Jumaat, 25 Mei 2012

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI


FGVH: Anak serah memorandum kepada Suhakam

Posted: 25 May 2012 07:33 PM PDT

CERAMAH DSAI TERKINI

Posted: 25 May 2012 06:13 PM PDT


Video streaming by Ustream

SURAT TERBUKA KEPADA HASSAN JATI DARI DR MASLEE

Posted: 25 May 2012 03:44 PM PDT

Assalamualaykom w.b.t.

YB Dato' Dr Hasan Ali yang saya hormati,

Saya kira tidak perlulah saya perkenalkan diri saya memandangkan Dato merupakan tokoh dan sahabat yang saya kagumi. Saya kira, Dato' juga tetap menganggap saya sebagai kenalan rapat Dato' sekeluarga. Secara ikhlas, saya mula mengkagumi Dato' sebagai motivator semenjak saya di bangku sekolah lagi, sehinggalah Dato' menceburkan diri ke dalam bidang politik. Walau bagaimanapun kekaguman saya tidaklah menjadi penghalang untuk saya menyatakan sedikit pandangan terhadap pendirian Dato' mutakhir ini berdasarkan neraca ilmu dan keadilan. Kesedaran bahawa apa yang telah Dato' lemparkan kepada mantan parti Dato' sendiri, iaitu PAS, di dalam kenyataan-kenyataan Dato' di media dan juga lewat ceramah-ceramah Dato' yang bercanggah dari amanah keilmuan dan kebenaran, maka saya terdorong untuk menulis surat terbuka ini.

Sebagai ahli akademik yang mengkaji bidang gerakan Islam, politik Islam dan juga Usul al-Fiqh, saya berasa terpanggil untuk mengarang surat terbuka ini kepada Dato' untuk menilai beberapa kenyataan Dato' dari pertimbangan ilmu dan kacamata ilmiah di dalam bidang pengkajian saya. Saya kira tulisan surat terbuka saya sebagai ahli akademik ini adalah sebagai tanggungjawab saya kepada kejujuran terhadap disiplin ilmu yang saya pikul dan bukannya sebagai ahli politik. Saya bukanlah ahli parti PAS, yang tampil untuk membela PAS dari serangan Dato'. Maka saya bertegas menyatakan apa yang saya tulis ini hanyalah semata-mata pendangan orang luar dan ahli akademik yang neutral dan tidak berpihak, baik kepada Dato' mahupun kepada parti PAS yang telah memecat Dato'.

Saya kira Dato' mungkin telah maklum dengan pencapaian gerakan-gerakan Islam moderat di utara Afrika seperti Ikhwan Muslimun di Mesir, parti Ennahda di Tunisia, parti keadilan dan pembangunan (PJD) di Morocco dan juga parti-parti Islam lain selepas kebangkitan rakyat (Arab Spring). Kemenangan kesemua gerakan-gerakan tersebut secara empirikalnya seperti yang telah dianalisis oleh pakar politik di rantau berkenaan merujuk kepada tiga perkara utama: 'Wacana Islam moderat yang segar'; Kesediaan 'perkongsian kuasa' (power sharing); dan juga 'pengaruh di kalangan rakyat' melalui jaringan kerja kebajikan dan juga pendidikan yang menyeluruh, berterusan serta meluas.

Apa yang dimaksudkan dengan wacana moderat yang segar ialah kemampuan gerakan-gerakan tersebut untuk menawarkan apa yang diperlukan oleh rakyat dan apa yang diperlukan oleh sesebuah Negara di dalam pendekatan mereka. Wacana moderat juga telah memperlihatkan bagaimana gerakan-gerakan Islam, tidak lagi memaksakan apa yang mereka mahukan atau percaya ke atas rakyat tanpa kerelaan majoriti. Maka, di dalam wacana baru mereka, gerakan-gerakan Islam tidak lagi menawarkan retorik 'Dawlah Islamiyyah' (Negara Islam) yang agak bersifat utopia dan tidak tentu apakah modelnya. Mereka juga tidak menawarkan hukuman jenayah Islam 'secara paksaan' seperti yang pernah dilakukan oleh Taleban di Afghanistan, sebelum keadaan ekonomi dan kebajikan yang kondusif disediakan di dalam negara mereka. Mereka juga tidak mempamerkan diri sebagai penghukum, tetapi mereka muncul sebagai pembawa harapan, pejuang kebebasan dan pelaksana keadilan setelah rakyat ditindas dan dizalimi selama berdekad-dekad lamanya oleh para diktator. Perkara ini telah membuatkan ramai dari kalangan pengkaji di barat telah mula mengatakan bahawa golongan ini telah merubah sikap dan prinsip mereka, lantas menggelar fenomena ini sebagai post-Islamism (pasca-Islamisme).

Saya konsisten untuk tidak menyokong istilah pasca-Islamisme yang sarat dengan makna neo-kolonialisme. Hakikatnya gerakan-gerakan Islam yang terlibat tidak pernah merubah prinsip. Mereka juga tidak meninggalkan landasan perjuangan, apatah lagi mengubah pendirian. Apa yang berlaku ialah proses kematangan gerakan-gerakan terlibat untuk melihat Islam dalam kerangkanya yang lebih luas dan komprehensif. Kejayaan beberapa individu berlatarbelakangkan Islamis di Turki melalui agenda neutral AKP, telah menjadi sumber inspirasi gerakan-gerakan tersebut. Wacana ini juga bertunjangkan konsep Maqasid al-Shariah dan melihat ajaran Islam dari aspek yang holistik, terutamanya aspek moral dan keadilan. Gelombang perubahan pada pendekatan inilah yang telah melanda kebanyakan gerakan Islam di seluruh dunia mutakhir ini, tidak ketinggalan PAS yang Dato pernah sertai dahulu. Gelombang ini sekaligus melenyapkan pengaruh model Iran yang pernah mendominasi wacana gerakan-gerakan Islam sedunia dengan melaungkan pembinaan sebuah republik Islam dan juga pemerintahan mutlak golongan agama (Wilayatul Faqih).

Realitinya kini, gerakan-gerakan Islam moderat yang wujud lebih memilih ruang demokrasi untuk membawa perubahan. Mereka juga melaungkan pembentukan negara sivil milik semua warga dengan menjamin kebebasan politik, penegakan keadilan, hak upaya masyarakat sivil, hak wanita, tatakelola yang baik, kebajikan rakyat yang terpelihara, ekonomi yang lebih berdaya saing serta bebas dari korupsi, pecah amanah dan rasuah, serta perkongsian kuasa bersama rakyat dari segala lapisan dan kumpulan. Menurut kajian saya ke atas wacana baru PAS, terutamanya melalui konsep 'Negara Berkebajikan', PAS juga tidak terlepas dari arus perubahan ini. Jika Dato' merasakan pendekatan baru PAS ini bermakna PAS telah meninggalkan perjuangan Islamnya, saya kira Dato' tersilap. Perubahan pada PAS bukanlah kerja parasit sepertimana yang Dato' dakwa, tetapi ianya merupakan satu dinamisme tabi'i bagi sebuah gerakan Islam yang matang. Jikalaulah parasit yang telah menyebabkan perubahan pada PAS, maka pastinya kesemua gerakan Islam di Utara Afrika dan Asia Barat, termasuk Ikhwan Muslimin di Mesir dan juga parti Ennahda juga telah dilanda parasit. Timbul dilemma di dalam pemikiran saya, apakah pemimpin dan tokoh ideolog gerakan Islam sedunia, Rashid Ghannoushi yang telah mencetuskan wacana gerakan Islam yang baru itu juga telah dijangkiti parasit? Apakah mungkin Dato ingin mengatakan bahawa Rashid Ghannoushi yang merupakan sumber inspirasi perubahan fikrah pada gerakan-gerakan Islam moderat sedunia itu pula merupakan bapa parasit?

Yakinlah Dato', sepertimana gerakan-gerakan tersebut telah berjaya mendapatkan majoriti undi di dalam pilihanraya di negara-negara mereka kerana pendekatan baru ini, PAS juga sedang meniti langkah tersebut. Inilah yang ditakuti oleh UMNO dan kerajaan BN. Pihak lawan tidak mahukan PAS mendapat sokongan majoriti masyarakat Islam dan bukan Islam di Malaysia. Pihak lawan mahu PAS kekal sebagai parti kampung milik Pak Lebai dan Pak Haji. Pihak lawan juga tidak mahu PAS bangkit sebagai parti milik semua rakyat Malaysia, mereka lebih selesa PAS dikenali sebagai parti ekstrimis dan fundamentalis yang hanya tahu memotong tangan orang sahaja. Hanya dengan wacana Islamis global yang baru ini sahajalah niat buruk mereka akan terhalang. Malang sekali apabila Dato' pula yang mula bercakap senada dan seirama dengan pihak lawan menentang perubahan pada PAS. Lebih malang lagi kini Dato' menjadi suara pihak lawan untuk memaksa PAS kembali ke kerangka persepsi lama rakyat terhadap mereka yang telah dilelong oleh pihak UMNO dan BN.

Saya yakin, di dalam PAS masih terdapat segelintir yang termakan umpan Dato' lantas mempercayai kewujudan parasit. Mereka ini golongan yang ikhlas tetapi hanya kurang mendapat pendedahan terhadap dunia luar sahaja. Ada di antara mereka juga yang berkepentingan, lantas menggunakan hujah Dato' untuk kekal berpengaruh, tetapi saya yakin mereka ini teramat kecil bilangannya. Melalui pengamatan saya, PAS akan terus menggalas harapan rakyat dan juga kefahaman Islam yang sebenar berteraskan wacana baru gerakan Islam sedunia untuk menempuh hari muka mereka. Seperkara yang perlu Dato' ketahui, wacana baru gerakan Islam moderat ini juga telah mendapat restu dari para ulama terkemuka seperti Dr Yusuf al-Qaradawi, Dr Tawfiq al-Wa'ie, Dr Rashid al-Ghannoushi. Amat kasihan kerana Dato' tidak dapat bersama lagi dengan realiti baru ini.

Apabila melihat kepada isu 'Negara Berkebajikan' pula, pada hemat saya, setelah meneliti dokumen 'Negara Berkebajikan' PAS dan membandingkannya dengan manifesto parti-parti Islam moderat lain di dunia Arab, saya mendapati PAS ternyata senada dengan mereka yang telah Berjaya di negara masing-masing. Saya berkeyakinan gagasan 'Negara Berkebajikan' merupakan satu langkah drastik PAS di dalam membawa perubahan dan menyuarakan persiapan mereka untuk muncul sebagai alternatif kepada parti pemerintah yang sedia ada. Prinsip-prinsip konsepsual 'Negara Berkebajikan' yang dibentangkan di dalam dokumen tersebut dan juga cadangan mekanisme perlaksanaannya merupakan satu anjakan paradigma bagi sebuah gerakan dakwah dan parti politik yang telah matang seperti PAS. Jelas sekali PAS sudah melayakkan dirinya untuk menyertai gelombang perubahan yang melanda gerakan Islam di seluruh dunia dengan membuktikan bahawa golongan Islamis mampu dan bersedia untuk berkongsi kuasa dan memerintah di dalam kerangka demokrasi dan tatakelola yang baik. Malangnya, hal ini tidak disambut positif oleh Dato', malah dipandang sinis.

Melihat kepada isu hudud yang Dato' anggap telah ditinggalkan oleh PAS, saya kira itu juga agak kurang tepat. Sebagai sebuah parti Islam, saya berpendapat PAS dilihat amat konsisten memperjuangkan apa yang mereka yakini, iaitu kewajipan melaksanakan hukum hudud. Apa yang menarik ialah pendekatan PAS yang terbuka untuk membicarakan isu tersebut di ruang umum dan bersedia untuk meyakinkan rakyat melalui proses pendidikan dan dakwah adalah sesuatu yang patut dihargai. Apa yang saya dapati melalui metod obervasi ke atas ruang 'discursive' PAS selama ini, PAS tidak memilih untuk memaksakan hudud ke atas orang lain secara kekerasan. Malah di dalam banyak kenyataan PAS, mereka bersedia untuk mendengar suara majoriti di dalam melaksanakan hukum jenayah Syariah itu. Pendekatan diplomasi PAS ini harus dihormati kerana ia mencerminkan sikap professionalisme PAS dan keterbukaan para pimpinannya. Saya kira kerana sikap konsisten PAS inilah yang menyebabkan parti itu telah berjaya meraih sokongan ramai bukan Islam melalui 'Kelab Penyokong PAS'.

Akhirkata, jika Dato' benar-benar ingin memperjuangkan aqidah dan memerangi gejala murtad yang dikatakan sebagai mengancam umat Islam di Selangor, saya mempunyai pelan tindakan yang boleh Dato' lakukan berdasarkan kekuatan yang ada pada diri Dato'. Sebagai seorang motivator yang begitu meyakinkan dan berupaya bermain dengan emosi orang ramai, saya rasa sudah sampai waktunya Dato' untuk turun padang bertemu dengan mereka yang didakwa murtad berdasarkan senarai yang rakan-rakan Dato' miliki. Mungkin juga Dato' boleh menggunakan kemahiran tersebut juga untuk berdakwah kepada mat-mat rempit, tahi dadah, remaja berpeleseran yang terdapat di dalam negeri Selangor secara sukarela tanpa sebarang bayaran. Jika dulu mungkin Dato' sibuk dengan tugas exco, kini Dato' lebih mempunyai waktu lapang. Buktikanlah kata-kata Dato' yang ingin menjaga aqidah itu. Saya kira Dato' juga boleh berdakwah di Hard Rock Café menyeru umat Islam agar bertaubat dan menghayati agama Islam. Saya pasti pemilik Hard Rock Café tidak akan menghalang kerja murni Dato' itu. Saya yakin 10,000 atau lebih orang yang turut berHIMPUN bersama Dato' untuk menyelamatkan aqidah umat Islam boleh Dato' kerahkan dari seluruh negara untuk sama-sama turun padang demi menyelamatkan aqidah umat Islam secara praktikal. Saya amat meyakini, jika Dato' berdakwah seperti itu, Dato' akan tetap dikenang kawan ataupun lawan sebagai 'pejuang aqidah yang sebenar!'.

Dr Maszlee Malik
Ahli Akademik Politik Warga
UIAM
Surat Terbuka Moderator Debat PTPTN, Dr. Maszlee Malik Kepada Hassan Ali

FGVH: Bank Negara terima aduan peneroka

Posted: 25 May 2012 07:49 AM PDT

ALAAAA MAMASK NI MACAM LANTIK DIRI SENDIRI JADI WAKIL MELAYU PULAK

Posted: 25 May 2012 06:57 AM PDT

NI YANG MAHATHIR KATA RAKYAT NAK GULING BARISAN NASIONAL KALAU MENANG

Posted: 25 May 2012 06:43 AM PDT

Gerakan Gantung Kain Kuning: Kembali kepada 8 tuntutan BERSIH

Posted: 25 May 2012 06:29 AM PDT

Berita keganasan polis telah mengalih perhatian daripada lapan tuntutan BERSIH 3.0 selepas 28 April 2012.  Lebih-lebih lagi ruang dada media dihiasi dengan berita senaman punggung, gerai burger, pasar malam di depan rumah Ambiga dan sebagainya, ditambah pula isu seperti "Perdana Menteri Bukan Melayu", yang ditonjolkan secara tiba-tiba.

Gerakan Pendidikan Pilihanraya Bunga Matahari atau Sunflower Electoral Education Movement (SEED), satu pertubuhan daripada masyarakat sivil telah melancarkan satu "Gerakan Gantung Kain Kuning (GGKK)", bertujuan untuk menyeru agar rakyat Malaysia kembali kepada matlamat perjuangan asal BERSIH 3.0, iaitu 8 tuntutan yang dikemukakan.

Dalam satu kenyataan media, SEED menyeru agar rakyat menggantung kain kuning dengan tulisan BERSIH ini di tempat-tempat yang menonjol, seperti tingkap ataupun pagar pintu kediaman masing-masing.

Menurut SEED, GGKK memberi makna-makna tertentu.  Pertamanya, ia meneruskan hasrat perjuangan BERSIH, yang tidak terhad pada 28 April 2012.  Menggantung kain kuning di depan rumah secara jelas menyampaikan mesej kepada penguasa, bahawa rakyat akan terus bersuara tidak kira siang ataupun malam, panas mahupun hujan - sehingga tuntutan BERSIH dilaksanakan.

Kedua, menyebarkan mesej secara meluas.  Apabila media arus perdana disekat kebebasannya, hak rakyat untuk mengetahui tercabul.  Bukan sahaja berita keganasan polis tidak dapat dipaparkan secara menyeluruh kepada orang awam, malah tuntutan BERSIH yang berhubungkait dengan masa depan negara telah dipinggirkan.  SEED berharap GGKK mampu mencungkil perhatian lebih ramai terhadap mesej daripada BERSIH.

Ketiga, sebagai penghormatan terhadap golongan yang tertindas.  SEED merakamkan setinggi-setinggi penghormatan kepada peserta dan pengamal media yang dikasari dalam perhimpunan BERSIH 3.0, pada masa yang sama mengiktiraf keberanian dan ketabahan mereka.  GGKK juga sebagai protes terhadap kerajaan yang mensabotaj dan menindas perhimpunan rakyat yang aman.

SEED menegaskan, meskipun pihak berkuasa cuba melabel BERSIH 3.0 sebagai perusuh, menyimpan motif untuk menggulingkan kerajaan, menimbulkan huru-hara, diperkudakan pembangkang dan sebagainya, namun taktik ini gagal menghalang tekad rakyat.  Dari mula hinggalah penghujungnya, hasrat rakyat hanya untuk menuntut satu pilihan raya yang adil dan bersih.

SEED merupakan organisasi rakyat yang menawarkan pendidikan dan latihan pengundi, dengan matlamat untuk melatih sukarelawan menambahbaik pilihanraya, penyebar maklumat pilihanraya, merapatkan jurang antara bandar dan kampung, membolehkan maklumat menyebar ke setiap pelusuk.  Untuk tempahan kain kuning atau maklumat lanjut, sila hubungi En. Pow di talian 012-9419289 atau layari http://facebook.com/GGKKBersih.

Mahathir ramal demo ganas untuk gulingkan kerajaan pilihan rakyat

Posted: 25 May 2012 06:12 AM PDT

ORANG TUA NI KALAU TAK NYANYUK DIA MEQABAN MEMANJANG PASAI ANWAR DAN JUGA PAKATAN PEMBANGKANG.SAPA MAU GADOH-GADOH.PAKAT ADA ANAK BINI NAK MAKAN.

CUMA RAKYAT RASA KERAJAAN NAK PERBODOHKAN RAKYAT.PINJAMAN KDNK DAH GUNA 53% DARI 55% YANG DIBENARKAN PUN JAWAB MACAM NAK PERBODOHKAN RAKYAT.SKANDAL SANA SIONI MELIBATKAN PIMPINAN KERAJAAN DIAM....UNDI PUN NAK KECOH...RAKYAT DAH SEDAR DAN CERDIK DAH...ZAMAN DAH MAJU.....JADI KALAU HANG KATA PAKATAN NAK BUAT KECOH....HANG DULU KAMI TANGKAP SOALSIASAT SKANDAL PERWAJA.....DAN LAIN-LAIN LAH MAHATHIR...Oiiiiiii




1. Kita sudah merdeka selama 55 tahun dan telah mengadakan 12 Pilihan Raya Umum.  Walaupun parti-parti bukan dari Perikatan atau Barisan Nasional telah berjaya menawan dan mendiri Kerajaan di beberapa negeri di Semenanjung dan di Sabah, tetapi Perikatan dan Barisan Nasional tidak pernah kalah di peringkat Pusat.  Perikatan dan Barisan Nasional terus menjadi Kerajaan di peringkat Pusat, peringkat yang paling berkuasa di Malaysia.

2. Memang pada 1969 Perikatan hampir kalah tetapi kuasa kekal di tangan Perikatan dan akhirnya beberapa parti lawan telah menyertai Perikatan untuk menubuh Barisan Nasional yang terus memerintah.

3. Barisan Nasional menghadapi beberapa masalah dalaman tetapi berjaya mengatasinya dan mengekal kuasanya di Peringkat Pusat.  Serpihan dari UMNO yang diusahakan oleh Tengku Razaleigh dan Anwar Ibrahim (gambar kiri) tidak berjaya mengalahkan Barisan Nasional.

4. Pada 2008 kebencian terhadap pemerintahan Abdullah menyebabkan ramai dari penyokong UMNO dan parti-parti komponen lain mengurangkan sokongan kepada Barisan Nasional sehingga lima buah negeri dapat ditawan oleh parti-parti bukan Barisan Nasional.  Di peringkat Pusat majoriti Barisan Nasional menurun sehingga tidak dapat menguasai 2/3 dari kerusi Parlimen.  Namun Barisan Nasional masih dapat mendiri Kerajaan di peringkat Pusat.

5. Kemenangan yang berturut-turut sejak merdeka melumpuhkan semangat parti-parti bukan Barisan Nasional.  Percubaan oleh Anwar Ibrahim untuk menyeludup masuk ke dalam UMNO supaya dapat merebut kuasa dari dalam juga gagal.

6. Yang terpaksa diakui oleh semua pihak, semua rakyat Malaysia dan juga pemerhati asing ialah sehingga kini proses pilihanraya tidak dapat menjatuhkan Barisan Nasional.  Majoriti rakyat Malaysia tetap memberi kemenangan kepada Barisan Nasional.  Kenapa tidak.  Semua terpaksa terima hakikat bahawa Kerajaan-Kerajaan Barisan Nasional telah membawa banyak kemajuan dan nikmat lain kepada rakyat.  Barisan Nasional berjaya membawa keamanan dan kesejahteraan kepada Negara Malaysia.  Tiap seorang dari rakyat Malaysia dapat mengecapi kehidupan yang lebih mewah dan lebih bahagia di bawah pemerintahan Barisan Nasional.  Segala percubaan oleh parti-parti lawan untuk mengurangkan sokongan dan persepsi baik terhadap Barisan Nasional dan pemerintah yang didirikan olehnya tidak berjaya.

7. Memandang kepada sejarah Malaysia merdeka dan keputusan- keputusan pilihanraya, parti lawan tentu kurang yakin mereka akan menang PRU 13 dan mendirikan Kerajaan Pusat.  Cara demokrasi tidak boleh menjayakan mereka.  Melihat penggulingan Kerajaan di Negara-negara Arab, tentulah terlintas di hati pemimpin-pemimpin parti lawan bahawa cara-cara demonstrasi ganas dan berpanjangan lebih mungkin memberi kejayaan kepada cita-cita mereka.

8. Tetapi mereka perlu menunjuk kepada rakyat, dan lebih utama kepada dunia luar bahawa Kerajaan Barisan Nasional di Malaysia adalah zalim dan menindas rakyat seperti Kerajaan-Kerajaan kuku besi Negara Arab.

9. Maka diciptalah BERSIH.  Kononnya pilihanraya di Malaysia ditipu oleh Kerajaan Pusat, walau apapun bukti bahawa di Malaysia parti lawan boleh menang dan telah menang berkali-kali jika rakyat menyokong mereka dan sebaliknya di Negara Arab bukan sahaja Kerajaan yang digulingkan tidak pernah kalah tetapi pilihanraya memberi kemenangan 99% kepada pemerintah, masih juga didakwa Pilihan Raya Umum ditipu oleh Kerajaan Malaysia.

10. Kerajaan bertindak untuk meneluskan lagi proses pilihanraya mengikut kehendak parti lawan.  Tetapi masih juga dituduh yang Kerajaan menipu.

11. Banyaklah lagi tuduhan kezaliman dan kemungkaran yang dilempar kepada Kerajaan semata-semata untuk memburukkan imej Kerajaan.

12. Tunjuk-tunjuk perasaan BERSIH yang besar dan ganas adalah persediaan untuk menolak keputusan PRU 13 jika parti lawan gagal memenanginya.  Kekalahan mereka akan dituruti dengan demonstrasi ganas yang tidak berhenti-henti supaya keputusan pilihanraya ditolak dan satu Kerajaan lain didirikan, yang ditunjuk oleh parti lawan.  Kemudian mereka akan berusaha untuk mengadakan pilihanraya sekali lagi yang boleh dimanipulasi oleh mereka.

13. Sudah tentu sebelum Kerajaan pilihan rakyat digulingkan, negara akan diserang bertubi-tubi dengan demo ganas dan huru-hara.  Perancangan dan perusahaan akan diganggu mungkin dengan mogok di sana sini anjuran parti lawan.

14. Kestabilan negara akan tergugat.  Polis dituduh melakukan keganasan supaya mereka tidak dapat kawal huru-hara dan demo dengan cara berkesan.

15. Kuasa-kuasa asing akan mengecam Kerajaan pilihan rakyat kerana kononnya mengguna kekerasan menghalang kebebasan bersuara dan berdemo.  Malaysia akan dicap sebagai Police State.

16. Malaysia yang telah memberi banyak nikmat dan kebahagiaan kepada rakyatnya, yang telah diiktiraf sebagai Negara yang termaju di antara negara membangun, Malaysia yang bangun dengan pesatnya akan bertukar menjadi negara yang tidak lagi stabil dan maju, dan tidak lagi memberi kebahagiaan dan rahmat kepada rakyatnya.  Mereka tidak percaya dengan demokrasi maka akan hilanglah hak rakyat untuk memilih Kerajaan.

17. Negara ini akan menjadi miskin dan Wawasan 2020 tidak akan menjadi kenyataan. Inilah yang akan berlaku kerana parti bukan Barisan Nasional kecewa tidak dapat ke Putrajaya.  Jika dengan cara ganas mereka, mereka berjaya merebut kuasa, percayalah demokrasi akan dihapuskan dan nasib yang buruk akan menimpa Negara tercinta ini.

*Dipetik dari blog Mahathir Mohamad (gambar kiri), Perdana Menteri keempat Malaysia, dengan tajuk asal Politik Malaysia.

Pendedahan skandal: UMNO Sabah semakin meretak

Posted: 25 May 2012 06:10 AM PDT

Pendedahan "skandal" pimpinan UMNO Sabah Musa Aman dan Mohd Shafie Apdal kebelakangan ini jelas menunjukkan bahawa pergelutan kuasa dalaman UMNO semakin meruncing.  Sementara itu, komponan parti Barisan Nasional semakin tidak berpuas hati, lantaran daripada sikap kerajaan untuk menangguh penubuhan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).  Malah, ketidakpuasan ini menunjukkan petanda bahawa parti komponen ini mungkin keluar BN.

Untuk pembangkang pula, sama ada mereka boleh bersatu untuk mempertahankan prinsip "satu lawan satu" ketika berdepan dengan BN, bakal menjadi faktor penentu sama ada pembangkang mampu memenangi lebih kerusi parlimen di Sabah untuk menawan Putrajaya.

Politik Sabah lebih rumit berbanding Semenanjung Malaysia, dengan etnik yang lebih pelbagai dan lebih menekankan "kedaulatan"-nya.  Namun, apa yang tidak berbeza adalah perebutan dan pengagihan sumber yang berlangsung setiap masa - terutamanya parti pemerintah terbesar di Sabah, iaitu UMNO.

Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi UMNO Sabah, Musa Aman kini terpalit dengan skandal balak, sementara Naib Presiden UMNO merangkap Ketua Bahagian Semporna, Shafie Apdal pula berdepan dengan skandal yang melibatkan seorang artis.  Jelas, pergelutan kuasa dalaman UMNO Sabah telah timbul ke atas pentas.

Menurut pengkaji politik Bridget Welsh, peretakan UMNO Sabah sekarang melibatkan dua orang panglima yang lahir ketika zaman mantan Perdana Menteri Mahathir Mohamad, iaitu Shafie Apdal dan Musa Aman (gambar bawah).  Bagaimanapun, terdapat juga lain-lain sekta, namun tidak terlibat dalam pergelutan ini.

Ketika ditemuramah melalui email oleh MerdekaReview, Bridget Welsh berkata, "UMNO Sabah agak berkecai.  Sebahagian puncanya disebabkan bumiputera di Sabah mempunyai etnik yang pelbagai, perebutan kontrak yang sengit, dan tekanan daripada 'regeneration' dalam parti.  Persaingan dalam UMNO Sabah amat meruncing, kerana kepentingan ekonomi di Sabah cukup menggoda."

Dalam satu temuramah emel bersama MerdekaReview, pensyarah Sains Politik UiTM Sabah Arnold Puyok berkata, UMNO kelihatan meretak jika dilihat secara luaran, namun belum pasti bahawa pergelutan sekta-sekta ini bakal memecah-belahkan UMNO.

"Andai kata wujudnya sekta-sekta, maka sekta pimpinan Musa Aman jelas mempunyai kelebihan.  Berbanding Shafie Apdal, Musa mempunyai lebih banyak cara untuk mengagihkan sumber untuk penyokongnya.  Beliau boleh menyatukan kekuatannya dengan politik naungan," ulas Arnold Puyok.

Menurut Arnold Puyok lagi, Shafie Apdal yang kini Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah lebih menghabiskan masa beliau di Semenanjung Malaysia.  Oleh itu, orang tempatan Sabah tidak melihat beliau sebagai "local boy".

Arnold Puyok berkata, "Banyak faktor yang menjurus kepada keretakan UMNO.  Antaranya semestinya perebutan sumber.  Ini berlaku dari dulu hingga sekarang."

Bagaimanapun, Bridget Welsh (gambar kiri) menganggap perbezaan ini telah sampai ke tahap yang agak meruncing, kerana ia semakin terdedah di atas pentas, misalnya skandal yang melibatkan artis dan pendedahan bank.

Pada 9 April, Parti Keadilan Rakyat mendedahkan skandal balak yang melibatkan Anifah Aman (Menteri Luar) dan Musa Aman, mendesak agar PM Najib Razak mengambil tindakan dalam masa tujuh hari.  Sarawak Report juga mendedahkan secara terperinci skandal tersebut.  Tetapi, Musa Aman menafikan hubungannya dengan Michael Chia, seorang peniaga balak Sabah.  Musa Aman sebaliknya menuduh bahawa Sarawak Report memfitnah beliau, dan berkata tuduhan rasuah itu adalah sebahagian daripada motif untuk menjatuhkan kerajaan BN di Malaysia Timur.

Pada akhir April, Shafie Apdal pula dituduh mempunyai hubungan intim dengan artis bernama Zahida Mohamed Rafik.  Malah, Shafie Apdal dikatakan memberi lebih sejuta ringgit Malaysia kepada Zahida dalam tempoh empat bulan.  Shafie Apdal telah menafikan tuduhan ini, malah berkata akan menyaman mereka yang memfitnah beliau.

Musa berdepan dengan sekta yang berbeza


Arnold Puyok pernah membentangkan satu kertas di Kementerian Luar Negeri Brunei Darussalam, mengupas halatuju politik-ekonomi Sabah pada tahun 2011.  Beliau menyebut Musa Aman berdepan dengan cabaran Bajau dalam UMNO.

Menurut kertas itu, Bajau adalah etnik kedua terbesar di Sabah, dengan kebanyakan orang Bajau adalah ahli UMNO.  Namun mereka tidak suka UMNO didominasi oleh "Melayu" di bawah pimpinan Musa Aman.

Arnold Puyok menyenaraikan tiga orang pemimpin daripada United Sabah Bajau Organisation, yang dikatakan memberi cabaran kepada Musa Aman, iaitu Salleh Said (gambar kanan), Amirkahar Mustapha dan Pandikar Amin.  Antaranya, Salleh Said dan Pandikar Amin mempunyai pengaruh yang besar terhadap orang Bajau.

UMNO Sabah khuatir dengan kebangkitan United Sabah Bajau Organisation, melihat pertubuhan yang kembali aktif pada tahun 2006 ini sebagai parti untuk menggantikan kedudukan UMNO, dan mewakili muslim Sabah.  Pada tahun 2008, Musa Aman pada asalnya tidak berniat untuk memberi lampu hijau kepada tiga orang tersebut untuk bertanding dalam PRU 12.  Namun, untuk meredakan ketidakpuasan orang Bajau, Musa Aman terpaksa memberi jawatan yang penting untuk dua orang pemimpin di atas.  Antaranya, Salleh Said dilantik sebagai Speaker DUN Sabah, di samping Pandikar Amin dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat selepas disyorkan oleh Musa Aman.  Arnold menganggap Musa Aman perlu mengendali cabaran politik yang sengit ini.

Selain itu, Arnold menganggap, salah satu faktor yang boleh memastikan kestabilan politik Sabah adalah hubungan antara persekutuan dengan kerajaan negeri.  Sejarah Sabah menunjukkan kerajaan persekutuan memainkan peranan yang penting dalam menentukan kestabilan kerajaan negeri.  Contoh yang paling klasik adalah semasa pemerintahan Mustapha Harun, Harris Salleh dan Joseph Pairin Kitingan.  Dalam kes Mustapha Harun, ketika pemerintahan PM kedua, Abdul Razak, Berjaya telah ditubuhkan untuk menggulingkan USNO pimpinan Mustapha Harun.  Mantan Timbalan Perdana Menteri Musa Hitam juga pernah melancarkan gerakan untuk menjatuhkan Harris Salleh, dan menaikkan Joseph Pairin Kitingan.

Malah, jika diimbas kembali, selepas tahun 1990, kerajaan Mahathir menggunakan cara-cara yang tidak demokratik untuk menindas kerajaan negeri Sabah di bawah Parti Bersatu Sabah (PBS), misalnya peminggiran ekonomi (mengurangkan peruntukan), ancaman politik (menubuhkan UMNO).  Sehingga tahun 1994, mantan Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim membantu BN merampas kuasa kerajaan negeri di Sabah dengan cara "lompat parti".

Arnold berkata, Musa telah belajar dari sini.  Beliau dengan berhati-hati mengekalkan hubungan yang sempurna antara persekutuan dengan negeri, untuk memastikan kestabilan politik di Sabah.  "Ada desas-desus mendakwa hubungan tidak baik antara Musa dengan PM Najib, malah meramalkan pertukaran kerajaan - hujah ini agak lemah.  Seandainya Najib benar mahu memberi laluan kepada 'proksi'-nya, Shafie Apdal (gambar kiri), seorang pemimpin Semporna untuk memimpin Sabah - ia bukan sahaja satu perkiraan politik yang silap, malah sangat berisiko.  Ia bakal mempengaruhi populariti Najib di Sabah.  Shafie tidak berada di Sabah, untuk UMNO Sabah, beliau adalah orang luar."

Malah Arnold meramalkan Musa Aman akan mempunyai kelebihan ke atas Shafie, seandainya berlaku persaingan untuk merebut political supremacy di Sabah, kerana Musa Aman akan meraih sokongan daripada orang tempatan.
*Chen Shaua Fui ialah Assistant Editor MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Disedut dan diterjemah dari teks penuh yang disiarkan pada 23 Mei 2012.

Tiada ulasan: