Muslimeen United |
- Jika Rakyat Tidak Hormat Majlis Fatwa Apabila Sudah Jadi Lidah UMNO, Salah Siapa?
- TG Nik Aziz Menjawab Berhubung Isu Beliau Digelar Bapa Kafir Dengan Ayat-ayat Al Quran. Sila Baca
- “Kita sedang menuju kemenangan,”kata Setiausaha Agung PAS
- Pengarah Amal Malaysia terima peluru, nota ugutan
- Astarghfirullah… Bekas KPN, Rahim Nor Tuduh Nik Aziz Bapak Kafir
- Mengapa Majlis Fatwa Tak Keluarkan ‘Fatwa’ Polis Sepak Peserta, Akhbar Sebar Gambar Lucah?
- Sejarah politik paling kotor sejak merdeka – Kadir
Jika Rakyat Tidak Hormat Majlis Fatwa Apabila Sudah Jadi Lidah UMNO, Salah Siapa? Posted: 08 May 2012 05:11 AM PDT JK Fatwa disuap dengan maklumat Umno sahaja KUALA LUMPUR, 7 Mei: Perbuatan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama mengharamkan perhimpunan yang menuntut pilihan raya bersih dan adil memalukan umat Islam, kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu. "Sangat memalukan umat Islam. Pertama, kerana apa yang didakwa fatwa itu dibuat ketika siasatan yang adil dan tidak memihak belum pun dibuat untuk menentukan siapakah yang mencetuskan kerusuhan, keganasan, huru-hara dan kekacauan. "Adakah Muzakarah Jawatankuasa Fatwa mahu menconteng arang ke muka umat Islam dengan perbuatannya menghukum tanpa siasat?" katanya. Mohamad berkata, dari apa yang diberitahu kepadanya, sesuatu fatwa itu dibuat setelah kajian dan siasatan yang menyeluruh dan adil dibuat. "Sebab itulah saya kata Muzakarah Jawatankuasa Fatwa memalukan umat Islam sebab belum siasat lagi sudah jatuhkan hukum," tegas beliau. Beliau bimbang perbuatan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa menjatuhkan hukuman tanpa siasat itu akan mengakibatkan orang Islam dituduh sebagai agama yang tidak mementingkan siasatan yang adil dan menyeluruh sebelum membuat sesuatu keputusan dan hukuman. "Jika selepas ini Islam dituduh sebagai agama yang menghukum secara semberono tanpa siasatan yang adil dan menyeluruh, Muzakarah Jawatankuasa Fatwalah pihak yang bertanggungjawab mengakibatkan pandangan buruk sedemikian terhadap Islam," tegas beliau. Mohamad juga menyifatkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa itu berlagak lebih dari Tuhan kerana "Allah pun membicarakan hamba-hamba-Nya di Hari Hisab lengkap dengan saksi dan bukti sebelum menjatuhkan hukuman". Beliau meminta Muzakarah Jawatankuasa Fatwa mengemukakan nas dan dalil yang mengharamkan perhimpunan aman rakyat menuntut pilihan raya yang adil dan bersih. "Saya tegaskan lagi dan lagi, perhimpunan aman. "Soalnya, adakah Muzakarah Jawatankuasa Fatwa hidup seperti katak di bawah tempurung sehingga tidak tahu dan tidak mempunyai sebarang maklumat bahawa perhimpunan itu adalah perhimpunan aman, tidak ada harta benda awam atau persendirian yang dirosakkan sehinggalah rakyat yang berhimpun itu diserang dan diganasi. "Satu dunia ada maklumat yang tepat, adakah Muzakarah Jawatankuasa Fatwa tidak ada maklumat dan hanya mahu disuap dengan maklumat Umno sahaja?" beliau mempersoalkan. Beliau juga mempersoalkan, di manakah suara Muzakarah Jawatankuasa Fatwa terhadap pilihan raya yang tidak adil dan tidak bersih? "Mengapa membatu dan membisu terhadap daftar pemilih yang tidak bersih? Mengapa tidak ada suara Muzakarah Jawatankuasa Fatwa terhadap pilihan raya yang tidak adil dan tidak bersih? "Adakah pilihan raya yang tidak adil dan tidak bersih itu tidak haram, tidak mengakibatkan kemudaratan, keresahan, rusuhan, perpecahan malah pertumpahan darah?" Mohamad mempersoalkan lagi. Beliau terus mempersoalkan, adakah menuntut pilihan raya yang adil dan bersih tidak baik dan tidak membawa sebarang manfaat kepada masyarakat? Mohamad tidak menolak kemungkinan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa akan menghadapi masalah imej seperti yang dihadapi oleh pihak polis serta kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN). -HD Adakah Majlis Fatwa tahu apa itu Bersih 3.0? Majlis Fatwa Kebangsaan perlu menanggung akibatnya sendiri dan bertanggungungjawab apabila sebilangan besar umat Islam tidak lagi menghormati institusi tersebut kerana telah secara terang-terangan menjadi lidah UMNO. Salah sendiri. -GB |
TG Nik Aziz Menjawab Berhubung Isu Beliau Digelar Bapa Kafir Dengan Ayat-ayat Al Quran. Sila Baca Posted: 08 May 2012 05:09 AM PDT Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk. (Al-Qalam 68:7) Oleh itu (berpegang teguhlah pada ajaran Islam yang sedang engkau amalkan, dan) janganlah engkau menurut kemahuan orang-orang yang mendustakan (agama Allah). (Al-Qalam 68:8) Mereka suka kalaulah engkau bertolak ansur (menurut kemahuan mereka), supaya mereka juga bertolak ansur berlemah-lembut (pada zahirnya terhadapmu). (Al-Qalam 68:9) Dan janganlah engkau (berkisar dari pendirianmu yang benar, dan jangan) menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina (pendapatnya dan amalannya), - (Al-Qalam 68:10) Yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan (untuk memecah belahkan orang ramai), - (Al-Qalam 68:11) Yang sering menghalangi amalan-amalan kebajikan, yang melanggar hukum-hukum agama, lagi yang amat berdosa, - (Al-Qalam 68:12) Yang jahat kejam, yang selain itu tidak tentu pula bapanya. (Al-Qalam 68:13) Adakah kerana ia seorang hartawan dan ramai anak-pinaknya (maka ia mendustakan agama Kami)? - (Al-Qalam 68:14) Apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat keterangan Kami, ia berkata: " (Ini ialah) cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu kala". (Al-Qalam 68:15) (Orang yang bersifat demikian, akan didedahkan kehinaannya) - Kami akan adakan tanda di atas hidungnya (yang berupa belalai itu). (Al-Qalam 68:16) |
“Kita sedang menuju kemenangan,”kata Setiausaha Agung PAS Posted: 08 May 2012 05:05 AM PDT SETIU - Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali berkata senario politik hari ini menunjukkan PAS dan Pakatan Rakyat sedang menuju kemenangan sama ada di peringkat negeri mahu pun kerajaan pusat Oleh itu, beliau menggesa semua ahli dan penyokong PAS diingatkan agar bekerja kuat bagi memastikan rakyat dan pengundi menyokong Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan dating. Menurutnya, kemenangan PAS bukan hanya bergantung kepada calon tetapi lebih kepada sokongan rakyat sebagai pengundi. "Kita (PAS) sedang menuju kepada kemenangan kita, Insya'Allah. Kemenangan sama ada di peringkat pusat (Putrajaya) atau di peringkat negeri Terengganu. "Oleh itu, kita (PAS) kena bekerja kuat, bekerja keras sebab apa pun yang menentu kemenangan dengan izin Allah, rakyat yang mengundi itulah menentukan kemenangan. "Kita (PAS) menang atau kita kalah bergantung kepada sokongan dari pengundi. Walau pun, kita letak calon bertanding sebaik mana sekali pun jika rakyat tidak undi kita tidak akan menang pilihan raya ini. "Jadi bukan bergantung kepada calon semata-mata untuk beri kemenangan tetapi kekuatan penyokong dan rakyat yang mengundi itu yang akan memberi kemenangan kepada kita (PAS)," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Setiu Kali Ke-34, di Kompleks Tarbiyyah Lukmanul Hakim, PAS Kawasan Setiu, di Kampung Guntong Luar, Bandar Permaisuri, Setiu, Terengganu, 5 Mei lalu. Dato' Mustafa yang juga bekas Exco Kerajaan PAS Terengganu berkata pemimpin Umno menyifatkan pilihan raya (PRU) kali ini menentukan 'survival' kerajaan Barisan Nasional (BN). Menurutnya, Umno-BN beranggapan bahawa PRU13 sebagai 'ibu segala peperangan' dalam pilihan raya yang pernah diadakan selama ini. Maknanya, kata beliau, Umno dan kerajaan BN akan berhadapan dengan pilihan raya paling sengit dan paling teruk bagi mengekalkan kuasa tersebut. "Pilihan Raya Umum kali ini yang paling sengit dan paling teruk bakal dihadapinya. Dalam Perhimpunan Agung Umno yang lalu dikatakan pilihan raya kali ini akan menentukan 'survival' Umno dan Barisan Nasional (BN). Survival hidup-mati Umno-BN. "Umno-BN bila kalah memang tidak akan hidup lagi sebab tidak ada duit lagi. Sebab dengan 'kuasa' itu digunakan untuk cari duit. Bila tidak ada kuasa tidak ada duitlah jawabnya. "Mereka (Pemimpin Umno) anggap pilihan raya kali ini juga sebagai 'ibu segala peperangan' melalui pilihan raya yang pernah dihadapinya (BN)," tegasnya. Justeru, kata Dato' Mustafa, PAS dan Pakatan Rakyat boleh menang pilihan raya meski pun berhadapan dengan demokrasi yang tempang di negara ini. Menurutnya, Umno-BN pula akan melakukan apa sahaja jenis penipuan bagi memastikan kekal berkuasa serta dapat memenangi pilihan raya tersebut. Beliau mendakwa pemimpin Umno-BN akan menggunakan undang-undang juga bagi melakukan penipuan dalam pilihan raya berkenaan. "Di Malaysia ini, kita (PAS) boleh menang melalui sistem demokrasi walau pun demokrasi itu masih tempang di Malaysia ini. Tapi kita mampu untuk mencapai kemenangan itu. "Umno akan buat apa sahaja untuk mencapai kemenangannya (BN) termasuk menggunakan penipuan. Mereka (BN) guna undang-undang juga untuk tipu ini antaranya mereka guna daftar pemilih," ujarnya. Katanya, kerajaan PAS Terengganu tumbang pada pilihan raya tahun 2004 adalah hasil dari manipulasi daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Strategi inilah, kata Dato' Mustafa yang sedang digunapakai modul bagi Umno-BN merampas kembali Selangor pada pilihan raya akan datang. "Kita (PAS) telah mengalami tahun 2004 tapi baru sekarang ini orang sedar bahawa apa yang dilakukan di Terengganu tahun 2004, sedang digunakan di Selangor pada waktu ini. "Dia (BN) mendaftarkan ramai-ramai pengundi dalam kawasan yang dia hendak capai kemenangan dengan memasukkan orang yang bukan duduk (menetap) di situ hingga menenggelamkan pengundi asal di kawasan berkenaan. "Dimasukkan (daftar) pengundi dari Sabah, pendatang asing di Selangor. Ini kerana, Selangor menjadi tumpuan BN yang utama pada waktu ini. Sebagaimana tahun 2004, Terengganu menjadi tumpuan untuk dimenangi oleh BN kerana ada minyak (petroleum)," dakwanya. Sepatutnya, kata beliau pada tahun 2004 pertambahan pengundi sekitar 20,000 orang sahaja bagi negeri Terengganu tetapi telah bertambah sebanyak 90,000 orang pengundi baru. Menurutnya, kemerosotan undi PAS pada tahun 2004 sekitar 10,000 orang sahaja berbanding tahun 1999 yang tidak memungkinkan kerajaan PAS boleh tumbang. Tambahnya, PAS hanya menyedari strategi penipuan BN tersebut selepas pilihan raya tahun 2004 hingga menyebabkan kehilangan negeri ini. -BO |
Pengarah Amal Malaysia terima peluru, nota ugutan Posted: 08 May 2012 02:05 AM PDT KUALA LUMPUR, 8 Mei: Ketua Pengarah Jabatan Amal Malaysia, Juhari Osman menerima peluru yang disertakan bersama surat ugutan bunuh hari ini. Juhari menerima sebutir peluru yang dihantar bersama sampul surat ke rumahnya di Taman Ayer Molek, kira-kira 11.50 pagi tadi. "Balik dari mengambil anak saya, saya mendapati ada sekeping surat dalam peti surat lengkap bersetem. "Bila saya buka, gambar saya dan di bawahnya bertulis 'pu**mak kau Juhari...PENGKHIANAT'. "Peluru itu dibungkus dalam suratkhabar bertulisan Tamil," katanya kepada Harakahdaily. Juhari berkata, beliau akan membuat laporan polis petang ini dengan ditemani pimpinan PAS Melaka. "Saya akan bincang dengan timbalan pesuruhjaya PAS negeri untuk buat laporan polis di mana," katanya. Beliau dalam pada itu tidak menolak kemungkinan besar ugutan itu diterima kerana penglibatan beliau dalam perhimpunan Bersih 3.0 28 April lalu. Juhari mengetuai 4,000 anggota Unit Amal berkhidmat pada hari tersebut. -Hrkh |
Astarghfirullah… Bekas KPN, Rahim Nor Tuduh Nik Aziz Bapak Kafir Posted: 07 May 2012 10:22 PM PDT "FATWA" oleh Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor, dalam NST hari ini 8 Mei, halaman 6. Kenyataan yang melampau dan jijik dari beliau….Saya petik dari NST: Former inspector-general of police Tan Sri Rahim Noor has labelled Pas spiritual leader Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat the "father of kafir (infidels) for misleading Muslims to believe that it is their religious duty to support Bersih 3.o. -KafeSantai Astarghfirullah… KOTA BHARU, 8 Mei: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor diberi tempoh 24 jam menarik balik tuduhan terhadap Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dianggapnya "bapa kafir". Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Kelantan, Hisham Fauzi (gambar) berkata, kenyataan bekas ketua polis negara terbabit jelas tidak matang dan bersifat fitnah. "Oleh itu kami memberi tempoh 24 jam untuk Rahim menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf secara terbuka kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz. "Sekiranya beliau didapati gagal menarik balik kenyataan fitnah tersebut, kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan mahkamah terhadapnya," katanya di sini. Sebelum ini Menteri Besar Kelantan meminta rakyat keluar beramai-ramai pada himpunan Duduk Bantah pada 28 April lalu sebagai tanda membantah ketidakadilan dan kewujudan daftar pemilih yang meragukan. Hisham berkata, kenyataan Rahim begitu melulu sekali dan langsung tidak mencerminkan seseorang yang memegang jawatan tinggi dalam pasukan polis. Oleh itu kata beliau tindakan undang-undang akan diambil sekiranya bekas ketua polis terbabit tidak menarik balik kenyataan dan memohon maaf dalam tempoh ditetapkan. |
Mengapa Majlis Fatwa Tak Keluarkan ‘Fatwa’ Polis Sepak Peserta, Akhbar Sebar Gambar Lucah? Posted: 07 May 2012 10:19 PM PDT Tindakan Majlis Fatwa Kebangsaan menyatakan haram umat Islam menyertai perhimpunan hanya berkepentingan politik, kata Pengerusi Biro Pemantapan dan Pemahaman Agama KEADILAN (Bippa), Ahmad Kassim. Menurutnya, keputusan majlis itu boleh dicabar dari sudut integriti kerana tidak mendapatkan maklumat sahih dengan mengadakan pertemuan dengan semua pihak terlibat. "Jika diteliti semula, jelas membuktikan fatwa ini tiada nilai integriti kerana menyebelahi sesebuah pihak sedangkan ianya bertentangan dengan kaedah sebenar yang mesti bebas. "Maklumat lengkap diperlukan dari pelbagai sudut sebelum diputuskan ianya haram atau tidak. "Jika fatwa menyebelahi sesebuah pihak, pastinya tidak akan dapat diterima rakyat. Kita minta fatwa ini dikaji semula," katanya kepada Keadilan Daily. Ahmad Kassim berkata, Majlis Fatwa juga perlu mengambil kira apa yang diperjuangkan rakyat sama seperti yang berlaku di beberapa negara Asia Barat sebelum ini. "Ulama terkenal, Syeikh Yusof Al-Qardawi mengeluarkan fatwa bahawa rakyat di Mesir digesa turun ke Dataran Tahrir dan golongan yang mati dikira para syuhada. "Bermakna menentang kerajaan zalim dan korup merupakan jihad, walaupun dalam konteks negara berlainan namun apa yang diperjuangkan adalah sama," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Kedah. Dalam pada itu, beliau mempersoalkan tindakan Majlis Fatwa yang hanya mengeluarkan fatwa berhubung perhimpunan sedangkan isu-isu besar yang menjadi perosak umat Islam tidak dibincangkan. "Berkenaan akhbar Utusan (Malaysia) yang keluarkan gambar lucah tidak pula dibincangkan untuk mengeluarkan fatwa, kenapa tidak membincangkan apa hukumnya polis bertindak zalim dengan memukul, menendang dan menyepak peserta. "Ini yang saya katakan berat sebelah, mereka hanya mahu menjaga 'bos-bos' mereka tanpa memikirkan akibatnya. Cuba lihat dalam pelbagai konteks, bukannya tertumpu kepada sebelah pihak," ujarnya. Dilaporkan, Majlis Fatwa Kebangsaan semalam memutuskan haram untuk umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta mencetuskan huru-hara dan kekacauan dalam negara. Walhal, pada Himpunan Bersih 3.0, 28 April lalu, polis menyebabkan keadaan tegang kerana sebelum itu, himpunan berlangsung aman. -KD |
Sejarah politik paling kotor sejak merdeka – Kadir Posted: 07 May 2012 10:15 PM PDT BACHOK: "Sepanjang 56 tahun bersama Umno saya tidak pernah tengok lagi politik yang paling kotor dan tidak adil berlaku sejak negara mencapai kemerdekaan, berbanding sekarang. "Sekarang sudah tidak ada negara yang mengamalkan demokrasi menggunakan sepenuhnya jentera kerajaan dalam kempen pilihan raya," kata bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Ahmad. Perkarangan pejabat PAS di Pantai Irama dekat sini penuh sesak dengan orang ramai yang mahu mendengar ceramah sulung bekas veteran Umno terbabit di Kelantan. Di sebelah jalan utama di hadapan Masjid Bandar Bachok sehingga ke tepi pantai penuh dengan orang ramai tanpa menghiraukan hujan yang turun rintik-rintik. Hadir sama pada ceramah isu semasa tersebut Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Timbalan Pesuruhjaya, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Yang Dipertua PAS Bachok, Datuk Omar Mohamad. Pada sebelah pagi Abdul Kadir menemui Tuan Guru Nik Abdul Aziz di Kota Darulnaim dan sebelah petang bersembang bersama rakyat di Kedai Kok Lanas. Abdul Kadir bekas anggota jawatankuasa Pemuda Umno Kampung Air Tawar, Baling pada 1956 juga berkata, suasana begitu berbeza zaman kepemimpinan Umno di bawah Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak berbanding sekarang. Katanya, masa itu pemimpin Umno benar-benar berjuang secara ikhlas dan jujur untuk rakyat. "Mereka tiada perangai buruk seperti pemimpin Umno la ni. Sekarang pemimpin Umno tidak perlu susah-susah kempen bagi menarik sokongan rakyat, hanya perlu hulur duit sahaja. "Politik sekarang we need money. Hendak jadi ketua Umno tidak payah kempen hanya guna duit. Begitu juga hendak menang pilihan raya hanya guna duit. "Umno letak orang depa dalam semua agensi penting kerajaan seperti SPR, SPRM, polis, mahkamah dan tentera. Sebab itulah depa tidak takut untuk melakukan penyelewengan dan pembaziran kerana semuanya orang kita," katanya. Menurutnya tindak tanduk pemimpin Umno sekarang secara jelas mahu merosakkan negara kerana semua benda menggunakan umpan wang. -Hrkh |
You are subscribed to email updates from Muslimeen United To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan