WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI |
- Ditembak Gas Pemedih Mata, Dibelasah Ramai-ramai Oleh Polis
- Penganalis Politik : Pilihanraya Berasingan Beri Kelebihan Kerajaan Selangor
- Pilihanraya Selangor Hanya Selepas Daftar Pemilih Dibersihkan
- Media Baru sebagai ruang awam
Ditembak Gas Pemedih Mata, Dibelasah Ramai-ramai Oleh Polis Posted: 17 May 2012 05:59 AM PDT PETALING JAYA, 17 MEI : Dua lagi peserta BERSIH 3.0 tampil mendakwa mereka menjadi mangsa keganasan polis semasa himpunan gergasi itu di Kuala Lumpur pada April 28 lalu. Babak-babak ngeri yang mereka alami itu dimuatkan di dalam dua laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling pagi tadi. Pang Choy Wan, 27, berkata beliau ditembak dengan gas pemedih mata pada jarak kira-kira 10 meter di Jalan Yap Ah Loy selepas bersurai daripada perhimpunan itu. "Tembakan pertama terkena di peha kiri dan tembakan yang kedua tevrkena belakang badan saya," kata Pang semasa ditemui. Tembakan itu katanya, meninggalkan kesan lebam kebiru-biruan di pehanya. Ketika insiden itu beliau bersama beberapa orang wanita dan warga emas. Seorang lagi mangsa, Abdul Razib Abu, 45, mendakwa beliau di belasah sekumpulan anggota polis lengkap beruniform di hadapan IPD Dang Wangi pada hari kejadian. Dakwanya, dia diserbu kira-kira lapan hingga 10 orang anggota polis ketika sedang menunggang motosikal sewaktu pulang ke rumah selepas perhimpunan tersebut. "Saya tidak diberikan arahan untuk memberhentikan motor dan mereka terus menyerbu dan memukul saya dari arah belakang badan," katanya sambil menambah seorang anggota berpangkat Sarjan cuba menarik baju BERSIH yang dipakainya. Beliau juga merayu untuk tidak dipukul dan mendakwa begnya diselongkar lalu dicampak ketepi jalan. Abdul Razib berkata insiden tersebut berlaku selama 15 minit dan beliau diarahkan untuk beredar selepas itu. Turut mengiri Pang dan Abdul Razib di IPD tersebut adalah Ahli Jawatankuasa Pemandu Bersih, Maria Chin Abdullah dan peguam dari Lawyers for Liberty (LFL), Fadiah Nadwa Fikri. Maria Chin mengesa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) supaya menyiasat siapa yang memberi arahan kepada pihak polis untuk menggunakan kekerasan dan keganasan walaupun peserta BERSIH 3.0 bersurai. "Peserta himpunan ini tiada jalan untuk bersurai kerana semua jalan ditutup oleh pihak polis, macam mana mereka hendak bersurai?" soalnya. Fadiah Nadwa menyatakan beliau telah menerima 70 laporan daripada peserta BERSIH yang mendakwa dikasari polis. Laporan-laporan tersebut akan difailkan kepada SUHAKAM untuk menuntut satu siasatan bebas demi membela nasib mereka. |
Penganalis Politik : Pilihanraya Berasingan Beri Kelebihan Kerajaan Selangor Posted: 17 May 2012 05:54 AM PDT SHAH ALAM, 17 MEI: Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor akan memperolehi kelebihan sekiranya ia mengadakan pilihanraya bagi peringkat negeri secara berasingan daripada pilihanraya parlimen peringkat pusat. Penganalisis politik Merdeka Center, Ibrahim Sufian berkata terdapat tiga faktor utama yang akan memberi kelebihan kepada Kerajaan Selangor sekirannya ini berlaku. "Memang beri kelebihan kepada Kerajaan PR Selangor kerana terdapat beberapa kontroversi berhubung daftar pemilih dan perjalanan pilihan raya. "Jadi sekiranya pilihan raya negeri tak dijalankan selari dengan peringkat parlimen, kelemahan-kelemahan ini akan timbul semasa pilihan raya umum berlangsung. "Ia akan beri kesempatan kepada kerajaan negeri untuk mengenalpasti kelemahan perjalanan pilihan raya dan ada ruang untuk diperbaiki," kata Ibrahim. Menurut Ibrahim lagi, pilihan raya berasingan akan membolehkan pemimpin di peringkat negeri membantu rakan mereka di peringkat pusat. "Walaupun pilihan raya negeri akan menyebabkan pemimpin Umno-BN lain bertumpu di Selangor, tetapi situasinya seimbang kerana pemimpin Pakatan dari negeri lain turut turun melakukan perkara yang sama. Ketiga, kata Ibrahim, kerajaan negeri dapat meneruskan program seperti biasa walaupun kakitangan kerajaan pusat terlibat dengan pilihanraya. "Di Selangor, dasar dan program kerajaan negeri masih dapat diteruskan seperti biasa. "Menyalurkan peruntukan di Selangor oleh kerajaan negeri pun tak boleh dituduh sebagai pancing undi sebab mereka sedang menyalurkan pelbagai peruntukan daripada belanjawan 2012, geran Selangorku dan lain-lain," ujar Ibrahim lagi. Semalam, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau hanya akan membubarkan Dewan Selangor selepas daftar pemilih dibersihkan daripada pemilih yang statusnya meragukan. Mengikut anggaran Abdul Khalid, usaha menjejaki pemilih di Selangor menerusi program "Selangorku Bersih" hanya akan selesai pada akhir bulan Julai. Abdul Khalid juga berkata, Kerajaan Selangor mahu memastikan bahawa dana di dalam belanjawan negeri 2012 dan Geran Selangorku habis diagihkan sebelum pilihanraya negeri diadakan. |
Pilihanraya Selangor Hanya Selepas Daftar Pemilih Dibersihkan Posted: 17 May 2012 05:53 AM PDT SHAH ALAM: Kerajaan negeri hanya akan membubarkan Dewan Negeri Selangor (DNS) selepas daftar pengundi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dibersihkan dari unsur-unsur yang meragukan. Dianggarkan, proses semak semula daftar pemilih melalui program 'Selangorku Bersih' hanya akan selesai pada pertengahan Julai, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Ini bermaksud, masih ada kemungkinan pilihan raya bagi kerusi DNS tidak akan diadakan serentak dengan pilihanraya bagi kerusi parlimen. Spekulasi bahawa pilihan raya umum (PRU) bagi parlimen akan diadakan pada bulan Jun ini. Selain itu, pilihanraya selepas pertengahan tahun ini akan memberikan peluang kepada Kerajaan Selangor untuk mengagihkan wang di dalam bajet 2012 dan Geran Selangorku. "Lebih 400 ribu pengundi baru dan yang seratus ribu itu adalah pengundi yang dipindahkan kawasan dan projek ini dalam perlaksanaan. "Kita rasa kita hanya dapat selesaikan pada pertengahan bulan Julai dan barulah kita buat keputusan samada kita berjumpa semula SPR tentang kesahihan daftar pengundi itu. "Saya rasa dengan sebab-sebab ini, kalaulah pilihan raya diumumkan berlaku dalam bulan Jun sudah tentulah saya akan memberikan cadangan kepada DYMM Sultan Selangor supaya Kerajaan Negeri Selangor tidak terlibat dalam pilihan raya yang diumumkan dan kita akan adakan pilihan raya yang berasingan," kata Abdul Khalid kepada Selangor Kini. Kempen 'Selangorku Bersih' yang dilancarkan bulan lepas akan menggunakan tenaga kerja Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi menyemak nama di dalam daftar pengundi. Usaha ini bagi menentukan pengundi sahih dan membersihkan daftar pemilih daripada pengundi yang meragukan. Kajian yang dilakukan oleh penganalisis politik dan aktivis Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini mengenal pasti antara 40,000 hingga 300,000 pemilih yang statusnya diragui. Antaranya termasuk pemilih yang berumur lebih dari 100 tahun dan mereka yang kad pengenalannya menunjukkan tempat lahir luar dari Malaysia. Ada juga pemilih yang didaftar sebagai pengundi pos tetapi tidak layak untuk klasifikasi tersebut. "Kita juga meminta ketua-ketua masyarakat mengenal pasti mereka sebab biasanya dalam penentuan tempat-tempat mengundi adalah orang yang tinggal di tempat-tempat tersebut yang diberikan kemudahan mengundi di tempat tersebut. "Kita memang berharap rakyat Selangor diberi peluang untuk mengundi dan kita juga mahukan demokrasi ini berasaskan keadaan bertanding yang adil atau pun 'level playing field' supaya semua dapat kesempatan membuat pilihan yang baik," Abdul Khalid berkata. Selain itu Abdul Khalid berkata, kurang daripada 40 peratus daripada dana belanjawan untuk tahun ini telah diagihkan untuk projek dan program di seluruh Selangor. "Jadi oleh sebab itu kita memerlukan masa lagi untuk melaksanakan perancangan atau penggunaan dalam belanjawan Kerajaan Negeri Selangor," katanya. |
Posted: 17 May 2012 05:42 AM PDT Fenomena BERSIH 2.0 dan 3.0 15 tahun selepas melangkah masuk ke abad ke-21 ala Malaysia, kita sekali lagi menyaksikan betapa signifikannya peranan teknologi maklumat dan media baharu sebelum, semasa dan selepas perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011 dan BERSIH 3.0 pada 28 April 2012. Kemuncak gelombang kedua fenomena media baharu begitu terserlah berikutan fenomena BERSIH 2.0 dan 3.0 yang menyaksikan kelahiran generasi baru yang hebat yang diberikan gelaran Generasi BERSIH. Kehebatan Generasi BERSIH bukan sahaja kelihatan dalam dunia siber di mana sebahagian besar Facebook diselubungi gelombang kuning. Yang paling menguja semangat kekitaan dalam kalangan rakyat Malaysia ialah keberanian yang ditonjolkan oleh para demonstran BERSIH 2.0 dalam dunia nyata biarpun BERSIH diisytiharkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai pertubuhan haram, polis melakukan "penangkapan bersifat penangkalan" (preemptive arrest) ala McCarthyisme, dan suasana tertekan atau "keganasan putih" (white terror) ditonjolkan oleh akhbar arus perdana dan media elektronik menjelang hari perhimpunan BERSIH 2.0. McCarthyisme merujuk kepada taktik era perang dingin yang dipelopori Senator Amerika Syarikat Joseph McCarthy dari parti Republikan sekitar tahun 1950-an di mana tuduhan melampau seperti subversif dilontarkan terhadap sasaran tertentu khususnya sasaran politik tanpa bukti yang menyakinkan. Kedua-dua tahanan tanpa bicara dan penangkapan bersifat penangkalan menonjolkan ciri-ciri selaras dengan fahaman McCarthyisme. Apabila menelusuri dialektikal struktur penindasan rejim pemerintah dan kebangkitan sebahagian besar rakyat, keberanian dan keseronokan yang ditonjolkan oleh Generasi BERSIH biarpun terpaksa berdepan dengan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang dilengkapi gas pemedih mata dan meriam air, rejim pemerintah yang memain- mainkan "politik ketakutan" (politics of fear), serta sekatan jalan yang dilakukan oleh pihak polis, adalah suatu fenomena perubahan sosio-politik yang mempunyai makna mendalam. Gerakan BERSIH 2.0 dan 3.0 bukan sahaja menyaksikan puluhan ribu dan seterusnya ratusan ribu rakyat jelata khususnya Generasi Facebook dengan latar belakang yang pelbagai membanjiri beberapa lokasi sekitar ibu kota negara, kota-kota lain di Malaysia dan puluhan lokasi kota-kota besar di luar negara, bahkan selepas perhimpunan BERSIH 2.0, dunia siber diselubungi suasana "tak kenal BERSIH 2.0 maka dikira ketinggalan zaman". Daripada murid sekolah hingga golongan profesional, ikon BERSIH 2.0 seperti Auntie Annie atau makcik Annie Ooi yang berusia 65 tahun dan sasterawan negara A. Samad Said yang berusia 76 tahun menjadi topik perbualan hangat. Banyak halaman Facebook masih diselaputi gelombang kuning beberapa minggu selepas perhimpunan BERSIH 2.0 dan 3.0. Media Baharu sebagai Ruang Awam Tanggal 7 Julai 2011, dua hari sebelum Generasi Facebook menggegarkan rejim pemerintah yang mendakwa gerakan BERSIH 2.0 bakal mengambil bentuk demonstrasi ala-Mesir yang mampu menggulingkan rejim represif, majalah antarabangsa berpengaruh The Economist dalam siri laporan khasnya telah mengupas perubahan landskap media dan kedinamikan ruang awam (public sphere) berikutan populariti dan perkembangan media baharu. Dalam artikel The Economist berjudul "Masa depan berita: Kembali kepada kafe" (The future of news: Back to the coffee house), perenggan pertamanya menyebut: "THREE hundred years ago news travelled by word of mouth or letter, and circulated in taverns and coffee houses in the form of pamphlets, newsletters and broadsides." Terjemahannya berbunyi, Tiga ratus tahun dahulu, berita dikhabarkan melalui perbualan atau persuratan, dan diedarkan di warung dan kafe dalam bentuk risalah, surat berita dan selebaran. Apa yang cuba dilakarkan oleh The Economist dalam laporannya adalah, Internet kini membawa dunia kehidupan dan pemberitaan kembali kepada suatu budaya siber bersifat perbualan sebelum kemunculan era media massa khususnya surat khabar. Kalau sebelum itu orang ramai bertukar-tukar berita di warung dan kafe, kini orang ramai bertukar-tukar berita melalui jaringan media sosial khususnya Facebook dan Twitter. Tekanan diberikan kepada sifat kafe yang sesuai untuk perbualan secara bebas. Apabila diteliti sejarah Eropah, kafe yang muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan sekitar tahun 1650-an menyediakan suasana yang sesuai untuk mengikuti perkembangan terkini komuniti peniaga, ahli politik mahupun cendekiawan awam dengan harga secawan kopi. Contohnya di Perancis, meskipun kafe terkenal sebagai tempat himpunan para pengkritik kerajaan dan tempat pewujudan gelombang subterranean atau bawah tanah, namun pemerintah Perancis tidak menekan aktiviti kafe dan menganggapnya sebagai tempat untuk menjejaki pandangan umum. Sesungguhnya, lakaran dunia siber oleh The Economist yang menggunakan perbandingan corak kafe di Eropah adalah sejajar dengan konsep ruang awam yang dicetuskan oleh ahli falsafah Jerman Jürgen Habermas dalam karyanya berjudul "Transformasi Struktural Ruang Awam: Sebuah Kajian tentang Kategori Masyarakat Borjuis" (The Structural Transformation of the Public Sphere: An Inquiry into a Category of Bourgeois Society). Konsep tersebut merujuk kepada kemunculan ruang awam kelas borjuis sekitar abad ke-17 sehingga ke-18 di mana orang ramai berbicara secara bebas mengenai hal ehwal semasa di kafe dan salon. Sebagai lanjutan kepada dunia kehidupan era Internet, konsep ruang awam kini dipanjangkan supaya merangkumi dunia siber di mana warga siber berbicara secara bebas mengenai hal ehwal semasa di Facebook dan Twitter. Berlandaskan dunia kehidupan yang memberdayakan rakyat jelata dan bukan sekadar masyarakat borjuis, ruang awam dunia siber memaparkan ciri-ciri partisipasi, kepelbagaian, partisan dan kebebasan. Kelangsungan Hayat Portal Berita Atas Talian Kekompleksan institusi media di Malaysia dapat difahami dengan lebih menyeluruh sekiranya analisis dibuat berasaskan kerangka ekonomi-politik yang lebih luas. Apabila pendekatan ekonomi-politik diambil, tiga sifat asas harus difahami iaitu struktur, sistem dan sejarah institusi media. Setiap maklumat dikatakan berkait rapat dengan struktur institusi media. Struktur institusi media pula diintegrasi ke dalam suatu struktur ekonomi, politik, budaya dan sosial yang lebih luas yang berteraskan sistem kapitalisme dan rejim kawalan. Apabila ditinjau dari perspektif makro seperti pendekatan ekonomi-politik, wacana kebebasan kewartawanan tidak bertapak atas kekosongan, sebaliknya berdepan dengan soal realiti. Ekonomi-politik bagi komunikasi massa bermula dengan melihat media massa sebagai suatu industri dan organisasi kemersial yang terlibat dalam pengeluaran dan pengagihan komoditi. Menyentuh dimensi komersial yang sememangnya mengutamakan keuntungan, konteks ekonomi pada arena global dan lokal haruslah diambil kira dan perubahan pada media massa haruslah dianalisa dengan mengambil kira perubahan konteks ekonomi juga. Tanggal 14 April 2000, lebih daripada tiga tahun selepas keghairahan pengumuman projek MSC dan kurang daripada enam bulan selepas gelombang pertama media baharu terasa semasa PRU Ke-10, pasaran saham antarabangsa dan serantau menyaksikan kejatuhan besar indeks saham teknologi dalam tempoh kurang daripada satu bulan, bermula dengan kejatuhan Indeks Komposit Nasdaq melebihi 40 peratus dan Indeks Dow Jones melebihi 60 peratus. Pecahnya Gelembung Teknologi (Tech Bubble) juga membantutkan potensi pertumbuhan industri teknologi maklumat di Malaysia. Dalam konteks ini, Malaysiakini yang mencatatkan pengunjung harian melebihi 100 ribu dalam tempoh sembilan bulan semenjak pelancarannya berdepan dengan cabaran penurunan nilai pengiklanan bulanan dari RM15 ribu pada tahun 2000 ke RM10 ribu pada tahun 2001, dan terpaksa mengambil langkah berani memulakan eksperimen langganan demi kelangsungan hayatnya (survival). Tanggal 16 Julai 2001, Malaysiakini memulakan perkhidmatan berbayar untuk seksyen baharu bergelar "Analisis Malaysia", kemudian pada tahun 2002 memulakan perkhidmatan berbayar untuk rencana (feature) dan seterusnya berita harian yang dibekalkan kepada pelanggannya. Semasa pelancaran kempen Jom Baca Media Alternatif anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor pada 7 Ogos 2011, Ketua Pengarang Malaysiakini Fathi Aris Omar mengakui bahawa media alternatif berdepan dengan masalah kewangan, di mana ramai peniaga masih tidak yakin bahawa iklan di ruang internet mampu membawa pulangan. Sesungguhnya, sebahagian besar iklan di Malaysia dikaitkan dengan badan kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang berkepentingan bersama parti pemerintah. Menurut Nielsen, jumlah perbelanjaan pengiklanan (Adex) di negara kita sepanjang tahun 2010 ialah RM9.6 bilion di mana syarikat-syarikat telekomunikasi merupakan pihak yang menyumbang nilai Adex tertinggi kepada industri pengiklanan iaitu sebanyak RM364 juta, diikuti dengan kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan yang menyumbang nilai Adex kedua tertinggi iaitu sebanyak RM324 juta. Media baharu memerlukan bukan sahaja sokongan dari segi audiens, tetapi juga sumber kewangan untuk menampung kelangsungan hayatnya. Soal ini cukup kritikal khususnya apabila wacana kebebasan kewartawanan diketengahkan. Hari ini, konsep portal berita berbayar tidak lagi terbatas kepada Malaysiakini. Setelah penaja MerdekaReview berhenti untuk menyuntik dana pada pertengahan Mei 2011, MerdekaReview yang dilanda krisis kelangsungan hayat terpaksa menjalin hubungan strategik dengan edisi bahasa Cina Malaysiakini untuk memulakan perkhidmatan berbayar pada 3 Oktober 2011. Sebelum ini, kedua-dua edisi bahasa Cina Malaysiakini dan MerdekaReview dapat diakses tanpa bayaran. Sebelum menarik diri, para penaja MerdekaReview telah menyuntik dana dan menyokong kelangsungan hayatnya selama hampir enam tahun. Kini MerdekaReview terpaksa berdepan dengan logik kapitalisme. Pada peringkat awal penubuhan, Ketua Pengarang Kumpulan merangkap pengasas bersama Malaysiakini Steven Gan juga menyatakan keazaman untuk menyampaikan berita kepada seramai audiens yang mungkin dan mengharapkan sumbangan pendapatan berbentuk pengiklanan mampu menampung keperluan kewangannya, namun satu setengah tahun kemudian, Malaysiakini juga terpaksa mencari sumber pendapatan baharu dan memulakan konsep portal berita berbayar. Demi memelihara kebebasan kewartawanan, dua prinsip utama dipegang kuat oleh Malaysiakini dan seterusnya MerdekaReview semasa mereka berunding dengan pelabur ialah 51 peratus daripada kuasa kawalan harus dipunyai pasukan wartawan dan staf, dan pelabur tidak boleh campur tangan dalam polisi kewartawanan atau bilik editorial. Penutup Negara mempunyai kuasa legitimasi dan memiliki jentera-jentera pemerintahan yang ditadbir oleh kerajaan tetapi negara mungkin disalahgunakan untuk kepentingan ekonomi dan politik oleh golongan berpengaruh politik. Di Malaysia, terutamanya pasca 8 Mac 2008, golongan dominan yang berpengaruh politik sering memperbesarkan malahan mempermainkan isu perkauman dan agama serta menjadikan pembangunan dan program transformasi sebagai kesamaran bagi melindungi kepentingan parti politik dan individu tertentu. Tindak-tanduk tersebut kononnya dilakukan untuk menjaga kepentingan bangsa dan negara. Bagi mengimbangi wacana pemerintah yang berkecenderungan memelihara kepentingan tertentu, pengiktirafan media sebagai institusi kuasa yang dapat memainkan peranan semak dan imbang secara berimpak, dan juga dalam membina ruang awam yang aktif menghasilkan wacana-wacana yang pelbagai, wacana kebebasan kewartawanan wajar diketengahkan sejajar dengan nilai zaman taknologi maklumat. Menurut Antoni Gramsci, kelas pemerintah cenderung melaksanakan hegemoninya dengan bertopengkan kuasa letigimasi negara, terutamanya semasa kerajaan (baca: parti politik) dilanda krisis besar. Cabaran kita hari ini adalah untuk mengangkat wacana media yang dapat memelihara kepentingan rakyat dan negara, bukan kepentingan parti politik yang memerintah. (Bahagian kedua, tamat) Bahagian pertama: Gelombang internet sebelum BERSIH 2.0 dan 3.0 *Artikel ini merupakan kemaskini kepada sebahagian daripada penulisan Ooi Heng pada bulan September 2011 yang dimuatkan dalam buku baharu penerbitan SIRD berjudul "Membina Bangsa Malaysia" sebagai Bab 2 bertajuk 'Media, Teknologi Maklumat dan Cabaran Semasa'. |
You are subscribed to email updates from WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan