Khamis, 28 Jun 2012

.

.


Pendedahan Azan Ditawar RM5 Juta Terlewat

Posted: 27 Jun 2012 05:22 PM PDT

SESUDAH SUBUH

Ada sedikit musykil yang menghempak kepala saya tentang pendedahan ahli parlimen Indra Mahkota Pahang Azan Ismail yang memberi tahu kononnya dia pernah ditawar lebih RM5 juta supaya melompat ke BN. Kejadian itu dakwanya berlaku pada 27 Januari 2010 di sebauh hotel di Kuala Lumpur. Katanya urusan lompat itu dijalankan oleh seseorang yang dihormati dan rapat dengan pemimpin atasan UBN? Siapa.

Azan membuat pendedahan itu semalam di parlimen sehari sebelum berakhirnya sidang parlimen sesi ini. Bagaimana pun beliau tidak menghurai lanjut mengenai rancangan tawaran untuk membeli beliau itu.

Azan Ismail
Yang saya musykilkan kenapa baru hari ini Azan mengambil keputusan membuat pendedahan itu? Kenapa tidak dua tahun lepas? Sepatutnya kejadian-kejadian seperti itu didedah awal bukan dibungkus dalam guni rahsia dan diperakkan di jerung dinding. Hal-hal sebegitu patut didedahkan di saat PKR berada di dalam kritikal sewaktu beberapa ahlinya keluar meninggalkan PKR.

Tetapi nampaknya Azan mendiamkan diri dan tidak membuat apa-apa tindakan untuk membela dan mempertahankan dirinya. Apakah beliau waktu itu juga 'fikir tidak putus' mengenai tawaran itu. RM5 juga banyak wo... kalau dibelanjakan sejuta setahun boleh bertahan selama lima tahun?

Jadi bila hari ini baru didedahkan menyebabkan ia akan ditafsir dengan berbagai tafsiran dari kitab-kitab politik prejudis. Apakah Azan hendak menunjukkan yang beliau setia dengan parti dan seorang wakil rakyat berprinsip? Kalau begitu caranya ternyata tindakan itu kurang bijak dan tidak menguntungkan PKR kerana kesetiaan itu lewat dinyatakan.

Atau pun dengan pendedahan itu Azan ingin jadikan modal untuk dipilih bertanding dalam pilihan akan datang setelah merasakan beliau seperti diperkecil-kecilkan kini?

Berbagai kemungkin akan ditafsir dan diterjemahkan. Saya melihat Azan terpaksa mendedahkan akan kesetiaan dan pengorbanannya kepada parti kerana untuk mendapat penilaian pucuk pimpinan partinya terhadap pengorbanan dan jasanya kepada parti itu kemudian diharap dipilih lagi menjadi calon.

Kedudukan Azan di Terengganu kini katanya dalam keadaan tidak menentu. Rakan PKR, Pas Terengganu tidak bersedia untuk bekerjasama dengan Azan. Azan kini adalah pengerusi perhubungan PKR Terengganu. Sehingga ini belum ditentukan kerusi mana yang akan diberikan kepada Azan untuk ditandinginya. Kerusi Indra Mahkota yang dimenangi dalam pilihan raya 2008 khabarnya akan diserahkan kepada pengerusi PKR Pahanag Fauzi Abdul Rahman?

Berbalik pendedahan kononnya beliau ditawar RM5 juta itu, sebenarnya kejadian itu bukannya Azan seorang tetapi ada beberapa ahli parlimen lain yang turut sama ditawar ini termasulah ahli parlimen Ketereh Abdul Aziz Kadir. Aziz tidaklah pula memendamkan tawaran dalam keadaan berfikir tidak putus kerana beliau awal-awal sudah memaklumkan tawaran itu.

Seharusnya pengerusi PKR Terengganu itu meniru apa dilakukan pengerusi PKR Kelantan itu, mendedah kejdian itu awal-awal dan bukan menanti saat-saat akhir menjelang ayam berkukuk yang menandakan pilihan raya nakan tiba. [wm.kl.8:08 am 28/06/12]

MP Seri Gading Perlu Dikutuk

Posted: 27 Jun 2012 04:23 AM PDT

Susupan Petang

Cadangan atau saranan ahli parlimen Seri Ganding Johor, Mohamad Aziz agar S Ambiga digantung adalah keterlaluan dan satu cadangan tidak mencerminkan semangat 1 Malaysia dan sekaligus menunjukkan rakusnya perangai ahli MP Umno.

Mohamad Aziz
Walaupun cadangan itu dibuat di parlimen di mana beliau mempunyai imuniti dari undang-undang, semua pihak perlu mengutuk cadangan melampau Aziz itu. Sekiranya Umno ingin diterima sebagai parti semua rakyat Malaysia parti itu harus berusaha membawa Aziz ke meja badan disiplin parti.

Samada ia bercakap di parlimen atas hak individunya sebagai ahli parlimen tetapi dunia tahu yang beliau adalah ahli parti Umno.

Walaupun beliau sebagai orang Melayu merasa marah, geram dan benci kepada Ambiga yang menggerakkan Bersih tetapi tidak wajar kata-kata itu dilafazkan dalam apa juga keadaan. Mungkin ia boleh dimaafkan kalau cadangan itu dibuat di meja makan bersama anak-anak dan isterinya. Pun begitu ia tidak elok kerana cadangan seperti itu memberi gambaran ahli parlimen itu seorang jahat, kejam dan zalim serta hilang pertimbangan sebagai manusia.

Ambiga atau mereka yang merasa senak dengan kenyataan ahli parlimen yang dikenali dengan mulut celupar atau mulut berus persis Inchek Ibrahim itu tidak perlu mendesak dia minta maaf. Aziz tidak akan berbuat demikian walaupun dicincang 18. Tindakan paling berkesan ialah dengan mengutuk ahli parlimen itu dari segenap jerung dan sudut. Kalau boleh siarkan (suara) beliau membuat cadangan itu di parlimen biar semua orang India dan Hindu dengar.

Semakin jelas cadangan itu menunjukkan Umno semakin hari semakin tertekan dan akan melakukan apa saja tindakan yang diluar kotak pemikiran umum. Belum ada cadangan mana-mana wakil rakyat seperti itu sebelum ini. Apakah ini menandakan maruah dan sikap wakil rakyat Umno khususnya sudah semakin tidak menentu apabila mereka menyedari kuasa sudah di hujung senja.

Diharap cabaran seperti itu tidak melemahkan semangat Ambiga dan orang-orang pejuang sepertinya. Sudah menjadi sunatullah orang pejuang akan sering menghadapi apa jua ujian dan cabaran termasuk yang lebih kejam dari itu. [wm.kl.7:20 pm 27/06/12]

Tiada ulasan: