Sabtu, 23 Jun 2012

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Pertimbang semula lantik Mohd Sidek Pengerusi Petronas

Posted: 23 Jun 2012 01:42 AM PDT

 
Umno Cheras bimbang ia mengecewakan pemimpin-pemimpin politik. 




PETALING JAYA: Umno Cheras mahu Perdana Menteri mempertimbangkan semula pelantikan bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan sebagai Pengerusi Petronas.

"Jawatan pengerusi baru Petronas sepatutnya dipegang  oleh golongan profesional dan tidak semestinya daripada bekas pegawai tinggi kerajaan yang sudah bersara.

"Saya bimbang perlantikan tersebut akan menimbulkan rasa kecewa sesetengah pihak termasuk bekas pemimpin-pemimpin politik," kata Ketua bahagian, Datuk Syed Ali Alhabshee.

Katanya, ia bagi mengelak anggapan umum bahawa mana-mana pegawai tinggi kerajaan yang sudah bersara telah disediakan jawatan baru dengan pendapatan yang lebih lumayan.

"Semasa berkhidmat dengan kerajaan, mereka menerima gaji yang tinggi dan pencen yang sudah mencukupi, sepatutnya jawatan tersebut diagihkan pula kepada golongan profesional atau pun bekas-bekas pemimpin politik," tegasnya.

`Marah dalam diam'

Datuk Seri Najib Tun Razak pada satu majlis makan malam penghargaan sempena persaraan Mohd. Sidek di Kuala Lumpur malam tadi mengumumkan bekas KSN itu sebagai pengerusi baru Petronas.

Sedangkan kata Syed Ali, banyak golongan profesional dan bekas-bekas pemimpin politik apabila bersara tidak mendapat kedudukan istmewa atau ditawarkan jawatan penting dalam mana-mana syraikat milik kerajaan.

Katanya, rakyat tidak akan melakukan protes secara terbuka tetapi apabila mereka 'marah dalam diam' sedikit-sebanyak akan memberi kesan kepada kredibiliti kerajaan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.

"Sudah tentu rakyat akan bertanya, mengapa pegawai tinggi kerajaan yang sudah bersara diberikan jawatan penting itu, ini memungkinkan timbuil pelbagai andaian," ujarnya.

Kenapa kempen "Bebaskan ISA 45" perlu diadakan

Posted: 23 Jun 2012 01:33 AM PDT



1. Masih ada yang ditahan di Kamunting selepas ISA dimansuhkan

Walaupun Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah dimansuhkan (menanti akta baru digazetkan sahaja), namun sehingga kini 45 orang masih ditahan di Kem Tahanan Kamunting (Kemta) tanpa mengetahui secara jelas mengenai nasib yang akan mereka hadapi.

Berdasarkan pemerhatian yang dibuat oleh pihak Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) melalui lawatan peguam dan keluarga tahanan ke Kemta, rata-rata tahanan masih kabur tentang nasib masing-masing samada mereka akan dibebaskan atau tidak selain meletakkan harapan besar kepada tarikh tamat tempoh tahanan.

Tahanan juga ada memaklumkan kepada keluarga bahawa mereka pernah mendapat khabar gembira daripada pihak Kemta bahawa mereka akan dibebaskan segera setelah Perdana Menteri mengumumkan pemansuhan ISA pada hari Malaysia yang lalu. Namun sehingga ke hari ini mereka masih ditahan tanpa sebarang tanda-tanda pembebasan awal.

Kekecewaan mereka membuatkan beberapa orang tahanan melancarkan mogok lapar selama tujuh hari bermula 12 Mei 2012 dan berakhir pada 18 Mei 2012.  Mogok lapar itu berakhir setelah pihak SUHAKAM bertemu dengan tahanan dan berjanji akan membawa tuntutan mereka kepada pihak yang bertanggungjawab.  Namun tahanan ISA memberi amaran bahawa mogok lapar itu akan berlaku lagi sekiranya tuntutan mereka masih tidak mendapat perhatian yang sewajarnya.

Mogok lapar tersebut boleh dimulakan semula pada bila-bila masa sekiranya tuntutan tahanan tidak diendahkan oleh KDN.

2. Penderaan mental dan fizikal masih berlaku terhadap tahanan

Rata-rata tahanan mendakwa mereka diseksa dan didera secara fizikal dan mental semasa dalam tahanan 60 hari pertama di Bukit Aman.  Ada kalangan tahanan yang dibelasah begitu teruk semata-mata ingin memaksa mereka membuat pengakuan.  Penyeksaan ini diceritakan sendiri oleh tahanan yang menulis surat dan diserahkan secara sembunyi kepada keluarga.

Laporan Malaysiakini bertarikh 19 Jun 2012 menguatkan lagi luahan tahanan ini yang menyifatkan penyeksaan yang mereka alami adalah di luar batas kemanusiaan.  Apa yang lebih teruk, sekiranya dakwaan penyeksaan ini benar, ia berlaku dalam pada Perdana Menteri menjanjikan pengkajian semula terhadap ISA pada tahun 2009 dan pemansuhan ISA pada tahun 2011.

Pihak GMI juga mendapat makluman bahawa salah seorang tahanan iaitu Mohamad Fadzullah Abdul Razak, sedang dikurung secara sendirian (Self Confinement) sejak dua bulan yang lalu.  Beliau diasingkan daripada tahanan lain dan ditempatkan dalam satu bilik di blok wanita yang kosong.  Sebab beliau diperlakukan sedemikian masih tidak dapat dipastikan.

3. Penahanan tanpa bukti dan mengelirukan

GMI juga ingin membangkitkan penahanan Mustawan Ahbab yang menimbulkan banyak persoalan yang tidak diperjelaskan oleh pihak Kementerian Dalam Negeri.  Beliau ditahan atas tuduhan terlibat dengan pergerakan Kumpulan Ansarut Tauhid yang berpusat di Indonesia.  Namun dua minggu selepas ditahan, media di Indonesia menyiarkan penafian ketua kumpulan berkenaan yang mengatakan Mustawan tidak pernah terlibat dengan pergerakan tersebut.

Lebih menarik apabila pihak Polis Indonesia sendiri belum mengesahkan keterlibatan Mustawan dengan pergerakan tersebut semasa dia ditahan.  Ini dijelaskan melalui kenyataan jurucakap Polis Indonesia, Inspektor General Indonesia yang disiarkan The Jakarta Post bertarikh 13 Ogos 2010, "National Police spokesman Insp. Gen.Edward Aritonang said Mustawan was not included in the list of terrorist fugitives drawn up by Detachment 88".

4. Penafian akses guaman dan ugutan terhadap keluarga
Kebanyakan tahanan yang ditemui memaklumkan kepada keluarga bahawa mereka dinasihatkan oleh pihak Polis agar tidak mendapatkan khidmat peguam kerana peguam akan mengenakan caj yang tinggi sehingga mencecah RM10,000.  Isteri tahanan juga memberitahu kepada pihak GMI bahawa semasa suami mereka ditahan, pihak Polis memberi amaran agar mereka tidak berhubung dengan mana-mana NGO jika mahu suami mereka dibebaskan segera.

Ini merupakan satu hasutan jahat dan pencabulan kepada hak tahanan dan keluarga yang tidak sepatutnya berlaku.  ISA bukan sahaja menghukum tahanan tanpa bukti bersalah, tetapi turut menghukum seluruh anggota keluarga tahanan dengan ugutan dan ancaman.

5. ISA telah dimansuhkan, bukti suara rakyat benar

Pada pandangan GMI, tindakan Kerajaan memansuhkan ISA menjadi bukti betapa ISA selama ini bercanggah dengan prinsip keadilan sejagat yang termaktub dalam Artikel 5, 9,10 dan 11 Deklarasi Hak Asasi Manusia 1948.  Pemansuhan ini juga menjadi dalil yang membuktikan bahawa semua penganiayaan yang diceritakan tahanan adalah benar.

Oleh itu semua hujah yang mempertahankan ISA sudah tidak relevan, begitu juga hujah yang mengatakan undang-undang seperti ISA perlu diadakan, Menteri Dalam Negeri perlu bersifat terbuka dalam memperjelaskan status semasa tahanan ISA.  Jika benar siasatan rapi dibuat ke atas tahanan, maka semestinya tidak menjadi masalah untuk mereka didakwa di Mahkamah.  Namun sekiranya tidak ada bukti untuk tahanan didakwa, mengapa Menteri Dalam Negeri masih tidak mahu membebaskan mereka?  Hanya semata-mata untuk menanti tamat perintah tahanan?  Ada yang hingga 2014, dua tahun setelah ISA dimansuhkan!

TUNTUTAN GMI:


1. BEBASKAN ISA 45

GMI mengulangi tuntutan agar Menteri Dalam Negeri segera membebaskan kesemua tahanan atau dakwa mereka di Mahkamah.  Berdasarkan Klausa 32 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas), Menteri Dalam Negeri iaitu Hishamuddin Hussein masih memiliki kuasa untuk membatalkan sebarang perintah tahanan.  Perdana Menteri sendiri semasa pembacaan kali kedua Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan menjelaskan bahawa pembebasan tahanan bergantung kepada keputusan Menteri Dalam Negeri.  Sementara menanti pembebasan, GMI ingin mendesak Kemta dan Kerajaan menghentikan sebarang pengasingan, pengurungan atau hukuman ke atas tahanan hanya kerana tahanan ingin membela dirinya.

2. KERAJAAN PERLU TUBUHKAN SURUHANJAYA KEBENARAN DAN REKONSILIASI

Suruhanjaya Kebenaran dan Rekonsiliasi ini perlu diadakan bagi mengembalikan keadilan kepada tahanan ISA.  Kerajaan perlu memberi pampasan setimpal dengan penganiayaan yang telah dialami oleh tahanan dan keluarga tahanan.  Kerajaan juga perlu menghadapkan mereka yang terbabit dengan penganiayaan tersebut ke muka pengadilan.  Hanya dengan cara ini segala salah laku yang pernah berlaku dalam ISA dapat diperbetulkan.

3. TUTUP KEM TAHANAN KAMUNTING

Kemta mestilah ditutup dan diiktiraf sebagai Warisan Negara atau Muzium seperti Pulau Robben, Afrika Selatan sebagai simbol ketidakadilan dan kezaliman ISA.  Perkara ini perlu sebagai amaran kepada mana-mana juga pemerintah negara agar tidak menggunapakai akta zalim seperti ISA.  Penutupan Kemta juga akan menjadi simbolik kepada peralihan sistem keadilan Malaysia yang menitik beratkan peradaban dan nilai sosial yang tinggi.
GMI akan bekerjasama dengan peguam tahanan dan keluarga untuk berkempen membebaskan semua tahanan ISA.  GMI mengajak rakyat yang prihatin untuk mendesak Menteri Dalam Negeri membebaskan semua tahanan atau dakwa mereka di Mahkamah.

BEBASKAN ISA 45!

*Kenyataan media oleh Syed Ibrahim Syed Noh selaku Pengerusi GMI dan Syukri Razab selaku Penyelaras SUARAM.

Sejarah PAS Johor menjelang PRU 13

Posted: 23 Jun 2012 01:25 AM PDT

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil,
Mutakhir ini, perkembangan politik di negeri Johor telah menjadi bualan di kalangan para pemerhati politik sama ada yang daripada pihak pemerintahan mahu pun kumpulan pembangkang.

Kemampuan gabungan parti politik pembangkang memenangi satu kerusi Parlimen (Bakri) dan enam kerusi DUN (Sungai Abong, Maharani, Mengkibol, Skudai, Senai dan Bentayan) telah membuka mata banyak pihak terhadap status kekebalan UMNO/BN di Johor yang mitosnya disebut sebagai "Kubu Kuat Umno di dunia" semakin diragui.


Lebih-lebih lagi, kemenangan PAS untuk menawan dua kerusi DUN iaitu di Dun Maharani dan Sungai Balang telah meletakkan satu harapan baru kepada perkembangan politik Johor yang sebelum ini tidak pernah yakin bahawa PAS akan dapat bertapak di Johor.

Malah, kemenangan PAS di Dun Senggarang dilabelkan sebagai kemenangan 'betina' kerana calon PAS iaitu Dr Mohd Ramli bin Kari menang di atas faktor kesilapan teknikal BN.


PAS tampil dengan gagah dan berwibawa di pentas Dun Johor apabila YB Dr Mohamad bin Taslim dan YB Dr Sheikh Ibrahim bin Sheikh Salleh berjaya memainkan peranan mereka di dalam dewan persidangan serta disayangi oleh rakyat setempat kerana mereka benar-benar dapat menterjemahkan peranan sebenar sebagai seorang wakil kepada rakyat.


Justeru apabila PAS dan Pakatan Rakyat berkira-kira untuk menawan Nusa jaya di dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang ini, pemimpin UMNO/BN di Johor menggelupur tidak tentu fasal dan membuat respon yang luar daripada kebiasaan.


Jika dulu, pembangkang tidak berpeluang untuk hadir di bibir-bibir pemimpin BN walaupun kali ini berduyun-duyun pimpinan BN khususnya daripada Umno berlumba-lumba untuk memberikan pandangan dan kenyataan tentang masa depan PR di Johor yang sebahagian besar daripada mereka memperlekeh cita-cita dan harapan murni ini.


Sebagai contohnya, apabila YB Salahudin Ayub muncul di dalam media cetak dan internet dengan gambaran bakal dilantik sebagai Menteri Besar Johor maka ketidaktenteraman jiwa para pemimpin BN Johor jelas kelihatan.


Ahli Majlis Tertinggi Umno merangkap Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, kekuatan PAS belum mampu menandingi BN dan meminta agar PAS jangan memasang angan-angan dan hanya bermimpi di siang hari untuk mengambil alih Kerajaan Negeri  Johor.


Beliau masih yakin bahawa Johor adalah kubu kuat BN.


Walau apa pun yang diperkatakan tentang kemampuan PAS untuk tampil sebagai kerajaan menanti bersama PR ia akan ditentukan nanti oleh kuasa rakyat.


Namun, perlu juga kita melihat dengan lebih mendalam sejauh mana kemampuan PAS untuk memenangi hati pengundi lebih-lebih lagi PAS telah pun mengisytiharkan bahawa PAS bersedia untuk menggantikan UMNO.

Perkembangan PAS di Johor



Perjalanan politik PAS di Johor bukanlah satu perjalanan pemusafiran yang mudah kerana ia telah dilalui dengan penuh ujian dan cabaran yang luar biasa.


Membentuk satu kekuatan yang jitu telah mengambil masa yang lama dan jauh sehingga ia tersergam pada hari ini. Tidak ramai yang mengetahui dan mengambil tahu tentang perkembangan PAS di Johor jika ingin dibandingkan dengan perkembangan PAS di negeri lain kerana Johor terlalu kebal dengan pengaruh Umno di semua peringkat.


Penyertaan PAS di dalam politik Johor sebenarnya telah bermula awal iaitu tiga tahun selepas PAS ditubuhkan pada tahun 1951. Dalam satu laporan yang disiarkan oleh Utusan Melayu yang dikeluarkan pada 20 Mac 1954, PAS telah menubuhkan cawangannya yang pertama di Johor iaitu di Johor Bahru pada 19 Mac 1954 dan Haji Ariffin Alias dipilih menjadi Yang Dipertua, Sdr Othman Abdullah dilantik menjadi Setiausaha manakala Penyimpan Wang diamanahkan kepada Sdr Yusuf Abdul Rahim.


Seramai lapan orang Ahli Jawatankuasa telah dilantik bagi menerajui PAS cawangan. Bermakna, PAS bukanlah parti baru di Johor, barangkali disebabkan kekuatan UMNO yang terlalu besar menyebabkan PAS di lihat sebagai parti 'nyamuk' yang tidak mungkin akan memberikan ancaman kepada UMNO.


Keterbukaan media cetak pada ketika itu dengan memberikan laporan penubuhan PAS telah membawa kepada penyebaran berita yang baik kepada PAS apabila satu rombongan masyarakat Bugis dari Benut telah bertemu dengan pimpinan PAS Cawangan Johor Bahru dan pada 6 Mei 1954 cawangan kedua PAS Johor telah ditubuhkan di Benut.


Haji Abdul Razak telah dipilih menjadi Yang Dipertua manakala Saudara Muhamad Tahir dilantik menjadi Setiausaha dan jawatan Bendahari dipegang oleh Haji Yusuf Abdul Rahim. Seramai enam orang Ahli Jawatankuasa cawangan turut terpilih.


Walaupun usia PAS cawangan Benut ini masih baru namun PAS Benut telah tampil dengan berani dan berjaya mengumpulkan ahli yang ramai sehingga dilaporkan keahlian PAS di Benut mencecah seramai 750 orang pada ketika itu.


Di atas kesedaran untuk memartabatkan Islam di Johor, PAS Benut melalui mesyuarat Agong telah meluluskan usul untuk meminta PAS Pusat mengadakan pendidikan politik Islam kepada ahli-ahli di semua cawangan PAS dalam negara ini serta mendesak PAS Pusat agar menerbitkan majalah `Al-Islam'.


Sebelum Pilihan raya Umum tahun 1959, pengaruh PAS semakin berkembang dengan penubuhan banyak cawangan di Pontian dan Batu Pahat. Pada 24 Mei 1959 cawangan PAS telah ditubuhkan di Sungai Tempayan, Pontian.


Pada 3 Ogos 1959, cawangan PAS ditubuhkan di Pulai Sebatang dan pada 4 Ogos, cawangan Parit Karimon ditubuhkan. Pada penghujung bulan Julai 1959, sebuah cawangan PAS di Kampung Parit Jatuh, Batu Pahat diwujudkan.


Dalam majlis penubuhannya, ketua penerangan PAS Johor ketika itu, Haji Muhamad Taib Haji Ahmad telah memaklumkan bahawa PAS Johor akan menubuhkan 10 cawangan lagi di seluruh negeri. Pada 14 Ogos 1959, sebanyak 15 cawangan PAS telah diwujudkan di Batu Pahat.


Pertumbuhan PAS dengan pesat di kawasan Pontian dan Batu Pahat sememangnya dapat dilihat sehingga ke hari ini hasil daripada usaha gigih pejuang terdahulu. Usaha PAS untuk menubuhkan cawangan terus berkembangan di Muar, Segamat, Mersing, Ari Hitam dan Kluang.


Pengaruh PAS di Kota Tinggi mula terserlah pada awal tahun 1964 atau lebih awal dari tahun tersebut, PAS turut meletakkan calonnya di kawasan Johor Lama. Daripada maklumat yang tersebut, bolehlah dibuat rumusan bahawa PAS mula berkembang dan bertapak di Johor secara keseluruhannya menjelang pertengahan tahun 1964.


Dalam suasana PAS Johor berkembang pesat, PAS Johor dikejutkan dengan tindakan dua pimpinan tertinggi mengisytiharkan diri keluar daripada PAS pada tahun 1969 iaitu  Pesuruhjaya PAS Negeri, Puan Khadijah Sidek dan bekas Pegawai Penerangan PAS Negeri, Kiai Saifullah bin Zamzam.


Ia sedikit sebanyak mendatangkan kesan kepada ahli dan para penyokong kerana Khadijah Sidek adalah merupakan seorang yang gigih dan kuat bekerja. Khadijah yang berasal daripada Indonesia menyertai PAS pada tahun 1958 setelah dipecat dari UMNO pada tahun 1956.


Beliau pernah menjadi ahli Parlimen Dungun pada tahun 1959 dan  menjadikan wakil rakyat PAS yang pertama dari kalangan wanita. Dalam pilihan raya umum 1964, beliau bertanding di kawasan parlimen Johor Bahru menentang Tun Dr Ismail Datuk Abdul Rahman namun berjaya ditewaskan.


Tahun 1974, PAS telah bertindak menyertai komponen Barisan Nasional. Ada di kalangan ahli PAS di Johor mengambil memprotes penyertaan PAS ke dalam BN dengan mengisytiharkan diri sebagai calon bebas walaupun akhirnya tewas di tangan calon perikatan.


Peristiwa pahit, PAS ditendang daripada menjadi komponen Barisan Nasional telah memberikan banyak iktibar. Ini diikuti dengan kekalahan teruk PAS dalam pilihanraya Mac 1978 apabila PAS gagal mengekalkan kuasanya di Kelantan, walaupun sudah menguasai Kelantan hampir 18 tahun lamanya.


Tragedi yang menimpa PAS itu telah memberi kesan kepada perkembangan PAS di seluruh negara termasuk di Johor. Dalam pilihanraya ini, PAS hanya berjaya mempertahankan lima kerusi daripada 14 kerusi yang dimenangi sebelum ini dalam tahun 1974 di samping mempertahankan 9 kerusi Dewan Undangan Negeri berbanding 50 kerusi yang dimenanginya dalam pilihanraya sebelumnya.


Bagi PAS Johor, kekalahan sudah menjadi asam garam dalam perjuangannya. Ia sudah menduga kekalahan teruk itu. Walaupun PAS sudah lama bertapak di Johor, namun selera pengundi masih belum membenarkan PAS bertapak di hati mereka.


Sebaliknya hasil dari penyingkiran PAS itu, berbagai insiden politik berlaku secara negatif di Johor. Seramai 300 orang ahli PAS telah menyertai UMNO pada bulan Julai 1978 iaitu menjelang pilihanraya umum. Turut dilaporkan juga seramai 60 orang guru-guru agama yang simpati dengan PAS berpaling tadah menyertai UMNO.


Di Johor, bekas aktivis-aktivis ABIM telah berpeluang mengambil alih teraju pimpinan PAS Johor dalam tahun 1982 setelah berlakunya perubahan PAS kepada kepimpinan ulama' seperti mana yang berlaku di peringkat nasional.


Peralihan ini bukan dibuat secara revolusi tetapi sebaliknya melalui amalan biasa PAS iaitu dengan cara pemilihan. Haji Hasan Hussein telah dilantik menjadi Pesuruhjaya PAS yang baru bagi menggantikan Haji Yusof Hakim yang sudah uzur.


Beliau adalah salah seorang pengasas ABIM Johor. Di samping beliau beberapa orang aktivis ABIM turut dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa Perhubungan PAS Negeri seperti Tuan Haji Ismail bin Ibrahim, Ustaz Omar bin Jani.


PAS dipimpin oleh Ustaz Omar bin Jani, Dr Sanusi Daeng Mariok dan kini datuk Dr Haji Mahfodz bin Mohamed (gambar) selaku Pesuruhjaya Negeri.


Dr Sanusi Daeng Mariok dilantik sebagai Pesuruh Jaya PAS negeri Johor pada tahun 1996 setelah Ustaz Omar bin Jani telah meninggal dunia. Ketika itu, Dr Sanusi yang lebih mesra dipanggil Pak Daeng sedang menjawat jawatan sebagai Naib Presiden PAS dan Ahli Parlimen di Rantau Panjang.


Pak Daeng telah mengambil pelbagai pendekatan politik yang bersesuaian dengan lebih menekankan konsep menerang bukan menyerang lebih-lebih lagi apabila Almarhum Datuk Fadhil Noor telah mengangkat kertas kerja Pak Daeng yang pada satu ketika dahulu ditolak oleh jawatankuasa PAS Pusat di atas konsep yang telah disebutkan tadi.


Dr Mahfodz mula memimpin PAS Johor pada tahun 2005 setelah Dr Sanusi mengambil keputusan untuk mengundurkan diri setelah memimpin Johor selama hampir 10 tahun.


Sebelum dilantik menjadi Pesuruh jaya PAS Johor, Dr Mahfudz terlebih dahulu diberikan kepercayaan oleh Dr Sanusi sebagai Timbalan Pesuruh Jaya Negeri bermula tahun 2001 sehingga tahun 2005. Dr Mahfodz telah menjual rumahnya di Damansara dan membina sebuah Maahad Tahfiz di Kundang Ulu sebagai tanda keseriusannya untuk kembali ke Johor sebagai seorang Pesuruh Jaya.


Catatan ringkas berkaitan dengan sejarah perkembangan PAS di Johor ini adalah sebagai maklumat asas kepada pembaca supaya dapat melihat betapa peritnya PAS untuk diperkembangkan di Johor.


Pencapaian PAS di dalam Pilihan raya


Cita-cita PAS untuk tampil buat pertama kalinya di dalam medan Pilihan Raya pada tahun 1955 tidak kesampaian disebabkan masalah kewangan kerana kos untuk menghadapi pilihan raya yang tinggi. Namun ia tidak merencatkan para pejuang PAS di Johor kerana mereka sedar bahawa Pilihan raya bukanlah matlamat utama PAS ditubuhkan. PAS terus melipatgandakan usaha dan gerakerja dengan menubuhkan lebih banyak lagi cawangan dan gerakerja.


Dengan usaha yang telah dilakukan maka PAS telah tampil buat pertama kalinya dalam Pilihan raya Umum Persekutuan 1959 dan PAS Johor telah meletakkan seramai tiga orang calonnya bertanding di peringkat parlimen Pontian Utara, Muar Selatan dan Segamat Utara.


Seramai sembilan lagi calonnya diletakkan di peringkat Dewan Undangan Negeri Pontian Dalam, Benut, Rengit, Air Hitam, Tanjung Semberong, Parit Jawa, Parit Bakar, Serom dan Jorak. Dalam pilihanraya ini PAS bukan sahaja gagal mendapatkan sebarang kerusi di Johor malah undi yang diterima adalah pada paras yang sangat rendah.


Pada keseluruhannya, undi yang diperoleh oleh PAS bagi tiga kawasan parlimen yang ditandingi ialah 4992 daripada jumlah keseluruhan iaitu 216 027 undi. Bagi sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri yang ditandingi, PAS berjaya memungut undi sebanyak 5471 daripada undi ke seluruh yang berjumlah 214 496.

Inilah ukuran sokongan masyarakat terhadap PAS pada masa itu. Peratusan undi yang diterima oleh PAS begitu kecil sekali iaitu di peringkat  Parlimen sebanyak 2.3% manakala di peringkat DUN 2.6%.


Sebab itu saya nyatakan tadi kehadiran PAS tidak dilihat sebagai ancaman kerana rakyat Johor masih belum mampu menerima kehadiran PAS. Bagi rakyat Johor, Umno dan Perikatan adalah pilihan yang paling tepat dan sesuai dengan perkembangan politik di Johor. Namun, ia sedikit pun tidak merencatkan dan mencantas semangat gelora perjuangan-pejuang PAS yang terpencil bilangannya.


Cita-cita untuk menyerlah di dalam politik Johor diteruskan dalam Pilihanraya Umum Persekutuan 1964, PAS Johor telah mengemukakan dua orang calonnya bertanding di peringkat parlimen Pontian Utara dan Johor Timur. Manakala sebelas lagi calonnya bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri.


Ketika itu PAS Johor dianggap sebagai parti nyamuk oleh komponen Perikatan. Saingan hebat perikatan di Johor pada masa itu ialah Barisan Sosialis. Dalam pilihanraya ini juga, parti-parti pembangkang Johor terpaksa bertanding sesama sendiri setelah hasrat untuk bergabung dalam satu pasukan gagal dilakukan.


Pilihan raya 1964 ini juga telah membuka era baru bagi PAS Johor. Ia telah bertanding di tujuh kawasan baru bagi peringkat Dewan Undangan Negeri dan mengosongkan enam kawasan yang pernah ditandingi dalam pilihanraya 1959.


Tujuh kawasan baru yang ditandingi oleh PAS ialah Endau, Gelang Patah, Mersing, Pelentong, Simpang Kiri dan Tampoi. Kawasan lama yang turut ditandingi ialah Air Hitam, Tanjung Semberong, Parit Jawa, Jorak dan Parit Bakar.


Dalam pilihanraya ini juga PAS Johor tidak meletakkan calon-calonnya bertanding di kawasan parlimen Muar Selatan dan Segamat Utara sebaliknya mencuba kawasan baru iaitu Johor Timur dan mengekalkan Pontian Utara yang pernah ditandingi dalam pilihanraya tahun 1959.


PAS tidak bertanding di kawasan parlimen Muar Selatan walaupun pengaruh PAS kuat di sini dalam pilihanraya umum 1959. Di Muar Selatan PAS tidak hilang wang pertaruhan berbanding dengan kawasan Pontian Utara. Undi yang diperoleh oleh PAS kawasan Muar Selatan dalam pilihanraya 1959 ialah 2508 undi dan terselamat wang pertaruhan. Sebaliknya di Pontian Utara, PAS hilang wang pertaruhan dan mendapat jumlah undi yang kecil iaitu 1567 undi.


Keputusan pilihanraya umum 1964 menyaksikan satu lagi keputusan untuk penilaian PAS Johor. Secara keseluruhannya, PAS mendapat 7873 undi bagi sebelas kawasan Dewan Undangan Negeri yang ditandingi dan 7673 undi lagi bagi tiga kawasan parlimen.


Tahun 1983 PAS Johor meletakkan seramai sembilan orang calon di peringkat Dewan Undangan Negeri dan tiga orang di peringkat parlimen. Sokongan terhadap PAS telah meningkat sejak pilihanraya umum 1978 terutama di kawasan Batu Pahat, Segamat, Tenggaroh dan Simpang Renggam.


Inilah perkembangan yang menguatkan lagi PAS Johor. Dengan jumlah undi yang berjaya diraih dalam pilihanraya itu ialah 18 234 undi untuk enam kawasan parlimen yang ditandingi manakala untuk 10 kawasan Dewan Undangan Negeri PAS berjaya meraih undi sebanyak 11 232 undi. Dalam pilihanraya umum 1978 PAS Johor telah mendapat undi sebanyak 25 915 bagi 23 kawasan Dewan Undangan Negeri dan 32 512 undi bagi 12 kawasan parlimen yang ditandingi.


Walaupun jumlah calon-calon PAS bertanding merosot dalam Pilihanraya Umum 1982 berbanding pilihanraya umun 1978, namun kedua-dua pilihanraya telah menemukan kegagalan yang berulang. Peratusan undi yang diterima oleh PAS dalam pilihanraya umum 1982 tidak jauh berubah dengan peratus undi pilihanraya tahun 1978.


Dalam pilihanraya 1982 peratus undi peringkat parlimen ialah 4.1% dan peringkat Dewan Undangan Negeri ialah 7.9% manakala dalam pilihanraya umum 1978 peratus undi peringkat parlimen ialah 4.1% dan peringkat Dewan Undangan Neger 2.3%.


Pada tahun 1986, sekali lagi pilihanraya umum diadakan. Pada kali ini PAS meletakkan 10 orang calon di peringkat Parlimen dan 20 orang lain di peringkat Dewan Undangan Negeri. Inilah pilihanraya pengukur bagi kumpulan pimpinan baru PAS Johor dalam Era Kepimpinan Ulama.


Keputusan pilihanraya 1986 telah menunjukkan ciri baru sokongan pengundi kepada PAS. Ia berjaya memperoleh undi sebanyak 28 493 undi bagi 10 kawasan parlimen dan 47 184 undi untuk 20 kawasan Dewan Undangan Negeri. Walaupun tewas, tetapi jumlah undi yang diterima merupakan satu kemenangan yang besar bagi kumpulan pimpinan baru PAS Johor yang telah menguasai tampuk pimpinan parti kira-kira lima tahun.


Pilihanraya Umum Oktober 1990, telah menyaksikan suatu penyatuan di kalangan pembangkang apabila PAS bersama Semangat 46 berjaya bergerak di bawah Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan) dan Semangat 46 bersama parti-parti lain berjaya membentuk Gagasan Rakyat.


Inilah pertarungan paling sengit dihadapi oleh Barisan Nasional apabila pembangkang bersatu dalam pilihanraya. Dalam pilihanraya kali ini, PAS Johor telah meletakkan tiga orang calonnya bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu Endau dalam parlimen Mersing, Rengit dalam parlimen Batu Pahat dan Benut dalam parlimen Sungai Benut.


Jumlah calon PAS pada kali ini agak kecil berbanding pilihanraya umum 1959, 1954, 1969, 1978,1982 dan 1986. ini adalah disebabkan persepakatan antara PAS dan Semangat 46 dalam Angkatan di mana kuota kerusi telah pun dipersetujui bersama mengikut kekuatan pengaruh sesebuah parti di sesuatu kawasan.


Ketiga-tiga calon yang terpilih ialah Dr Sheikh Ibrahim Salleh (Dun Endau), Ungku Haji Mohd Noor Ungku Mahmood (Dun Rengit) dan Haji Ambok Masek Haji Abdul Latif (Dun Benut). Dalam pilihanraya ini, PAS berjaya meraih 33% undi di Endau, 29.8% undi di Rengit dan 32.7% undi di Benut.


Dalam pilihanraya umum 1986, PAS telah meletakkan seramai 10 orang calonnya di peringkat parlimen dan 20 orang lagi di peringkat Dewan Undangan Negeri. Pilihanraya Umum 1990 juga telah mengulangi kekalahan PAS Johor.


Tahun 2004, PAS menyertai PRU dengan semangat untuk menang setelah arus reformasi telah berjaya meningkatkan sokongan rakyat kepada PAS dan Barisan Alternatif. Namun, pakatan BA telah semakin mengecil apabila DAP telah mengisytiharkan bahawa mereka keluar daripada BA pada 21 September 2001 dan berlakunya pergabungan dua parti iaitu PKN dan PKR yang membentuk parti baru iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada bulan Ogos 2003.


PAS telah meletakkan calon di 36 Dun namun pencapaian PAS secara keseluruhannya lebih rendah jika dibandingkan dengan pencapaian pada tahun 1999. PAS bertanding di 36 Dun dan menang satu kerusi iaitu kerusi Dun Senggarang di atas kesilapan BN meletakkan individu yang diamanahkan sebagai Penyokong adalah merupakan bukan pengundi di Senggarang. PAS telah memperoleh 98698 undi berbanding dengan jumlah undi 540572 keseluruhan di kesemua 36 Dun yang PAS telah meletakkan calon. Ia mewakili sebanyak 18.3% undi keseluruhannya.


Pilihan Raya Umum kali ke 12 yang diadakan pada tahun 2008 telah mendatangkan satu keputusan luar biasa kepada PAS di Johor setelah berjaya untuk tampil ke dalam medan pilihan raya dalam satu front iaitu Barisan Alternatif dan kerjasama tidak langsung dengan DAP untuk memastikan bahawa BN hanya akan bertembung secara satu lawan satu di setiap kerusi yang dipertandingkan.


PAS telah bertanding di sembilan kerusi Parlimen dan 33 kerusi Dun termasuklah kerusi Dun Tiram yang diwakili oleh calon Kelab Penyokong PAS yang bertanding di atas lambang PKR iaitu Cik Kumutha Raman.


Dalam PRU ke 13, PAS memperoleh kejayaan yang luar biasa apabila telah berjaya menang di kerusi N13 Sungai Abong dan N15 Maharani. Begitu juga dengan jumlah undian sebanyak 175 300 undi di peringkat berbanding dengan jumlah undi keseluruhan sebanyak 554158 undi dengan peratusan undi yang telah diperoleh PAS daripada 33 kerusi Dun yang ditandingi itu adalah sebanyak 31.63% menunjukkan pencapaian PAS semakin memberangsangkan.

PAS masa kini, semakin maju atau mundur?



Setelah membaca mengenai sejarah Pas dan penglibatannya di dalam medan politik, saya ingin mencatatkan pula kedudukan PAS di Johor ketika ini sama ada PAS semakin diterima rakyat atau pun sebaliknya. Ini berdasarkan kepada pemerhatian saya secara umum sebagai anak Johor yang terlibat secara langsung dalam medan politik di Johor.


Selepas kejutan besar berlaku dalam PRU ke 12 pada tahun 2008, PAS Johor terus mengorak langkah untuk menggempur persada politik Johor bersama rakan-rakan dalam PR yang lain dan tekad untuk menawan Nusajaya disepakati bersama. Langkah awal, PR Johor telah melancarkan TAWAN di Kluang pada tahun 2009 sebagai satu signal terhadap keseriusan tersebut.


Beberapa tindakan awal disusun oleh PAS Johor. Penubuhan Pusat Aduan Rakyat (PAR) di seluruh dijadikan arahan wajib khususnya Dun yang telah diwakili oleh PAS semasa PRU 12. Di antara yang terawal menubuhkan PAR adalah Dun Permas, Kempas, Mahkota dan Nusajaya. Peranan utama PAR adalah untuk menyelesaikan masalah rakyat setempat sama ada masalah yang melibatkan isu rakyat ataupun isu yang melibatkan kepincangan kerajaan.


Begitu juga dengan peranan kedua-dua Adun PAS iaitu YB Dr Mohamad bin Taslim dan YB Dr Sheikh Ibrahim, kedua-dua digerakkan untuk membantu masalah rakyat bukan sahaja di kawasan mereka sahaja tetapi menjadi wakil rakyat di seluruh negeri Johor untuk disalurkan ke dalam DUN Johor.


PAS Johor dipimpin oleh mereka yang berkelayakan daripada pelbagai sudut. Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamad adalah merupakan mantan Dekan Fakulti Pengajian Islam UM dan merupakan tokoh ulama' yang disegani.

Haji Aminul Huda Hassan, Timbalan Pesuruh Jaya 1 adalah merupakan seorang golongan profesional dalam bidang pendidikan, Timbalan Pesuruh jaya 2 iaitu Haji Dzulkefli Ahmad merupakan profesional dalam bidang perunding harta dan Mazlan Aliman, Pesuruh Jaya 3 adalah merupakan seorang aktivis masyarakat dan merupakan Presiden ANAK yang memperjuangkan isu berkaitan dengan peneroka dan FELDA.


Suhaizan Kaiat, Ketua Dewan Pemuda PAS Johor adalah merupakan mantan pensyarah UTM, Haji Roslan Nikmat (Bendahari PAS Johor) adalah merupakan mantan guru dan pernah dipilih sebagai Guru Inovasi Kebangsaan. Malah, pimpinan PAS yang mengetuai jentera di peringkat negeri turut dipimpin oleh mereka yang berupaya menjana kekuatan dan kemenangan PAS.


Empat daripada PAS kawasan di Johor dipimpin oleh kepimpinan muda iaitu Haji Firduas masod (Segamat/Peguam), Ustaz Khairul Muntanazar (Tebrau/Lulusan Al-Azhar), Ustaz Rozali Jamil (Sekijang/Al-Hafiz) dan Khairul Faizi Ahmad Kami (Kluang/Ahli Politik)


Begitu juga dengan kesediaan YB Haji Salahudin Ayub untuk pulang ke gagang bagi merancakkan gerakerja PAS di Johor telah menimbulkan polemik baru sehingga di sebut sebagai bakal Menteri Besar Johor jika PR berjaya menawan Nusajaya.


Bermakna, PAS Johor semakin maju ke hadapan pada ketika ini dengan melahirkan banyak tokoh politik dan kepimpinan yang berwibawa. Kepimpinan yang beretika, berlatar belakangkan pendidikan yang tinggi di pelbagai peringkat pasti mampu mentadbir negeri Johor jauh lebih baik daripada apa yang telah Umno lakukan selama ini.


Kesimpulan


Melihat kepada sejarah PAS bermula di Johor pada tahun 1954 sehingga kemampuan PAS berdiri bersama PR di persada politik Johor yang dikenali sebagai 'kubu kuat UMNO di dunia' telah memberikan satu harapan baru kepada perubahan politik di Johor.


PAS gagal menyertai PRU pada tahun 1955 kerana ketidakmampuan untuk menanggung kos yang tinggi. Tahun 1959 PAS hanya mampu meraih sokongan sebanyak 2.6% di kerusi Dun yang telah PAS tandingi. Tetapi, pencapaian PAS terus meningkat dengan lebih baik dan sebagai buktinya pada PRU ke 12, PAS berjaya meraih sokongan sebanyak 31.63% di peringkat Dun yang PAS tandingi.


Sokongan yang diterima oleh PAS dan rakan-rakan PR yang lain sudah tentu menggerunkan UMNO dan BN lebih-lebih lagi PAS sudah tidak lagi ditakuti oleh pengundi bukan Melayu/Islam. PAS yakin mampu untuk memenangi hati pengundi bukan Melayu pada PRU ke 13 yang bakal menjadi penentu kepada kemenangan PAS nanti.


Pesuruh Jaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz telah melahirkan keyakinan bahawa PAS akan berjaya untuk menang di 15 DUN yang ditandinginya pada PRU yang akan datang. Dengan gabungan kemenangan PAS, PKR dan DAP di peringkat DUN nanti akan membolehkan PR membentuk kerajaan baru yang akan menjalankan tanggungjawab dengan lebih baik dan beramanah daripada apa yang telah dilakukan oleh kerajaan BN sebelum daripada ini.


Siapa bakal MB? Itu tidak menjadi persoalan utama pada ketika ini kerana PAS dibarisi oleh ramai kepimpinan dan calon berwibawa.

VIDEO] Senaman Pungkoq Ditangguh, Dapat SMS Amaran Dari Isteri Zahid

Posted: 23 Jun 2012 01:13 AM PDT


KELAB GREENBOC

Veteran tentera dakwa terima amaran dari isteri menteri

Persatuan Veteran Tentera Melayu menangguhkan rancangannya untuk berdemonstrasi di hadapan Kementerian Pertahanan pada 29 Jun ini, kata presidennya Mohd Ali Baharom.

Menurut Ali, penangguhan itu dilakukan kerana Menteri Pertahanan, Datuk Seri Zahid Hamidi tidak berada di pejabat Kementerian Pertahanan (Mindef) pada tarikh tersebut.

"Kami dapat risikan Datuk Seri Zahid Hamidi tiada di Mindef pada tarikh itu. Dia ingin lari ke kem komando Mersing untuk rehat selama dua hari," katanya.

Pada masa yang sama juga, Ali mendakwa isteri Zahid Hamidi juga menghantar SMS memberikan amaran kepadanya berhubung perhimpunan tersebut.

Ali kemudian menunjukkan satu kiriman SMS di telefon bimbitnya yang berbunyi: "Perlu diingat Datuk Seri Zahid Hamidi bukan sendirian dan (dia) bermaruah. Saya tak fikir orang-orang akan berdiam diri dan senang-senang nak buat kacau bilau depan Mindef".


Sementara itu, ketika dihubungi, isteri Zahid Hamidi, Datin Seri Hamidah Khamis enggan memberikan sebarang komen berkenaan dakwaan Ali itu.

Beliau sebaliknya mencadangkan Malaysiakini menghubungi Zahid sendiri berhubung perkara tersebut.

Pada masa sama, Ali berkata SMS itu tidak sedikit pun menggentarkan semangat PVTM untuk terus berdemo dan menuntut pembelaan buat veteran tentera.

"Kalau saya tiup wisel, beribu-ribu (ahli PVTM) akan turun ke Mindef. Saya tak ambil 'pot' pun dengan SMS itu," katanya dengan nada tegas dan yakin pada sidang media petang tadi.

Beliau bagaimana pun tetap menggesa Zahid mengambil berat akan kebajikan veteran tentera terutamanya mereka yang bersara tanpa pencen.

Beliau menggariskan 11 tuntutan veteran tentera dan di antaranya adalah pemberian saguhati tahunan kepada mereka yang tidak berpencen.

Ali menggesa Jabatan Hal Ehwal Veteran Tentera (JHEV) supaya mengagihkan dana rayuan Hari Pahlawan kepada presiden-presiden kelab tentera secara adil dalam program khas.

Selepas membacakan tuntutan-tuntutan itu, beliau memberikan Zahid tempoh 136 jam untuk berdialog dengan PVTM.

Jika gagal berbuat demikian, PVTM akan menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memecat Zahid.

"Kita ramai-ramai akan turun Mindef (minta Najib) pecat Zahid Hamidi sebagai Menteri Pertahanan," katanya. -mk

Kasar Jenayah Selangor: UBN Terludah Batang Hidung Sendiri

Posted: 23 Jun 2012 01:05 AM PDT

 MSO



Kesilapan mengenai indeks jenayah di Selangor yang diberikan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) mungkin kerana kelemahan dan kesilapan manusia. Ia juga mungkin disebabkan niat busuk hati manusia maka kesilapan yang ketara itu berlaku dan Tuhan membayar secara cash atas kejahatan itu.

Mungkin juga kerana terlalu ghairah untuk memburuk-burukkan kerajaan Selangor di bawah Pakatan Rakyat menyebabkan kerja jahat itu terpaling ke muka sendiri. Padan muka.

Itu yang dapat dirumuskan mengenai kesilapan KDN (kononnya kesilapan taip) memberi indeks jenayah di negeri Selangor seperti mana dinyatakan dalam jawaban bertulis dikemukakan oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Phua. Mulanya KDN

Jawaban itu menghuraikan indeks jenayah di Selangor pada 2006 sebanyak 51,393 kes; tahun 2007 sebanyak 58,592; tahun 2008 sebanyak 57,752; tahun 2008 sebanyak 54,994; tahun 2010 sebanyak 49,469 dan 2011 sebanyak 44,302 kes.

Jelas indeks itu menunjukkan pertambahan kadar jenayah Selangor merungsingkan sedangkan hakikatnya ia menurun 19.4 berbnding 27.5 purata di seluruh negara.

Tony tidak puas hati dengan penjelasan itu dan beranggapan NKRA dan GTP yang diperkenalkan kerajaan tidak berhasil. Secara tidak langsung angka-angka berhubung jenayah itu menunjukkan tindakan pentadbiran Najib yang seronok dan bangga akan menghapuskan jenayah gagal.

Menyedari hakikat itu yang berasaskan kepada indeks yang diberikan itu menyebabkan KDN terpaksa membetul balik indeks berkenaan dengan alasan ianya tersalah taip. Pelik dan 'gomba' sungguh macam mana ia tersalah taip sedang dokumen itu penting dan dikemukakan kepada parlimen.

Apakah tidak ada penyemakan di kalangan pegawai di KDN atau semuanya takut menggeletar kepada menterinya. Janganlah sampai jenayah pun hendak dipolitikan. Sudah tentu kalau tidak ada kesedaran dan kepekaan Tony Phua orang Umno khasnya yang otak kemetot akan beranggapan jenayah di Selangor tinggi dan mereka akan jadi modal dalam pilihan raya.

Kalau saya jadi Hishamuddin Hussein saya akan letak jawatan kalau pun tidak memohon maaf bagi pihak pegawai KDN yang sudah tentu atas arahnnya

Ibu Tunggal Terharu Terima Bantuan

Posted: 23 Jun 2012 12:56 AM PDT






PETALING JAYA  : Seorang ibu tunggal melahirkan kesyukuran apabila kesusahan hidupnya mendapat perhatian DUN Taman Medan dengan menerima bantuan kewangan sejumlah RM500.

Suri rumah, Julieza Yahya, 41, berkata, beliau hanya bergantung pada upah menjahit yang diusahakan di rumah bagi menyara empat orang anaknya selepas kematian suami akibat sakit beberapa tahun lalu.

Malah katanya, bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Khidmat Masyarakat (JKM) untuk menyara keluarga juga tidak mencukupi memandangkan kos sara hidup kini semakin tinggi.

"Saya perlu bekerja keras bagi menanggung keluarga dan juga perbelanjaan rumah. Setelah kematian suami, segala beban dan tanggungjawab perlu digalas apatah lagi anak-anak masih bersekolah," katanya.

Menurutnya, beliau sama sekali tidak menyangka permohonannya untuk mendapatkan bantuan diluluskan DUN dalam masa singkat.

Tambahnya, selain bantuan kewangan, DUN Taman Medan turut memberi bantuan cermin mata kepada salah seorang anaknya.

"Saya berasa terkejut dan sangat terharu apabila DUN memberi saya bantuan ini. Walaupun nilainya kecil, tetapi ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban. Saya amat berbesar hati," ujarnya.

Sementara itu, Adun Taman Medan, Haniza Talha berkata, pemberian bantuan yang diserahkan kepada keluarga kurang bernasib baik itu adalah berdasarkan kepada permohonan yang diterima.

Selain bantuan kewangan katanya, DUN turut membantu insan kurang bernasib baik mendapatkan bantuan kebajikan lain sekiranya ia diperlukan dan ada keperluan mendesak.

"DUN memang ada menyediakan peruntukan kepada golongan kurang bernasib baik terutama ibu tunggal. Ini menunjukkan kerajaan Pakatan Rakyat benar-benar prihatin pada rakyat yang kurang bernasib baik," jelasnya.

Panda disusukan, orang utan sendiri mati kebuluran?

Posted: 23 Jun 2012 12:42 AM PDT

Oleh Wong Ho Leng




Pada 15 Jun lalu, kerajaan Malaysia telah menandatangani perjanjian dengan Persatuan Pemeliharaan Hidupan Liar China (CWCA) yang mana Malaysia akan dipinjamkan dua ekor beruang panda selama 10 tahun.

Peminjaman dua ekor beruang panda ini adalah sempena penyambutan 40 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China pada tahun 2014.

Beruang panda adalah khazanah ikon negara China. Mereka ini hidup di hutan buluh iklim sederhana di bahagian tengah China. Mereka ini adalah haiwan yang terkenal dan juga antara yang paling jarang ditemui di dunia. Beruang panda ini adalah lambang usaha untuk menyelamat dan memelihara binatang yang kian pupus.

Perdana Menteri Datuk Seri najib Razak berkata kewujudan beruang panda ini di Malaysia akan memerangsangkan industri pelancongan negara kita.

Kos sebenarnya

Ramai gembira menyambut berita peminjaman beruang panda ini. Namun ada juga yang sangsi. Kita tidak tahu lagi kos sebenar untuk memelihara beruang panda ini, tetapi terdapat rujukan kos daripada negara lain yang juga mendapat pinjaman sebegini, khasnya di Amerika Syarikat dan Singapura.

No.DeskripsiJumlah Kos (10 tahun)
1.Yuran Peminjaman: US$1 juta million (RM3.1 juta) setahunRM31 juta
2.Yuran Penyelidikan dan Pemeliharaan: US$1 juta (RM3.1 juta) setahunRM31 juta.
3.Tempat Perlindungan, habitat hawa dingin buatan di Wetland Park di Putrajaya (Suhunya hendaklah di paras antara 18 dan 22 darjah Celsius, dengan kelembapan antara 50%-60%)RM20 juta
4.Penyelanggaraan dan penyimpanan RM1 juta setahunRM10 juta
5.Sebuah kawasan baru untuk menanam makanan khas panda: buluh. Seekor beruang panda akan memakan 40 kg pucuk buluh sehariRM10 juta
6.Dikala anak beruang panda dilahirkan, yuran tambahan sebanyak USD 600,000 setahun akan dikenakan (anak panda akan dikembalikan kepada negara China selepas tahun kedua) Tidak diketahui

Skim peminjaman ini memberi gambaran yang kerajaan Malaysia adalah kaya-raya. Tetapi jikalau rakyat Malaysia dimaklumkan tentang kos pemeliharaan yang sebenar ini (anggaran: sekitar RM 100 juta), ia mungkin susah untuk mereka yang awalnya gembira menyambut berita tersebut akan kekal berfikir sebegitu lagi.

Sembilan ekor beruang panda daripada negara China kini menetap di empat zoo di AS. Dari tahun 2000 hingga 2003, pendapatan daripada yuran kemasukan zoo tidak mampu menanggung belanjaan kos pemeliharaan mereka. Zoo tersebut mengalami defisit sebanyak USD 33 juta.

Negara kita kini larat dengan hutang. Selain daripada defisit belanjawan selama 15 tahun yang memalukan, kini hutang negara berada di sekitar angka RM 470 billion.

Setiap rakyat Malaysia, baik muda mahu pun yang tua, bakal menanggung hutang awam purata sekitar RM 16,000 seseorang.

Kami tidak menentang usaha penyelidikan dan pemeliharaan haiwan. Tetapi, apa gunanya untuk membuat penyelidikan tentang pemeliharaan beruang panda, termasuk dalam bidang penyelidikan permanian beradas dan kelakuan, sedangkan Malaysia pun tidak mempunyai habitat semulajadi yang sesuai?

Wang yang dibelanja untuk beruang panda ini sepatutnya dimanfaatkan untuk pemeliharaan haiwan dan hidupan liar Malaysia yang kian pupus.

Sudahkah kerajaan Malaysia selamatkan hidupan liar kita sendiri?

Dalam keghairahan dan obsesi kepada khazanah ikon negara China itu, kerajaan Malaysia telah lupakan hidupan liar negara kita seperti beruang matahari, harimau Malaya, penyu, orang utan dan badak sumbu.

Dianggarkan sekitar 1,600 ekor masih hidup liar. Tetapi orang utan, spesis monyet terbesar di Asia, kian pupus. Dikala ini hanya terdapat 1,300 ekor orang-utan di Sarawak, kesemuanya di kawasan perlindungan Lanjak-Entimau and Taman Negara Batang Ai.

Orang utan adalah mahkluk memanjat pokok yang terbesar di dunia. Ahli sains meramalkan menjelang, hanya 10-15 peratus daripada jumlah haiwan orang utan Borneo akan hidup lagi.

Antara sebab untuk kepupusan ini ialah pemburuan, kehilangan habitat akibat pembukaan ladang-ladang and kekurangan azam politik untuk menguatkuasa undang-undang yang melindungi haiwan ini.

Malaysia tidak mempunyai rekod pemeliharaan haiwan yang baik. Jumlah wang yang banyak digunakan untuk beruang panda itu boleh dimanfaatkan untuk melindungi haiwan negara kita yang mengalami ancaman kepupusan.

Pengajaran, penguatkuasaan undang terhadap pemburuan, memulihkan habitat haiwan dan penghutanan semula adalah keutamaan. Penjualan haram hidupan yang dilindungi di Malaysia amat berleluasa, ekoran penguatkuasaan yang lemah dan sebab korupsi.

Di Sarawak hidupnya ikan empurau, ikan air tawar yang termahal di dunia. Ikan ini boleh membesar sehingga berat 10 kg seekor dan berharga RM 1,000 sekilo. Asalnya mereka membiak dengan banyaknya di sekitar kawasan air tawar yang jernih di hulu Sungai Rejang di kawasan tengah Sarawak.

Namun sekarang payah didapati 1,000 ekor empurau. Habitat mereka kini dimusnah oleh kegiatan pembalakan yang tidak terkawal yang mengakibatkan hakisan tanah teruk yang mencemarkan air tawar tersebut.

Pembalakan begitu meluas sehingga pada 7 dan 8 Oktober 2010, sebanyak 300,000 metrik ton kayu balak, tunggul dan serpihan kayu mengalir dari hulu Sungai Rejang ke bandar Sibu, mengakibatkan kesangkutan kayu balak, bencana ekologi dan kerosakan alam sekitar yang teruk di sepanjang sungai tersebut.

Serpihan kayu yang teruk mencemari sungai itu menyebabkan banyak ikan kesesakan nafas dan mati terapung di sepanjang sungai itu. Antaranya ikan empurau dari hulu sungai tersebut.

Maka kerajaan perlu BN perlu jujur dengan mengutamakan usaha menyelamatkan hidupan lair tempatan terlebih dahulu daripada membazirkan wang rakyat untuk bermegah-megah dan berlaku sombong. – Roketkini.com

Penulis adalah Pengerusi DAP Sarawak merangkap Ahli Parlimen Sibu

Setelah 54 Tahun Umno-BN Berkuasa, Orang Dungun Hanya Dapat Tengok PapanTanda

Posted: 23 Jun 2012 12:28 AM PDT

Editor Buletin 


DUNGUN - Pada Jumaat, 19 Ogos 2011, Timbalan Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Azman Shapawi Abd Rani bersama rombongan Dewan Pemuda PAS Kawasan Dungun telah mengadakan lawatan ke hospital Dungun.

Sehubungan itu, Ustaz Azman menggesa kerajaan Umno dan Barisan Nasional supaya mengotakan janji untuk membina kompleks hospital baru memandangkan hospital sedia ada telah berumur 44 tahun.

"keadaan disini (hospital) terlalu banyak kelemahan, hospital yang ada pada hari ini telah pun berusia hampir 44 tahun,

"banyak kekurangan yang perlu ditangani oleh pihak kementerian (kesihatan), kerajaan perlu memberi keutamaan membina hospital baru,"ujarnya ketika itu.

Hospital Dungun Satu Keperluan Mendesak

Menurut Ustaz Azman, kerajaan wajar menyegerakan pembinaan hospital tersebut memandangkan peningkatan penduduk daerah Dungun yang telah mencapai 160,000 orang.

Katanya, kerajaan juga telah mengambil semula dan membuat pembayaran tanah di Kampung Che Lijah untuk dijadikan tapak hospital itu.

Namun begitu, beliau kesal keraha menurutnya, cadangan membina hospital Dungun telah dibuat sejak sekian lama, sehingga kini, rakyat Dungun masih 'berputih mata'

"Saya difahamkan sejak Rancangan Malaysia ke-9 (RMK9) lagi telah dijangka (dirancang) projek hospital Dungun, tapi sampai sekarang tidak dapat dilaksanakan,"jelasnya.

Ustaz Azman selaku Naib Yang DiPertua PAS Dungun meragui janji  Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said untuk membina hospital tersebut.

Menurutnya, dalam lawatannya Ahmad ke Dungun baru-baru ini, beliau telah sekali lagi berjanji untuk membina hospital baru Dungun.

"Walaupun Menteri Besar datang baru ini dengan satu harapan, untuk membina hospital Dungun dengan segera, tetapi kita bagi masyarakat Dungun merasakan satu keraguan,

"kerana dalam masa yang sama, di daerah Kemaman juga dijangka akan dibina sebuah hospital baru,"katanya.

Justeru, beliau menggesa Ahli Parlimen Dungun daripada BN tidak hanya berdiam diri sebaliknya memainkan peranan yang lebih berkesan, memastikan pembinaan hospital baru Dungun.

Katanya, pembinaan hospital Dungun lebih utama daripada pembinaan hospital Kemaman, kerana cadangan pembinaan hospital Kemaman hanya baru dimasukkan ke dalam rancangan pada RMK10.

Ahmad Said Kononnya Merintih


Menteri Besar dan Kerajaan negeri 'kononya merintih' meminta Kerajaan Pusat memberi keutamaan projek pembinaan Hospital Daerah Dungun yang baru kerana hospital sedia ada terlalu sesak.

Dato' Seri Haji Ahmad Said semasa melawat hospital Dungun pada 10 Ogos, 2011 berkata, masalah kesesakan di Hospital Daerah Dungun terlalu kronik dan tidak lagi sesuai untuk para pesakit.

"Kerajaan negeri sudah menyediakan tapak yang sesuai untuk pembinaan hospital baru berdekatan dengan Bandar Dungun," katanya kepada wartawan di sini hari ini.

Ahmad berkata, hospital baru Dungun itu sepatutnya dibina melalui Rancangan Malaysia ke-8 (RMK8) tetapi ia ditangguhkan kerana masalah ekonomi negara.

"Kita berharap Kementerian Kesihatan menilai semula keadaan ini dan memasukkan projek pembinaan hospital ini dalam RMK10,"katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri berharap pembinaan hospital ini perlu disegerakan bagi memastikan rakyat mendapat khidmat kebersihan yang terbaik.

Ahmad turut berkata, keadaan Hospital Dungun yang rendah, sering dinaiki air apabila berlaku hujan lebat.

"Beberapa tahun lalu, pesakit hospital itu pernah dipindahkan ke tempat selamat akibat berlaku banjir kilat dan ia amat menyusahkan pesakit serta kakitangan hospital itu sendiri.

"Jadi kita haraplah agar Kementerian Kesihatan mempercepatkan pembinaan Hospital Dungun agar perkhidmatan yang lebih baik dapat disediakan kepada rakyat di sini," katanya

Hospital Dungun Dibina Sejak 1936

PAS mendesak supaya kerajaan Umno-BN memberikan jawapan yang meyakinkan kerana rakyat sudah bosan dengan janji Umno berkaitan pembinaan hospital baru Dungun.

Ahli Dewan Undangan (ADUN) Sura, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramly berkata, pembinaan sebuah hospital baru untuk warga Dungun adalah satu keperluan yang sangat mendesak.

"Pembinaan hospital baru untuk warga daerah Dungun adalah satu keperluan yang sangat mendesak. Ia satu janji kerajaan Umno/BN yang sudah lama ditunggu oleh rakyat,"ujarnya ketika ditemui pada 20 September 2010

Menurutnya, hospital sedia ada yang dibina sejak tahun 1936 bukan sahaja tidak praktikal, bahkan sudah tidak relevan dengan kemukemudahan dan infrastruktur masa kini.

Katanya, kedudukan dan penempatan hospital tersebut bukan dibina untuk keperluan tahun 1960an sebagaimana didakwa oleh Exco Kesihatan Negeri, Dr. Abdul Rahman Mokhtar.

"Oleh kerana ia mula dibina atas tapak tersebut sejak 1936, kawasan Hospital Dungun yang sempit menimbulkan ketidak selesaan kepada orang ramai untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan, dan sudah tak mampu tampung keperluan semasa,"jelasnya

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Exco berkenaan yang mengesahkan pembinaan hospital Dungun ditangguh daripada Rancangan Malahysia ke 9 (RMK 9) kepada RMK 10

Wan Hassan yang juga Yang DiPertua PAS Dungun turut mendakwa ruangan menunggu di bahagian farmasi dan di bahagian Unit Pesakit Luar Hospital Dungun adalah terlalu sempit dan merimaskan pesakit yang menunggu untuk mendapatkan ubat,

Beliau mengesyakki ada sesuatu yang tidak kena berkaitan dasar kerajaan yang telah diputuskan dalam usaha membangunkan sebuah hospital di Dungun.

Walaupun menurutnya, Dr. Abdul Rahman, membuat kenyataan rasmi berkenaan pembinaan hospital itu, sehingga kini, katanya, beliau belum mendengar mana-mana pimpinan utama kerajaan pusat yang bercakap tentangnya.

"Ada sesuatu yang tak kena, Dr. Abdul Rahman memang bertanggungjawab di peringkat negeri, tapi tak ada apa-apa kenyataan oleh Menteri Kesihatan atau pimpinan Umno dan BN yang peringkat pusat,

"apakah hospital Dungun akan dibina melalui Dana Khas iaitu duit royalti sebagaimana Hospital Sultanah Nur Zahirah, atau ia hanya cakap-cakap kosong, janji politik semasa,"tegasnya.

Katanya, kerajaan sudah berkali-kali menabur janii, kemudian memberikan pelbagai alasan apabila tidak dapat dilaksanakan, bukannya jawapan sebenar.

"Sudah layak kerajaan ini ditukar, kepada kerajaan Pakatan Rakyat, pada pilihanraya umum akan datang,"tambahnya

Muhyiddin berjanji lagi


Pada 20 September, 2011, Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin bertandang ke Dungun pada Majlis Ramah Mesra dan Jamuan Rakyat Aidilfitri Parlimen Dungun.

Menyentuh beberapa permohonan pemimpin negeri bagi Parlimen Dungun, Muhyiddin berkata, projek pembinaan hospital baru Dungun dan penubuhan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) akan diberi perhatian.

''Saya ambil perhatian apa yang disebutkan dan perkara ini telah direncanakan begitu lama, tapaknya juga sudah ada. Saya akan bentang dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok (21 September 2011).

Itulah kali pertama dan terakhir pemimpin Umno-BN peringkat pusat menyebut tentang pembinaan hospital baru Dungun.

Sehingga hari ini, 22 Jun 2012 ketika ulasan ini ditulis, janji Muhyiddin senyap sunyi tiada apa-apa berita berkenaan pembinaan hospital tersebut.

Penggal ke 12 pemerintahan Umno-BN sebagai kerajaan persekutuan akan tamat pada bulan Mac 2013, sedangkan pilihanraya umum ke-13 yang sudah diperkatakan sejak setahun lalu, belum juga berani dibuat oleh kerajaan Umno-BN.

Mungkin selepas Eidul Fitri atau bulan November 2012, atau setidak-tidaknya sebelum Mac 2013, parlimen dibubarkan dan pilihanraya akan diadakan.

Tidak mustahil menjelang pilihanraya umum itu, Perdana Menteri akan datang ke Dungun dan mengisytiharkan sekali pembinaan hospital baru Dungun.

Namun sehingga kini, Setelah 54 Tahun Umno-BN Berkuasa, Orang Dungun Hanya Dapat Tengok PapanTanda!

Harta RM3bil: Anwar,Azmin & RPK dipanggil

Posted: 23 Jun 2012 12:22 AM PDT

KL TODAY

 


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tiga lagi individu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pemilikan akaun berjumlah RM3 bilion yang melibatkan dirinya ketika menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri.Tiga individu terbabit ialah Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, pengendali portal Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin dan bekas Pengarah Siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR), Abdul Razak Idris.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata, mereka akan dipanggil sekiranya SPRM mempunyai maklumat baru yang membolehkan siasatan kes itu dibuka semula.

"Kita tidak akan membuka semula kertas siasatan yang diarahkan tutup oleh Timbalan Pendakwa Raya.
"Namun, sekiranya terdapat maklumat baru yang signifikan terhadap kes tersebut, kertas siasatan akan dibuka semula," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Ditanya sama ada SPRM mempunyai maklumat baru untuk membuka semula siasatan tersebut, Mustafar menjawab: "Buka kes atau pantau kes, saya tidak boleh dedahkan," katanya.

Baru-baru ini, Panel Penilaian Operasi (PPO) SPRM meminta SPRM membuka semula kes siasatan terhadap Azmin yang didakwa memiliki saham, rumah dan kereta mewah bernilai kira-kira RM1.5 juta dan hampir RM10 juta dalam bentuk wang tunai serta cek.

Azmin ketika itu adalah penjawat awam dan menjadi Setiausaha Politik kepada Anwar antara 1995 dan 1997.

Raja Petra melalui portalnya, mendakwa Anwar kemudiannya mengarahkan BPR pada masa itu, menutup siasatan tersebut.

Bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Murad Khalid pula dilaporkan mendakwa Anwar mengawal 20 akaun induk membabitkan aset, saham dan wang yang keseluruhannya bernilai lebih RM3 bilion dalam pendedahannya, kira-kira 13 tahun lalu.

Kelmarin, Abdul Razak mendakwa beliau membuat akuan bersumpah (SD) pada tahun 2003 atas permintaan Anwar bagi membersihkan nama Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berhubung pemilikan akaun tersebut.

Anwar dan Azmin merelakan SPRM menyiasat jika agensi tersebut mempunyai bukti baru untuk membuka semula kes terbabit.

Azmin jelaskan isu letak jawatan Rafizi

Posted: 23 Jun 2012 12:20 AM PDT

KL TODAY

 


Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali menjelaskan tidak wujud sebarang pergeseran antaranya dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung isu perletakan jawatan Mohd Rafizi Ramli sebagai ketua eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor."Ini semua tohmahan musuh untuk memecah belah PKR," ujarnya.Beliau kemudiannya menyalahkan beberapa media massa yang didakwanya mencetuskan isu berhubung perkara tersebut.

"Rafizi melepaskan jawatannya di peringkat negeri untuk memberi tumpuan kepada kerja-kerja dalam parti.

"Walaupun ramai yang melihat perletakan jawatannya berlaku pada waktu yang tidak sesuai tetapi parti yang memutuskan agar ia dilakukan sekarang bagi membolehkannya menumpukan perhatian kepada perkara yang lebih besar iaitu pilihan raya umum," kata Azmin kepada para pemberita selepas beliau menghadiri satu majlis di sini pada Jumaat.

Azmin yang juga merupakan ahli parlimen Gombak berkata demikian ketika ditanya mengenai pergeseran di antara kemnya dengan kem Khalid Ibrahim yang diketuai oleh setiausaha politik menteri besar, Faekah Husin yang semakin ketara sekarang.

Sambil menafikan perkara itu, Azmin menjelaskan tidak wujud sebarang masalah di antaranya dengan pejabat menteri besar.

Perletakan jawatan Rafizi, katanya, tiada sebarang kaitan dengan masalah kerjasama antara pihaknya dengan menteri besar itu.

Faekah yang turut terkejut dengan pengumuman itu berkata, beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan Rafizi.

Malah Rafizi secara peribadi disifatkan beliau sebagai muka baru yang vokal dan mampu bersama-sama membawa perubahan sekiranya Pakatan Rakyat berjaya membentuk Kerajaan Pusat kelak.

Beliau sebaliknya berpendapat, Rafizi kini mahu menumpukan perhatian bagi merebut kerusi Parlimen Pandan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, berkata peletakan jawatan Mohd Rafizi Ramli menunjukkan perpecahan yang serius dalam kepimpinan Pakatan Rakyat di Selangor.

Beliau berkata, perbalahan itu terzahir secara terbuka dan menjadi semakin serius.

"Saya percaya orang ramai dan rakyat boleh membuat pertimbangan penting bagi kita menentukan parti mana yang boleh menentukan kelangsungan pentabiran yang stabil dan kukuh," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Menyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Ibu Pejabat UMNO di sini, sebentar tadi.

Pelajar 14 tahun lemas ketika mandi di air terjun

Posted: 23 Jun 2012 12:17 AM PDT

KOSMO




MARAN – Seorang pelajar Tingkatan Dua di sebuah sekolah di sini, ditemui mati lemas di kawasan Air Terjun Teladas dekat sini, malam tadi.

Firdaus Md Kilau, 14, dipercayai lemas kira-kira pukul 6.30 petang semalam ketika sedang mandi bersama beberapa rakannya.

Ketua Polis Daerah Maran, DSP Ahmad Johari Shahabudin berkata, mangsa dikatakan pergi ke tempat kejadian bersama rakan-rakannya untuk mandi.

"Dipercayai ketika mangsa sedang mandi dia tiba-tiba dihanyutkan air ke kawasan yang agak dalam sebelum didapati tenggelam.

"Rakan-rakan mangsa yang berada di situ cuba membantu namun gagal berikutan arus deras sebelum meminta pertolongan," katanya di sini hari ini.

Kata Ahmad Johari, mayat mangsa dijumpai pada kira-kira 8.45 malam tadi oleh anggota penyelamat, yang bergegas ke lokasi kejadian, tidak jauh dari tempat dia dilapor hilang. – BERNAMA

Wisma Putra Panggil Mengadap Pesuruhjaya Tinggi Singapura

Posted: 23 Jun 2012 12:15 AM PDT

MSTAR ONLINE
 
 
PUTRAJAYA: Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman telah memanggil Pesuruhjaya Tinggi Singapura di sini, Ong Keng Yong ke Wisma Putra petang ini untuk menyampaikan rasa tidak senang Kerajaan Malaysia berhubung penyertaan tiga diplomat dari pejabat suruhanjaya berkenaan dalam perhimpunan haram Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Wisma Putra, Anifah menegaskan bahawa pihaknya telah menerima laporan-laporan daripada pihak berkuasa Malaysia yang menjelaskan tentang penglibatan ketiga-tiga diplomat Singapura berkenaan dalam perhimpunan tersebut.

"Sebagai Menteri Luar, saya amat memandang serius akan perkara ini. Semasa pertemuan saya dengan ketua-ketua perwakilan Asean di Kuala Lumpur pada 11 Jun lalu, saya telah membangkitkan isu penglibatan diplomat asing dalam perarakan haram Bersih 3.0.

"Ini kerana penglibatan sedemikian dilihat sebagai aktiviti di luar batasan yang boleh memberi persepsi negatif kepada hubungan baik yang sedia terjalin antara Malaysia dengan negara-negara mereka.
"Saya faham dengan tanggungjawab perwakilan diplomatik yang ada di Malaysia untuk memantau perkembangan di negara ini dan melaporkannya kepada kerajaan masing-masing.

"Namun pada masa yang sama, saya yakin bahawa para diplomat tetap perlu memberi perhatian kepada sensitiviti bagi menghormati negara tuan rumah dan cara bagaimana negara-negara di rantau ini menjamin supaya hubungan baik antara satu sama lain dapat dijaga demi manfaat bersama," ujarnya.

Anifah juga berkata yang beliau yakin bahawa para diplomat tidak perlu terlibat secara langsung dalam perarakan semasa perhimpunan haram tersebut.

"Semasa perjumpaan saya dengan Ong Keng Yong pada petang ini, saya sekali lagi menjelaskan pendirian Kerajaan Malaysia mengenai penyertaan secara langsung oleh diplomat dalam perhimpunan haram Bersih 3.0 sebagai satu langkah yang sama sekali tidak wajar," jelas beliau.

Langkah yang tidak wajar ini, tegas Anifah sememangnya telah menimbulkan pelbagai persepsi negatif dalam hubungan antara Malaysia dan Singapura walupun pada hakikatnya hubungan antara dua negara jiran ini dan rakan dalam Asean kini kian berkembang.

Menurut beliau lagi, pemimpin-pemimpin Malaysia dan Singapura telah menunjukkan komitmen yang jelas untuk terus memperkukuhkan perkongsian antara kedua-dua negara ke tahap yang lebih mantap bagi manfaat bersama.

"Saya turut menegaskan kepada Ong Keng Yong bahawa Kementerian Luar tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan diplomatik yang lebih tegas terhadap diplomat yang didapati telah melanggar batasan norma-norma diplomasi yang terpakai mengikut Konvensyen Vienna Mengenai Perhubungan Diplomatik 1961 dan undang-undang negara ini," tegas Anifah.

Dalam perkembangan berkaitan, Anifah berkata yang beliau sendiri telah berhubung terus menerusi telefon dengan rakan sejawatannya dari Singapura, K. Shanmugam, bagi memaklumkan mengenai pertemuan dengan Ong Keng Yong.

"Semasa perbualan telefon yang positif tersebut, menteri luar Singapura dan saya bersetuju untuk terus menggerakkan usaha-usaha konstruktif bagi mempereratkan lagi hubungan dan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Singapura," ujar Anifah.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika ditanya mengenai isu tersebut berkata, siasatan mengenai tiga diplomat Singapura yang didakwa menghadiri perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu sedang dijalankan oleh Kementerian Luar.

"Kita mahu melihat kesahihan laporan tersebut sama ada mereka hadirsebagai pemerhati atau terlibat dalam demonstrasi. Faktor itu yangmesti kita tentukan," kata Najib kepada para pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Datuk Onn di sini pada lewat petang Jumaat.

BN TIDAK TERIKAT DESAKAN MANA-MANA PIHAK

Posted: 23 Jun 2012 12:08 AM PDT





 SABAH KINI.


KUALA LUMPUR : Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata Barisan Nasional (BN) tidak terikat kepada desakan mana-mana parti politik atau pemimpin termasuk pembangkang untuk menetapkan tarikh pilihan raya.

Beliau yang juga Pengerusi BN dan Presiden Umno berkata mengadakan pilihan raya semasa musim haji juga bukan sesuatu yang baru kerana sejarah menunjukkan ia pernah dilakukan sebelum ini tetapi menegaskan ibadah perlu diutamakan berbanding sebarang urusan lain termasuk pilihan raya.
 
"Dalam sejarah kita, kita pernah buat pilihan raya masa musim haji. Pilihan raya tahun 1986 kalau tak silap saya. Ada ahli jawatankuasa bahagian saya yang kebetulan hendak dicalon menjadi calon pilihan raya tapi saya tak dapat berhubung dengan dia sebab dia berada di Mekah.

"Bila dia balik, dia terima hakikat bahawa dia tak dapat jadi wakil rakyat sebab kalau dia bertanding, dia menang pada masa itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato Onn di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Mansor.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang mendakwa Perdana Menteri akan menanggung dosa sekiranya pilihan raya diadakan pada musim haji.

Najib berkata kerajaan tidak menyekat sesiapa pun yang ingin menunaikan haji, dan mereka wajib meneruskan untuk menunaikan ibadah itu jika ketetapan telah dibuat (untuk mengerjakan haji).

Diminta mengulas senario debat antara pemimpin parti politik yang semakin kerap diadakan kebelakangan ini, Najib berkata debat bukanlah budaya yang menyeluruh dalam sistem politik negara tetapi boleh diadakan jika keadaan memerlukan.

Ditanya sama ada beliau akan menerima pelawaan debat dengan pembangkang, Najib berkata: "Saya tak kata apa... yang penting rakyat mesti ada maklumat secukupnya untuk buat keputusan."

Perdana Menteri berkata apa yang penting adalah rakyat mempunyai maklumat secukupnya untuk memilih pihak mana yang lebih layak mentadbir negara.

"Kita beri parti politik untuk siarkan manifesto bila sampai masanya dan mereka pun cukup aktif sekarang buat ceramah setiap hari... dan kita pun terangkan kepada rakyat jadi mereka dapat maklumat yang secukupnya untuk buat keputusan.

"Sama ada agenda kita lebih baik atau agenda pembangkang lebih baik. Sama ada kita ada kemampuan untuk laksanakan, tunaikan atau pembangkang lebih meyakinkan kepada rakyat. Itu mesti kita paparkan kepada rakyat bukan soal debat," katanya. (Bernama)

Pemain bola Fulham peluk Islam

Posted: 22 Jun 2012 04:57 PM PDT

Harakahdaily,


 
LONDON: Pemain bola profesional Swiss yang kini bermain dengan kelab bolasepak British Fulham, Philippe Senderos telah memeluk Islam, lapor PressTV.

Senderos mengucap dua kalimah Syahadah di Pusat Islam, bandaraya Menchester, sebuah pusat dakwah Islam.

Philippe Senderos (gambar atas kanan), sebelum ini bermain dengan Arsenal, kini adalah salah seorang pemain negaranya, Switzerland.

Senderos, seorang pelajar theology, telah menunjukkan minatnya kepada Islam dengan banyak menghabiskan masa membaca buku-buku agama di luar padang bola.

"Saya sangat minat dengan agama-agama di dunia dan banyak membaca buku-buku mengenai," kata Senderos dalam satu wawancara dengan Majalah Arsenal.

"Jika saya bukan pemain bola, bola jadi saya sudah menjadi paderi," tambahnya.

Runtuh patut buka mata rakyat Terengganu

Posted: 22 Jun 2012 04:55 PM PDT

Anis Nazri,
KUALA LUMPUR: Insiden bangunan runtuh berulang-kali di Terengganu diharap dapat membuka mata rakyat negeri itu untuk me'runtuh'kan BN Terengganu pada pilihan raya umum akan datang.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, berkata kes terbaru membabitkan bangunan astaka di Jertih, yang masih dalam pembinaan itu amat dikesali dan memerlukan tindakan lanjut dari kerajaan negeri.

"Sudah sampai masanya BN diruntuhkan di Terengganu ini.  Banyak projek-projek yang dijalankan menghadapi masalah seumpama ini.  Kita harapkan rakyat sedar keadaan ini," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Beliau bagaimanapun mengatakan insiden ini mungkin sebagai satu petunjuk daripada Allah terhadap kepimpinan BN Terengganu yang sebelum ini bertindak meruntuhkan beberapa bangunan rakyat.

"Sebelum ini, pada tahun 1991, Menteri Besar Terengganu ketika itu, Tan Sri Wan Mokhtar bertindak merobohkan sekolah swasta, Institut Berakan, pada zaman Datuk Seri Idris Jusoh, Masjid Bujal, Kemaman dirobohkan, dan beberapa siri perobohan membabitkan rumah rakyat.  Mungkin insiden kali ini petunjuk dari Allah," tegas beliau lagi.

Dalam kejadian semalam, sekitar jam 2.15 petang, bangunan astaka (gambar atas) yang masih dalam pembinaan, yang terletak kira-kira dua kilometer dari bandar Jertih itu tiba-tiba runtuh.

Kejadian itu menyebabkan enam pekerja warga asing terperangkap dan cedera.

Mangsa pertama hanya berjaya dikeluarkan tiga jam selepas binaan tersebut runtuh memandangkan sebahagian tubuh mereka iaitu dari paras pinggang ke bawah tertimbus dalam timbunan simen yang semakin mengeras.

Kesemua mereka kemudiannya dibawa ke Hospital Besut untuk rawatan lanjut.

Umno Semakin Panas Kepala!

Posted: 22 Jun 2012 04:51 PM PDT

MSO


Berputar-putar kepala pemimpin dan pakar strategis Umno mencari mangsa untuk dilahap bagi mengenyangkan perut busuk menjelang pilihan raya umum ke 13. Tektik memburukkan peribadi telah mengambil alih politik kekerasan dan samseng yang telah dicubakan sebelum ini di beberapa buah negeri.

Umno menyedari politik kekerasan dan mafia sudah tidak laku lagi. Politik hutan rimba itu ditolak oleh rakyat khasnya generasi muda. Ternyata beberapa siri ugutan, mengkhianati harta benda pemimpin Pakatan Rakyat seperti memancitkan tayar kereta, merosak premis, lontar batu dan sebagainya tidak memberi bekas kepada pembangkang. Malahan makin dilakukan ugutan, kekasaran, semangat orang ramai yang simpati kepada pembangkang makin meninggi. Pemimpin pembangkang pula seakan tidak sedikitpun pedulikan kepada politik mafia itu.


Anwar, Husam dan Azmin terus diserang.
Umno jadi mati akal dan buntu. Kerana itu Umno menukar tektik menyerang peribadi pula. Mereka cerita dan membuat fitnah. Skrip-skrip kejahatan ditulis kemudian dilakonkan. Satu demi satu para pemimpin pembangkang yang berpotensi diserang hendap. Kisah-kisah lama, termasuk laporan dan siasatan SPRM ke atas pemimpin Pakatan dibuka kembali seluasnya dengan penuh dramatik dan terancang.
Orang yang sebelum ini dipergunakan menjadi alat dan 'mengurikan' diri, diugut atau diberi upah atau menyuarakan semula segala kisah-kisah dan cerita rekaan itu. Tindakan ini menyebabkan sesetengah orang yang menjadi alat sakit dan mengalami tekanan jiwa kerana terpaksa melakukan sesuatu kejahatan bukan atas kerelaan mereka menjadi semakin sakit jiwa serta ada yang bermenung panjang di malam hari membawa ke dini Subuh.

Kisah timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali yang kononnya memiliki kekayaan berjuta-juta ringgit  dengan memiliki saham diungkit semula. Digunakan darah daging Azmin sendiri untuk membusukkan dan menjatuhkan reputasi Azmin. Kes itu sudah pun selesai 17 tahun lalu dan seharusnya tidak ada lagi mulut dan ***** gatal menyebutkannya dan mengenyehkan kisah itu. Celakanya orang-orang yang dulunya dapat membeli rokok dengan wang Azmin turut menjadi juara dan saksi utama.

Tetapi kerana kebutuhan perut, memerlukan wang untuk membeli gincu dan bedak untuk mengkosmetikkan wajah agar cepat dipinang ia dilakukan. Orang ini terpaksa sanggup menungging punggung kepada  anggota keluarganya sendiri dan hilang rasa hormat dan peribadi seorang perempuan demi itu semua. Dia memerlukan kosmetik bagi 'menjangokkan' dirinya agar tidak selamanya menjadi anak dara tua yang tidak pernah tersentuh. He he...

Apabila ada orang sanggup membuka aib orang lain dan menyuburkan fitnah, maka ia disambut oleh media penjilat buntut. Media itu pun melalaklah memperbesarkan cerita sudah selesai itu. Wartawan dan pengarang di media berkenaan pun menjadi naif senaif-naifnya bukan saja melangkah etika kewartawanan tetapi menunjukkan diri seolah-olah bodoh kerana menyiarkan cerira basi. Minda kewartawanan juga jatuh melerek ke dalam car - longkang kerana ditekan dari atas ataupun kerana ketiadaan kekuatan diri.

Jika media berkenaan ada maruah mereka tidak akan memainkan isu yang sudah lapok itu dan tamat itu. Sebelum ini ia sudah runyai dan hanyir memainkan isu berkenaan. Tetapi ternyata orang yang hendak dijadikan mangsa, Azmin Ali tidak juga hancur. Kebenaran tetap akan ampuh meskipun sebesar mana kepalsuan dan fitnah yang direkakan. Maruah wartawan dan media berkenaan juga hancur lebur.

Isu Azmin memiliki kekayaan sudah pun reda. Umno pening kepala dan gagal untuk mengerutukan kepala rakyat. Rakyat tidak sedikit pun mempersoalkan integriti Azmin dengan pendedahan semula perkara itu sebaliknya rakyat meludah kahak kepada media PB itu. Betapa ia didedah penuh dramatik tetapi orang ramai tidak mempercayainya. Azmin bukan dicemuh tetapi rasa simpati dan sokongan moralnya menjadi semakin hebat lagi. Beliau sendiri tentunya akan jadi bertambah semangat untuk menentang kemungkaran dan kejahatan yang dihalakan kepadanya.

Selepas Azmin tidak berjaya dimakan dan diganggu mindanya,  Umno berpaling pula kepada Anwar Ibrahim. Tidak habis-habis Umno meliwat Anwar dari depan dan belakang. Ada kalanya isu berulang-ulang dimainkan. Semua orang digunakan untuk memalu dan menghancurkan Anwar. Pembalasan terhadap Azmin dan Anwar ini bergilir-gilir kerana Umno melihat nyawa dan roh PKR terletak di dalam diri kedua manusia ini.

Kaki pukul, kaki betina, ibu ayam, perempuan sundal digunakan. Dari jenis orang seburuk-buruk moral hingga kepada orang yang berdarjat tinggi sampai ke bekas Perdana Menteri diguna atau pun ikut menjadi tuku, gergaji, sesiku, pahat dan sebagainya untuk memusnahkan Anwar. Yang belum digunakan ialah raja dan sultan. Tidak mustahil juga kalau terdesak dan Umno boleh mempengaruhi sultan dan raja, akan ada raja dan sultan gila bertitah agar menolak Anwar atau menolak Pakatan Rakyat?

Isu atau modal terbaru untuk memburukkan Anwar ialah kononya Anwar mengawal akaun induk semasa menjadi menteri kewangan dulu bernilai RM3 billion. Sepatutnya cerita ini tidak diungkitkan lagi kerana umum sudah tahu apa dan mengapa sebab cerita itu didedahkan dalam Utusan Malaysia. Orang waras dan sempurna akalnya tidak akan sentuh lagi kerana ia sudah selesai. Isu ini sudah pun dibincang hangat 13 tahun lalu dan sudah pun ditutup oleh SPRM?

Tetapi kerana pemikiran Umno tidak stabil, kepalanya berasap kepanasan maka isu ini terus diungkit. Ia akan dibangkit selagi Anwar ada di atas dunia ini. Tindakan ini juga menunjukkan Umno sudah kehabisan modal dan kekeringan idea untuk menjahanamkan Anwar. Segala formula dan teori jahiliah digunakan namun ia tetap menghampakan. Sudah habis ikhtiar dilakukan tetapi rakyat tetap menyokong dan menyokong Anwar.

Selain Azmin dan Anwar, Umno juga turut mengintip dan menyerang Naib Presiden Pas Husam Musa menerusi media massanya. Hari ini geger di media massa PB yang kononnya berlaku penyelewengan dalam  syarikat Kelantan Golden Trade Sdn. Bhd yang menguruskan dinar dan dirham di Kelantan. Direkakan cerita kononnya berlaku penyelewengan menyebabkan berpuluh juta pembelian dinar dan dirham oleh KGT hilang.

Husam dituduh bertanggungjawab dan menuntut menjelaskan apa yang berlaku. Untuk menampakkan tuduhan itu sebagai real diwujudkan orang-orang yang hanya ada nama tetapi tidak ada anggota (hantu) kononnya tertipu atau ditipu oleh syarikat pengurusan dirham dan dinar itu. Husam telah pun membuat cabaran supaya tuduhan itu dibuktikan. Beliau meminta agar orang yang mendakwa ditipu itu tampil ke hadapan. Sehingga menjelang Maghrib ini orang yang dimaksudkan masih belum tampil lagi.

Sebenarnya orang sudah faham apa yang dilakukan atau pun didedahkan oleh media PB yang memetik dari laporan sebuah blog itu. Ia bukan kebenaran tetapi ilusi bloger berkenaan yang berdendam dan sakit hati berulam jantung dengan Husam. Seribu cerita boleh dilakukan untuk memburukkan Husam khasnya dan kerajaan Kelantan amnya. Kerja sebegitu tidak perlu dirasakan hairan dan pelik kerana sebelum ini bloger itulah juga yang menukar skrip dan membuat suntingan untuk memuji Husam menjadikan Husam sebagai ratu Cik Siti Wan Kembang.

Jadi kalau hari ini dia jadi sebaliknya tidak pelik kerana kerja-kerja menulis skrip dan suntingan itu yang memerlukan upahan (hingga mencecah ribuan ringgit) boleh dipindah hanya dengan menekan butang di keyboard sahaja.

Kesimpulannya isu-isu peribadi yang ditimbulkan oleh media PB atas arahan Umno itu kenapa menjadi pilihan mereka kerana orang yang mereka serang itu adalah wira dan master mind di dalam perjuangan  (PR) hari ini. Sudah semestinya untuk mengekang kemaraan Pakatan Rakyat mereka harus memusnahkan para nakhoda dan panglima ini terlebih dulu. Bila panglima ini cedera atau pun tempang maka mudahlah untuk mereka menguasai negeri kerana para awak-awak yang tinggal tidak sukar untuk mereka musnahkan. Jerkah pun para awak-awak itu akan lari, tetapi tidak dengan nakhoda-nakhoda ini

Faekah: Saya tiada masalah dengan Rafizi

Posted: 22 Jun 2012 04:39 PM PDT

 
Malah beliau menyifatkan Rafizi sebagai muka baru yang vokal dan mampu bersama-sama membawa perubahan. 




PETALING JAYA: Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Faekah Husin menyangkal pelbagai dakwaan bahawa dirinya menjadi punca Rafizi Ramli meletak jawatan sebagai Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor semalam.

Faekah yang turut terkejut dengan pengumuman itu berkata, beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan Rafizi.

Malah Rafizi secara peribadi disifatkan beliau sebagai muka baru yang vokal dan mampu bersama-sama membawa perubahan sekiranya Pakatan Rakyat berjaya membentuk Kerajaan Pusat kelak.

Beliau sebaliknya berpendapat, Rafizi kini mahu menumpukan perhatian bagi merebut kerusi Parlimen Pandan.

"Saya terkejut beliau (Rafizi) meletakkan jawatan. Kami berbincang tentang isu PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) dan beliau tanya mengenai pandangan kerajaan negeri.

"Rafizi sebenarnya yang tertekan….sebab beliau kata perlukan rehat. Saya bersangka baik pandangannya itu. Ini kerana sejak beberapa bulan lalu, Rafizi bawa isu NFC (National Feedlot Corporation), PTPTN dan beliau bukan setakat menghentam, tetapi buat siasatan dan kajian.

"Maka saya berpendapat Rafizi mahu menumpukan perhatian untuk kerusi parlimen di Pandan. Saya rujuk pada kenyataan Datuk Seri Ong Tee Keat yang kata rakyat disitu mahu pemimpin yang mampu membantu mereka dan bukannya sekadar hangat dengan cerita sensasi," katanya kepada FMT.

Ketika ditanya sama ada tindakan Rafizi sebagai memberi tekanan untuk beliau meletakkan jawatan, Faekah sebaliknya tergelak kecil dan bersangka baik dengan keputusan itu.

Rafizi yang juga Pengarah Strategik PKR menulis di laman sosial twitternya semalam berhubung perletakan jawatan dalam kerajaan Selangor.

Tindakannya itu secara tidak langsung mewujudkan pelbagai andaian bahawa beliau memprotes pentadbiran Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim seperti dilaporkan akhbar harian hari ini.

Perletakan jawatan itu juga dilaporkan sebagai memberi tekanan kepada Faekah, ekoran Rafizi dilihat antara penyokong kuat Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Sebaliknya Rafizi menerusi tulisannya berkata bahawa beliau ingin berehat dan menumpukan ibadat terutama bulan Ramadhan akan menjelang tidak lama lagi.

Berita Harian Metro Online Versi Tablet Kini Lebih “Mengganas” & “Mencengkam” Jiwa Pembacanya!!

Posted: 22 Jun 2012 04:31 PM PDT

Staff Berita Semasa 
 
Harian Metro Sabah Berita Harian Metro Online Versi Tablet Kini Lebih Mengganas &  Mencengkam Jiwa Pembacanya!!


Sekali pandang, seakan meneliti halaman di majalah Playboy versi Malaysia, majalah Mangga. Dua kali pandang rupa-rupanya ia adalah merupakan sebahagian halaman daripada Berita Harian Metro Online versi paparan tablet. Gambar-gambar ini telah dihantar oleh seorang pengirim email kepada Berita Semasa yang boleh kami katakan agak menyayat hati berbanding orang mati bergelimpangan di jalan raya….
 Apa tidaknya, orang mati yang di jalan raya pun ditutup seluruh badannya dengan rapi akhirnya berbanding……Errm…
Harian Metro Sukan Berita Harian Metro Online Versi Tablet Kini Lebih Mengganas &  Mencengkam Jiwa Pembacanya!!

Kami tidak pasti, adakah Harian Metro sudah kehilangan keyakinan untuk terus menerajui takhta sebagai akhbar paling popular di Malaysia ataupun merupakan satu lagi strategi mahu "memerangkap" sekaligus meningkatkan kelompok pembaca Berita Harian Metro online pula?

Mengapa tidak mengikut contoh Sinar Harian contohnya. Kami tidak katakan Sinar Harian adalah yang terbaik tetapi bezanya di sini mereka acapkali cuba membuktikan yang terbaik kepada pembaca mereka amnya dan rakyat Malaysia umumnya. Baru-baru mereka sekali lagi berjaya menganjurkan wacana yang sihat dan segar melalui debat antara Datuk Saifuddin Abdullah VS Datuk Salahuddin Ayub .
Tahniah kami ucapkan. Ya…kami sendiri juga suka membaca Sinar Harian terutamanya debat-debat dan forum isu semasa yang seringkali diadakan….Sukarkah berita Harian Metro online untuk mencontohi apa yang baik dan diterjemahkan kepada pengolahan berita yang lebih berilmiah dan berguna kepada pembaca?

Adakah tanpa paparan gambar seksi seperti ini yang jelas sekali pihak Berita Harian Metro mempergunakan dan mengekplotasikan tubuh badan gadis muda ini untuk dijadikan paparan golongan lelaki contohnya.

Berita Harian Metro  Berita Harian Metro Online Versi Tablet Kini Lebih Mengganas &  Mencengkam Jiwa Pembacanya!!

Kami tidak pasti pada paparan tablet bagi berita Harian Metro online merujuk kepada gambar di atas ini, adakah benar cita-cita yang dicatatkan untuk menjadi usahawan berjaya merupakan realiti atau sekadar nukilan penyedap rasa sahaja? Ini kerana berdasarkan aksi dan lenggoknya di depan lensa kamera seakan seperti mahu  "menjerat" usahawan berjaya pula? Benarkah?
Kata orang, apabila kita nak makan berkhasiat itu pastikan ia sentiasa terjaga dan ditutup dengan tudung saji, takut-takut dihinggapi lalat. Ramai yang tidak mahu mengambil risiko. Tetapi ada juga "yang tak ambil pusing"
Pilihan ditangan si empunya badan. Tengok pun sudah besar panjang. Akal sudah ada dan jika masih ada lagi sedikit iman yang terselit hasil didikan selama ini, gunakaan dan pertahankanlah.

P/S : Tiada guna kerajaan berulangkali berusaha keras membendung gejala sosial dan keruntuhan akhlak dikalangan remaja hari ini tetapi malangnya platfrom media arus perdana yang popular seperti Berita Harian Metro online lebih gemar memberikan liputan gambar-gambar seperti di atas di dalam kandungan berita mereka.

PP/S : Kami masih lagi menanti saat di mana Allahyarham Tan Sri Mohamed Bin Rahmat ketika menjadi Menteri Penerangan cukup tegas etika pemakaian di hadapan lensa kamera dan di kaca televisyen. Agak ketat. Sekarang? Kami masih menunggu lagi tindakan drastik daripada pihak yang sepatutnya bertanggungjawab. Atau mahu menunggu gadis ini sudah berani memakai __________ & _____________ sahaja baru kita semua mahu melatah?

PPP/S : Anggap kata-kata kami ini ingin melihatkan Berita Harian Metro menjadi lebih baik daripada hari ini. Teguran tidak semestinya mahu menjatuhkan tetapi bezanya di sini jika teguran itu diambil daripada sudut pemerhatian yang positif, Insyaallah tanpa paparan gambar-gambar seperti di atas ini pun kami pasti Harian Metro tidak akan sama sekali kehilangan pelanggan dan pengikut setia mereka…Apa pemerhatian dan respon anda pula di sini?

KPF Tolak Isa Samad Keputusan Baik – ANAK

Posted: 22 Jun 2012 04:27 PM PDT





SHAH ALAM  :Keputusan mesyuarat agung tahunan (AGM) Koperasi Permodalan Felda (KPF) Malaysia Berhad tidak meneruskan pelantikan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai anggota lembaga pengarahnya adalah keputusan yang baik demi masa hadapan Felda.

"Ia satu keputusan yang menggembirakan dan kita berkeyakinan dengan perkembangan mutakhir ini yang tidak memihak kepada mereka yang hendak menyenaraikan Felda Global Ventures
Holdings(FGVH), saya cukup optimis walaupun 28 Jun ini akan dimuktamadkan untuk penyenaraian FGVH ia akan menemui kegagalan," kata Mazlan Aliman.

Mazlan yang merupakan Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) berkata Isa Samad tidak layak menjadi ahli KPF kerana beliau bukan kakitangan tetap Felda.

Beliau berkata, adalah wajar KPF ini diuruskan oleh kalangan professional yang berkelayakan dan bukan daripada orang-orang politik yang mempunyai agenda sendiri.

"Bila ada campurtangan politik berlaku ia akan menyebabkan proses transformasi dasar-dasar KPF yang digariskan oleh Lembaga Pengarah sedia ada akan terencat yang akan menyebabkan nanti dasar-dasar ini nanti tidak dapat dilaksanakan," katanya.

Jelas Mazlan, peningkatan dividen kepada 18 peratus pada tahun ini yang diberikan kepada pemegang-pemegang saham adalah kejayaan yang perlu dikekalkan tanpa campurtangan orang-orang politik yang dibimbangi boleh menjejaskan pencapaian cemerlang KPF kini.

"Dengan kepimpinan KPF sedia ada, saya percaya mereka mampu melonjakkan prestasi KPF sebagai peneraju koperasi terbaik di Malaysia," ujarnya.

Di bawah Undang-undang Kecil fasal 36(1) dan 36(2), Lembaga Felda dikehendaki melantik tiga orang calon dari kalangan ahli koperasi untuk menganggotai Lembaga KPF.

"Sebab sekarang ini Isa Samad tidak boleh menguasai KPF adalah kerana beliau dan Lembaga Pengarah KPF sedia ada tidak senada dan sehaluan.

"Kalau Isa Samad dinobatkan sebagai pengerusi KPF, ia akan membawa KPF kepada penyenaraian,kerana itu adalah perancangan beliau," ujar Mazlan.

Sebelum ini, keahlian Isa dibekukan sementara Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas Hakim Abang Iskandar Abang Hashim mendapati terdapat merit untuk membenarkan empat peneroka Felda mencabar keahlian Isa dalam KPF.

Pembekuan keahlian Isa sekaligus menghalang beliau daripada dicalonkan sebagai Anggota Lembaga KPF.

Sekiranya berjaya menganggotai Lembaga KPF, Isa dijangka akan menjadi pengerusi KPF baru menggantikan pengerusi sekarang, Datuk Dzulkifli Abdul Wahab.

Global Felda Ventures Holdings (FGVH) dimiliki 100 peratus oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang mana 49 peratus pegangannya dimiliki oleh Felda Holdings.

Manakala, KPF yang dianggotai oleh kira-kira 112,627 peneroka dan 23,000 pekerja Felda pula memiliki pegangan sebanyak 51 peratus di dalam Felda Holdings.

Himpunan Oren 14 Julai Untuk Selamatkan Felda

Posted: 22 Jun 2012 04:25 PM PDT





SHAH ALAM  : Tarikh 14 Julai depan akan menyaksikan kemuncak bantahan Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) terhadap penyenaraian Felda Global Ventures Holdings(FGVH) ke Bursa Saham Malaysia.

'Himpunan Oren Selamatkan Felda' merupakan tema yang dipilih melibatkan peneroka di seluruh negara.

Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) Mazlan Aliman berkata, peserta akan mula berkumpul di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan kemudiannya berarak menuju ke Istana Negara bagi menghantar memorandum memohon supaya Yang di Pertuan Agong (YDPA) campur tangan isu FGVH.

Beliau mensasarkan penyokong sekurang-kurangnya 20,000 peserta dan turut menjemput parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai untuk sama-sama menyertainya kerana ia isu yang membabitkan masa depan peneroka.

"Kita menjemput semua dengan serba oren untuk membuktikan solidariti kita bagi mempertahankan institusi orang Melayu yang tertua dalam negara kita iaitu Felda," ujarnya ketika dihubungi TV Selangor.

Mazlan berkata, beliau menaruh harapan agar YDP Agong memanggil Perdana Menteri dan campurtangan bagi membatalkan penyenaraian ini serta memanjangkan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu.

"Saya yakin baginda Sultan di negeri-negeri tidak diberikan gambaran yang jelas apa sebenarnya manfaat penyenaraian Felda ini.

"Dengan usaha kita menyerahkan memorandum ini, kita berharap agar baginda Sultan akan mendapat satu penjelasan yang lengkap dan jelas tentang risiko penyenaraian Felda ini," ujarnya.

Menurutnya, demontrasi besar-besaran yang akan diketuai Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu dan turut dihadiri Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mula berarak selepas selesai menunaikan solat Zohor dan solat Hajat.

Cikgu Mala Difitnah Umno-BN

Posted: 22 Jun 2012 04:19 PM PDT





KUALA LUMPUR: Umno-BN dikatakan semakin terdesak dengan peningkatan sokongan terhadap Pakatan Rakyat di Johor apabila mereka memfitnah bekas calon Pas pilihanraya kecil Dun Tenang, Normala Sudirman.

Seorang blogger Umno-BN mendakwa Normala yang dikenali sebagai Cikgu Mala akan menyertai Umno kerana Pas Johor gagal menunaikan janji untuk menjaga kebajikan keluarganya.

Blog Khazanah Minda Politik Melayu pada pautan  http://penaksj.wordpress.com/2012/06/20/pas-johor-punca-cikgu-normala-berniat-serah-keahlian-masuk-umno/ memaparkan artikel "Pas Johor Punca Cikgu Mala Berniat Serah Keahlian Masuk Umno".

Artikel tulisan "Headmaster" bertarikh 20 Jun turut menyatakan akan memaparkan borang keahlian yang diisi sendiri oleh Normala.

Pada satu sidang media di sini hari ini, Normala, menafikan sekeras-kerasnya fitnah tersebut dan menegaskan Pas Johor tidak pernah berjanji apa-apa kepada mana-mana petugas termasuk beliau.

Sehubungan itu, beliau mendesak permohonan maaf daripada penulis blog berkenaan atau berhadapan dengan tindakan saman sekiranya perkara ini terus dipanjangkan.

"Saya ingin bertanya, kalau betul ada pihak yang ini bantu kebajikkan saya, saya ingin bertanya bilakah suami saya akan dilayan secara adil dan dikembalikan ke sekolah asal?

"Kerana jelas bahawa apa yang dilakukan oleh Umno-BN menukarkan suami ke Sekolah Menengah Tanjung Pengelih, Kota Tinggi, jelas merupakan tekanan dan dendam politik semata-mata," soal beliau.

Pada piliharaya kecil Tenang Januari 2011, suami Normala, yang merupakan seorang guru, ditukarkan ke SMK Tanjung Pengelih yang terletak kira-kira 275 km daripada sekolah asalnya di Labis.

Pada masa itu, tindakan tersebut dikutuk pada masa itu sebagai berniat jahat dan dikaitkan dengan pencalonan Normala.

Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat Pas Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, fitnah sebegini merupakan cara yang digunakan Umno-BN untuk mengelirukan rakyat dalam usaha menjejaskan sokongan terhadap Pakatan Rakyat khususnya Pas.

Beliau yang juga MP Rantau Panjang menegaskan, Dewan Muslimat tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya fitnah ini dipanjangkan.

Turut bersama pada sidang media tersebut ialah Timbalan Ketua Dewan Muslimat, Dr Siti Mariah Mahmud, Naib Ketua, Senator Mumtaz Md Nawi dan Ketua Penerangan, Aiman Athirah Al Jundi.

Tiada ulasan: