Khamis, 17 Mei 2012

PENYAPU SIAL

PENYAPU SIAL


Durian runtuh jadi tempoyak

Posted: 16 May 2012 11:32 PM PDT

 

Projek memberi duit dari kerajaan Barisan Nasional telah dan sedang berjalan lancar. Ketika sekolah baru dibuka awal tahun ini ibu, ayah dan anak telah diberi 200 ringgit untuk membeli buku. Ini diikuti dengan pemberian 500 ringgit untuk keluarga yang berpendapatan dibawah 3000 ringgit sebulan. Ini 'sedekah jariah' yang tidak berulang.

Orang ramai sedia maklum bahawa tahun ini ialah tahun pilihan raya. Justeru, duit ini juga adalah duit untuk membeli sokongan mereka. Kesampaian duit-duit ini menjadikan orang ramai dan para pengundi sedar tentang hikmah PRU12 yang lalu.

Akibat dari melesetnya sokongan orang ramai terhadap Barisan Nasional dan United Malays National Organisation, maka duit ringgit ini mula menyusur masuk. Para pengundi tahu bahawa dengan tindakan mereka menafikan Barisan Nasional kuasa dua pertiga dalam Parlimen, maka ' duit sogok' ini mula mencurah datang.

Dalam bahasa rakyat — dalam bahasa yang senang difahami ramai, duit-duit yang masuk ke saku mereka kerana mereka memangkah Pakatan Rakyat. Para pengundi telah mendapat pengajaran politik - jika memangkah Pakatan Rakyat maka mereka akan mendapat pujuk rayu. Jika pujuk rayu tidak dilayan maka duit ringgit akan mencurah masuk.

Perkara ini amat jelas sekali dilihat dikalangan masyarakat India. Kita lihat hari ini bagaimana masyarakat India telah ditatang dan dibodek. Pada November 2007 komuniti India yang dipimpin oleh Hindraf telah bangun berdemo menentang Barisan Nasional.

Kemudian pengundi India telah berbondong-bondong meninggalkan Barisan Nasional. Hasilnya - sesudah 8 March 2008 - pekan Brickfields - kini Little India - bukan sahaja tersergam dengan Dataran Gajah, malah wilayah Brickfields kini memiliki lebih banyak lampu jalan dari jumlah penduduk.

Ini agak berbeza dengan pengundi Cina. Masyarakat Cina yang memiliki punca ekonomi telah membolehkan mereka membebaskan diri dari pujuk rayu dan bodekan dari pemimpin Malaysian Chinese Association.

Malah, masyarakat Cina langsung tidak 'ambil pot' terhadap para pemimpin United Malays National Organisation. Kemarahan masyarakat Cina terhadap kerenah United Malays National Organisation ini telah sampai ke tahap 'no return'.

Justeru, pengundi Cina telah sepakat untuk meninggalkan MCA. Mereka juga telah sepakat meninggalkan Parti Gerakan. Pada PRU13 yang akan datang ini, hanya dengan munculnya seekor Naga dalam Sungai Klang dan meminta masyarakat Cina mengundi Barisan Nasional - mungkin masyarakat Cina akan befikir sekali lagi.

Masyarakat Cina di Kepong atau di Jinjang tidak mungkin dapat dibodek dengan Dataran Naga atau dengan lampu jalan. Ini bukan tuntutan fundamental mereka. Apa yang mereka mahu ialah sebuah kerajaan yang adil dan tidak menindas rakyat. Lampu jalan dan Dataran Naga bukan agenda orang Cina.

Justeru, projek pemberian duit ringgit ini wajib menjadi kuliah politik yang terbaik untuk para pengundi. Di mata para pengundi apabila kerajaan Barisan Nasional menjadi lemah, maka projek 'duit ringgit' mula melimpah sampai. Jika kerajaan Barisan Nasional kuat maka mereka akan menjadi sombong dan angkuh. Inilah kuliah politik yang dibawa oleh PRU12 yang lalu.

Kepada pelajar dan pengkaji politik - apa yang sedang berlaku di Malaysia hari ini ialah contoh terbaik realpolitik dalam negara Dunia Ketiga. Projek kebajikan untuk rakyat telah dijadikan agenda membeli undi dalam pilihan raya. Dana dan bajet negara telah digunakan secara lucah untuk meraih sokongan dan undi. Politik wang, rasuah dan pengunaan dana negara untuk membeli undi menjadi lumrah dan tidak dilihat salah.

Orang ramai telah mula memahami bagaimana masyarakat India yang kompak tersusun bersepadu di bawah Hindraf pada satu ketika dahulu kini telah terbarai. Masyarakat India yang minoriti ini semakin menjadi kecil - pecah dengan pelbagai parti politik.

Suara minoriti ini tidak lagi menjadi satu ombak yang berupaya untuk membuat perubahan. Sebahagian besar pengundi India pasti akan mengundi Pakatan Rakyat. Manakala satu kumpulan kecil mungkin kembali untuk menyokong Malaysian Indian Congress.

Setelah memahami semua ini maka muncul soalan cepu emas - Bila pilihanraya akan diadakan? Jawabnya - tarikh ini masih lagi satu tanda tanya.

Perdana Menteri Najib Razak sendiri pun kelihatan kluk klek. Najib Razak yang telah dinobatkan sebagai Bapa Pengumuman kini masih belum berani membuat pengumuman tarikhnya. Khabar angin tentang tarikh PRU13 dari pelbagai sumber telah beberapa kali terbukti meleset.

Pak Nujum politik terus memberikan pandangan. Pak Nujum Kampong masih menelik ayat dalam pinggan untuk mencari tarikh yang sesuai.

Minggu ini warga Felda telah dilanggar oleh 'durian runtuh'. Kedatangan 'durian runtuh' ini telah berbulan-bulan di heboh hebohkan. Pada mulanya telah dibocorkan berita dimana setiap peneroka Felda akan mendapat 32 ribu ringgit. Manakala dari kajian Parti Keadilan Rakyat jumlah 'durian runtuh' yang sepatutnya diterima oleh peneroka ialah 50 ribu ringgit.

Sayang seribu kali sayang - guruh yang berdentam dentum itu hanya berkeupayaan membawa 15 ribu ringgit untuk satu keluarga peneroka. Tidak ada 32 ribu ringgit dan mustahil 50 ribu ringgit. Jumlah 'durian runtuh' ini telah meleset. Tetapi ini tidak memberhentikan media milik United Malays National Organisation untuk 'berheboh' siang dan malam tentang 'durian runtuh' ini.

Lalu timbul pertanyaan - apa maknanya berita 'durian runtuh' 15 ribu ringgit ini? Sekali pandang orang ramai akan membaca bahawa ini juga adalah 'duit sogok' untuk membeli undi peneroka. Pandangan ini tidak salah. Tetapi disebalik 'durian runtuh' ini ada satu lagi yang tersirat dan wajib kita semua fahami.

Kita wajib memahami kenapa cara pemberian 'durian runtuh' ini berperingkat-peringkat. 15 ribu ringgit akan diberikan pada minggu pertama bulan hadapan untuk kepala keluarga. Beberapa bulan kemudian untuk ibu keluarga. Dan pada satu masa yang sesuai baki 5 ribu ringgit akan diberikan kepada anak peneroka. Ada tiga kali pemberian dan tidak 15 ribu ringgit sekaligus.

Kenapa berperingkat-peringkat 'durian runtuh' ini diberi?

Untuk memahaminya mari kita buat kaji selidik tentang masyarakat Felda. Pada ketika ini ada 54 buah kerusi Parlimen dan 92 kerusi DUN bergantung kepada sokongan undi peneroka Felda. Kesemua negeri ada rancangan Felda kecuali Pulau Pinang dan Sarawak. Justeru, undi peneroka Felda ini adalah talian hayat untuk United Malays National Organisation.

Satu ketika dahulu diheboh-hebahkan tentang Sabah dan Sarawak sebagai bank simpanan Barisan Nasional. Anggapan ini telah meleset. Nasionalisme Dayak dan undi warga kota di Sarawak telah terbukti tidak lagi menyokong Barisan Nasional. Pilihan raya Sarawak bulan April tahun lepas membuktikan bank simpanan ini telah bocor.

Manakala di Sabah, Nasionalisme Kadazan - Sabah Untuk Sabahan - tidak lagi menjamin hegemoni United Malays National Organisation. Warga di negeri bawah bayu ini telah lama naik angin dengan kemasukan pendatang haram. Para pendatang haram ini telah diberi kad pengenalan segera untuk mematahkan semangat Nasionalisme Kadazan.

Justeru, slogan Sabah Untuk Sabahan ini cukup ampuh dan sedang merebak. Semangat nasionalisme Kadazan ini akan meruntuhkan hegemoni kuasa United Malays National Organisation dan kuncu-kuncunya. Kemarahan penduduk asal Sabah telah memaksa kerajaan Persekutuan minggu lalu menubuhkan Suruhanjaya DiRaja untuk menyiasat tentang kemasukan pendatang haram sebagai pengundi di Sabah.

Lanskap politik Malaysia telah berubah semenjak 8 Mac 2008. Pengundi China sudah cabut. Pengundi India sudah lari. Dayak dan Kadazan tidak mahu lagi kena tindas dibawah hegemoni Semenanjung. Maka yang tinggal secara tersusun hanyalah peneroka Felda.

Warga Felda ini adalah kumpulan komuniti Melayu yang tersusun. Ianya bukan kampong Melayu tradisional. Mereka ini dalam analisa ekonomi moden jatuh ke dalam katogeri buruh pertanian. Peneroka Felda ini sama seperti buruh India diladang getah milik British di zaman penjajah dulu.

Kesetiaan mereka bukan kesetiaan Melayu feudal. Bukan kesetiaan kepada Raja dan struktur feudal. Sebagai buruh pertanian, watak mereka ditentukan oleh ekonomi.

Justeru watak dan kelas peneroka Felda ini adalah bom jangka yang berkeupayaan untuk meledakkan United Malays National Organisation. Beberapa kumpulan peneroka telah menyaman Felda kerana mereka telah ditipu dalam soal jual beli sawit mentah. Beratus-ratus peneroka telah menang di mahkamah dan akan mendapat ganti rugi yang lumayan.

Ketika ini peneroka Felda telah mula berani menjemput Pakatan Rakyat untuk membuat program dalam perkampongan mereka, ini samalah seperti di zaman British, para buruh Estate Dunlop secara terbuka menjemput Front Sosialis untuk membuat program dalam ladang.

Amat jelas, hari ini suasana di ladang Felda tegang dan terpecah. Maka disinilah Perdana Menteri Najib Razak masuk untuk menghamburkan 'durian runtuh'.

Tetapi kenapa Najib Razak tidak memberi 'durian runtuh' ini sekaligus - 15 ribu ringgit?

Jawapannya cukup senang. Ini kerana Najib Razak masih kluk klek. Najib juga tidak pasti bila pilihan raya akan dijalankan. Jika Najib Razak tahu dan yakin akan tarikhnya pasti dia akan memberi 'durian runtuh' ini sekaligus. Kerana Najib sendiri masih takut-takut dan kurang yakin akan sokongan orang ramai, maka 'durian runtuh' ini akan menjadi tempoyak

 

 

 

 

Hishamuddin Rais

Tiada ulasan: