DIALOG RAKYAT |
- Dr Rani: Sasaran Menang 8 Kawasan Baru Berdasarkan Fakta
- 223 Pelajar Tahfiz Dapat Biasiswa Yayasan Selangor
- Anwar Tuntut Mohon Maaf Dari NST, Berita Harian
- UMNO cuba ‘mengurat’ PAS
- PAS: Silalah siasat Anwar & Nik Aziz!
- Dewan Pemuda PAS: Hala tuju menjelang taufan
- Laporan polis terhadap MB Perlis
- Pemimpin BN mahu PRU, letih karenah ahli perniagaan dan persatuan
- Putrajaya bakal perkenal insurans pertanian
- MB: Kedah lulus empat lesen hiburan baru
- Najib: Abaikan label 'pendatang'
- Isu Scorpene: Tiada sepina ke atas PM, kata Khairy
- 3 lelaki hilang di Taman Tun Abdul Razak Ampang Jaya
- 'Masalah permit, tapi ubatnya tayar'
- NGO: Jangan pandang serong kenyataan Salahuddin
- Borders dibenar cabar serbuan JAWI
- Abdul Khalid tetap pertahan Faekah
- 'Isu Lynas dan saya jadi mimpi ngeri MCA'
- Najib pertahan ambil alih kementerian wanita
- Manifesto: Rakan Pas juga bantah rakaman
- Manifesto: Cuba dulu sebelum ragui, SPR nasihat PR
- Kereta bomba terbalik, seorang terbunuh
- Gelombang Hijau landa Perlis
- Masjid diminta dekati saudara baru
- Rafizi: 'Betul, saya nak tumpu PRU13'
Dr Rani: Sasaran Menang 8 Kawasan Baru Berdasarkan Fakta Posted: 25 Jun 2012 04:15 AM PDT SHAH ALAM : Sesuatu kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin Umno-Bn biasanya tidak berdasarkan fakta dan realiti, kata Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Abdul Rani Osman. Perkara itu diperkatakan berhubung kenyataan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar yang meminta Pas Selangor tidak mengeluarkan kenyataan kosong hanya untuk meraih undi bagi PRU13. Semalam, Noh turut berkata sasaran lapan kawasan baru Pas yang didakwa bakal membantu misi menawan 16 kerusi Dun hanyalah kenyataan kosong sahaja untuk tunjukkan Pas berjaya mengambil hati rakyat. "Beliau (Noh) boleh cakap apa sahaja, dulu masa 2008 kata nak bagi pembangkang sifar untuk kerusi Dun, tetapi hakikatnya mereka jadi pembangkang. "Mereka (Umno-BN) bila bercakap bukan atas fakta ataupun realiti. Jadi dia nak cakap apa pun dia boleh cakap tunggu saja PRU13 akan datang. Jika berani buatlah PRU13 sekarang, kenapa perlu tangguh-tangguh," katanya ketika dihubungi. Beliau menambah kenyataan itu dapat diperkukuhkan dengan adanya pemimpin Umno-BN sendiri yang pernah mengatakan Umno-BN jangan mimpi untuk merampas Selangor dari tangan Pakatan Rakyat. "Dr Mahathir sendiri kata "Umno is rotten to the core". Banyak lagi isu yang perlu dijawab oleh Umno-BN termasuk isu Scorpene. Kemudian nak cari calon untuk hadapi PRU ini sebab tiada calon yang berwibawa seperti calon dalam PAS, PKR dan DAP," katanya. | ||
223 Pelajar Tahfiz Dapat Biasiswa Yayasan Selangor Posted: 25 Jun 2012 04:09 AM PDT BANTING : Penghormatan dan keprihatinan Kerajaan Negeri menghulurkan biasiswa kepada pelajar-pelajar sekolah maahad tahfiz diharap mampu meningkatkan tahap kecemerlangan akademik dan sahsiah golongan pelajar tersebut. Demikian harapan dilontarkan Pengetua Maahad Integrasi Tahfiz Sains & Teknologi (MITIB), Anas Ayob dalam satu Majlis Penyerahan Biasiswa Yayasan Selangor kepada 223 pelajarnya di sini pagi ini. "Usaha ini menunjukkan komitmen yang baik daripada Kerajaan Negeri kepada anak-anak tahfiz. "Semoga dengan bantuan sebegini, golongan pelajar yang berlatarbelakangkan pendidikan Al-Quran mampu menjadi golongan professional pada masa akan datang seterusnya dapat menjelmakan mimpi kami menjadi nyata," ujar Anas. Pengurus Kanan Yayasan Selangor, Baharudin Ali Masrom dalam ucapannya berkata, pihaknya memperuntukkan RM 3 juta yang akan diberi kepada 2, 516 pelajar seluruh Selangor dalam bentuk biasiswa. "Dengan bantuan seperti ini, diharap pelajar dapat memacu kecemerlangan akademik dan sahsiah diri mereka bagi membentuk generasi masa depan yang lebih berketerampilan. "Susulan daripada biasiswa hari ini juga, insyaAllah kita akan merangka satu kem motivasi bina semangat bagi pelajar-pelajar MITIB yang akan dianjurkan dalam semester ini juga," ujar beliau. Sementara itu, Exco Pendidikan, Dr. Halimah Ali yang turut hadir menyempurnakan majlis penyerahan biasiswa tersebut berkata Kerajaan Pakatan komited untuk membantu setiap golongan pelajar yang berpotensi tanpa mengamalkan sebarang sikap prejudis. "Sebab itu kita meminta agar Yayasan Selangor melakukan penjenamaan semula dan jangan hanya fokus pada sekolah-sekolah aliran utama sahaja sebaliknya pandanglah sekali pelajar-pelajar sekolah tahfiz ini yang mana kesemua mereka ini adalah pelajar cemerlang, terpilih dan terbukti terbaik," jelas Dr. Halimah dalam ucapannya. Penyerahan biasiswa ini merupakan sebahagian daripada program Rancangan Khas Pendidikan Kementerian Pelajaran Malaysia – Yayasan Selangor (RKPYS) yang dilancarkan pada tahun ini. MITIB juga bertuah apabila dipilih sebagai sekolah pertama yang akan menerima kemudahan seperti biasiswa, tajaan kelas bimbingan, program akademik dan pembangunan sahsiah di bawah program tersebut. Sebanyak 223 pelajar Tingkatan 3, 4 dan 5 dari MITIB menerima sumbangan biasiswa yang keseluruhannya berjumlah RM 172,000. Namun, setiap pelajar menerima jumlah berbeza bergantung kepada pendapatan per kapita keluarga pelajar. MITIB ditubuhkan Kerajaan Negeri pada tahun 2008 untuk mendidik dan membentuk generasi Al-Quran dan ia bergantung sepenuhnya kepada peruntukan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk pembiayaan kos operasinya. | ||
Anwar Tuntut Mohon Maaf Dari NST, Berita Harian Posted: 25 Jun 2012 04:06 AM PDT KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menuntut permohonan maaf daripada dua akhbar pro-Umno-BN kerana menyiarkan dakwaan yang beliau memilik akaun induk yang menyimpan RM 3 bilion. Anwar menuntut agar akhbar The New Straits Times dan Berita Harian memohon maaf dalam masa 24 jam atau hadapai tindakan saman fitnah. Anwar telah memfailkan notis tuntutan tersebut melalui Tetuan Edwin Lim Suren & Soh, bagi menuntut permohonan maaf berhubung artikel berkenaan. MP Subang, R. Sivarasa berkata sekiranya kedua-dua akhbar itu gagal menjawab tuntutan berkenaan dalam tempoh 24 jam, pihaknya tidak teragak-agak untuk meneruskan saman fitnah. Tutuntan berkenaan dibuat ekoran penyiaran artikel di muka depan kedua-dua akhbar itu pada 21 Jun. Artikel itu mendakwa Anwar, mengarahkan bekas Pengarah Siasatan Badan Pencegahan Rasuah (BPR), Abdul Razak Idris membuat Akuan Bersumpah (SD) agar tidak mengaitkannya dalam siasatan berhubung akaun berkenaan. Di dalam laporan itu, bekas Penolong Gabenor Bank Negara Datuk Abdul Murad Khalid mendakwa Anwar mengawal sebanyak 20 akaun induk membabitkan aset, saham dan wang yang keseluruhannya bernilai lebih RM3 bilion. Sebelum ini Anwar mengedarkan kepada media salinan SD Abdul Razak bertarikh 10 November 2010 yang menyatakan siasatan bagi kes berkenaan ditutup kerana tiada kes. Anwar pada persidangan Dewan Rakyat minggu lalu menafikan dakwaan-dakwaan tersebut dan mencabar SPRM agar menyiasat semula dakwaan tersebut. | ||
Posted: 25 Jun 2012 04:04 AM PDT Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata PAS tidak akan sesekali termakan pujuk rayu Umno yang dilihat cuba 'mengurat' PAS apabila mereka kini dalam keadaan sangat lemah.Sebaliknya, PAS akan tetap bersama PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat bagi berjuang menentang ketidakadilan yang dilakukan pemerintah negara ini. Menurut beliau, walaupun Umno itu parti Melayu, tetapi PAS tetap menentangnya kerana kezaliman dan kemungkaran yang dilakukan mereka sejak 54 tahun memerintah. "Walaupun Umno kata Melayu tak boleh tentang Melayu, tapi Islam ajar kita supaya menentang kezaliman walaupun datang dari kaum kita sendiri. "Ajaran Melayu Umno, perangai hodoh tak apa, rasuah tak apa, atas nama orang Melayu, tetapi ajaran Islam tidak begitu," katanya. Beliau berkata demikian ketika berceramah di Himpunan Hijau ke Putrajaya peringkat negeri Melaka malam tadi. Lebih 3,000 hadir pada ceramah di perkarangan Surau Ustaz Ali, Permatang Pasir, Alai yang turut dihadiri Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu. Mengulas lanjut Mustafa (gambar) yang mengambil pentas sebelum Mohamad berkata, Islam juga mengajar umatnya boleh bersama siapa sahaja demi menentang kemungkaran dan menegakkan keadilan. "Sebab itu kita bersama PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat. "Kita menentang Umno sebab mereka tidak menegakkan keadilan sebagaimana di perintah Allah," katanya. Umno kini katanya dalam keadaan sangat lemah dan terpaksa 'mengorat' PAS untuk mengembalikan sokongan kepada mereka atas nama parti orang Melayu. Bagaimanapun tegasnya, PAS sudah matang dengan taktik dan perangai Umno itu dan sesekali tidak akan menjalin kerjasama politik dengan parti itu. "Abg Mat (Mohamad Sabu) berapa kali dia kena ISA siapa buat, Umno yang buat. "Kenapa Umno buat kepada orang Melayu, sebaba waktu nak ISA dia tak kira dah Melayu, tapi sekarang bila lemah sibuk cari PAS atas nama Melayu. "Sebab itu walaupun ada usaha Umno nak mengorat kita, kita kata no!," tegasnya. Dalam pada itu, mengulas kehadiran malam tadi, Mustafa menyifatkan ianya suatu kebangkitan rakyat Melaka yang sangat berbeza dari sebelumnya. Sambutan luar biasa sejak kebelakangan ini katanya bukan sahaja memeningkan Pengerusi Umno negeri Datuk Seri Ali Rustam malah juga membimbangkan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak. | ||
PAS: Silalah siasat Anwar & Nik Aziz! Posted: 25 Jun 2012 03:54 AM PDT Selepas dua minggu Datuk Seri Anwar Ibrahim dikaitkan semula dengan kontroversi skandal pemilikan aset sejumlah RM3 bilion, PAS sebagai sekutu pakatan pembangkang menyatakan persetujuan agar Ketua Pembangkang itu disiasat pihak berkuasa. Pendirian berkenaan disuarakan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub yang mengalu-alukan Suruhanjaya Pencegahan Rasual Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap dakwaan bekas Penolong Gabenor BankNegara, Datuk Abdul Murad Khalid kira-kira 13 tahun lalu berhubung pemilikan 20 akaun induk bernilai RM3 bilion. "Kita tidak mempunyai masalah untuk mana-mana pihak menjalankan siasaatan atas apa-apa tuduhan dan itu adalah pendirian PAS," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, Isnin. Malah Salahuddin (gambar) turut mencabar SPRM agar menjalankan siasatan terhadap Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Anwar pada persidangan Dewan Rakyat minggu lalu menafikan dakwaan tersebut malah mencabar SPRM agar menjalankan siasatan semula bagi kes berkenaan. Bagaimanapun Anwar memberitahu Dewan Rakyat bahawa menerusi Akuan Bersumpah (SD) yang dibuat oleh bekas Pengarah Siasatan Badan Pencegahan Rasuah (BPR), Abdul Razak Idris pada ketika itu jelas menunjukkan siasatan bagi kes berkenaan ditutup kerana tiada kes. Bukan itu sahaja, Abdul Murad juga baru-baru ini dilaporkan menyatakaan kesediaan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa, jika dikehendaki, berhubung dengan pengendalian akaun-akaun sejumlah RM3bilion yang beliau percaya melibatkan Anwar. | ||
Dewan Pemuda PAS: Hala tuju menjelang taufan Posted: 25 Jun 2012 03:32 AM PDT Chong Fah Hing Tatkala pemimpin MCA bercelaru menangkis pelbagai persoalan dan permasalahan yang dilemparkan oleh masyarakat Cina sendiri menjelang PRU13 dengan respons yang cukup lucu dan melucukan, dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) SUARAM lincah menyerang amalan rasuah menyabit kes pembelian kapal selam Scorpene, DAP galak meletupkan meriam biarpun kuasanya tak seberapa, PKR pula membelasah bertubi-tubi sang lembu hidup yang menghuni kondominium hingga ia terputus nyawa. Pada saat-saat inilah, sudah tentu ramai akan bertanya: Isu apakah yang menjadi prihatin PAS, sebuah parti siasah yang memang terkenal dengan disiplin yang cukup mengagumkan itu? Ya, pada saat-saat menjelang ribut PRU 13, isu apakah yang menjadi modal parti PAS? Atau apakah mungkin PAS tidak perlu bergantung kepada strategi politik seumpama ini? Dalam dua kali perhimpunan BERSIH tahun lalu dan tahun ini, yang memimpin orang awam dan pelbagai NGO bukanlah dari kalangan pemimpin PAS, tetapi adalah terbit dari usaha dan inisiatif NGO sendiri, meskipun tidak boleh dinafikan penyertaan ahli PAS dalam kedua-dua perhimpunan tersebut amatlah tinggi. Tidaklah salah dirumuskan bahawa PAS pada masa kebelakangan ini adalah bergerak mengikut rentak yang dimainkan oleh parti sepakatan. Dengan kata lain, upaya tindak yang terbit dari PAS sendiri tidaklah begitu jelas. Kita nampak sekali-sekala ia berganding dengan PKR dalam isu "Lembu Kondo", ataupun sekali-sekala duduk berhimpit-himpit dengan wakil DAP sambil berduet dalam sandiwara sidang media di lobi parlimen. Selain itu, tidak nampak ada tindakan lain yang mampu mencuri perhatian umum. Justeru, gejala tersebut cukup membingungkan sekaligus menarik perhatian kita terhadap perhitungan dan mainan strategi yang cuba dilancarkan oleh PAS dalam saat-saat yang amat genting ini. Membantah Negara Syiria Menekan Puak Protes Pada tanggal 20 Januari tahun ini, kita menyaksikan Dewan Pemuda PAS (DPP) di bawah pimpinan Ketuanya Nasruddin Hassan Tantawi (gambar bawah) buat kali ketiga mengetuai rombongan bantahan ke kedutaan Syria di Kuala Lumpur untuk menyerahkan memorandum bagi membantah regim Bashar al-Assad kononnya bertindak sewenang-wenang membunuh orang awam dan kuasa protes. Pada masa yang sama DPP menyeru Presiden Bashar al-Assad meletak jawatan serta-merta. Gimik seumpama ini menyingkap tirai sesudah Amerika Syarikat mengisytiharkan regim Bashar tidak sah ekoran kehilangan kredibiliti politiknya. Wacana dan tindakan seumpamanya tampak semakin bertambah dan menjadi-jadi. Pada 10 Jun, New York Times menjadikan Bashar al-Assad sebagai topik utama, secara licik menggembar-gemburkan isu regim Bashar menangani protes orang kebanyakan dan pihak lawan dengan menggunakan senjata dan kekerasan. Di samping itu, liputan turut menonjolkan latar keturunan golongan Syiah Alawiyyah Bashar al-Assad dengan tujuan untuk menterjemahkan konflik dalaman Syria kepada wacana konflik geo-politik yang melibatkan gerakan penghapusan dan pembersihan etnik. Tak dijangkakan, Dewan Pemuda PAS memilih masa ini untuk menyatakan bantahan terhadap Syria, disulami dengan sebab-sebab kemanusiaan yang cukup gah bunyinya. Disebabkan gentar dengan ugutan Amerika, ataupun berpada-pada terhadap usaha pembangunan kuasa nuklear di Iran, hampir kesemua negara Arab tiada pilihan lain melainkan terpaksa berpihak kepada Amerika, kecuali Syria dan Iran masih berdegil enggan tunduk kepada telunjuk kuasa imperialis tersebut. Malah tidak melayan langsung gagasan Orde Dunia Baru (New World Order) yang didendangkan oleh Amerika Syarikat. Tidak sekadar itu, pemerintahan Bashar bertindak memberi perlindungan kepada Hezbollah, Hamas serta puak kiri yang anti-Amerika dan Israel. Hezbollah ditubuhkan oleh rakyat Palestine dengan tujuan menentang Israel kerana menakluki daerah selatan negara tersebut. Ia adalah sebuah badan politik dan militia Islam yang ditubuhkan pada awal tahun 1980-an atas bantuan Tehran. Manakala Hamas yang ditubuhkan pada 1987 dengan tujuan menentang Zionis Yahudi. Kedua-dua badan tersebut membawa misi utama untuk menghapuskan Israel. Sudah tentu ini menjejaskan kepentingan ekonomi dan strategic planning Amerika di wilayah Timur Tengah. Justeru, pencerobohan kuasa luar ke atas konflik dalaman Syria adalah perkara yang memang boleh diduga. Kemusykilan yang dibangkitkan oleh kolumnis Amin Iskandar memanglah berasas apatah lagi perlu direnungi sebaik-baiknya. Soal beliau, "Mengapa pula kebangkitan rakyat Syria dengan menggunakan senjata? Jika tidak ada tajaan kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan Israel, kumpulan pemberontak tidak akan mampu mempunyai bekalan senjata yang sebegitu canggih." Justeru, beliau secara tak langsung mengingatkan Pemuda PAS agar jangan terpengaruh dengan pemikiran mazhab yang diperlagakan oleh Amerika, sekaligus "mengambil garis untuk bersama-sama menjatuhkan Bashar al-Assad". Dalam hal ini, walaupun mantan Menteri Penerangan Zainuddin Maidin (gambar kiri) turut menganjurkan peringatan yang sama, namun tujuan asasnya adalah memberi amaran kepada penganut Islam di negara ini supaya jangan sekali-kali mencontohi penduduk di bumi Arab, tergamak bertindak memperjuangkan Regime Change. Bagi Zainuddin, Arab Spring adalah diperalatkan oleh kuasa besar untuk "matlamat 'Regime Change' yang menumpahkan darah tetapi digambarkan sebagai indah dengan istilah 'Arab Spring' atau Musim Bunga di dunia Arab." Cara beliau menanggapi Arab Spring cukup bias, sekaligus mencerminkan beliau bercakap bagi pihak kerajaan Najib bagi menghadapi tekanan tuntutan pilihanraya bersih dan telus. Merintis Acuan Kepimpinan Ulama Dalam sejarah perjuangan PAS, prihatin dan keterlibatan PAS terhadap isu-isu antarabangsa bukanlah perkara yang lumrah baginya. Sejak penubuhannya sebagai sebuah badan siasah pada tahun 1956 sehingga kini, ia dalam kebanyakan masa adalah hidup dalam keadaan terhimpit oleh UMNO. Walaupun dalam pilihanraya umum pada tahun 1959 dan 1999, PAS mendapat keputusan yang agak baik di mana ia berjaya menubuhkan kerajaan negeri di Kelantan dan Terengganu, tetapi tidak dapat membawa makna yang jitu kepada PAS untuk membongkar kebuntuan yang dialaminya selama ini. Pendek kata, setiap kali ia kembali mengumpul kekuatannya, UMNO akan menunggu dan mencari jalan untuk melemah dan melumpuhkan PAS. Menurut analisa sarjana Melayu sendiri, pada tahun 1959, Dr. Burhanuddin al-Helmy yang baru sahaja menyertai PAS berganding dengan Timbalannya Zulkifli Mohammad. Gandingan ini telah memperoleh kejayaan yang luar biasa dalam pilihanraya yang diadakan pada tahun tersebut. PAS pada ketika itu berada pada tahap yang cukup kuat. Tetapi sukar dipercayai bahawa Zulkifli Mohammad meninggal dunia secara mengejut akibat nahas jalan raya sejurus beberapa hari keputusan pilihanraya diumumkan. Mengikut kajian sarjana, ada pihak tertentu yang dikatakan mengusik kenderaan yang digunakan oleh Zulkifli. Setelah kehilangan orang kanan yang hebat, sejak itu Burhanuddin al-Helmy sukar membawa PAS mengejar satu lagi mercu kejayaan yang lain. Memasuki era 1970-an, tatkala PAS adalah parti komponen dalam Barisan Nasional, Timbalan Presiden pada ketika itu, Haji Yusof Rawa telah ditugaskan sebagai Duta Malaysia ke Iran. Pada tempoh inilah, PAS mula menunjukkan prihatin yang besar terhadap isu dan permasalahan antarabangsa. Misalnya pada tahun 1979, pemimpin ulama Iran, Imam Ayatollah Khomeini mengepalai revolusi Iran menjatuhkan regim Dinasti Pahlavi lalu menubuhkan kerajaan Republik. Perkembangan ini membawa suntikan semangat yang menggalakkan kepada PAS. Revolusi Iran yang dipimpin oleh ahli ulama turut menjadi contoh Kepimpinan Ulama parti PAS. Menyeru Serius menghadapi Revolusi Iran Pada zaman kanak-kanak dan remaja, Haji Yusuf Rawa menerima pendidikan sekolah Melayu di Pulau Pinang. Sejurus tamat sekolah Melayu, beliau memasuki Government English School dan Penang Free School sehingga memperoleh sijil Junior Cambridge. Sesudah itu, ayahnya menghantar beliau belajar agama di Makkah. Haji Yusof Rawa (gambar kanan) muncul dalam barisan kepimpinan PAS pada ketika jalur perjuangan nasionalis dan jalur perjuangan Islam hangat diperdebatkan dalam PAS pimpinan Mohd. Asri Muda. Pada ketika itu jugalah, Anwar Ibrahim, Ketua ABIM bertindak merungkai ikatan dengan PAS lalu menyertai UMNO. Pada saat yang genting inilah, Haji Yusof Rawa berganding dengan Ustaz Haji Fadzil Noor dan Hassan Shukri bersama-sama mengemudi bahtera PAS menghadapi ombak siasah yang ganas pada dekad 1980-an. Ustaz Haji Fadzil Noor adalah orang kanan Anwar Ibrahim dalam ABIM. Dalam membuat keputusan menerjunkan diri ke dalam arena politik, Ustaz Haji Fadzil memilih jalan yang berbeza dengan Anwar. Beliau sanggup menanggung risiko dipecat dari jawatannya sebagai pensyarah universiti lalu terus menyertai PAS tatkala ia dalam keadaan yang tersepit. Pada peringkat ini, kita menyaksikan ketinggian semangat dan idealisme politik yang ditunjukkan pemimpin PAS. Haji Yusof Rawa menyeru orang Melayu mengambil prihatin dan serius terhadap revolusi di Iran. Ini adalah tanda permulaan PAS menceburi isu-isu dan permasalahan antarabangsa, kendatipun keprihatinannya terbatas pada lingkungan dunia Islam. Kepimpinan beliau mendapat sokongan masyarakat Melayu luar bandar. Ketika Mahathir Mohamad bertindak merombak Perlembagaan untuk menyekat kuasa Raja-Raja Melayu, Haji Yusuf Rawa secepatnya mengambil peluang keemasan ini untuk mengukuhkan kedudukan PAS serta merancakkan gerakan islah dalam kalangan Melayu luar bandar. PAS mampu bangkit pada tahun 1980-an dan kembali perkasa seperti masa kini, sebetulnya berkait rapat dengan keistimewaan personaliti Haji Yusof Rawa, iaitu sikap keterbukaan, kesederhanaan, bijaksana, tenang, pengalaman pendidikan pelbagai aliran, penguasaan pelbagai bahasa dan pengalaman uniknya dalam urusan antarabangsa. Apakah pemimpin pelapis PAS hari ini, khususnya Pemuda PAS mempunyai ciri-ciri pemimpin generasi terdahulu yang disebutkan itu? *Chong Fah Hing adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Bahasa Asing, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia. Beliau juga menulis di ruangan pojok MerdekaReview edisi Bahasa Cina. | ||
Laporan polis terhadap MB Perlis Posted: 25 Jun 2012 03:27 AM PDT Ketua Pemuda Umno cawangan Bandar Arau membuat laporan status Phd milik Mohd Isa. KANGAR: Seorang ahli Pemuda Umno Arau membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Mohd Isa Sabu mengenai status ijazah doktor falsafah (Phd) beliau. Syed Atif Syed Abu Bakar yang juga Ketua Pemuda Umno cawangan Bandar Arau membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar tengah hari tadi. "Menteri Besar telah menggunakan gelaran itu dalam dokumen dan majlis rasmi kerajaan negeri dipercayai diperolehi dari sebuah institusi pengajian tinggi yang tidak mendapat tauliah atau akreditasi daripada agensi pemberi tauliah yang diamanahkan oleh kerajaan Malaysia mahupun kerajaan Amerika Syarikat. "Saya membuat laporan ini supaya pihak polis dan kerajaan Malaysia menyiasat status Phd milik Mohd Isa atas dasar intergriti yang berkaitan dengan unsur-unsur jenayah penghinaan akademik yang serius dan menyalahi undang-undang negara," katanya dalam laporan polis tersebut. Atif berkata, rakyat Perlis bercakap mengenai status Phd milik Menteri Besar itu. "Sebelum ini, kami mengadakan peraduan menawarkan hadiah RM10, 000 dalam Facebook untuk membolehkan orang ramai mengesahkan status Phd tersebut. "Bagaimanapun, selepas peraduan itu dibuat lawan web rasmi kerajaan negeri telah mengeluarkan gelaran Phd tersebut," katanya. Ahli Umno Pauh, Abdul Halim Sani yang hadir sama di IPD Kangar hari ini mendakwa Mohd Isa menggunakan Phd dari Universiti New Port, Amerika Syarikat. Bagaimanapun, menuurt Syed Atif, universiti tersebut tidak wujud sama ada di Amerika Syarikat atau di tempat lain. | ||
Pemimpin BN mahu PRU, letih karenah ahli perniagaan dan persatuan Posted: 24 Jun 2012 10:09 PM PDT KUALA LUMPUR — Letih dan penat dengan ugutan berterusan daripada kumpulan tertentu, pemimpin Barisan Nasional (BN) yang kini berhadapan ancaman daripada pelbagai pihak termasuk ahli perniagaan, kesatuan, dan pemimpin atasan, mereka tidak lagi mahu menunggu pilihan raya umum ditunda lebih lama. Sumber berkata kepada The Malaysian Insider, konsensus antara menteri dan pemimpin BN mahukan pilihan raya lebih awal berbanding diadakan pada penghujung tahun. Alasannya: pengundi mengetahui bahawa pilihan raya kali ini amat sukar untuk Umno/BN, jadi menteri berada di bawah tekanan untuk memberikan kontrak, lesen, kebenaran, permit AP, dan banyak lagi. Jika menteri dilihat enggan melaksanakan permintaan pemimpin berpengaruh dan kumpulan tertentu, sumber menjelaskan mereka mungkin akan kehilangan sokongan dan tewas kepada Pakatan Rakyat (PR) yang berhasrat menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang selepas kejayaan mereka pada 2008. "Lagi cepat lagi bagus. Pemimpin BN menjangkakan Jun atau Julai, namun berdasarkan situasi sekarang pilihan raya berkemungkinan selepas pembentangan Bajet, dan akan memberikan lebih tekanan kepada mereka," kata sumber kepada The Malaysian Insider. Pembentangan Bajet 2013 akan dibentangkan pada 28 September. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (gambar) tidak memberikan sebarang tanda bila pilihan raya akan dilakukan, namun berkata berkemungkinan pada musim Haji pada 26 Oktober. Menteri-menteri daripada BN merasakan jika pilihan raya akan dilaksanakan dalam masa terdekat, kerajaan masih akan tetap menang, namun bukan dua per tiga majoriti dewan, sebaliknya lebih baik daripada ketika zaman pemerintahan Tun Abdullah Badawi pada 2008. "Menunggu sehingga hujung tahun mempunyai risiko yang besar dan melembabkan ekonomi, sekaligus mencetuskan kebimbangan berlakunya lebih banyak perbalahan merebut kerusi dan kuasa di samping "ancaman dan tuntutan" daripada broker kuasa dan kesatuan," kata sumber lain. Beliau menjelaskan, tiada mana-mana pihak dalam BN, sama ada menteri, atau pakar strategi, percaya pilihan raya akan berlalu, walaupun Najib berkata mereka mampu menawan dua per tiga majoriti dan memenangi kesemua negeri termasuk Kuala Lumpur. BN tewas empat kerusi – Kedah, Pulai Pinang, Perak dan Selangor – serta gagal menawan Kelantan in 2008. Mereka berjaya menawan kembali Perak pada Februari 2009 selepas beberapa pemimpin PR keluar parti, dan memberikan majoriti kepada BN. The Malaysian Insider difahamkan, pemimpin BN mengakui agak sukar menawan kerusi di bandar terutamanya di kawasan Pantai Barat Semenanjung Malaysia. Penggunaan kekerasan yang keterlaluan dalam perhimpunan Bersih turut mengurangkan sokongan kepada BN. Turut terdapatnya kebimbangan terhadap kedudukan Menteri Besar di Johor, Kedah dan Perlis. Umno berharap agar mereka akan berjaya menawan semula Kedah dengan timbalan menteri Datuk Mukhriz Mahathir menjadi pilihan utama untuk calon menteri besar walaupun beliau tidak memegang jawatan di peringkat negeri, dan Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman telah berada di posisi tersebut sejak 1995. "Banyak yang berebut kerusi menteri besar dan ia amat memeningkan Najib," kata sumber, dan menambah, senarai calom menteri besar telah pun diserahkan. Pilihan raya harus dilakukan sebelum April depan, ataupun Parlimen akan dibubarkan secara automatik, dan pilihan raya perlu dilaksanakan dalam tempoh 60 hari. Mereka yang rapat dengan Najib berkata perdana menteri itu amat berhati-hati agar mereka beroleh kemenangan dan tidak berkongsi kekalahan seperti Abdullah pada 2008. Ramai yang menyalahkan Abdullah atas kekalahan mengejut tersebut terutamanya Tun Dr Mahathir Mohamad, dan Najib sedang berusaha untuk memastikan sokongan kembali semula kepada kerajaannya, yang memerintah sejak Merdeka dengan nama Perikatan. "Najib berkata pilihan raya adalah umpama perang dan perlu bersedia untuk berperang. Pilihan raya tidak dipanggil menunjukkan mereka masih lagi belum bersedia," kata pakar strategi BN kepada The Malaysian Insider. Beliau menjelaskan dengan populariti Najib kekal pada 65 peratus, dalam kaji selidik Merdeka Centre, kerajaan tidak sepopular beliau apabila hanya memperolehi 46 peratus penerimaan berdasarkan kaji selidik selepas Bersih pada 28 April. Hasil kaji selidik itu bagaimanapun tidak menunjukkan hasil penerimaan terhadap Umno, namun, difahamkan ia berada di tahap lebih rendah. Seorang pemimpin BN menjelaskan, semasa Dr Mahathir menjadi tidak popular selepas memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim in 1998, Umno dan BN tetap diterima dan menerima undi dan membentuk kerajaan dengan kuasa dua per tiga majoriti, walaupun tewas Terengganu. Beliau menjelaskan, pada masa Abdullah menerima 71 peratus penerimaan pengundi dan mengadakan pilihan raya pada 2008, beliau tetap tewas kuasa majoriti dan empat negeri. Sekitar 12 juta layak mengundi pada pilihan raya kali ini, peningkatan berbanding sembilan juta pada 2008. Menurut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sekitar 40 peratus daripada jumlah itu adalah pengundi muda. | ||
Putrajaya bakal perkenal insurans pertanian Posted: 24 Jun 2012 10:06 PM PDT KUALA LUMPUR— Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar (gambar) hari ini mengumumkan Putrajaya dijangka akan memperkenalkan insurans pertanian bagi membantu para petani untuk melindungi hasil tanaman mereka daripada ancaman iklim dan bencana alam yang tidak menentu. Dalam sidang media kepada pemberita hari ini, Noh menjelaskan, insurans tersebut perlu dilaksanakan kerana kerajaan jelasnya telah membelanjakan jumlah yang besar dengan nilai hampir RM 1 Billion sejak 2007 bagi membantu pesawah yang ditimpa musibah bencana alam. "Kementerian akan perkenalkan insuran pertanian bagi membantu petani yang mengalami kerugian akibat bencana alam dengan iklim yang tidak menentu sekarang ini. "Kita sudah serahkan kepada Kabinet untuk melaksanakan "pilot test" terhadap pesawah, bagaimanapun, Kabinet meminta kementerian untuk mengkaji dengan lebih terperinci dan kemungkinan insurans tersebut juga akan turut disediakan kepada tanaman lain," katanya. Menurut Noh, pihaknya diberikan tempoh dua minggu bagi menyelesaikan perkara itu dan perbincangan masih lagi sedang dijalankan dengan Kementerian Kewangan dan Bank Negara. Setakat empat tahun lalu, melalui bantuan subsidi dan wang ehsan, Noh turut menjelaskan, kerajaan telah memperuntukkan hampir RM 1 Bilion untuk membantu petani. "Bagaimanapun, jumlah itu tidak mampu menampung kos sebenar petani." Beliau turut menyelar pembangkang, terutamanya PAS, yang telah mengemukakan Resolusi Himpunan Hijau Pesawah di Bagan Serai yang mendesak kerajaan supaya menambah 50 peratus subsidi untuk golongan berkenaan. "Himpunan tersebut telah mengemukakan lapan resolusi, dan antaranya adalah menuntut kerajaan mewujudkan insurans pertanian. Saya ingin menegaskan, kerajaan telah memulakan kajian mendalam terhadap insurans pertanian ini sejak 2010, bukan berdasarkan resolusi mereka. "Selain itu, mereka turut meminta tambahan 50 peratus subsidi untuk padi. PAS tidak faham, setiap tan padi, kerajaan belanjakan RM248.10 untuk subsidi, itu pun PAS minta tambah. Jelas Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor ini lagi, kerajaan BN bukan sekadar hanya memberikan subsidi untuk meningkatkan hasil padi, sebaliknya turut memberikan insentif galakan kepada petani untuk berusaha meningkatkan produk pertanian mereka. "Kerajaan belanja RM500 juta setahun untuk subsidi padi. Subsidi kita tetap beri, tapi insentif akan diberikan untuk menggalakkan petani berusaha meningkatkan hasil pertanian mereka. "Setiap tan yang dapat ditingkatkan, kerajaan bayar RM650 per metrik tan. Melalui pendekatan hasil padi ini sahaja, yang diperkenalkan pada 2007, kerajaan sudah membelanjakan RM400 juta, campur dua-duanya, hampir RM1 bilion," tegasnya lagi. | ||
MB: Kedah lulus empat lesen hiburan baru Posted: 24 Jun 2012 10:02 PM PDT MALAYSIA KINI Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak hari ini mengesahkan kerajaan negeri baru-baru ini telah mengeluarkan empat lesen baru kepada pengusaha pusat hiburan. Azizan berkata kerajaan negeri tidak boleh menghalang rakyat negeri ini untuk berhibur tetapi perjalanan pusat-pusat tersebut adalah dalam kawalan pihak berkuasa tempatan. "Kita bagi lesen untuk hiburan tetapi di bawah kawalan kerajaan negeri termasuk kawalan keselamatan, tatasusila dan sensitiviti kaum...," katanya ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar yang mendakwa kemunculan pusat-pusat hiburan 'secara berleluasa' di negeri ini. Azizan berkata untuk rekod, di Alor Setar hanya empat pengusaha pusat hiburan itu dalam proses untuk memulakan perniagaan dan mereka diberikan lesen baru. Selebihnya adalah pusat hiburan yang hendak aktif semula setelah lama tidak beroperasi. Azizan tidak pula menyatakan jumlah pusat hiburan yang kembali aktif. Azizan berkata semua pengusaha berkenaan akan diberi taklimat minggu depan mengenai etika perjalanan dan operasi pusat hiburan mereka. Taklimat ini turut disampaikan pihak berkuasa tempatan dan polis. "Kita akan panggil semua pengusaha pusat hiburan yang lama dan baru, tidak adil kalau kita bertindak terus, tetapi jika (selepas ini) mereka melanggar peraturan dan syarat ditetapkan, kemudian baru kita bertindak," jelas Azizan. Diminta mengulas mengenai dakwaan wujudnya sebuah pusat hiburan baru terbesar di Mergong, Azizan berkata beliau tidak tahu tentang kewujudan pusat itu. - Bernama | ||
Najib: Abaikan label 'pendatang' Posted: 24 Jun 2012 09:53 PM PDT Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menggesa masyarakat Cina supaya tidak tersinggung dengan golongan yang memanggil mereka sebagai pendatang kerana kenyataan itu dibuat oleh "yang tidak berapa betul." Katanya golongan yang mengeluarkan kenyataan seperti itu berniat untuk melukakan perasaan masyarakat Cina dan pentadbirannya tidak berkongsi pandangan sebegitu. Dalam masyarakat mana sekalipun wujud segelintir individu seperti itu, katanya dalam dialog bersama kira-kira 2,000 anak muda masyarakat Cina di Universiti Malaysia petang ini. Najib berkata demikian ketika menjawab satu soalan daripada peserta berkenaan berhubung tindakan kerajaan ke atas golongan yang memanggil mereka sebagai pendatang. Katanya lagi, malah di negara maju seperti Amerika Syarikat wujud seorang penceramah agama daripada gereja kecil di Florida yang mahu membakar al-Quran. Tambahnya, pentadbiran beliau mengiktiraf golongan Cina sebagai warga Malaysia sepenuhnya di negara ini. | ||
Isu Scorpene: Tiada sepina ke atas PM, kata Khairy Posted: 24 Jun 2012 09:52 PM PDT Ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata sehingga ke hari ini, tiada sepina yang mengarahkan perdana menteri untuk tampil ke mahkamah di Perancis berhubung dakwaan rasuah dalam pembelian kapal selam Scorpene. Oleh itu dakwaan rasuah dalam pembelian dua kapal selam berharga RM7.3 bilion itu tidak melibatkan Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan Malaysia, katanya. "Yang kena saman bukan perdana menteri atau kerajaan Malaysia. Tapi cuma sebut (nama) sahaja. "Sampai ke hari ini, tidak ada sepina yang meminta perdana menteri tampil ke mahkamah," kata Khairy semasa menjawab pertanyaan daripada seorang peserta Bengkel Sukarelawan Pemuda BN (BNYV) di PWTC petang ini. Bercakap dalam program yang dihadiri kira-kira 300 orang, Khairy berkata, isu berhubung kapal selam ini juga telah banyak kali dijawab semasa perbahasan di Parlimen. Khairy juga berpandangan bahawa isu tersebut hanya merupakan kes diantara seorang peguam Perancis dengan syarikat pertahanan di negara itu, DCNS. "Tapi mereka seolah-olah buat (isu) seperti ini kes menentang perdana menteri. "Ini adalah kes antara seorang peguam Perancis dengan satu syarikat Perancis yang melibatkan kita tetapi bukan kita yang didakwa dalam kes tersebut," kata Khairy lagi. Suaram pada 2010 memfailkan kes terhadap gergasi pertahanan Perancis DCNS atas dakwaan membayar komisen secara tidak sah kepada pegawai tertinggi Malaysia dalam penjualan dua kapal semalam Scorpene kepada kerajaan Malaysia sepuluh tahun lalu. Hakim dalam inkuiri tersebut menerima senarai saksi yang dikemukakan NGO Suaram, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Menurut Suaram, pendengaran itu bagi mengesahkan aduan dan menetapkan keperluan untuk membuat siasatan kehakiman terhadap bayaran RM7.3 bilion yang berlaku ketika Najib menjadi menteri pertahanan. Peguam Suaram, Joseph Breham berkata, mahkamah negara itu yang menjalankan inkuiri berhubung urusniaga kapal selam Scorpene tersebut mempunyai kuasa memanggil semua pihak untuk membuat pengakuan dalam prosiding di negara itu. | ||
3 lelaki hilang di Taman Tun Abdul Razak Ampang Jaya Posted: 24 Jun 2012 09:36 PM PDT SINAR HARIAN Pegawai Pasukan Jabatan Pertahanan Awam Daerah Sentul, Izzar Kadir berkata dua lagi daripada mereka berusia 27 dan 30 tahun. "Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) menerima laporan pada 10.30 malam tadi dan terus memulakan operasi pencarian. Namun kami menghentikan operasi selepas beberapa jam berikutan keadaan yang terlalu gelap di kawasan itu," katanya ketika dihubungi hari ini. Beliau berkata operasi itu disambung semula 10 pagi ini dengan bantuan enam anggota JPAM, 10 anggota Balai Polis Hulu Klang dan tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Ampang. Izzar berkata mereka masih menyiasat sama ada ketiga-tiga lelaki berkenaan hilang semasa berjoging.- Bernama | ||
'Masalah permit, tapi ubatnya tayar' Posted: 24 Jun 2012 09:35 PM PDT ULASAN Lain yang sakit, lain pula ubatnya. Begitulah yang dapat ditafsirkan dalan subsidi TR1MA yang diberikan oleh kerajaan kepada pemandu teksi seluruh Malaysia. Semua masyarakat sedia maklum, masalah sebenar perkhidmatan teksi di Malaysia adalah berleluasanya permit teksi yang diberi kepada syarikat-syarikat, berbanding kepada pengusaha teksi individu. Kebanjiran permit teksi yang diberi kepada syarikat-syarikat menyaksikan mereka untung 'atas angin' di atas penat lelah pemandu teksi. Sebagai contoh, secara purata kadar sewa teksi sehari adalah RM50. Jika dikumpulkan selama sebulan, ia menjangkau RM1,500 (aama bayaran bulanan kereta 2.4 cc). Sedangkan syarikat hanya membayar sekitar RM 500-RM700 sebulan kepada bank untuk sebuah teksi. Dengan kata lain, syarikat secara mudah mengaut keuntungan sebanyak RM800/bulan/teksi. Jika sesuatu syarikat itu memiliki 100 buah teksi, mereka secara mudah mereka mengaut keuntungan sehingga RM80,000 tanpa menumpahkan sebarang keringat di jalan raya. Sedangkan daripada kerajaan berhempas pulas mengeluarkan peruntukan sebanyak RM32 juta setiap tahun kepada pemandu teksi, mengapa tidak kerajaan memansuhkan terus permit teksi kepada syarikat-syarikat dan bertindak sebagai pemudah cara kepada pemandu teksi ini untuk mendapatkan permit teksi individu. Jika ini dapat direalisasikan pemandu teksi ini dapat menjana pendapatan tambahan sekurang -kurangnya RM800 sebulan dengan hanya membayar bayaran teksi secara sewa beli kepada pihak bank yang mana jauh lebih murah daripada kadar sewaan teksi oleh syarikat. Kerajaan juga dapat menjimatkan peruntukan RM32 juta tadi untuk perkara lain yang lebih penting. Dengan wang lebihan tadi, pemandu teksi mampu melakukan penyelenggaran dan mencantikkan teksi mereka lagi. Jika teksi mereka cantik dan diselenggara secara sempurna, maka makin ramai akan memilih perkhidmatan mereka. Dengan keadaan sekarang di mana limpahan pengangkutan awam seperti bas, komuter, LRT, monorail, teksi dilihat tidak lagi menarik untuk dinaiki, maka jika mereka ini diberikan permit individu, rasa kepunyaan atau 'self of belonging' akan dapat diterapkan kepada mereka. Justeru itu, mereka akan merasa teksi itu adalah perniagaan mereka dan mereka akan mengusahakan perniagaan mereka secara bersungguh-sungguh dalam menghadapi persaingan semasa. Akhir kalam, kerajaan perlu melihat pendekatan jangka panjang daripada melakukan pendekatan jangka pendek dan bersifat popular semata. Hanya kerana untuk membeli undi pemandu teksi, kerajaan sanggup berhabis RM32 juta, berbanding memberikan mereka permit teksi yang mana dapat memberi pendapatan tambahan sehingga RM10,000 setahun kepada pemandu teksi. Adalah malang, selepas penubuhan Spad sebagai teraju kepada pengangkutan awam darat, kerajaan masih gagal menelusuri permasalahan sebenar pemandu teksi ini. Yang lebih malang lagi, yang sakitnya PERMIT, tapi ubatnya adalah TAYAR. Itulah pemikiran kerajaan 1Malaysia. MOHD IKHMAL MOHD ISKANDAR adalah lulusan BBA (Hons) Transport,UiTM, DBS (Transport) UiTM. Beliau merupakan penyelidik untuk kajian pengangkutan awam dan bas henti-henti kerajaan negeri Terengganu. | ||
NGO: Jangan pandang serong kenyataan Salahuddin Posted: 24 Jun 2012 09:32 PM PDT MALAYSIA KINI Persatuan Progresif India Malaysia (Mipas) menyeru pemimpin politik dan NGO supaya tidak memandang serong terhadap kenyataan Naib President PAS, Salahuddin Ayub mengenai isu Thaipusam sewaktu debat bertajuk "Demonstrasi Jalanan Mengukuh atau Meruntuh Demokrasi" baru-baru ini."Mipas ingin menegaskan kepada pemimpin politik dan NGO (supaya) jangan membuat keputusan menyeluruh berdasarkan sesuatu konteks sahaja. Kita perlu melihat secara menyeluruh apa yang Salahuddin ingin menjelaskan," kata Setiausaha Agung Mipas, Barathidasan Saminathan. "Apa yang beliau komen adalah bagaimana sesuatu perayaan agama seperti Thaipusam dan Maulidul Rasul boleh berlangsung dengan begitu aman tanpa kehadiran FRU, polis, DBKL dan pegawai penguatkuasa dengan sengaja mengadakan banyak sekatan jalan raya dan halangan serta menyusahkan rakyat dan penganjur . "Mipas berpendapat jika kita tidak dapat menerima pandangan Salahuddin terhadap kenyataan yang salah, maka adalah wajar untuk kita menegur beliau. "Tetapi adalah tidak baik dan tidak adil kita menentang semata-mata kerana beliau dari parti pembangkang serta pandangan beliau itu dari Pakatan Rakyat," katanya dalam satu kenyataan. Berikutan, tegasnya, Mipas menyeru agar masyarakat lebih bersikap terbuka dalam sesuatu kenyataan yang diperkatakan, agar tidak sempit, perlu lebih rasional dan melihat isu tersebut secara menyeluruh. "Janganlah kita sengaja memperbesarkan, mempolitikkan dan mensensasikan isu tersebut serta cuba meraih publicisi murahan," tambahnya. Minggu lalu, Pemuda MIC meminta Salahuddin memohon maaf kepada masyarakat India di negara ini kerana mengeluarkan kenyataan yang menyamakan perarakan sempena Thaipusam dengan demonstrasi jalanan. http://www.malaysiakini.com/news/201662 Ketuanya berkata Pemuda MIC juga telah membuat laporan polis terhadap Salahuddin, yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman dan berbaur hasutan. | ||
Borders dibenar cabar serbuan JAWI Posted: 24 Jun 2012 09:30 PM PDT Berjaya Books Sdn Bhd yang mengendali rangkaian kedai buku Borders, hari ini diberi kebenaran untuk mencabar tindakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) ke atas sebuah premisnya di Mid-Valley. Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Rayuan dan Kuasa Khas) Rohana Yusof membuat keputusan di dalam kamar hari ini, berhubung rampasan buku bertajuk Allah, Kebebasan dan Cinta oleh JAWI. Katanya, permohonan Berjaya Books bukan tuntutan pramatang, mempunyai merit, dan mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa ke atas perkara itu. Beliau juga menetapkan prosiding untuk semakan kehakiman pada 15 September. Turut dinamakan dalam permohonan tersebut ialah seorang penolong pengurus besar Borders, Stephen Fung Wye Keong (berkaca mata) dan pengurus kedai Borders Mid-Valley, Nik Raina Nik Abdul Aziz. Nik Raina pada 19 Jun lalu didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997, kerana mengedarkan penerbita yang bertentangan dengan Islam. Sekiranya sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara sehingga dua tahun, denda tidak lebih daripada RM3,000 atau kedua-duanya. JAWI menjalankan operasi ke atas kedai buku berkenaan pada 24 Mei – sekurang-kurangnya lima hari sebelum Kementerian Dalam Negeri menggazetkan pengharaman buku oleh penulis kelahiran Uganda, Irshad Manji. | ||
Abdul Khalid tetap pertahan Faekah Posted: 24 Jun 2012 09:27 PM PDT SHAH ALAM - Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin tidak akan dikenakan sebarang tindakan walau apa pun pendedahan melibatkan beliau, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. "Mereka tetap akan buat pendedahan sama ada betul atau tidak.. tetapi bagi saya tiada siasatan terhadap Faekah kerana dari segi kerja yang dia buat adalah telus. Kami mempercayai ketelusan dalam organisasi," katanya mengulas kenyataan Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafie yang mendesak Abdul Khalid menggantung sementara dan menyiasat Faekah mengenai isu surat sokongan. Abdul Khalid berkata, pendedahan terhadap Faekah itu bukan berpunca dari anggota dalaman PKR namun beliau tetap menerima pendedahan tersebut sebagai ketelusan dalam pentadbiran. Malah katanya, pendedahan itu tidak menimbulkan sebarang masalah kepadanya kerana berkemungkinan suatu hari nanti setiap aktiviti yang dilakukan Shuhaimi atau beliau sendiri akan didedahkan jika dikehendaki. Beliau juga tidak percaya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Muda itu berkompromi dengan Umno untuk melakukan desakan tersebut. "Tak ada, itu tak apa. Dari segi ketelusan kita terima, kita perlu terima ketelusan, esok pun akan berlaku ketelusan. Saya berpendapat perkara (pendedahan) ini baik kerana apa pun orang akan dapat tahu. "Jadi, kita telah menerima ketelusan dan kita juga akan menggunakan apa yang dipanggil Freedom of Information Act yang kalau kita laksanakan semua maklumat ini boleh didedahkan," katanya. Sementara itu, dalam satu program di Batu Caves, Abdul Khalid mencadangkan supaya polis menyediakan satu kaunter khas untuk menerima laporan pemimpin Umno. Katanya, kemudahan itu perlu untuk mudahkan polis asingkan tugas siasatan aduan berbaur politik dengan siasatan penting seperti jenayah. Menurutnya, cadangan itu juga perlu dikaji selepas terdapat segelintir pihak yang kerap membuat laporan polis untuk setiap kenyataan yang dikeluarkan dalam media. "Mereka jangan hanya buat laporan isu Faekah sahaja tetapi banyak lagi kes lain yang perlu dibuat laporan termasuk pimpinan Umno lain,"katanya. | ||
'Isu Lynas dan saya jadi mimpi ngeri MCA' Posted: 24 Jun 2012 09:25 PM PDT ULASAN Saya merujuk kepada kenyataan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Datuk Ng Fook Heng, Datuk Ti Lian Ker dan YB Phang Tzu Ming sewaktu dalam ucapan di mesyuarat agung MCA bahagian Kuantan, Paya Besar dan Indera Mahkota yang di aporkan di dalam beberapa akhbar bahasa Mandarin semalam. Nampak gayanya MCA cukup punyai ketakutan yang amat sangat terhadap saya. Sehinggakan ketiadaan saya di Parlimen minggu lepas dijadikan bahan ucapan utama Mesyuarat Agung Tahunan mereka di Indera Mahkota, Paya Besar dan Kuantan. Saya perhatikan seolah-olah isu Lynas dan saya sudah merupakan mimpi ngeri buat MCA. Saya juga perhatikan bahawa pemimpin MCA sanggup menyebar fitnah terhadap saya semata-mata untuk meraih kembali sokongan yang tentunya sudah cukup hilang terhadap MCA. Saya pergi keluar negara untuk belajar dan bekerja dan bukan untuk bercuti. Lagipun saya belajar tentang strategi pilihan raya. Ketidak hadiran saya sewaktu perbahasan isu PSC (jawatankuasa pilihan Parlimen mengenai lynas) tempoh hari tentu sama sekali tidak menafikan segala usaha saya menentang kehadiran LAMP selama tiga setengah tahun yang lepas ini. Dan apa pun yang dikatakan oleh MCA tidak boleh menafikan segala usaha tersebut. Rakyat juga cukup memahami bahawa hati saya di sebelah rakyat setiap kali isu Lynas saya bangkitkan di Parlimen mahupun di luar Dewan. Ingin juga saya ingatkan bahawa yang pergi bercuti ke Australia di atas tajaan Lynas dan sekembali mereka ke Malaysia mengatakan bahawa kilang Lynas adalah selamat ialah merupakan dua orang ADUN MCA. Para pemimpin MCA juga tidak langsung bersuara tentang isu Lynas dari 2008 sehinggalah 2011. Mereka membisu sewaktu MITI membawa Lynas ke Malaysia dan ke Pahang pada awal 2008. Mereka juga membisu sewaktu setiap kali saya bangkitkan isu Lynas di Parlimen. Mereka hanya bersuara selepas mereka melihat rakyat menentang Lynas. Mereka bersuara kerana takut kehilangan sokongan rakyat. Maka dengan itu, janganlah mereka cuba untuk menjadi jaguh pula pada ketika ini. Rakyat lebih mengetahui apa yang mereka inginkan dan apa yang baik untuk rakyat amnya. Pemimpin MCA harus ikhlas berjuang untuk kebaikan dan kesihatan rakyat dan bukan untuk mendapat sokongan semata. Saya tegaskan di sini sekali lagi bahawa LAMP tidak wajar berada di Gebeng dan tidak harus dibenarkan beroperasi. Segala laporan PSC yang telah dibentangkan tersebut tidak lain dan tidak bukan hanyalah merupakan helah untuk membenarkan LAMP beroperasi. Rakyat tidak akan tertipu lagi. FUZIAH SALLEH adalah Ahli Parlimen Kuantan. | ||
Najib pertahan ambil alih kementerian wanita Posted: 24 Jun 2012 09:23 PM PDT Datuk Seri Najib Razak mempertahyankan tindakannya mengambil alih kementerian pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat dan tidak melantik anggota parlimen wanita untuk portfolio itu. Perdana menteri berkata, tindakan itu hanya sementara dan selepas memenangi pilihan raya, menteri wanita akan dilantik menggantikannya. | ||
Manifesto: Rakan Pas juga bantah rakaman Posted: 24 Jun 2012 05:15 PM PDT SHAH ALAM - Selari dengan pendirian Pas, PKR juga tidak bersetuju jika manifesto parti-parti politi hanya disiarkan dalam bentuk rakaman, bukannya secara langsung menerusi RTM yang disangkakan sebelum ini. Naib Presidennya, Fuziah Salleh berkata, sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mahu menggunakan kaedah tersebut, maka perlu ada perjanjian hitam putih agar kandungan tidak disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu. "Saya tak setuju dengan rakaman manifesto PR yang dibuat sebelum menyiarkannya melalui RTM kerana ia pasti akan diedit. "Kalau nak guna juga cara itu, mesti ada surat hitam putih supaya rakaman tersebut tidak dimanipulasi dan diedit oleh organisasi media tersebut atau biar kami yang rakamkan sendiri video klip itu," katanya. Sabtu lalu, Pas melahirkan pendirian membantah kaedah rakaman. Bagaimanapun ketika mengulas pendirian Pas itu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof meminta parti tersebut agar mencubanya terlebih dahulu, bukannya meragui. Fuziah juga berkata, kaedah rakaman bukan cara yang telus dan kebarangkalian manifesto yang disampaikan oleh PR dimanipulasikan sangat tinggi. "Sekiranya RTM beri peluang untuk siarkan manifesto PR selama 20 minit. Apa ertinya, jika 23 jam dan 40 minit lagi digunakan oleh pihak kerajaan untuk hentam balik. "Jadi ini bukan maksud media yang bebas dan adil tanpa memihak mana-mana parti," katanya. Fuziah berkata, penyiaran manifesto secara rakaman menimbulkan kerisauan kerana boleh dimanipulasi dan sunting oleh pihak RTM. Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan bagaimanapan menyambut baik peluang yang diberikan oleh pihak SPR membenarkan semua parti politik menyiarkan manifesto masing melalu media arus perdana. "Kami terima baik peluang yang diberikan itu kerana ia salah satu cara untuk PR sampaikan manifesto kepada rakyat. "Akan tetapi, ia tidak bererti sekiranya boleh dimanipulasi dan boleh diputarbelitkan oleh media," katanya lagi. Justeru, beliau berkata, media arus perdana yang dimiliki kompenan kerajaan tidak boleh dipercayai kerana tidak adil serta tidak bebas dan cenderung kepada kerajaan sahaja. Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw berkata, beliau menyambut baik ruang yang diberikan oleh SPR bagi membentangkan manifesto dalam bentuk rakaman jika peraturan itu dikenakan ke atas semua parti politik. Sehubungan itu, beliau menegaskan, rakaman manifesto PR yang dibuat mestilah adil dan saksama. "Saya tak ada masalah apabila SPR bagi ruang untuk kami siarkan manifesto melalui rakaman. "Tapi mereka perlu adil dan saksama kepada semua parti politik sama ada Umno atau pun PR, bukannya ada udang di sebalik batu," katanya. Dalam pada itu, Seng Giaw yang juga Ahli Parlimen Kepong berkata, ruang yang diberikan SPR itu tidak menjadi isu kerana ia tawaran yang baik. "Saya tidak persoalkan tentang tawaran itu kerana tawaran itu bukannya tak baik. "Setiap orang ada kebaikan dan keburukannya tapi jika itu yang terbaik, kami terima," katanya. Menurut Seng Giaw lagi, peluang itu adalah cara terbaik tetapi ia mestilah dijalankan dengan adil dan saksama kepada Umno dan PR. | ||
Manifesto: Cuba dulu sebelum ragui, SPR nasihat PR Posted: 24 Jun 2012 05:10 PM PDT SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merayu parti-parti politik memberi kerjasama dengan tidak mempertikaikan mekanisme yang hendak digunakan untuk menyiarkan manifesto menerusi RTM semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Sehubungan itu, badan pengendali pilihan raya mahu Pakatan Rakyat (PR) mencuba terlebih dahulu kaedah rakaman dan memberi peluang untuk melaksanakannya sebelum sangsi dan menolak bulat-bulat. Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, usaha pihaknya mendapatkan ruang bagi menyiarkan manifesto untuk semua parti harus diteruskan sebelum membuat andaian negatif. Menurut Abdul Aziz, beliau telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan ruang bagi kesemua parti menyiarkan manifesto mereka melalui beberapa televisyen kerajaan dan ia dilihat sebagai satu langkah yang baik. "Saya dah berusaha dapatkan ruang itu, baik kita gunakan peluang ini terlebih dahulu sebelum mengeluarkan komen-komen yang negatif. "Kita cuba dahulu. Kalau betul seperti yang dikatakan oleh pihak tersebut, bolehlah buat komen," katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online hari ini. Abdul Aziz berkata lagi, sekiranya menifesto yang disiarkan oleh mereka diputarbelitkan oleh pihak penyiar, parti tersebut boleh membuat atau mengeluarkan kenyataan negatif itu. Dalam pada itu, Abdul Aziz melihat perkembangan ini adalah baik jika kesemua parti politik diberi peluang menyiarkan manifesto mereka untuk tatapan rakyat. Semalam, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, kenyataan yang dibuat oleh Abdul Aziz tidak menepati tuntutan Bersih 3.0 dan sekiranya perkara tersebut dilakukan, manifesto yang diusulkan secara rakaman akan diputar belit dan dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Abdul Aziz berkata, rakaman yang dibuat sebelum disiarkan adalah peraturan yang biasa dilakukan oleh semua orang sebelum disiarkan dan bukan disebabkan faktor politik. "Ucapan saya sendiri dirakam dan disunting terlebih dahulu sebelum disiarkan terus melalui televisyen. "Ini adalah peraturan biasa yang dilakukan oleh pihak penerbitan dan bukan disebabkan faktor politik," katanya lagi. Beliau berkata, pihak SPR sendiri tidak setuju sekiranya manifesto yang disiarkan diputarbelitkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab seperti yang didakwa Mustafa dan SPR juga akan mengambil tindakan untuk masalah itu. "Datuk Mustafa jangan berfikiran seperti itu, kita cuba dulu kalau jadi seperti itu parti politik boleh maklumkan kepada kami," katanya lagi. | ||
Kereta bomba terbalik, seorang terbunuh Posted: 24 Jun 2012 05:09 PM PDT GURUN - Seorang anggota bomba sukarela terbunuh manakala enam lagi cedera setelah kereta bomba yang dinaiki terbalik ketika dalam perjalanan memadam kebakaran dua rumah kedai di Padang Lembu di sini, hari ini. Mangsa yang terbunuh ialah ketua pasukan bomba sukarela Merbok, Chow Kok Kwang, 51, manakala lima anggota cedera parah serta seorang cedera ringan. Kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 3 petang. Difahamkan jentera berkenaan dipandu laju dan cuba mengelak sebuah motosikal namun hilang kawalan lalu di hadapan Klinik Desa Padang Lembu. Dalam pada itu, Kok Kok Chon yang ditemui pemberita di HSAH berkata mereka hampir sampai di tempat kebakaran apabila nahas itu berlaku. Kesemua mangsa merupakan anggota bomba sukarela dari Balai Bomba Sukarela Merbok dekat sini. "Ketika kami sampai di satu selekoh berhadapan Klinik Kesihatan Padang Lembu, Kapten (Chaw Kok Kong) yang memandu jentera cuba mengelak sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan menyebabkan jentera kami berpusing beberpa kali lalu terbabas ke kiri jalan," katanya dipetik Bernama. Kok Chon berkata, dia merangkak keluar melalui tingkap dan terlihat Kok Kong terbaring di atas jalan. "Saya lihat Chow (Kok Kong) tidak sedarkan diri. Kami dibantu pasukan St John Ambulans dan anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Gurun, Dr Leong Yong Kong. "Kejadian ini tidak mematahkan semangat saya untuk meneruskan kerja sukarela ini yang diceburi sejak tahun 2004," katanya. "Semasa sampai saya lihat pemandu jentera bomba itu tidak sedarkan diri dan nadinya juga tidak berdenyut. Mungkin dia mengalami kecederaan dalaman yang parah," kata Yong Kong yang turut mengiringi kesemua mangsa ke HSAH. Timbalan Ketua Polis Daerah Sungai Petani Supt Ong Aik Chang yang dihubungi berkata polis telah menerima laporan mengenai kemalangan itu. | ||
Posted: 24 Jun 2012 05:06 PM PDT
(Rakyat Perlis berikrar untuk menangkan Islam di perhimpunan hijau) ARAU: Gelombang Hijau ke Putrajaya meneruskan momentumnya dengan himpunan yang diadakan di peringkat negeri Perlis pada 22 Jun lalu di Markas PAS Kampung Paya di DUN Santan dekat sini. Meskipun buat julung kalinya, program besar seumpama ini diadakan di luar premis induk PAS Perlis samada Kompleks PAS Perlis di Kangar mahupun Markas Tarbiah PAS Perlis di Jejawi, sambutan orang-ramai amat membanggakan dengan lebih 5000 orang hadir membanjiri dataran di hadapan markas PAS tersebut. Sambutan hangat ini diceriakan lagi dengan kehadiran begitu ramai ahli dan penyokong Umno tempatan dan luar kawasan yang sama-sama ingin mendengar ucapan dari pimpinan khususnya Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan undangan khas, Tamrin Ghafar. Program himpunan dimulakan dengan majlis solat hajat dan munajat yang dipimpin oleh Dewan Ulama PAS Perlis. Kemudiannya, program kemuncak himpunan dimulakan dengan para hadirin menyanyikan lagu Negaraku dan lagu rasmi PAS dengan diikuti bacaan surah an-Nasr oleh qari jemputan yang mambacanya dalam tiga lagu tarannum. Pengarah Program, Mohd Anuar Tahir memulakan ucapan diikuti ucapan dari Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS Perlis, Khoo Yang Chong; Timbalan Ketua Muslimat PAS Perlis, Haton Osman; Timbalan Ketua Pemuda PAS Perlis, Ustaz Azmir Azizan dan Ketua Ulama PAS Perlis, Ustaz Idris Yaacob. (Ustaz Hashim Jasin berucap dengan diperhatikan Mohamad Sabu dan Tamrin) Majlis diteruskan dengan ucapan oleh Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin. Beliau menggambarkan himpunan yang diadakan pada malam tersebut adalah suatu petanda yang perlu diambil pengajaran oleh Umno/BN yang mana ianya adalah petanda kepada apa akan bakal berlaku dalam pilihanraya umum ke-13 nanti. Program himpunan ini kemudiannya diteruskan dengan majlis bacaan ikrar dan baiah oleh para peserta himpunan dengan dipimpin oleh Setiausaha Perhubungan PAS Perlis, Ustaz Ya'akub Abu Seman. Semakin ramai orang Umno Seterusnya Tamrin, tampil menyampaikan ucapan dengan memulakannnya dengan laungan 'takbir'. Ucapannya yang bersahaja menggunakan loghat utara jelas menarik minat orang ramai. "Saya baru sama-sama dengan tuan-tuan dan Pakatan Rakyat dalam tiga bulan. Saya lihat di manapun saya pergi sambutan rakyat amat baik. Yang menariknya semakin ramai orang-orang Umno yang hadir ke program kita, jangan padang sepi lagi dengan kehadiran mereka. (Antara orang ramia yang hadir dalam perhimpunan Hijau di Perlis) "Inilah berkat pengorbanan dan kesabaran pimpinan PAS yang berjuang sejak dahulu lagi, ditohmah, dicaci dan dihina. Saya pun dulu ikut sama. Tapi siapa sangka hari ini, ramai orang termasuk pimpinan Umno telah meninggalkan Umno dan bersama PAS," katanya. Tawan Johor Majlis diakhiri dengan ucapan oleh Timbalan Presiden PAS yang menggambarkan bahawa gelombang kebangkitan rakyat yang menyokong PAS/Pakatan Rakyat kini semakin memuncak di seluruh negara. "PAS dan pakatan Rakyat sudah diterima rakyat bukan sahaja di negeri Perlis ini, tapi sekarang ni Pakatan Rakyat sedang berusaha untuk menawan negeri Johor. "Dulu Tun Daim Zainuddin kata negeri yang selamat untuk BN hanyalah tiga iaitu Johor, Pahang dan Melaka, tapi dengan pergolakan yang berlaku, hari ini kita lihat Pakatan Rakyta juga mampu mengambil-alih pemerintahan di Johor,"katanya. | ||
Masjid diminta dekati saudara baru Posted: 24 Jun 2012 05:03 PM PDT
KEPALA BATAS: Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEIPP), Haji Sazali Haji Hussein (gambar) menyarankan semua Jawatankuasa Qariah Masjid seluruh negeri memantau serta mendekati 'saudara baru' supaya kehidupan mereka lebih terbimbing. Jelasnya, lazim golongan yang baru memeluk Islam memerlukan perhatian secukupnya selain mendapat bimbingan daripada JHEIPP menerusi lokasi seperti Masjid Negeri, Masjid Daerah serta JHEIPP sendiri. "Jawatankuasa masjid kena pantau mana-mana saudara baru yang ada di qariah masing-masing. Jangan biarkan kehidupan mereka terubang ambing setelah mereka terpisah daripada keluarga tersayang kerana cintakan agama yang suci, " terangnya dalam program 'Jalinan Mahabbah Saudara Baru 2012 di Hotel Seri Malaysia, Kepala Batas pagi tadi. Menurut beliau, jika mahu mengembangkan syariat Islam, Jawatankuasa masjid kena tunjukan sikap prihatin terhadap golongan berkenaan dengan membimbing mereka mudah-mudahan minat mereka terhadap Islam terus mengembang. Jika mereka dapat raikan dengan kasih sayang maka tidak mustahil individu yang bernama saudara baru boleh berubah menjadi lebih baik dan akhirnya dapat membentuk jiwa orang lain pula. "Jika terdapat saudara baru di kampung-kampung Jawatankuasa Masjid kena dekatkan diri dengan mereka. Apa salahnya pihak qariah buat majlis raikan mereka untuk menjauhkan diri mereka daripada pada melutut meminta sedekah, " terang beliau. Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp), Datuk Saleh Man menyifatkan, untuk menarik perhatian saudara baru, orang Islam sendiri kena tunjukan emej yang baik. (Antara saudara baru yang menyertai program) Jangan tunjukan emej buruk sambungnya, seperti berseluar pendek, tidak sembahyang, melakukan kegiatan yang diharamkan dan sebagainya. Sebaliknya seru Saleh, Umat Islam kena mengajak mereka (saudara baru) ke program kebajikan, agama dan sebagainya supaya mereka dapat merasakan kenikmatan berada dalam Islam yang agung. "Umat Islam yang baik ialah mereka bertindak sebagai pendakwah. Sikap mereka boleh dijadikan contoh bukanya meniadakan tanggungjawab bersama untuk mendidik saudara baru ke arah yang lebih baik, " katanya. Ceramah motivasi diadakan untuk pengisian iaitu Pengerusi Yayasan Kasih Sayang, Negeri Sembilan, Muhamad Adnan Bin Abdullah dan tokoh saudara baru Peringkat Negeri Pulau Pinang, Ustazah Nazirah Nantha Kumari Binti Abdullah. | ||
Rafizi: 'Betul, saya nak tumpu PRU13' Posted: 24 Jun 2012 04:57 PM PDT SHAH ALAM - Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mengakui beliau terpaksa melepaskan jawatan Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor minggu lalu semata-mata untuk membuat persediaan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). Kata Rafizi, beliau ingin memberi fokus sepenuhnya ke atas PRU yang bakal dilangsungkan, di peringkat kerusi yang ditandinginya kelak dan juga atas kapasiti Pengarah Strategi PKR melibatkan partinya di peringkat nasional. Beliau dijadual mengadakan sidang media khas menjawab pelbagai persoalan mengenai keputusannya melepaskan jawatan itu esok. Rafizi turut berkata, beliau bakal ditempatkan di kawasan yang telah dipersetujui ketika PRU13 dan perlu bekerja keras untuk itu. "Betul, saya nak tumpukan ke atas PRU yang akan berlangsung tak beberapa lama lagi, yang memerlukan saya bekerja kuat sepanjang minggu (menjelang pilihan raya). "Kalau dulu saya hanya buat kerja untuk parti secara sambilan, tapi sekarang ceramah sepanjang minggu," kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian Online sebentar tadi. Menurut beliau lagi, dakwaan Umno kononnya wujud perselisihan faham dan berbalah dengan pemimpin-pemimpin PKR adalah tidak benar. "Dakwaan Umno sama sekali tak betul, rakyat boleh tengok dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi keretakan yang didakwa mereka tak akan berlaku," katanya. Dalam pada itu, Rafizi juga berkata, beliau mengambil keputusan secara mengejut tersebut kerana tidak mahu ada pihak yang akan menghalang keputusan peribadainya itu. "Saya ambil keputusan ini kerana tak nak orang halang keputusan saya nanti. Ini keputusan peribadi saya dan harap semua orang akan sokong dengan keputusan ini," katanya lagi. Semalam, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan, punca Rafizi meletak jawatan sebagai Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor kerana mahu memberi tumpuan penuh terhadap perancangan untuk bertanding pada PRU13. "Beliau berusaha menjadi Ahli Parlimen, oleh itu, beliau tidak mahu banyak persoalan yang timbul, dan mahu bertindak secara individu," katanya kepada media, semalam. Beliau berkata demikian ketika mengulas peletakan jawatan Rafizi yang dikatakan ada kaitan dengan dakwaan wujud krisis dalam pentadbiran Kerajaan Negeri. Beliau berkata, Kerajaan Negeri dan Rafizi tidak mempunyai sebarang krisis kerana kedua-duanya bertindak secara profesional. Abdul Khalid berkata, Rafizi mahu menjadi seseorang yang bebas menyuarakan pendapat dan tidak lagi terikat sebagai kakitangan Kerajaan Negeri. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan