Selasa, 12 Jun 2012

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Bakal menantu PM didakwa tipu AS$20 juta

Posted: 12 Jun 2012 12:43 AM PDT


MALAYSIA KINI
 
 
 
Dokumen mahkamah Amerika Syarikat mendakwa warganegara Kazakhtan Daniyar Nazarbayev, yang bertunang dengan anak perempuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, terlibat dalam penipuan.

Dokumen mahkamah yang difailkan di Mahkamah Agung Manhattan mendakwa, dia menipu bapa tirinya seunit kondominium bernilai AS$20 (RM62 juta) dan memasuki Universiti Columbia menggunakan dokumen palsu.

Nooryana Najwa Najib and Daniyar NazarbayevMenurut The New York Post hari ini, dokumen mahkamah itu menyebut, Daniyar memalsukan dokumen untuk memberikan gambaran bahawa dia berkelulusan daripada sekolah tinggi di Kazakhstan.

Bagaimanapun, sumber akhbar itu berkata, dia sebenarnya bersekolah di Switzerland dan tidak menamatkan pelajaran.

Rekod Columbia masih menunjukkan Daniyar masih dalam senarai bekas pelajar dan bergraduasi pada 2010.

The New York Post melaporkan jurucakap Columbia sudah dihubungi tetapi enggan mengulasnya.

Diplomat asing sertai Bersih 3.0?

Posted: 12 Jun 2012 12:36 AM PDT

Wartawan Sinar Harian

KUALA LUMPUR - Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, beliau bimbang dengan laporan pembabitan diplomat asing pada demonstrasi jalanan seperti demonstrasi yang disokong oleh pembangkang di ibu negara pada 28 April lalu.

Sama ada pembabitan itu benar-benar untuk mengumpul maklumat atau sebaliknya, katanya ia pasti bukan satu langkah yang bijak.

Katanya, beliau bimbang bahawa langkah sedemikian mungkin membawa kepada beberapa persepsi negatif.

"Lebih buruk lagi, diplomat mungkin terlibat atau cedera dalam kejadian malang memandangkan keadaan demonstrasi jalanan yang tidak terkawal.

"Sekiranya ia berlaku, keadaan mungkin agak rumit, bukan sekurang-kurang daripada segi dipersalahkan pembahagian dan tanggungjawab," katanya semasa berucap pada majlis jamuan tengah hari bagi ketua kedutaan Asean di sini, semalam.

Dipetik Bernama, Anifah berkata, diplomat harus sentiasa sedar sensitiviti dengan cara negara di rantau ini mengekalkan hubungan baik antara satu sama lain.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dua lain didakwa pada 22 Mei lalu kerana menyertai demonstrasi 28 April itu.

Mengenai peranan Malaysia sebagai pengerusi Asean dalam tempoh tiga tahun lagi, Anifah berkata 10 negara anggota badan itu telah banyak melabur dalam pembentukan Komuniti Asean menjelang 2015 dan mereka tidak mempunyai pilihan kecuali merealisasikannya.

"Kegagalan bukan lagi satu pilihan," katanya, sambil menambah rakan dialog Asean dan negara-negara lain turut meletakan harapan terhadap pembentukan komuniti Asean.

Anifah juga berkata agenda transformasi yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sudah memberi kesan positif kepada Malaysia.

"Malaysia bergerak di landasan yang betul dan kami sentiasa bersedia untuk terus memainkan peranan kami dalam menyumbangkan kepada Asean yang mantap dan lebih bersatu padu," katanya.

Debat Sinar II temukan Saifuddin dan Salahuddin

Posted: 12 Jun 2012 12:34 AM PDT

Wartawan Sinar Harian

saifuddin & salahuddin
Salahuddin (kanan) dan Saifuddin (kiri)
 
 
SHAH ALAM - Untuk kali kedua, Debat Sinar Harian akan dianjurkan antara dua tokoh berlainan ideologi politik bagi memberi peluang kepada rakyat mendengar idea mereka berhubung isu yang menjadi buah mulut masyarakat hari ini.

Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian, Datuk Abd Jalil Ali berkata, tajuknya masih lagi dibincangkan peringkat akhir sebelum diumumkan penganjur dalam masa terdekat.

"Debat antara Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah dan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub itu akan diadakan di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf pada 19 Jun depan.

"Penyertaannya adalah terhad, jadi kami akan membuat jemputan khas untuk 350 kerusi yang disediakan pada malam berkenaan," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Debat berkenaan akan dikendalikan oleh Pensyarah Jabatan Pengajian Strategik dan Antarabangsa, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar.

Abd Jalil berkata, Sinar Harian sebagai akhbar rasmi, juga akan siarkan laporan penuh debat ini keesokan harinya.

"Sinar Harian telah mengadakan beberapa perbincangan dengan kedua-dua pendebat ini, masing-masing menunjukkan kesungguhan dan sedia berdepan dengan hujah masing-masing," katanya lagi.

Sebelum ini, Sinar Harian pernah menganjurkan 13 siri wacana setiap bulan dengan pelbagai tajuk menarik untuk disajikan kepada pembaca setia.

Umno patut malu sebab ada menteri tidak cerdik

Posted: 12 Jun 2012 12:25 AM PDT

DETIK DAILY

KUALA LUMPUR: Umno-BN patut malu kerana mempunyai Menteri Pengajian Tinggi yang "amat bodoh dan tidak cerdik", kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.
Beliau berkata, amat tidak wajar apabila Dato' Seri Khaled Nordin mencabar kerajaan Selangor memberi pendidikan percuma kepada rakyat Selangor.

"Ini satu cabaran yang bodoh. Dia mesti bandingkan 'apple to apple'. Misalnya kerajaan Johor boleh mencabar kerajaan Selangor atau kerajaan  Negeri Sembilan atau mana-mana kerajaan negeri.

"Supaya rakyat boleh membuat perbandingan negeri mana yang lebih baik dasar pendidikannya. Bukan kerajaan pusat cabar kerajaan negeri," ujar beliau.

Mohamad Sabu menegaskan, kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor boleh memberikan pendidikan percuma jika semua cukai yang dipungut kerajaan pusat, dibayar kepada kerajaan negeri.

"Misalnya cukai pendapatan, cukai jalan dan lain-lain, jika ia dibayar terus kepada kerajaan Selangor, saya yakin rakyat akan mendapat pendidikan percuma," katanya.

Timbalan Presiden PAS itu menegaskan pendirian Pakatan Rakyat yang berhasrat untuk memberikan pendidikan percuma kepada rakyat jika menguasai Putrajaya.

Seperti juga, katanya, dalam isu tol. Pakatan Rakyat tidak boleh menghapuskan tol yang merentasi negeri Selangor, selagi tidak menguasai kerajaan pusat.

Sebab itu, katanya, cabaran Khaled terhadap Selangor merupakan tindakan yang amat bodoh dan tidak masuk akal.

"Khaled tidak layak menjadi Menteri Pengajian Tinggi, beliau harus masuk pendidikan di tahap yang lebih rendah," tegas beliau.

Bapa Chong Wei nafi mahu bunuh diri

Posted: 12 Jun 2012 12:23 AM PDT

MOHD ISKANDAR OTHMAN

Ah Chai berharap orang ramai tidak salah faham dengan tindakan yang dilakukannya.
Ah Chai berharap orang ramai tidak salah faham dengan tindakan yang dilakukannya.
 
 
GEORGETOWN - Bapa pemain badminton nombor satu dunia, Lee Ah Chai, 59, menafikan laporan media yang mengaitkannya cuba membunuh diri di atas Jambatan Pulau Pinang di sini, awal pagi kelmarin.

Beliau yang dihubungi Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita dan Komuniti, Ong Kok Fooi kelmarin mengakui ada memberhentikan kenderaan di atas jambatan, namun bukan berniat untuk membunuh diri.

"Ketika itu, saya dalam perjalanan dari pantai Queensbay dan mahu pulang ke rumah. Ketika melalui Jambatan Pulau Pinang saya berasa tidak selesa lalu menghentikan kenderaan di tepi jalan untuk mengambil angin dan tenangkan fikiran.

"Namun orang lain telah salah sangka dan menganggap saya ingin bunuh diri...ini tidak betul," katanya.

Sementara itu, Kok Fooi ketika dihubungi Sinar Harian semalam berharap orang ramai tidak salah faham dengan kejadian ini.

Beliau berkata, media juga tidak perlu menghebahkan lagi perkara ini kerana ia adalah masalah keluarga dan boleh diselesaikan oleh keluarga Ah Chai sendiri.

"Saya difahamkan, Ah Chai telah ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan anaknya, Datuk Lee Chong Wei.

"Kita harap semua masalah yang dihadapi akan dapat diselesaikan dengan baik," katanya.

Bersih 3.0: Suhakam bebas buat inkuiri sendiri

Posted: 12 Jun 2012 12:20 AM PDT

SINAR HARIAN

Suhakam
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia
 
 
KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak memberikan peranan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) untuk menyiasat dakwaan keganasan yang berlaku pada perhimpunan Bersih 3.0, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
  
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Abu Seman Yusop bagaimanapun berkata kerajaan tidak menghalang sekiranya Suhakam ingin menubuhkan panel siasatan awam.
  
"Kerajaan tidak menghalang penubuhan panel itu berdasarkan bidang kuasa diperuntukkan di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) 1999," katanya menjawab soalan Datuk Noraini Ahmad (Parit Sulong-BN).
  
Noraini bertanya adakah kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menjadi penganjur Bersih 3.0 yang telah menjadi protes jalanan yang ganas mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.
  
Mengenai tindakan terhadap Datuk S. Ambiga dan sembilan lain yang bertanggungjawab terhadap perhimpunan itu, Abu Seman berkata polis telah mengemukakan laporan siasatan kepada Jabatan Peguam Negara dan setakat ini belum menerima apa-apa maklum balas.
  
Beliau berkata, sekiranya penganjur dan peserta perhimpunan itu mematuhi Akta Perhimpunan Aman 2012, keganasan yang menggugat keselamatan dan ketenteraman awam tidak akan berlaku.
  
"Akta itu berkuatkuasa pada 23 April lepas, namun sehingga perhimpunan dijalankan pada 28 April tiada individu atau penganjur menghantar notis pemberitahuan kepada polis berkaitan perhimpunan berkenaan.
  
"Kerajaan tidak pernah menyekat kebebasan berhimpun dan bersuara, namun penyalahgunaan kebebasan berhimpun dan bersuara seperti mengadakan demonstrasi jalanan sehingga mengganggu ketenteraman sewajarnya dielakkan," katanya.
  
Menjawab soalan tambahan Noraini, Abu Seman berkata berdasarkan maklumat diperoleh sebelum perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lepas, pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) jelas menghasut rakyat untuk melakukan keganasan pada perhimpunan itu.
  
"Dalam satu majlis 'countdown' (perhimpunan) pada 26 dan 27 April lalu, pembangkang dan NGO telah menghasut para hadirin pada majlis tersebut yang dihadiri kira-kira 3,000 orang supaya bertindak agresif yang boleh jejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.
 
"Pembangkang juga telah mengapi-apikan peserta antaranya 'jika dataran dikawal polis kita rempuh masuk', memaklumkan apapun berlaku mereka tetap berhimpun di Dataran Merdeka dan 'biarpun polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pasang kawat duri tindakan merempuh akan berlaku'," katanya.
  
Dewan Rakyat kemudiannya kecoh akibat pertikaman lidah antara anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang berpunca daripada soalan tambahan Lim Kit Siang (Ipoh Timur-DAP) yang mempertahankan perhimpunan itu.
  
Ketika menjawab soalan Lim, Abu Seman berkata pembangkang tidak sepatutnya berbangga dengan kehadiran penyokong mereka secara sukarela pada perhimpunan itu walhal mereka sebenarnya telah dihasut.
  
Pertikaman lidah itu berterusan apabila Fong Po Kuan (Batu Gajah-DAP) dan Chong Eng (Bukit Mertajam-DAP) mempersoal keputusan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee yang memberi soalan tambahan ketiga kepada Datuk Lilah Yasin (BN-Jempol) kerana soalan asal ditanya wakil BN, Noraini.
  
Pertikaman lidah itu membuatkan Kiandee mengeluarkan kenyataan tegas: "Speaker telah membuat keputusan, tolong ikut keputusan tak perlu kita bertegang begini".
  
Lilah kemudiannya bertanya adakah kerajaan bercadang mendakwa pembangkang di bawah Akta Hasutan 1948 kerana menghasut rakyat melakukan keganasan pada perhimpunan Bersih 3.0.
  
Menjawab soalan tersebut, Abu Seman berkata kerajaan mahu Panel Penasihat Bebas mengenai rusuhan pada Bersih 3.0 mencari maklumat yang sebenar dan lebih teliti dahulu. - Bernama

Gerakan rakyat bantu Tok Guru Nik Aziz jayakan Lebuh Raya Rakyat

Posted: 12 Jun 2012 12:16 AM PDT


Oleh DINSMAN

Di luar jangkaan saya rupa-rupanya sahabat-sahabat dalam Paksi (Seniman Paksi Rakyat) pun begitu teruja dengan projek Lebuh Raya Rakyat (LRR) yang dilaksanakan oleh kerajaan pimpinan TG Nik Aziz di Kelantan itu.

Razali Endun dalam SMSnya kepada saya berkata: "Aku terfikir projek Lebuh Raya Rakyat yang diumumkan oleh Menteri Besar Kelantan harus disambut oleh Paksi

Projek itu satu projek ikhlas, kerana tak dapat bantuan kerajaan pusat. Aku cadangkan Paksi mengadakan kutipan derma untuk projek ini dengan mengadakan perhimpunan di markas Taman Melewar. Dengan kerjasama Cikgu Ishak Surin."

Katanya lagi dalam SMS itu, "Kita adakan aktiviti seni, libatkan penulis, sasterawan, budayawan, artis seperti Aishah dan Bob Lokman, juga kartunis Zunar dan kawan-kawan. Juga Pak Samad sebagai jemputan khas."

Dan seterusnya dia langsung mencadangkan: "Kalau setuju kita boleh adakan rundingan dan bentuk jawatankuasa kerja bagi menjayakan program ini."

Seorang lagi sahabat Paksi, Nasser Mohamad, menulis dalam blognya Kakisakat, menyatakan dia sangat teruja dengan projek rakyat tajaan kerajaan negeri Kelantan itu. Manakala dari utara, Cikgu Khairuddin pengerusi Masjid Batu di Permatang Pauh, menulis begini dalam SMSnya:

"Saya cadangkan kerajaan Kelantan bina billboard yang besar pada setiap pintu masuk ke Kelantan, lengkap dengan nombor akaun pembinaan Lebuh Raya Rakyat – supaya kami, selain daripada rakyat Kelantan, dapat menyumbang. Iklankan juga dalam Harakah. Insya Allah Masjid Batu akan membantu."

Saya sangat setuju dengan rancangan Razali itu. "Kita adakan aktiviti seni, libatkan penulis, sasterawan, budayawan, artis…." Dia mencadangkan dibuat himpunan di markas Taman Melewar, tempat yang selalu dianjurkan ceramah oleh Cikgu Ishak Surin dan anak buahnya. Maksudnya himpunan penulis, sasterawan, budayawan dan artis, mengadakan persembahan, dengan tujuan mengutip sumbangan daripada rakyat untuk disumbangkan kepada projek LRR itu.

Bagus cadangannya. Namun otak kreatif dan aktivis saya tidak mahu berhenti setakat di situ. Otak saya menyambung terus lagi daripada situ – kita buat aktiviti seni di tapak projek itu sendiri, di Machang atau di Kuala Krai. Kita berkumpul di sana – para budayawan, sasterawan, seniman yang berjiwa rakyat – kita pernah berkumpul di Kuala Pahang dulu, menyatakan solidariti dengan nelayan perahu kecil; dan kita pernah berkumpul di Kuala Terengganu, baca puisi memulakan kempen bantah PPSMI.

Kemudian kita berkumpul di Kampung Banda Dalam, membantah cadangan pihak Dewan Bandaraya hendak menceroboh khazanah warisan kampung itu untuk digantikan dengan projek kapitalis. Kemudian kita berkumpul pula di Felda Sungai Tengi, menyokong warga Felda mempertahankan hak mereka ke atas tanah ratusan ribu hektar yang hendak diperniagakan oleh Najib dan Isa melalui penyenaraian FGVH itu, dan sekarang…

Sekarang mari kita berkumpul pula di Machang atau di Kuala Krai – semarakkan seni ke dalam semangat rakyat bagi menyatakan yang hak dan benar. Yang hak ialah rakyat Kelantan yang berhak untuk mendapat kemudahan prasarana lebuh raya bagi memudahkan perjalanan antara Kuala Krai dan Kota Bharu sejauh 73 kilometer itu. Tetapi mereka dinafikan hak itu oleh kerajaan pusat yang dikuasai oleh Umno-BN.

Faktanya begitu mudah. Tetapi hairannya masih ramai golongan budayawan, sasterawan dan ilmuan yang tidak menyedari hakikat ini, kerana sebab-sebab yang agak memalukan untuk diulang-ulangi selalu. Mereka terlena dalam kesenangan dan kepentingan tertentu. Ah, biarkanlah! Kita yang mengerti dan memahami – kitalah yang melakukannya.

Saya percaya dengan semangat dan pengertian yang dinyatakan oleh Razali, Nasser dan Cikgu Khairuddin itu. Saya percaya di sana ada ramai lagi yang seperti mereka, yang akan menyambutnya dan menyemarakkannya ke seluruh pelusuk negara. Cikgu Ishak Surin dengan Madrasah Tarbiyah dan Madsrasah Seninya. Cikgu Azmi dengan Teras Pengupayaan Melayunya. Dan ramai lagi, yang bersedia untuk menyumbang, dan bersedia untuk membantu melalui pelbagai cara masing-masing.

Harakah sendiri pun, tentunya bersedia untuk berjalan seiring dengan gerakan ini, melakukan apa-apa yang bagi memudahkan mengalirnya semangat rakyat yang sedang bangkit merata. Inilah harapan kita. Dan saya sekadar merakamkan cetusan dari semangat ini.

Bentuknya agak berbeza. Yang ini memerlukan kesediaan untuk menyumbang (sodaqah). Dan jumlahnya kali ini adalah satu jumlah yang cukup besar. Tetapi ternyata Tok Guru Nik Aziz dan saf pimpinan di Kelantan sedikit pun tidak gentar dengan jumlah sebesar RM1.8 bilion itu. Mereka nampaknya begitu yakin dengan kemampuan rakyat untuk membuat sumbangan sebesar itu.

Barangkali kita akan bermula dengan kumpulan Cikgu Ishak di Taman Melewar. Kemudian barangkali Cikgu Khairuddin dengan gerakan di Masjid Batunya. Dan sambil itu Paksi pun akan menampilkan peranan seni-budayanya, dengan mengharapkan masyarakat Malaysia akan mengubah sikap mereka sedikit demi sedikit, termasuklah golongan penulis dan sasterawan.

Saya juga membayangkan – kalaulah boleh diusahakan sebuah kumpulan puisi yang sesuai dengan persoalan yang dihadapi ini – sepertimana himpunan di Kampung Banda Dalam dulu telah melahirkan antologi puisi 56 penyair itu. Atau lebih berkesan kalau diadakan sayembara menulis puisi Lebuh Raya Rakyat?

Gelagat Umno sebelum dipaksa turun takhta

Posted: 12 Jun 2012 12:11 AM PDT



Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN


Regim yang hampir tumbang sepatutnya melakukan usaha pembaharuan bagi merebut kembali sokongan rakyat, dengan berusaha sebaik mungkin menjinakkan hati dan minda pengundi, supaya dapat terus bertakhta.

Malangnya, apa yang sering berlaku, kebanyakan penguasa yang dibenci massa itu, selalu bertindak di luar jangka, dengan meneruskan -- malah meningkatkan lagi -- tahap kejahatan dan kezaliman, sehingga menyebabkan kebencian dan kemarahan orang ramai bertambah. Mereka seolah-olah gagal membaca isyarat kejengkelan rakyat yang muncul di mana-mana.

Sekadar contoh, perhatikan saja bagaimana perilaku bekas Presiden Indonesia di ambang kejatuhannya, 14 tahun lalu. Di kala rakyat mula memberontak dan menunjukkan aksi protes secara terbuka, ketika itu jugalah Suharto cuba memperkukuh kedudukannya dengan melantik suku-sakat dan anak-anaknya ke jawatan atau posisi strategik, yang menambah-parah amarah rakyat. Dua bulan sebelum berundur secara paksa, selepas 31 tahun memerintah, Suharto masih ghairah bertanding untuk penggal ketujuh.

tetap angkuh

Bagaimana pula dengan Hosni Mubarak, yang memerintah Mesir sejak 1981 dan dihukum penjara seumur hidup baru-baru ini? Masakan agensi perisikan yang berpengaruh besar di zamannya gagal mengesan mood rakyat, hinggakan menjelang perletakan jawatan pada Februari 2011, Hosni tetap angkuh mahu mewariskan Mesir buat anak-anaknya, menyebabkan kemarahan rakyat yang tertindas sejak sekian lama meledak.

Di negara kita, Najib Razak dan pemimpin-pemimpin Umno-BN kelihatan resah gelisah mencari strategi terbaik untuk memastikan kekal berkuasa. Jangkaan tarikh PRU13 -- ibu segala pilihan raya -- terus berubah-ubah, tanda sang penguasa tidak yakin bahawa  rakyat sekali lagi akan memberi mandat, walaupun pelbagai insentif one-off dicurahkan, selain dana "durian runtuh" ditabur, misalnya kepada peneroka Felda.

Malah, semasa berkempen di Kulim, dalam program Jelajah Janji Ditepati, pada 8 Jun lalu, Najib membayangkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 untuk keluarga berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan akan diberikan buat pusingan kedua. Ternyata, peruntukan hampir RM3 bilion untuk giliran pertama baru-baru ini belum cukup untuk membeli sokongan rakyat.

Najib tidak senang duduk berkejar ke sana sini melaksanakan program yang diatur buatnya, semata-mata untuk meraih simpati pengundi. Ada segmen berbeda buat khalayak berlainan, bukan saja dikategorikan oleh perbedaan kaum dan agama, juga meliputi himpunan khusus buat anak-anak muda, terutama pemilih yang baru pertama kali mengundi.

Himpunan Jutaan Belia di Putrajaya hujung Mei lalu, digambarkan Menteri Belia dan Sukan, Ahmad Shabery Cheek, sebagai mendapat sambutan luar biasa, dengan 2.4 juga pengunjung. Hanya segelintir yang percaya angka tersebut, namun lebih ramai mengingati program itu dengan kemunculan artis Korea dalam persembahan sensasi K-Pop, yang turut dihadiri Perdana Menteri dan isteri di atas pentas. Gambar Najib bersalaman dengan penyanyi berpakaian seksi itu menjadi bualan ramai.

kumpulan K-Pop

Kontroversi timbul bukan saja berpunca daripada bentuk persembahan dan pakaian menjolok mata tiga kumpulan K-Pop itu, tetapi kos besar membawa mereka datang ke Malaysia. Ada blogger mendedahkan invois bernilai RM2.4 juta tetapi Kementerian Belia dan Sukan menjelaskan jumlah itu dibuat berdasarkan perkiraan awal dan hasil perbincangan kos akhirnya adalah RM900,000 (masih terlalu tinggi, 'kan?).

Sukar untuk dipastikan apakah kos yang membazir itu boleh membawa keuntungan politik kepada Umno-BN? Terujakah generasi muda untuk menyokong BN selepas menghadirinya? Apakah formula lapuk BN, dengan menyogokkan hiburan tanpa adab itu kepada anak muda, akan memberi kelebihan  kepada mereka, bagi memastikan Putrajaya tidak terlepas? Saya yakin, jika itulah strateginya, dengan melekakan generasi muda, target tersebut pasti tersasar.

Sekonyong-konyong, debat Rafizi Ramli dan Khairy  Jamaluddin, yang disiarkan secara langsung Astro Awani, membicarakan isu yang menarik tumpuan anak-anak muda, berkaitan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Rata-rata penonton berpendapat hujah dan argumen Pengarah Strategi KeADILan itu lebih memikat dan bernas. Generasi muda terpelajar dapat diyakinkan bahawa Malaysia di bawah Pakatan, yang memerangi rasuah dan ketirisan, mampu menyediakan pendidikan percuma, apabila khazanah kekayaan negara dilindungi oleh pemerintah yang beramanah.

Dua tahun lalu, dalam jawapan di Dewan Rakyat, Menteri Pengajian Tinggi, Khaled Nordin menjelaskan, sehingga April 30 April 2010, seramai 1.5 juta pelajar mendapat pinjaman PTPTN. Tentulah jumlah peminjam sehingga kini menghampiri 2 juta orang, satu angka yang cukup besar dan dapat mempengaruhi PRU13. Pengundi seramai itu, dan mempunyai kelayakan akademik yang tinggi, tidak boleh diremehkan kecenderungan mengundi mereka.

Seterusnya, Najib dan timbalannya, Muhyiddin Yasin (juga mentornya, Dr Mahathir Mohamad) dikejutkan dengan kehadiran lebih 100,000 ahli dan penyokong PAS di Himpunan Hijau ke Putrajaya, di Stadium Darul Aman,  malam 1 Jun lalu. Siapa sangka, dengan persiapan tidak sampai dua minggu, gelombang lautan hijau mencipta sejarah baru dan menggegarkan Alor Setar?

beku pinjaman

Gugup dengan situasi yang semakin mengasak Umno-BN itu, tanpa diketahui siapa perancang dan penasihatnya, tiba-tiba, pada Selasa lalu, kita dikejutkan dengan berita pembekuan pinjaman PTPTN untuk pelajar baru Unisel dan Kuis, dua IPT di bawah Kerajaan Negeri Selangor.

Tidak syak lagi, ini merupakan amalan politik dendam kesumat berniat jahat Umno-BN, bukan saja untuk merampas Selangor tetapi bertujuan memburuk-burukkan imej Pakatan Rakyat yang menjanjikan pendidikan percuma. Umpama kata pepatah, tiada tanduk, telinga dipulas. Pelajar yang tidak berdosa -- dan 80 peratus daripada mahasiswa baru Unisel itu adalah Melayu -- menjadi mangsa politik bebal Umno.

Arahan yang dibuat Menteri Pengajian Tinggi Khalid Nordin -- seperti disahkan Pengerusi PTPTN, Ismail Mohamad Said, yang juga Ahli Parlimen BN Kuala Krau -- yang direstui Muhyiddin dan pastinya disokong sepenuhnya oleh Noh Omar, Timbalan Pengerusi Umno Selangor, telah mendapat reaksi yang cukup mengejutkan Najib: Tentangan dan kecaman cukup meluas dan merata!

Beberapa pemimpin Umno, misalnya Khairy dan Saifuddin Abdullah, yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi secara terbuka membantah langkah primitif itu.

Ya ... dalam suasana genting BN mengharapkan undi anak muda, tiba-tiba Umno mempamerkan wajah hodoh dan jelik. Tentu pelik dan aneh, 'kan? Reaksi awal MB Khalid Ibrahim bahawa Unisel akan mencairkan asetnya, hartanah seluas 500 ekar yang diperolegi hasil penyusunan semula hutang Talam, makin menambahkan gelabah Umno.

Noh, yang selalunya kelihatan berang dan garang, terkedu seribu bahasa. Sebelumnya, beliau berkata pembekuan PTPTN hanya akan ditarik balik jika kerajaan PKR (istilah ciptaannya) "mengaku salah dan mengiytiharkan tidak mampu memberikan pendidikan percuma dan tidak membuat janji kosong".

kelam kabut

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin melihat daripada perspektif yang menarik: "Nampaknya kedua-dua menteri (Khalid dan Muhyiddin) dari Johor ini tidak tetap pendirian. Mereka mula kelam kabut kerana Johor yang menjadi kubu kuat Umno selama ini sedang menjadi sasaran utama Pakatan Rakyat. Pada pilihan raya akan datang,  Pakatan Rakyat akan pastikan Johor bukan lagi deposit tetap bagi Umno BN.

"Kita percaya pembekuan ini ditarik balik kerana tidak tahan dengan desakan dalaman dan luaran atau juga Khaled  baru sedar bahawa pembekuan ini seumpama menggali kubur untuk dirinya dan Umno.  Kita berterima kasih kepada Khaled yang juga disebut-sebut bakal menggantikan MB Abdul Ghani Othman ... Selepas ini, Khaled akan dijadikan kambing hitam sebagai punca kekalahan Umno-BN, nasib yang sama dialami Dr Khir Toyo."

Mungkin suasana kelam-kabut, flip-flop dan keliru ini, membayangkan Umno sengaja menempah maut, sepertimana tindak-tanduk penguasa zalim atau diktator tua di penghujung pemerintahan mereka, misalnya kes Hosni Mubarak dan Suharto tadi.

SIAPA GALI KUBURAN LAMA TANJUNG PISAU?

Posted: 12 Jun 2012 12:08 AM PDT

Oleh : SHAIMON S JUMADI


BINCANG…Datuk Juslie dengan rombongannya sedang berbincang kepada media mengenai masalah pencerobohan tanah perkuburan tersebut.


TANAH Perkuburan Islam yang terletak di Kampung Tanjung Pisau yang ditinggalkan lebih 40 tahun lalu oleh para pewarisnya ekoran penghijrahan ke tempat lain sehingga tidak terurus telah diceroboh oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab dan mungkin ada kepentingan masing-masing sehingga tergamak membongkar semua kuburan untuk mengambil sisa-sisa tulang simati.

Perbuatan sebegini rupa bukan saja menjadi kemarahan di kalangan pewaris tersebut tetapi akan dilaknati Allah kerana menganiaya orang yang sudah meninggal dunia.
Ahli Parlimen Libaran, Datuk Hj Juslie Ajirul berkata demikian kepada media sejurus selepas lawatannya ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjung Pisau baru-baru ini.

Katanya, perbuatan menggali kuburan keluarga mereka tanpa pengetahuan dan tanpa meminta izin terlebih dahulu daripada pewaris terdekat amat mengecewakan. Seandainya masyarakat Islam yang melakukan kerja yang tidak diredhai Allah ini nescaya mereka akan menerima pelbagai bala dan balasan yang setimpal bukan sahaja di akhirat; kemudian tetapi azabnya mereka akan terima semasa hidup mereka dunia ini.

Apapun kata Juslie pihaknya akan menghubungi pihak tertentu untuk mengadakan penyiasatan dengan terperinci mengenai pencabulan dan pencerobohan tanah-tanah perkuburan tersebut. Biarlah undang-undang yang menghukum mereka yang didapati terlibat dalam aktiviti terkutuk itu.

PERIKSA…Juslie sedang memeriksa sebahagian kuburan yang sudah terhakis kerana dikorek untuk mengambil tulang-tulang tersebut

Bercakap mengenai situasi Kampung Tanjung Pisau yang berpontensi jika dimajukan sebagai pusat destinasi pelancongan dan taman rekreasi kerana dari segi alam sekitar flora dan Fiona masih suci belum dinodai oleh sesiapapun.

"Saya akan berbincang dengan kerajaan negeri khususnya Kementerian Pelancongan untuk mengemukakan cadangan agar Kampung tersebut agar dapat dimajukan sebagai pusat pelancongan untuk menjana pendapatan ekonomi dan memberikan peluang-peluang pekerjaan kepada penduduk setempat," tegasnya.

Rakyat Malaysia Boleh Lawat Rusia Tanpa Visa Tidak Lama Lagi

Posted: 12 Jun 2012 12:00 AM PDT




KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia bersedia untuk menikmati lawatan tanpa visa ke Rusia, sekali gus meningkatkan peluang mereka untuk bercuti di Eropah.

Rundingan bersama Moscow bagi pengecualian visa, yang bermula sejak kira-kira lima tahun lalu kini melalui peringkat akhir.

Pelancong Rusia boleh bersedia melawat Malaysia tanpa visa dan menetap sehingga 30 hari.

Duta Rusia ke Malaysia, Lyudmila G. Vorobyeya berkata, kerajaannya sedang berusaha untuk memuktamadkan perjanjian dua hala dengan Malaysia.

"Perbincangan telah membuahkan hasil dan kita akan mengadakan satu perjanjian tidak lama lagi. Ia akan menjadi satu pencapaian yang penting untuk kita," kata duta itu dalam satu temubual sempena sambutan Hari Rusia ke-20 pada Isnin.

Kira-kira 16,000 rakyat Malaysia berkunjung ke Rusia manakala 40,000 rakyat Rusia ke Malaysia pada tahun lalu.

Rakyat Malaysia perlu memohon visa dengan mengemukakan pakej pelancongan atau surat jemputan ke Kedutaan Rusia, dengan tempoh proses sehingga seminggu.

Pada masa ini, rakyat Malaysia boleh memasuki kesemua 27 negara Kesatuan Eropah (EU) tanpa visa (sehingga 90 hari) untuk tujuan bukan kerja serta empat negara bukan EU yang menganggotai sistem Schengen (Norway, Switzerland, Iceland dan Liechten-stein).

Vorobyeya berkata, Malaysia perlu meneroka pasaran pelancongan Rusia yang besar, sambil menambah terdapat kira-kira sejuta rakyat Rusia berkunjung ke Thailand dan 200,000 warganegara itu ke Vietnam dan Indonesia pada tahun lepas.

"Saya percaya Malaysia mempunyai lebih banyak tempat semulajadi yang menarik untuk ditawarkan kepada pelancong Rusia. Sabah, Sarawak dan Langkawi merupakan destinasi yang sering menjadi perhatian," kata beliau, sambil menambah bahawa lawatan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen ke Rusia pada tahun lalu menjadi perintis bagi mengadakan kerjasama dalam pelancongan.

Duta itu turut berkata, satu mekanisme suruhanjaya bersama akan ditubuhkan pada tahun ini bagi menyediakan platform untuk merapatkan lagi hubungan dua hala.

Dari segi pendidikan, Vorobyeya menggesa pelajar Malaysia untuk meninjau kursus-kursus selain program ijazah perubatan seperti gas dan minyak serta kejuruteraan pesawat.

"Rusia mengekalkan standard yang tinggi dalam pendidikan dan terdapat faktor yang berbaloi boleh dipertimbangkan," katanya.

Tumpukan Menang Pilihan Raya, Bukan Pemilihan Calon - MB Perlis

Posted: 11 Jun 2012 11:57 PM PDT

MSTAR ONLINE
 
KANGAR: Anggota-anggota parti komponen Barisan Nasional (BN) hendaklah menumpukan usaha mengekalkan kemenangan parti dalam pilihan raya bukan tentang pemilihan calon, kata Pengerusi BN Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

Berucap pada majlis penyampaian elaun kepada pengerusi jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) seluruh negeri di sini malam tadi, beliau berkata agenda terpenting menjelang pilihan raya umum ialah menguatkan kedudukan parti bagi memastikan kemenangan. Md Isa yang juga Menteri Besar Perlis mahu setiap anggota parti mengelak daripada mempertikaikan calon yang bakal diputuskan pucuk pimpinan.

"Setiap anggota parti komponan BN perlu mempunyai tekad yang sama iaitu memenangkan parti dan bukan bertelagah soal pemilihan calon," katanya.

Md Isa berkata BN berazam terus kekal memerintah demi kepentingan rakyat dan berharap orang ramai mendapatkan maklumat sebenar isu semasa supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakyah atau janji manis pembangkang yang menagih simpati. -BERNAMA

Bersih 3.0: Pemimpin Pembangkang Hadapi Risiko Jika Terbukti Langgar Undang-undang

Posted: 11 Jun 2012 11:53 PM PDT




KUALA LUMPUR: Tindakan tegas akan diambil terhadap semua pihak termasuk pemimpin pembangkang yang didapati melanggar undang-undang membabitkan perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata ia selaras dengan fungsi Panel Penasihat Bebas yang ditubuhkan bagi menyiasat insiden Bersih 3.0 itu iaitu bagi mencari 'kebenaran yangsebenar'.

"Panel bebas yang kita ditubuhkan adalah untuk mencari kebenaran yang sebenar.

"Jadi menerusi maklumat dan bukti yang diperolehi dalam siasatan ini...kalau ada bukti kita akan ambil tindakan yang sewajarnya," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Lilah Yassin (BN-Jempol) yang ingin mengetahui sama ada polis akan mendakwa pemimpin pembangkang di bawah Akta Hasutan yang didapati menjadi dalang menghasut rakyatmenyertai perhimpunan Bersih 3.0 yang berakhir dengan insiden rusuhan.

"Polis telah mengumpulkan bukti-bukti bahawa pembangkang menghasut rakyat. Saya nak tanya kepada kerajaan melalui bukti-bukti yang dikumpulkan...adakah kerajaan akan mendakwa parti pembangkang di bawahAkta Hasutan kerana jelas mereka menghasut rakyat.

"Adakah pihak polis akan heret ketua-ketua parti pembangkang yang telah menghasut rakyat," soalnya.

Pertanyaannya menerusi soalan tambahan ketiga pada sesi soal jawab lisan itu bagaimanapun menimbulkan kemarahan wakil rakyat pembangkang.

Ujian Memandu Guna Kenderaan Automatik Ditangguhkan

Posted: 11 Jun 2012 11:51 PM PDT

MSTAR ONLINE


KUALA LUMPUR: Pelaksanaan ujian memandu menggunakan kenderaan transmisi automatik yang sepatutnya dilaksanakan bulan lepas terpaksa ditangguhkan, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri.

Beliau berkata penangguhan itu disebabkan kementerian masih menunggu kelulusan peruntukan untuk mencetak buku dan peralatan bagi institut memandu selaras dengan pengenalan kurikulum baru pendidikan pemandu.

"Kurikulum baru sudah tersedia dan kita jangkakan pelaksanaan ujian mungkin dibuat dalam tahun ini juga," katanya kepada Bernama, pada Selasa.

Abdul Rahim berkata peruntukan yang diperlukan untuk mencetak buku dan membeli peralatan adalah kira-kira RM5 juta.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan cadangan penggunaan kenderaan transmisi automatik bagi ujian memandu akan dilaksanakan pada bulan Mei sebagai langkah memudahkan lebih ramai rakyat negara memiliki lesen memandu terutama golongan yang telah berumur dan wanita.

Kurikulum baru itu memberi penekanan kepada usaha melahirkan pemandu yang berhemah dan berdisiplin berbanding kurikulum sebelum ini yang lebih kepada kemahiran dan pengetahuan tentang undang-undang di jalan raya. -BERNAMA

Enakmen Undang-Undang Pilihan Raya Kerajaan Tempatan P. Pinang Tidak Sah - Chor

Posted: 11 Jun 2012 11:50 PM PDT

MSTAR ONLINE


KUALA LUMPUR: Enakmen Undang-undang Pilihan raya Kerajaan Tempatan yang diluluskan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang bulan lepas bagi membolehkan anggota majlis perbandaran di negeri itu dipilih oleh rakyat menerusi pilihan raya adalah tidak sah, Persidangan Dewan Rakyat diberitahu pada Selasa.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung berkata Enakmen tersebut bercanggah dengan undang-undang persekutuan iaitu Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) yang memperuntukkan bahawa pilihan raya kerajaan tempatan hendaklah dihentikan.

"Setelah merujuk kepada pihak Jabatan Peguam Negara, didapati bahawa Enakmen tersebut adalah tidak sah dari segi undang-undang kerana Seksyen 15 Akta 171 mengatasi Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 1960 (Akta 473) di mana ia secara jelas memperuntukkan bahawa undang-undang berhubung pilihan raya kerajaan tempatan (iaitu Akta 473 dan Enakmen tersebut) adalah terbatal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Gwo-Burne Loh (PKR-Kelana Jaya) yang mencadangkan pilihan raya kerajaan tempatan diadakan semula supaya anggota Majlis terdiri daripada mereka yang dipilih oleh penduduk setempat.

Chor berkata tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang meluluskan Enakmen tersebut tanpa berunding dengan Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT), jelas bertentangan dengan Perkara 95A(6) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kewajipan kerajaan negeri untuk berunding dengan MNKT berkenaan apa-apa perundangan yang dicadangkan mengenai kerajaan tempatan untuk pertimbangan dan persetujuan sebelum ia dapat dilaksanakan, agar wujud keseragaman.

Jelasnya, walaupun kerajaan tempatan terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, namun sebarang perkara yang melibatkan dasar perundangan mengenainya adalah tertakluk kepada kelulusan MNKT.

Selain itu, beliau berkata kerajaan tetap berpendirian bahawa pilihan raya kerajaan tempatan tidak perlu dilaksanakan kerana dianggap boleh menyebabkan pembaziran sumber kewangan, manusia dan pendapatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)yang terhad.

Pindaan Sekyen 15 Akta 171 bagi menghentikan pilihan raya kerajaan tempatan bertujuan membolehkan pihak-pihak berkuasa tempatan menumpukan segala usaha mereka terhadap penyampaian perkhidmatan yang berkualiti kepada masyarakat dan kawasan tadbiran mereka, katanya.

Chor juga berkata pilihan raya kerajaan tempatan bukanlah penentu ukur kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan PBT.

"Meskipun sistem pilihan raya tidak lagi diadakan di PBT, namun di bawah Seksyen 10 Akta 171, Ahli Majlis diwujudkan sebagai badan penggubal, perancang dan pelaksana dasar PBT," katanya.

Seksyen itu juga menyatakan syarat utama bagi pelantikan anggota majlis termasuk berpengetahuan luas dalam hal-ehwal kerajaan tempatan, telah mencapai kejayaan membanggakan dalam sesuatu profesion serta mempunyai kebolehan untuk mewakili kepentingan sesebuah kelompok dalam kawasan PBT.

"Dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan ini, maka ahli Majlis dapat memainkan peranannya dengan berkesan bagi membantu PBT," katanya. -BERNAMA

Nizar sedia mohon maaf kepada Sultan Johor

Posted: 11 Jun 2012 11:45 PM PDT

KOSMO




KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini menyatakan kesediaan untuk mengadap Sultan Johor Sultan Ibrahim bagi memohon maaf dan memberi penjelasan berhubung kenyataan menerusi twitternya mengenai bidaan no pendaftaran WWW 1.

Mohammad Nizar berkata, pihaknya akan menghantar surat permohonan rasmi bagi mengadap Sultan Johor dalam masa terdekat bagi membolehkan beliau menerangkan kedudukan sebenar seterusnya menghentikan kontroversi yang melanda isu tersebut.

"Selepas Sultan Johor menyatakan bahawa elok saya memohon kemaafan kepada rakyat Johor, hari ini saya ingin menyatakan seikhlas hati bahawa saya ingin sangat untuk mohon kemaafan kepada Sultan Johor sendiri.

"Tweet saya merupakan pandangan peribadi dan umum daripada seorang rakyat biasa tanpa ditujukan kepada mana-mana pihak... ini yang perlu diperjelas kepada Sultan Johor supaya tiada lagi spekulasi dan salah faham selepas ini," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Mohammad Nizar yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak kini disiasat di bawah Akta Hasutan berikutan dakwaannya di twitter berhubung kejayaan Sultan Johor membuat bidaan bagi nombor pendaftaran WWW 1 dengan harga RM520,000.

Sultan Ibrahim memenangi bidaan untuk nombor plat WWW 1 pada harga RM520,000 dan kemudian Mohammad Nizar melalui twitternya menyatakan bahawa jumlah wang yang besar itu boleh diguna untuk membantu orang Melayu yang miskin di negeri itu membeli rumah. - BERNAMA

PTPTN: S’gor tahu urus wang awam

Posted: 11 Jun 2012 04:58 PM PDT

 
Menteri Besar berkata sekiranya tindakan sedemikian (pembekuan pinjaman PTPTN) berulang maka langkah terbaik adalah dengan menukar Kerajaan Pusat.



SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor mempunyai pendekatan tersendiri untuk mengatasi tindakan drastik Kerajaan Persekutuan membekukan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada mahasiswa baru di Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis).

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata sekiranya tindakan sedemikian (pembekuan pinjaman PTPTN) berulang maka langkah terbaik adalah dengan menukar Kerajaan Pusat.

"Pendekatan lain yang turut ditekankan kerajaan negeri adalah dari segi memahami selok belok perniagaan berasaskan pendidikan dan kerajaan negeri tahu bagaimana hendak mengurus tadbir wang awam dengan berhemah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan 'Conference Building Integrity in the Public and Private sector d Shah Alam Convention Centre hari ini.

Ujar Abdul Khalid, "apabila kita menjalankan perniagaan pendidikan, sumber kewangan kita datangnya dari yuran para pelajar dan sumber itu perlu digunakan dengan lebih efisyen.

Lebih matang 

"Kerajaan negeri lebih matang dalam menangani isu ini walaupun Kerajaan Pusat mengatakan pihaknya hanya hendak menguji.

"Kita dah matang dah capai level itu. Ini isu integriti dan (Kerajaan Persekutuan) jangan bermain dengan polisi. Sedangkan kita kumpul duit rakyat maka kita harus menguruskannya dengan baik dan lebih telus," katanya.

Kerajaan negeri mensasarkan kecairan tunai sebanyak RM30 juta dapat dihasilkan dari penjualan aset hartanah seluas 500 ekar yang diperolehi berikutan penyusunan semula hutang-hutang Talam Corporation Berhad.

Wang tunai ini boleh membantu mahasiswa baru Unisel dan Kuis yang dihalang dari mendapat pinjaman PTPTN walaupun kemudiannya pembekuan pinjaman itu ditarik balik oleh Kerajaan Persekutuan.

Minggu lalu, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pembekuan sementara PTPTN sekadar untuk menilai sama ada betul atau tidak Pakatan Rakyat mahu melaksanakan pendidikan percuma.

Mohamed Khaled berkata, pihaknya mahu Pakatan kotakan janji memberi pendidikan percuma di institut pengajian tinggi yang ditadbir mereka tetapi ternyata apa yang dilaungkan sekadar janji kosong.

Akademi bukan untuk saingi Majlis Peguam

Posted: 11 Jun 2012 04:50 PM PDT

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Cadangan penubuhan Akademi Undang-Undang bukan bertujuan menandingi Majlis Peguam sebaliknya menjadi pelengkap di samping memperkembangkan sistem perundangan negara, Persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata cadangan penubuhan akademi tersebut adalah bagi mewakili anggota profesion perundangan secara menyeluruh melibatkan pelbagai golongan seperti anggota badan kehakiman, ahli akademik, pengamal undang-undang di Jabatan Peguam Negara, bekas hakim dan sebagainya.

"Penubuhan dan fungsi Majlis Peguam adalah mengikut Akta Profesion Undang-Undang 1976 dan kerajaan tidak berhasrat memansuhkannya atau meminda mana-mana peruntukan di dalamnya. Majlis Peguam masih boleh berfungsi seperti yang ada sekarang," katanya ketika menjawab ucapan penangguhan oleh Ooi Chuan Aun (DAP-Jelutong).

Ooi dalam ucapannya berkata cadangan kerajaan menubuhkan satu alternatif bagi menandingi dan menyaingi Majlis Peguam adalah satu langkah yang bahaya kerana ini akan melibatkan konflik antara kuasa eksekutif dan legislatif.

Liew berkata cadangan penubuhan yang akan dilaksanakan melalui Rang Undang-undang Akademi Undang-undang Malaysia itu bukan satu tindak balas terhadap Majlis Peguam memandangkan ia telah dipersetujuan lebih 10 tahun dahulu. Sidang Dewan disambung esok. - Bernama

Siswa parah dirempuh

Posted: 11 Jun 2012 04:47 PM PDT

Wartawan Sinar Harian

Mohd Imran
Anggota bomba memberi pertolongan kecemasan kepada Mohd Imran setelah
tersepit beberapa minit sebelum dibawa ke HRPB, semalam.
 
Keadaan kedua-dua kereta yang remuk di bahagian hadapan
Keadaan kedua-dua kereta yang remuk di bahagian hadapan selepas bertembung
di Jalan Simpang Pulai- Cameron Highlands, semalam.
 
 
SIMPANG PULAI - Seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar parah apabila kereta jenis Perodua Viva yang dipandunya dirempuh sebuah kereta jenis Toyota Avanza di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.28 pagi itu, Mohd Imran Hanafi, 19, patah paha kanan dan tulang rusuk, manakala pemandu Toyota Avanza, Teong Chay Lin, 22, turut cedera dan kedua-duanya dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan.

Pada masa sama, empat rakan mangsa yang turut berada dalam kereta jenis Perodua Viva tersebut hanya mendapat rawatan sebagai pesakit luar di hospital sama.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, Deputi Superintendan Wan Sharuddin Wan Omar berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila Toyota Avanza yang dipandu seorang wanita secara tiba-tiba memasuki laluan bertentangan.

"Dipercayai Avanza berkenaan dari arah Simpang Pulai cuba memotong sebuah kenderaan di hadapannya, namun gagal lalu merempuh Perodua Viva menyebabkan kedua-dua kenderaan remuk di bahagian hadapan.

"Kedua-dua mereka masih mendapatkan rawatan di HRPB dan siasatan lanjut diteruskan," katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat simpang Pulai, Mohd Yusof Ghazali berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.28 pagi dan tiba di tempat kejadian kira-kira lima minit kemudian.

"Sebaik sahaja tiba, kami dapati mangsa tersepit di bahagian pemandu dan anggota kita terpaksa menggunakan 'spreader' bagi mengeluarkan mangsa yang mengambil masa kira-kira 20 minit," katanya.

Laporan Himpunan Bersih Jejas Kuota Haji Tidak benar

Posted: 11 Jun 2012 04:45 PM PDT

Editor Buletin


Sebuah akhbar Singapura melaporkan, Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Anifah Aman, mengakui bahawa kuota haji Malaysia tidak terjejas ekoran perhimpunan Bersih 3.0 di Masjid Nabawi, Madinah dan Masjidil Haram, Mekah pada 26 April lalu.

Akhbar tersebut memetik Anifah berkata, ia adalah hasil pertemuannya dengan Menteri Luar Arab Saudi, Putera Saud Al Faisal, baru-baru ini.

Akhbar-akhbar media utama Malaysia telah melaporkan sebelum ini, kononnya kerajaan Arab Saudi sedang membuat pertimbangan sama ada untuk mengenakan sekatan atau menggantung jemaah haji dan umrah dari Malaysia berikutan insiden perhimpunan haram di kedua-dua masjid suci itu pada 26 April lepas.

Antaranya adalah, laporan agensi berita Bernama yang ditukil laman berita mStar Online.

Akhbar Mingguan Malaysia juga sebelum ini pernah melaporkan bahawa pihak berkuasa Arab Saudi telah melancarkan gerakan mengesan sekumpulan rakyat Malaysia yang menganjurkan perhimpunan Bersih 3.0 di Makkah dan Madinah April lalu.

Bapa mertua bidas Jimmy Shanley

Posted: 11 Jun 2012 04:40 PM PDT

KL TODAY

 


Bapa mertua kepada Jimmy Shanley, Datuk Suhaimi yang pernah menyatakan tidak akan memaafkan pengacara tersebut sekali lagi tampil membidas menantunya itu dalam program hiburan terkenal, "Melodi" yang disiarkan pada tengah hari kelmarin (10 Jun 2012).

"Sebelum ini memang saya tak pernah keluarkan kenyataan tentang kes Jimmy dan anak saya yang dah berlaku sejak setahun lebih. Banyak kenyataan yang telah dikeluarkannya. Dah tiba masa saya tampil berikan kenyataan yang mana saya rasakan Jimmy sudah tidak layak menjadi menantu saya kerana banyak tuduhan dibuat yang memburukkan anak saya.

"Anak saya sudah failkan perceraian. Jadi kalau dia sudah banyak memburukkan isterinya, tak guna lagi dia memperisterikan anak saya lagi. Jadi lepaskan sajalah. Jika dia tak lepaskan, ia seolah-olah dia adalah lelaki dayus," ujarnya seperti dipetik dalam "Melodi".

Sementara itu Suhaimi turut mendakwa Jimmy tidak bertanggungjawab dan ambil tahu tentang kelahiran cucunya, Zahrah Shanley sekitar setahun yang lalu.

"Nak ambil berat apa? Ini satu lagi masalah. Dia pernah keluarkan kenyataan bahawa isterinya tak beritahu dah lahirkan anak. Jika tak diberitahu isteri, bagaimana dia boleh membawa krew televisyen ke hospital untuk mengambil gambar anaknya?

"Bil bersalin pun tidak dibayar walaupun kita sebenarnya tak harapkan. Namun dia memang tidak bertanggungjawab. Bagi saya, dia tidak layak menjaga cucu saya," jelasnya lagi.

Suhaimi turut menyifatkan Jimmy sengaja mencari publisiti murahan dengan mencanang kisah buruk rumah tangga bersama isterinya, Nursuhaila Eliani. Malah dia turut meminta Jimmy agar redha menerima ketentuan Ilahi bahawa jodoh mereka tidak berpanjangan.

Sementara itu Jimmy dikatakan enggan mengulas kenyataan yang dikeluarkan bapa mertuanya itu, sebaliknya menyerahkan kepada pihak mahkamah untuk memutuskan jalan penyelesaian terbaik.

Jimmy dan Nursuhaila telah berkahwin pada Oktober 2010, tetapi mula tinggal berasingan selepas tiga minggu bernikah. 

Jimmy turut memfailkan permohonan kembali taat kepada Nursuhaila pada 31 Januari 2011, diikuti dengan permohonan nusyuz (ingkar perintah suami) pada 27 Januari lalu. 

Pergolakan rumah tangga mereka masih lagi dalam proses perbicaraan di mana Jimmy mendakwa Suhaila mengaku mengandung anak luar nikah ketika prosiding mahkamah yang berlangsung pada 9 Mei 2012.

Osman Kering kritikal di HUKM

Posted: 11 Jun 2012 04:34 PM PDT

KL TODAY

 
Pelakon dan pelawak, Osman Kering atau nama sebenarnya Osman kassim, 58, sedang dirawat di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di sini, Isnin.

Sehingga berita ini ditulis pada pukul 9.40 malam, keadaan Osman berada dalam keadaan kritikal dengan bantuan alat pernafasan.Anak kedua Osman iaitu Mohd Al Amin, 27, mengesahkan perkara itu dan menolak khabar angin bapanya sudah meninggal dunia sekitar pukul 7 malam Isnin.

"Alhamdulillah, ayah masih hidup dan kini dibawah pemerhatian doktor di wad kecemasan dan akan dibawa ke Unit Penjagaan Rapi (ICU) untuk rawatan selanjutnya," katanya di HUKM malam Isnin.

Amin menjelaskan, bapanya rebah sekitar pukul 6 petang Isnin di rumah mereka di Bandar Permaisuri, Cheras selepas mengalami batuk berdarah sebanyak dua kali.

Dia memberitahu seorang jiran yang datang untuk membantu kemudiannya mengesahkan bapanya telah meninggal dunia pada pukul 6.45 petang sebelum diperiksa sekali lagi oleh adiknya iaitu Nur Ain, 25, yang kebetulan bekerja dalam bidang perubatan.

"Selepas adik periksa nadi ayah, dia memberitahu ayah masih hidup tetapi nadinya lemah dan kami bergegas membawanya ke hospital," katanya.

Tambah Amin, ketika kejadian, ibunya iaitu Che Norhayati Che Omar, 48, berada disisi bapanya bersama seorang lagi adiknya.

Dalam pada itu, Amin memberitahu, bapanya memang sudah lama mengalami penyakit batuk kering dan sesak nafas dan keadaannya bertambah teruk sejak akhir-akhir ini.

"Doakan ayah saya kembali sihat dan dapat kembali seperti biasa," ujarnya.

Mangsa gas pemedih mata polis sewaktu BERSIH 3.0 dapat bantuan Pakatan Rakyat

Posted: 11 Jun 2012 04:30 PM PDT

Roketkini.com
Gambar ehsan Unit Penerangan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang




GEORGE TOWN: Mangsa gas pemedih mata polis yang dilepaskan sewaktu perhimpunan BERSIH 3.0, Asrul Wadi Ahmad, kini terpaksa menanggung derita cacat penglihatan sebelah mata.

Jurutera mekanikal berusia 26 tahun itu rosak penglihatan 80 peratus di mata kanannya akibat ditembak dengan kanister gas pemedih mata semasa penghimpunan di Kuala Lumpur pada 28 April lalu, juga telah hilang pekerjaan akibat kecederaannya.

Dalam lawatan ke Kampung Sungai Korok, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah bertemu dengan Asrul serta keluarganya untuk menghulurkan derma RM5,000 bagi meringankan beban tanggungan hidup.

Menurut Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang telah berusaha untuk mendapatkan pekerjaan untuk Asrul.

Setakat ini, beberapa syarikat telah pun menawarkan pekerjaan kepada anak muda itu yang berani berjuang bersama dengan ratusan ribu rakyat Malaysia untuk menuntut pilihan raya yang adil, bebas dan bersih.

Asrul yang berkelulusan ijazah kejuruteraan daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) adalah anak ketiga daripada Sembilan adik-beradik. – Roketkini.com






Speaker tak faham siasatan, usul tergempar Scorpene ditolak

Posted: 11 Jun 2012 04:24 PM PDT

Oleh Mohd Martin Kahar


KUALA LUMPUR: Usul tergempar KEADILAN supaya Kementerian Pertahanan menjawab dakwaan penjualan dokumen rahsia berkaitan kapal selam Scorpene kepada syarikat pertahanan Perancis ditolak hari ini.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul yang dikemukakan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dengan alasan kononnya kes tersebut tidak mempunyai bukti dan hanya andaian.

Usul berkenaan difailkan beliau pada Khamis lalu yang dibuat bawah Perintah Tetap 18(11).

Izzah berkata, skandal tersebut tidak boleh dipandang remeh kerana Malaysia terikat dengan Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu menentang rasuah dan bertanggungjawab menjelaskannya kepada antarabangsa.

"Isu ini menjadi perhatian antarabangsa. Bukan sahaja di Asia malah turut dibahaskan dalam Parlimen Malta. Malaysia perlu tampil menjelaskan perkara ini kepada antarabangsa lebih-lebih lagi ia melibatkan Perdana Menteri," katanya pada sidang media di lobi Parlimen.

Turut hadir, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari; Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan wakil NGO Kelab Kebajikan Veteran dan Pesara Tentera (Kerabat).

Izzah yang juga Naib Presiden KEADILAN memandang serius kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang ada mengesan dokumen sulit ketenteraan itu mengalir ke luar negara.
"Ia cukup membuktikan keselamatan negara terancam," tegas Izzah.

KEADILAN sehubungan itu mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat rasuah dan penjualan dokumen Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam urusan pembelian Scorpene, kata Izzah.

Sementara itu, Tian berkata, isu tersebut bukanlah andaian kerana siasatan polis Perancis membuktikan elemen penjualan dokumen sulit kerajaan.

"Parlimen kata mereka tidak menerima apa-apa dokumen. Speaker tak faham mengenai siasatan di Perancis. Dokumen mencukupi untuk Perancis meneruskan perbicaraan. Mengikut undang-undang, dokumen ini tak boleh dicetak dan diterbitkan.

"Hanya peguam sahaja yang boleh memegangnya. Peguam boleh mendedahkannya kepada anak guamnya dan wartawan. Jadi kalau mereka kata mereka tak dapat dokumen berkenaan skandal ini, saya kira ia tidak tepat," katanya.

KEADILAN persoal mengapa kes video VK Lingam tidak disiasat

Posted: 11 Jun 2012 04:13 PM PDT

Oleh Mohd Martin Kahar


KUALA LUMPUR  Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah menempelak Umno BN kerana tidak mengambil tindakan terhadap kes video klip VK Lingam walaupun siasatan Suruhanjaya Diraja membuktikan adanya unsur rasuah dalam pelantikan hakim negara.




Ahli Biro Politik KEADILAN itu berkata, isu tersebut tidak boleh ditutup begitu sahaja kerana ia melibatkan kredibiliti dalam pelantikan hakim negara.

"Laporan Suruhanjaya amat jelas pihak yang dinamakan terlibat dalam amalan rasuah dan mempengaruhi pelantikan hakim. Syor yang jelas juga telah dibuat oleh anggota suruhanjaya itu.

"Beberapa tahun sudah berlalu, kenapa keputusan atau syor daripada suruhanjaya itu tidak dipedulikan?" soalnya pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

Sivarasa berkata, pihak yang terlibat seharusnya dikenakan tindakan tegas kerana mencemarkan institusi kehakiman.

"Ia memberi gambaran yang cukup negatif di kalangan rakyat mengenai kedudukan institusi kehakiman dan peranan peguam. Penilaian antarabangsa mengenai kehakiman di negara kita masih rendah.

"Salah satu puncanya adalah wujud campur tangan daripada pihak tertentu dalam pelantikan hakim," katanya.

Pada 2008, Perdana Menteri pada ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi bersetuju menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kesahihan skandal video VK Lingam.

Keputusan suruhanjaya tersebut mengesyorkan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; dua bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Tun Eusoff Chin; Peguam Kanan, Datuk VK Lingam, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Adnan Mansor dan tokoh perniagaan, Tan Sri Vincent Tan disiasat berhubung peranan mereka dalam pelantikan hakim.

Suruhanjaya itu juga mengesyorkan supaya mereka disiasat di bawah Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi (OSA), Kanun Keseksaan dan kerana menghalang proses keadilan.

Bagaimanapun, Umno BN enggan mendakwa mereka yang terlibat kononnya siasatan tidak menunjukkan sebarang kes penyalahgunaan kuasa.

Tiada ulasan: