Selasa, 1 Mei 2012

pemuda cheh

pemuda cheh


Rakaman Hasut Rempuh Dataran Merdeka Perlu Disiasat - Majlis Peguam

Posted: 01 May 2012 07:48 AM PDT

 Majlis Peguam pada Selasa meminta supaya rakaman video yang memaparkan pemimpin Parti Keadilan Rakyat didakwa menghasut penyokong Bersih 3.0 supaya merempuh halangan polis di sekitar Dataran Merdeka, Sabtu lalu disiasat secara terperinci sebelum tindakan susulan mengenainya diambil.
Presidennya, Lim Chee Wee merujuk kepada satu rakaman video yang memaparkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi isyarat kepada Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali untuk melakukan hasutan itu.

"Saya enggan mengulas lanjut (dakwaan). Saya telah melihat video tersebut tapi saya tidak boleh membuat kesimpulan. Ia memerlukan siasatan terperinci," katanya pada sidang media di sini, Selasa.
Menurut Lim, seramai 78 ahli Majlis Peguam memantau keadaan sepanjang perhimpunan Bersih 3.0.
Bagaimanapun, beliau berkata, tiada ahlinya yang melihat insiden itu.
"Tiada mana-mana ahli kami yang melihat kejadian itu. Kami sedang menunggu perbincangan lanjut di kalangan ahli," katanya.
Pada Isnin, satu video yang dimuat turun di laman sosial You Tube merakamkan Anwar menunjukkan isyarat ke Dataran Merdeka dan kemudiannya membuat isyarat baru dengan kedua-dua tangan kepada Azmin.
Bagaimanapun, Anwar turut menafikan beliau menghasut penyokong Bersih untuk merempuh halangan polis tetapi mengarahkan mereka untuk bersurai dan bergerak ke kanan, iaitu ke arah Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Dalam pada itu, Lim mendakwa pelepasan gas pemedih mata dan meriam air oleh pasukan polis pada perhimpunan kali ini disifatkan 'keterlaluan' berbanding perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai tahun lalu.
"Jika anda (penyokong) merempuh halangan polis, adakah wajar gas pemedih mata dilepaskan ke arah khalayak ramai?.
"Jika polis mahu mengarahkan penyokong untuk bersurai, mereka harus melakukannya secara lisan dan bukan dengan melepaskan gas pemedih mata dan meriam air ke arah orang ramai.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar pada Isnin dilaporkan berkata, penggunaan meriam air dan gas pemedih mata kerana peserta demonstrasi bertukar menjadi ganas dan merempuh sekatan polis.
"Perhimpunan pada Sabtu lalu bukan lagi perhimpunan aman apabila ia bertukar menjadi rusuhan dan merosakkan banyak harta benda awam malah turut mencederakan pegawai-pegawai polis yang sedang bertugas," katanya.
Ismail berkata, penganjur perhimpunan tidak mengotakan janji mereka untuk berhimpun secara aman malah tidak mengawal penyokong-penyokong sehingga mereka bertindak ganas dan melanggar undang-undang termasuk Akta Perhimpunan Aman 2012.

Tiada ulasan: