Selasa, 8 Mei 2012

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Penjenayah Yang Pernah Dihukum Penjara Kini Menuduh TG Nik Aziz Bapa Kafir...

Posted: 08 May 2012 01:00 AM PDT

Fitnah: Rahim diberi 24 jam tarik balik kenyataan

KOTA BHARU, 8 Mei: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor (gambar) diberi tempoh 24 jam menarik balik tuduhan terhadap Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dianggapnya "bapa kafir".

Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Kelantan, Hisham Fauzi berkata, kenyataan bekas ketua polis negara terbabit jelas tidak matang dan bersifat fitnah.

"Oleh itu kami memberi tempoh 24 jam untuk Rahim menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf secara terbuka kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

"Sekiranya beliau didapati gagal menarik balik kenyataan fitnah tersebut, kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan mahkamah terhadapnya," katanya di sini.

Bekas Ketua Polis Negara itu dalam kenyataan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini melabelkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai "bapa kafir" kerana dianggap mengelirukan umat Islam ekoran kenyataannya wajib menyokong Bersih 3.0.

Sebelum ini Menteri Besar Kelantan meminta rakyat keluar beramai-ramai pada himpunan Duduk Bantah pada 28 April lalu sebagai tanda membantah ketidakadilan dan kewujudan daftar pemilih yang meragukan.

Hisham berkata, kenyataan Rahim begitu melulu sekali dan langsung tidak mencerminkan seseorang yang memegang jawatan tinggi dalam pasukan polis.

Oleh itu kata beliau tindakan undang-undang akan diambil sekiranya bekas ketua polis terbabit tidak menarik balik kenyataan dan memohon maaf dalam tempoh ditetapkan. -HD

Rahim Noor gelar Nik Aziz 'bapa kafir'

Bekas ketua polis negara Tan Sri Rahim Noor menyifatkan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai father of kafir (bapa kafir) yang didakwanya cuba memesong orang Islam bahawa perhimpunan BERSIH 3.0 adalah tanggungjawab agama.

Akhbar New Straits Times memetik Rahim sebagai berkata perkara itu bukan kali pertama Nik Aziz mengeluarkan kenyataan seperti itu yang didakwanya "mengelirukan" rakyat.

"Beberapa tahun lalu, beliau berkata penyokong Umno akan masuk neraka dan sekiranya umat Islam mahu masuk syurga, mereka kena sertai PAS.

"Dia juga berkata Umno itu kafir sebab bekerjasama dengan MCA dan MIC. Tapi lihat PAS sekarang, mereka berpakat dengan DAP, sebuah parti politik yang menolak negara Islam," katanya.

Menurut Rahim, bila ulama yang dihormati seperti Nik Aziz mengisytiharkan tanggungjawab agama menyokong BERSIH, maka rakyat melihatnya satu kewajipan sekalipun kerajaan menyatakan perhimpunan itu melanggar undang-undang.

"Dia mungkin dikenali dan dihormati sebagai ulama sebab kelayakannya tetapi beliau hanya seorang political animal yang mahu mengekalkan kuasanya di Kelantan," katanya Rahim lagi.

Semalam Nik Aziz dilapor berkata keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang mengharamkan perhimpunan yang menurut majlis itu bertujuan tidak baik sepertimana yang berlaku dalam perhimpunan 28 April lalu, dibuat hanya menggunakan "sebelah mata".

Sekalipun beliau bersetuju perhimpunan yang mencetuskan huru hara dan merosakkan harta benda awam adalah haram, tetapi berpendapat BERSIH 3.0 "bukannya bertujuan untuk mencetuskan huru-hara sebaliknya yang menuntut lapan perkara untuk membersihkan pilihan raya".

Mengulas lanjut, Rahim menggesa golongan muda supaya menyelidiki siapa sebenarnya penganjur BERSIH 3.0 dan tidak mengikutinya secara membuta tuli serta mendakwa rakyat melihat Nik Aziz sebagai "pelawak".

Sementara itu Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Pemuda PAS Kelantan memberi tempoh 24 jam kepada Rahim menarik tuduhan itu dan memohon maaf secara terbuka kepada Nik Aziz.

Pengerusinya Hisham Fauzi berkata kenyataan bekas ketua polis negara itu "jelas tidak matang dan bersifat fitnah".

"Sekiranya beliau didapati gagal menarik balik kenyataan fitnah tersebut, kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan mahkamah terhadapnya," katanya dipetik dari
Harakahdaily- mk



SIAPA RAHIM NOOR?

Rahim Noor dipenjara -- Rayuan ketepi hukuman ditolak dan diperintah bayar denda RM2,000

ABDUL Rahim Mohd. Noor diiringi keluar oleh anggota polis dari Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur semalam untuk menjalani hukuman penjara dua bulan di Penjara Kajang. - Gambar ZAINI HUSIN.

KUALA LUMPUR 30 April - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Mohd. Noor hari ini diperintahkan menjalani hukuman penjara dua bulan setelah Mahkamah Rayuan menolak rayuannya untuk mengetepikan hukuman kerana kesalahan mencederakan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mahkamah itu juga memerintahkan Abdul Rahim membayar denda RM2,000 atau penjara dua bulan seperti yang telah diputuskan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada 15 Mac tahun lalu.

Abdul Rahim, 57, kemudian dibawa menaiki sebuah Pajero cermin gelap menuju ke Penjara Kajang dengan diiringi anggota-anggota polis dalam dua buah Pajero lain dan dua buah kereta kira-kira pukul 2.52 petang ini.

Hukuman penjara terhadap Abdul Rahim berkuat kuasa mulai hari ini.

Hakim Datuk Shaik Daud Ismail yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membuat penghakimannya pagi ini, selepas mendengar hujah rayuan yang dikemukakan oleh peguam-peguam mewakili perayu (Abdul Rahim), K. Kumaraendran dan V. Sithambaram.

Beliau mencapai keputusan itu bersama Hakim-hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Saari Yusoff dan Datuk K.C. Vohrah.

Pihak pendakwa yang menentang rayuan tersebut diwakili oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Salehuddin Saidin dan Dzulkifli Ahmad.

Karpal Singh dan S.N. Nair pula hadir selaku peguam-peguam pemerhati mewakili bekas Timbalan Perdana Menteri itu sebagai pengadu kes tersebut.

Abdul Rahim membuat rayuan itu kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan hukuman penjara dua bulan yang telah dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Akhtar Tahir.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin dalam keputusannya pada 15 Disember tahun lalu mengetepikan hukuman denda RM2,000 terhadap Abdul Rahim.

Ketika mengumumkan penghakimannya menolak rayuan itu pada sidang pukul 11.30 pagi ini, Hakim Shaik Daud menegaskan bahawa Abdul Rahim melakukan kesalahan itu pada masa dia memegang jawatan tertinggi dalam pasukan polis.

Katanya, Abdul Rahim sepatutnya menjadi contoh dalam pasukan polis tetapi sebaliknya dia meletakkan dirinya pada tahap yang paling rendah akibat perbuatan yang telah dilakukannya.

Hakim Shaik Daud berkata, tindakan perayu yang dilakukan terhadap orang tahanan tidak dapat dibayangkan dan ia tidak berperikemanusiaan.

Tambahan pula dalam kes ini, kata beliau, orang tahanan itu diarahkan oleh Abdul Rahim supaya diikat (ditutup) kedua-dua matanya dengan kain dan yang paling teruk tangan digari dari belakang.

Hakim Shaik Daud menegaskan, ia suatu perbuatan yang teruk dalam pasukan polis yang berdisiplin.


Menurut beliau, mahkamah telah meneliti dengan terperinci rekod rayuan Abdul Rahim demi keadilan kedua-dua pihak iaitu perayu dan juga mangsa.

Dalam menilai hukuman, jelas Hakim Shaik Daud, ia mengambil kira kepentingan mangsa selain tidak mengetepikan kepentingan awam.

``Kami juga menimbangkan hujah-hujah yang dibentangkan oleh peguam-peguam perayu pagi ini,'' jelas beliau.

Bagaimanapun, kata Hakim Shaik Daud, dalam keadaan kes ini, mahkamah tidak dapat menemui sebarang perkara untuk campur tangan berhubung hukuman yang telah diputuskan oleh hakim Mahkamah Sesyen.

``Kami berpendapat bahawa Mahkamah Tinggi tidak seharusnya campur tangan dengan bidang kuasanya hanya kerana Hakim Mahkamah Sesyen tidak menyatakan secara spesifik kenapa dikenakan denda.

`Kami tidak ada alasan untuk membatalkannya (denda),'' jelas Hakim Shaik Daud.

Menurut Hakim Shaik Daud, alasan yang dinyatakan oleh Hakim Mahkamah Sesyen meliputi keseluruhan hukuman berdasarkan fakta dan keadaan kes itu.

Namun, ujar beliau, hukuman yang dijatuhi Mahkamah Sesyen itu adalah ringan dan alasannya hanya diketahui oleh hakim mahkamah berkenaan.

Pendakwa raya juga, kata beliau, tidak mengemukakan rayuan balas terhadap hukuman itu.

Selain itu, kata Hakim Shaik Daud, beliau ingin mengambil kesempatan untuk mengingatkan kepada mahkamah-mahkamah yang lebih rendah bahawa ia seharusnya menangani kes-kes melibatkan pegawai polis memukul sesiapa pun dengan serius.

``Tanpa mengira pangkat pegawai polis yang didapati bersalah memukul mana-mana orang awam ataupun seseorang tahanan seperti kes ini,'' tegas beliau.

Hakim Shaik Daud menjelaskan lagi, sebagaimana yang dinyatakan pada awalnya, mahkamah itu tidak mendapati sebarang kesilapan dalam undang-undang atas hukuman yang telah diputuskan oleh Mahkamah Sesyen tersebut.

Pada 15 Mac tahun lalu, Abdul Rahim telah dihukum penjara dua bulan dan denda RM2,000 atau penjara dua bulan selepas mengaku bersalah atas tuduhan pindaan mencederakan bekas Timbalan Perdana Menteri itu di lokap No. 6, Bukit Aman, kira-kira pukul 10.45 malam, pada 20 September 1998.

Ketika berhujah dalam rayuan itu hari ini, Kumaraendran memohon agar Abdul Rahim tidak dikenakan penjara kerana dia akan kehilangan wang pencen.

Kumaraendran berkata, dengan mengaku bersalah terhadap kesalahan itu, Abdul Rahim akan hilang faedah persaraannya seperti pencen yang secara tidak langsung merupakan denda berjumlah RM5,000 sebulan.

Beliau menambah Abdul Rahim bertanggungjawab sepenuhnya dengan mengaku terhadap kesalahan itu di hadapan Suruhanjaya Siasatan Diraja yang ditubuhkan untuk menyiasat insiden itu.

Abdul Rahim meletak jawatan sebagai Ketua Polis Negara pada 8 Januari 1999.

Menurut peguam itu lagi, Hakim Mahkamah Sesyen juga tidak menimbangkan khidmat dan jasa cemerlang Abdul Rahim kepada negara ini.

Sebelum itu, Kumaraendran menerangkan sebab-sebab mengapa Abdul Rahim mengaku bersalah atas tuduhan pindaan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Di antara sebabnya, kata peguam itu, Abdul Rahim sungguh menyesal atas perbuatannya dan jika perbicaraan dijalankan ia akan melibatkan anggota polis lain.

Katanya, Abdul Rahim juga tidak mahu isu itu berlarutan dan tidak mahu memalukan kerajaan.

Hakim Shaik Daud lalu mencelah dengan mengatakan bahawa bukankah tindakan Abdul Rahim itu telah memalukan negara.

Peguam tersebut menjawab walaupun perkara itu tidak dinafikan namun ia menjimatkan masa perbicaraan kerana terdapat 24 orang saksi.

Ketika berhujah balas, Salehuddin yang mewakili pendakwa memberitahu bahawa pihaknya tidak mengemukakan rayuan balas kerana berpendapat keputusan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi adalah betul dengan mengekalkan hukuman penjara terhadap perayu tersebut. 01 Mei 2001




Anda Kenal Mana-mana 34 Polis Yang Merusuh & Mencederakan Orang Awam Ini?

Posted: 07 May 2012 10:31 PM PDT

34 polis mengganas di Himpunan Bersih dikehendaki

KUALA LUMPUR 7 Mei: Badan bukan kerajaan (NGO) Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengetuai 27 NGO lain menyerahkan memorandum mendesak polis yang terlibat jenayah keganasan ketika mengendalikan Bersih 3.0 tampil menyerah diri untuk disiasat.

Kumpulan itu yang hadir hanya 15 wakil bagaimanapun diganggu samseng Umno yang diketuai veteran-veteran tentera dengan laungan dan herdikan kepada NGO tersebut yang menjadi tontonan polis.

Dalam keadaan agak panas apabila kumpulan NGO dan kumpulan veteran itu bertembung, Pengerusi SAMM, Badrul Hisham Shaharin, berjaya menyerahkan memorandum itu kepada Asisten Supretendan (ASP) Ramli Mohamed Yoosof.

Selain mendesak polis terlibat dengan keganasan menyerah diri, kumpulan itu turut mahukan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) tampil memberi penjelasan dakwaan penyamaran polis sebagai peserta Bersih.

Hadir sama dalam kumpulan itu, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Safwan Anang dan beberapa NGO yang terdiri daripada anak-anak muda.

"Sila nyatakan berapa ramai polis yang menyamar dan dedahkan mereka kepada umum.

"PDRM harus siasat khabar angin yang menyatakan ada polis mati sehingga menjadikan polis bertindak luar batasan. Adalah satu lawak jenaka apabila atasan PDRM bersungguh menyiarkan foto senarai orang awam untuk menyerah diri, tetapi seolah tidak punyai rekod anggota sendiri yang mengganas," kata Badrul selepas menyerahkan memorandum itu di Bukit Aman, di sini hari ini.

Katanya, sikap polis yang masih menyalahkan orang awam hanya memalukan kerana tidak sedar mereka sebenarnya menjadi alat kepada regim Umno.

"Semua operasi pada 28 April lalu, sempena Bersih 3.0 diakui beberapa pimpinan regim termasuk Menteri Dalam Negeri. Polis bukan musuh orang awam, begitu juga orang awam bukan musuh polis.

"Polis dan orang awam adalah mangsa regim Umno, polis yang bertugas juga perlu sedar sememangnya dirancang untuk mereka dijadikan mangsa. Disyaki arahan untuk anggota polis bergerak itu sengaja dibuat untuk menjadikan polis sebagai umpan," ujarnya.

Susulan itu, mereka melancarkan talian hotline kepada orang ramai bagi mengadu kekasaran polis semasa Bersih 3.0 bagi memudahkan pihaknya mengumpul bukti.

"Orang ramai digalakkan hanya menghantar SMS kepada nombor 018-9235083, atau menghantar email di adu@anakmudamalaysia.com untuk pihak kami memberikan pertolongan sewajarnya.

"Kita juga sudah ada barisan peguam bagi mengambil kes keganasan polis semasa Bersih 3.0 antaranya, Peguam Hak Asasi (LFL), Majlis Peguam, dan beberapa NGO pengamal undang-undang," jelas Badrul.

Mengapa Majlis Fatwa Tak Keluarkan ‘Fatwa’ Polis Sepak Peserta, Akhbar Sebar Gambar Lucah?

Posted: 07 May 2012 07:52 PM PDT

Tindakan Majlis Fatwa Kebangsaan menyatakan haram umat Islam menyertai perhimpunan hanya berkepentingan politik, kata Pengerusi Biro Pemantapan dan Pemahaman Agama KEADILAN (Bippa), Ahmad Kassim.

Menurutnya, keputusan majlis itu boleh dicabar dari sudut integriti kerana tidak mendapatkan maklumat sahih dengan mengadakan pertemuan dengan semua pihak terlibat.

"Jika diteliti semula, jelas membuktikan fatwa ini tiada nilai integriti kerana menyebelahi sesebuah pihak sedangkan ianya bertentangan dengan kaedah sebenar yang mesti bebas.

"Maklumat lengkap diperlukan dari pelbagai sudut sebelum diputuskan ianya haram atau tidak.

"Jika fatwa menyebelahi sesebuah pihak, pastinya tidak akan dapat diterima rakyat. Kita minta fatwa ini dikaji semula," katanya kepada Keadilan Daily.

Ahmad Kassim berkata, Majlis Fatwa juga perlu mengambil kira apa yang diperjuangkan rakyat sama seperti yang berlaku di beberapa negara Asia Barat sebelum ini.

"Ulama terkenal, Syeikh Yusof Al-Qardawi mengeluarkan fatwa bahawa rakyat di Mesir digesa turun ke Dataran Tahrir dan golongan yang mati dikira para syuhada.

"Bermakna menentang kerajaan zalim dan korup merupakan jihad, walaupun dalam konteks negara berlainan namun apa yang diperjuangkan adalah sama,"
katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Kedah.

Dalam pada itu, beliau mempersoalkan tindakan Majlis Fatwa yang hanya mengeluarkan fatwa berhubung perhimpunan sedangkan isu-isu besar yang menjadi perosak umat Islam tidak dibincangkan.

"Berkenaan akhbar Utusan (Malaysia) yang keluarkan gambar lucah tidak pula dibincangkan untuk mengeluarkan fatwa, kenapa tidak membincangkan apa hukumnya polis bertindak zalim dengan memukul, menendang dan menyepak peserta.

"Ini yang saya katakan berat sebelah, mereka hanya mahu menjaga 'bos-bos' mereka tanpa memikirkan akibatnya. Cuba lihat dalam pelbagai konteks, bukannya tertumpu kepada sebelah pihak,"
ujarnya.

Dilaporkan, Majlis Fatwa Kebangsaan semalam memutuskan haram untuk umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta mencetuskan huru-hara dan kekacauan dalam negara.

Walhal, pada Himpunan Bersih 3.0, 28 April lalu, polis menyebabkan keadaan tegang kerana sebelum itu, himpunan berlangsung aman. -KD

[PANAS] Jimmy Shanley Dakwa Isteri Akui Mengandung Anak Luar Nikah

Posted: 07 May 2012 05:06 PM PDT

Shah Alam - Pengacara Jimmy Shanley memberitahu Mahkamah Rendah Syariah hari ini bahawa isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy mengaku mengandung anak luar nikah dan mengugut mahu menggugurkannya jika kandungan itu benar anak Jimmy.

Jimmy atau nama sebenarnya Jimmy Shanley Norjahan Shah Saleh, 31, berkata, Nursuhaila membuat pengakuan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) pada petang 24 Januari 2011 selepas dia menegur isterinya itu, yang didapati masih berjudi.

Jimmy memberi keterangan dalam perbicaraan tuntutan nusyuz dan kembali taat yang difailkan terhadap Nursuhaila pada 3 dan 27 Januari tahun lalu.

Menjawab soalan peguam syarie Mohd Noor Aizan Mohd Idrus, Jimmy berkata, pengakuan Nursuhaila itu adalah salah satu sebab mengapa dia mendakwa isterinya nusyuz.

"SMS isteri berbunyi; Kalau I mengandung pun confirm anak you ke? Ni Mr Jimmy, I dah buanglah anak you tu kalau I mengandung.

"Saya balas SMS dan bertanya anak siapa awak mengandung? Dia jawab; Anak haram. Mampus pi lah anak siapapun. Ada aku kisah," kata Jimmy yang membacakan SMS Nursuhaila di hadapan Hakim Syarie, Saharusin Selamat.

Jimmy antara lain memberitahu sudah banyak kali memberikan nasihat kepada Nursuhaila berhubung perkahwinan mereka.

Malah katanya, Nursuhaila pernah bertindak keluar rumah dan hilang selama 16 hari sebagai protes dengan teguran bapa sendiri mengenai rumah tangga mereka.

Dia juga memberitahu ada menghantar SMS merayu isterinya berubah dan meminta ampun kepada ibu bapa.

Pada prosiding hari ini, Jimmy mengemukakan lima alasan utama kenapa dia mendakwa isterinya nusyuz.

Menurutnya, Nursuhaila mungkir janji sebelum bernikah iaitu berjudi semula; menghilangkan diri selama 16 hari; bercuti di China tanpa izinnya; mendakwa anak yang dikandungkannya sebagai luar nikah dan mengugut mahu menggugurkan kandungan jika mengandungkan anaknya.

Pasangan tersebut diijabkabulkan pada 1 Oktober 2010 di rumah keluarga perempuan di Sunway Rahman Putera, Sungai Buloh dengan hantaran sebanyak RM31,186 bersempena dengan tarikh lahir Nursuhaila yang jatuh pada 31 Januari 1986. -SH


Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Majlis Fatwa Kebangsaan Dibidas Kerana Keluarkan Fatwa Jaga Kepentingan UMNO

Posted: 07 May 2012 08:32 AM PDT

Nik Aziz: Keputusan Majlis Fatwa 'guna sebelah mata'

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang mengharamkan perhimpunan yang menurut majlis itu bertujuan tidak baik sepertimana yang berlaku dalam perhimpunan 28 April lalu, dibuat hanya menggunakan "sebelah mata".

Mengulas kenyataan pengerusi Majlis Fatwa Kebangsan, Prof Tan Sri Dr Abdul Shukor Hussin mengenai perkara itu, Nik Aziz berkata, beliau setuju bahawa perhimpunan yang bertujuan untuk mencetuskan huru hara dan merosakkan harta benda adalah haram.

"Bagaimanapun, apabila dikaitkan dengan himpunan BERSIH 3.0 yang dikatakan menimbulkan huru-hara, saya berpandangan bahawa kenyataan tersebut dikeluarkan dengan hanya menggunakan sebelah mata.

"Mata yang digunakan pula adalah kabur dengan cermin mata yang telahpun rosak,"
katanya sambil menambah beliau menghormati anggota Majlis Fatwa Kebangsaan.

"Namun dalam hal ini saya amat berbeza dengan pendirian yang dikemukakan oleh Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan ini," kata Nik Aziz dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Abdul Shukor dilaporkan berkata Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan haram untuk umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang dan kekacauan di dalam negara.

Menurut laporan akhbar, pengerusi Majlis Fatwa itu berkata Islam membenarkan mencari keadilan tetapi melaui tindakan beradab.

Mengulas lanjut, menteri besar Kelantan itu berkata perhimpunan BERSIH 3.0 bukannya bertujuan untuk mencetuskan huru-hara

Perhimpunan itu, tambahnya, menggariskan lapan tuntutan untuk membersihkan pilihan raya dan jauh sekali untuk mencetuskan huru-hara bagi menjatuhkan kerajaan melalui jalan raya.

"Jika dikatakan menggunakan cara beradab dibenarkan, maka suka saya bertanya, apakah jalan beradab yang lebih aman melainkan pergi dan duduk?

"Pernahkah Majlis Fatwa memandang dan memahami di sebalik lapan tuntutan yang dikemukakan oleh BERSIH untuk mengatasi isu pengundi hantu dan penipuan di dalam pilihan raya yang implikasinya lebih besar kepada negara?"
soal Nik Aziz.

Sehubungan itu, beliau yakin bahawa fatwa tersebut hanya "laporan akhbar pro-kerajaan sahaja tanpa mendapat penjelasan dari penganjur BERSIH 3.0 sebelum membuat pertimbangan dibuat.

"Justeru, soalan saya ialah fatwa-kah namanya sekiranya tanpa penjelasan dari kedua-dua belah pihak, terus sahaja dijatuhkan hukuman?" kata Nik Aziz lagi.

Sebaliknya, kata menteri besar Kelantan itu, huru-hara tercetus jika ia dihalang.

"Andaikan himpunan di Gua Musang dan RTC, Kota Bharu ketika kedatangan Perdana Menteri baru-baru ini ke Kelantan dihalang dan disembur dengan air, tidak mustahil ia turut menjadi huru-hara.

"Jika BERSIH berhimpun dianggap haram, apa pula hukum perhimpunan Presiden Umno di Gua Musang dan RTC baru-baru ini yang tujuannya jelas mengajak rakyat menukar kerajaan Kelantan?


"Justeru cukuplah saya mengatakan, jangan berjalan sebelah kaki, nanti pincang mengatur langkah. Salam hormat saya buat Majlis Fatwa Kebangsaan," tambahnya. -mk


PKR bidas Majlis Fatwa kemuka fatwa berbaur "politik murahan" membantu Umno

KUALA LUMPUR, 7 Mei — PKR hari ini membidas fatwa yang dikeluarkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan semalam yang berkata mereka memandang serius isu perhimpunan Bersih 3.0 di mana adanya umat Islam menjadi perusuh jalanan.

Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty menjelaskan, fatwa yang dikemukakan badan berkenaan adalah bertentangan dengan fatwa yang telah dikeluarkan oleh Presiden Persatuan Ulama Sedunia, Shaikh Yusuf al-Qaradawi, yang berpendapat bahawa demonstrasi adalah harus kerana ia adalah salah satu kaedah untuk membebaskan rakyat dari cengkaman pemerintahan yang zalim, tidak adil serta tidak memberikan kebebasan rakyat bersuara dan bergerak dalam suasana yang aman.

"Fatwa yang dikemukakan Majlis Fatwa itu amat bertentangan dengan fatwa yang dikemukakan ulama tersohor tersebut.

"Perkara ini jelas menunjukkan bahawa fatwa tersebut semata-mata bertujuan untuk memenuhi kehendak pimpinan Umno yang terdesak menggunakan isu-isu agama Islam dan bangsa Melayu bagi survival politik mereka,"tegasnya.

Jelas beliau, pihak Majlis Fatwa perlu merujuk kepada kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat (PR) bagi mendapatkan fakta sebenar supaya fatwa yang dikeluarkan tidak berat sebelah.

"Di sini jelas menunjukkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan gagal melihat insiden 28 April lalu secara keseluruhan. Kami yakin bahawa matlamat penganjur perhimpunan Bersih 3.0 mempunyai tujuan yang jelas itu perhimpunan secara aman demi untuk mempastikan berlakunya keadilan dan ketulusan dalam pengurusan pilihanraya di Malaysia," tambahnya.

Muhammad Nur turut menegaskan, kewibawaan badan pembuat fatwa itu turut diragui apabila dilihat tidak mengemukakan pendirian berhubung insiden keganasan polis ketika Bersih 3.0, dan fitnah isu moral yang dikenakan kerajaan terhadap pemimpin pembangkang.

"Rakyat berhak mendapat jawapan-jawapan yang ikhlas dari Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam isu-isu tersebut demi kebenaran dan keadilan sejagat."

Ulama PAS juga turut menyeru Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan agar tidak mengeluarkan pandangan yang sempit dan melibatkan demonstrasi semata-mata, sebaliknya mengambil kira punca demonstrasi itu sendiri iaitu kepincangan sistem pilihan raya.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Harun Taib menegaskan, demonstrasi yang menjurus kepada perkara kebaikan dan tugas "amar makruf nahi mungkar" adalah sangat digalakkan dalam Islam.

Selain itu, Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat, Dr Khairuddin Aman Razali, pula menegaskan, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan diminta tidak menyempitkan pandangan muzakarah melibatkan demonstrasi yang berlaku sahaja.


Tetapi, tambahnya mereka perlu mengeluarkan pandangan terhadap kepincangan pengurusan kewangan negara, seperti amalan rasuah yang berleluasa, dan ketirisan dengan tujuan politik jahat.

Pengerusi jawatankuasa fatwa tersebut, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin, dipetik berkata: "Tindakan merusuh, membawa kacau bilau dan merosakkan harta benda awam adalah suatu perbuatan yang ditegah Islam. Malah niat untuk menjatuhkan negara yang sah di sisi undang-undang melalui penganjuran demonstrasi seumpama itu juga haram di sisi agama.

"Sesiapa juga tidak boleh buat, tidak (boleh) bersetuju ke arah (usaha) mendatangkan kemudaratan, keresahan, menjadikan rusuhan sesama kita hingga berpecah, apatah lagi kalau berlaku pertumpahan darah."
-TMI


Ulasan GB

Semalam GB sudah ulas. Petikan:

DASAR pertama yang ditetapkan Islam, ialah: bahawa asal sesuatu yang dicipta Allah adalah halal dan mubah. Tidak ada satupun yang haram, kecuali kerana ada nas yang sah dan tegas dari syari' (yang berwenang membuat hukum itu sendiri, iaitu Allah dan Rasul) yang mengharamkannya. Kalau tidak ada nas yang sah --misalnya kerana ada sebahagian Hadis lemah-- atau tidak ada nas yang tegas (sharih) yang menunjukkan haram, maka hal tersebut tetap sebagaimana asalnya, iaitu mubah.

Sepatutnya fatwa itu berbunyi, haram bagi sesiapa "mencetuskan huru-hara dalam demo", bukannya "demo cetus huru-hara haram".

Kerana, tiada siapa tahu demo yang mana bakal ada huru-hara, demo yang mana tiada huru-hara.

Sama seperti demo BERSIH tempohari. Demo tersebut telah berlansung aman sehingga ada pihak yang telah sengaja mencetuskan huru-hara di saat demo hampir berakhir.

Jadi bagaimana hendak menghukumkan demo itu haram sedangkan "huru-hara" itu sengaja diada-adakan oleh pihak tertentu untuk memburukkannya?

Kalau begitulah fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan, maka demo untuk memperingati UMNO pada 11 Mei nanti juga adalah haram kerana ia mungkin saja boleh mencetuskan huru-hara?

Kita berharap Majlis Fatwa Kebangsaan bertindak adil dan saksama, fatwa yang hendak dikeluarkan perlulah bersandar kepada ilmu bukan bersandar kepada UMNO.

[Video] Serah Memo Kepada Polis, Kump Pro-UMNO Cuba Sekat Chegu Bard Di Bukit Aman

Posted: 07 May 2012 06:24 AM PDT

Kumpulan pro, anti-BERSIH bertembung di Bukit Aman

Sekumpulan penyokong BERSIH 3.0 bertembung dengan satu lagi kumpulan anti-perhimpunan itu dalam satu kejadian yang hampir mencetus pergeseran di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman petang ini.

Insiden pada anggaran jam 2.50 petang itu bermula apabila kumpulan pro-BERSIH, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) disorak oleh kumpulan anti-perhimpunan berkenaan, termasuk anggota NGO Suara Anak Muda 1Malaysia.

Kumpulan SAMM diketuai pengerusinya Badrul Hisham Shaharin itu mula disorak dengan panggilan "pengkhianat negara" apabila kumpulan itu mula bergerak dari satu kawasan parkir ke kawasan pintu masuk Bukit Aman.

Keadaan kemudiannya menjadi tegang apabila seorang pemimpin Suara Anak Muda 1Malaysia, Armand Azha Abu Hanifah secara tiba-tiba meluru ke arah pemimpin Badrul Hisham.

Beberapa orang anggota polis bagaimanapun berjaya menghalang Armand daripada mendekati Badrul Hisham dan 10 orang yang lain.

SAMM hadir ke Bukit Aman hari ini untuk menyerahkan memorandum bagi mendesak supaya pihak polis yang terlibat melakukan kekerasan ke atas peserta perhimpunan 28 April itu menyerah diri.

Kumpulan bersama Armand itu dalam perhimpunan terdahulu pula menyerahkan kenyataan ikrar kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai sokongan terhadap tindakan pasukan itu dalam menangani perhimpunan 28 April.

Perhimpunan pada kira-kira jam 1.10 petang itu diketuai presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu, Datuk Mohd Ali Baharom yang berkata ikrar itu juga sebagai bantahan ke atas tindakan peserta dalam perhimpunan BERSIH 3.0 itu.

"Kita mahu negara yang aman dan kita sokong PDRM. Kita beramai-ramai berikar hari ini menyatakan bahawa kami sokong PDRM," katanya yang menyifatkan perhimpunan berkenaan sebagai "anasir jahat untuk menumbangkan negara."

Katanya lagi, tindakan yang ditunjukkan peserta perhimpunan berkenaan juga merupakan perbuatan yang "kurang ajar."

"Saya minta agar Datuk Seri Hishammuddin (Hussein) dapat menahan mereka yang membuat provokasi dan ketua-ketua mereka," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan ikrar tersebut kepada seorang wakil ketua polis negara, ASP Ramli Yusuf.

Turut hadir dalam perhimpunan selama 15 minit yang disertai kira-kira 30 orang itu ialah wakil NGO Gerakan Memartabatkan Pejuang Negara, Pertubuhan Ikatan Perpaduan Melayu Gombak.

Kumpulan yang berhimpun di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman itu juga membacakan ikrar berkenaan dan turut melaung slogan "hidup polis", "hancur Ambiga" serta menyanyikan lagu "Barisan kita." -mk



Polis Perlu Tangkap Anggotanya Dengan Segera!

Posted: 07 May 2012 04:37 AM PDT

Warga siber siar foto polis yang 'dikehendaki'

Kecewa dengan tanggapan bahawa polis tidak mengambil tindakan terhadap anggotanya yang didakwa menggunakan kekerasan berlebihan semasa perhimpunan BERSIH 3.0, warga siber memulakan inisiatif untuk mengenal pasti mereka yang dikatakan telah menyerang seorang jurugambar akhbar.

Satu imej empat anggota polis yang dikatakan telah menyerang Huang An Jian - jurugambar akhbar berbahasa Cina, Guang Ming Daily - telah dimuatkan dalam halaman peminat Facebook berbahasa Cina.

Postingnya bermaksud 'Masa untuk balas dendam! Kongsi ini! Empat anggota polis yang menyerang wartawan Guang Ming Daily!".

Dalam masa 24 jam, imej tersebut telah menarik lebih 3,000 'likes' dan lebih 200 komen. Ia telah dikongsi oleh lebih 6,000 pengguna Facebook.

Perhimpunan di Kuala Lumpur pada 28 April lalu telah dicemari oleh keganasan yang membabitkan kedua-dua pihak - anggota polis dan para peserta.

Polis telah menerbitkan gambar 91 peserta, meminta mereka tampil membantu siasatan dakwaan berlaku keganasan. Gambar-gambar lain menunjukkan peserta 'merempuh benteng polis'.

Sekurang-kurangnya 13 wartawan, jurugambar dan juruvideo telah diserang semasa perhimpunan tersebut. Kebanyakan mereka mendakwa telah dikasari polis walaupun mereka menunjukkan kad media dan memperkenalkan diri mereka sebagai petugas media.

Banyak gambar atau klip video yang menunjukkan dakwaan kekejaman polis, telah dimuatnaik di Internet oleh para saksi.

Polis, bagaimanapun, hanya menerbit gambar satu sahaja insiden tersebut dan meminta saksi dan mangsanya menghubungi mereka.

Ini menyebabkan warga siber mengkritik pihak polis kerana didakwa menjalankan siasatan berat sebelah dan cuba melindungi anggotanya yang terbabit. -mk

Ulasan GB

Polis kini perlu buktikan mereka professional dengan mengambil tindakan segera terhadap anggotanya yang melakukan keganasan semasa perhimpunan BERSIH 3.0.

Jangan hanya bernai untuk menangkap hanya para peserta.

Tiada ulasan: