Sabtu, 19 Mei 2012

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


POLITIK - APA YANG WARGA TENTERA PATUT TAHU?

Posted: 19 May 2012 07:48 AM PDT

Ramai di kalangan warga tentera tidak mengetahui apakah hak-hak mereka di dalam politik termasuk hak-hak serta peraturan buat mereka sewaktu mengundi.
 Di sini, KOBAT ingin menjelaskan apa yang terkandung di dalam Perintah Majlis Angkatan Tentera, (PMAT) 1972, Bahagian 3 - KEGIATAN POLITIK DAN PILIHANRAYA, agar menjadi panduan kepada semua warga tentera dan juga kepada semua parti-parti politik.
Warga tentera BOLEH hadir sebagai pemerhati di dalam mana-mana perhimpunan parti politik

PMAT 1972, Bahagian 3; (secara rengkas dan mudah difahami):

Bah 3, 1- Warga tentera TIDAK BOLEH menjadi ahli sebarang parti politik.

          2Tidak boleh menjadi calon pilihanraya.

          3 Tidak boleh memegang jawatan di dalam mana-mana parti politik, tidak boleh berucap bagi  pihak mana-mana parti politik, menyiar atau menyebarkan bahan-bahan tulisan bagi mana-mana parti politik.

          4Tidak boleh hadir mana-mana perjumpaan politik dengan berpakaian seragam, kecuali diarahkan untuk melakukan tugas.

          5Tidak boleh menyampaikan apa jua maklumat samada secara sulit atau terbuka melalui sebarang media berkaitan politik atau sebarang isu yang menjadi perbalahan politik yang menyentuh Angkatan Tentera.

          6TIDAK BOLEH;

               a.  Mengambil bahagian di dalam mana-mana kerja politik atau membantu pilihanraya untuk mana-mana parti politik, perjumpaan mana-mana parti politik atau merayu undi

ATAU;

               b.  Mempamirkan mana-mana pelekat politik di dalam kawasan kem atau kenderaan tentera/kerajaan.

Warga tentera TIDAK BOLEH menjadi perayu undi mana-mana parti politik
    
        7.  Ia BOLEH HADIR di perjumpaan atau perhimpunan politik DENGAN SYARAT bahawa;

               a.  Bukan pada masa bertugas.

               b.  Berpakaian `preman' atau Awam (Tidak rejimental mufti)

               c.  Tidak mengambil apa-apa bahagian di dalam perjumpaan atau perhimpunan itu.

     
          8.   Apabila mengundi, HENDAKLAH BERPAKAIAN `PREMAN' (tidak Rejimental Mufti).

Adakah ini menyalahi Peraturan kerana memakai seragam sewaktu mengundi?  Sila rujuk Peraturan 3, Bil 8.

Semua yang di atas adalah intipati kepada apa yang terkandung di dalam PMAT tersebut yang kami catatkan secara ringkas, bertujuan untuk memberi maklumat kepada semua warga tentera supaya mereka dapat memahami lebih jelas tentang hak-hak mereka di dalam tentera.

Secara lojiknya, apabila seseorang warga tentera itu DIBENARKAN mengundi, mereka wajar diberi hak untuk mendengar sebarang bentuk penerangan dari mana-mana parti politik agar mereka boleh membuat pilihan.

KOBAT mengalu-alukan sebarang cadangan atau teguran dari pengunjung.
Sila lawati FaceBook kami dengan anda `klik' pada logo FaceBook di atas. KOBAT juga bersedia untuk memberikan sesi penerangan atau ceramah kepada mana-mana pihak untuk kami suarakan pandangan kami selaku bekas tentera demi kebaikan bersama.
 Sebarang jemputan untuk kami, sila hubungi Admin Blog KOBAT di No tel: 013 - 9410309 atau tinggalkan pesanan anda di Inbox Message FaceBook KOBAT.

Ayuh, lakukan perubahan dengan berani./kobatpkr.blogspot

TUMBANG BN!!!Ribuan hadiri ceramah DSAI di Tanjung Piandang

Posted: 19 May 2012 07:39 AM PDT

PASPB 


DSAI berada diatas pentas Merdeka Rakyat di Tanjung Piandang


PARIT BUNTAR Ribuan hadirin membanjiri Dataran Pentas Merdeka Rakyat di pekan Tanjung Piandang untuk mendengar ucapan DS Anwar Ibrahim pada malam ini.

 Sambutan yang hangat ini diberikan oleh pelbagai bangsa Melayu, Cina dan India telah meningkatkan semangat hadirin untuk membuat perubahan secara total dalam langskap politik negara.

Kehadiran orang ramai di sini tidak pernah seramai pada malam ini. Ini menunjukkan gelombang rakyat semakin jelas dan bertambah kuat untuk menjatuhkan BN dalam piliharaya yang akan datang.

 Nampaknya arus perubahan semakin jelas dan BN akan tumbang seandainya PRU 13 dijalankan secara bersih dan adil. Rakyat sudah muak dengan BN dan UMNO .

Malahan UMNO dan BN sudah tidak relevan lagi untuk diamanahkan mengurus dan mentadbir negara kerana pelbagai bentuk penyelewangan yang dilakukan oleh mereka.

 Kezaliman, rasuah, kroni dan sebagainya berlaku selama lebih 50 tahun mereka mentadbir negara. Kekayaan negara tidak diagihkan kepada rakyat sebaliknya hanya mereka yang berkepentingan sahaja yang membolotnya.

Mufti Johor: Bapa Muhyiddin seorang ulama berfikiran terbuka

Posted: 19 May 2012 07:29 AM PDT

SINAR HARIAN

MUAR - Allahyarham Mohd Yassin Muhammad, bapa Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin, semasa hayatnya merupakan seorang ulama yang berfikiran terbuka, kata Mufti Johor Datuk Tahril Samsudin.
  
"Allahyarham adalah seorang ulama yang berjuang menyebar Islam dengan penuh ikhlas. Dia seorang yang bertanggungjawab kepada agama dan bangsanya," kata bekas murid allahyarham itu.
  
Selain itu, katanya firasat allahyarham bahawa seorang daripada 47 orang anaknya akan menjadi seorang terkenal dan orang penting negara turut menjadi kenyataan apabila Muhyiddin menjadi timbalan perdana menteri.
  
"Allahyarham pernah dua kali menyebut bahawa salah seorang anaknya akan menjadi seorang yang terkenal dan orang penting negara. Ia ternyata apabila anaknya (Muhyiddin) telah memegang jawatan timbalan perdana menteri," katanya.
  
Beliau berkata demikian semasa melancarkan buku tokoh ilmuan Islam cemerlang yang menyingkap sejarah perjuangan Mohd Yassin di pekarangan Masjid Jamek Sultan Ibrahim di sini hari ini. Muhyiddin turut hadir pada majlis itu.

Buku itu ditulis oleh Abd Latif Juffri @ Al-Jufri dan Amad Bahri Mardi dan diterbitkan Institut Terjemahan & Buku Malaysia.
  
Tahril berkata beliau bersama rakannya Ustaz Ahmad Tunggal, seorang tokoh agama di bandar ini, pernah menjadi murid kepada allahyarham pada tahun 1967 dan mereka merupakan antara ratusan pelajar yang pernah menimba ilmu di Madarsah Assadiah dan Sekolah Menengah Mohd Yassin yang diasaskan oleh allhayarham.
  
Allahyarham juga adalah orang yang memainkan peranan di atas penubuhan Sekolah Maahad di Jalan Joned pada 1946, sebelum sekolah itu diambil alih pentadbirannya oleh Jabatan Agama Johor pada tahun 1966 dan kemudian diletakkan di bawah pentadbiran Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 1977, katanya.
  
Tahril berkata buku itu wajar dibaca oleh segenap lapisan masyarakat Islam untuk dijadikan pedoman.
  
Sementara itu, Aziz, seorang daripada anak allahyarham yang juga bekas Anggota Parlimen Muar, berterima kasih kepada penulis buku yang bekerja keras membuat kajian sehingga berjaya menerbitkan buku tersebut.
  
Beliau berharap buku kisah hidup allahyarham bapanya itu akan dapat dijadikan sebagai salah satu bahan rujukan berguna kepada masyarakat Islam di negara ini.
  
Muhyiddin kemudiannya menyampaikan buku itu kepada beberapa bekas anak murid bapanya dan ahli jawatankuasa Masjid Jamek Sultan Ibrahim. - Bernama

Lelaki disamun dibogelkan

Posted: 19 May 2012 07:25 AM PDT

Wartawan Sinar Harian
19 Mei 2012
Lelaki disamun dibogelkan
 
Tali pinggang yang digunakan untuk mengikat mangsa ditemui di lokasi kejadian, pagi semalam.
 
 
RANTAU PANJANG - Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila dipukul dan diikat pada tiang elektrik di hadapan Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang kira-kira jam 4.30 pagi semalam.

Mangsa diikat dengan tali pinggang yang dipakainya dipercayai oleh tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta Proton Wira berwarna biru.

Bukan itu sahaja lelaki malang ini turut dibogelkan sementara pakaian bertaburan tidak jauh dari tempat mangsa diikat.

Sementara itu, penduduk dikenali Ripin, 48, yang dalam perjalanan ke kebun getah di Gual Pasong Hantu, terkejut melihat sebuah motosikal tanpa pemiliknya berhampiran jambatan.

Ripin berkata, hanya beberapa meter dari situ dia dapat melihat kelibat manusia berhampiran balai bomba.

Menurutnya dia dan isteri tidak berani untuk menghampiri mangsa kerana bimbangkan keselamatan mereka.

"Saya dan isteri terus ke pejabat Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan memaklumkan perkara itu kepada anggota bertugas.

"Selepas itulah kami melihat dari jauh mangsa diikat pada tiang dan tidak berpakaian," katanya kepada Sinar Harian.

Mangsa yang cedera pada bahagian muka dihantar ke Klinik Kesihatan Rantau Panjang untuk mendapatkan rawatan.

Sinar Harian difahamkan beg duit mangsa tanpa wang tunai dan pengenalan diri turut ditemui tidak jauh dari tempat mangsa ditemui.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Pasir Mas, ACP Haliludin Rahim memberitahu, pihaknya masih menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

Di sebalik final Piala FA, Gegar lancar kempen royalti minyak

Posted: 19 May 2012 07:24 AM PDT

Mohd Zulfadli Sharifudin

Di sebalik final Piala FA, Gegar lancar kempen royalti minyak
 
Para penyokong Kelantan menurunkan tandatangan sebagai tanda sokongan ke atas kempen menuntut royalti dan memboikot Petronas menjelang final Piala FA hari ini.
 
 
KUALA LUMPUR - Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) dan gabungan 77 pertubuhan bukan kerajaan dari Terengganu, Selangor, Kelantan dan Kuala Lumpur mengadakan kempen menuntut royalti minyak dan memboikot Petronas ekoran pertikaian berkenaan isu itu di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil.

Setiausaha Media Gegar, Mohd Hishamuddin Ghazali berkata, kempen itu diadakan di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil menjelang perlawanan akhir Piala FA.

Kempen yang bermula semalam akan berakhir esok pagi.

"Kami menuntut royalti minyak lima peratus mengikut Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan perjanjian antara Petronas dan Kelantan pada 1975," katanya.

Hishamuddin berkata mereka akan meneruskan kempen ini di seluruh daerah Kelantan dan negeri-negeri lain jika Petronas enggan menunaikan tuntutan mereka.

Kempen ini dilancarkan sementara permohonan Kerajaan Negeri Kelantan sedang didengar di mahkamah.

"Kami marah dengan Petronas kerana mereka melanggar perjanjian," kata beliau kepada Sinar Harian Online di sini.

Beliau menambah, "setakat ini (petang ini), kami telah mengumpulkan 7,000 tandatangan dan misi kami ialah mencapai 20,000 tandatangan sebagai tanda sokongan berkenaan kempen ini," kata beliau.

Penganjur mahu menghasilkan bendera gergasi dengan huruf 'R' sebagai maksud royalti pada malam ini.

Mereka juga ingin menarik warga belia untuk menyertai kempen ini dan menandatangani pada kain rentang dan kebetulan akan berlangsung perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dan Sime Darby malam ini.

Selain itu, mereka mengadakan pelbagai aktiviti antaranya, bacaan puisi royalti, persembahan akustik dan dikir royalti.

'Tidak akan ada kebebasan akhbar mutlak jika pun kerajaan berubah'

Posted: 19 May 2012 07:19 AM PDT

Fakhrurrazi Usuldin

Abdul Jalil Ali
 
 
KAJANG – Penasihat Eksekutif Editorial Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Abdul Jalil Ali percaya bahawa tidak akan ada kebebasan akhbar yang mutlak jika pun kuasa atau parti baru memerintah negara ini kelak.

"Pada tanggapan saya, siapa saja yang memerintah negara ini, saya rasa tidak akan ada kebebasan mutlak sebab kerajaan mengakui bahawa maklumat memainkan peranan yang berpengaruh, tidak kira siapa yang memerintah.

"Saya tidak fikir di tempat kita ini akan ada kebebasan akhbar mutlak, (waima) kalau kerajaan lain pun memerintah Malaysia ini, kebebasan akhbar yang mutlak tidak akan ada," kata beliau pada Seminar Media Arus Perdana: Etika Kewartawanan dan Masa Depan di Kompleks Dar Al-Hikmah, Kampung Sungai Ramal Dalam di sini, hari ini.

Seminar anjuran bersama Angkatan Belia Islam Malaysia, Kumpulan Prihatin, Yayasan Penataran Ilmu, Wadah Pencerdasan Umat dan Persatuan Kebangsaaan Pelajar Islam Malaysia dihadiri hampir 100 orang.

Selain Abdul Jalil, seminar itu turut membariskan Ketua Editor Malaysiakini, Fathi Aris Omar dan Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman sebagai ahli panel dan ia dipengerusikan oleh Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Shaharuddin Badaruddin.

Seminar ini diadakan kira-kira sebulan selepas kerajaan meminda Akta Media Cetak dan Penerbitan.

Abdul Jalil juga berpendapat terdapat beberapa faktor utama menyumbang kepada punca bidang kewartawanan yang didakwa tidak beretika kebelakangan ini.

"Persaingan yang sengit dalam industri suratkhabar ada kena-mengena dengan persoalan etika ini.

"Etika kewartawan telah digubal oleh Institut Akhbar Malaysia dan antara lain, ia menyebut siaran satu-satu berita itu hendaklah berasaskan fakta dan harus bersumber yang sahih... itu asas etika kewartawanan.

"Ertinya kebenaran itu amat penting dalam apa juga penyiaran yang kita hendak lakukan sama ada di media cetak ataupun elektronik, tetapi persoalan sekarang ini sama ada etika itu dipenuhi ataupun tidak," katanya.

Abdul Jalil juga berpendapat bahawa pemilikan sesuatu akhbar itu memainkan peranan penting dalam berita yang dikeluarkan.

"Seperti mana kita sedia maklum kebanyakan akhbar arus perdana dimiliki parti politik. Kita selalu salahkan penulis tetapi kita lupa siapa pemilik akhbar terbabit.

"Sebagai contoh surat khabar itu dimiliki sebuah parti politik, apakah ketua editor atau mereka yang berada di jabatan pengarang boleh mengeluarkan pandangan secara peribadi? sebab akhirnya jawatan mereka akan ditentukan oleh pemilik akhbar itu iaitu parti terbabit," katanya.

Abdul Jalil turut berpendapat bahawa pengiklanan juga memainkan peranan penting dalam penerbitan sesesbuah akhbar.

Dalam pada itu, seminar hari ini turut meluluskan resolusi menolak segala laporan berbentuk lucah, mengaibkan seseorang di ruang awam, membunuh karakter dengan menginjak-injak maruah, mengaibkan dan memalukan seseorang secara sewenang-wenangnya bukan sahaja tidak beretika, tetapi juga telah mencabul hukum agama.

Selain itu, resolusi juga menyeru pihak pemerintah dan pembangkang mengambil kira akan prinsip asas media dan kewartawanan wajib berdasarkan fakta, kebenaran dan sumber yang sah.

Malah, resolusi juga menyeru masyarakat menolak dan menyatakan bantahan secara terbuka terhadap laporan dan pemberitaan yang melanggar nilai dan etika kewartawanan.

Panas: Aziz Bari Mendakwa UMNO BN Hanya Buat Gimik Politik Untuk Menggantikan Majlis Peguam!

Posted: 19 May 2012 07:10 AM PDT



PAHANG DAILY


KUALA LUMPUR - UMNO BN makin terdesak apabila membangkitkan isu penubuhan akademi undang-undang bagi menggantikan Majlis Peguam yang mencetuskan pandangan tidak menyebelahi mereka mengenai Perhimpunan Aman Bersih 3.0
 
Tegas pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari (foto), isu ini telah banyak kali dibangkitkan tetapi ia hanya menjadi gimik Umno sahaja. 
 
"Mereka melihat badan seperti itu hanya sebagai satu lagi institusi untuk menempatkan para pengampu dan kroni Umno sama seperti kebanyakan agensi termasuk universiti dan IPTA", ujarnya. 
 
Apa pun, tambah Aziz, institusi seperti akademi undang-undang mempunyai peranan dan fungsi yang tertentu yang berbeza dengan fungsi Majlis Peguam. 
 
"Majlis Peguam, sama seperti MMA dalam konteks doktor perubatan atau Lembaga Arkitek mempunyai peranan dan kuasa memantau profesyen berkenaan," katanya. 
 
 Beliau berasa hairan mengapa menteri-menteri UMNO, termasuk yang berkelayakan sebagai peguam, boleh mengarut dan setuju dengan cadangan menubuhkan majlis peguam yang baru. 
 
 "Mungkin itu sebabnya mengapa menteri Umno yang berkelayakan sebagai peguam sering merepek dan bercakap tidak berdasarkan undang-undang," ujarnya sinis. 
 
Bagi beliau, tidak perlu ada Majlis Peguam yang baru hanya kerana Umno-BN tidak senang dengan yang ada sekarang kerana isu ini bukan perkara baru. 
 
"Ia telah berulang kali dibangkitkan oleh Umno, khususnya apabila Majlis Peguam ambil pendirian yang tidak mereka sukai. 
 
"Tetapi nanti apabila majlis mengeluarkan pendapat yang Umno suka parti itu akan berdiam diri dan isu itu akan mati begitu sahaja," tambah mantan profesor undang-undang UIAM itu. 
 
Aziz berkata, Majlis Peguam bukanlah Badan Bukan Kerajaan atau NGO, sebaliknya, jelas beliau, ia adalah sebuah badan berkanun yang diwujudkan melalui akta parlimen. sumber

[Ada kalanya pandangan Profesor Dr.Aziz Bari perlu diberi perhatian kerana beliau mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam soal perlembagaan dan undang-undang negara. Malah, beliau jugalah yang telah berjaya melahirkan ribuan pengamal undang-undang di negara ini.
 
 Kenyataan beliau seharusnya diterima sebagai teguran ikhlas yang menjurus ke arah pembinaan negara Malaysia yang lebih demorasi pada masa akan datang. 
 
 Majlis Peguam bukanlah NGO dan tidak timbul soal mereka perlu dibubar atau ada badan lain pula yang mengambil alih fungsi mereka selepas ini. Tindakan mereka mungkin ada yang tidak sesuai dengan kerajaan namun ia mungkin satu kebetulan kerana mereka tetap mempertahankan prinsip serta kebenaran yang hakiki itu sebenarnya].

Fauzi Akan Jadi Bekas Pegawai Polis Tertinggi Sertai Pas

Posted: 19 May 2012 12:23 AM PDT

MSO

 
Seperti mana telah tersibar dalam media sosial Fb dan blog, bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Fauzi Shaari akan menyertai Pas. Penyerahan borang menyertai Pas akan dilakukan malam esok dalam satu majlis ceramah perdana di Perak.


Fauzi Shaari
Kalau cerita dan maklumat itu benar ia menambahkan lagi bilangan pegawai kerajaan yang menyertai Pas. Penyertaan Fauzi juga menjadi rekod sebagai bekas pegawai tertinggi polis menyertai parti Islam itu. Kebelakangan ini, sebenarnya sejak menjelang pilihan raya PRU 12 ramai kalangan pegawai tinggi tentera mengambil keputusan menyertai Pas.

Perkembangan itu sesuatu yang menakjubkan dan sekaligus menandakan Pas semakin mendapat perhatian dan kepercayaan bekas pegawai tinggi kerajaan.

Sudah tentu penyertaan juga Fauzi dapat meredakan sedikit rasa marah rakyat negara ini khasnya yang menyertai Bersih 3.0 baru-baru ini yang dibelasah teruk oleh polis.

Adalah diharap Fauzi yang terkenal sebagai seorang pegawai tinggi polis mesra rakyat dan pernah turun ke jalan raya untuk menyaksikan sendiri semasa demostrasi membebaskan Anwar Ibrahim sekitar awal tahun 2000 akan menggunakan pengalamannya untuk menjelaskan kepada rakyat khususnya anggota parti mengenai tanggungjawab dan juga sikap polis dalam melaksanakan tanggungjawab awam.

Ulasan lanjut selepas majlis penyerahan borang selesai

Banner PAS Diconteng Dengan Cat Kuning. Lagi Pebuatan Tidak Bertamadun.

Posted: 19 May 2012 12:14 AM PDT



Blog pemudabukitkatil.blogspot.com

Minggu lepas kita dikejutkan dengan Ketua Pengarah Unit Amal, Saudara Johari yang menerima ugutan berbentuk sebutir peluru. 


Minggu ini, bilboard PAS di Tangga Batu dihancurkan.

 Awal tahun ini, kita dikejutkan dengan rumah Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor yang dibakar , begitu juga seorang penduduk yang juga Orang Kelaianan Upaya di Bukit Baru Melaka diugut bunuh kerana menggantungkan bendera PAS, kini banner pas pula menjadi sasaran.

Banner pas yang dipasang di persimpangan Taman Indah, Bukit Sebukor ini diconteng dengan cat berwarna kuning. Mungkinkah ini perbuatan mereka yang tidak suka melihat kebangkitan rakyat semasa bersih baru-baru ini atau mahu menjatuhkan PAS dengan cara kotor.

Walaubagaimanapun, ia tidak mematah semangat PAS untuk memperjuangkan rakyat. Berikut laporan daripada Blog Penyelia Dun Bukit Baru, Cikgu Yusuf Wahab.

Hanya Pengecut Berani Berkokok Di Malam Hari

 
 
Inilah sifat dengki dan khianat pihak musuh yang tidak boleh melihat sebarang poster, risalah dan banner berkaitan dengan Pakatan Rakyat. Diajak berdebat takut maka cara orang hilang akal inilah yang digunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Kalau bukan politik kotor maka keadaan sedemikian tidak akan berlaku.
Dipetik daripada blog PAS Melaka bagaimana banner Penyelia DUN Bukit Baru telah disembur dengan cat kuning yang bermaksud BERSIH. Mengapa kerana benci pada BERSIH 3.0 yang lalu maka kain rentang atau banner yang tidak bersangkutan menjadi mangsa. Politik apakah ini?
Bacul dan pengecut itulah ungkapan yang sesuai kepada golongan yang tidak bertanggungjawab merosakkan harta benda orang lain tanpa memikirnya dengan keadaan waras. Golongan yang biasa terlibat ini dinamakan vandalisma yang tidak boleh melihat keadaan itu dalam keadaan baik atau sempurna serta keinginan untuk merosakkan hak orang lain ini satu tindakan tidak bertanggungjawab.
Vandalisma ini bukan sahaja berlaku dalam arena politik semasa namun vandalisma juga berlaku seperti merosakan harta benda wama tanpa sebab kecuali untuk memuaskan nafsu semata-mata atau kerana ingin tunjuk kekuatan kepada orang sekeliling bahawa mereka boleh lakukan apa sahaja tanpa memikirkan perasaan orang lain.
Vandalisma politik pula merujuk sesebuah parti tidak senang melihat lawannya gah dengan adanya bahan kempen atau publisiti. Bagi merosakkan imej sesuatu parti itu, maka unsur-unsur jahat dan vandalisma inilah yang menyebabkan berlaku seperti dalam gambar di atas. Politik di Malaysia boleh disifatkan politik "Engkau sahaja yang boleh siar, orang lain tidak boleh".
Apa gunanya berpolitik jika tidak mahu ada pihak lawan yang dinamakan status quo? Politik yang bijak adalah melontarkan idea yang bernas supaya rakyat menilai dan bukannya politik vandalisma ala-ala budak sekolah menengah. Tidak senang dengan kemasyuran seseorang makan rosaklah kemasyuran itu ditangan yang jahil.
Apakah ini salah mereka yang melakukan vandalisma atau salah pemipin yang gagal mencorakkan nilai-nilai beretika dan beradab dalam kehidupan seharian? Untuk apa kita berpolitik sekiranya ada perosak yang sering merosakkan harta benda. Ibarat sawah padi yang rosak padinya kerana seekor tikus.

Senario Semasa Bagi guru Yang Teraniaya Perlukan Pembelaan

Posted: 19 May 2012 12:10 AM PDT

Blog Ibn75.wordpress.com

LABIS – Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (PENDIDIK) mendakwa tidak berlaku sebarang penyelarasan sama ada di peringkat KPM, JPN, PPD dan Guru Besar Sekolah dalam kes-kes yang melibatkan pertuduhan dan penganiayaan waga pendidik di seluruh negara.

Kata Presidennya, Cikgu Normala Sudirman menganggap tindakan kepada guru yang terbabit seolah-olah tiada kawalan dalam membuat keputusan sehingga kes-kes tersebut semakin meningkat dari masa ke masa.

Beliau yang juga Penyelia Pusat Aduan Rakyat (PAR) Zon Pemanis turut mendakwa wujud sikap 'double standart' dalam melaksanakan tindakan kepada guru yang menyokong parti pembangkang tetapi di satu pihak lain, penglibatan guru dalam politik dan memegang jawatan tidak pula dikenakan sebarang tindakan bahkan dipertahankan.

"Malah penggunaan frasa 'Pertukaran Atas Keperluan Perkhidmatan' dijadikan alasan untuk menutup tindakan menzalimi warga guru atau pendidik oleh KPM.

"Disamping itu, keputusan dan arahan menukarkan guru sering berubah-ubah seolah-olah dilihat mengikut kehendak dan telunjuk pihak-pihak tertentu.

"Pertuduhan dan tindakan menukarkan dan menempatkan guru adalah tidak munsabah kerana melibatkan jarak yang jauh seperti melebihi 500 kilometer iaitu melampaui sempadan daerah, negeri dan merentasi laut Sabah dan Sarawak.

"Malangnya, pertukaran guru sebenarnya bukan atas keperluan perkhidmatan dan peningkatan prestasi sebaliknya lebih berupa tekanan dan bertujuan melemahkan semangat guru dalam profesion mereka," katanya lagi dalam satu kenyataan.

Sementara itu, beliau kesal tindakan zalim seperti itu akan mengundang kebencian dalam warga kerja, keluarga guru yang teraniaya termasuk ibu bapa pelajar dan masyarakat setempat.

Apabila Puan Tamil Malar menjelma menjadi Mansor bin Jali…

Posted: 18 May 2012 11:56 PM PDT

Roketkini.com




BATU GAJAH: Operasi DAP Tronoh membanteras pengundi hantu telah berjaya mendedahkan penipuan di mana kad pengenalan seorang warganeagra Malaysia secara tiba-tiba menjadi milik orang lain dalam daftar pengundi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurut Adun Tronoh, V. Sivakumar, pihaknya telah mendapati  warganegara Malaysia yang bernama Puan Tamil Malar yang memiliki kad pengenalan 750516-08-5360 telah hilang kelayakan untuk mengundi dalam pilihan raya.

"Ini adalah kerana nombor kad pengenalan beliau telah disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk mendaftarkan atas nama orang lain di Melaka.

"Puan Tamil Malar menetap di DUN Tronoh, Parlimen Batu Gajah, Perak. Tetapi pendaftaran undi mengikut nombor kad pengenalan beliau adalah di DUN Ayer Limau, Parlimen Masjid Tanah, Melaka .

"Nama yang didaftarkan  apabila disemak dengan nombor kad pengenalan Puan Tamil Malar ialah 'Mansor Bin Jali'," katanya dalam satu kenyataan.

Sivakumar yang juga Timbalan Pengerusi DAP Perak berkata, beliau tidak faham bagaimana perkara seperti itu boleh berlaku kerana semakan maklumat Jabatan Pendaftaran Negara telah dibuat oleh SPR sebelum seseorang itu didaftarkan sebagai pengundi.

"Terbukti  ada unsur-unsur  penipuan dalam pendaftaran pemilih. Saya memohon kepada Pengerusi SPR Malaysia untuk memberi penjelasan mengenai hal ini dengan segera," katanya. – Roketkini.com

Bersih 3.0: Polis masih buru 113

Posted: 18 May 2012 11:10 PM PDT

Wartawan Sinar Harian

Bersih 3.0: Polis masih buru 113
 
Bersih 3.0
 
 
KUALA LUMPUR - Polis masih memburu 113 lagi individu yang dipercayai terlibat dalam kekecohan semasa perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara pada 28 April lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata, daripada 141 individu yang gambarnya disiarkan media, seramai 28 orang telah ditahan dan menyerah diri.

Katanya, sejak polis melancar operasi menahan secara besar-besaran pada Rabu lepas, dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kekecohan pada perhimpunan itu telah ditahan, masing-masing di Kulai, Johor dan di Kemaman, Terengganu.
  
Beliau berkata, demikian kepada pemberita selepas merasmikan sukan rakyat Polis Bersama Masyarakat sempena sambutan Hari Polis ke-205, di Kerinchi di sini, hari ini.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua mereka mempunyai kaitan dengan parti politik," kata Mohmad, dan enggan mendedahkan lebih lanjut.

Setakat ini, katanya dua anggota polis dan tiga orang awam didakwa di mahkamah di sini berhubung perhimpunan itu.

Semalam, dua anggota polis, Lans Koperal Mohd Khairul Asri Mohd Sobri, 30, dan Konstabel Shahrul Niza Abd Jalil, 24, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah terhadap jurugambar Guang Ming Daily, Wong Onn King, 33, di persimpangan Jalan Tun Perak dan Jalan Raja antara pukul 5.20 petang dan 5.30 petang semasa perhimpunan Bersih 3.0, 28 April lepas.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata lima anggota polis berpangkat konstabel, berusia antara 20 dan 22 tahun, dari Ibu pejabat Polis Daerah Shah Alam, cedera setelah kereta persendirian milik salah seorang daripada mereka merempuh pagar simen kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya, pada 4 pagi ini.

Mohamad berkata, kesemua mereka tidak bertugas ketika kejadian.

Empat daripada mereka dirawat di Hospital Putrajaya akibat kecederaan di badan dan dalam keadaan stabil, manakala seorang lagi telah dibenarkan pulang.

"Kita masih menyiasat punca kemalangan dan kenapa mereka boleh berada di sana," katanya.-Bernama

Chegu Bard: Hishamuddin Akui Polis Menyerupai Peserta BERSIH Bertindak Ganas

Posted: 18 May 2012 11:06 PM PDT





SHAH ALAM: Kementerian Dalam Negeri harus menjelaskan bagaimana polis berpakaian preman bergerak di kalangan peserta BERSIH 3.0 dan bertindak ganas di dalam himpunan gergasi itu bulan lalu.

Ini berikutan akuan Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Hussein terdapat anggota polis di antara 21 individu yang telah menyerah diri selepas gambar mereka disiarkan di dalam media arus perdana.

Mereka yang menyerah diri itu antara 141 individu yang dijejaki polis berhubung penyertaan mereka di dalam himpunan April 28 itu di mana 250,000 orang membanjiri Kuala Lumpur bagi menuntut pilihanraya adil dan bersih.

Ketua Solidariti Anak Muda Malaysia, Badrul Hisham Shaharin berkata akuan Hishammuddin itu dapat 'dikesan' dalam satu sidang media yang diadakan pada 14 Mei.

"Hishamuddin dengan jelas menyatakan 21 orang terdiri dari 141 individu yang tersenarai dan telah diiklankan dalam media kononya melakukan keganasan dalam himpunan BERSIH 3.0 telah menyerah diri.

"Apabila diasak oleh wartawan mengenai kenapa tindakan hanya pada orang awam tidak melibatkan polis yang bertindak ganas, Hishamuddin menyatakan antara 21 orang yang menyerah diri itu ada anggota polis juga," Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard berkata di dalam satu kenyataan di blognya.

Bagaimanapun menurut Badrul Hisham lagi, daripada 141 gambar 'perusuh' yang diedarkan oleh polis, tiada satu pun yang menunjukkan individu berpakaian seragam polis.

"Bila ditanya pada sebelum itu ketika penyebaran gambar dibuat polis dengan yakin menyatakan individu yang diiklankan untuk desak serah diri itu semuanya dirakamkan melakukan keganasan.

"Sebaliknya 14 Mei lepas Hishamuddin menyebut ada anggota polis serah diri kerana gambar mereka disiarkan.

"Ini membawa maksud pengakuan dari Hishamuddin ada anggota polis berpakaian biasa juga bertindak ganas dan merusuh dalam Himpunan BERSIH 3.0."

Badrul Hisham, yang juga Ketua PKR Cabang Rembau, berkata Hishammuddin harus memberi penjelasan sebagai Menteri yang bertanggungjawab dalam isu keganasan polis di dalam himpunan itu.

"Jika tidak beliau harus meletakkan jawatan kerana jelas Kementerian Dalam Negeri terlibat dalam merancang mempergunakan anggota keselamatan untuk menimbulkan kekacauan bagi memberi kelebihan politik kepada parti politik penguasa regim."

14 Pelajar Putra Perdana Terima RM1,000 Hadiah Masuk Universiti

Posted: 18 May 2012 11:03 PM PDT






SHAH ALAM: Gembira serta terharu. Demikian reaksi Azhani Abd Ghafar, 18, apabila menerima Hadiah Institut Pengajian Tinggi(IPT)  berjumlah RM1,000 dari Kerajaan Negeri Selangor.

Menurut Azhani yang bakal melanjutkan pelajaran di Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) Machang, Kelantan, berkata wang tersebut banyak membantu meringankan beban ibu dan abangnya.

"Bagi saya ia banyak membantu sebab saya ambil jurusan Art and Design memang banyak menggunakan wang," ujar Azhani kepada TVS dalam Majlis Penerangan Geran Selangorku dan Jamuan Bersama Rakyat malam tadi.

Menurut Azhani, pada masa ini beliau menetap dengan ibunya yang merupakan seorang surirumah dan abangnya selepas kematian bapanya.

Manakala bagi Ivan Chong,18, yang melanjutkan pelajaran di Segi College di Subang Jaya pula, bantuan RM1,000 yang diterimanya akan digunakan untuk membeli buku-buku pengajian beliau.

"RM1,000 yang saya dapat ini memang banyak membantu. Saya dapat membeli buku-buku pelajaran saya sebab harga buku sekarang memang mahal," kata beliau ketika ditemui.

Selain itu, sumbangan kerajaan negeri turut menjadi pendorong kepada beliau untuk belajar lebih bersungguh-sungguh lagi.

Sementara itu bagi Mohammad Ariffin yang melanjutkan pelajaran ke Kolej Universiti Islam Antarabangsa, hadiah RM1,000 dari kerajaan negeri  dapat meringankan beban beliau untuk menjelaskan yuran pengajian dan membeli buku-buku rujukan.

Terdahulu, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah menyerahkan cek-cek hadiah tersebut kepada 14 pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi

Selain itu, TVS juga telah difahamkan kira-kira lebih 30 orang pelajar di sekitar Taman Putra Perdana turut menerima sumbangan yang sama dari kerajaan negeri.

Hadiah tersebut adalah peruntukan daripada skim Hadiah Anak Masuk Universiti dan merupakan salah satu dari program Merakyatkan Ekonomi Selangor(MES) yang dijalankan oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

90 Peratus Kawasan Di Selangor Bakal Dinaik Taraf Perbandaran

Posted: 18 May 2012 11:02 PM PDT





SHAH ALAM: 90 peratus  kawasan di negeri Selangor dijangka akan mendapat pengiktirafan sebagai kawasan perbandaran dalam daerah-daerah negeri Selangor menjelang tahun 2014.

Demikian menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika berucap dalam Majlis Jamuan Bersama Rakyat sebagai tanda terima kasih kerajaan negeri kepada rakyat Selangor.

Menurut Abdul Khalid dalam majlis di Taman Putra Perdana  malam tadi, selaras dengan pembangunan di Selangor, rakyat negeri itu akan menikmati pelbagai kemudahan prasarana moden.

"Kita akan didedahkan dengan prasarana, jalan raya, LRT, MRT dan jalan raya bertingkat dan juga kalau ada pertanian, ia pertanian moden yang menggunakan teknologi moden, bukan lagi menggunakan tenaga kekuatan manusia," katanya.

Di samping meluahkan rasa berterima kasih kepada kakitangan awam, pemimpin masyarakat dan masyarakat di negeri itu, Menteri Besar turut menggesa agar semua lapisan masyarakat di negeri ini mengambil peluang dari program-program yang dilancarkan oleh kerajaan negeri.

"Jadi kita berterima kasih kepada rakyat negeri Selangor dan kita sama-sama berdoa supaya mendapat kemakmuran.

"Pada saya kemakmuran tidak akan berjaya jika tidak semua rakyat merasa dan merasakan dirinya diberikan peluang.

"Kita bersetuju pembangunan negeri Selangor dibuat atas dasar tiada keluarga yang tertinggal dalam mengejar pembangunan.

"Sertailah program-program negeri, sertailah usaha-usaha yang kita lakukan dan tak lama lagi di Sepang kita akan adakan program mengenal pengundi dalam senarai pengundi," katanya lagi.

Dalam majlis yang diadakan malam tadi, dianggarkan kira-kira seribu orang penduduk Taman Putra hadir memeriahkan majlis tersebut.

Selain jamuan makan malam, Abdul Khalid turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan Futsal Piala Menteri Besar dan sumbangan kompang kepada pasukan kompang.

Perhimpunan seperti itu tidak digalakkan di dalam mana-mana agama termasuk Hindu.

Posted: 18 May 2012 10:51 PM PDT

 

Oleh Kisho Kumari Sucedaram



KUALA LUMPUR : Kesedaran mengenai hakikat bahawa perhimpunan atau demonstrasi bukan jawapan atau jalan penyelesaian bagi sesuatu masalah mahupun tuntutan mungkin menjadi pendorong kepada masyarakat India untuk menolak perhimpunan yang bertukar menjadi rusuhan pada 28 April lepas.

Selain faktor agama yang melarang menyertai perhimpunan yang boleh mencetuskan keganasan dan merosakkan harta benda awam, mereka mungkin faham akan hak bersuara mengikut saluran yang betul tanpa perlu menjejaskan keamanan negara dan mencemarkan imej negara.

Mungkin atas kesedaran itulah perhimpunan anjuran badan bukan kerajaan yang disokong pembangkang di ibu negara  28 April itu gagal menarik penyertaan masyarakat India,  demikian menurut kalangan masyarakat India termasuk beberapa persatuan kaum India dan agama Hindu.

Presiden Malaysia Hindu Dharma Prof Dr N.S Rajendran berpendapat masyarakat India faham bahawa mereka mempunyai hak untuk bersuara tetapi perbuatan mereka tidak seharusnya berasaskan emosi atau keganasan, apatah lagi jika diapi-apikan oleh pihak berkepentingan politik.

"Perhimpunan seperti itu tidak digalakkan di dalam mana-mana agama termasuk Hindu. Jika ada sesuatu yang ingin dituntut, sebenarnya perlu melalui semua langkah-langkah aman untuk berbincang secara damai," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurutnya, agama Hindu tidak menggalakkan sebarang tindak tanduk keganasan apatah lagi yang boleh mengancam nyawa, menimbulkan kekecohan dan kerosakan harta benda awam.

"Mengapa kita perlu melalui jalan keganasan terutamanya bagi golongan muda? Golongan ini adakalanya terlalu mengikut perasaan dan emosi tetapi saya rasa kini mereka mulai sedar bahawa cara ini tidak dapat memenuhi kehendak mereka dan menjadi sia-sia, malah merugikan," katanya.

Kenyataan itu turut disokong Presiden Hindu Sangam R.S Mohan Shan yang menegaskan perhimpunan atau demonstrasi hanya boleh diadakan dengan syarat ianya dijalankan secara aman serta menghormati setiap umat manusia, malah haiwan sekalipun dan tidak boleh menyusahkan orang lain.

Sesuatu perhimpunan itu hanya akan dihormati majoriti rakyat apabila ia mempunyai sebab yang wajar dan bukannya untuk mewujudkan kacau-bilau mahupun dimanipulasi pihak lain, katanya.

Selain itu, beliau juga berharap tiada pihak yang cuba mengaitkan sentimental keagamaan ke dalam isu politik yang akan lebih memburukkan lagi keadaaan.

Perunding kanan perhubungan awam Nevash Nair, 26, berkata pemuda zaman sekarang perlu berfikir wajar sebelum melibatkan diri dalam mana-mana perhimpunan atau demonstrasi.

Kepentingan politik
 
"Saya mempunyai sebilangan kawan yang pro dan anti kumpulan yang menamakan diri mereka Bersih 3.0 itu. Saya berbual dengan mereka dan mendapatkan pelbagai pandangan…saya dengar apa yang mereka katakan dan saya membuat kesimpulan sendiri," katanya yang percaya sesetengah pihak menggunakan Bersih untuk kepentingan politik mereka sendiri.

Justeru kedegilan pihak penganjur perhimpunan menerima tawaran kerajaan untuk mengadakan perhimpunan di stadium bagi memastikan keadaan terkawal, masyarakat India kini dikatakan telah sedar dan tidak lagi memilih untuk bersama pembangkang. Ini ditambah dengan hakikat bahawa sebahagian besar permintaan mereka telah dilayan oleh kerajaan.

Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) baru-baru ini dalam satu kenyataan berkata perhimpunan kali ini membuktikan dengan jelas bahawa masyarakat India sudah meninggalkan pembangkang dan kembali menyokong kerajaan.

Kenyataan itu mendakwa hanya segelintir daripada peserta perhimpunan yang bertukar menjadi kerusuhan itu adalah daripada kaum India dan ini secara tidak langsung memberi amaran 'gelombang bahaya' untuk pakatan pembangkang.

"Apa yang pakatan mahu ialah undi kaum India tetapi kebajikan dan kesejahteraan tidak dijaga seperti yang dijanjikan selepas mendapat undi kaum India pada pilihan raya 2008, mereka dibuang seperti lampin pakai buang," bmenurut kenyataan itu.

Perhimpunan itu terbukti bukan sahaja tidak menjanjikan kebajikan masyarakat India malah memberi impak negatif kepada majoriti perniagaan komuniti itu.

Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia Datuk K K Eswaran dalam sebuah akhbar tempatan baru-baru ini berkata para peniaga India mengalami kerugian besar berikutan perhimpunan itu.

Katanya, kedai-kedai di sekitar kawasan Jalan Tuanku Abdul Rahman terpaksa ditutup bagi mengelakkan kerosakan oleh penunjuk perasaan, manakala 13 cawangan negeri dan 14 organisasi perdagangan merasakan bahawa perhimpunan itu mempunyai kesan negatif ke atas perniagaan.

Golongan ibu bapa juga berpendapat perhimpunan seumpama itu lebih memudaratkan apabila golongan belia dan pelajar pusat pengajian tinggi dimanipulasi untuk kepentingan pihak tertentu.

"Saya tidak ingin melihat anak-anak saya menyertai perhimpunan haram seperti itu, tidak kiralah perhimpunan itu ada matlamat yang wajar atau sebaliknya. Apa salahnya kalau kita memperjuangkan hak kita secara aman?," kata S.Vikneswaran, 40, dari Kajang.

Bapa kepada tiga anak lelaki itu berkata penglibatan golongan muda akan memberikan impak negatif atau titik hitam dalam hidup mereka kalau ditahan oleh pihak polis. Bernama

Bian putar belit fakta – Rahman

Posted: 18 May 2012 10:48 PM PDT

 
Wakil rakyat PKR itu mendakwa Sarawak sebagai antara empat buah negeri termiskin di Malaysia.

 

Sekitar Dun Sarawak

 
KUCHING: Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak hari ini dikejutkan dengan tindak tanduk wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dari Bukit Kota yang menuduh wakil rakyat pembangkang hanya pandai memutar belit fakta dan berpendirian autokratik. Wakil rakyat tersebut, Dr Abdul Rahman Ismail memberi contoh bagaimana Baru Bian (PKR – Ba'Kelalan) memutar belit fakta dengan mendakwa Sarawak sebagai antara empat buah negeri termiskin di Malaysia.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perbahasan Usul Penghargaan Ucapan Yang di-Pertua Negeri dalam persidangan Dun Sarawak di sini yang masuk hari keempat hari ini.

"Statistik dari Jabatan Perangkaan menunjukkan bahawa paras kemiskinan telah menurun dari 31.9 peratus pada tahun 1995 kepada 5.3 peratus tahun 2009.

"Perangkaan dari Bank Negara Malaysia menunjukkan bahawa pendapatan per kapita dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Sarawak menduduki tepat ketiga mengatasi negeri Selangor pada tahun 2010," jelasnya.

Polis terlibat dengan dadah? 

Selain itu, Rahman juga membidas Bian yang membuat tuduhan melulu  apabila menyatakan seorang daripada lima anggota polis di Limbang terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

"Ini satu tuduhan yang serius dan jika YB tidak dapat membuktikan secara fakta perlulah YB tarik balik kenyataan ini," tegasnya.

Menurutnya, Bian berminat untuk merampas kawasan Parlimen Limbang dari BN seperti yang dibuktikan apabila Bian bersama Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di Limbang baru-baru ini tetapi sambutannya sangat dingin.

"Program di Tanah Layang terpaksa di adakan di kaki lima kedai dan program di rumah panjang tidak diterima penduduk," katanya.

Untuk meyakinkan bahawa pembangkang suka memutar belit fakta, Rahman memberi contoh lain.
Katanya, Fong Pau Teck (DAP – Pujut) pernah menyatakan sempadan Sindumin-Lawas dan Limbang-Brunei pernah ditutup sedangkan pada hakikatnya sempadan itu tidak pernah ditutup terutama bila berlaku kes-kes kecemasan yang melibatkan pesakit.

"Jika ada kecemasan pihak Imigresen kedua-dua negara akan membenarkan pergerakan melalui sempadan ini," jelasnya.

"Inilah kerja pembangkang, semua putar belit. Kalau ada yang cakap betul kena pecat atau terpaksa letak jawatan. Apa yang jadi kepada

Pesuruhjaya PAS Selangor? Apa jadi kepada Naib Presiden DAP Pusat? Ini bukan demokrasi, ini autokrasi," tegasnya.

Jika muzakarah demi kepentingan politik lebih baik dibatalkan, kata ulama Umno

Posted: 18 May 2012 10:40 PM PDT

 
 
KUALA LUMPUR − Ulama Muda Umno hari ini mengharapkan muzakarah yang telah pun dipersetujui oleh pemimpin Umno dan PAS tidak diadakan semata-mata demi kepentingan politik, sebaliknya digunakan sebagai pentas perbincangan permasalahan yang dialami masyarakat Islam di negara ini.

Jelas Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya yang dihubungi The Malaysian Insider hari ini berkata, adalah lebih baik muzakarah tersebut dibatalkan jika ianya diadakan semata-mata demi mencapai tujuan kepentingan politik sesetengah pihak mahupun individu.

"Kita perlu bincang politik untuk memartabatkan agama, bukan bincang agama untuk martabatkan politik.

"Tujuan kami hanya untuk mencapai kata sepakat dalam agama, bukannya untuk kepentingan politik. Tapi jika muzakarah ini digunakan demi mendapatkan kepentingan politik, saya rasa lebih baik dibatalkan sahaja," tegasnya kepada The Malaysian Insider.

Jelas Fathul Bari, pihaknya juga amat mengharapkan dapat bermuzakarah dengan kepimpinan tertinggi PAS bagi membincangkan permasalahan yang dialami oleh masyarakat Melayu dan Islam di negara ini.

"Kami sangat berharap dapat bermuzakarah dengan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan juga Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang.

Tambahnya lagi, pihaknya juga dijangka akan turut menghantar wakil antara rakan-rakan ulama muda yang lain seperti Dr Fadlan Mohd Othman, dan Ahmad Fauzan Yahya, selain dirinya sendiri.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dipetik laporan akhbar berkata, Umno sedia menyahut seruan PAS untuk bermuzakarah asalkan tujuannya adalah untuk kepentingan ummah, masyarakat Islam dan negara.

Timbalan Presiden Umno itu juga nyata agak terkejut dengan pelawaan PAS kerana perkara itu jelasnya telah dan pernah disuarakan parti itu sebelum ini, namun ditolak keras, khususnya oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Kalau ikut yang lepas, Nik Aziz tak pernah setuju. Masa itu dia kata Umno tak boleh dipercayai, tapi kalau hasrat dia ikhlas, tujuan untuk kebaikan ummah, masyarakat Islam dan negara Malaysia kita tidak jadi masalah," katanya.

Beliau turut mengulas mengenai kenyataan Nik Aziz bahawa parti itu sentiasa bersikap terbuka untuk bermuzakarah dengan sesiapa sahaja termasuk Umno dan juga bersetuju untuk muzakarah itu diadakan dalam masa terdekat.

Muhyiddin berkata parti terbesar Melayu itu sedia menerima pelawaan tersebut kerana perkara itu telah pun disuarakan Umno sejak sekian lama atas kesedaran pentingnya umat Islam disatukan, yang kini berpecah kepada beberapa kelompok kerana perbezaan ideologi.

Memetik laporan Sinar Harian Online sebelum ini, Fathul Bari yang juga bekas Penasihat Agama Institut Jantung Negara (IJN) telah meletakkan garis panduan supaya sesi muzakarah itu mencapai objektif dalam usaha menegakkan syiar Islam.

"Topik yang hendak dibincangkan perlu jelas dan ada hala tuju, moderator kena adil dan tidak ada kecenderungan untuk dipengaruhi mana-mana pihak, tempat untuk muzakarah yang dipilih hendaklah dipersetujui bersama serta mesti menjaga adab dan etika," katanya.

Beliau menegaskan perbincangan mesti dilaksanakan dengan ilmiah, bukan secara emosi dan sanggup menerima kebenaran yang berasaskan kepada al-Quran dan Sunnah, selari dengan petunjuk Nabi Muhammad SAW dan sahabat baginda.

"Perbincangan dilakukan adalah untuk menegakkan Islam, bukan untuk agenda parti atau tokoh tertentu dan kita tidak mahu perbincangan itu tidak memberi manfaat," katanya lagi.

Saham Bursa Malaysia dijangka terus rendah

Posted: 18 May 2012 10:37 PM PDT

Mohd Iswandi Kasan Anuar


Saham-saham di Bursa Malaysia dijangkakan terus rendah berikutan kebimbangan berterusan terhadap ekonomi dunia, kata penganalisis.

Pasaran tempatan juga dijangkakan mengalami aliran harga menurun berikutan prestasi ringgit dan komoditi yang lemah -- dengan ringgit, minyak dan minyak sawit mentah, masing-masing susut 2.2 peratus, 3.1 peratus dan 5.7 peratus -- ekoran faktor luar yang negatif.

Keadaan ini berpunca daripada kebimbangan berterusan terhadap pemecahan zon euro, susulan perkembangan baharu politik di Eropah dengan pihak yang antipenjimatan, membentuk kerajaan pasca pilihan raya.

Ketua Penyelidik Runcit Affin Investment Bank Dr Nazri Khan menjangkakan bursa tempatan akan menguji paras sokongan psikologi 1,500.

Beliau berkata pasaran terus berada dalam kedudukan yang tidak menentu berikutan kebimbangan bahawa krisis hutang Eropah kini semakin besar susulan keputusan Bank Pusat Eropah (ECB) menghentikan pinjaman kepada bank-bank Greece dan Sepanyol berikutan tindakan Moody menurunkan penarafan ke atas 16 bank Sepanyol.

Sementara itu pelabur terus bimbang tindakan Greece keluar dari zon euro akan memburukkan lagi sistem kewangan di seluruh benua itu.

Dalam pada itu, Nazri berkata walaupun semua kebimbangan bertumpu terhadap zon euro, peluang kini muncul apabila pasaran global tumbang.

Beliau berkata bank pusat dunia sedia melancarkan rangsangan monetari jika keadaan memerlukan, selain campur tangan oleh ECB untuk menenangkan pasaran.

"Sebarang berita oleh ECB untuk membantu secara langsung dalam mengurangkan kuantitatif besar-besaran bagi menangani krisis euro, dijangka akan meningkatkan pasaran," katanya.

Nazri juga berkata terdapat mudah tunai yang besar dalam negara selain penyenaraian tawaran awam pemulaan (IPO) besar seperti Felda, serta kemasukan projek baharu, termasuk projek RM15 bilion North Malay Basin, yang mampu menampung penurunan pasaran dalam tempoh terdekat.

Bagi minggu baru berakhir, pasaran berada pada kedudukan rendah, akibat tekanan sentimen luar yang lemah.

Mengikut perbandingan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI susut 51.86 mata kepada 1,532.46.

Indeks Kewangan susut 442.83 mata kepada 13,730.49, Indeks Perusahaan turun 112.35 mata kepada 2,681.1 dan Indeks Perladangan turun 535.69 mata kepada 8,104.51.

Indeks FBM Emas turun 408.38 mata kepada 10,444.55, Indeks FBM ACE turun 314.31 mata kepada 4,228.37, Indeks FBM Mid 70 susut 577.62 mata kepada11,302.36 dan Indeks FBM T100 turun 381.93 mata kepada 10,273.85.

Jumlah dagangan mingguan susut kepada 5.768 bilion saham bernilai RM8.262 bilion berbanding 6.033 bilion saham bernilai RM6.45 bilion.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 3.89 bilion bernilai RM7.97 bilion berbanding 3.702 bilion bernilai RM6.073 bilion sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE susut kepada 1.3 bilion bernilai RM215.75 juta berbanding 1.544 bilion saham bernilai RM272.771 juta.

Waran berkurangan kepada 522.02 juta unit bernilai RM63.62 juta berbanding 767.848 juta unit bernilai RM96.247 juta.- Bernama

Majlis Peguam nafi terlibat politik, hanya mempertahankan undang-undang

Posted: 18 May 2012 10:35 PM PDT

 
 
KUALA LUMPUR— Majlis Peguam menyangkal dakwaan pertubuhan itu sebagai perti politik sebaliknya menegaskan setiap kenyataan yang dikeluarkannya "berdasarkan prinsip perundangan atau hak asasi manusia".

Presidennya, Lim Chee Wee, menambah, badan berkenaan juga bersifat adil dalam mengkritik kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang, menolak dakwaan sering mengeluarkan kenyataan berat sebelah.

Badan mewakili peguam itu menerima kecaman hebat daripada Barisan Nasional (BN) selepas mengadakan mesyuarat agung tergempar (EGM) minggu lalu untuk menyelar tindakan polis menggunakan kekerasan terhadap perusuh sewaktu perhimpunan Bersih 3.0.

Menteri Umno Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Tun Dr Mahathir Mohamed telah melabelkan badan berkenaan sebagai "parti politik" dan telah menyokong pembentukan Majlis Peguam kedua sebagai pertubuhan alternatif untuk pengamal guaman di negara ini.

"Setiap kenyataan yang dikeluarkan adalah berdasarkan kepada premis perundangan dan hak asasi manusia, dan rakyat Malaysia untuk dilindungi oleh polis dan bukannya diancam," kata Lim (gambar) dalam satu kenyataan emel kepada The Malaysian Insider.

"Kedua-dua mereka, Nazri dan Dr Mahathir, gagal untuk menyampaikan mesej kepada majlis ini, menyatakan kegagalan polis menggunapakai cadangan daripada empat inkuiri Suhakam (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia) sebelum ini dalam mengendalikan perhimpunan?"

Cadangan-cadangan daripada suruhanjaya itu termasuk cadangan penggunaan pegawai perundangan untuk menggunakan nombor pengenalan; lima langkah kawalan proses perhimpunan (pujukan lisan, tidak menggunakan kekerasan, arahan bersurai yang jelas, memberikan masa yang cukup untuk bersurai, dan tiada tangkapan sewaktu bersurai); termasuk tiada keganasan terhadap perusuh.

Lim turut menjelaskan, tindakan polis yang lebih lembut dilihat digunakan di Ipoh, Melaka, Johor Bahru and Kuantan, sewaktu Bersih 3.0, perhimpunan utama di ibu negara pula menunjukkan tindakan yang sebaliknya.

Ketika perhimpunan 28 April di KL, polis menggunakan gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan perusuh, yang mendakwa anggota polis di lokasi tersebut melakukan keganasan terhadap mereka.

Badan tersebut, sebagai sebahagian daripada resolusi EGM mereka, turut menuntut permohonan maaf daripada pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri kerana menggunakan kekerasan terhadap perhimpunan yang aman pada mulanya.

Namun, kedua-dua mereka, sama ada polis mahupun kerajaan mengemukakan permohonan maaf, sebaliknya  Nazri dan Dr Mahathir, termasuk beberapa kumpulan anti Bersih menggelar pertubuhan itu berat sebelah kepada pembangkang.

Menafikan dakwaan itu, Lim menjelaskan badan berkenaan turut mengkritik pembangkang sebelum ini.

"Majlis Peguam menyokong bila kerajaan melakukan perkara yang betul," tambahnya. "Sebagai contoh, penubuhan Yayasan Bantuan Guaman Nasional (YBGN) dan terhadap penambah baikan infrastruktur mahkamah.

Sudah tentu apabila melakukan kesalahan, kami akan mengkritik, dan dalam konteks ini, keganasan dan penyalahgunaan kuasa oleh pihak polis."

KDN, Jakim halang program penulis kontroversi

Posted: 18 May 2012 10:30 PM PDT

MALAYSIA KINI

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan membenarkan sebarang program yang melibatkan seorang pendukung gay, biseksual dan transeksual (LGBT), Irshad Manji diadakan di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pihaknya memandang serius terhadap perkara itu dan meminta semua jabatan agama di setiap negeri menghalang sebarang program melibatkan wanita itu daripada berlangsung.

Beliau berkata Manji, 48, akan datang ke negara ini bagi tujuan melancarkan buku terbarunya bertajuk Islam, Liberty and Love yang dipenuhi unsur penghinaan terhadap Islam serta perjuangannya dalam mempertahankan cara hidup sebagai seorang lesbian.

"Kerajaan amat memandang serius terhadap ideologi yang dibawa oleh Irshad Manji dan implikasinya terhadap umat Islam di negara ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Buat Elok Saja Tau (Best) di Gurun malam tadi.

Katanya ideologi tersebut jelas bertentangan dengan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam berdasarkan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan (Islam sebagai Agama Persekutuan), Akta dan Enakmen Agama Islam negeri-negeri, undang-undang sivil dan norma masyarakat.

Jamil Khir berkata Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang turut dianggotai Malaysia menolak orientasi seksual yang mendukung LGBT sebagaimana yang ditegaskan dalam persidangan Sesi ke-19 Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 7 Mac lepas di Geneva, Switzerland.

Justeru, beliau menyeru umat Islam di negara ini sentiasa peka dan berhati-hati agar tidak terpengaruh dengan fahaman ideologi yang dibawa oleh kumpulan dan individu tersebut.

Ini kerana beliau khuatir akan menyentuh sensitiviti agama serta menjadi provokasi serius terhadap umat Islam secara harmoni di bawah naungan institusi Raja-Raja Melayu, Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara ini.

Manji merupakan seorang Muslim berfahaman liberalismie, pluralisme dan feminisme dan dia merupakan pendukung LGBT di peringkat antarabangsa.

Dia pernah mengarang sebuah buku yang menimbulkan kegelisahan dan kemarahan umat Islam di seluruh dunia bertajuk The Trouble With Islam Today yang mengandungi idealisme sama seperti penulis novel The Satanic Verses, Salman Rushdie.- Bernama

Pemuda Umno Johor bergolak?

Posted: 18 May 2012 10:29 PM PDT


Naib Ketua Pemuda Umno Johor Mohd Fuad Tukirin menafikan cuba menjatuhkan bosnya Mohd Fadil Muskon dengan melobi Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Mohd Fuad mengakui beliau dan rombongan 17 Pemuda Umno bahagian di Johor berjumpa Khairy pada 8 Mei lalu tetapi ia tidak berkaitan dengan khabar angin untuk menjatuhkan Mohd Fadil yang dilantik sebagai ketua Pemuda negeri.

"Saya menafikan perkara tersebut. Tidak ada (buat) desakan apa-apa. Kenapa disalahtafsirkan. Kita mengunjungi beliau kerana mahu mengucap tahniah sebab dilantik menjadi pengerusi PUNB (Perbadanan Usahawan Nasional Bhd )," katanya Mohd Fuad sambil ketawa.

Ketika dihubungi Malaysiakini petang semalam, Mohd Fuad berkata pertemuan beliau bersama rombongannya dengan Khairy berlangsung di ketua Pemuda Umno di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Mohd Fuad berkata kunjungan mereka itu tidak disertai Mohd Fadil yang juga ketua Pemuda Umno bahagian Ayer Hitam dan beliau "tidak pasti" sebab ketidakhadirannya.

"Saya pergi bukan atas kapasiti naib ketua pemuda Johor, tapi sebagai ketua pemuda bahagian ... Kita maklumkan (kepada semua) siapa nak pergi, pergilah," katanya yang juga ketua Pemuda Umno Bakri.

'Tidak salah manja-manja dengan bos'


Beliau diminta mengulas dakwaan berlaku pergolakan dalam pergerakan Pemuda Umno Johor yang diedarkan melalui e-mel sejak 15 Mei lalu dan dikatakan tersebar luas di negeri kubu kuat Umno itu.

Kumpulan itu juga didakwa memberi kata dua kepada Khairy untuk mengikut keputusan mereka atau mereka akan mendesak menteri besar Johor campur tangan untuk menukar ketua Pemuda Umno negeri.

Diminta mengulas dakwaan tindakan kumpulan mereka itu didalangi Naib Ketua Pemuda Datuk Razali Ibrahim, Mohd Fuad sekali lagi mengulangi dengan berkata:

"Tak ada desakan apa-apa. Kenapa buat tuduhan melulu. Yang lain-lain saya no comment (tiada komen)," katanya.

Selain mengucap tahniah kepada Khairy, Mohd Fuad berkata rombongannya turut membangkitkan rungutan terhadap kepada ahli parlimen Rembau itu supaya "tengok-tengok" Pemuda akar umbi di negeri itu.

"Beliau jarang turun. Jangan berada di Kuala Lumpur sahaja. Tidak salah nak manja-manja dengan ketua Pemuda, bos kami," katanya sambil ketawa.

"Kami tak ada baling batu, cakap belakang... Mesti ada pihak yang menangguk di air keruh," Katanya lagi.

Guan Eng: Tiada komen tentang Tunku Aziz

Posted: 18 May 2012 10:27 PM PDT

 

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, tiada keperluan baginya untuk mengulas berhubung isu peletakan jawatan Tunku Abdul Aziz Ibrahim sebagai naib presiden kerana orang ramai boleh melihat sendiri perkara itu.

Merasmikan Sidang Tahunan Wartawan Masyarakat Malaysia Ketiga di Pulau Pinang, Lim semasa ucapannya turut menunjukkan muka depan Utusan Malaysia yang memaparkan Tunku Aziz menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Kalau kamu mahu tanya komen saya, komen saya ialah tiada komen.

"Jadi jangan tanya saya lagi, jimat masa. Kamu boleh baca sendiri," katanya.

Bangunan utama Pasar Borong Kangar terbakar

Posted: 18 May 2012 10:25 PM PDT

KL POS.COM


Post Pic



KANGAR: Bangunan utama Pasar Borong Kangar yang menempatkan kira-kira 12 peniaga, rosak teruk dalam kebakaran awal hari ini namun tiada kecederaan dilaporkan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perlis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4.04 pagi dan tiba di tempat kejadian enam minit kemudian.

Katanya, jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kangar, Kuala Perlis dan Arau dengan dibantu pasukan bomba sukarela Pauh, Kodiang, Kuala Perlis dan Simpang Empat berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh 30 minit.

Punca kejadian sedang disiasat dan anggaran kerugian sedang ditaksirkan, katanya.

Pasar borong yang beroperasi sejak lebih 20 tahun lalu itu menempatkan 25 peniaga dan kira-kira 12 daripada mereka beroperasi di dalam bangunan utama itu.

Bagaimanapun, gerai berhampiran bangunan utama pasar borong itu tidak terjejas dalam kejadian itu.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu menerusi laman sosial facebook beliau, mengucapkan takziah kepada peniaga yang menjadi mangsa kebakaran.

Katanya, kerajaan negeri akan menghulurkan bantuan secepat mungkin.

Semakan Gaji & Gred Pensyarah di Semua IPT di Malaysia. Pensyarah Mengadu Tak Dapat Imbuhan Seperti Dinikmati Guru-guru!!

Posted: 18 May 2012 10:07 PM PDT

Staff Berita Semasa 
 
Gaji Pensyarah Universiti Semakan Gaji & Gred Pensyarah di Semua IPT di Malaysia. Pensyarah Mengadu Tak Dapat Imbuhan Seperti Dinikmati Guru guru!!


Sememangnya, ada berlaku di mana gaji guru dikatakan lebih tinggi daripada gaji pensyarah. Tetapi ada pro dan kontranya di sini di mana peluang kenaikan gaji bagi pensyarah lebih tinggi dan lebih terbuka luas berbanding gaji guru-guru di Malaysia. 

Jika ada kalangan pensyarah menyambung pengajian mereka ke peringkat tertinggi iaitu peringkat PHD, peluang untuk menikmati kenaikan gaji baru antara RM5,000-RM6,000++ terbuka luas untuk mereka yang berkelayakan bagi permulaan gaji pensyarah kanan di sesetengah institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Ada kes di mana pensyarah tersebut terpaksa menunggu sehingga disahkan jawatan terlebih dahulu. Walaubagaimanapun, masalah seperti ini bukanlah masalah besar (masih lagi terpencil) jika anda terus menyambung pengajian daripada peringkat Sarjana Muda, Sarjana sehinggalah ke peringkat Doktor Falsafah, pada ketika itu anda hanya berumur antara 29 hingga 3o tahun sahaja. Ada kalangan yang lain pada umur 28 tahun sudah ada PHD bahkan 27 tahun pun sudah ada yang berjaya mencapainya.
  1. Kemudian pensyarah-pensyarah ini boleh mula mengumpul mata-mata tertentu dan dalam masa 5 ke 6 tahun sahaja jika aktif menjalankan penyelidikan secara kadaran normal juga boleh mendapat Professor Madya dengan jumlah gaji menghampiri RM10,000 (yang mana umur mereka ketika itu sekitar 35 ke 36 tahun).
  2. Dan jika mereka bekerja keras lagi, mereka maka boleh mendapat Professor sebelum umur 45 tahun dengan gaji permulaan RM12,000 (belum ditambah elaun lagi). Itu belum ditambah duit-duit consultancy yang akan mereka nikmati dan dalam pada yang sama mereka sering mendapat jemputan untuk memberi ucapan dan sebagainya
Pada kami, memang diakui di antara kebanyakan agensi kerajaan terutamanya institusi pendidikan, gaji pensyarah universiti adalah yang paling tinggi tetapi bukan pensyarah di semua tempat begitu nasibnya. Kalau anda ada PHD pada umur 30 tahun, anda sudah boleh dipertimbangkan untuk dapat gred 51. Sedangkan kalau di kebanyakan institusi pendidikan lain seperti di sekolah contohnya, politeknik dan lain-lain lagi, nak sampai ke peringkat gred 52 contohnya biasa-biasa sudah peringkat "senja" atau dalam bahasa mudahnya dah nak pencen baru berjaya mencapainya. Tak kiralah anda ketika itu ada Phd ataupun Master. Itu pun kalau sempat dapat.

Jikalau dibandingkan dengan gaji pensyarah politeknik, kolej komuniti, matrikulasi or maktab, memang struktur gaji pensyarah universiti sebenarnya lebih tinggi. Gaji pensyarah-pensyarah lain lebih kurang sama dengan gaji cikgu sekolah.
  • "Nama sahaja pensyarah, tetapi gaji lebih kurang cikgu"
  • "Pensyarah tidak menerima imbuhan seperti yang dinikmati para guru"
  • "Ada yang kata lebih baik jadi guru biasa sebab skim tidak setara. Kalau betul dan ada asasnya, kita harap kementerian (Pengajian Tinggi) boleh bawa dan kerajaan akan beri pertimbangan,"
Begitulah antara rungutan dan aduan yang dikemukan kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Dan kerajaan sekarang…..
  1. Sedia menimbang untuk memberi imbuhan kepada pensyarah-pensyarah di institusi pengajian tinggi di seluruh negara
  2. Membuat semakan semula situasi dan masalah yang dihadapi oleh para pensyarah dengan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
  3. Semakan kes gaji dan gred jawatan pensyarah telah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)
Pada kami langkah menteri tepat pada masanya dapat direalisasikan dengan secepat mungkin. Gaji pensyarah tinggi sepatutnya setimpal dengan kelulusannya biarpun pada usia muda apatah lagi bekerja di sebuah tempat institusi pengajian tinggi.
Diharap Kementerian Pengajian Tinggi lebih memandang serius perkara ini. Dalam kita asyik mengejar kedudukan universiti di ranking dunia, sepatutnya kebajikan pensyarah yang menjadi tunjang kepada kejayaan sesebuah IPTA dan pelajarnya perlulah dititikberatkan
Takkanlah gaji pensyarah DM45 yang ada master boleh sama dengan gaji guru DM41 yang hanya memiliki degree sahaja. Di mana logiknya? Apa kata anda?

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Ι was suggеsteԁ this wеb ѕite by my сousin.
Ӏ'm not sure whether this post is written by him as nobody else know such detailed about my problem. You're
ωonderful! Thanks!

my site cx.hashimschool.com