Khamis, 7 Jun 2012

:: @ AL-BAKISTANI @ ::

:: @ AL-BAKISTANI @ ::


PEROKOK TEGAR

Posted: 07 Jun 2012 10:49 AM PDT


Seorang perokok tegar bercita-cita untuk berhenti merokok. Sudah lama dia menanamkan hasrat itu, tetapi belum juga berjaya sepenuhnya. Walaubagaimanapun, semakin hari semakin berkurangan.

Semasa dia sudah berhenti merokok, dia masih lagi berkawan dengan rakan-rakan yang merokok. Dilihat rakan merokok, bibirnya terasa seperti air liurnya meleleh. Semakin dilihat, semakin terkesan pada hidupnya. Makanya, bagi menghilangkan 'gian', dia pun mengambil sebatang rokok, diletakkan dibibirnya tanpa dinyalakan api.

Dalam keadaan begitu, dia merasa bersalah, tetapi tetap berazam untuk berhenti dari merokok, sehinggakan satu ketika itu, dia melihat orang yang merokok pun, tidak menarik minatnya untuk merokok lagi.

Begitujuga bagi orang yang berdosa. Apabila dia sudah bertaubat, dia sudah berazam tidak mahu mengulangi dosa-dosa yang lalu. Namun, kala rakan-rakan di sekelilingnya dilihatnya sedang melakukan maksiat, kadangkala memberi pengaruh kepada dirinya untuk mengulangi balik dosanya itu. Dia turut melakukannya, tetapi selepas melakukan dosa tersebut, hatinya merasa cukup bersalah dengan tuhan.

Namun begitu, dia tetap berusaha lagi untuk berhenti dari mengulangi dosa dengan cara berkawan dengan orang-orang bertaqwa. Akhirnya, tindakannya itu memberi kesan pada dirinya sehinggakan maksiat itu sudah tidak terlintas langsung untuk dilakukannya.

Haraplah pengampunan ilahi. Haraplah anugerah kekuasaan ilahi. Haraplah bimbingan ilahi. Mudah-mudahan berjaya dalam menerusi hidup di dunia yang fana' ini.

Wallahu 'Alam



PTPTipu : BAGI AUTONOMI PENGURUSAN EKONOMI KEPADA PR

Posted: 07 Jun 2012 09:11 AM PDT


BN jadikan mahasiswa sebagai mangsa balas dendam dengan PR. Ekoran tuntutan pendidikan percuma dari mahasiswa, lalu tuntutan itu disokong oleh kerajaan PR, makanya BN tidak berpuas hati. Mereka jadikan mahasiswa yang belajar di Universiti kelolaan kerajaan Negeri Pakatan Rakyat sebagai mangsa. (baca sini)

MB Selangor, Tan Sri Khalid mahir ekonomi. Isu rakyat yang melibatkan mahaasiswa UNISEL ini tidak dipandang sepi oleh kerajaan negeri Selangor pimpinan PR. Makanya, Tan Sri Khalid telah membuat keputusan untuk bertindak. Iaitu, mencairkan eset UNISEL untuk membantu pelajar yang dijadikan mangsa oleh BN. (baca sini)

Sebelum Tan Sri Khalid buat kenyataan sebegitu, Muhyiddin Yasin telah menegluarkan kenyataan yang cukup sial, yang tiada yang tidak sial kecuali semuanya sial-sial belaka. Iaitu menyifatkan tindakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membekukan pinjaman kepada mahasiswa Universiti Industri Selangor (Unisel) sebagai "adil" kerana ia hanya reaksi kepada dasar PKR. (sila baca sini)

Bila kemukakan soal adil, ini gambaran tindakan yang paling sial tahap gaban yang dibuat oleh timbalan perdana Menteri tersebut. Kalau soal adil yang dikemukakan, Dicadangkan autonomi dari sudut pengurusan ekonomi, iaitu semua sumber dari negeri pakatan rakyat, seperti road tax, minyak, galian, gas, cukai pendapatan penduduk negeri selangor, cukai jalan yang dibayar oleh rakyat Selangor dan apa saja cukai yang dikutip oleh kerajaan persekutuan di negeri-negeri pakatan rakyat dipulangkan kepada kerajaan negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat, lalu di uruskan oleh kerajaan pakatan rakyat sendiri, tanpa melibatkan kepada kerajaan BN. Dan kerajaan BN pula, sumber ekonomi mereka dari negeri mereka sendiri.

Kemudian dari itu, kita buat bandingan, antara kerajaan BN dan PR, mana yang dapat menawarkan kebajikan kepada rakyat yang lebih baik.Selepas dari itu, baru la Muhyiddin Yasin layak bercakap soal ADIL

Agak-agak kerajaan BN berani?

Baca sama;

Sekian

PEDIHNYA TIDAK TERKATA

Posted: 02 Jun 2012 09:07 AM PDT


Sesama belajar di Pakistan, ketika menuntut di jamiah farooqiyyah. Syaikh al-Hadis di jamiah tersebut adalah Maulana Salimullah Khan. Seorang yang memegang ketua wefaq Deobandi Pakistan, juga didakwa mempunyai Sanad paling tinggi dinisbahkan di tiga buah Negara; Pakistan, India dan Bangladesh.

Pada tahun tersebut, ada seorang Maulana yang cukup berani. Perjuangan menegakkan kebenaran tidak menjadikannya kisah dengan kesukaran hidup. Maulana Azam Tariq cukup berani, sehingga berkali-kali ditangkap masuk penjara.

Semasa dia keluar dari penjara, dia telah datang ke jamiah Farooqiyyah berjumpa dengan Maulana Salimullah Khan. Menziarahi tokoh menjadi rutin hidupnya. Setelah perjumpaan, dia naik atas masjid farooqiyyah, makanya ramai anak-anak murid farooqiyyah berhimpun dikelilingnya ingin mendengar cerita dan celotehnya.

Di tunjukkan kakinya, didapati tidak ada kuku. Didakwa, semasa dia berada dalam penjara, kuku kakinya dicabut hidup-hidup. Ketika dia bercerita, kelihatan ramai yang mendengarnya mengeluh, seperti merasai kepedihan sakitnya ketika kuku kakinya dicabut. Tidak sekadar itu, ditunjukkan betis kaki kanannya seperti tidak ada kulit. Didakwa, ia dikelar oleh pihak berkuasa polis Pakistan, lalu disiat-siat hidup-hidup.

Penerangannya cukup meremangkan bulu roma. Bulu tengkok terasa menaik, mulut terasa seperti ada sesuatu yang sedang mencair seperti sedang makan gula-gula pahit. Mata tidak disangka-sangka, menitiskan air. Tersangat terasa betapa pedihnya siksaan pihak berkuasa lakukan kepadanya.

Kita terasa amat pedih dan gerun dengan Kepedihan itu, tetapi jarang kita menggeruni azab tuhan yang bakal diberikan kepada kita, jika kita melakukan penyelewengan terhadap agama.

Azab-Nya yang pedih, sukar diungkapkan.  Inilah ungkapan Tuhan, "Sesungguhnya orang-orang yang menukar janji (nya dengan) Allah dan sumpah-sumpah mereka dengan harga yang sedikit, mereka itu tidak mendapat bahagian (pahala) di akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan melihat kepada mereka pada hari kiamat dan tidak (pula) akan mensucikan mereka. Bagi mereka azab yang pedih" (Surah ali Imran, ayat 77)

Wallahu 'Alam

DISEBALIK FURDAH

Posted: 02 Jun 2012 08:27 AM PDT


Seorang perempuan berfurdah, tidak diketahui keadaan wajahnya yang sebenar. Ramai menjangkakan, wajahnya cantik. Tidak sikit juga yang menjangkakan sebaliknya.

Jangkaan itu berdasarkan penilaian masing-masing. Jika lekuk muka disebelah matanya kelihatan terbenam, dijangkakan pipinya tidak menggemuk. Jika lekuk disebelah matanya kelihatan menggemuk, dijangkakan pipinya juga sama.

Tetapi, apabila dibuka furdah itu, banyak jangkaan terbukti tidak tepat. Yang asalnya dijangka hodoh, ternyata cantik; asalnya dijangka cantik, ternyata hodoh; asalnya dijangka hodoh, ternyata lebih hodoh; asalnya dijangka cantik, ternyata lebih cantik.

Jika dijangkakan cantik, ternyata lebih cantik, sudah pasti orang yang melihat akan terkejut kagum. Sepertimana terkejutnya Fahri dalam filem ayat-ayat cinta, ketika melihat wajah Aisyah yang begitu cantik ketika membuka furdahnya.

Yang pastinya, sukar untuk menjangka sesuatu yang berada dibalik kain furdah kecuali jika ia diselak, maka tahulah keadaannya yang sebenar.

Begitulah kebenaran. Dalam dunia yang fana' ini, sukar untuk menilai siapa yang paling benar, kerana semuanya merujuk kepada sesuatu yang termaktub, tetapi mempunyai tafsiran yang pelbagai. Tafsiran A mungkin benar, tetapi ia tidak bermakna tafsiran B terus sesat. Begitulah seterusnya.

Yang pastinya, kebenaran itu akan terbukti di akhirat, kerana ketika itu segala semua perkara akan diangkat hijab oleh Allah SWT. Yang ada pada kita adalah, sentiasa berdoa kepada Tuhan agar dibukakan hati supaya berjumpa dengan kebenaran. Yang paling penting bagi kita, kita mahu berjumpa kebenaran di akhirat kelak..

Wallahu 'Alam




MUFTI BALACI PENCURI SELIPAR

Posted: 30 May 2012 11:57 AM PDT


Jejaka tua berkenan kepada anak gadis cun. Berkali-kali mengorat, tetapi tidak tergoda langsung. Almaklumlah, tua kerepot, perangai pula buruk. Berak merata-rata, kencing tidak terjaga, sudah pakai pampers, tetapi ada hati nak kahwin dengan anak gadis sunti.

Berkali-kali berusaha, tetapi tidak berjaya juga. Tujuannya untuk merosakan masa depan si anak gadis. Bukan mahukan sangat kepada anak gadis itu. Ini kerana, dengan umur yang begitu tua, mustahil mampu memberikan nafkah batin.

Namun, buruk perangai masih ada. Walaupun tua, tapi nafsu buas tetap wujud, maka tidak dapat memberikan hak nafkah batin pun tak mengapa, sekurang-kurangnya dapat merosakan masa depan si anak gadis pun sudah memadai.

Apabila sudah berusaha berkali-kali, namun tetap gagal, maka dipengaruhi imam di kampong supaya menjayakan agenda. Imam pula sememangnya sejak dahulu berkawan rapat, maka dengan jawatan imam, agama dijadikan bahan jualan. Didakwa si tua Bangka sebagai beragama, tidak pernah tinggalkan surau dan masjid untuk menunaikan solat jemaah, walhal semua mengetahui, si tua Bangka datang ke masjid dan surau, bukan untuk menunaikan solat, tetapi mencuri selipar yang cantik bagi pengunjung surau dan masjid.

Begitulah si tua yang bernama UMNO yang sedang berusaha hendak merosakan masa depan si anak gadis bernama PAS. Mengenangkan berkali-kali berusaha hendak mengajar "berzina" atas nama muzakarah ditolak si gadis sunti, maka terpaksa mempergunakan agama bagi menjayakan usaha jahat.

Imam bernama mufti perak menjadi balaci jahat. Berbekalkan jenama mufti perak menyerang si anak gadis sunti. Jenama agama menjadi bahan jual beli. Atas nama agama, si anak gadis difitnah dengan berbagai-bagai fitnah jahat.

Tindakan mufti perak telah diketahui umum sebagai salah. Walaupun atas nama penyatuan dan bangsa melayu, zina tetap zina, walaupun dinamakan muzakarah sekalipun. Walaupun mufti menyatakan si tua Bangka bernama UMNo itu adalah kaki surau dan masjid, tetapi umum mengetahui, si tua Bangka itu adalah pencuri dan perompak berlesen.

Sekian




LAYANG-LAYANG ITU

Posted: 28 May 2012 12:10 PM PDT


Layang-layang terbang naik ke udara. Terbangnya begitu menarik, tidak seperti kekabu bantal yang terbang. Kekabu terbang hanya mengikut tiupan angin. Ia akan ke kanan, jika angin bertiup ke kanan. Ia akan ke kiri jika angin bertiup ke kiri. Keadaan ini berbeda dengan layang-layang terbang, kerana ia agak terarah. Semuanya berpunca, layang-layang mempunyai tali yang dipegang oleh manusia.

Dalam keadaan begitupun, ada ketika tali layang-layang boleh terputus. Maka terbanglah layang-layang seperti kekabu. ia akan menjadi tidak terarah, malahan lebih teruk keadaannya berbanding kekabu. Namun apakan daya, tali telah terputus, tidak dapat dibantu lagi.

Begitujuga kehidupan manusia di dunia. Ia ada hidup bagaikan kekabu, dan ada hidup seperti layang-layang yang bertali. Manusia ditetapkan qada' dan qadarnya sepertimana tiupan angin terhadap layang-layang. Tetapi, manusia akan terarah apabila mereka diikat dengan tali akal yang dipandu oleh pemegang tali, iaitu al-Quran dan al-Sunnah.

Ada manusia yang tali akalnya terputus, maka jadilah dia gila. Ada manusia yang talinya tidak terputus, tetapi sengaja dilepaskan oleh pemegang talinya, iaitu mereka tidak mahu mengikut sumber wahyu ilahi. Makanya, mereka hidup terumbang ambing, sepertimana kekabu.

Hidup sebagai kekabu, sentiasa diharapkan kasih sayang-Nya. Ini kerana, Allah SWT tidak akan mengazab kepada mereka yang tidak didatangkan Rasul, sepertimana yang termaktub dalam surah al-Isra', ayat 15. Makanya, mengharapkan kasih sayang Allah terhadap mereka yang tidak diberikan akal agar diberikan kebahagiaan hidup di alam akhirat kelak. Begitujuga, bagi mereka seperti layang-layang yang terputus talinya.

Namun, terserahkan kepada kasih sayang Allah bagi mereka yang sengaja tidak memegang tali layang-layang itu. Ini kerana, ia sudah diberikan peluang oleh Allah untuk talinya dipegang, tetapi diabaikan oleh manusia itu sendiri.

Walaubagaimana pun, disamping kita tidak lupa akan kemurkaan-Nya, kita tetap mengharapkan kasih sayang ilahi, ini kerana, sayang tuhan itu melebihi kemurkaan-Nya. Firman Allah yang bermaksud, "azab-Ku diberikan kepada siapa yang dia mahu dan rahmat-Ku luas melepasi semua perkara" (al-'araf, ayat 156)

Wallahu 'Alam


SAYANG RABI’AH

Posted: 25 May 2012 12:15 PM PDT


Cintanya tidak harapkan balasan. Jika mendapat balasan juga, itu sekadar kredit dan bonus sahaja. Jika tidak diberikan syurga, dia tidak akan mengeluh. Kerana, itu bukan tujuannya. Jika diberikan neraka, dia redha jika itulah ketentuan-Nya.

Yang paling penting bagi hidupnya adalah redha ilahi. Tidak ada guna ke syurga, jika tuhan tidak redha. Redha-Nya adalah segala-gala dalam hidupnya. Amalan yang dibuat, bertujuan redha-Nya. Meninggalkan keseronokkan dunia kerana redha-Nya. Padanya, redha kepada-Nya adalah nikmat yang lebih hebat dari nikmat dalam syurga-Nya.

Pada fikiran dan hatinya, tidak pernah mempersoalankan apa yang dia dapat dari tuhan; dia tidak akan menuntut dari tuhan, kerana yang dia selalu bertanya adalah, "apakah yang telah aku lakukan untuk Tuhan?".

Fikirannya selaras seperti jawapan nabi. Dalam kegelapan dan kesunyian  malam, kedengaran suara tangisan teresak-esak. Kelihatan janggut nabi basah dengan air mata. Siti Aisyah bertanya mengapa begitu dahsyat tangisan nabi, sedangkan baginda sudah pasti ke dalam Syurga kerana Baginda ma'sum dari dosa.

Jawapan Nabi SAW benar-benar meremangkan bulu roma. Tidak terlintas di fikiran. Tidak terdetikpun dalam hati. Ini kerana, yang dipentingkan adalah, apa yang dilakukan untuk tuhan, bukan apa yang tuhan berikan kepadanya.

Ekoran itu, Nabi SAW pun menjawab, "bukankah tidak aku menjadi hamba yang bersyukur".

Ini cinta tahap maksima. Bukan mahukan syurga, bukan takutkan Neraka. Tapi cintanya adalah keredhaan Ilahi. Allah redha, maka nikmat yang dikecapi hatinya lebih enak nikmat dikecapi dalam syurga.

Sekian

Wallahu 'Alam


PASIR DAN LAUT

Posted: 25 May 2012 11:09 AM PDT


Butiran pasir terlalu banyak, tidak dapat dihitung kira. Pasir itu berbagai warna. Ada hitam, putih, merah, tidak ketinggalan bercampur dengan batu-batu. Sifatnya keras, tetapi dianggap lemah kerana berfaktorkan kecil. Tetapi dengan bilangannya yang banyak, lemahnya dianggap gagah.

Lautan yang terbentang luas, menjadi teman setia bagi pasir. Daratan pasir dipersisiran pantai, merenung ke arah lautan air yang terbentang, sayup jauh tidak kelihatan hujungnya.

Hubungan pantai dan lautan tidak boleh dipisahkan. Kedua-duanya dilihat seperti bersaing antara satu dengan yang lain. Kadangkala dengan kelembutan air laut, berjaya menghakis pasir sedikit demi sedikit. Dalam kelembutan, pasir kalah berlawan dengan lautan.

Begitulah dosa manusia dan pengampunan dari Tuhan. Bilangan dosa yang banyak umpama pasir, seakan-akan mahu menandingi kasih sayang-Nya seluas lautan. Kita kadangkala angkuh melakukan dosa, umpama mencabar kasih sayang-Nya. Tanpa kita sedar, dosa yang dilakukan semakin bertambah, menyebabkan bilangannya banyak umpama pasir.

Namun begitu, lautan kasih sayang-Nya tetap terbentang luas. Sampai saat dan ketikanya, kasih sayang itu dihakis sedikit demi sedikit untuk melawan pasir dosa. Makanya, manusia tidak didatangkan azab di dunia. Tanpa kasih sayang, manusia akan dibinasakan tuhan. Dengan kasih sayang, manusia mendapat penghidupan. Dengan kasih sayang juga, manusia diberikan ujian dan peringatan agar tidak lalai mengingati-Nya.

Namun jangan alpa, dalam kasih sayang lautan, kadangkala dipamerkan kemurkaan. Didatangkan ombak ganas dan tsunami. Masakan pasir hancur bertebaran, penghuni diatas daratan pun turut binasa.

Ambillah peringatan! Jangan kerana setitik nila, rosak susu sebelanga. Jangan kerana dosa, kita tertimpa kemurkaan-Nya.

Sekian

Wallahu 'Alam

PAPAN TANDA KE SYURGA

Posted: 23 May 2012 12:34 PM PDT


Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kelantan buat pertama kalinya, banyak mencabar sedikit. Ramai kata, ikut sahaja apa yang termaktub dalam papan tanda, maka itu sudah memadai untuk kita sampai ke destinasi yang mahu dituju. Hakikatnya, tidak mudah seperti yang didakwa.

Papan tanda yang diikuti, juga perlu kepada orang yang "mensyarahkannya". Tanpa kupasan dari orang yang berpengalaman, mungkin tidak sampai ke Kelantan. Mungkin sampai ke tempat lain, atau sekadar sampai di Pahang, lalu sesat jalan, tidak jumpa jalan pulang dan pergi.

"kalau dari KL, mula-mula cari papan tanda tulis bentung, lepas tu Raub, lepas Kuala Lipis, lepas tu gua Musang…" kata seseorang yang berpengalaman tentang perjalanan ke Kelantan. Ketika itu, kita mula memikirkan bagaimana jika tidak mempunyai penjelasan dari orang berpengalaman. Mungkin kita mahu ke Kelantan, tetapi yang kita sampai adalah Kuantan.

Begitulah kita mahu ke syurga-Nya. Al-Quran yang diturunkan itu merupakan petunjuk jalan agar kita tidak tersesat ketika berusaha menuju ke syurga-Nya. Namun, ia tidak dapat difahami kecuali perlu kepada orang yang memberi penjelasan lanjut. Orang tersebut adalah Nabi Muhammad SAW. Tanpa Nabi Muhammad, al-Quran itu tidak dapat difahami secara tepat.

Makanya, perlu diingat. Kita tidak boleh mengatakan kita hanya perlu kepada al-Quran, kerana akal kita amat terbatas dalam memahami al-Quran. Allah SWT telah mempamerkan kebaikannya dengan mendatangkan nabi Muhammad SAW untuk memberi penjelasan lanjut terhadap kandungan al-Quran itu sendiri.

Jadi, sewajarnya kita bersyukur dengan Allah ekoran Allah SWT mengurniakan Nabi Muhammad SAW kepada kita. Kita tidak sewajarnya angkuh dengan menolak nabi Muhammad SAW. Ini kerana, Siapa kita tanpa Nabi Muhammad SAW?

Sekian

Wallahu 'Alam


PAS GABUNG DENGAN DAP : SATU ULASAN

Posted: 20 May 2012 09:46 PM PDT

Ramai yang sangsi dengan tindakan PAS bergabung dengan DAP. Dengan PKR, tidak timbul sangat isu. Kesangsian ini, bukan sekadar berlaku pada orang UMNO, tetapi berlaku juga kepada orang-orang yang berkeahlian PAS, juga dari kalangan mereka yang berada dalam gerakan Islam.

Bagi memberikan huraian perkara ini, dikupasnya seperti berikut;

SATU : SIKAP BEBERAPA PIHAK

Dalam merungkaikan perkara ini, ia terbahagi kepada dua pihak, iaitu;

Satu : tidak bersetuju PAS gabung dengan DAP

Pendapat ini berhujjah seperti berikut;

[1]

Firman Allah;

لَا يَتَّخِذِ الْمُؤْمِنُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya;
            "Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi wali dengan meninggalkan orang-orang mukmin" (Surah al-Imran, ayat 28)

Dalam ayat ini, Allah SWT melarang menjadikan orang Islam menjadi non Muslim sebagai wali atau pemimpin. Makanya, tidak sepatutnya PAS bergabung dengan DAP, kerana parti itu adalah parti bukan Islam.

[2]

Firman Allah;

وَلَنْ تَرْضَى عَنْكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ

Maksudnya;
            "Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka" (Surah al-Baqarah, ayat 120)

Dengan yahudi dan nasrani, Allah SWT nyatakan bahawa mereka tidak akan redha terhadap Islam. Jadi, bergabung dengan mereka adalah bermaksud redha dengan mereka.

[3]

Seorang Tabiin bernama Sufyan al-Sauri ada berkata;

الكفر ملة ، والاسلام ملة

Maksudnya;    
"Kufur itu satu puak, dan Islam itu satu puak[1]"

Perkataan Tabiin ini merupakan asas bahawa tidak boleh bergabung dengan non Muslim. jadi, PAS tidak boleh bergabung tenaga dengan DAP.

Dua : PAS mesti bergabung dengan DAP

Pendapat ini berasaskan penghujahan berikut;

[1]

Firman Allah;

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya;
            "Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran" (Surah Al-Maidah, ayat 2)

Tolong menolong ini, dilarang dari melakukan permusuhan. Di kala DAP menyeru kepada keadilan, lalu PAS melakukan permusuhan dengan DAP, menyebabkan ia bercanggah dengan konsep ayat ini. Sedangkan dalam masa yang sama, kita disuruh melakukan bantu membantu dalam melakukan kebaikan dan ketaqwaan.

Dalam ayat ini, Allah SWT menyuruh kita bantu membantu dalam melakukan "al-Bir", sedangkan dalam ayat lain, Allah SWT guna kalimah "al-Bir" ketika menyuruh melakukan kebaikan dan keadilan kepada orang bukan Islam.

 Firman Allah;

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya;
            "Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik (al-Birr) dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil" (Surah al-Mumtahanah, ayat 8)

Memandangkan ayat ini menyuruh kita melakukan keadilan dan berbuat "al-Birr" kepada orang bukan Islam, maka tidak salah jika PAS bersama-sama dengan DAP dalam usaha saling bantu membantu menegakkan keadilan dan kebajikan.

[2]

Firman Allah;

وَمِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ مَنْ إِنْ تَأْمَنْهُ بِقِنْطَارٍ يُؤَدِّهِ إِلَيْكَ

Maksudnya;
            "Di antara Ahli kitab ada orang yang jika kamu mempercayakan kepadanya harta yang banyak, dikembalikannya kepadamu"  (Surah ali-Imran, ayat 75)

Dalam ayat ini, Allah SWT mengiktiraf tentang amanah yang dilakukan oleh orang bukan Islam. Ini ditambahi lagi pengiktirafan Nabi Muhammad SAW terhadap kebaikan yang dilakukan oleh Raja Habsyah.

Jadi, tindakan PAS bersama dengan DAP tidak menjadi kesalahan, jika dasar dan tindakan DAP itu menjurus kepada keadilan dan kebaikan, seperti amanah dan melawan rasuah dan sebagainya. Jika al-Quran mengiktiraf amanah kewangan  yang dilakukan  yahudi, maka tidak ada sebab kita tidak mengiktiraf kebaikan DAP jika mereka menyeru kepada benda yang sama.

[3]

Dari Talhah bin Abdullah bin Auf bahawa Nabi SAW berkata;

لقد شهدت في دار عبد الله بن جدعان حلفا ما احب ان لى به حمر النعم ولو ادعى به في الاسلام لاجبت

 Maksudnya;
            "Aku hadir di rumah Abdullah bin Jad'ad satu pakatan yang aku lebih suka kepadanya seperti sayang kepada unta merah (barang yang sangat berharga). Sekiranya aku diajak kepadanya di zaman Islam, nescaya aku menyahutinya[2]"

Al-Qutaibi menyatakan, "punca berlaku pakatan itu adalah Quraish telah melakukan kezaliman di tanah haram, lalu Abdullah bin Jad'an dan Zubair bin Abd al-Muttalib mengajak mereka kepada pakatan dalam memberi pertolongan dan menyelamatkan orang yang dizalimi. Ajakan itu telah disahut oleh Bani Hasyim dan sesetengah kabilah daripada Quraish[3]"

Dari ini, amat nyata bahawa bersama dengan non Muslim dalam berusaha menghapuskan kezaliman adalah satu perkara yang tidak bercanggah dengan Islam, sebaliknya ia diiktiraf oleh Nabi Muhammad SAW.

[4]

Firman Allah;

وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ

Maksudnya;
            "Jangan kamu cenderung kepada mereka yang telah zalim, maka akan menyambar akan kamu oleh neraka" (surah Hud, ayat 113)

Kezaliman ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, termasuk mereka beragama Islam. Ada muslim yang zalim, dan ada non Muslim yang adil. Jika kezaliman itu dibuat, maka pembuat itu tidak boleh disokong. Menyokong itu satu kesalahan. Jika menyokong kezaliman sudah disambar oleh Neraka, maka menyokong keadilan adalah satu kewajipan, tidak kira siapa sahaja yang melakukannya.

DUA : PENILAIAN

Sebelum membuat rumusan terhadap pendapat kedua-dua perkara ini, dihuraikan seperti berikut;

[1]

Dalam fiqh politik, asaskannya adalah capaian kepada maqasid, iaitu kemaslahatan kepada rakyat. Ia merupakan definisi politik, sepertimana yang pernah dinyatakan al-Qaradhawi.

Dalam kitab al-Siyasah al-Syariyyah, Qaradhawi mendefinisikan siyasah atau politik itu adalah;

القيام علي شيء  بما يصلحه

Maksudnya;
            "Melaksanakan terhadap sesuatu dengan perkara yang boleh mendatangkan kemaslahatan[4]"

Dengan erti kata yang lain, setiap tindakan yang mencapai kepada maslahah kepada rakyat, maka ia merupakan tuntutan kepada fiqh politik. Dengan maksud, perkara yang boleh mendatangkan mafsadah kepada rakyat, maka perkara itu berada diluar kerangka fiqh politik Islam.

Adapun nas-nas yang berkait dengan politik, sifatnya adalah wasail, iaitu elemen penghubung kepada capaian terhadap maqasid. Sesuatu ketetapan yang termaktub dalam Nas tersebut, ia merupakan salah satu cara untuk capaian maqasid, bukan satu-satunya cara sahaja. Dengan maksud, cara yang termaktub dalam nas tersebut, amat sesuai dengan kondusif politik di zaman itu, tetapi mungkin tidak sesuai dengan kondusif di zaman dan tempat yang lain.

Antara contoh dalam perkara ini adalah seperti sabda Nabi SAW;

الْأَئِمَّةُ مِنْ قُرَيْشٍ

Maksudnya;
            "pemimpin-pemimpin itu dari kalangan Quraish[5]"

Hadis ini adalah bersifat wasail, sedangkan maqasid dalam hadis ini adalah untuk mengelak pertembungan dan perbalahan. Ibn Khaldun dalam kitab muqaddimah menyatakan;

فإذا ثبت أن اشتراط القرشية إنما هو لدفع التنازع بما كان لهم من العصبية والغلب

Maksudnya;
            "Oleh itu, nyata bahawa syarat quriash adalah untuk menolak perbalahan ekoran kewujudan asabiyyah dan penguasaan"[6].

Dengan maksud, penguasaan dan "respek" pihak rakyat pada zaman itu terhadap Quriash menyebabkan Nabi SAW menyatakan kepimpinan itu dari kalangan Quriash. Dengan erti kata yang lain, jika mengelak dari perbalahan itu tercapai dengan tidak perlantikan Quraish, tetapi tercapai dengan perlantikan bangsa lain, maka melantik bangsa lain itu adalah satu keperluan.

[2]

Dalam politik Islam, perkara yang paling penting adalah perlaksanaan keadilan, dan berusaha sedaya mungkin dari tersebar kezaliman. Segala tindakan yang menegakkan kezaliman, maka ia wajar dilawan.

Firman Allah;

وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ

Maksudnya;
            "Jangan kamu cenderung kepada mereka yang telah zalim, maka akan menyambar akan kamu oleh neraka" (surah Hud, ayat 113)

Dalam hadis Qudsi, bahawa Nabi SAW berkata yang Allah SWT berfirman;

يَا عِبَادِي إِنِّي حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا فَلَا تَظَالَمُوا

 Maksudnya;
            "Wahai Hamba-Ku, Sesungguhnya Aku haramkan zalim terhadap diri-Ku, dan Aku jadikannya haram di antara Kamu, maka Jangan kamu saling zalim menzalimi[7]"

Ibn Taimiyyah menyatakan;

الله ينصر الدولة العادلة وإن كانت كافرة ، ولا ينصر الدولة الظالمة وإن كانت مؤمنة

Maksudnya;
            "Allah SWT tolong Negara yang adil, waima ia adalah kafir, Tidak menolong Negara yang zalim, waima ia mukmin[8]"

[3]

Tentang firman Allah;

لَا يَتَّخِذِ الْمُؤْمِنُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya;
            "Janganlah orang-orang mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi wali dengan meninggalkan orang-orang mukmin" (Surah al-Imran, ayat 28)

Ulasan tentang ayat ini adalah seperti berikut;

-1-

Ayat ini bersifat Sad al-Zaraie, iaitu menutup segala pintu-pintu haram. Sifat menutup pintu-pintu haram ini, tidak semestinya diharamkan secara mutlak, tetapi dengan meletakkan syarat-syarat juga ia sudah memadai menutup pintu-pintu haram.

Ia sama seperti Allah SWT menyatakan;

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ

Maksudnya;
            "Jangan kamu cela mereka yang menyembah selain dari Allah, nanti mereka mencela Allah dengan permusuhan (prejudis), dengan tanpa Ilmu" (surah al-An'am, ayat 108)

Ibn Kathir menyatakan bahawa Allah SWT melarang Rasulullah SAW dan orang-orang mukmin dari memaki sembah-sembahan musyrikin, walaupun ia boleh mencapai maslahah. Ini kerana, ia sebenarnya boleh membawa kepada mafsadah yang lebih besar, iaitu makian balas dari orang Musyrikin terhadap tuhan orang mukmin, iaitu Allah yang tiada tuhan kecuali Dia[9].

Menurut Al-Raisuni pula, hukum asal bagi celaan terhadap sembahan musyrikin adalah harus, malahan dalam beberapa ketika ia menjadi wajib. Ini kerana, menyembah selain Allah merupakan jenayah dan penyelewengan yang cukup besar. Namun, melihat kepada implikasi menyebabkan tercapainya mafsadah yang lebih besar, iaitu mereka mencela Allah dalam keadaan hati mereka ada permusuhan, zalim dan kejahilan, menyebabkan mencela sembahan selain Allah itu dilarang[10].

Dengan erti kata yang lain, mencela sembah-sembahan tersebut adalah dibenarkan DENGAN SYARAT ia tidak dilakukan dihadapan non muslim. Sekiranya diyakini tidak mendatangkan implikasi serang balas dari non Muslim tersebut, maka ia tidak menjadi haram.

Begitujuga dengan ayat 28 dari surah al-Imran. Larangan orang non Muslim jadi menjadi pemimpin itu kerana bimbang mereka menguasai orang Islam. Dengan maksud, tidak dibawah larangan sekiranya non Muslim itu menjadi pemimpin DENGAN SYARAT pengamalan dan beberapa perkara perinsip bagi umat Islam tidak diganggu gugat.

Dalam kerangka demokrasi, sesuatu perlaksanaan dasar tertakluk kepada undang-undang yang termaktub. Ia tidak boleh dilanggar oleh sesiapa sahaja yang memerintah, samada mereka yang beragama Islam atau mereka yang tidak beragama Islam. Sekiranya dalam undang-undang termaktub menyatakan hak orang Islam tidak boleh terhalang, maka sesiapa sahaja yang menjadi pemimpin, mereka kena akur dengan undang-undang tersebut.

Jadi, dengan perlantikan non Muslim sebagai pemimpin politik dalam kerangka politik demokrasi, ia tidak bercanggah dengan maksud ayat di atas.

-2-

Dalam kerangka monarki, pemimpin itu bersifat wilayah. Sedangkan dalam kerangka demokrasi, pemerintah tidak boleh pandai-pandai menentukan dasar kecuali mendapat persetujuan rakyat majority. Dengan erti kata yang lain, pemimpin dalam sesebuah Negara demokrasi, tidak bersifat wilayah, tetapi bersifat wakalah. Wilayah dalam kerangka demokrasi adalah rakyat dan undang-undang yang termaktub.

Ekoran dari itu, menjadikan hujjah ayat ini sebagai penghalang untuk mengundi non Muslim adalah tidak tepat. Ini kerana, dalam wakalah boleh diberikan kepada non Muslim.

[4]

Mereka berhujjah dengan merujuk kepada Firman Allah;

وَلَنْ تَرْضَى عَنْكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَى حَتَّى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ

Maksudnya;
            "Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepada kamu hingga kamu mengikuti agama mereka" (Surah al-Baqarah, ayat 120)

Kata mereka, "dengan yahudi dan nasrani, Allah SWT nyatakan bahawa mereka tidak akan redha terhadap Islam. Jadi, bergabung dengan mereka adalah bermaksud redha dengan mereka".

Bagi menjawab hujjah mereka ini, diperhatikan kepada satu hadis, bahawa Nabi SAW ada menyatakan;

أَلَا مَنْ ظَلَمَ مُعَاهِدًا أَوْ انْتَقَصَهُ أَوْ كَلَّفَهُ فَوْقَ طَاقَتِهِ أَوْ أَخَذَ مِنْهُ شَيْئًا بِغَيْرِ طِيبِ نَفْسٍ فَأَنَا حَجِيجُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya;
            "Ketahuilah bahawa mereka yang menzalimi Mu'ahid (non Muslim yang zimmi) atau mengurangkan (kata al-Tibiy : haknya) atau membebankannya luar dari kemampuannya, atau mengambil darinya sesuatu bukan dari cara yang baik, maka aku akan jadi penghujjahnya pada hari akhirat[11]"  

Melihat hadis ini, Nabi SAW mempamerkan bahawa Nabi SAW akan mempertahankan non Muslim yang dizalimi. Tindakan Nabi SAW mempertahankan non Muslim, bukan bermakna Nabi SAW redha dengan agama mereka. Maka begitujuga tindakan PAS bergabung dengan DAP, bukan bermakna redha dengan mereka.

Dari sudut Islam, tidak boleh kita hendak melahirkan permusuhan politik atas sebab berbeda agama, kerana kepercayaan agama melibatkan hidayah yang merupakan kekuasaan Tuhan, sedangkan menghentikan kezaliman adalah perkara ikhtiyari, iaitu dibawah kawalan kita. Maka ia hendaklah dilawan, waima ia dilakukan oleh muslim sekalipun. Jika Muslim melakukan kezaliman pun wajib dilawan, maka lebih-lebih lagi wajib dilawan, jika yang melakukan kezaliman itu adalah non Muslim.

[5]

Mereka berhujjah dengan merujuk perkataan Seorang Tabiin bernama Sufyan al-Sauri. Beliau berkata;

الكفر ملة ، والاسلام ملة

Maksudnya;    
"Kufur itu satu puak, dan Islam itu satu puak[12]"

Mereka menyatakan, "Perkataan Tabiin ini merupakan asas bahawa tidak boleh bergabung dengan non Muslim. jadi, PAS tidak boleh bergabung tenaga dengan DAP"

Dijawab bahawa berbeda kepuakan adalah fitrah. Tetapi, perbedaan puak itu tidak boleh menafikan keperluan bekerjasama dalam menjatuhkan kezaliman. Ia dapat dirujuk dalam hadis Hilf al-Fudhul yang disebut di atas bahawa Nabi SAW akan menyokong gerakan yang bersatu dalam menghapuskan kezaliman, waima ia dilakukan oleh Bani Hashim yang ketika itu tidak beragama islam lagi.

[6]

Mereka menyatakan, "Bersatu adalah satu keperluan. Dalam al-Quran, banyak ayat-ayat al-Quran menyuruh kita bersatu. Sedangkan berpakat dalam politik, tidak termaktub dalam nas al-Quran. Jadi, apabila bertembung al-Quran dan tidak, maka dahulukan nas al-Quran".

Dinyatakan bahawa dalam al-Quran, suruhan bersatu atas asas berpegang dengan tali Allah. Dengan erti kata lain, sekiranya dari pihak muslim ada yang tidak berpegang dengan tali Allah, maka tidak perlu bersatu dengan mereka. Malahan boleh jadi haram, jika bersatu itu mengukuhkan lagi pihak yang zalim.

Tanpa dilalaikan, bahawa al-Quran juga menyuruh kita menghindarkan diri dari cenderung kepada kezaliman. Secara istiqra' maknawinya, kezaliman memang wajib dihindari. Adalah satu perkara yang mustahil bahawa al-Quran menyuruh kita menyokong kezaliman.

Mendakwa bahawa sesama muslim perlu bersatu adalah perkara benar. Tetapi, adalah salah jika disuruh juga bersama dengan muslim, jika tidak berasaskan kepada keadilan dan menolak kezaliman yang merupakan antara perkara asas bagi tali Islam. Kita dituntut bersatu dalam melakukan keadilan dan menolak kezaliman, tetapi kita dilarang dari bersatu dalam melakukan kezaliman, waima sesama muslim sekalipun.

KESIMPULAN

Asas bagi Islam, ia adalah rahmat sekelian alam. Ia tidak memberi kasih sayang kepada muslim sahaja, tetapi kasih sayang menurut ajaran Islam melepasi batasan bangsa, warna kulit dan agama. Soal kepercayaan agama adalah soal hidayah, sedangkan hidayah dibawah kekuasaan Allah SWT.

Islam tidak menghalang kita bersatu dengan non Muslim dalam usaha menegakkan keadilan. Yang Islam halang adalah, bersatu sesama muslim dalam menegakkan kebatilan dan kezaliman. Juga islam juga menghalang memberi kekuatan kepada pihak batil untuk terus bertapak.

Islam menang apabila non Muslim memeluk Islam. Ia tidak akan berlaku, kecuali mereka menyukai Islam terlebih dahulu. Mereka tidak akan suka dengan Islam, jika Islam dipamerkan sebagai agama perkauman, walhal Islam adalah agama untuk semua manusia.

Ibn Taimiyyah pernah berkata, "Allah akan tolong Negara yang adil, waima ia kafir sekalipun. Allah tidak akan tolong Negara yang zalim, waima ia mukmin sekalipun[13]"

Dengan itu, bersatu kita menegakkan keadilan demi melihat Islam tersebar di muka bumi ini. Hindarkan diri dari bergabung dengan pihak yang zalim, kerana ia menjauhkan manusia dari Islam.

Wallahu 'Alam








[1]Musannaf Abd al-Razzaq; no, 10234.
[2]Sunan al-Baihaqi al-Kubra, hadis no : 12859.
[3]Ibid, jld 6, hlmn 367.
[4]Al-Siyasah al-Syariyyah fi Dau' Nusus al-Syariah wa maqasiduha, hlmn 29.
[5]Musnad Ahmad, hadis no : 11859.
[6]Al-Muqaddimah, hlmn 100.
[7]Muslim, hadis no : 4674.
[8]Al-Hisbah, hlmn 4.
[9] Ibni Kathir, Tafsir al-Quran al-'Azim : 3/314.
[10] Dr Ahmad al-Raisuni, Muhadharat fi Maqasid al-Syariah : 219.
[11]Sunan Abi Daud, 2654.
[12]Musannaf Abd al-Razzaq; no, 10234.
[13] Al-Hisbah, hlmn 4.

Tiada ulasan: