DIALOG RAKYAT |
- Umno tidak kemaskini rekod keahlian
- MIC akan serah senarai calon kepada PM
- Imej UMNO 'Diharamjadahkan' Oleh NGO Pra Matang
- PRU13: Masa yang tepat, sesuai rakyat tolak BN
- Puak ekstremis halang sokongan kaum Cina pada BN
- Menyanggah fatwa ‘Bersih’
- Bukti Umno ‘parti tua’ penaja keganasan
- S. Murugessan dan MIC Perlu Tumpu Soal Hak-hak dan Kepentingan Masyarakat India
- GOYANG PUNGGUNG" TIDAK BOLEH SELESAIKAN MASALAH WARGA TENTERA DAN BEKAS TENTERA
- Mahathir Tabur Baja Untuk Suburkan Kebencian Umum Kepadanya
- Ambiga akan cabar perintah majistret tutup Dataran
- CIJ: Liputan politik akhbar TheSun paling neutral
- 19 Jun untuk dengar permohonan batal pembelaan Nalla
- Malaysiakini ungguli laporan keganasan dalam BERSIH
- Dr Asri kini bergelar Datuk
- Amaran 'perang siber' pada media baru
- Mogok lapar demi kebebasan
- Wanita dakwa ditembak gas di paha dari dekat
- 'Senaman punggung' seksis, kritik Ambiga
- Annuar: 'FAM, tunjuk apa salah saya'
- Noh Omar: Masalah eksport sarang burung walit selesai
- Nak Melayu dapat Mat Salih
- Pas sedia perjelas perjuangan parti
- Hudud mainan politik BN, kata Pakatan
- Henti ganggu Ambiga, kata Pak Samad
Umno tidak kemaskini rekod keahlian Posted: 17 May 2012 05:36 AM PDT MB S'gor menafikan beliau masih ahli Umno seperti dakwaan sebuah blog pro parti itu. SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan dakwaan bahawa beliau masih merupakan ahli Umno di Pasir Tuntung seperti ditulis sebuah blog pro-Umno baru-baru ini. Beliau sebaliknya berkata, Umno mungkin tidak mengemaskini keahlian di kawasan terbabit. "Saya tidak tahu saya masih ahli. Pasir Tuntung itu alamat rumah mak saya. Boleh jadi Umno tidak kemaskini. "Sepatutnya macam Keadilan (PKR), jika orang itu tukar (parti) maka mereka batalkan keahlian," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di sini hari ini. Menyentuh mengenai teguran Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu air, kerajaan negeri mendesak agar Kerajaan Persekutuan segera melaksanakan penstrukturan semula industri pembekalan air di negeri itu. Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri turut berharap agar Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui agar tidak berdolak dalih dan menggunakan kuasa untuk memastikan syarikat konsensi memberi persetujuan. Penstrukturan semula industri air Ujar beliau, penstrukturan itu diperuntukan oleh Akta Industri Pembekalan Air 2006 (WSIA) yang membolehkan kerajaan negeri mengambilalih pengurusan air. "Kita amat hargai pandangan Sultan Selangor yang mengambil berat perkembangan yang berlaku di negeri ini dan setiap teguran oleh Baginda akan dijadikan panduan untuk meningkatkan keberkesanan urus tadbir negeri. "Maka kita mendesak Kerajaan Persekutuan mengambil teguran Sultan dan laksanakan penstrukturan semula ini," katanya. Semalam, Baginda mengingatkan kerajaan negeri supaya tidak mempolitikkan isu air demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri itu. Sebelum ini kerajaan negeri menawarkan penyelesaian arbitrasi antarabangsa untuk memberi keadilan kepada semua pihak dan sepatutnya syarikat konsesi tidak mempunyai masalah untuk terima tawaran kerana ia munasabah. Dalam pada itu, exco negeri Dr Xavier Jayakumar pula berkata kerajaan negeri turut memperuntukkan perbelanjaan sehingga RM5 juta bagi mengatasi masalah banjir. Tiga kawasan tadahan air yang terjejas teruk itu ialah Sungai Teluk Gadong, Aur dan Puluh. | |||||||||
MIC akan serah senarai calon kepada PM Posted: 17 May 2012 05:17 AM PDT Difahamkan, MIC menyenaraikan 50 calon sebelum pemilihan 28 calon diputuskan kelak. KUALA LUMPUR: MIC menyenaraikan muka baru dan lama sebagai calonnya untuk pilihan raya umum ke-13 dan senarai itu akan diserah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sekembali beliau ke tanah air. Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel berkata senarai itu akan disenaraipendekkan oleh Najib selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN). "Siapa calon terbaik akan diputuskan kelak. Ada muka baru dan muka lama. Kita telah pun buat perbincangan dengan akar umbi dan turun padang untuk melengkapkan senarai ini. "Kini kami akan bincang dengan Pengerusi BN pula," kata Palanivel yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri kepada pemberita selepas melancarkan Hari Kembara Ilmu Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) di sini, hari ini. Najib kini dalam lawatan kerja ke New York, Amerika Syarikat. 28 calon Difahamkan, MIC menyenaraikan 50 calon sebelum pemilihan 28 calon diputuskan kelak. Pada pilihan raya umum 2008, MIC bertanding di sembilan kerusi Parlimen dan 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Parti itu memenangi tiga kerusi Parlimen dan tujuh kerusi negeri. Ditanya kemungkinan berlaku pertukaran kerusi Parlimen dan DUN bagi MIC pada pilihan raya umum akan datang, Palanivel berkata parti itu bersedia untuk berbincang mengenainya. Terdahulu, Palanivel melancarkan U-Pustaka peringkat Intan yang merupakan perkhidmatan perpustakaan berkonsep pinjaman dan pemulangan buku secara dalam talian. Lapan perpustakaan dipilih sebagai anggota konsortium U-Pustaka iaitu Perpustakaan Negara Malaysia, Perbadanan Perpustakan Awam Selangor, Negeri Sembilan, Pahang, Sarawak, Sabah, Kuala Lumpur dan Intan. Ahli konsortium boleh membuat pinjaman melalui www.u-library.gov.my/ dan bahan-bahan yang dipinjam boleh dihantar ke rumah melalui kerjasama Pos Malayisa Berhad dengn bayaran berpatutan.Bernama | |||||||||
Imej UMNO 'Diharamjadahkan' Oleh NGO Pra Matang Posted: 17 May 2012 05:11 AM PDT Oleh Shahbudin Husin Sejak akhir-akhir ini nampaknya begitu galak NGO-NGO yang pro UMNO melakukan pelbagai tindakan untuk mempertahankan parti itu sejak perhimpunan Bersih 3.0 yang jelas memperlihatkan UMNO makin kesakitan untuk mengekalkan kuasanya. Dengan tujuan mengalih perhatian terhadap kebangkitan rakyat, sebuah NGO yang bernama Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia atau IKHLAS mengadakan protes jualan burger di depan rumah Pengerusi Bersama Bersih, S Ambiga atas kerugian yang kononnya mereka alami ketika perhimpunan Bersih 28 April lalu. Tidakan IKHLAS ini jelas kurang matang dan tersasar dari fakta kerana jika mereka menjalankan perniagaan pada hari tersebut,tentunya keuntungan berlipat kali ganda dapat diraih kerana ratusan ribu yang hadir dalam perhimpunan itu adalah merupakan pembeli berpotensi untuk makanan seperti burger dan air minuman. Sepatutnya mereka tidak menutup kedai pada hari tersebut, malahan menambah stok jualan. Tetapi oleh kerana IKHLAS ini tidak ikhlas untuk berniaga dan menambah rezeki tetapi lebih ghairah untuk menjadi nasi tambah dalam pergolakan politik semasa, maka mereka telah melakukan tindakan yang memalukan diri sendiri pada mata rakyat. IKHLAS sebenarnya lebih sibuk untuk menjadi NGO pro UMNO daripada melakukan sesuatu yang bermanfaat untuk ahli-ahlinya sendiri. Yang terbaru pula, susulan dariada perhimpunan Bersih juga, Persatuan Veteran Tentera Melayu atau PVTM trlah mengadakan demo "senaman punggung", juga di depan rumah Ambiga sebagai bantahan kerana kononnya tindakan Ambiga mengetuai Bersih telah merosakkan imej negara. Mengadakan bantahan dengan bersenam sambil menggoyang-goyangkan punggung adalah perbuatan lucah, tidak beradab dan keluar sama sekali daripada tata susila bangsa Melayu dan rakyat Malaysia yang matang serta beradab sopan. Haruslah difahami bahawa politik adalah perjuangan yang berteraskan akal fikiran dan kematangan. Dengan bergaya lucah dan menunjuk punggung untuk melawan perjuangan Bersih yang menuntut ilihanraya yang bersih dan adil hanya membuktikan PVTM sebuah lagi NGO pro UMNO yang tidak matang dan kebudak-budakan. Sukar mempercayai bekas askar boleh terlibat aksi sebegini. Sepatutnya kalau PVTM mahu melawan Bersih 3.0 yang berjaya menghimpunkan 300 ribu orang, mereka seharusnya menganjurkan satu perhimpunan yang boleh dihadiri oleh lebih ramai daripada itu. Tindakan PVTM mengadakan demo lucah dan biadap seramai 15 orang hanya menunjukkan mereka adalah NGO pro UMNO yang pra matang. Tiada apa-apa sumbangan mereka kepada UMNO akibat perlakuan itu. Jumlah penyokong UMNO tidak akan bertambah kerananya. Pengundi atas pagar akan lebih menjauhi UMNO kerana kebiadapan aksi yang ditunjukkan itu. Di mata rakyat gelagat NGO ini hanya berjaya "mengharamjadahkan" imej UMNO semata-mata kerana perlakuan mereka dilihat seolah-olah dinaungi serta direstui oleh UMNO dan pimpinannya. Dengan aksi yang seperti "haram jadah" yang ditunjukkan itu, sudah tentulah UMNO akan dilihat sedemikian rupa juga. Dengan pemikiran pengundi semakin kritikal sekarang ini, gelagat pra matang PVTM ini hanya menambahsukarkan lagi UMNO dan BN untuk menghadapi pilihanraya akan datang ini. Sebelum itu, dengan tujuan menyindir Azmin Ali yang didakwa terlibat dalam aksi seks sebagaimana yang diheboh-hebohkan melalui penyebaran video yang mirip dirinya, sebuah NGO tanpa nama telah mengadakan demo Duduk dan Jilat di Shah Alam sambil mengagih-agihkan aiskrim percuma sambil berpesan "jangan makan airkrim dalam tandas" kepada mereka yang sudi menerima pemberian aiskrim percuma yang entah siapa penajanya itu. Perlakuan NGO ini juga bercirikan lucah, jijik dan biadap yang bertentangan sama-sekali dengan budaya rakyat Malaysia. Meskipun NGO ini mengatakan mereka tidak memihak kepada mana-mana parti politik tetapi dengan penglibatan beberapa invividu dalam demo itu jelas sekali membuktikan mereka mempunyai kaitan yang rapat dengan UMNO dan pemimpin tertentu. Apakah manfaat yang UMNO perolehi daripada demo Duduk dan Jilat ini? Jawapannya sudah tentu kosong. Sekali lagi - kosong. UMNO sebenarnya tidak memperolehi apa-apa manfaat daripada demo ini. Sebagaimana demo "senaman punggung" di depan rumah Ambiga yang tidak menyebabkan undi UMNO bertambah dan tidak juga meyebabkan Najib akan memperolehi keputusan lebih baik dalam pilihanraya akan datang, demo Duduk dan Jilat ini juga tidak menyumbang sesuatu yang baik kepada UMNO, selain aksi dan gelagat mereka itu berjaya menjadikan imej UMNO kelihatan seperti "haramjadah" pada pandangan umum. Sebelum demo jualan burger, aksi Duduk dan Jilat serta senaman punggung, sebuah lagi NGO iaitu TIBAI telah juga dilancarkan dan kini sedang bergerak aktif mengadakan ceramah dengan sasaran menyerang peribadi Anwar Ibrahim yang dikaitkan dengan pelbagai perlakuan seks serta moral yang diragui. NGO ini yang dianggotai oleh mereka yang pernah rapat dengan Anwar dan menghentam UMNO serta Tun Mahathir suatu ketika dahulu, berbuat demikian semata-mata untuk membantu UMNO dan mengekalkan Najib sebagai Perdana Menteri. Dua orang daripada anggota kanan kumpulan ini sudah pun diberikan jawatan Senator oleh Najib iaitu Ezam Mohd Nor dan Datuk Nallakaruppan. Kesemua perlakuan dan aksi NGO ini ialah untuk membantu UMNO dalam pilihanraya akan datang. Tetapi mungkinkan UMNO menang dengan bantuan kempen yang berunsur seks, lucah, serangan peribadi, aksi biadap dan tanpa akhlak ini? Kiranya UMNO merasakan gelagat NGO-NGO terbabit sesuatu yang membanggakan dan berupaya menambahkan jumlah undi dalam pilihanraya akan datang, eloklah UMNO bermuhasabah semula sebelum menghadapi pilihanraya ini. Dengan perlakuan pra matang NGO-NGO terbabit yang lamgsung tidak memberi manfaat kepada imej UMNO selain menjadikan UMNO kelihatan lebih kotor dan "haram jadah" di mata rakyat, UMNO dan BN mungkin ditimpa bala yang lebih besar jika semua NGO ini terus bermaharalela seolah-olah mereka sayap baru UMNO dan BN serta "anak emas" Najib menjelang pilihanraya akan datang ini. Perlakuan mereka akan menyebabkan pengundi pelbagai peringkat merasa lebih jijik untuk menyokong UMNO dan BN.http://shahbudindotcom.blogspot.com | |||||||||
PRU13: Masa yang tepat, sesuai rakyat tolak BN Posted: 17 May 2012 05:01 AM PDT
PRU13 merupakan masa sesuai untuk rakyat menolak Umno-BN kerana pelbagai kepincangan telah berlaku tanpa pembaikan daripada pihak kerajaan. Ikuti pandangan Ketua Muslimat PAS Pusat, Ustazah Siti Zailah Mohd Yusuff, yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang WARTAWN: Pada pandangan YB, adakah PRU13 jadi peluang terbaik seluruh rakyat yang cintakan keadilan dan kebenaran dalam pemerintahan menyingkirkan pentadbiran BN? SITI ZAILAH: Seluruh rakyat di negara ini sebenarnya sedang menunggu-nunggu tarikh pembubaran Parlimen. Tidak ada sesiapa yang dapat memastikan dengan tepat bila PRU13 akan diadakan. Kenapa rakyat begitu tidak sabar menunggu PRU13? Ini kerana rakyat sudah tidak tahan dengan apa yang berlaku hari ini. Skandal yang melibatkan pemimpin BN semakin bertambah. Begitu juga isu rasuah, salah guna kuasa dan ketirisan yang telah mencengkam hati rakyat. Jadi PRU13 ini adalah masa yang paling baik untuk rakyat Malaysia membuat perubahan. Kita inginkan sebuah kerajaan yang bersih dan adil yang benarbenar meletak kepentingan rakyat yang menjadi keutamaan semua aspek pentadbiran. Kita tidak mahu mempunyai pemimpin yang penuh dengan skandal serta dibebani hutang yang bertimbun-timbun serta berdepan dengan pelbagai krisis. Ini kerana sekarang ini kita berdepan dengan krisis ekonomi dengan kenaikan harga barang. Begitu juga dengan kebanjiran pendatang asing dan masalah keruntuhan moral yang tidak mempunyai jalan penyelesaian. Saya amat berharap rakyat Malaysia mengambil kesempatan ini apatah lagi kita melihat kejayaan negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat yang bukan sahaja mendapat pujian rakyat bawahan. Pemerintahan Pakatan Rakyat diiktiraf baik? Laporan audit juga menunjukkan pentadbiran Pakatan Rakyat mampu membayar balik hutang-hutang yang ditinggalkan pemerintahan BN. Jadi, tidak boleh lagi BN menyatakan hanya Umno-BN yang boleh memerintah. Ini adalah kenyataan yang boleh disangkal seratus peratus. Ini kerana kita melihat bagaimana negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat dapat mentadbir negeri ke arah lebih baik. Jadi saya amat berharap rakyat dapat berfikir lebih matang dan jangan terpengaruh dengan habuan wang yang diberikan BN. Kita mesti melihat politik atau pilihan raya itu bukan semata-mata untuk mendapatkan wang. Tetapi politik negara ini harus dilihat jauh ke hadapan sama ada 20 tahun akan datang jika negara dipimpin pemimpin yang rasuah dan terlibat dengan pelbagai skandal dan dengan tidak berteraskan keadilan, masa depan anak cucu akan tergadai. Apakah masyarakat luar bandar juga sensitif dengan segala kebobrokan yang dilakukan Umno-BN ini? Pada zaman maklumat tanpa sempadan ini, ia tidak hanya terhad di kawasan bandar. Bahkan masyarakat luar bandar kini juga sudah terdedah dengan media baru. Jika mereka tidak mendapat sendiri maklumat tersebut dan tidak mahir dalam penggunaan media baru, mungkin ada maklumat yang disampaikan oleh anak-anak mereka yang menyebabkan minda mereka semakin terbuka dan mereka sudah boleh menerima penjelasan yang disampaikan. Orang kampung sekarang juga telah merasai betapa peritnya kehidupan mereka di bawah pentadbiran BN. Mereka dibebankan dengan harga barangan yang melambung, keselamatan keluarga juga tidak lagi terjamin dengan jenayah yang semakin berleluasa. Penculikan dan pembunuhan berlaku di sana sini. Media yang paling mudah menyalurkan berita mengenai isu-isu tersebut iaitu televisyen dan surat khabar. Perkara seperti ini juga sebenarnya membuatkan masyarakat luar bandar sudah pandai menilai kerana ia juga berkaitan dengan pemerintahan dalam negara. Kos hidup yang semakin meningkat di samping terpaksa membayar kos pendidikan anakanak termasuklah anak-anak yang telah tamat pengajian di IPT tetapi ibu bapa juga yang terpaksa tanggung bebanan hutang pinjaman tersebut. Sudah 54 tahun BN memerintah, banyak perkara yang dilakukan menggambarkan pengkhianatan terhadap negara seperti menghina raja, memperlekeh Islam dan menggodam orang Melayu... Ya, 54 tahun memerintah Umno-BN menyatakan akan mempertahankan kedaulatan rakyat, agama dan raja. Sebenarnya di kalangan Pakatan Rakyat tidak ada yang ingin menjatuhkan raja sebaliknya kita bersama-sama ingin membela raja, bangsa dan agama. Apabila berlaku kebanjiran pendatang tanpa izin, banyak kes kita dapati mereka mendapat MyKad dan didaftarkan sebagai pemilih. Sebenarnya inilah perbuatan khianat yang menjejaskan bangsa dan masa depan negara. Apabila negara dikuasai pendatang asing, mereka tidak akan menghormati negara kita kerana mereka tidak mengetahui apakah itu penghormatan serta kedaulatan raja. Apa yang dilakukan BN hari ini dengan memasukkan pengundi asing yang diberikan MyKad, ini secara terangan mengkhianati bangsa, agama dan negara. Sebagai contoh jika betul menghormati hak rakyat, kenapa tidak diberikan hak royalti kepada rakyat Kelantan? Sehinggakan terpaksa dibawa ke pengadilan dan rakyat Kelantan terpaksa berhujah untuk mendapatkan hak mereka yang memang sudah termaktub dalam akta yang telah digazetkan. Adakah ini dikatakan membela hak Melayu? | |||||||||
Puak ekstremis halang sokongan kaum Cina pada BN Posted: 17 May 2012 04:58 AM PDT Dr Mahathir Mohamad berkata puak ekstremis inilah yang memainkan pelbagai isu termasuk isu sensitif. KUANTAN: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata puak ekstremis Cina dilihat memainkan peranan bagi menghalang sokongan kaum itu terhadap Barisan Nasional (BN). Dr Mahathir berkata sekalipun sokongan rakyat kini semakin berpihak kepada BN dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13, sokongan kaum Cina masih dilihat sebagai penentu kepada kejayaan BN. "Undi kaum Melayu berpecah tiga (Umno, PAS dan PKR), undi (kaum) Cina jadi undi penentu, (berdasarkan fakta itu) puak ekstremis ini mahu kaum Cina memainkan peranan lebih besar (dalam menentukan hala tuju politik negara)," katanya di sini, hari ini. Beliau ditemui pemberita selepas menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan Automotif Univerisiti Malaysia Pahang, di sini. Majlis penganugerahan itu disempurnakan Canselor UMP Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada Majlis Konvokesyen Khas UMP. Tunku Aziz cukup berintegriti Dr Mahathir berkata majoriti kaum Cina di negara ini adalah dalam kalangan mereka yang berfahaman sederhana dan bukanlah ekstremis. Namun, beliau berkata puak ekstremis inilah yang memainkan pelbagai isu termasuk isu sensitif yang dilihat boleh menggugat perpaduan dan kesejahteraan yang dikecapi rakyat pelbagai kaum di negara ini. "Apabila puak ekstremis ini kata (sesuatu), dia (golongan sederhana) tak berani nak lawan," katanya. Dr Mahathir bagaimanapun yakin, pilihan raya umum ke-13 nanti akan lebih baik buat BN, berbanding pilihan raya umum pada 2008. Mengulas laporan akhbar berhubung bekas Naib Pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang didakwa cuba dirasuah sebanyak RM50,000 supaya menutup mulut dalam isu peletakan jawatannya, Dr Mahathir berkata Tunku Abdul Aziz adalah seorang yang cukup berintegriti. Dr Mahathir berkata pada peringkat awal lagi beliau agak terkejut apabila Tunku Abdul Aziz menyertai DAP. "Saya tak fikir saya ini rasis sangat. DAP kata ia bukan parti racial, tapi sebenarnya ia adalah parti kecinaan, lebih utamakan kecinaan," katanya. "Dia (Tunku Abdul Aziz) berpegang kepada prinsip yang tinggi, saya terkejut dia masuk DAP, tak nampak signifikan bila masuk DAP, bila masuk dia dapat gambaran sebenarnya," katanya.Bernama | |||||||||
Posted: 17 May 2012 04:23 AM PDT Oleh USTAZ ABDUL GHANI SAMSUDDIN ADA individu mengatakan bahawa demonstrasi Bersih 1, 2 dan 3 baru-baru ini adalah satu perjuangan yang sia-sia, antara sebab dia kata begitu atas alasan; 1. Seolah-olah mereka yang berdemo itu dianggap sebagai golongan pemberontak seperti mana yang pernah berlaku pada zaman Sayidina Othman Affan. 2. Mereka juga dianggap golongan Khawarij kerana melawan pemerintah Islam. 3. Tidak patuh dan taat kepada pemerintah dan melanggar perintah Allah seperti firman-Nya dalam ayat 59 surah an-Nisa. 4. Sepatutnya menggunakan saluran yang betul dan berbincang dengan pihak pemerintah untuk mencari penyelesaian bukannya dengan berdemo. 5. Berdemo ada pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang menyalahi Islam. 6. Berdemo banyak menimbulkan masalah kepada peniaga dan membantutkan perjalanan orang awam ke tempat masing-masing yang terperangkap di jalan raya. 7. Menjadikan negara dalam keadaan huru hara dan memusnahkan harta benda awam. 8. Niat untuk berdemo pun sudah salah kerana nak lawan pemerintah Islam. 9. Tindakan berdemo tidak menepati hikmah dalam berpolitik dan berdakwah. Persepsi dan sikap seorang Muslim dalam apa jua bidang dan isu yang dihadapi perlu menurut haluan dan tunjuk ajar ayat al- Quran dan hadis. Pendiriannya perlu diselaraskan dengan ajaran asas dan trend pemikiran umat Islam, yang terdiri daripada para alim ulama yang faqih, ikhlas, berani dan mempunyai integriti. Sebab itu setiap perkara perlu merujuk tulisan dan huraian mereka tentang hukum Islam tentang demonstrasi secara aman dan tunjuk perasaan pada umumnya; justeru mereka sebagai ilmuan syar'i berfikir mengikut urutan keutamaan atau susunan hujah yang teratur dan berurutan daripada yang maha penting kepada yang penting, kurang penting dan seterusnya. Apabila hukum sesuatu isu itu jelas berdasarkan dalil al-Quran dan hadis dalam susunan yang betul, maka setiap dalil yang lebih rendah martabatnya daripada al- Quran dan hadis ia menjadi tidak valid atau tidak berupaya menolak dalil yang lebih tinggi martabatnya dalam susunan logika agama. Lebih-lebih lagi jika alasan yang dianggap sebagai hujah tersebut boleh ditolak dan ditangkis dengan logika kontra. Dasar politik dan syura dalam Islam – umpamanya – menegaskan tentang wajibnya pelaksanaan hukum syari'at, wajibnya menobatkan keadilan, membanteras kejahatan, kezaliman, rasuah, penipuan, kemurtadan, penjajahan. Oleh itu setiap Muslim mesti menyelaraskan diri dengan tuntutan utama tersebut. Amar makruf dan nahi munkar adalah suatu kewajipan agama. Pelaksanaannya dalam konteks kehidupan hari ini mestilah berdasarkan kefahaman tentang tuntutan agama yang menyeluruh dan lengkap. Apakah yang dimaksudkan dengan pemerintahan Islam yang sebenarnya. Apa kepincangan, kebobrokan kezaliman , rasuah, penipuan yang sedang berlaku hari ini. Apakah bentuk-bentuk perjuangan yang terbuka dan tindakan yang boleh digarap. Apa urutan keutamaan dan yang lebih penting dan mendesak untuk ditangani dan sebagainya. Dalam urutan berfikir seperti yang tertera dalam soalan di atas terdapat kesalahan yang jelas dan sifat berfikir secara rancu atau semberono. Hujah pertama adalah hujah akal dengan menyamakan orang yang demonstrasi secara aman sebagai Bughah atau pemberontak yang sempat membunuh Khalifah ketiga Islam iaitu Sayidina Othman pada suatu masa dahulu. Mendahulukan hujah ini membayangkan kesilapan qias atau tasybih. Pertama orang yang berdemo secara aman untuk menuntut keadilan dan kebersihan pilihan raya tidak keluar untuk membunuh mana-mana menteri atau malah polis. Hujah kedua mengandungi kekaburan persepsi tentang pemerintahan Islam dan penyamaan orang yang berdemonstrasi secara aman dengan pemberontakan golongan Khawarij yang keluar dengan pedang dan senjata untuk menggulingkan Syaidina Othman 14 kurun yang silam. Pemerintahan Islam mempunyai ciri asas yang terperinci seperti yang telah dihuraikan oleh para alim ulama. Sudah pasti sebuah pemerintahan Islam yang sebenar tidak akan merangkum atau membenarkan berbagai jenis kezaliman, salah urus, penderhakaan terhadap syariat, penipuan dan rasuah yang buruk seperti sekarang. Hujah ketiga seolah-olah mahu mendangkalkan kefahaman orang ramai tentang ketaatan kepada pemerintah. Dalam ajaran Islam terdapat prinsip ketaatan kepada Ulil Amri atau pemerintah Islam dengan ciri-ciri yang telah dihuraikan dengan panjang lebar dalam kitab-kitab khusus yang membicarakan tentang pemerintahan Islam yang sebenar. Dalam Islam juga terdapat konsep: "Tiada ketaatan kepada mahkluk dalam perkara yang bercanggah dengan arahan Khaliq (Allah)." Dalam konteks demonstrasi para pemimpin Bersih berhujah dan bersandarkan kepada asas dalil dan persepsi yang betul tentang syariat justeru yang ikut bersetuju dan menyertai demonstrasi itu adalah tokoh-tokoh ulama, cendekiawan Islam, golongan bijak pandai dan berbagai-bagai lapisan kepimpinan NGO ternama yang Muslim dan bukan Muslim. Ayat 59 Surah an Nisa' yang diselitkan dalam hujah ketiga diletakkan kepada posisi berhujah yang mahu memperkukuh persepsi akal dalam premis yang pertama dan kedua. Kesimpulan 'aqli melulu mahu ditopang dengan ayat al-Quran. Padahal ayatlah yang perlu diutamakan dalam berhujah. Ayat yang seharusnya diutamakan ialah ayat dan hadis yang berkaitan dengan amar makruf dan nahi munkar. Ayat al-Quran mesti didahulukan dalam membentuk tasauwur kulli dan asas dalam menanggapi sesuatu isu. Hujah keempat ialah suatu kesimpulan akli yang berkaitan dengan urutan keutamaan yang dianggap lebih betul oleh orang berkenaan. Hujah ini sudah ditangkis oleh tokoh-tokoh yang berdemonstrasi bahawa mereka sudah banyak kali menyuarakan tuntutan supaya kerajaan mereformasikan sistem pilhan raya yang tidak demokratik tersebut, membersihkan daftar pengundi, menghapuskan undi pos kecuali dalam kadar yang sangat mendesak dan berbagai-bagai lagi ketidak adilan yang sudah dilakukan namun hingga kini tiada sahutan yang sebenarnya daripada pihak yang bertanggungjawab. Respons yang dijanjikan hanyalah sekadar penggunaan peti undi yang lutsinar dan penggunaan dakwat hitam sebagai penanda. Sebenarnya melindungi kemerdekaan rakyat, kebebasan dan kedaulatan umat untuk menentukan corak dan bentuk kepimpinan negara adalah suatu kewajipan asas rakyat dan umat Islam khasnya. Perkara ini kini boleh direalisasi pada peringkat utamanya dengan mengadakan demonstrasi besar-besaran; mendesak kerajaan agar mematuhi tuntutan rakyat tersebut. Hujah kelima adalah alasan sampingan yang bertaraf tambahan. Hujah ini tidak menyatakan hukum mengadakan pelbagai jenis pesta maksiat, pesta sukan dan hiburan yang dianjurkan oleh kerajaan yang mengandungi percampur-bauran remaja lelaki dan perempuan, adegan maksiat dan sebagainya. Kalaupun mahu diraikan hujah ini namun ia boleh dijawab dengan alasan bahawa yang hadir demonstrasi pada asasnya bukanlah golongan remajawalaupun mereka juga hadir bersama, yang ramai hadir adalah golongan dewasa yang sudah berumur, beranak dan bercucu yang datang bukan untuk mencari hiburan tetapi memperjuangkan hak rakyat, kebebasan dan demokrasi yang sebenar. Mereka adalah golongan yang celik agama, celik ilmu dan celik politik. Mereka tahu batasan halal haram. Oleh itu percampuran yang dilingkari dengan kesedaran mengenai tanggungjawab dengan menghadapi risiko yang tinggi dari segi keselamatan; iaitu risiko dianiaya oleh pasukan keselamatan adalah dimaafkan demi melaksanakan kewajipan yang lebih utama dan 'viable'. Tidakkah tawaf, wuquf di Arafah dan malah solat juga mengandungi unsur percampuran lelaki dan perempuan namun ia dibenarkan justeru dilingkari dengan tatacara khusus dan ditopang oleh konsep 'Umum al Balwa" di samping semangat kesedaran agama yang tinggi. Hujah keenam berdemo menjejaskan peniaga dan mengganggu perjalanan orang ramai. Hujah akal ini boleh dijawab dengan hujah akal kontra. Pertama tidak terbukti bahawa kalangan orang berdemonstrasi pergi menggarung, merompak dan merampas barang jualan peniaga. Malah merekalah yang memakmurkan warung, dan membeli belah barangan yang dijual oleh penjaja dan kedai-kedai yang ada di lokasi laluan orang yang berdemonstrasi tersebut. Unit Amal yang ikut bersama mengatur perjalanan demonstrasi telah memastikan keselamatan, kebersihan dan ketertiban peserta demonstrasi tersebut. Mereka tidak menutupi seluruh laluan, tetapi mengambil sebahagiannya untuk memberi laluan kepada kenderaan. Kecuali di persekitaran berdekatan dengan Dataran Merdeka di mana jalan rayanya yang terpaksa ditutup kerana bilangan orang ramai yang berjumlah ribuan. Itu pun dalam masa satu atau dua jam sahaja. Yang mengadakan sekatan jalan raya, menyempitkan lebuh raya yang lapang dari tiga laluan menjadi satu sejak pagi hingga petang dan di seluruh persimpangan penting dengan menimbulkan kesesakan yang tidak perlu dan membazirkan minyak petrol kereta orang ramai kerana ketakutan yang dibuat-buat, menyembur asid dan menembak gas pemedih mata kepada orang ramai yang ingin keluar daripada Masjid Jamek atau Masjid Negara Kuala Lumpur selepas solat Zuhur. Ini bukan tindakan orang yang berdemonstrasi tetapi ialah oleh pihak keselamatan yang terlalu mengikut arahan bermuslihat pasti BN atau Umno. Sudah sampai masanya agar dibuat ketentuan berkanun bahawa sekatan jalan raya hanya boleh diadakan atas alasan keselamatan negara yang mendesak dan munasabah. Sekatan jalan raya tidak boleh diadakan secara sebarangan dan sewenang-wenang; khasnya bila terdapat ceramah atau perhimpunan golongan parti pembangkang. Parti pembangkang dan penyokong mereka adalah rakyat Malaysia yang sah dan mempunyai hak yang sama dengan para pengikut parti yang memerintah. Gerakan politik demokrasi mereka bukan suatu ancaman kepada negara untuk diadakan sekatan yang menyusahkan orang ramai. Rakyat mesti menuntut sikap berkecuali, sifat integriti dan adil daripada pihak keselamatan atau pihak polis. Mereka atau pihak polis pula wajib memberikan permit untuk berdemonstrasi secara aman kepada semua parti yang sah sebagai bukti wujudnya amalan demokrasi yang sihat di negara ini dan tidak hanya memberikan permit dan perlindungan kepada para demonstran anjuran Pemuda Umno atau BN sahaja di Dataran Merdeka dan lain-lain. Kemerdekaan dan Dataran Merdeka adalah milik semua rakyat yang merdeka. Hujah ketujuh menekankan tentang kemusnahan harta awam dan negara menjadi huru-hara dengan demonstrasi aman. Ini pun alasan yang salah justeru demonstrasi aman yang telah menjadi pendekatan kumpulan Bersih yang dianggotai oleh berpuluh-puluh NGO masyarakat madani adalah perhimpunan yang berjalan secara aman dan bersih. Malah tidak bercadang pun untuk menimbulkan keadaan huru-hara dalam negara. Apa yang akan menjadi sebab huru-hara ialah ketidakadilan, kezaliman, kekerasan terhadap rakyat, penipuan dan rasuah yang dibiarkan membiak secara berleluasa; hal mana akan berakhir dengan kehilangan dan kemusnahan harta, keamanan dan keselamatan negara umumnya. Hujah kelapan bahawa niat untuk berdemo pun salah kerana menentang pemerintah Islam. Hujah ini meleset kerana yang ditentang bukan pemerintah Islam tetapi adalah kezaliman, korupsi, ketidakadilan, kemungkaran dan amalan salah guna kuasa yang wajib ditentang menurut ajaran Islam. Hujah yang bertolak daripada pemikiran serkap jarang dan rambang tidak boleh berdiri dan tegak dari sudut pemikiran akal waras dan syara'. Apakah nas dan hadis yang mengharamkan penentangan terhadap perkara mungkar tersebut untuk dibuat kesimpulan bahawa demonstrasi aman - yang menjadi salah satu cara menyatakan perasaan dan sikap tidak setuju rakyat kepada semua kejahatan tersebut - sebagai haram; meskipun sekadar niat untuk berdemonstrasi? | |||||||||
Bukti Umno ‘parti tua’ penaja keganasan Posted: 17 May 2012 04:16 AM PDT TANGGAL 4 Mei, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) telah mula mengumpul dukungan pertubuhan anak muda dan mahasiswa untuk sama memperakui satu memorandum yang akan dihantar ke Bukit Aman pada 7 Mei 2012. Memorandum itu berkenaan dengan desakan untuk PDRM segera mengambil tindakan terhadap anggota mereka yang terlibat dengan jenayah dan salah laku pada 28 April 2012 ketika mengendalikan Himpunan Rakyat terbesar dalam sejarah negara iaitu Bersih 3.0 Jemputan kepada media telah dibuat kepada media dan pihak PDRM seawal Ahad (6 Mei). Namun pada pagi Isnin (7 Mei) kami dimaklumkan beberapa front Umno secara bertungkus lumus saat akhir cuba mengumpulkan orang untuk kononnya berdiri terpacak depan Bukit Aman untuk membaca ikrar taat setia. Sesuatu yang pelik dan mengundang senyuman sinis. Sebenarnya tidak lain dan tidak bukan cuma mahu mengganggu proses penghantaran memorandum yang kami rancang. Mengetahui perancangan mereka yang mahu mencipta suasana pergaduhan maka kami membuat keputusan untuk pergi dengan bilangan kecil yang lebih sedikit untuk mengelakkan pertembungan dan mahu menumpukan kepada isu sebenar. Selebihnya kami pulangkan kepada kemampuan dan kebijaksanaan polis mengawal ibu pejabat mereka. 7 Mei 2012, 2.40 petang tiba di depan Bukit Aman, sememangnya kelihatan ramai orang Umno ada dalam lebih 70 orang yang berkumpul dekat tandas tempat letak kereta hadapan Bukit Aman. Kami cuma hadir sekitar tujuh orang sahaja. Sebaik turun kereta wartawan meluru, sebaik memberitahu wartawan sidang media selepas penyerahan memorandum maka saya terus berjalan dari tempat letak kereta menuju ke hadapan pintu masuk Bukit Aman. Ketika kami menghampiri pintu Bukit Aman kami diserbu oleh berpuluh orang Umno yang diketuai oleh salah seorang Exco Pemuda Pusat mereka. Polis minta kami berhenti dahulu, kami akur tetapi orang orang Umno, malah ada yang menggigil seperti 'menurun' terus memaki hamun. Kami telah sedia untuk situasi ini hanya tersenyum melihat gelagat mereka. Seperti yang kami jangka polis 'terpaksa' akur dan berlembut dengan kumpulan Umno kerana mereka ini semua berlindung di sebalik menteri rejim penguasa. Hadir ACP Ramli memperkenalkan diri wakil dari Bukit Aman untuk menerima memorandum tersebut. Tidak mempedulikan Umno yang terjerit terlolong saya fokus untuk menerangkan kepada wakil Bukit Aman mengenai memorandum yang mewakili 29 pertubuhan anak muda/mahasiswa tersebut. Memorandum diterima dan salinan penerimaan telah ditandatangani oleh ACP Ramli. Umno terus terjerit-jerit tanpa menghormati kehadiran wakil Bukit Aman. Selepas memorandum diserahkan, satu sidang media ringkas telah dilakukan di depan Bukit Aman dalam keadaan kumpulan Umno masih terjerit terlolong. Tahniah SAMM ucapkan kepada kelompok Umno tersebut yang terjerit, terlolong dan menggigil seperti menurun serta bertindak kasar dengan anggota polis di hadapan Bukit Aman kerana anda semua telah menyerlahkan lagi sikap Umno itu sebagai parti politik lama lagi tua yang gagal berhujah. Kami juga merakamkan simpati kepada anggota polis yang dipaksa akur dengan kekurang ajaran Umno semalam sehingga mereka sendiri gagal mengawal hadapan ibu pejabat mereka. Saya dapat melihat bagaimana polis begitu 'geram' dengan kurang ajar Umno yang mencaci maki tetapi apakan daya mereka semua berlindung di sebalik kuasa rejim penguasa. Perlu ditegaskan SAMM dan organisasi anak muda serta mahasiswa ini tidak sama sekali anti PDRM kami cuma anti keganasan beberapa anggota polis. Sebab itu apabila berlaku keganasan,kami masih komited untuk membuat laporan polis dan bukannya bertindak membelakangi polis. Kami tetap yakin dan percaya negara memerlukan sebuah pasukan polis yang berintegriti dan dihormati. Kami juga menyedari polis dalam banyak keadaan dipaksa bertindak atas telunjuk rejim walaupun dalam banyak keadaan mereka tidak reda. Apa yang kami lakukan ialah membantu mendesak ke arah mewujudkan sebuah institusi keselamatan yang unggul demi masa depan negara. Tidak kira siapa memerintah, walaupun parti yang menguasai rejim tewas PDRM seharusnya bertindak berdasarkan keperluan perundangan dengan memahami konsep keadilan dan kemanusiaan yang | |||||||||
S. Murugessan dan MIC Perlu Tumpu Soal Hak-hak dan Kepentingan Masyarakat India Posted: 17 May 2012 04:11 AM PDT Editor Buletin Saya merujuk kepada berita yang disiarkan Sinar Online "Hudud: MIC mahu PR buat pendirian jelas". Saya menasihatkan Setiausaha Agung MIC, S.Murugessan dan parti MIC supaya memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan hak-hak dan kepentingan masyarakat India di negara ini, yang menjadi lebih utama pada masa kini. Bagi saya dan kebanyakkan masyarakat India, samada Hudud itu dilaksanakan atau tidak, ia tidak ada kena mengena dan kaitan dengan hak-hak dan kepentingan kita. Ia tidak akan meninggalkan sebarang kesan keatas sosial ekonomi masyarakat India kerana ia adalah isu yang berkaitan dengan masyarakat Islam. Murugessan dan MIC perlu mengambil berat soal lebih 240,000 kaum India yang tidak memiliki kad pengenalan dan bukan kerakyatan, lebih utama dari mempersoalkan tentang samada hudud akan dilaksanakan atau tidak. Murugessan dan MIC sebagai sebuah komponen parti pemerintah yang kononnya memperjuangankan nasib masyarakat India, perlu memastikan tidak ada kaum India yang merempat kerana ketiadaan rumah (homeless). Murugessan dan MIC juga, perlu berusaha bersungguh-sungguh memastikan anak bangsa Malaysia dari masyarakat India tidak keciciran dalam melanjutkan pelajaran mereka kerana tidak ada bantuan pelajaran atau pun biasiswa. Sebanyak RM93.2 bilion telah dibelanjakan sejak 2009 untuk bidang pendidikan Negara tetapi hanya RM2 bilion sahaja yang diperuntukkan untuk kaum India. Sepatutnya, masyarakat India mendapat bahagian sekurang-kurangnya 10% daripada peruntukan itu sebanyak RM9.3 bilion bukannya hanya mendapat RM2 bilion sahaja. Berbalik kepada soal hukum Hudud, saya menasihatkan Murugessan memperdalamkan ilmu dan belajar tentang hukum tersebut terlebih dahulu sebelum mengeluarkan pelbagai komen. Sekiranya, beliau tidak mempunyai masa kerana terlalu sibuk mengejar projek dan pangkat, beliau boleh memanggil saya dan saya bersedia pada bila-bila masa untuk memberi tunjuk ajar kepada beliau tentang hukum hudud. Jangan berkata perkara yang beliau tidak ketahui kerana ia akan mengundang kemurkaan Tuhan! Dr. Balachandran Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Negeri Terengganu 17hb Mei, 2012 | |||||||||
GOYANG PUNGGUNG" TIDAK BOLEH SELESAIKAN MASALAH WARGA TENTERA DAN BEKAS TENTERA Posted: 17 May 2012 03:59 AM PDT Sumber: Kobatpkr.blogspot Amat memalukan warga tentera dan bekas tentera. Bagaimana seorang yang kononnya bergelar bekas tentera yang sepatutnya terlatih dengan disiplin dan berani, boleh melakukan perbuatan biadab, jijik dan tidak senonoh di hadapan rumah orang lain? Apakah ini `standard' bekas tentera yang dilatih selama 21 tahun? Kebodohan pemimpin Persatuan Veteren Tentera Melayu (PVTM), Mohd Ali Baharom yang dahulunya pernah mengaku `membeli' gelaran Dato' itu sedikit sebanyak memalukan keseluruhan warga tentera dan bekas tentera. Sekiranya beliau sememangnya kuat mengampu semenjak dari dalam tentera sehingga ke pencen, perbuatan beliau mengetuai `senaman punggung' yang tidak beradab itu di hadapan perkarangan rumah S.Ambiga tidak boleh dimaafkan oleh warga tentera dan bekas tentera. Malu untuk mengaku mereka ini adalah `bekas tentera' Tentera telah dilatih dengan sifat berani dan berdisiplin. Jika Mohd Ali bukan seorang bekas tentera yang bacul dan dayus, beliau tentunya berani mencabar S.Ambiga untuk berhujah secara ilmiah tentang apa yang beliau tidak bersetuju dengan tindakan S.Ambiga. Mengapa beliau begitu bacul untuk berdepan dengan seorang wanita separuh umur ini? Di mana keberanian sebagai seorang bekas tentera malahan menjadi pemimpin kepada PVTM? Bacul yang takut untuk berdepan secara anak jantan dengan S.Ambiga Di mana disiplin yang diajar sewaktu beliau berada di dalam tentera? Adakah sepanjang perkhidmatannya beliau telah dilatih untuk menjadi seorang yang kurang ajar? Kami dari KOBAT, malahan puluhan ribu dari bekas-bekas tentera tidak merasa sedikit pun megah dengan hanya aksi `goyang punggung' di hadapan seorang wanita untuk membuktikan `kejantanan' bekas tentera. Hanya pondan di lorong-lorong atau seorang yang bacul sahaja yang suka menggoyang-goyangkan punggung dan ianya amat menjijikkan. Semua tahu ribuan bekas tentera malahan terdapat warga tentera sendiri dengan berani dan penuh disiplin hadir ke Perhimpunan BERSIH 3.0 yang lalu. Kami diasuh dari tentera menjadi berani walaupun kami tahu akan berhadapan dengan risiko yang terbukti sememangnya berlaku. Kami tidak bertindak seperti PVTM yang hanya menjadi pengampu sang rejim dan mencari publisiti murahan seperti yang telah PVTM lakukan itu. Menggoyangkan punggung tidak boleh menyelesaikan masalah bekas-bekas tentera yang masih ramai merempat. Tidak cukup dengan hanya goyangkan punggung untuk mengurangkan harga minyak dan barang-barang keperluan yang membebankan kehidupan warga tentera dan bekas tentera. Kami berjuang untuk kepentingan semua warga tentera dan bekas-bekas tentera. Kami tidak bercadang untuk menggoyangkan punggung di hadapan rumah Najib dengan disaksikan oleh Rosmah kerana ianya tidak akan menyelesaikan masalah negara ini yang semakin menuju ke tahap negara bankrap. Sehubungan itu, KOBAT menyeru kepada seluruh warga tentera dan bekas tentera agar bersama-sama untuk melakukan perubahan di dalam PRU akan datang. Kita tidak boleh dimalukan lagi oleh spesis-spesis jijik yang menggunakan nama bekas tentera untuk mengampu sang rejim demi untuk perut-perut mereka, sedangkan warga tentera dan bekas-bekas tentera terus terabai dengan janji demi janji. | |||||||||
Mahathir Tabur Baja Untuk Suburkan Kebencian Umum Kepadanya Posted: 17 May 2012 03:50 AM PDT Itu bekas PM Mahathir Mohamad sensitif sangat dengan bau ketiak orang yang tidak menyokong partinya tetapi mati deria bau dengan ketiak agensi atau pun orang menjadi cina buta kepada parti Umno. Semalam dia mengkritik Majlis Peguam yang kononnya banyak bercakap mengenai politik dan bukan soal profesionnya. Semua boleh ditenguk dan ditilik apa yang sedang berlaku. Polis, SPR, DBKL dan segala macam agensi kerajaan yang seharusnya tegak di atas prinsip undang-undang sebagai badan awam dan tidak berpihak, tidak pun ditegur Mahathir walaupun badan-badan berkenaan jelas berat sebelah atau cenderong kepada Umno. Kalau Mahathir cuba hendak menunjukkan dia seorang yang adil beliau harus menegur sama pihak-pihak lain yang memberi sokongan paksa kepada Umno. Segala macam kemudahan kerajaan dan agensinya digunakan untuk Umno. Lori, kereta, motor kerajaan pun digunakan untuk menyokong Umno. Ambulan yang digunakan untuk mengangkutkan orang sakit juga dicabuli Umno. Pegawai kerajaan yang tidak berdosa atau menyertai Umno juga diheret macam mengheret kuda ke luat untuk berada dalam majlis Umno. Apakah ada kritikan daripada Mahathir? Tidak ada apa-apa komen dari Mahathir. Kedua biji mata Mahathir buta dari situasi itu dan seluruh indranafasnya juga tepu dan mati dari segala itu. Selaku negarawan Mahathir sepatutnya waras dalam hal ini. Dia seharusnya telah melepaskan negara ini kepada rakyat dan Umno tidak perlu lagi dicampuri olehnya. Cukuplah 22 tahun menjadi PM. Mahathir mungkin terkilan kalau orang terkedu dan mengkritiknya atas perbuatannya itu, tetapi beliau harus sedar kemarahan dan kritikan umum kepadanya itu kerana sikap dan stail beliau juga. Perasaan syok sendiri, merasa pandai dari orang lain menyebabkan Mahathir menjadi tidak relevan mirip-mirip sudah nyanyuk. Tindakan membela Umno dengan meneruskan tektik dan strategi diguna sebelum ini menggunakan polis dan badan awam lain memburukkan lagi Umno. Gara-gara itu walaupun sesetengah teguran dan pandangan Mahathir benar, tetapi orang tidak akan mempercayainya, maka jadilah segala teguran dan kritikan itu baja untuk menyuburkan kebencian umum kepada bekas PM itu | |||||||||
Ambiga akan cabar perintah majistret tutup Dataran Posted: 16 May 2012 10:57 PM PDT Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Datuk S Ambiga akan mencabar kesahihan perintah majistret yang membenarkan Dataran Merdeka ditutup pada 28 April lalu. Menurut Ambiga, tindakan polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menghalang himpunan itu diteruskan berdasarkan dua peruntukan undang-undang berbeza menimbulkan isu perundangan yang boleh dipersoal. "Saya akan memohon untuk mencabar perintah itu kerana saya dinamakan dalam perintah itu. "Saya akan mohon untuk mengenepikannya atau mengisytiharkannya batal dan tidak sah. "Ramai orang (peserta BERSIH) didakwa kerana perintah itu," katanya. Permohonan untuk mencabar keputusan tersebut akan difailkan secepat mungkin, kata Ambiga tanpa memperincikan tarikh tersebut. Sehari sebelum himpunan BERSIH 3.0 berlangsung, Ambiga menerima satu perintah mahkamah dari Mahkamah Majistret Kuala Lumpur melarangnya, penganjur BERSIH dan orang awam dari memasuki Dataran Merdeka bermula 28 April hingga 1 Mei. Perintah itu dipohon Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Majistret Zaki Asyraf Zubir membenarkan permohonan ex-parte itu dengan alasan BERSIH 3.0 "akan meneruskan himpunannya tanpa kelulusan dari DBKL atau memaklumkan Ketua Polis Daerah Wangi". | |||||||||
CIJ: Liputan politik akhbar TheSun paling neutral Posted: 16 May 2012 10:50 PM PDT Akhbar theSun secara perbandingannya, memberi liputan politik yang paling neutral di kalangan empat lagi akhbar utama, berdasarkan kajian oleh Pusat Bagi Kewartawanan Bebas (CIJ). Dalam Laporan Kebebasan Bersuara 201, CIJ memperincikan pemantauannya ke atas empat akhbar - New Straits Times (NST), The Star, Utusan Malaysia dan theSun - untuk membandingkan liputan mereka untuk BN dan Pakatan Rakyat. Daripada empat akhbar tersebut, hanya theSun, yang diedarkan percuma, memberi liputan positif kepada Pakatan manakala tiga akhbar lagi hanya memberi liputan negatif atau neutral kepada pakatan pembangkang. Ia juga merupakan satu-satu akhbar yang memberi BN beberapa liputan negatif, manakala tiga akhbar lagi hanya memberikan liputan positif atau neutral kepada parti pemerintah. Secara keseluruhannya, akhbar-akhbar berkenaan menyebelahi BN - dari segi liputan serta gambaran positif mengenai kerajaan. NST paling banyak menyebut BN, dalam 95 peratus beritanya, dengan The Star dan theSun masing-masing 89 peratus dan 90 peratus. Dua pertiga daripada liputan mengenai BN dalam NST dan The Star adalah positif, dengan baki satu pertiga neutral. Hanya theSun memberikan liputan lebih neutral daripada positif kepada BN, dengan 44 peratus berita mengenai BN yang mempunyai sudut positif dan 52 peratus lagi merupakan liputan yang neutral. Menariknya, Utusan Malaysia memberikan liputan paling luas kepada Pakatan, dengan 54 peratus daripada beritanya menyebut Pakatan. Bagaimanapun, 77 peratus liputan mengenai parti-parti pembangkang itu adalah berunsur negatif. | |||||||||
19 Jun untuk dengar permohonan batal pembelaan Nalla Posted: 16 May 2012 10:49 PM PDT MALAYSIA KINI Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 19 Jun untuk mendengar permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membatalkan pernyataan pembelaan Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MUIP)Datuk S.Nallakaruppan berhubung saman fitnah yang mengaitkan Anwar dengan penerimaan wang RM60 juta. Timbalan Pendaftar Fatimah Rubi'ah Ali menetapkan tarikh tersebut di dalam kamar dengan dihadiri peguam Latheefa Koya yang mewakili Anwar dan peguam Nurul Nabila Zamri (bagi pihak peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah) mewakili Nallakaruppan. Latheefa memberitahu pemberita bahawa pada tarikh itu, kes saman tersebut akan didengar di hadapan Hakim Datuk Su Geok Yiam. Latheefa berkata Anwar membuat permohonan membatalkan pernyataan pembelaan Nallakaruppan kerana mendakwa ia remeh, penafian semata-mata dan menyalah guna proses mahkamah. Anwar yang juga Ketua Pembangkang memfailkan saman itu pada 25 Ogos 2008 berhubung artikel bertajuk 'Anwar terima RM60 juta' yang disiarkan akhbar Mingguan Malaysia dan Sinar Harian sekitar Ogos 2008, kerana mendakwa Nallakarupan bercakap sesuatu yang tidak benar mengenainya (Anwar). Dalam pernyataan pembelaannya pula, Nallakaruppan berkata beliau tidak berniat jahat ketika mengeluarkan kenyataan itu dan berada dalam perlindungan bersyarat.- Bernama | |||||||||
Malaysiakini ungguli laporan keganasan dalam BERSIH Posted: 16 May 2012 10:37 PM PDT Antara lima organisasi media utama, Malaysiakini paling banyak melaporkan dakwaan keganasan semasa BERSIH 3.0, terutamanya apabila peserta perhimpunan itu dan wartawan menjadi mangsa, menurut Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ). Kajian dua hari oleh NGO pemantau kebebasan media itu mempertimbangkan jumlah laporan - termasuk laman editorial dan ulasan - daripada Malaysiakini, theSun, The Star, New Straits Times dan Utusan Malaysia, dua hari selepas perhimpunan 28 April. Laporan itu kemudian dikategorikan berdasarkan sama ada wartawan diserang disebut, peserta yang diserang polis, wartawan yang diserang peserta atau polis yang diserang peserta. Laporan yang menyebut individu tercedera tanpa menyebut pelakunya dikecualikan. Didapati Malaysiakini menyebut laporan serangan terhadap wartawan dan peserta oleh polis sebanyak 17 kali, serangan terhadap polis 12 kali dan terhadap juruvideo TV al-Hijrah Mohd Azri Mohd Salleh oleh peserta sebanyak lapan kali. | |||||||||
Posted: 16 May 2012 10:36 PM PDT MALAYSIA KINI Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar adalah antara 316 penerima darjah dan pingat kebesaran sempena ulang tahun keputeraan ke-69 Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail. Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berkata Ismail akan menerima anugerah Darjah Seri Paduka Mahkota Perlis (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri. Turut menerima SPMP ialah bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah dan Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia Datuk Ir Mohd Noor Yaakob. Bercakap dalam sidang media khas di pejabatnya semalam, Md Isa berkata Komander Angkatan Tugas Bersama 2, Kem Kukusan Tawau, Sabah, Brig Jen Mohd Ezam Wan Chik merupakan penerima tunggal anugerah Darjah Dato' Paduka Mahkota Perlis (DPMP) yang membawa gelaran Datuk. Tuanku Syed Sirajuddin juga berkenan menganugerahkan Darjah Dato' Panglima Sirajuddin Jamalullail (DPSJ) yang membawa gelaran Datuk kepada lima penerima. Mereka ialah anak saudara Raja Perlis, Datin Tengku Shireen Tengku Sulaiman, bekas Pengerusi Jemaah Tertinggi Bakat Udara Tengku Puan Sri Elena Tengku Kamarul Zaman, Pengarah Quantum-Ed Sdn Bhd Tengku Datin Seri Zalila Tengku Kamarulzaman, Pakar Bedah Mulut, Hospital Kuala Lumpur Dr Wan Mahadzir Wan Mustafa dan Pengarah Hospital Tuanku Fauziah Kangar Dr Ahmad Nordin Mohd Jais. Bekas Mufti Negeri Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula ialah penerima tunggal anugerah Dato' Bergelar apabila dikurnai anugerah gelaran Datuk Arif Perkasa. Md Isa berkata tujuh orang akan menerima darjah kebesaran Setia Mahkota Perlis (SMP), 18 orang menerima Seri Sirajuddin Perlis (SSP) dan 27 orang menerima pingat Ahli Mahkota Perlis (AMP). Selain itu, 63 orang menerima Pingat Mahkota Perlis (PMP), 107 menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK), 66 menerima Pingat Jasa Baik (PJB) dan 18 orang menerima Pingat Perkhidmatan Lama (PPL). Beliau berkata majlis penyampaian anugerah dan pingat akan dilakukan secara berperingkat dengan siri pertama akan berlangsung di Istana Arau hari ini.-- Bernama | |||||||||
Amaran 'perang siber' pada media baru Posted: 16 May 2012 10:35 PM PDT Pemantau kebebasan media Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) meramalkan kerajaan berusaha ke arah lebih banyak "langkah-langkah ekstrim" untuk mengawal Internet dan media baru dalam tahun-tahun mendatang. "Dalam berdepan dengan platform atas talian yang jauh lebih bebas, kerajaan jelas cuba menggunakan muslihat kawalan lebih luas dan berpengaruh," rumus NGO itu dalam laporan Kebebasan Media 2011. Perkara ini, tambahnya, sejajar dengan kaedah tradisional seperti Akta Mesin Cetak Penerbitan dan Akta Hasutan untuk mengawal media menggunakan kaedah sama sejak beberapa dekad. Laporan itu juga menyebut tidak dapat dilihat sebarang bukti bahawa BN komited menghormati dan mempertahankan kebebasan media dan kebebasan bersuara, walaupun mendakwa sebaliknya. Malah, terdapat lebih banyak percubaan untuk menyekat kebebasan dan memperluaskan lingkungan kawalan kerajaan. | |||||||||
Posted: 16 May 2012 10:33 PM PDT MALAYSIA KINI Anak lelakinya Mohamad Fadzullah Abdul Razak antara tahanan yang melancarkan mogol lapar bagi menuntut kebebasan daripada penjara Kamunting ekoran pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).Berbaju kurung motif bunga-bunga dan bertudung putih bersih, Hadijah CP Veeravu, 51, kelihatan tenang berbicara tentang keadaan anaknya. Tetapi selepas ditanya berhubung mogok itu, suaranya bergetar. Namun, dengan keyakinan teguh, ibu kecil itu berkata, beliau tidak akan sesekali menasihatkan Fadzullah, 30, menamatkan mogok kerana mereka menaruh harapan yang tinggi untuk kebebasan. Surat-surat Fadzullah, yang ditulis seminggu sekali sebelum terhenti baru-baru ini, berbaur antara keceriaan dan kepiluan. Sejurus selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pemansuhan ISA, Fadzullah menulis: "Sekarang ini banyak betul gosip. Masing-masing dok meneka bila bebas. Umum nak mansuh, tapi tak mansuh lagi. Sabar je la. Ada rezeki tak ke mana. Insya-Allah." | |||||||||
Wanita dakwa ditembak gas di paha dari dekat Posted: 16 May 2012 10:31 PM PDT Pang Choy Wan, 27, mendakwa polis mensasarkannya sewaktu dia berada di Jalan Yap Ah Loy di Kuala Lumpur selepas bersurai daripada himpunan itu. "Jarak saya dan kumpulan polis hanya kira-kira 10 meter," kata Pang selepas membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah (IPD) Petaling Jaya pagi tadi. | |||||||||
'Senaman punggung' seksis, kritik Ambiga Posted: 16 May 2012 10:30 PM PDT "Ia seksis... mentaliti buli," katanya sambil menyifatkan ia dilakukan kerana beliau seorang wanita, Dalam wawancara dengan Malaysiakini semalam, Ambiga berkata, tindakan itu juga melanggar ruang peribadinya. "Jika kamu lihat bahagian tertentu dalam video, ia mengganggu. Sepuluh lelaki berdiri di depan rumah seseorang, kamu fikir apa? Saya rasa ia peri laku yang mengejutkan," selar Ambiga. Kelmarin, sekumpulan 15 orang bekas tentera daripada Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) mengadakan senaman aneh depan rumah Ambiga di Bukit Damansara dengan dengan membongkok dan menggoyang-goyangkan punggung. | |||||||||
Annuar: 'FAM, tunjuk apa salah saya' Posted: 16 May 2012 10:26 PM PDT TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa, yang digantung dua setengah tahun dan semalam diberi amaran oleh badan itu, mempersoalkan 'tindakan terbaru' dikenakan ke atas beliau. "Di mana salahnya?" soal Annuar dalam reaksinya dipetik dari laman sosial Facebooknya. Annuar yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) membidas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufik Abdul Razak yang memberi amaran keras kepada beliau agar tidak melibatkan diri dalam sebarang aktiviti bola sepak. Malah menurut beliau, sikap sedemikian juga menunjukkan badan induk itu cuba mengganggu fokus Kafa dalam usaha menjuarai Piala FA, Sabtu ini. "Ada pihak yang tidak senang hati melihat kemunculan saya di TV, malah mempertikaikan kenapa saya masih lagi hadir di Majlis rasmi. "Lagipun titah Presiden FAM sebelum ini, 'This is a free country, and I'm a free citizen', jadi apa masalahnya?" kata Annuar. Pandangan Annuar merujuk kepada kenyataan Taufik yang menyatakan beliau telah melanggar keputusan jawatankuasa tatatetib dengan menghadiri satu majlis perasmian penjualan tiket final Piala FA dan pelancaran CD Dikir Warriors di kafe The Red Warriors di Kota Bharu, kelmarin. Beliau menegaskan bahawa majlis itu adalah anjuran Fan Club KELATE.NET dan The Red Warriors Cafe dan bukannya gabungan FAM ataupun Kafa. "Saya hadir atas kapasiti peribadi dengan melancarkan CD dikir barat dan kempen jualan, tiket anjuran mereka, jadi saya tidak tahu di mana salahnya?" kata beliau sambil menambah, "lagipun saya digantung dari aktiviti bola sepak, bukannya dilucut dari jawatan." Sementara itu, kenyataan Taufik yang tidak menggalakkan Annuar hadir pada pertemuan final Piala FA antara Sime Darby dengan Kelantan di Stadium Nasional Bukit Jalil nanti dikhuatiri menimbulkan masalah kepada pihak penganjur untuk mengatur tempat duduk bagi memenuhi protokol beliau yang berstatus Tan Sri, Annuar berkata, itu semua tidak memberi masalah kerana bagi beliau isu protokol tidak memberi sebarang kepentingan. "Hanya orang gila pangkat dan mabuk kuasa sahaja sibuk dengan protokol dan kedudukan dirinya, kita rakyat biasa dan manusia biasa, 'we have nothing to lose, stop all provocation, enough is enough'. "Saya tidak perlu dijemput atau disambut dengan protokol, itu semua tidak ada masalah bagi saya. Insya-Allah saya akan tetap berada di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini," tambah beliau. Awal bulan lalu, Annuar digantung dua setengah tahun apabila melanggar Statut FAM dengan membuat kenyataan akhbar, di mana hanya Presiden FAM, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM saja boleh memberi komen berkenaan skuad kebangsaan. Selain itu, Annuar juga dituduh melanggar titah Timbalan Presiden FAM ketika mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 4 Februari lalu iaitu hal-hal FAM tidak wajar disebar kepada media dan sepatutnya dibawa berbincang dengan jawatankuasa tersebut. | |||||||||
Noh Omar: Masalah eksport sarang burung walit selesai Posted: 16 May 2012 10:25 PM PDT THE MALAYSIAN INSIDER BEIJING— Hubungan baik di antara China dengan Malaysia telah membawa kepada tercapainya penyelesaian terhadap masalah eksport sarang burung walit ke China, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar. Bercakap kepada media Malaysia dalam lawatannya ke sini, beliau berkata pihaknya mengadakan perbincangan dengan Menteri Jabatan Pentadbiran Am Penyeliaan Kualiti, Pemeriksaan dan Kuarantin China (AQSIQ), Zhi Shuping yang memberi kerjasama baik dan pandangan positif menyelesaikan masalah tersebut. Noh (gambar) menghargai kerjasama jabatan tersebut yang mencerminkan hubungan baik antara kedua-dua buah negara. Beliau akan membawa isu tersebut ke Kabinet selepas masalah teknikal pengeksportan diselesaikan dan seterusnya Malaysia dan China dapat memeterai perjanjian eksport sarang burung walit. Noh berkata tidak ada perkara besar lagi dalam isu pengeksportan setelah Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Datuk Dr Abdul Aziz Jamaluddin berbincang dan menyelesaikan masalah teknikal. Beliau berkata beliau juga berbincang mengenai eksport buah nangka dan nanas dengan jabatan tersebut kerana pihak kementerian melihat buah-buahan tersebut akan mendapat sambutan cukup baik dan potensi pasarannya amat besar di China. Malaysia belum mengeksport buah nangka dan nanas ke China, kerana draf protokol pengeksportan buah-buah tersebut masih belum disiapkan, katanya. Mengenai eksport durian beku, Noh berkata terdapat lima kilang proses durian sedang menunggu kelulusan daripada AQSIQ untuk mengeksport buah durian ke China. Beliau berkata pengekportan durian ke China akan meningkat jika lima kilang tersebut mendapat kelulusan yang dikehendaki. Buat masa sekarang terdapat dua kilang proses durian yang mendapat kelulusan mengeksport durian ke China. — Bernama | |||||||||
Posted: 16 May 2012 10:17 PM PDT MALAYSIA CHRONICLE DIA tidak pernah merancang untuk memilih lelaki berbangsa asing sebagai teman hidup atau menunjuk-nunjuk kepada orang lain bahawa dirinya juga mampu menakluk hati lelaki bukan Melayu. Apa yang dilalui oleh penyanyi Nurul Huda Abdul Wahab, 35, adalah di luar jangkaan sama sekali tanpa siapa dapat menduga. Nurul, yang popular dengan lagu Cinta Azali menerusi album sulung, bakal menamatkan zaman janda dengan lelaki Perancis, Eric Daniel Depp, 47, pada 6 Jun ini di Duchess Place, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. "Saya tidak mengharap atau menentukan apa warna kulit dan bangsa untuk menjadi suami kerana saya melihat pada hati. Dan, Dia hantarkan Eric kepada saya. "Saya malas memikirkan soal jodoh kerana sebelum ini saya pernah dikecewakan sebanyak dua kali. Malah pertemuan dengan Eric itupun saya anggap perkenalan biasa dan tidak sangka boleh sampai ke peringkat ini," jelas Nurul yang sudah lima tahun hidup menjanda. Ditanya bagaimana perasaannya untuk bergelar isteri kepada lelaki mualaf yang baru memeluk agama Islam pada 13 Februari lalu, Nurul tahu banyak yang perlu dia lalui. Dalam menerima takdir dengan penuh gembira, Nurul juga sedar dia perlu memainkan peranan untuk membimbing bakal suaminya dalam soal keagamaan. "Kalau dari segi kehidupan, Eric mempunyai ciri-ciri pemimpin. Mungkin kerana kami pernah melalui kehidupan berumahtangga sebelum ini, jadi masing-masing tahu apa yang perlu diperbaiki dalam hubungan kelak. "Bagaimanapun, saya yang perlu membimbingnya dalam hal agama. Bagi saya hasratnya memeluk agama Islam itu pun sudah besar rahmatnya. Bagaimanapun saya tidak terlalu risau kerana apa yang penting dia adalah seorang lelaki bertanggungjawab," katanya mengenai lelaki yang sudah enam tahun menetap di Malaysia. Malah, pilihan Nurul itu turut mendapat sokongan daripada anak tunggalnya, Ayu Nazirah. Majlis pernikahan dan resepsinya dengan lelaki dari Perancis itu akan bermula pada pukul 11 pagi. Eric yang dikenalinya sejak September 2010 dan mula serius dalam perhubungan cinta sejak Januari tahun lalu, melamar Nurul pada 14 Februari tahun lepas. Dalam kejadian di hadapan keluarga lelaki tersebut, Nurul turut dihadiahkan sebentuk cincin tanda ikatan. Nurul yang impikan majlis santai berkonsep taman itu pada hari pernikahan kelak akan mengenakan pakaian tajaan dan rekaan Rizman Ruzaini dan Bon Zainal untuk lelaki. "Selain tajaan pakaian, ada lima penaja yang sudi menaja majlis perkahwinan saya termasuk pengedar kain, Jakel dan pereka pelamin, Perunding Perkahwinan Zahar," kata Nurul yang mengundang kira-kira 200 tetamu pada hari bahagianya kelak. Sementara majlis resepsi di sebelah pihak lelaki akan diadakan di Bali, Indonesia pada 14 Jun depan, sekali gus dengan bulan madu. Bila ditanya, adakah dia akan mengundang bekas suami, Ajai, pantas sahaja Nurul berkata, tidak. "Dia tidak ada kena mengena dengan kehidupan saya hari ini. Apa yang penting, anak dan adik-beradik saya hadir, itu sudah memadai," katanya.-Utusan | |||||||||
Pas sedia perjelas perjuangan parti Posted: 16 May 2012 10:09 PM PDT SHAH ALAM - Pas sedia beri penjelasan secara terbuka dengan menggunakan pelbagai bentuk komunikasi kepada pihak tertentu yang keliru dan mendakwa parti itu terpesong landasan perjuangannya, terutama menjelang pilihan raya nanti. Parti itu juga belum lagi berhasrat mengadakan sebarang majlis muzakarah secara rasmi dan mengkhususkan isu ini dalam masa terdekat. Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar berkata, penjelasan bertujuan memberikan rakyat mendapatkan kefahaman baik mengenai Pas yang sebenarnya tidak lari daripada perjuangan asal. Mahfuz mendakwa, isu tersebut timbul apabila media sering kali dilihat keliru dalam melaporkan berita mengenai perjuangan Pas sehingga pihak tertentu dan masyarakat musykil mengenainya. "Mereka boleh datang menemui Pas atau menjemput Pas. Kami boleh turun padang memberikan penjelasan kepada mereka," katanya kepada Sinar Harian. Beliau mengulas mengenai kesediaan Pas untuk memberikan penjelasan kepada sesiapa sahaja untuk menyelesaikan kekeliruan umat Islam di negara ini termasuk dakwaan menyatakan parti itu sudah terpesong dari landasan perjuangannya pada Ahad lalu. Sebelum ini, Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Majlis Syura Ulama Pas sentiasa mengawasi perjalanan parti itu dalam memelihara landasan Islam yang diperjuangkannya. Sementara itu, Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata, Pas tidak menetapkan tarikh tertentu kepada mereka yang ingin mendengar penjelasan mengenai perjuangan Pas. "Kita sentiasa terbuka untuk memberikan penjelasan kepada mereka supaya mereka lebih memahami perjuangan Pas yang tidak lari daripada perjuangan asalnya," katanya. Bagaimanapun, kedua-dua pemimpin itu enggan mengulas ketika ditanya mengenai masyarakat yang melihat mereka lari dari perjuangan sehingga perlu mengadakan muzakarah untuk memberikan penjelasan mengenai perjuangan mereka. | |||||||||
Hudud mainan politik BN, kata Pakatan Posted: 16 May 2012 10:08 PM PDT PETALING JAYA - Pakatan Rakyat (PR) mendakwa pendirian pihaknya mengenai pelaksanaan hukum hudud tidak pernah berubah, sebaliknya Barisan Nasional (BN) khususnya MIC cuba menjadikannya isu sekarang bagi meraih undi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13). PR sekali lagi menegaskan bahawa pihaknya akan membuat keputusan mengenai hudud jika menerima persetujuan semua pihak. Sehubungan itu, Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli berkata, MIC cuba menimbulkan 'kekecohan' dan salah faham di kalangan pengundi memandangkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bakal diadakan tidak lama lagi. Keanggotaan PR terdiri daripada PKR, DAP dan Pas. Rafizi membalas kenyataan Setiausaha Agung MIC, S. Murugessan menyatakan PR harus menyatakan pendirian mereka mengenai pelaksanaan hukum hudud dengan jelas bagi pengundi membuat penilaian dan pendirian. "Pihak BN mahupun MIC sendiri tidak pernah memandang serius isu hudud ini, mengapa baru sekarang mereka timbulkan isu ini?" soal Rafizi. "Ini jelas menunjukkan teori yang MIC gunakan mengenai isu hudud ini adalah cubaan untuk meraih undi kaum masyarakat India," kata beliau. Rafizi juga berkata, keputusan untuk melaksanakan hudud merupakan satu keputusan penting yang perlu difikirkan bersama. "Pihak kami tidak akan gentar mengenai isu ini kerana sejak 2008, sokongan rakyat terhadap PR dan PKR terus meningkat," jelas beliau lagi. Malah katanya, rakyat kini semakin memahami dan bijak berfikir untuk membuat keputusan dan pihaknya tidak akan berasa tergugat dengan isu yang ditimbulkan MIC. "Buktinya, kaum India merupakan kaum yang kedua terbesar keahlian dalam PKR. (Kira-kira) 25 peratus merupakan keahlian di kalangan kaum India manakala Melayu 60 peratus dan selebihnya kaum Cina," katanya lagi. | |||||||||
Henti ganggu Ambiga, kata Pak Samad Posted: 16 May 2012 10:07 PM PDT KUALA LUMPUR - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menggesa beberapa pihak supaya berhenti mengganggu dan mengancam peribadi Datuk S Ambiga. Pengerusi Bersama Bersih, Datuk A Samad Said berkata, perbuatan tersebut tidak seharusnya berlaku kerana Ambiga telah berusaha untuk memperbaiki kesejahteraan rakyat di negara ini. Menurutnya, pihak berwajib seharusnya tampil membela nasib Ambiga kerana tindakan beberapa pihak yang membuat demonstrasi 'aman' di kediaman Ambiga sebagai melampaui batas. "Jika kerajaan dan pihak berwajib senyap, ini bermakna mereka menyokong kerja-kerja tidak bermoral ini. "Bukan hanya Ambiga seorang yang menuntut pilihan raya bersih dan adil, sebaliknya ia disokong pelbagai pihak termasuk 19 ahli jawatan kuasa Bersih dan 84 pertubuhan bukan kerajaan serta ribuan rakyat di negara ini," katanya pada sidang media, semalam. Sinar Harian, 11 Mei lalu melaporkan, beberapa peniaga dari Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (Ikhlas) telah bertindak membuka gerai di sekitar kawasan kediaman Ambiga sebagai simbolik menuntut ganti rugi berjumlah lebih RM200,000 daripada 200 aduan penjaja kecil di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman gara-gara perniagaan mereka terganggu ekoran Bersih 3.0. Seramai 20 orang termasuk dari Persatuan Peniaga dan Penjaja Lorong Tunku Abdul Rahman berkumpul dan membuka gerai burger selama satu jam bermula jam 2 petang. Tambahnya, perbuatan mengganggu Ambiga perlu dihentikan serta-merta. "Sebagai warga negara tang telah melalui kehidupan aman di negara ini, saya merayu agar semua rakyat dapat memberikan budi pekerti terbaik dan berhenti daripada terus mengganggu atau mengancam Ambiga," katanya. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan