Selasa, 22 Mei 2012

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Rais & BERNAMA Kata Peserta Perhimpunan BERSIH 3.0 Cuma 22,270 Orang - Ulasan GB

Posted: 22 May 2012 12:39 AM PDT

Rais: Hanya 22,270 sertai Bersih 3.0

KUALA LUMPUR - Perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara bulan lepas disertai oleh 22,270 orang dan bukan ratusan ribu seperti yang didakwa pembangkang, kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini.

Beliau berkata, rumusan tentang jumlah mereka yang menyertai perhimpunan pada 28 April itu dibuat oleh Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) dengan menggunakan sistem blok fotografi.

"Jumlahnya 22,270, agak hampir dengan konfigurasi British Broadcasting Corporation (BBC) (25,000), tetapi, yang pasti ia jauh daripada (jumlah) yang diumumkan (penasihat PKR dan Ketua Pembangkang) Datuk Seri Anwar Ibrahim ke seluruh dunia.

"Sehubungan itu, kami ingin berkata begini: "Bersikap jujurlah tentang jumlah orang yang menghadiri sebarang majlis.

"Dan idea untuk menjadikannya gah hingga mencapai beratus ribu bukan saja sesuatu yang agak nakal, tetapi juga menyatakan sesuatu yang begitu tidak benar kepada rakyat Malaysia dan kepada seluruh dunia," katanya selepas merasmikan kursus asas mengenai media baharu untuk anggota Mubarak (Majlis Bekas-bekas Wakil Rakyat) dan veteran Umno di sini.

Rais mempelawa mereka yang begitu berminat untuk mengetahui bagaimana jumlah itu dikira, melihat cara Bernama melakukannya.

"Kami sebenarnya boleh mengira jumlah kepala bagi setiap sentimeter graf pada sesuatu gambar.

"Kami lebih cenderung menerima cara anggaran itu dibuat daripada cara mencari gah yang kami dapat daripada puak PKR," katanya.

Ditanya adakah jumlah itu merupakan angka rasmi kerajaan, beliau berkata, junmlah yang dicapai Bernama adalah lebih logik dan hampir dengan anggaran BBC.

Rais berkata, beliau tidak keberatan sekiranya sebuah badan bebas diwujudkan untuk mengesahkan jumlah itu jika ada pihak yang mahukan demikian agar ia boleh dijadikan ukuran pada masa akan datang.

"Saya ingin mengesyorkan agar setiap kali ada perhimpunan besar, kaedah ini digunakan agar orang ramai boleh mendapat maklumat secara adil tentang jumlah hadirin," kata beliau. - Bernama

Ulasan GB

Menteri UMNO/BN bersama-sama agensi berita pencacai BERNAMA masih lagi di dalam sindrom penafian dan penipuan apabila memberikan angka rasmi peserta perhimpunan BERSIH 3.0 sekitar 22, 270 orang.

Bagi mereka yang mengikut perkembangan berita-berita yang dikeluarkan oleh BERNAMA mengenai kehadiran orangramai terhadap acara-acara yang duisertai Pakatan Rakyat biasanya akan disusutkan dengan membahagikan angka itu dengan 10, iaitu jika yang hadir 200,000 maka dikhabarkan hanya 20,000 dan jika yang hadir di dalam mana-mana program anjuran PR seperti ceramah itu mencecah 50,000 maka ditulisnya 5,000. Jika 3000 maka ditulisnya hanya 300 orang.

Contoh semasa perhimpunan BERSIH 1.0 dahulu, BERNAMA tanpa segan silu menyatakan kehadirannya cuma 4,000 orang!

Aneh! BERNAMA kata hanya 4 ribu sahaja....

Memang telah menjadi dasar berita BERNAMA selama ini, untuk membelitkan apa juga laporan yang tidak menyenangkan kerajaan BN/UMNO.

Di dalam berita yang diterbitkan oleh BERNAMA dan disiarkan oleh MSTAR dikatakan:

"Bagaimanapun, hanya beberapa ribu orang sahaja menyertai perhimpunan anjuran Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH) itu yang sebelum ini merancang menghimpunkan seramai 100,000 orang."

Di dalam satu berita lain pula BERNAMA menyatakan:

Sekitar 4,000 orang telah berhimpun secara haram di sekitar perkarangan Dataran Merdeka sehingga ke Masjid Jamek hari ini dan polis telah menahan 245 orang.

Bukankah itu melucukan sedang dunia menyaksikan puluhan ribu manusia (laporan AFP meyatakan 30 ribu sementara BERSIH Malaysiakini dan lain-lain pertubuhan menyatakan 40 ribu) yang berhimpun di perkarangan Istana Negara, belum lagi dicampur yang masih dalam perjalanan dari tempat berhimpun masing-masing?

Jika di Dataran Merdeka sememangnya kosong, bukan kata 4 ribu, seorang pun tidak ada, tempat yang sepatutnya Perhimpunan Aman itu diadakan. Tetapi malang, peserta perhimpunan dihalang dari memasuki kawasan Dataran merdeka, justeru itu peserta 100,000 orang itu terpaksa berpecah di empat tempat yang berlainan iaitu Sogo, Masjid India, Masjid Negara dan Pasar Seni.

Jika tidak kerana kawalan ketat polis di ibu negara sudah tentu lebih ramai wargakota dan rakyat Malaysia amnya menyertai perhimpunan hari ini...
-Greenboc [10/11/2007]


Tetapi mana-mana program anjuran UMNO BN, maka angka sebenar akan didarabkan dengan 10. Misalnya jika kehadiran itu 8,000 ditulisnya 80,000. Di Gua Musang baru-baru ini, program Najib yang disertai 3,000 orang ditulisnya 30,000 dan apa juga program NGO yang sehaluan dengan UMNO BN seperti JATI juga demikian, 800 akan ditulisnya 8,000. Jika ada NGO sedemikian buat demo yang dihadiri 20 orang maka akan ditulisnya 200 orang.

Hukum kebenaran dan keadilan tidak boleh ditipu. Sungguh bebal BERNAMA ini. Mengubah angka semata-mata nak "gah"kan UMNO BN dan merendahkan PR.

Bagaimana pula laporan BBC yang melaporkan hanya 25,000 orang? Wartawan berkenaan membuat liputan dari satu tempat, bukannya keseluruhan, mungkin hanya di perkarangan Masjid Negara atau Petaling Street di mana wartawan itu berada. Jika demikian memang hanya 25,00 orang. Dan jika 1 tempat 25,000 kalau 5-6 tempat jumlahnya berapa?

Najib sedar beliau sendiri mendapat maklumat palsu oleh agensi berita dan para menterinya ini. Najib sendiri pernah membuat pengakuan belia di"kencing" dengan berita-berita palsu ini:

'Syok sendiri' antara punca BN tewas di S'gor

Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak menempelak pemimpin tertentu dalam parti itu yang masih menjalankan program "syok sendiri" dan memberi laporan tidak tepat berhubung sokongan masyarakat akar umbi.

Katanya, anggota parti itu sepatutnya sedar bahawa tindakan seperti itulah yang menyebabkan BN kehilangan Selangor dalam pilihan raya 2008.

Tambahnya, pemimpin berkenaan hanya "menipu diri sendiri" sekiranya melaporkan bahawa program yang diadakan itu merupakan satu kejayaan.

Walhal ia hanya dihadiri oleh 300 orang di kalangan mereka sendiri, katanya ketika bercakap kepada kira-kira 3,000 orang yang hadir dalam konvensyen BN Selangor di Shah Alam hari ini.

"Jangan hantar laporan, 300 orang berhimpun, berjaya. Siapa 300 orang itu?



Justeru itu untuk mendapat angka sebenar jumlah orang yang menyertai sesuatu program, maka jika program itu ada kaitan dengan UMNO BN, maka jumlah yang dilaporkan oleh BERNAMA itu anda bahagikan dengan 10 manakala jika ianya program PR makan anda darabkan dengan 10. Itu realitinya.

Rumusan: Jika BERNAMA tulis peserta perhimpunan BERSIH itu 22,270 maka realitinya ialah 222,700 orang!

[TERKINI] Mahkamah Tetapkan 2 Julai Perbicaraan Anwar, Azmin & CheguBard -updated

Posted: 21 May 2012 10:12 PM PDT

Mahkamah Majistret Kuala Kumpur di Jalan Duta sebentar tadi telah menetapkan 2 Julai 2012 tarikh perbicaraan membabitkan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim; Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan Ketua PKR Cabang Rembau, Badrul Hisham Shahrin atau CheguBard.

Ketiga-tiga mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dikenakan ke atas mereka dan hakim Mahkamah Sesyen, Mahmud Abdullah bersetuju bahawa ikat jamin sebanyak RM 500 dikenakan kepada tiap-tiap seorang bagi pertuduhan pertama iaitu melanggar perintah majsitret hadir dan berhimpun semasa himpunan Bersih 3.0 pada 28 April 2012 yang dikeluarkan pada 26 April 2012.

Bagi pertuduhan kedua mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan, ketiga-tiga mereka dibenarkan ikat jamin persendirian.

Paling mencuri tumpuan adalah kehadiran bekas Timbalan Pendakwaraya semasa Anwar menghadapi perbicaraan Fitnah Liwat 2, Mohd Yusof Zainal Abiden yang bertindak sebagai peguambela Anwar.

Turut mewakili Anwar adalah ahli parlimen Jelutong, Karpal Singh.

Sementara Azmin diwakili oleh ahli parlimen Subang, Sivarasa Rasiah manakala Latheefa Koya mewakili CheguBard.

Anwar bersama dengan isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail, tiba di Mahkamah Sesyen 5 pada jam 9 pagi.

Ketiga-tiga mereka merupakan yang pertama didakwa di bawah Akta Berhimpun Aman yang diluluskan baru-baru ini, di mana Anwar dan Azmin boleh kehilangan jawatan mereka sebagai wakil rakyat jika didapati bersalah.

Mereka boleh didenda RM10,000 jika sabit kesalahan di bawah akta tersebut.

Wakil rakyat secara automatik hilang jawatan jika disabit oleh mahkamah dan didenda lebih RM2,000 atau penjara lebih setahun.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 4(2) (c) Akta Perhimpunan Aman kerana didakwa mengambil bahagian dalam yang perhimpunan BERSIH 3.0 dan melanggar perintah Majistret Zaki Asyraf Zubir, yang melarang perhimpunan di Dataran Merdeka dan kawasan yang bersempadan dengan Jalan Sultan Hishamuddin, Jalan Raja dan Jalan Kelab.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 2.30 petang dan 3 petang pada 28 April.

Mereka juga menghadapi satu lagi tuduhan di bawah Kanun Keseksaan, iaitu bersama penyokong BERSIH 3.0 yang melebihi lima orang yang masih bebas, dalam mencapai niat bersama, telah bersubahat dengan Tangam a/l Raju, Rajesh Kumar a/l Gejinder dan Farhan bin Ibrahim @ Alias, telah mengingkari perintah yang dikeluarkan oleh Majistret Zaki Asyraf Zubir pada 26 April.

Azmin dituduh bersubahat dan menghasut Tangam, Rajesh dan Farhan membuka sekatan besi halangan di Dataran Merdeka yang mungkin menyebabkan rusuhan atau gaduh-gempur di kawasan tersebut.



Bersih 3.0: Anwar Didakwa

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa didakwa atas kesalahan terbabit dalam perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Mahkamah Sesyen di sini membebaskan Anwar dengan ikat jamin RM500 selepas beliau mengaku tidak bersalah.

Anwar mohon dibicarakan sambil menyifatkan dakwaan berkenaan dibuat atas dasar politik.

Sebutan semula kes berkenaan pada 2 Julai depan.
-mstar


Tindakan dakwa Anwar, 2 lain motif politik

SHAH ALAM - PKR menyifatkan tindakan kerajaan mendakwa tiga pemimpin parti itu termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu negara pagi ini sebagai satu tindakan terdesak yang bermotifkan politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Selain Ketua Umum PKR itu, dua lagi akan didakwa di Mahkamah Majistret ialah Timbalan Presidennya, Azmin Ali dan Badrul Hisham Shaharin.

"Peguam Negara sekali lagi bertindak atas perintah Barisan Nasional. Selepas gagal dalam usaha menghalang Anwar Ibrahim dalam kes tuduhan liwat, mereka cuba sekali lagi," kata anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR, R. Sivarasa dalam satu kenyataan.

Ketiga-tiga pemimpin itu menerima notis saman agar hadir di Mahkamah Majistret Jalan Duta, Kuala Lumpur berhubung perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Mereka akan dikenakan tuduhan di bawah Akta Perhimpunan Aman dan Kanun Keseksaan.

"(Nampaknya) sesuatu ketara apabila pendakwaan pertama di bawah Akta Perhimpunan Aman dituju ke atas Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang.

"Jadi, dakwaan terbaru ini yang bermotifkan politik sangat jelas," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Subang dan seorang peguam.

Malah kata beliau, tindakan terbaru ini juga usaha pihak kerajaan untuk menghalang misi Pakatan Rakyat untuk menuju ke Putarajaya dalam PRU13.

"PKR memberi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa pendakwaan ini sekali lagi memperlekehkan dakwaan beliau bahawa mahu menjadikan Malaysia negara demokrasi terbaik di dunia (dengan mengadakan Akta Perhimpunan Aman).

"Kami akan menggerakkan rakyat Malaysia untuk membantah penyalahgunaan yang ketara dan manipulasi institusi-institusi kita," katanya lagi.
-SH


Media antarabangsa, penyokong penuhi kompleks Mahkamah

KUALA LUMPUR 22 Mei: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditemani isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Mahkamah Jalan Duta dekat sini kira-kira jam 9.10 minit pagi tadi.

Kehadiran disusuli Timbalan Presiden, Azmin Ali juga ditemani isteri beliau, Shamsida Taharin yang berpakaian sedondon kuning dan diikuti Ketua Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin.

Mereka disambut laungan 'reformasi' oleh ratusan penyokong yang menunggu sejak awal pagi tadi.

Berpuluh-puluh media tempatan dan antarabangsa memenuhi perkarangan kompleks mahkamah untuk membuat liputan.

Antara pimpinan yang hadir, Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar, Tian Chua dan Datuk Chua Jui Meng; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Ketua Angkatan Muda (AMK) Selangor, Azmizam Zaman Huri dan Ahli Parlimen Kuala Kerai, Dr Hatta Ramli

Ketiga-tiga pimpinan KEADILAN itu menerima writ saman untuk ke Mahkamah Tinggi hari ini pada petang semalam.

Mereka didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan mengambil bahagian dalam protes jalanan di bawah Akta Perhimpunan Aman.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 4(2) (c) Akta Perhimpunan Aman kerana didakwa mengambil bahagian dalam perhimpunan Bersih 3.0 dan melanggar perintah Majistret Zaki Asyraf Zubir, bertarikh 26 April yang melarang perhimpunan di Dataran Merdeka dan kawasan yang bersempadan dengan Jalan Sultan Hishamuddin, Jalan Raja dan Jalan Kelab.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 2.30 petang dan 3.00 petang pada 28 April lalu.

Mereka boleh didenda RM10,000 jika sabit kesalahan di bawah akta tersebut.

Difahamkan jika sabit kesalahan, ketiga-tiga pimpinan KEADILAN itu akan hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.
-KD



PELIK TAPI BENAR


Yusof: Bukan peribadi dengan AG

Ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim mencetuskan berita dengan didakwa di mahkamah, bekas peguam cara negara II Mohd Yusof Zainal Abiden juga mendapat perhatian apabila mewakili orang yang didakwanya dalam perbicaraan 'liwat' II.

Yusof ketika ditemui selepas prosiding mahkamah hari ini berkata tiada masalah peribadi antaranya dengan Peguam Negara Abdul Gani Patail dan beliau profesional sejak memilih bersara.

Beliau mengulas tanda tanya sama ada tindakannya melibatkan perkara peribadi dengan Abdul Gani.

"Saya profesional, mereka telefon saya malam tadi dan saya lapang," katanya.

"Saya tidak ada sebarang penglibatan politik," kata Yusof, orang ketiga alam Pejabat Peguam Negara sebelum bersara pada 1 Februari. -mk


Tuduhan bermotif politik, Anwar minta dibicara

KUALA LUMPUR 22 Mei: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pendakwaan ke atasnya di bawah Akta Perhimpunan Aman bermotif politik.

"Pertuduhan bertujuan politik dan saya minta dibicarakan," kata Anwar selepas pertuduhan dibacakan.

Beliau berkata demikian di hadapan Hakim Mahmud Abdullah di Mahkamah Sesyen Jalan Duta pagi tadi.

Bekas peguamcara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden merupakan ketua pasukan pendakwa dalam kes Fitnah II terhadap Anwar sebelum ini.

Namun, hari ini, beliau bersama peguam kanan, Karpal Singh dalam pasukan peguambela ketua pembangkang itu.


Mohd Yusof meletak jawatan dari Jabatan Peguam Negara pada akhir perbicaraan kes Fitnah II tersebut. -KD


Mati Dikelar Oleh Suspek Yang Cuba Perkosa Adiknya

Posted: 21 May 2012 07:34 PM PDT

Maut di pangkuan ibu

KLUANG: "Saya hanya mampu menjerit meminta tolong dan menutup kesan kelar menggunakan tangan bagi mengurangkan darah memancut keluar. Sebagai ibu, saya hanya mampu memangkunya dan berharap ada orang tampil memberikan bantuan.

"Beberapa minit kemudian, seorang jiran menawarkan kenderaan untuk membawa anak saya ke hospital. Malangnya, sebaik mengangkat tubuhnya ke dalam kereta, badannya mulai sejuk dan dia sudah tiada," kata Saemah Mogeri, 43, ibu kepada mangsa bunuh di Jalan Sentosa, di sini, kelmarin.

Difahamkan, dalam kejadian jam 8.30 malam itu, mangsa, Nurul Amin Mohamed Ishak, 22, dipercayai cuba mempertahankan kehormatan diri adiknya yang disyaki cuba diperkosa seorang rakannya, namun mangsa maut selepas lehernya dikelar dengan objek tajam.

Sebelum kejadian, mangsa membawa tiga lelaki dipercayai rakannya bagi menyelesaikan masalah peribadi yang berlaku antara mereka, Selasa minggu lalu.

Saemah berkata, ketika kejadian dia tiada di rumah dan menerima panggilan telefon daripada anaknya yang memaklumkan sudah menemui tiga lelaki itu di sekitar bandar Kluang selepas cuba mengesan mereka sejak hampir seminggu lalu. -hm

DI SINI...Kompleks Sukan Jabatan Kerja Raya Kluang, tempat mangsa dibunuh.


SUGUL...Saemah menceritakan detik anaknya dibunuh.


'Dia masuk bilik saya'

KLUANG: "Dia (suspek) masuk ke bilik tidur saya dan menekup muka menggunakan kain sebelum cuba menyentuh kemaluan saya," kata adik Nurul Amin Mohamed Ishak yang hanya mahu dikenali sebagai Alya, 15.

Menurutnya, dalam kejadian jam 2 pagi Selasa lalu, suspek yang juga rakan abangnya memasuki kediaman mereka dalam keadaan mabuk bersama seorang lagi rakannya. "Mereka memang sering datang ke sini. Bagaimanapun, pada malam kejadian mereka berkelakuan pelik dipercayai akibat mabuk.

"Ketika seorang lagi rakannya tidur di ruang tamu, dia menyelinap masuk ke bilik sebelum cuba merogol saya,"
katanya.

Alya berkata, dalam kejadian itu, dia meronta dan berjaya meloloskan diri, manakala suspek melarikan diri bersama rakannya.

"Saya memaklumkan kejadian itu kepada ibu sebelum sampai ke pengetahuan abang.

"Berikutan itu, abang (Nurul Amin) mencari suspek, namun tidak menemuinya hinggalah mereka bertemu di satu kawasan di bandar Kluang, malam kelmarin.

"Sebaik menemuinya, abang membawa rakannya itu ke kawasan stor berhampiran rumah kami untuk berbincang sebelum keadaan menjadi tegang," katanya.

Harian Metro difahamkan, mangsa yang bekerja sebagai buruh kasar di sini dipercayai maut akibat parah pada lehernya selepas dikelar menggunakan objek tajam.
-hm


Maut dikelar depan ibu

KLUANG - Seorang remaja bukan hanya maut dikelar sahabat baik, malah lebih tragis lagi apabila insiden itu berlaku depan mata ibunya sendiri.

Dalam kejadian itu, Nurul Amin Muhamed Ishak, 22, (gambar) seorang buruh kasar, mati serta-merta di tempat kejadian di Jalan Sentosa di sini akibat pendarahan pada leher setelah dikelar dengan pisau.

Menurut ibunya, Saemah Mogeri, 43, sebelum peristiwa berdarah itu berlaku, mangsa yang mesra dipanggil Abang mahu membawa dia bersemuka dengan dua sahabat baiknya untuk mendapatkan penjelasan berhubung insiden rumah mereka dipecah masuk minggu lalu.

"Dua sahabat baik Abang ceroboh rumah kami Selasa minggu lepas dan cuba mencabul kehormatan saya dan adik perempuannya. Disebabkan itu, Abang marah dan mahu bersemuka dengan mereka demi mempertahankan maruah kami.

"Abang berjanji bertemu dengan mereka di Kompleks Sukan Jabatan Kerja Raya (JKR) berdekatan dengan rumah jam 8.30 malam. Disebabkan jarak rumah kami dengan kompleks itu hanya 150 meter, arwah ajak saya pergi bersamanya," katanya.

Saemah berkata, apabila dua sahabat baik anaknya tiba di lokasi yang dijanjikan dengan menaiki motor, Abang segera meminta penjelasan mengapa mereka tergamak melakukan perkara tersebut kepada keluarganya.

"Ketika arwah sedang bercakap, secara tiba-tiba salah seorang sahabat baiknya itu pergi ke motosikal lantas mengambil pisau sebelum meluru mengelar leher arwah dari depan.

"Kejadian berlaku terlalu pantas. Saya tergamam dan mampu menjerit nama Abang. Ketika itu darah membuak-buak keluar daripada leher arwah.

"Saya hampir pitam melihat kejadian tidak diduga itu, namun masih sempat mendakap mangsa yang kemudian terkulai layu. Pakaian saya habis dibasahi darah arwah," katanya.

Menurut Saemah, akibat panik, dua sahabat anaknya itu terus melarikan diri, manakala beberapa pemuda yang berada di dalam kompleks sukan berkenaan bergegas keluar sejurus mendengar jeritannya dan segera memanggil polis serta ambulans.

Sementara itu, Ketua Polis Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali ketika dihubungi berkata, pihaknya hanya akan memberi kenyataan rasmi dalam sidang media, hari ini
.-SH


Bagaimana Aku Mula Bertudung...

Posted: 21 May 2012 04:30 PM PDT


1. Catriona Ross :

~Semuanya bermula apabila dia menemani sahabat karibnya ke sebuah butik tudung di KLCC pada 14 Julai lalu.

Tergerak hatinya mencuba satu tudung dan ketika melihat wajah di cermin, tiba-tiba terbit satu perasaan pelik hingga bergenang air mata. Sepantas kilat ditanggalkan tudung itu.

Dia yang dihenyak perasaan pilu, hiba dan syahdu kemudian berpusing ke arah temannya seraya spontan meluahkan hasrat mahu memakai tudung. Luahan itu bagaimanapun mengundang tawa sahabatnya kerana menyangka dia bergurau.

"Ketika memandu pulang ke rumah, saya menangis. Sukar untuk jelaskan perasaan saya ketika itu. Sebak, syahdu, hiba, semuanya bercampur-baur. Saya sedar perasaan pelik yang muncul tiba-tiba itu adalah hidayah dari Allah.
"Sepanjang perjalanan, saya tak henti-henti mengucapkan rasa syukur ke hadrat Ilahi. Terharu dan rasa istimewa apabila Allah buka pintu hati saya. Memang sebelum itu pernah terfikir untuk menutup aurat tetapi teragak-agak untuk melaksanakannya.

"Esoknya di rumah, saya gelisah dan rasa serba tak kena. Asyik terfikir untuk memakai tudung dan malamnya saya tidak boleh tidur. Kebetulan pula suami tiada di rumah kerana bertugas di luar Kuala Lumpur, jadi tiada tempat untuk saya mengadu," katanya sambil menghela nafas panjang.

Pagi Jumaat (16 Julai lalu), berjam-jam pelakon yang popular menerusi drama rantaian Sephia ini menyelongkar almari mencari hijab namun kecewa apabila yang ada hanya selendang.

Dia kemudian menghubungi teman karibnya untuk meminjam tudung. Terkejut dengan permintaan itu, temannya mengajak Cat ke butik untuk belikan beberapa helai tudung. Selesai membuat pembayaran, hijab yang dihadiahkan temannya itu terus disarungkan di kepala.
"Sejak itu saya terus bertudung. Tekad saya, sekali bertudung Insya-Allah saya akan kekal begitu hingga ke akhir hayat. Itu prinsip yang saya pegang sejak kecil.
"Apabila pulang ke rumah, suami menyambut saya di muka pintu dan dia terkejut dengan perubahan itu. Dia bertanya adakah saya benar-benar serius. Selepas berkongsi apa yang saya alami dalam tempoh 48 jam itu, dia ternyata gembira dengan keputusan saya.

"Banyak nikmat yang Allah beri kepada hamba-Nya dan apa yang saya mohon selama ini dalam doa dimakbulkan. Masih segar dalam ingatan, selepas terbabit dalam nahas jalan raya, saya tidak putus-putus berdoa supaya boleh berjalan semula dan doa itu Allah perkenankan.

"Kemudian, ada suara sumbang bercakap saya tak boleh hamil kerana mengalami kecederaan teruk dalam kemalangan itu tetapi Allah makbulkan doa saya. Alhamdulillah saya bunting pelamin. Jadi, nikmat Tuhan yang mana lagi nak saya dustakan?

"Saya nekad bertudung kerana tidak mahu terus menerus buta hati. Jiwa saya bagai disiat-siat ketika mendapat hidayah dalam butik itu. Jauh di sudut hati, saya dapat rasakan itu adalah seru daripada Allah.

"Syukur, saat mula-mula pakai hijab hingga sekarang, hati saya tenang dan damai. Ada rasa bahagia yang tidak boleh dizahirkan dengan kata-kata. Ketenangan itu cuma Allah, saya dan teman sehijrah yang faham," kata anak jati Kota Bharu Kelantan ini yang menahan air mata daripada mengalir.

2. Irma Hasmie :

~"Alhamdulillah, sudah sampai masa untuk saya bertudung, sukar nak jelaskan mengapa saya ambil keputusan secepat ini, tetapi ini semua kerja Tuhan, dan bila sudah sampai seru-Nya, saya hanya menerima.

"Kalau boleh, saya tidak mahu cerita saya bertudung terlalu diberi perhatian sebab takut disalahertikan niat sebenarnya, walaubagaimanapun saya yakin lambat laun semua orang akan mengetahui juga.

"Saya bersyukur dan gembira dengan kehidupan saya sekarang, saya lebih tenang dan lebih banyak belajar. Tiada siapa yang memaksa saya tampil begini, semuanya berlaku secara natural. Alhamdulillah, setelah dua minggu pulang ke Malaysia, ramai yang menerima baik niat saya ini," jelas Irma akui hidupnya kini lebih tenang dan bahagia Irma. Irma akui hidupnya kini lebih tenang dan bahagia

Berdoa di Mekah

Mengerjakan umrah bersama ibu dan adiknya, jelas Irma, dia mengambil kesempatan itu untuk berdoa sebanyak yang mungkin.

"Satu perkataan yang dapat saya gambarkan tentang Mekah adalah Subhanallah. Saya sangat bersyukur diberi peluang untuk menjejakkan kaki ke tanah suci ini.

"Memang seronok berada di sana, saya dapat lihat sendiri betapa hebat dan ajaibnya ciptaan Tuhan. Saya memang tidak mahu melepaskan peluang untuk berdoa, macam-macam doa saya minta.

"Selama 29 tahun saya hidup dibumi ini, saya mohon diampunkan segala dosa yang pernah dilakukan, diberi rezeki dan jodoh yang baik," jelas Irma yang turut memohon ditenangkan hati setiap masa.

3. Abby Abadi :

~"Takut juga kalau terjadi senario sekejap pakai dan sekejap buka tudung. Tetapi alhamdulillah, dua hari sebelum kembali ke Kuala Lumpur, di depan Kaabah, saya nekad untuk bertudung sekali gus berdoa semoga Tuhan tetapkan iman saya untuk kekal begini buat selama-lamanya. Segala-galanya dipermudahkan."Saya juga berharap perubahan ini tidak akan menjadi masalah atau beban kepada orang sekeliling.Apatah lagi hal bertudung ini sering diperkotak-katikkan, terutama apabila ia membabitkan individu yang memilih kerjaya seni untuk mencari rezeki," katanya sambil memberitahu, sekalipun sudah bertudung, kerjaya seni tetap berjalan seperti sedia kala.

Mengenai kesempatan indah menunaikan umrah buat kali pertama itu, ibu kepada Mohamed Danish Hakim, 9, Marissa Dania Hakim, 7, dan Maria Danisha Hakim, 4, ini bersyukur kerana kembara dan ibadatnya di sana berjalan lancar. Bahkan secara tidak langsung, Abby ke sana seperti membawa hatinya yang lara.

Kata Abby, jika diikutkan, sebelum ini dia memang memasang azam untuk ke Tanah Suci, tetapi mungkin serunya belum tiba ketika itu.Ada saja halangan yang tiba, termasuklah visa yang dimohon tidak dapat diluluskan."Namun syukurlah, kali pertama menjadi tetamuNya, kesihatan saya di sana senantiasa baik. Saya juga sempat menunaikan umrah sebanyak tiga kali, mencium batu Hajarul Aswad dua kali, dapat menyentuh Kaabah, memasuki Raudhah dan banyak lagi. Perasaan berada di sana juga tidak dapat digambarkan dengan kata-kata dan saya teruja akhirnya digerakkan juga ke Tanah Suci Makkah selain Madinah.

"Saya juga tak terkilan sekalipun sebelum ke sana, tawaran berlakon datang mencanak.Hampir lima ke enam tawaran berlakon saya terima, tetapi terpaksa saya tolak secara baik kerana pihak produksi tidak dapat menunggu. Tetapi saya tak ralat dan percaya rezeki tetap ada, insya-Allah.

4. Diana Amir :

~"Saya ambil keputusan ini kerana saya sudah beberapa kali sejak tiga bulan yang lalu diberi petanda dan mimpi buruk tentang hari kiamat.

"Dan mimpi-mimpi tersebut juga mengingatkan saya tentang kematian yang semakin hampir dan perkara itu sering membelenggu hidup saya beberapa bulan kebelakangan ini,"

"Saya tak tahu kenapa perkara itu berlaku kepada saya, mungkin Allah ingin memberi petunjuk dan saya menceritakan semuanya kepada seorang rakan. "Namun selepas itu rakan saya yang berhijrah lebih awal daripada saya,"

"Saya tahu saya masih lemah terutamanya mengenai hal-hal agama, disebabkan itu saya ambil peluang untuk bertemu dengan Irma Hasmie untuk mendapatkan nasihat dia.

"Ketika buat keputusan tersebut saya terus berjumpa David Teo untuk meminta pendapat dia tentang lakonan dan kerjaya saya selepas ini, "Biarpun dia tidak menjanjikan apa-apa, namun saya yakin rezeki adalah ketentuan Allah,"

"Irma juga membawa saya berjumpa dengan Wardina Saffiyah untuk mendapatkan tunjuk ajar dan sokongan mereka,"

[Video] Ucapan Datuk Fauzi Shaari Selepas Penyerahan Borang PAS - updated

Posted: 21 May 2012 08:31 AM PDT

Datuk Fauzi ingin menyumbang dalam Islam

Kuala Lumpur: Rasa bertanggungjawab untuk sama-sama menyumbang dalam Islam, membuka hati bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Fauzi Shaari menyertai PAS.

Percaya PAS sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam, tindakannya menyertai parti itu secara rasmi semalam, bukan petanda beliau baru 'sedar'.

"Ketika saya berkhidmat dalam PDRM, saya sudah meneliti senario politik negara. Saya berhubungan dengan semua pihak, cuma saya belum menjadi ahli kepada mana-mana parti politik," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Mengakui selalu mengikuti perkembangan PAS ketika masih berkhidmat di PDRM, Fauzi berkata tindakan beliau menyertai PAS melangkaui kepentingan dan keselesaan yang dinikmatinya kini.

Baginya, dengan menikmati wang pencen, beberapa perniagaan keluarga yang boleh memberikan pendapatan bulanan kepadanya tidak cukup menzahirkan rasa tanggungjawabnya terhadap masyarakat.

"Memang kalau ikut keselesaan, dengan wang pencen dan hasil bulanan dari perniagaan saya dan keluarga, ia sudah cukup untuk saya. Saya boleh duduk rehat sahaja. Tapi, semacam ada rasa satu tanggungjawab untuk saya bersama PAS kini," tegas beliau lagi.

Beliau yang bersara sejak 25 September 2006, bertindak menyertai PAS dan menyerahkan borang keahliannya kepada Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, di satu majlis di Lumut, Perak, malam tadi.

Semasa menjadi Ketua Polis Dang Wangi, Fauzi terkenal dengan tindakannya membanteras maksiat di pusat bandaraya Kuala Lumpur.

Tindakan beliau pernah dikecam oleh seorang menteri yang menyifatkan tindakan Fauzi akan menghalau pelancong dari negara ini. -HD

kredit video: ajijoi








Kronisme Tidak Dapat Dipisahkan Dari Umno-BN - Wan Azizah

Posted: 21 May 2012 06:01 AM PDT

Pulau Pinang 20 Mei: Pemilikan saham RM30.8 juta yang didakwa diberi kepada anak Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik Zainal Abidin bukti kronisme tidak dapat dipisahkan dari Umno-Barisan Nasional, kata Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Jika anak menteri yang berusia 26 tahun berjaya memiliki saham yang berjumlah melebihi RM30 juta, sudah pasti pelbagai persoalan bermain di pemikiran rakyat tentang kelayakan pemilikan saham tersebut.

Wan Azizah ketika memberikan sumbangan kepada ibu tunggal di Permatang Pauh

"Kontrak kerajaan sepatutnya tidak boleh diagihkan kepada kroni atau keluarga.

"Namun begitu, jelas membuktikan Umno dan BN sudah tidak boleh dipisahkan dengan amalan tersebut," katanya ketika berucap di majlis 'Hi-Tea' di Taman Pauh Jaya, Permatang Pauh, 17 Mei lalu.

Beliau turut mengaitkan skandal membabitkan keluarga wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil menyalahgunakan dana RM250 juta yang diberikan kepada National Feedlot Corporation (NFCorp) milik suami dan anak-anaknya.

"Menteri dan keluarga mereka, merasakan apa yang menjadi milik kerajaan adalah milik keluarga.

"Apabila pendedahan dibuat, bukannya tindakan diambil terhadap pembongkaran tersebut, sebaliknya pemberi maklumat pula diambil tindakan, " ujarnya merujuk tindakan yang dikenakan ke atas seorang kerani Bank baru-baru ini.

Beliau juga berkata, adalah sukar untuk mempercayai keadilan akan wujud dalam siasatan berhubung skandal membabitkan pimpinan Umno dan kerajaan, melainkan parti itu ditolak oleh rakyat pada pilihan raya umum akan datang.

Dalam majlis yang sama Wan Azizah juga menyampaikan sumbangan kepada ibu tunggal dan golongan yang tidak bernasib baik dalam Parlimen Permatang Pauh. -KD

Anwar, Azmin, Chegubard Didakwa Esok Kerana Sertai BERS✔H 3.0

Posted: 21 May 2012 04:44 AM PDT

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali akan didakwa esok berhubung perhimpunan BERSIH 3.0.

Satu kenyataan pejabat Azmin menyebut beliau menerima writ saman untuk hadir ke Mahkamah Majistret Jalan Duta, Kuala Lumpur atas dua pertuduhan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Kanun Keseksaan.

Beliau diminta hadir ke Mahkamah pada jam 9 pagi esok.

Writ saman tersebut diterima oleh Hilman Idman yang merupakan pegawai Khas Azmin di Tingkat 1, Ibu Pejabat PKR Damansara.

Menurut writ saman tersebut, Azmin dituduh melanggar Seksyen 188 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama dengan Seksyen 109 dan Seksyen 34 kanun yang sama.

Dia dituduh bersama penyokong BERSIH 3.0 yang melebihi lima orang yang masih bebas, dalam mencapai niat bersama, telah bersubahat dengan Tangam a/l Raju, Rajesh Kumar a/l Gejinder dan Farhan bin Ibrahim @ Alias, telah mengingkari perintah yang dikeluarkan oleh Majistret Zaki Asyraf Zubir pada 26 April.

Azmin dituduh bersubahat dan menghasut Tangam, Rajesh dan Farhan membuka sekatan besi halangan di Dataran Merdeka.

Notis itu juga menyatakan keengkaran mereka dan penyokong BERSIH 3.0 yang lain mungkin menyebabkan rusuhan atau gaduh-gempur di kawasan tersebut.

Oleh itu, beliau dituduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 188 dibaca bersama Seksyen 109 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Dalam notis yang berasingan, Azmin dituduh menyertai protes jalanan bagi maksud membantah perintah Mahkamah Majistret di bawah Seksyen 98 Kanun Tatacara Jenayah yang telah dibuat pada 26 April 2912.

Dengan itu, Azmin dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(3) Akta yang sama.

Difahamkan Anwar juga menghadapi tuduhan yang sama. Ini menjadi mereka orang pertama yang akan didakwa di bawah Perhimpunan Aman 2012 yang luluskan baru-baru in.

Sementara itu, ketua kakitangan di pejabat Anwar - Ibrahim Yaacob - mengesahkan ketua umum PKR itu telah menerima notis tersebut pada jam 2.40 petang.

"Datuk Seri di ibupejabat parti di Merchant Square pada masa polis disampaikan notis itu pada jam 2.40 petang. Beliau (Anwar) berada di dalam mesyuarat dan perasan telah diterima oleh saya," katanya dalam jawapan SMS kepada Malaysiakini.

Menurutnya, terdapat dua pertuduhan berasingan - (1) Kanun Keseksaan (Akta 574) seksyen 188 dibaca bersama dengan seksyen 109 dan 34 dan (2) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) Seksyen 4(2) (c) dan Seksyen 4(3).

"Kita akan jumpa mereka di mahkamah...," tegas Ibrahim

Seorang lagi yang telah menerima notis yang sama ialah aktivis PKR Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai CheguBard. Ketika berita ini ditulis, kandungan notis tersebut masih belum dapat disahkan.

Sementara itu, menjawab soalan Malaysiakini melalui SMS, Ketua Bahagian Pendakwaan Pejabat Peguam Negara, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah mengesahkan bahawa Anwar, Azmin dan Chegubard akan didakwa esok. -mk

32 anggota polis serbu rumah Chegu Bard serah waran hadir mahkamah esok

SEREMBAN 21 Mei: Rumah Ketua Cabang KEADILAN Rembau, Badrul Hisham Shaharin dekat sini diserbu tujuh kenderaan polis kira-kira jam 2.20 petang tadi.

Menurutnya, seramai 32 anggota polis beruniform terbabit memberi writ perintah ke mahkamah berhubung penglibatan beliua dalam perhimpunan Bersih 3.0 bulan lalu.

"Mereka bawa surat arahan dan minta saya tandatangan surat perakuan untuk ke Mahkamah Tinggi Jalan Duta pada pukul 9.00 pagi esok," katanya yang lebih dikenali Chegu Bard.

Tambah Chegu Bard, beliau turut menerima dua surat pertuduhan, iaitu kesalahan menghasut peserta perhimpunan Bersih 3.0 di bawah Seksyen 188 yang dibaca bersama Seksyen 109 dan 34 di bawah Akta 574 Kanun Keseksaan.

"Manakala yang kedua adalah tuduhan melanggar perintah mahkamah melarang masuk Dataran Merdeka, di bawah Seksyen 42c dan 4(3) Akta Perhimpunan Aman 2012 (736)," jelas beliau lagi.

"Bilangan polis yang begitu ramai seolah-olah ingin menakutkan saya dan penduduk di kawasan sekitar.

"Mereka juga datang bersama jurukamera dan rakam video dan gambar di dalam rumah, mungkin sebagai bukti saya terima dan faham isi surat yang diberi," katanya dihubungi Keadilan Daily.

Pada 15 Mei lalu, Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 4(2) Akta Kawasan Larangan 1959, kerana dituduh melanggar arahan pihak berkuasa semasa perhimpunan itu.
-KD


Tiada ulasan: