandar raya yang selamat. Kerajaan Negeri juga berjaya membasmi kemiskinan tegar," katanya.

Hairie Akan Bersama Memeriahkan PGU04 dan Himpunan Hijau Peringkat Negeri Terengganu

Posted: 28 Jun 2012 12:45 AM PDT

Editor Buletin


KUALA TERENGGANU - Selebriti Hairie Othman yang telah mengumumkan menyertai perjuangan PAS pada pada 20 Jun lalu disahkan akan hadir dan memeriahkan program PAS Ganti Umno Kali Ke-4 (PGU04) di Kampung Padang Mengkuang pada 29 dan 30 Jun ini.

Menurut Setiausaha Dewan Pemuda PAS Terengganu, Zaidan Abdullah, Hairie akan muncul dalam program Santai Ustaz Azhar Idrus bersama Selebriti Leman Raja Lawak.

"Hairie akan hadir program PGU04 dan bersama sesi 'Xpresi Hijau Anak Muda' yang bermula jam 2 petang pada Sabtu,

"beliau bersama Leman Raja Lawak akan berada sepentas dengan Ustaz Azhar Idrus,"ujarnya.

Sementara itu, semalam Rabu 27 Jun, Hairie telah mengadakan pertemuan empat mata dengan Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat.

Menurut Pegawai Khas Tuan Guru Nik Aziz, Wan Zulkifly Wan Yaacob, pertemuan tersebut telah diadakan disebuah hotel di Kuala Lumpur.

"Tok Guru hadir ke Kuala Lumpur sempena mesyuarat Majlis Raja-raja, Hairie datang untuk bertemu dengan Tok Guru kira-kira pada jam 1 petang,"jelas Wan Zul ketika dihubungi Buletinonline.

Beliau berkata, Hairie menghabiskan masa kira-kira sejam dan sempat solat zohor berjamaah bersama dan makan tengah hari bersama Menteri Besar Kelantan itu.

Sehubungan itu, komen dalam laman sosial beliau, dibawah gambarnya bersama Tok Guru, Hairie menulis; " Saya budak baru belajar, pimpinlah,didiklah saya kearah yang lebih baik..saya menyokong dan bersama dalam perjuangan menegakkan dasar Islam.. Allahuakbarr..,".

Dalam komen lain, Hairie mengkritik tindakan kerajaan Umno-BN yang mengugut dan memaksa memilih parti tersebut pada pilihanraya umum akan datang.

"Ini lagi satu cara mengguna kuasa memerintah sesuatu kerajaan dengan memaksa rakyat memilih dengan paksaan. Jikalau parti lain memerintah, apakah anda setuju dengan cadangan memaksa rakyat ini?,"soal Hairie.

Beliau berkata demikian ketika mengulas berita Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Ahmad Said  yang meminta individu meletakkan jawatan dalam kerajaan sekiranya menyokong pembangkang

Hairie juga pelik dengan sikap taksub seorang penyokong Umno-BN yang memberikan respon memfitnah beliau serta PAS sebaik beliau mengumunkan untuk bersama dalam perjuangan partu itu.

Jom Anak Muda ke Xpresi Hijau Terengganu!


Dalam perkembangan yang sama, Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) menjemput semua anak muda untuk turut bersama-sama dalam program "Xpresi Hijau Anak Muda".

Menurut  Setiausahanya, Zaidan Abdullah, program yang diadakan sempena Himpunan Hijau ke Putrajaya dan PGU 4.0 itu akan membariskan tokoh-tokoh pemimpin muda PAS.

Antaranya, kata beliau, adalah Ketia Pemuda PAS Malaysia Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi dan Ketua Dewan Pemuda PAS Terengganu, YB Ustaz Mohd Nor Hamzah.

Katanya,' Xpresi Hijau' akan turut diserikan dengan persembahan nasyid oleh kumpulan UNiC dan Ustaz 'Alim Shoutul Amal.

"Kemuncak program ini adalah Santai Ustaz Azhar Idrus bersama Selebriti Leman Raja Lawak dan pelakon Hairie Othman.

"Program Xpresi Hijau ini akan dimulakan dengan Konvoi Anak Muda seawal jam 9 pagi bermula dari Masjid Pengadang Baru ke tapak program bagi menyemarakkan perasmian Himpunan Hijau PGU 4.0,"katanya dalam siaran media yang diedarkan hari ini.

Beliau menambah, program penuh Xpresi Hijau akan bermula jam 2.00 petang dan dijangka berakhir jam 6.30 petang.

[BERGAMBAR] Ceramah Nizar - Dalam Kebun Getah Pun Orang Datang

Posted: 28 Jun 2012 12:39 AM PDT

KELAB GREENBOB




"Kenapa bawa Dato Seri Nizar ke kampung kamu..??? kamu tahu..!! kalau Nizar turun kesesuatu tempat... maka habislah UMNO" - kata YB Rosli Terong kepada salah seorang penduduk kampung di Parlimen Bukit Gantang Perak.








MP Seri Gading Perlu Dikutuk

Posted: 28 Jun 2012 12:33 AM PDT


MSO


Cadangan atau saranan ahli parlimen Seri Ganding Johor, Mohamad Aziz agar S Ambiga digantung adalah keterlaluan dan satu cadangan tidak mencerminkan semangat 1 Malaysia dan sekaligus menunjukkan rakusnya perangai ahli MP Umno.


Mohamad Aziz
Walaupun cadangan itu dibuat di parlimen di mana beliau mempunyai imuniti dari undang-undang, semua pihak perlu mengutuk cadangan melampau Aziz itu. Sekiranya Umno ingin diterima sebagai parti semua rakyat Malaysia parti itu harus berusaha membawa Aziz ke meja badan disiplin parti.

Samada ia bercakap di parlimen atas hak individunya sebagai ahli parlimen tetapi dunia tahu yang beliau adalah ahli parti Umno.

Walaupun beliau sebagai orang Melayu merasa marah, geram dan benci kepada Ambiga yang menggerakkan Bersih tetapi tidak wajar kata-kata itu dilafazkan dalam apa juga keadaan. Mungkin ia boleh dimaafkan kalau cadangan itu dibuat di meja makan bersama anak-anak dan isterinya. Pun begitu ia tidak elok kerana cadangan seperti itu memberi gambaran ahli parlimen itu seorang jahat, kejam dan zalim serta hilang pertimbangan sebagai manusia.

Ambiga atau mereka yang merasa senak dengan kenyataan ahli parlimen yang dikenali dengan mulut celupar atau mulut berus persis Inchek Ibrahim itu tidak perlu mendesak dia minta maaf. Aziz tidak akan berbuat demikian walaupun dicincang 18. Tindakan paling berkesan ialah dengan mengutuk ahli parlimen itu dari segenap jerung dan sudut. Kalau boleh siarkan (suara) beliau membuat cadangan itu di parlimen biar semua orang India dan Hindu dengar.

Semakin jelas cadangan itu menunjukkan Umno semakin hari semakin tertekan dan akan melakukan apa saja tindakan yang diluar kotak pemikiran umum. Belum ada cadangan mana-mana wakil rakyat seperti itu sebelum ini. Apakah ini menandakan maruah dan sikap wakil rakyat Umno khususnya sudah semakin tidak menentu apabila mereka menyedari kuasa sudah di hujung senja.

Diharap cabaran seperti itu tidak melemahkan semangat Ambiga dan orang-orang pejuang sepertinya. Sudah menjadi sunatullah orang pejuang akan sering menghadapi apa jua ujian dan cabaran termasuk yang lebih kejam dari itu.

MUHYIDDIN MENUNJUKKAN KEJAHILANNYA MERATA-RATA

Posted: 28 Jun 2012 12:22 AM PDT


  

Oleh:  WFAUZDIN NS
 
MUHYIDDIN YASSIN selaku TPM terus tidak segan silu menipu rakyat.  Mungkin beliau kini kehabisan modal lagi untuk mengajak rakyat terus bersama parti korup yang bernama Umno.  Mungkin juga beliau mahu `cover' malunya apabila dihentam oleh DS Anwar Ibrahim apabila Ketua Pembangkang ini mengajak beliau bersama-sama dedahkan akaun atau kekayaan masing-masing.
 
Di Kuala Nerang, TPM berterusan menggunakan modal lapuk lagi usang untuk menyerang PR terutamanya PAS kerana di Kedah sekarang PAS mengetuai kerajaan.  Saya mahu menjawab hujah-hujah lapuk Muhyiddin itu kerana bagi saya hujah Muhyiddin terlalu `low class' untuk dijawab oleh pimpinan kita.
 
Beliau menyebut bahawa Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengatakan sesiapa mengundi PAS mendapat pahala sedangkan sebelum ini Nik Aziz mendakwa sesiapa yang mengundi PAS akan masuk syurga manakala mengundi Umno akan masuk neraka.  Jelas, Muhyiddin menipu apabila beliau mendakwa Tuan Guru Nik Aziz ada mendakwa `mengundi PAS masuk Syurga, mengundi Umno masuk Neraka".  Bahkan, Tuan Guru Nik Aziz pernah mencabar pemimpin-pemimpin Umno termasuk para Mufti menunjukkan bukti bahawa beliau ada berkata sedemikian.
 
Apa yang sering disebut oleh Tuan Guru Nik Aziz adalah, menyokong perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS dengan niat untuk menegakkan Islam itu berpahala, sebaliknya sesiapa yang menyokong mana-mana golongan yang menentang perjuangan Islam atau golongan yang memperjuangkan dasar kebangsaan semata-mata, dasar komunis atau apa jua dasar yang bertentangan dengan Islam akan mendapat dosa.  Apabila disebut pahala, Allah telah menjanjikan Syurga manakala jika disebut dosa Allah menjanjikan Neraka.  Ini bukan soal PAS atau Umno, tetapi soal hukum memperjuangkan Islam.  Tuan Guru Nik Aziz pernah menyebut jika Umno sanggup memperjuangkan Islam, PAS akan dibubarkan dan semua ahli PAS akan bersama Umno dan biarlah Umno memerintah negara ini sehingga kiamat.  
 
Mengapa begitu jahilnya Muhyiddin yang dikatakan bapanya seorang yang kuat agama ini? Memanglah urusan Syurga dan Neraka itu hak Allah, tetapi sebagai hambanya Allah perintahkan kita untuk menurut kehendak Islam.  Adakah jika kita menurut kehendak Islam, maka Allah tempatkan kita ke Neraka?  Contohnya mudah, Allah halalkan minum susu lembu dan Allah mengharamkan minum arak.  Jika kita minum arak juga, adakah Allah letakkan kita ke Syurga? 
Muhyiddin juga menunjukkan kejahilannya di dalam hukum terhadap rakyat yang menerima BR1M sebanyak RM 500 itu.  Katanya, apabila kerajaan memberi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), PAS mengeluarkan fatwa ia adalah rasuah tetapi anggota (parti) mereka tetap mengambilnya.  Kalau rasuah janganlah terima, kata Muhyiddin.  PAS tidak pernah mengatakan penerima BR1M itu sebagai penerima rasuah, malahan PAS sentiasa menyeru rakyat agar mengambilnya.  
 
Apa yang dimaksudkan oleh PAS sebagai rasuah itu adalah jika si penerima BR1M itu mengambil wang berkenaan, dan dengan mendapat wang tersebut beliau sanggup mengikut kehendak si pemberi dengan menyokong Umno/Bn maka itulah rasuah namanya dan ianya tetap wang rasuah.  Sebaliknya, jika rakyat menerima wang berkenaan dan tidak berubah pendirian mereka, maka wang itu bukan rasuah dan wang itu memang hak mereka yang sepatutnya mereka terima.  Ertikata lain, pemberian wang atau projek atau bantuan sebanyak mana sekali pun selagi tidak mempengaruhi mereka, maka ianya bukan perbuatan rasuah.  Susah sangatkah Muhyiddin mahu menafsirkan erti rasuah ini?

Kata Muhyiddin lagi, Pakatan pembangkang mengeluarkan Buku Jingga yang merupakan janji-janji mereka jika berjaya menawan Putrajaya tetapi kalau diteliti, jika ia dilaksanakan, boleh menyebabkan negara muflis.  Hujah bengap dari Muhyiddin ini pasti akan ditertawakan oleh rakyat yang berakal kecuali mereka yang bersekongkol dengan lembu-lembu kondo.  Muhyiddin patut sebut di bahagian manakah di dalam Buku Jingga yang boleh menjadikan negara ini bankrap?  Penurunan harga minyak?  Kemudahan wifi percuma?  Penghapusan Tol?  Beliau tidak berani sebut kerana jika beliau sebut menampakkan lagi kebebalannya.  Semua hujah Muhyiddin tersebut telah dijawab awal lagi oleh DS Anwar.  Sebab itulah DS Anwar berkali-kali mencabar Najib atau Muhyiddin untuk berdebat mengenai Buku Jingga.  
 
Masalahnya, pemimpin Umno tidak mampu untuk berhujah dengan DS Anwar kerana mereka tahu apa yang terkandung di dalam Buku Jingga itu releven dan boleh direalisasikan.  Cuma Umno sahaja tidak mampu melaksanakannya kerana Umno dan rasuah tidak boleh dipisahkan.  Tidak ada negara yang dasarnya membantu rakyat dan tidak rasuah boleh bankrap.  Apa yang selalu kita lihat negara menjadi bankrap apabila negara tidak dapat diurus dengan baik, telus dan amanah. Kita masih ingat, sewaktu awal-awal PR memerintah Selangor dengan memperkenalkan air percuma dan beberapa insentif lain untuk kebajikan rakyat Selangor, pemimpin Umno memberi amaran kerajaan di bawah Tan Sri Khalid itu hanya mampu bertahan 3 bulan sahaja.  Sekarang terbukti, hampir sepenggal PR memerintah Selangor, usahkan bankrap malahan bertambah kantung simpanan Selangor melebihi 1 Bilion.  Sekali lagi Muhyiddin menunjukkan kecetekan beliau di dalam membicarakan soal ekonomi.
 
Kunci pertama untuk kita menilai samada pemimpin Umno ini ikhlas atau menipu rakyat amat mudah.  Pertama, kita lihat rekod 50 tahun lebih mereka mentadbir negeri atau negara ini.  Adakah kita semakin senang atau susah?  Adakah kita boleh mendabik dada mengatakan kita kini hidup di dalam kesenangan hanya kerana mendapat BR1M sebanyak RM500 dan pemberian RM15, 000 buat Peneroka Felda?  Kita jangan mengukur kesenangan hidup hanya dengan duit, itu pun setelah mereka memerintah lebih 50 tahun baru mereka mahu menghulur sebanyak itu.  Sudah berapa banyak wang rakyat lesap ditelan oleh mereka selama berpuluh tahun sebelum ini?  
 
Keduanya, jika pemimpin Umno ini benar-benar ikhlas dan jujur mereka pasti akan sanggup berdepan dengan cabaran DS Anwar untuk berdebat di dalam soal ekonomi negara.  Apa yang perlu mereka takutkan jika mereka benar?  Apa yang mereka mahu khuatirkan jika mereka tidak rasuah dan menyeleweng?  Kononnya DS Anwar akan bankrapkan negara, kononnya DS Anwar tidak boleh mengurus ekonomi negara, jika mereka ada hujah sedemikian alangkah baiknya jika mereka gunakan hujah-hujah mereka untuk menangkis Buku Jingga yang ditawarkan oleh Pakatan Rakyat di dalam perdebatan.  Ketika itu, jika rakyat merasakan hujah pemimpin Umno itu betul maka sudah tentu rakyat tidak mempercayai janji-janji Pakatan Rakyat.  Tetapi, jika rakyat pula melihat bahawa terbukti Umno mengamalkan rasuah dan penyelewengan, maka sudah pasti rakyat akan menolak Umno.  Itulah sebenarnya yang amat ditakuti oleh Najib dan Muhyiddin.
 
Sehubungan itu, tiada sebab rakyat di Kedah, Selangor, P.Pinang, Kelantan dan Perak untuk menukar kerajaan yang mereka pilih pada Tahun 2008 yang lalu.  Bahkan, di negeri-negeri lain juga mereka telah melihat betapa jauh bezanya umpama langit dan bumi pemerintahan di bawah Pakatan Rakyat di negeri-negeri berkenaan (kecuali Perak yang telah dirampas oleh lanun) berbanding ketika berada di bawah Umno/Bn. Maka, tiada sebab untuk rakyat tidak memilih Pakatan Rakyat bagi mengambil alih Putrajaya kecuali mereka yang buta hati sahaja yang masih mengharapkan parti penuh rasuah ini untuk terus berkuasa./wfauzdin.blogspot.com 

DAP bantah PRU13 musim haji

Posted: 27 Jun 2012 05:24 PM PDT

Nurul Aini Mohamed Ali

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng melahirkan pendirian partinya mengenai desas-desus PRU13 diadakan musim haji.
 
 
SHAH ALAM - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng melahirkan pendirian partinya membantah dengan sekeras-kerasnya jika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) diadakan pada musim haji kerana ia tidak adil bagi umat Islam dalam menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Guan Eng berkata, beliau berasa tidak senang hati jika PRU diadakan semasa umat Islam mengerjakan rukun Islam kelima itu kerana ia akan melibatkan kira-kira 30,000 orang.

"Jika PRU diadakan semasa musim haji, ini jelas menunjukkan taktik kerajaan kita cuba memecahbelahkan rakyat sendiri," tegas beliau dalam Wacana II: Adakah Dasar DAP Mengancam Islam? di sini, malam tadi.

Sehubungan itu, beliau meminta Kerajaan Pusat jangan cuba menguji rakyat dengan cara ini kerana kerajaan seharusnya faham situasi rakyat bagi mengelakkan mereka berasa dilema.

"Saya menolak PRU diadakan pada musim haji. Ini juga sama jika PRU diadakan semasa rakyat bukan Islam menyambut perayaan masing-masing.

"Tidak adil jika PRU diadakan semasa rakyat menyambut Tahun Baru Cina dan perayaan Deepavali," tambah beliau, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Pemimpin Pakatan Rakyat sebelum ini turut sebulat suara menentang PRU diadakan semasa musim haji tahun ini.

Pendirian yang sama dibangkitkan oleh pemimpin-pemimpin Pas termasuk yang terbaru Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam, antara lain berkata mengadakan pilihan raya pada musim haji bercanggah dengan Islam.

Mahathir: Anwar saman untuk tutup mulut

Posted: 27 Jun 2012 05:22 PM PDT

SINAR HARIAN
Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad
 
 
PUTRAJAYA - Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang "begitu galak" memfailkan saman sekarang sebenarnya merupakan pendekatan kegemaran Ketua Pembangkang itu untuk menutup mulut orang lain.
  
Kata beliau, ini kerana, apabila sesuatu perkara dirujuk kepada mahkamah, ia tidak lagi boleh dibincang secara umum untuk mengelak berlaku subjudis.
  
"Seperti yang anda tahu, beliau telah menyaman saya dan selama empat tahun saya tak boleh membuka mulut. Itulah cara beliau berkempen, menyekat orang daripada bercakap, sedangkan beliau percaya kepada kebebasan bersuara dan perkara seumpamanya.
  
"Tapi, apabila orang bersuara, beliau hendak tutup mulut mereka dengan menyaman semua orang," katanya kepada pemberita di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.
  
Dr Mahathir berkata demikian apabila diminta mengulas laporan akhbar yang menyebut bahawa bekas rakan Anwar, Senator Datuk S. Nallakarupan, menuduh Ketua Pembangkang itu menggunakan saman untuk menyekat perbuatan buruknya didedah kepada umum.

Terdahulu, Dr Mahathir menerima kunjungan hormat Presiden Guinea Alpha Conde, yang melakukan lawatan rasmi pertama beliau ke Malaysia.
  
Mengenai pertemuan mereka yang berlangsung selama lebih kurang setengah jam, Dr Mahathir berkata Conde ingin mengetahui lebih mendalam tentang negara ini dan mempelajari cara kerajaan membangunkan Malaysia untuk beliau contohi dalam membangunkan Guinea.
  
Sebelum itu, Conde mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kedua-dua pemimpin bersetuju mengkaji bidang baru hubungan dua hala antara Malaysia dan Guinea.
  
Najib dan Conde juga menyaksikan upacara menandatangani memorandum persefahaman mengenai kerjasama dalam bidang pengajian tinggi oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin dan Menteri Kerjasama Antarabangsa Guinea Prof Datuk Koutoub Moustapha Sano.
  
Najib juga meraikan presiden itu pada majlis jamuan tengah hari di kediaman rasmi beliau di Seri Perdana di sini. - Bernama

Scorpene: Jawapan Zahid timbul banyak soalan

Posted: 27 Jun 2012 05:18 PM PDT

Harakahdaily,
KUALA LUMPUR: Jawapan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Parlimen mengenai isu jualan rahsia Scorpene di Dewan Rakyat malam tadi menimbulkan lebih banyak persoalan dari jawapan.

Anggota Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dalam kenyataannya mengungkit banyak soalan yang perlu dijelaskan kerajaan.

Pada 26 Jun 2012, Datuk Seri Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan telah memberi jawapan kepada isu-isu yang saya bangkitkan dalam ucapan penangguhan Nurul Izzah di Parlimen.

Ia mengenai kehilangan atau penjualan dokumen rahsia pertahanan berkaitan pembelian kapal selam Scorpene seperti didakwa Saram di Bangkok baru-baru ini, yang juga berkait dengan inkuiri kehakiman (judicial inquiry) di Perancis.

Beliau menyatakan bahawa pihak kerajaan tiada maklumat mengenai apa-apa dokumen rahsia pertahanan yang dikeluarkan dari negara, dan kerajaan tidak berminat untuk menghantar wakil pemerhati sekiranya inkuiri kehakiman tersebut menjadi kes penuh di mahkamah Perancis.

Namun, kata Nurul, jawapan beliau menimbulkan seribu satu pertanyaan, yang perlu beliau jawab terutamanya berkaitan isu-isu berikut:

1) Menteri mengakui bahawa satu 'siasatan' ke atas isu dakwaan dokumen rahsia pertahanan negara dikeluarkan dari Malaysia.

Persoalannya adalah: apakah ruang lingkup siasatan tersebut? Adakah pihak Polis Di-Raja Malaysia dan Jabatan Peguam Negara terlibat untuk mengelak konflik kepentingan tatkala dakwaan tersebut melibatkan Kementerian Pertahanan? tanya Nurul.

Nurul juga bertanya, adakah Menteri mengakui bahawa dokumen-dokumen 'rasmi' yang dimaksudkan yang kini di tangan Mahkamah Perancis bukan 'Rahsia Kerajaan', dan oleh itu adalah dokumen-dokumen palsu?

Sekiranya hal ini benar, adakah pihak kerajaan akan menghantar nota diplomatik untuk membantah penggunaan dokumen-dokumen palsu tersebut? soal beliau.

Beliau juga bertanya, adakah Menteri akan menjelaskan sama ada pembelian kapal selam Scorpene ini suatu usaha antara kerajaan (Government-to-Government)?

Jika benar, apakah rasional menggunakan sebuah syarikat peribadi seperti Perimekar Sdn Bhd untuk 'perkhidmatan sokongan dan koordinasi' dan bukannya sebuah badan kerajaan yang memastikan rahsia-rahsia pertahanan negara akan terjamin? tanyanya lagi.

Menteri turut wajib menyenarai apakah sebenarnya perkhidmatan-perkhidmatan yang dimaksudkan itu, katanya.

Beliau juha bertanya, adakah Menteri akan mengesahkan bahawa kapal selam Scorpene yang dimiliki Kerajaan Malaysia sudah melaksanakan ujian tembakan peluru hidup serta torpedo bagi mengesahkan tahap persediaan sistem persenjataan?

Bagi beliau, menteri tidak seharusnya berlindung di sebalik Akta Rahsia Rasmi, kerana latihan-latihan sedemikian, seperti latihan pelancaran misil exocet tentera laut, diketahui umum sebagai bukti keupayaan sistem tersebut (proof of capability) yang juga menampakkan kebolehan pertahanan negara.

"Mengapa perlu dirahsiakan, walhal berbilion ringgit telah dibelanjakan untuk membeli kapal selam Scorpene ini?" katanya lagi.

Elok MTRK intai ketua lebih berwibawa

Posted: 27 Jun 2012 05:15 PM PDT

Aslani M,

KOTA BHARU: Dakwaan Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) kononnya ada jenazah tidak dapat dimandikan kerana tiada bekalan air menjadi bahan ketawa orang ramai.

Ramai melihat NGO Umno itu seperti hilang arah perjuangan, tanpa mampu mempamerkan kekuatan sebenar kuasa ketiga yang diuar-uarkan kebelakangan ini.

Malah sebelum ini dalam beberapa kenyataan diulang-ulang MTRK yang diketuai adik Presiden Perkasa, Azmi Ali mendesak kerajaan negeri menyerahkan pengurusan bekalan air kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Sedangkan SPAN hanya bertanggungjawab mengeluarkan lesen kepada pengendali perkhidmatan air dengan mengeluarkan lesen kemudahan dan lesen perkhidmatan.

"Jadi MTRK mahu Kelantan menyerahkan pengurusan air kepada SPAN yang hanya bertanggungjawab mengeluarkan lesen.

"Mereka perlu belajar sikit untuk mengetahui apa perbezaan dengan SPAN dan Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) yang menjadi pemegang lesen untuk sistem bekalan air di Semenanjung Malaysia.

"Eloknya MTRK melantik Presiden yang lebih berwibawa dan bukan bercakap sembrono sehingga diketawakan orang ramai," kata seorang guru pencen yang menyertai pra himpunan menyokong tuntutan royalti di hadapan Kota Darulnaim semalam.

Pada perhimpunan anjuran MTRK yang diketuai Azmi semalam, mereka melaungkan kononnya keadaan bekalan air bersih di Kelantan begitu kritikal sehingga jenazah pun tidak dapat dimandikan.

Malah mereka mendakwa Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menyeleweng dan mahu kerajaan negeri menyenaraikan semua kontraktor yang mendapat projek meningkatkan bekalan air bersih.

Biar pun deretan senarai nama kontraktor dan projek dikeluarkan AKSB melalui siaran akhbar, namun MTRK masih membangkitkan isu sama.

Lebih memalukan lagi apabila AKSB menjelaskan semua kontraktor ditentukan kerajaan pusat, di mana sebahagian besar difahamkan merupakan syarikat kroni pemimpin Umno.

"MTRK tuduh kononnya wujud penyelewengan dalam peruntukan RM600 juta yang diluluskan kerajaan pusat, sedangkan pemilihan kontraktor ditentukan kerajaan pusat.

"Peruntukan melalui pinjaman mudah yang diluluskan melalui RMK-8 hingga RMK-10 sebanyak RM547 juta, di mana semua pinjaman itu perlu dibayar kembali," kata AKSB dalam risalah yang diedar pada perhimpunan tersebut.

Lebih melucukan lagi apabila ramai peserta himpunan MTRK meminum air berjenama Darul Naim yang dikilang oleh AKSB di Pengkalan Chepa, diedar percuma semalam.

Mahasiswa lancar Gerakan Mahasiswa Pasca Auku

Posted: 27 Jun 2012 05:11 PM PDT

Hazayani Zakaria,
KUALA LUMPURn: Pro-Mahasiswa Nasional (Pro-MN) hari ini melancarkan Gerakan Mahasiswa Pasca Auku (Gempa) sebagai protes terhadap Opss 2020.

Opss 2020 merupakan konspirasi terancang oleh Umno BN yang menggunakan institusi awam termasuk mahasiswa untuk memenangkan mereka pada pilihan raya umum ke-13.

Menurut jurucakap Pro-MN, Edikoup Lakip Sediyanto, Gempa bertujuan membela mahasiswa dan menolak sebarang pencabulan terhadap hak-hak mahasiswa.

"Kami menamakan gerakan ini sebagai Gempa kerana kami tidak menerima Auku sebagai undang-undang yang berada di kampus.

"Kami kecewa dengan penglibatan Umno BN memanipulasi pilihan raya kampus menggunakan jentera kerajaan untuk kepentingan parti," kata beliau pada sidang media bersama Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusuf di lobi Parlimen hari ini.

Beliau juga berkata, Gempa akan menggerakkan semua gerakan yang bermula di kampus untuk memberikan impak besar kepada perubahan negara.

Sebelum ini, Pro-MN mendedahkan, antara yang terlibat dalam Opss 2020 ialah Biro Tata Negara (BTN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti (HEP) setiap universiti dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Opps 2020 menyebabkan pilihan raya kampus ditangguhkan mengakibatkan hampir keseluruhan universiti tidak mempunyai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Lapor polis tiga lelaki ganggu keluarga


Sementara itu, ekoran sering tampil membuat pendedahan berhubung Opss 2020, keluarga Edikoup diganggu tiga lelaki yang tidak dikenali.

Beliau memberitahu, pada Isnin lalu, tiga lelaki tersebut datang ke rumahnya di Sabak Bernam dan bertanya soal peribadi beliau kepada ahli keluarga.

"Lelaki tersebut datang pada waktu pagi, ketika itu emak dan adik saya ada di rumah.

"Mereka bertanya apa aktiviti saya di luar, siapa idola saya dan beberapa soalan lagi," katanya.

Sehubungan itu, beliau membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi pagi tadi.

"Atas nasihat peguam dan atas dasar menjaga keselamatan saya dan keluarga maka saya membuat pilihan raya," katanya.

Turut bersama pada sidang media tersebut ialah dua koordinator Gempa, Nasrullah Mujaddidi dan Ahmad Zulfadzli Ahmad Kamal.

WWW 1: Nizar lapor polis terhadap Utusan, TV3

Posted: 27 Jun 2012 05:08 PM PDT

Anis Nazri,
 
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin membuat laporan polis terhadap Utusan Malaysia dan TV3 berhubung isu plat kenderaan WWW 1, hari ini.

Laporan polis tersebut dibuat di IPD Dang Wangi, bersama-sama barisan peguam Pemuda PAS Perak.

Menurut beliau, laporan itu dibuat kerana kedua-dua media pro Umno itu telah menyiarkan berita yang disifatkannya sebagai fitnah ke atas kredibiliti beliau.

"Mereka telah memfitnah saya dengan memutarbelitkan kenyataan saya di twitter dengan mengatakan saya menuduh Sultan Johor menggunakan wang rakyat untuk bidaan WWW1.  Sedangkan, saya tidak menyatakan sedemikian," tegas beliau yang ditemui Harakahdaily.

Dalam pada itu, kata beliau peguamnya turut menghantar notis kepada TV3 dan Utusan Malaysia untuk menarik balik dan meminta maaf secara terbuka berkaitan penyiaran berita tersebut.

Sekiranya, TV3 dan Utusan Malaysia tidak berbuat demikian, tambah Nizar pihaknya akan mengemukakan saman malu terhadap kedua-dua media tersebut.

Ditanya tentang tempoh yang diberi pihaknya kepada TV3 dan Utusan Malaysia itu, Nizar berkata pihaknya memberi tempoh sehingga tujuh hari bermula hari ini untuk berbuat demikian (tarik balik dan mohon maaf).

Nizar, sebelum ini dalam twitnya mempersoalkan bidaan nombor pendaftaran yang dimenangi Sultan Ibrahim itu dengan bayaran RM520,000 dengan kesusahan rakyat Johor.

Ekoran kenyataannya itu, pelbagai reaksi positif dan negatif dibangkitkan, dan turut disiasat di bawah Akta Hasutan, malah pejabatnya turut digeledah pihak polis bagi membantu siasatan.

Nizar bagaimanapun bertindak memohon maaf secara terbuka kepada Sultan Ibrahim beberapa hari selepas itu.

Mahkamah perintah Ras Adiba fail pembelaan sebelum 6 Julai

Posted: 27 Jun 2012 05:04 PM PDT

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan personaliti televisyen Ras Adiba Mohd Radzi memfailkan pernyataan pembelaan sehingga 6 Julai berhubung saman berjumlah RM3.2 juta yang difailkan seorang pengarah syarikat terhadapnya.

Penolong Kanan Pendaftar Aaziha Mujahid Lee menetapkan tarikh itu di dalam kamar dengan dihadiri peguam Datuk Mohd Haziq Pillay bagi pihak Ras Adiba dan Mohammad Shafie Afendi, mewakili Nik Fauzi Nik Hussein.

Mohd Haziq memberitahu pemberita bahawa pihaknya memerlukan masa untuk memfailkan pembelaan kerana perlu merujuk kepada kontrak syarikat bersama Petronas.

Nik Fauzi Nik Hussein, pengarah syarikat Inki Plas Holding Sdn Bhd memfailkan writ saman tersebut pada 3 Mei lepas dan menerusi pernyataan tuntutan, Nik Fauzi mendakwa beliau mempunyai pegangan saham di dalam syarikat Inki Plas Holding Sdn Bhd sebanyak 65 peratus dan bersetuju menjual kesemua saham tersebut kepada Ras Adiba.

Nik Fauzi berkata pada 24 Julai 2006, beliau dan Ras Adiba telah memeterai perjanjian penjualan saham dan ia disetemkan pada 2 Ogos 2006.

Dakwanya, Ras Adiba mempunyai kuasa dan kawalan terhadap penstrukturan syarikat dan ia menjadi tujuan Ras Adiba membeli saham tersebut.

Nik Fauzi berkata Ras Adiba bagaimanapun telah mengabaikan dan gagal membantu mengukuhkan syarikat hingga menyebabkan ia berdepan dengan masalah kewangan.

Dakwanya lagi, Ras Adiba sepatutnya membayar liabiliti syarikat berjumlah RM3.2 juta tetapi gagal berbuat demikian dan memungkiri perjanjian.

Selain ganti rugi berjumlah RM3,288,172 beliau turut menuntut deklarasi bahawa defendan telah memungkiri Perjanjian Penjualan Saham bertarikh 24 Julai 2006, faedah pada kadar empat peratus setahun, kos dan relif lain.- Bernama

Perbelanjaan Berhemah Punca Kelantan Bebas Rasuah

Posted: 27 Jun 2012 05:00 PM PDT






SHAH ALAM  : Tiada pegawal peribadi, memakai hanya satu kereta rasmi, mendiami rumah sendiri dan memakai perabot yang tidak ditukar selama 20 tahun.

Ini antara langkah yang diambil Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat bagi menerapkan amalan hidup sederhana bagi memerangi rasuah selama lebih 20 tahun beliau mentadbir Kelantan.

"Selain mengamalkan cara yang dianjurkan Islam, kecekapan menguruskan wang juga penting demi memastikan setiap perbelanjaan itu tidak sia-sia.

"Wang rakyat mestilah dibelanjakan secara berhemah dan perbelanjaan perlu dilakukan secara berjimat-cermat tetapi tidak sampai dilihat seperti kedekut," Nik Aziz berkata ketika mengulas langkah-langkah yang beliau amalkan sehingga Kelantan dinobatkan sebagai bebas rasuah.

Beliau berkata demikian di dalam satu sidang media sejurus selesai ucaptama Wacana Buku Rasuah yang diadakan di Dewan Jubli Perak, bangunan SUK pagi tadi.

Dalam sidang media yang sama, beliau yang juga Mursyidul Am PAS mengkritik amalan demokrasi Malaysia yang dilihat tidak adil.

"Contohnya dalam isu royalti minyak di Kelantan, walaupun Tuanku Sultan Kelantan sendiri sudah titahkan dalam Dewan Undangan Negeri namun perkara itu langsung tidak diperdulikan Kerajaan Pusat.

"Sehingga kini, rakyat Kelantan tidak merasa walau seringgit pun hasil minyak yang diambil dari Kelantan," luahnya dengan kecewa.

Sementara itu, Exco Negeri, Dr. Halimah Ali menjelaskan program hari ini diadakan khusus untuk berkongsi pengalaman dan kecemerlangan Negeri Kelantan sebagai sebuah negeri Kerajaan Pakatan yang bebas rasuah.

"Kita ingin memastikan bahawa negeri-negeri Pakatan bebas rasuah dan kita serius bekerja untuk menghapuskan gejala tidak sihat ini di negeri Selangor pula."

Beliau berkata Kerajaan Selangor memperuntukkan RM 15 juta di bawah Geran Selangorku untuk diberi sebagai insentif kepada rakyat bagi membantu memerangi rasuah.

Penganalisis: PRU13 diramal Disember

Posted: 27 Jun 2012 04:54 PM PDT

ROSNANI SAAD

Menjelang PRU 13
 
Menjelang PRU 13 
 
 
ALOR SETAR - Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) mungkin diadakan pada pertengahan atau penghujung Disember iaitu tiga bulan selepas pembentangan Bajet 2013.

Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, PRU13 mungkin diadakan sewaktu cuti persekolahan dan Disember dilihat sebagai bulan yang sesuai.

"Ini kerana bajet akan dibentangkan pada September, dan sudah tentu tidak sesuai diadakan pilihan raya. Manakala musim haji iaitu Oktober dan November pula, ia sudah menjadi isu justeru agak mustahil untuk kerajaan mengambil risiko kerana ia pasti akan dijadikan modal dalam kempen parti pembangkang.

"Tambahan pula, apabila kerajaan mengumumkan pemberian 'durian runtuh' kepada rakyat, ia mungkin akan dapat dinikmati sekitar Disember dan Januari.

"Sudah tentu mereka tidak akan lanjutkan tarikh PRU terlalu lama dari tarikh bajet diumumkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Katanya, adalah sukar untuk menjangkakan bahawa PRU13 akan diadakan pada tarikh akhir tempohnya iaitu Mac tahun depan kerana ia agak berisiko.

"Rakyat mungkin akan berubah fikiran dalam menentukan siapa pilihan mereka dalam PRU13 jika tercetus perkara yang tidak diduga, contohnya penganjuran demonstrasi seumpama Bersih.

"Bagaimanapun, saya percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah mempunyai tarikh yang difikirkan tepat dan sesuai bagi membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya. Cuma belum sampai masanya untuk diumumkan," katanya.

Menurutnya, sokongan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) di Kedah dan seluruh negara, dilihat bertambah selepas pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

"Namun apabila berlaku demonstrasi Bersih baru-baru ini, sokongan itu dilihat agak menurun, khususnya kalangan masyarakat bukan Melayu. Sebaliknya sokongan dalam kalangan masyarakat Melayu tidak banyak berubah.

"Justeru, dalam masa yang singkat ini, kerajaan perlu meraih kembali sokongan daripada pengundi bukan Melayu," katanya.

DAP tidak mahu buang masa minta MP Seri Gading minta maaf

Posted: 27 Jun 2012 04:53 PM PDT


NOOR AZURA SAHRIL
 
KUALA LUMPUR - DAP mahu membuat laporan polis berikutan kenyataan bersifat menghasut dan perkauman, dibuat  oleh Ahli Parlimen Seri Gading, Datuk Mohamad Aziz yang meminta Pengerusi Bersama Bersih, Datuk S Ambiga digantung sampai mati kerana didakwa mahu menggulingkan negara.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng meminta semua wakil DAP membuat laporan polis kerana tidak mahu membuang masa menuntut Mohamad meminta maaf dan menarik balik kenyataanya.

"Bukan Ambiga seorang sahaja penganjur Bersih, namun mengapa beliau seorang sahaja yang mahu digantung.

"Hanya kerana beliau 'easy target'. Saya tidak mahu buang masa untuk meminta Mohammad  memohon maaf dan menarik kembali kenyataannya. "Justeru, DAP akan membuat laporan polis supaya tindakan boleh diambil oleh  pihak berkuasa terhadapnya," kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, Mohamad dalam ucapannya di Dewan Rakyat mencadangkan agar Ambiga digantung kerana mengkhianati

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, beliau telah menghubungi Ambiga dengan memberikan solidariti dan sokongan moral.

Menurutnya, kenyataan Mohamad itu sangat tidak relevan dan penganjuran Bersih bukan satu kesalahan. "Ini adalah saranan serius untuk minta seseorang digantung sampai mati.

Tidak pernah ada Ahli Parlimen yang berbuat demikian," katanya.

Mogok Lapar ISA : GMI Protes Di Depan Parlimen 28 Jun

Posted: 27 Jun 2012 04:48 PM PDT





SHAH ALAM  : Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) akan mengadakan protes pada 28 Jun (Khamis) ini di hadapan bangunan Parlimen mendesak Menteri Dalam Negeri segera bertindak dalam menjawab tuntutan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri(ISA) yang sedang bermogok lapar.

Penyelaras Sekretariat GMI, Syukri Razab berkata berdasarkan maklumat yang diperolehi, sehingga hari ini sembilan orang tahanan ISA melancarkan mogok lapar.

Mogok lapar dimulakan oleh dua orang tahanan iaitu Fadzullah Abdul Razak dan Razali Kassan pada hari Khamis lalu.

"GMI juga mendapat maklum, Razali dan seorang warga Sri Lanka diasingkan daripada tahanan lain oleh pihak kem tahanan kerana melakukan mogok lapar.

"Fadzullah pula sememangnya mengalami Solitary Confinement (Kurungan Sendiri) sejak dua bulan lalu atas sebab yang masih tidak dapat dipastikan," kata Syukri dalam kenyataan medianya.

Menurut Syukri, keadaan tahanan juga dilaporkan semakin lemah kerana mereka hanya minum air tanpa mengambil sebarang makanan sejak enam hari lalu.

Mereka melancarkan mogok lapar kerana kecewa dengan pihak Kementerian Dalam Negeri yang enggan menjawab tuntutan mereka yang ingin dibebaskan segera.

"Apa yang sepatutnyanya dilakukan ialah pihak Menteri Dalam Negeri perlu segera membebaskan tahanan dan bukannya menghukum mereka yang bermogok lapar," ujarnya.

Jelas Syukri, melalui pertemuan dengan keluarga tahanan, rata-rata tahanan menuntut agar mereka dibebaskan segera atau didakwa di mahkamah sekiranya pihak kementerian memiliki bukti untuk mendakwa mereka.

Tindakan mendiamkan diri tanpa sebarang tindakan dan membiarkan tahanan berlapar merupakan sifat yang tidak bertanggungjawab yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang menteri.

"GMI akan menyerahkan satu memorandum kepada pihak Kementerian Dalam Negeri bagi mendesak Hishamuddin Hussein segera menjawab tuntutan tahanan ISA yang ingin dibebaskan segera," katanya.

Ujar Syukri, memorandum itu juga akan menuntut penjelasan Menteri Dalam Negeri berhubung penderaan yang berlaku ke atas tahanan seperti mana yang dilaporkan oleh GMI baru-baru ini.

Protes akan bermula pada jam 11 pagi dan akan dipimpin oleh Syed Ibrahim Syed Noh selaku Pengerusi GMI.

PKR Dedah Dokumen Penganugerahan Projek LRT Ampang

Posted: 27 Jun 2012 04:44 PM PDT






PETALING JAYA  : Salinan dokumen rasmi kerajaan berhubung penganugerahan kontrak mengenai projek kerja-kerja sambungan LRT Ampang yang bernilai lebih RM1 bilion didedahkan hari ini oleh Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.

Pendedahan itu menjelaskan Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak melanggar etika pentadbiran telus dan melakukan penyelewengan kuasa.

Rafizi berkata salinan dokumen itu menunjukkan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Perolehan Menteri Kewangan (JPMK) dengan rujukan T/1/M/1/2012 dengan jelas menolak cadangan Prasarana Negara untuk melantik PDA Consortium sebagai kontraktor projek itu.

Sebaliknya, JPMK mengarahkan supaya kontrak itu dianugerahkan kepada Konsortium Balfour Beatty-Invensys pada harga RM1,012,910,000.

Keputusan itu ditandatangani sendiri oleh Najib, Menteri Kewangan 2, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.

Tambah Rafizi, keputusan itu disampaikan secara bertulis oleh Kementerian Kewangan kepada Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana, Datuk Shahril Mokhtar melalui satu surat bertarikh 26 Januari tahun ini.

Sebelum ini, Najib pada minggu lalu melahirkan hasratnya untuk menganugerahkan kontrak terbabit kepada Konsortium George Kent, seperti yang dilaporkan oleh Business Times pada 22 Jun lalu.
Hal itu bertentangan dengan keputusan JPMK yang bersidang pada Januari lalu.

Justeru, daripada rentetan itu Najib seharusnya menjelaskan beberapa persoalan yang timbul, antaranya,
"Kenapakah Konsortium George Kent begitu yakin memengangi kontrak itu walaupun keputusan anugerah kontrak dibuat seawal 25 Januari lalu.

"Selain itu, Najib perlu menafikan beliau menandatangani kertas keputusan JMPK jika dokumen ini palsu dan Najib perlu menyakinkan rakyat Malaysia bahawa campur tangannya dalan anugerah kontrak itu langsung tidak ada unsur rasuah atau penyelewengan," katanya.

Oleh itu, PKR akan membuat satu laporan polis dan SPRM terhadap Najib pada Jumaat ini.

Tiada ulasan: