Khamis, 31 Mei 2012

Pahang Daily Online

Pahang Daily Online


Mahkamah: Kes Stephanie Foray, Jurufoto PDRM Berang Apabila 'Di Asak Oleh Peguam' Tertuduh !

Posted: 30 May 2012 11:20 PM PDT

KUANTAN, 31 Mei - Akibat sering memberi jawapan "tidak pasti", seorang jurugambar Polis Di Raja Malaysia (PDRM), yang menjadi saksi dalam perbicaraan kes pembunuhan pelancong wanita Perancis Stephanie Foray (foto) di Pulau Tioman tahun lepas, berang selepas berulang kali diasak peguam tertuduh. Perkara itu berlaku apabila peguam Mohd Hisham Abdul Rahim, yang mewakili sini Omar, 37, tidak berpuas hati dengan jawapan Koperal Rozlan Mohamed Yusof yang ditugaskan mengambil gambar barang kes di bilik mesyuarat Jabatan Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang pada 10 Ogos 2011. Ketika disoal Mohamad Hisham sama ada Rozlan mengambil gambar dari bilik itu yang tertera perkataan 'liputan akhbar berkenaan kes pembunuhan Stephanie Foray,' saksi berkata beliau tidak tahu kerana hanya diarahkan datang untuk merakam gambar barang kes. Rozlan juga bersetuju dengan cadangan Mohamad Hisham bahawa barang kes itu disusun terlebih dahulu oleh Inspektor Shuhada Salim sebelum beliau mengambil gambar. Bagaimanapun, saksi itu sekali lagi memberikan jawapan 'tidak pasti' apabila disoal Mohamad Hisham sama ada beliau mengetahui dari mana barang kes itu dikeluarkan untuk dirakam gambarnya. "Kalau kamu kata Inspektor Shuhada yang menyusun barang-barang itu, mesti kamu tahu dari mana ia diambil," kata Mohamad Hisham. "Barang-Barang ini telah berada di dalam bilik. Saya tak tahu ia diambil dari mana. Bila ia dah siap disusun, saya ambil gambarnya sahaja. Itu sahaja yang saya tahu," kata Rozlan. Kepada soalan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, saksi itu berkata tidak ada pihak lain selain Inspektor Shuhada yang menyusun barang kes tersebut. Beliau memberi keterangan pada hari ketujuh kes perbicaraan Asni yang didakwa membunuh Foray di rumah tidak bernombor di Kampung Tekek, Pulau Tioman, Rompin antara 8 malam, 10 Mei dan 12 tengah hari, 12 Mei tahun lepas. Terdahulu, Rozlan yang bertugas di cawangan foto IPK Pahang, berkata pada hari sama, beliau ke bilik mayat Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bersama pegawai penyiasat ASP Mohd Razali Razak dan seorang pakar patologi untuk ambil gambar barang kes "menyerupai gelung getah".

[Turut memberi keterangan pada prosiding Rabu ialah tiga lagi jurufoto PDRM iaitu Koperal Amran Salim, Lans Koperal Meor Fadhirul Marzuki dan Lans Koperal Norsham Ismail. Amran, yang bertugas di Balai Polis Muadzam Shah, berkata beliau ditugaskan mengambil gambar bedah siasat dalam kes itu di bilik mayat HTAA pada 9 Ogos 2011. Meor Fadhirul, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, pula berkata beliau diarahkan ASP Mohamad Razali untuk melakukan tugasan sama pada 12 Ogos 2011. Menjawab soalan Nor Azizah, kedua-dua saksi berkata mereka merakam gambar bedah siasat 'tengkorak' yang ditemui dalam kes pembunuhan itu. Sementara itu, mahkamah melepaskan saksi ketiga pendakwaan iaitu ahli kimia Nor Aidora Saedon, yang tidak mampu memberi keterangan hari ini akibat 'kehilangan suara'. Prosiding perbicaraan di depan Hakim Datuk Mariana Yahya akan bersambung esok].

Hotel City Times Wujud Di Atas Perjanjian Sewaan Tapak Berkenaan Dengan Pihak MPK Sebenarnya

Posted: 30 May 2012 02:00 PM PDT

KUANTAN, 31 Mei - Susulan pendedahan Pahang Daily Online (PDO) berkaitan isu Cadangan "Bangunan Asrama" Komplek Sukan Tiba-Tiba Jadi Hotel Di Wisma Belia Indera Mahkota, "YDP MPK" Di Gesa Berikan Penjelasan! yang disiarkan pada 15 Mei yang lalu, maka berbagai pihak telah menghubungi kami untuk mengetahui maklumat lanjut tentang isu berkenaan. Pihak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) telah dihubungi untuk mendapatkan info berkaitan. Daripada maklumat yang diterima ternyata tapak bangunan berkenaan telah disewakan kepada sebuah syarikat swasta untuk dibangunakan sebagai sebuah hotel. Ia dibuat secara sah antara pihak MPK dengan pihak terbabit, dengan tempoh perjanjian pajakan selama 30 tahun bermula pada tahun 2004. Maka itu, tidak timbul soal pembinaan terbabit dibina tanpa kebenaran sebenarnya. Malah, difahamkan bangunan terbabit didirikan selepas sekian lama ia tersadai begitu saja tanpa ada apa-apa kegunaan. Dulunya tapak itu ialah sebuah Amphitheater, namun ia semakin usang akibat tidak pernah digunakan sejak Sukan Malaysia (SUKMA) pada tahun 1996 di Kuantan dulu. Kini tapak tersebut didirikan sebuah hotel yang dapat memberi kemudahan kepada ramai pihak yang mempunyai urusan dengan jabatan kerajaan atau swasta di sekitar kawasan tersebut (Indera Mahkota). Walau pun bangunan hotel telah didirikan, namun tapak Amphitheater terbabit masih terus dikekalkan hingga sekarang. Menurut pihak berkenaan, MPK menyewakan bangunan itu bagi membolehkan ia digunakan secara lebih efektif lagi.


Keadaan asal tapak Amphitheater berkenaan yang di ambil tahun 2004

Pandangan dari tapak Amphitheater ke arah Wisma Belia Indera Mahkota

Tambahan pula menjelangnya Sukan Malaysia 2012 pada bulan Julai nanti, maka hotel berkenaan boleh digunakan untuk menampung kekurangan tempat penginapan bagi pegawai sukan. Maka itu, tidak timbul soal pembaziran akibat pembinaan hotel tersebut memandangkan ia memberikan pulangan dana yang setimpal kepada pihak MPK untuk satu jangkamasa panjang. Dengan terbinanya banyak bangunan kerajaan di sekitar kawasan terbabit seperti Mahkamah, Jabatan Pengangkutan Jalan, Terminal Bas Ekspres, Jabatan Pelajaran, Komplek Tun Razak dan sebagainya maka hotel tersebut menjadi destinasi terbaik untuk orang ramai yang berurusan. Tambahan pula ia berhadapan dengan kawasan institusi pengajian seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kolej Universiti Shahputra, Kolej Komuniti, Institut Kemajuan Ikhtisas Negeri Pahang (IKIP) dan sebagainya, maka ia boleh menjadi pemangkin kepada industri perhotelan di kawasan terbabit. Adalah lebih elok kawasan itu digunakan daripada ia terbiar usang sejak sekian lama, kata sumber terbabit.

[Dengan perkembangan terbaru ini, maka diharapkan tidak ada lagi pihak-pihak tertentu yang membuat tuduhan melulu terhadap premis berkenaan. Mungkin pada awalnya, ramai yang terkejut dengan apa yang mereka saksikan. Namun, rupanya kewujudan hotel berkenaan lebih indah dipandang daripada membiarkan tapak terbabit (Amphitheater) usang sejak sekian lama. Pada masa ini jelas dapat dilihat hotel berkenaan mendapat sambutan hangat dikalangan para pelancong yang berkunjung ke bandar ini. Semoga dengan kewujudan hotel ini juga ia memberi keselesaan kepada para atlet yang boleh membuat pilihan untuk tinggal di asrama atau pun hotel berkenaan sekiranya mereka mempunyai acara sukan di komplek berkenaan pada masa yang akan datang ini hendaknya].

Panas: "UMNO Temerloh" Bergolak, Usaha Pancas Dato' Saifuddin Kini Makin Hangat Di Perkatakan!

Posted: 30 May 2012 01:49 PM PDT

TEMERLOH, 31 Mei - Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Saifuddin Abdullah (foto) berkemungkinan besar tidak lagi akan bergelar Ahli Parlimen selepas Pilihanraya Umum ke-13 ini. Ia berikutan terdapat desas-desus yang cukup jelas daripada UMNO Bahagian Temerloh untuk menggantikan beliau dengan calon lain. Jika ini berlaku, maka kemungkinan besar Parlimen Temerloh akan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat kali ini. Ramai dikalangan penyokong Saifuddin mahu pemimpin terbabit dikekalkan sebagai calon kerana beliau dilihat lebih disenangi oleh kawan mahu pun lawan. Malah, imejnya yang cukup bersih serta berketerampilan itu amat dihormati oleh rakyat di kawasan ini. Namun, kini wujud usaha dalaman UMNO Temerloh sendiri yang mahu mematikan karier politik Saifuddin. Gerakan menjatuhkan Saifuddin kini bukan lagi rahsia, malah turut diketahui oleh penyokong pembangkang sendiri. Saifuddin yang pernah menjadi Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) satu ketika dulu amat tidak disenangi oleh kepimpinan UMNO Temerloh. Usaha untuk "memancas" Saifuddin kini sudah dilakukan secara terbuka. Pada Pilihanraya Umum ke-12 lalu, Saifuddin menang di parlimen itu menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ahmad Nizam Hamid dengan majoriti undi sekitar 2,441 undi sahaja. Beliau mendapat 21,381 undi, manakala Ahmad Nizam mendapat 18,940 undi. Melihat kepada "swing" rakyat terutamanya kaum Cina sekarang ini, maka kemungkinan besar parlimen itu akan tumbang kali ini. Ramai yang berpendapat, jika Saifuddin dikekalkan maka kebarangkalian itu tidak terserlah. Namun, jika namanya tidak disenaraikan kali ini, maka UMNO BN bakal berhadapan dengan laluan sukar di parlimen itu. Mahu atau tidak, pemimpin yang lantang dan bersikap neutral seperti Saifuddin wajar dikekalkan jika BN mahu terus menang di situ. Jika tidak, sudah pasti mereka akan kehilangan kerusi parlimen Temerloh berserta DUN-DUN lain yang berada dalam parlimen tersebut. Harus diingat, salah satu DUN dalam parlimen itu kini diwakili oleh PAS iaitu DUN Kuala Semantan. Maka itu, tidak mustahil parlimen tersebut juga akan tumbang kali ini.

[Ramai yang berpendapat, jika usaha yang dilakukan oleh UMNO Temerloh untuk menjatuhkan Dato' Saifuddin ini berjaya maka ia memudahkan lagi Pakatan Rakyat menakluki parlimen itu pada Pilihanraya Umum ke-13 nanti. Ini kerana, ramai penyokong pakatan yang menganggap Saifuddin adalah seorang ahli politik dan tokoh yang berwibawa dalam UMNO. Malah, sikap beliau yang lebih neutral terhadap berbagai isu yang berkaitan dengan mahasiswa amat disenangi oleh generasi muda. Namun, dalam UMNO pemimpin sebegini tidak digemari oleh sesetengah pihak. Malah, imej Saifuddin yang bersih itu amat tidak disenangi oleh musuh politiknya. UMNO gemar menyimpan pemimpin yang ada banyak masalah agar mudah untuk mereka memerangkap pemimpin terbabit. Namun, Saifuddin dilihat lebih berkarisma daripada yang lain. Apapun, UMNO harus berhati-hati dalam membuat keputusan. Jika tidak pasti buruk padahnya bila kerusi parlimen itu tumbang pada Pilihanraya Umum nanti].

Panas: Umi Hafilda Pula Dedah Salinan Dokumen Aset Bernilai 'RM30 Juta' Milik Azmin Dan Isteri !!

Posted: 30 May 2012 09:50 AM PDT

KUALA LUMPUR, 31 Mei - Ahli Perniagaan, Ummi Hafilda Ali (foto) buat pertama kali mendedahkan salinan dokumen sebahagian aset yang dimiliki oleh Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali serta isterinya, Shamsidar Taharin yang bernilai lebih RM30 juta. Dokumen berkenaan iaitu salinan pembelian syer, deposit bank, resit pembayaran perabot serta salinan penyata dalam beberapa akaun bank itu merupakan sebahagian harta yang dimiliki Azmin dan Shamsidar dalam tempoh dua tahun iaitu 1992 hingga 1994. Ummi Hafilda memberi tempoh dua minggu kepada Azmin dan Shamsidar untuk membuat laporan polis terhadapnya sekiranya dokumen itu palsu atau beliau sendiri akan menyerahkan dokumen tersebut kepada polis selepas tempoh tersebut. Kata Ummi Hafilda, beliau juga meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memandang serius kes tersebut kerana aset itu diperoleh Azmin dan Shamsidar semasa Anwar Ibrahim jadi Menteri Kewangan. sumber

Azmin: PKR Sedia Menjalinkan Kerjasama Politik Dengan Parti Baru Pimpinan Kadir Sheikh Fadzir

Posted: 30 May 2012 09:26 AM PDT

PETALING JAYA, 31 Mei - Belum pun sempat dilancarkan secara rasmi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) menunjukkan minat untuk menjalin kerjasama dengan parti baru yang diasaskan oleh bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir. Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali (foto) berkata, parti itu sedia membuka pintu kepada bekas pemimpin senior UMNO berkenaan terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang. "Kalau itu hasratnya (tubuh parti baru), saya menghormati. Kita boleh bincang untuk melihat apakah bentuk kerjasama yang boleh kita jalin pada masa akan datang. "Bagi saya yang penting ialah prinsip penyuburan demokrasi dalam sistem dua parti harus dipertahankan," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat PKR di sini semalam. Beliau mengulas mengenai pengumuman Abdul Kadir meninggalkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) untuk membentuk parti baru yang bakal dikenali sebagai Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan). Penubuhan Ikatan dijangka akan dibuat secara rasmi pada 7 Jun ini. Abdul Kadir yang sebelum ini berkhidmat dalam pentadbiran kerajaan selama 30 tahun mengumumkan keluar UMNO pada 19 Mac lalu. Beliau kemudiannya dilihat hadir dalam beberapa siri ceramah pakatan pembangkang. Sementara itu ditanya sama beliau terkejut dengan keputusan Abdul Kadir menubuhkan parti baru tanpa menyertai mana-mana komponen pembangkang, Mohamed Azmin berkata: "Itu adalah hak beliau berdasarkan Perlembagaan Persekutuan. "Cuma kita berharap penubuhan parti baru ini dapat mendokong hasrat rakyat untuk mempertahankan sistem dua parti," katanya. Dalam pada itu Mohamed Azmin turut mengakui pernah mengadakan pertemuan secara peribadi dengan Abdul Kadir bagi membincangkan mengenai bentuk kerjasama yang boleh dijalinkan. "Kami ada beberapa siri perbincangan dengan beliau. Pastinya dengan pengalaman yang beliau ada boleh membantu Pakatan Rakyat. "Namun keputusan untuk menyertai mana-mana parti adalah pilihannya. Saya tak boleh cakap bagi pihak pakatan, tapi dalam konteks PKR, kami bincang tentang pelbagai isu. "Tapi kami tak bincang khusus untuk beliau sertai PKR," kata Ahli Parlimen Gombak itu. sumber

Muzakarah: Mufti Pahang Senada Dengan Tan Sri Harussani Yang UMNO PAS Perlu Kerap Bertemu !

Posted: 30 May 2012 08:37 AM PDT

KUANTAN, 30 Mei - Pertemuan dan perjumpaan (muzakarah) antara UMNO dan PAS perlu kerap diadakan untuk kepentingan umat Islam di negara ini selain dapat merapatkan jurang antara kedua-dua pihak. Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman (foto) berkata, beliau turut senada dengan kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria semalam yang kecewa dengan tindakan PAS mengenakan syarat melampau untuk bermuzakarah dengan UMNO. Abdul Rahman berkata, muzakarah adalah satu tindakan digalakkan dalam agama kerana ia dapat menjelaskan perbezaan yang wujud. "Bukan mudah muzakarah dapat dilakukan dan kalau direalisasikan, ia dapat memberikan manfaat kepada umat Islam," katanya. Sebelum itu, beliau pernah menyifatkan permintaan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk bermuzakarah adalah pelik kerana mengenakan dua syarat iaitu tukar dasar kebangsaan dan UMNO perlu menerima pakatan pembangkang. Menurutnya, kedua-dua pihak tanpa mengira parti perlu memikirkan kepentingan ummah dan agama, bukan matlamat kepartian. Malah harus duduk semeja serta mengetepikan ideologi politik. sumber

[Kenyataan Mufti Pahang ini tidak merujuk kepada keputusan yang telah dibuat oleh PAS sendiri sebenarnya. Bukankah, Presiden dan Mursyidul Am PAS sudah sebulat suara tidak akan bermuzakarah dengan UMNO sebelum ini. Malah, keputusan itu sudah pun dihebahkan oleh media arus perdana sendiri. Maka, kenapa Mufti Pahang ini masih beriya-iya benar mahu muzakarah diadakan?. Apakah beliau cuba untuk mengalih pandangan rakyat bahawa bermuzakarah itu adalah sesuatu yang wajib dilakukan sebelum pilihanraya umum ke-13 tidak lama lagi. Justeru, beliau sepatutnya tidak terus memainkan isu ini kerana ia sudah muktamad dan PAS sudah menolak cadangan tersebut. Kenapa dia masih terus berbunyi?].

Tiada ulasan: