WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI |
- Orang Afrika: Antara stereotaip dengan realiti
- Misteri Kad Pengenalan Merah Di Malaysia
- Maria Chin: Jangan Layan 120 Orang Peserta BERSIH Macam Penjenayah
- BERSIH Protest in London (An Evening with Najib)
Orang Afrika: Antara stereotaip dengan realiti Posted: 15 May 2012 05:44 AM PDT Terdapat pelbagai teori media yang mengatakan bahawa saluran media mempunyai kuasa untuk mempengaruhi pendapat awam, terutamanya kuasa untuk mengeruhkan lagi sentimen perkauman terhadap pekerja dan penuntut asing yang sudah lama berakar umbi di minda dan jiwa rakyat kebanyakan. Sentimen perkauman terhadap lelaki Afrika di Malaysia didapati lebih parah daripada wanita. Tanggapan buruk ini banyak disumbang melalui stereotaip lelaki Afrika sebagai kaki lawan dan penjenayah yang memporak-perandakan keamanan dan budaya kita. Stereotaip ini muncul di kaca televisyen, di internet, dan di muka akhbar. Seringkali orang berkulit hitam disamakan dengan orang Afrika seolah-seolah Afrika itu satu negara yang monolitik, tanpa kepelbagaian budaya, bahasa, dan rupa. Realitinya, ramai yang meneruskan pelajaran atau datang mencari rezeki di Malaysia datang daripada latar belakang sosial, kelas, agama, bahasa, dan keadaan geopolitik yang berbeza. Kini, kita sering mendengar di wahana media tentang "kebanjiran" pekerja dan penuntut Afrika pada tahap yang membimbangkan di seluruh pelusuk Malaysia, dari Kota Kinabalu hingga ke Alor Setar. Kita menggarapi migrasi sebagai satu masalah "baru" yang melanda negara, yang menyerupai gejala jenayah, hakisan budaya tempatan, dan meningkatkan satu iklim yang menakutkan dan penuh bahaya. Kehadiran populasi Afrika dianggap sebagai sesuatu yang baru, seolah-olah tidak wujudnya sejarah migrasi dan penempatan orang-orang dari benua Afrika. "Gelombang" pertama pergerakan orang Afrika (atau "Negrito") ke Asia bermula lebih kurang 100,000 tahun dahulu, dan kemudiannya berkembang di Pakistan selatan, dan kepulauan Polynesian dan Melanisia. Golongan ini berpecah kepada etnik Khyeng di Pakistan, Jawawa di Teluk Benggala, dan Agta di Filipina. Sejak 1970-an, kedatangan warga asing ke tanahair dimangkinkan oleh situasi ekonomi dan globalisasi. Tahap penghijrahan yang meninggi jelas menunjukkan kemakmuran ekonomi Malaysia dan gawatnya ekonomi negara-negara penghantar para penghijrah. Malangnya, tahap kesedaran sosial tidak setimpal dan jauh kebelakang; lain kata, kemakmuran dan pembangunan tidak pernah menjamin perikemanusiaan dan keadilan. Pada 31 Mac, seorang pelajar IPTS berusia 35 tahun yang bernama Onochie Martins Nwankwo telah dipukul sehingga mati di Hulu Langat di tangan lima anggota RELA. Onochie dipercayai mencabul seorang pencuci wanita di tempat tinggalnya. Wanita tersebut melapor bahawa beliau melarikan diri daripada Onochie dan meminta tolong kepada kumpulan suspek-suspek yang kemudiannya bertindak dengan membelasah Onochie. Di sebuah negara yang mempunyai sistem perundangan yang dicipta untuk menjamin keamanan dan menghukum pesalah dengan saksama, anggota RELA tidak berhak untuk menjatuhkan "hukuman" mereka ke atas mendiang Onochie. Motif di sebalik pembunuhan beliau berbaur perkauman terhadap orang-orang berkulit hitam. Disebabkan layanan kelas kedua yang terpaksa dipikul oleh warga Afrika amnya, kesahihan kes cabul yang dibayar oleh Onochie dengan nyawanya mungkin tidak dipersoalkan lagi, seperti kesahihan kes-kes jenayah lain yang melibatkan warga Afrika yang lain. Tragedi seperti beberapa penuntut IPTS dari negara Botswana pernah dilaporkan membunuh diri disebabkan tekanan yang dicetus oleh perkauman dan layanan buruk warga Malaysia. Ekoran kejadian tersebut, kematian seorang warganegara Nigeria bulan lalu di tangan pengganas RELA, yang kemudiannya mencetus pertunjukan perasaan oleh kumpulan sewarganegara di Ulu Langat kini menunjukkan betapa parahnya keadaan perkauman yang mengganas dan berdarah di Malaysia dewasa ini. Terdapat beberapa faktor yang menjadikan Malaysia sebagai destinasi tarikan ramai penuntut Afrika. Pertama sekali, kerana kos pembiayaan untuk pendidikan tertiari adalah lebih rendah daripada di Eropah, Amerika Syarikat, atau di Australia. Kemudahan dan kualiti pendidikan juga dianggap setanding dengan IPT di negara-negara tersebut. Sesetengah IPT memperuntukkan RM25,000 bagi penuntut pasca-siswazah antarabangsa. Kedua, ramai penuntut yang beragama Islam dari benua Afrika yakin bahawa gaya hidup di negara yang majoriti Islam seperti Malaysia membantu memelihara akidah mereka. Ketiga, visa untuk belajar di Malaysia lebih muda diperolehi berbanding negara-negara barat yang kini mengetatkan polisi imigresen negeri masing-masing. Dan keempat, ramai akan mengambil peluang untuk meninggalkan negara masing-masing untuk kehidupan di luar negara kerana nilai prestij mereka akan meraih daripada pengalaman merantau dan gaji yang dijangka lebih lumayan di sini. Faktor-faktor diatas begitu logikal, tetapi mampukah kesemuanya menangkis prejudis terhadap warga asing Afrika yang menular? Terdapat lebih kurang 22,000 penuntut di IPT dari benua Afrika; yang terjebak dalam gejala jenayah dan sosial adalah sangat minima mengikut Menteri Pengajian Tinggi Mohamed Khaled Nordin - terdapat hanya 66 kes dilaporkan membabitkan orang Afrika lewat tahun lepas. Menurut Abiodun Musa Aibinu, wakil Diaspora Nigeria dan Profesor Madya kejuruteraan mekatronik di Universiti Islam Malaysia (UIA) pula, hanya 5% daripada 5,000 warga Nigeria yang berada di Malaysia terlibat dalam pengedaran dadah dan penipuan ("black money"). Hakikatnya wujud hierarki manusia di mana layanan yang diberikan kepada mereka di lapisan bawah pekerja, penuntut IPT asing, dan golongan pelarian secara automatis jauh lebih teruk. Tetapi kesemua warganegara Afrika yang berkulit hitam digolongkan sebagai "pariah" di mata rakyat Malaysia: walaupun sebagai seorang pensyarah, Abiodoun juga sering menjadi mangsa penghinaan orang-orang tempatan. Sebagai rakyat Malaysia, kita merayakan imej negara kita yang berbilang kaum - itulah satu-satunya "keistimewaan" yang diwarisi daripada sejarah kolonial kita. Tetapi sayangnya, kepelbagaian bangsa dan budaya yang dibanggakan hanya dikhaskan untuk mereka yang berwarganegara Malaysia, walaupun mereka yang bukan banyak menyumbang kepada pembangunan dan melancarkan kehidupan seharian kita. Kepelbagaian bangsa dan budaya Malaysia senantiasa berubah dan kita seharusnya menerima bahawa migrasi adalah hakikat masakini di era globalisasi dan geopolitik dan ekonomi dunia ketiga yang tidak pernah lelah goyah. |
Misteri Kad Pengenalan Merah Di Malaysia Posted: 15 May 2012 05:41 AM PDT Selepas 54 tahun kita sudah merdeka, terdapat ramai rakyat Malaysia yang masih memiliki kad pengenalan merah. Sebahagian besar atau hampir kesemua yang memiliki kad pengenalan merah ini adalah dari kalangan kaum India. Saya tidak pernah mendengar masalah kad pengenalan merah dari kalangan kaum Melayu. Jarang sekali kita bertemu dengan orang-orang Cina yang masih memegang kad pengenalan merah. Walaupun ada juga segelintir orang- orang Cina yang masih memegang kad pengenalan merah tetapi jumlah itu tidak signifikan. Tetapi, masalah kad pengenalan merah dari kalangan masyarakat India adalah satu masalah yang serius dan perlu diberi perhatian yang khusus. Siapakah yang perlu dipersalahkan dalam hal ini kalau bukan kerajaan yang tidak prihatin terhadap kebajikan orang-orang India? Lebih 54 tahun masyarakat India telah dianak tirikan di negara ini. Masalah kad pengenalan merah tidak pernah menjadi fokus kerajaan Barisan Nasional. Mereka tidak mempedulikan masyarakat India yang berbakti dan berjasa dalam pembangunan dan kemajuan negara ini. Masyarakat India pernah menjadi pengundi setia kepada Barisan Nasional sehingga PRU 11. Tetapi, kerajaaan Barisan Nasional pula tidak mengenang budi kaum India. Terdapat banyak kes dimana walaupun permohonan kad pengenalan biru dibuat berulang kali tetapi ditolak oleh kerajaan dengan pelbagai alasan. Apabila masalah ini telah meruncing ada pihak-pihak yang tidak bermaruah dari kalangan Barisan Nasional muncul untuk membantu mangsa diskriminasi kerajaan Barisan Nasional itu sendiri. Puak-puak ini harus berasa malu kerana kecuaian dan kegagalan mereka inilah yang menyebabkan masyarakat India masih mundur di negara kita. Macam-macam program seperti Mydaftar dan sebagainya dilaksanakan untuk menutup kesilapan mereka selama ini. Tetapi, apakah hasilnya? Berapa ribukah orang India yang memohon itu sudah berjaya mendapat kad pengenalan biru? Benarkah program Mydaftar yang dianjurkan oleh kerajaan telah berjaya menghapuskan masalah kad pengenalan merah di negara kita? Sedih melihat orang-orang yang mendapat kad pengenalan biru kebanyakkannya adalah warga emas. Mereka telah hilang usia muda yang produktif dengan memegang kad pengenalan merah. Mereka hidup di negara ini sebagai pendatang walaupun mereka lahir di sini. Mereka tidak dapat kerja yang baik, tidak ada caruman KWSP dan Socso. Mereka tidak boleh memiliki harta. Mereka hilang hak untuk mendapat rawatan percuma di hospital. Mereka juga tidak pernah dibantu oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat. "Selepas habis segala-galanya, baru mahu bagi kad pengenalan merah kepada mereka. Ada juga puak-puak tertentu yang berbangga dengan pencapaian mereka itu. Mereka seharusnya berasa malu dengan isu kad pengenalan merah ini, bukannya berasa bangga. Inilah golongan yang tidak mempunyai maruah dan harga diri yang sanggup menggadai bangsa sendiri untuk wang, pingat dan jawatan politik." Saya akan mendedahkan kes-kes kad pengenalan merah yang masih tidak diselesaikan oleh kerajaan Barisan Nasional satu per satu. * Gambar menunjukkan seorang warga emas di Taman Permai, Bemban Batu Gajah yang lahir di Malaysia, ibu bapanya juga lahir di Malaysia, suaminya orang Malaysia, anak-anaknya juga dilahirkan di Malaysia. Tetapi beliau masih memegang kad pengenalan merah. Beliau sudah putus asa untuk memohon kad pengenalan biru. Bukankah ini satu kekejaman kerajaan Barisan Nasional yang menganiyaya rakyatnya sendiri? * Kenyataan media oleh V.Sivakumar, Timbalan Pengerusi DAP Perak, ADUN Kawasan Tronoh. |
Maria Chin: Jangan Layan 120 Orang Peserta BERSIH Macam Penjenayah Posted: 15 May 2012 05:36 AM PDT SHAH ALAM, 15 MEI olis perlu menghantar surat pemberitahuan lebih awal kepada 120 orang peserta BERSIH 3.0 sebelum bertindak menahan atas dakwaan menimbulkan kekacauan semasa himpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu. Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pemandu BERSIH 3.0 mengesa agar polis tidak melayan kesemua peserta ini sebagai penjenayah kerana banyak kaedah lain untuk mendapatkan kerjasama daripada mereka ini. Menurutnya, jika polis ingin meminta kerjasama peserta BERSIH 3.0, polis perlu bertindak secara professional dengan tidak hanya menggertak dan menakut-nakutkan mereka supaya hadir ke balai polis sebelum tindakan diambil. "Jika benar polis mempunyai nama mereka, kenapa tidak menghantar surat pemberitahuan kepada mereka yang terlibat dan bukannya hanya menyiarkan gambar mereka di dada akhbar-akhbar," katanya ketika dihubungi hari ini. Katanya, penangkapan 120 orang ini merupakan salah satu bentuk gangguan dan tidak seharusnya berlaku kerana polismempunyai data yang diperlukan untuk mengetahui alamat peserta-peserta BERSIH 3.0 ini. Sementara itu, mulai esok polis akan mencari 120 orang baki individu-individu yang disyaki terlibat mencetuskan rusuhan pada himpunan bantah terhadap keengganan Suruhanjaya Pilihanraya(SPR) menunaikan lapan tuntutan bagi membaiki sistem pilihanraya di Malaysia. Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar sebelum ini dipetik berkata, polis tidak memerlukan waran tangkap untuk menahan mereka kerana terlibat dengan kesalahan lazim seperti merusuh dan polis berhak menahan sesiapa sahaja untuk siasatan. Maria Chin juga menasihati mana-mana individu yang akan dipanggil polis tidak perlu panik dan jangan melawan polis tetapi perlu mendapatkan nama pegawai, balai polis serta nombor pegawai yang menghubunginya. "Individu-individu terbabit akan diberi khidmat guaman atau boleh terus menghubungi pihak SUARAM atau Ahli Jawatankuasa Bersih 3.0 dan jangan menghadirkan diri ke balai polis seorang diri," jelasnya lagi. Nombor yang boleh dihubungi adalah 03-77723275 atau 016-9670921 bagi mendapatkan khidmat nasihat atau bantuan guaman yang telah disediakan. |
BERSIH Protest in London (An Evening with Najib) Posted: 14 May 2012 10:58 PM PDT |
You are subscribed to email updates from WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan