Selasa, 8 Mei 2012

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Pro Mahasiswa dedah Najib dalang penangguhan pilihan raya kampus

Posted: 08 May 2012 05:36 AM PDT

Oleh Mohd Martin Kahar


KUALA LUMPURi: Gagasan Pro Mahasiswa Nasional (PMN) yang mewakili kumpulan pelajar pro mahasiswa mendedahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjadi dalang penangguhan pilihan raya kampus.

PMN mempunyai bukti terdapatnya campur tangan politik Umno BN yang diterajui Najib untuk melewatkan tarikh pilihan raya kampus.

"Berdasarkan sumber kukuh, satu operasi khas telah ditubuhkan yang didalangi Pejabat Perdana Menteri yang dinamakan 'Opss 2020′.

"Jika kita teliti, pola kalah-menang, sepanjang tahun 2007 hingga 2011, kita dapat saksikan graf penurunan sokongan mahasiswa terhadap calon pro Umno (Pro Aspirasi) dan peningkatan sokongan terhadap calon pro mahasiswa," kata PMN dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut PMN, sekiranya trend itu kekal, ia akan menjadi mimpi ngeri kepada Umno BN dan Najib untuk berhadapan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13).

PMN berkata, Opss 2020 berperanan memastikan pilihan raya kampus kali ini tidak akan memberi sebarang kebangkitan moral kepada Pakatan Rakyat sebelum menjelang PRU 13.

Operasi itu juga katanya, akan digunakan sebagai indikator dan simulasi bagi mempengaruhi undi anak muda memandangkan tidak akan ada lagi pilihan raya kecil buat masa ini sehingga PRU 13 berlangsung.

Menurut PMN, baru-baru ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah mengadakan perbincangan dengan pentadbiran Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) agar tarikh pilihan raya bagi sesi 2012/2013 dilewatkan kepada September 2012.

"Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang dipilih pada sesi lepas telah tamat tempoh berkhidmat pada Mac lalu," katanya.

PMN berkata, Opps 2020 jelas menunjukkan Umno BN begitu terdesak berhadapan dengan PRU 13 khususnya bagi memenangi hati mahasiswa dan anak muda.

Katanya, Umno BN telah masuk ke kampus membunuh idealisma perjuangan mahasiswa dan anak muda yang semakin menolak politik kotor, lucah dan tidak matang yang dibawa mereka.

PMN berpendirian, tindakan melengah-lengahkan proses pemilihan Ahli Majlis Perwakilan Mahasiswa merupakan satu tindakan yang tidak demokrasi dan berniat jahat.

"Justeru, PMN bersama rakan-rakan front aktivis mahasiswa mengadakan siri perhimpunan aman pada Mac lalu di hadapan KPT untuk menyerahkan memorandum bagi menuntut agar pilihan raya kampus diadakan segera.

"Malangnya KPT hanya menghantar wakilnya menerima memorandum tuntutan mahasiswa di luar pintu sahaja. Ini menunjukkan Menterinya, Datuk Seri Khalid Nordin tidak serius dan gagal mempamerkan kredibiliti beliau dalam melayani isu-isu mahasiswa," katanya.

RM 1 Juta Diperuntukkan Untuk Karnival Anak Muda Selangorku

Posted: 08 May 2012 05:34 AM PDT





SUBANG : Kerajaan Selangor memperuntukkan RM 1 juta untuk menjayakan Karnival Anak Muda Selangorku khusus untuk mengembangkan bakat dan kebolehan anak muda dengan cara yang sihat.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Negeri peka akan keinginan dan naluri anak muda untuk mencuba sesuatu yang baru termasuk berlumba motosikal dan aktiviti-aktiviti lasak.

Beliau berkatanya demikian ketika merasmikan upacara penutup Karnival Selangorku "Selangor Motor Race 2012″ pusingan pertama di Speedway Plus Circuit Elite USJ semalam.

Karnival Selangorku "Selangor Motor Race 2012″ ini memberi ruang kepada golongan muda yang meminati sukan perlumbaan bermotor mengembangkan bakat di tempat yang sah serta diiktiraf badan sukan permotoran tempatan.

Menurut Exco Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi, program ini bertujuan memberi impak kepada pembangunan serta mengembalikan kegemilangan sukan perlumbaan motor.

"Karnival ini julung-julung kali diadakan dan persedian penganjuran selama tiga tahun bagi mendapat kerjasama Automobile Association of Malaysia (AAM) dan Motorsports Association of Malaysia (MAM)," katanya ketika memberi ucapan di majlis yang sama.

Perlumbaan ini disertai hampir 300 pelumba dan kepada semua jenis model motosikal yang menggunakan sistem engin empat dan dua lejang berkuasa 150cc ke bawah.

Bagi kategori Marco Simoncelli Cup empat lejang pengubahsuaian penuh, tempat pertama dimenangi oleh Mohd Adib Rosli yang membawa pulang hadiah RM2,500. Tempat kedua dimenangi oleh Mohd Rizal Shahril dengan hadiah RM1,500 manakala tempat ketiga dimenangi Suhaizarul Suhaizat yang mendapat RM1,000.

Hadiah kesemua kategori disampaikan oleh Abdul Khalid diiringi Dr Yunus Hairi serta Adun Kota Anggerik, Yaakob Sapari dan MP Shah Alam, Khalid Samad.

Selain itu, karnival ini turut diserikan dengan kehadiran penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus yang turut memberikan kuliah santai sejurus selepas majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang.

Karnival tiga hari ini menyediakan pelbagai acara menarik seperti pameran motorshow dan cabutan plat nombor bertuah serta turut memberi peluang kepada usahawan-usahawan muda melalui pameran perniagaan.

Pusingan kedua Karnival Selangorku "Selangor Motor Race 2012″ akan berlangsung pada 1 hingga 3 Jun 2012 di litar yang sama.

BERSIH 3.0 Betul-betul Takutkan Najib, Umno-BN

Posted: 08 May 2012 05:26 AM PDT






BATU CAVES : Perhimpunan BERSIH 3.0 yang berlangsung pada 28 April lalu di Dataran Merdeka disifatkan Pakatan Rakyat (PR) sebagai titik tolak kepada kebangkitan rakyat untuk menentang pemerintahan kerajaan Umno-BN.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, penyertaan lebih 300,000 peserta pada perhimpunan itu menimbulkan reaksi kurang senang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang nyata semakin cuak terhadap desakan rakyat.

Ia dikuatkan lagi dengan tindakan Najib yang meminta bantuan tiga bekas Ketua Polis Negara untuk menyokong hujah beliau bagi mengaitkan BERSIH 3.0 sebagai perhimpunan untuk menggulingkan kerajaan menggunakan kekerasan.

"Terdesaknya PM sehingga terpaksa minta Jabatan Fatwa mengeluarkan fatwa dan terdesaknya beliau sehingga terpaksa menggunakan khidmat Tun Hanif Omar, Tan Sri Rahim Noor dan Tan Sri Musa Hassan yang masing-masing mempunyai rekod buruk bagi menyokong hujah beliau.

"Penyertaan rakyat semasa perhimpunan BERSIH 3.0 adalah lambang kepada kebebasan terhadap ugutan dan kezaliman Umno-BN," katanya di satu ceramah perdana dan jelajah Merdeka Rakyat : Pasca BERSIH 3.0 di Kampung Baru di sini malam tadi.

Tambahnya, perhimpunan itu juga membuktikan kebangkitan rakyat untuk menolak sebarang percubaan penipuan dan manipulasi pilihan raya oleh badan pengendalinya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Saifuddin turut menyelar tindakan SPR yang sewenang-wenangnya menukar kawasan mengundi seperti yang dialami Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim  dengan alasan mengubahsuai sempadan.

Sementara itu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelskan, penyertaan ratusan ribu peserta semasa BERSIH 3.0 adalah sebagai saham dan perjuangan PR untuk menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) nanti.

Beliau berkata, perhimpunan itu adalah sebagai satu permulaan di kalangan pemimpin PR dan rakyat untuk menentang kezaliman Umno-BN dan akan diteruskan pada masa akan datang.

"Kita berikrar untuk bawa perubahan baik kepada negara ini mahupun terhadap rakyat. Perjuangan kita tidak akan selesai dengan perhimpunan sahaja, sebaliknya kita akan buat lagi untuk menyatakan hak dan prinsip kita di negara ini," jelasnya.

Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan PR  akan terus mempertahankan hak asasi serta keadilan rakyat terutama kaum Bumiputera sebagai majoriti sekiranya diberi mandat memerintah negara.

Perhimpunan 13 Mei, Warga Kerja Diseru Hadir Kemuka Masalah

Posted: 08 May 2012 05:23 AM PDT





SHAH ALAM  : Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr Halimah Ali menggesa warga pekerja untuk hadir beramai-ramai di Majlis Himpunan Pekerja pada (Ahad)13 Mei ini bermula dari jam 5 petang hingga 12 tengah malam.

Majlis tersebut akan disertai pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat(PR) seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta Lim Kit Siang, selain kehadiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurut Dr Halimah, gesaan tersebut dibuat selaras dengan hasrat kerajaan negeri untuk menyampaikan dasar PR dalam memartabatkan golongan pekerja.

"Pakatan Rakyat dari dulu hingga sekarang komited untuk melaksanakan dasar-dasar bagi membela nasib pekerja kerana kita yakin apabila pendapatan rakyat meningkat, pengaliran ekonomi juga sama meningkat dan begitu juga dengan taraf hidup rakyat.

"Kita juga berharap dengan adanya program ramah mesra bersama rakyat Ahad ini, dapatlah kita mendengar luahan pekerja sambil berbincang secara lebih terbuka dasar-dasar yang boleh diketengahkan demi kepentingan warga pekerja," jelas beliau yang ditemani Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid sewaktu mengadakan Lawatan Program Ramah Mesra Bersama Warga Industri di Kilang Pokka Ace (M) Sdn. Bhd di sini pagi tadi.

Mengulas tawaran Kerajaan Pusat untuk menyelaraskan gaji minimum sebanyak RM900 bagi pekerja di Semenanjung sementara RM800 bagi Sabah dan Sarawak, Dr. Halimah menegaskan tawaran itu sama sekali tidak relevan.

"Ramai yang tidak setuju dan tidak gembira dengan pengumuman Perdana Menteri itu kerana dengan kos sara hidup yang tinggi, kos sebegitu tidak lagi sepadan untuk perbelanjaan bagi seisi rumah hari ini.

"Sebaliknya Pakatan Rakyat komited untuk menyelaraskan pendapatan minimum sebanyak RM 1,500 dan itu sesuatu yang kita mampu dan pasti lakukan jika berjaya menawan Putrajaya nanti," jelas beliau.

Selain Abdullah Sani, lawatan pagi tadi turut disertai pemimpin dan wakil dari 16 kesatuan sekerja dengan menaiki bas persiaran yang dilepaskan Menteri Besar di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SUK) di sini pagi tadi.

Seksyen 5 Shah Alam Aplikasi Model Pembangunan Makkah

Posted: 08 May 2012 05:21 AM PDT





SHAH ALAM : Kawasan Seksyen 5 Shah Alam akan dibangunkan oleh kerajaan negeri sebagai kawasan Bandaraya Islam yang mengambil model pembangunan Bandaraya Makkah dengan menjadikan masjid sebagai pusat aktiviti masyarakat sekitarnya.

Menteri Besar,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata,  projek ini yang masih dalam peringkat perancangan akan membabitkan kawasan kira-kira 50 ekar dengan kos pembangunan bernilai kira-kira RM2 bilion sehingga RM3 bilion.

Dalam Islam konsep yang paling penting ialah semuanya berpaksikan masjid, oleh itu di Shah Alam Masjid Negeri menjadi kepada paksi pusat kepada pembangunan bandaraya Islam.

Abdul Khalid berkata, pembangunan Bandaraya Islam itu nanti akan menjadikan Shah Alam kawasan tarikan baru sekaligus meningkatkan taraf ekonomi setempat.

"Dijangka apabila projek ini dilaksanakan ia akan menghidupkan lagi Shah Alam yang akan mempunyai akademi pendidikan, pusat kewangan, pusat kesihatan dan penempatan yang akan menjadi sebuah bandaraya bercirikan Islam yang lengkap," kata Abdul Khalid dalam sidang media selepas merasmikan Bengkel Pembangunan Bandaraya Islam (Islamic City) Kawasan Seksyen 5 Shah Alam.

Tambahnya, konsep Bandaraya Islam ini ialah sebuah bandaraya yang diduduki oleh masyarakat Islam yang mempunyai pelbagai fungsi dengan menekankan kepada pembangunan keseluruhan yang melibatkan fizikal, infrastruktur dan insan.

"Projek ini apabila berjalan ia akan menjadi nafas baru kepada Shah Alam, apa yang penting ialah kita dapat mengembalikan kegemilangan tamadun Islam," jelas Abdul Khalid.

Seksyen 5 dipilih kerana terdapat Masjid Negeri yang mempunyai potensi untuk dibangunkan kawasan sekitarnya yang juga mempunyai pusat pentadbiran, komersil, pendidikan dan kesihatan.

Kira-kira 80 orang peserta hadir pada kursus yang diadakan di Hotel Saujana, Seksyen U2 di sini dan disertai Adun Bangi, Dr Shafie Abu Bakar yang merupakan Pengerusi Perbadanan Adat Istiadat Melayu (PADAT).

Sebanyak lima kertas kerja dibentangkan dalam bengkel itu yang juga menampilkan pembentangan kertas kerja bertajuk "Perancangan dan Pembangunan Makkah Al-Mukarramah" yang disampaikan oleh Dr Ismawi Zen daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang mempunyai pengalaman dalam perancangan dan pembangunan Bandaraya Makkah.

Sementara itu menurut Datuk Bandar Shah Alam,Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan dalam ucapannya berkata pembangunan Bandaraya Islam itu merupakan pembangunan sejagat yang berpaksikan kepada tiga perkara asas.

Menurut peserta bengkel, Tan Ah Kow, yang juga Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam menyambut baik usaha dan idea itu di mana pembangunan tersebut akan menjadi mercu tanda baru di Selangor.

Menurut Penolong Mufti Kanan di Jabatan Mufti Selangor, Hadri Idris, cadangan pembangunan Bandaraya Islam itu merupakan idea amat baik yang menampilkan konsep unik.

"Saya amat tertarik dengan konsep di mana di Makkah dan Madinah apabila waktu untuk menunaikan solat perniagaannya ditutup hanya dengan menggunakan kain tanpa sebarang gangguan kekacauan daripada jenayah kecurian yang mana orang ramai yakin dengan tahap keselamatannya," katanya.

Kenyataan Bekas Ketua Polis Negara bukti reformasi pilihan raya takkan dijalankan.

Posted: 08 May 2012 05:13 AM PDT

Roketkini.com

KUALA LUMPUR  – Kenyataan tiga orang bekas Ketua Polis Negara yang menyokong tuduhan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak bahawa perhimpunan aman "duduk-bantah" Bersih 3.0 merupakan satu percubaan oleh pihak pembangkang untuk menggulingkan kerajaan adalah bukti terbaru reformasi pilihanraya tidak akan dijalankan.

Ketua Parlimen DAP dalam kenyataan medianya mengulas berita muka hadapan akhbar Berita Harian hari ini yang memaparkan berita tentang tiga bekas Ketua Polis Negara, Tun Haniff Omar, Tan Sri Rahim Noor, dan Tan Sri Musa Hassan yang turut membantu menguatkan tuduhan melulu Najib.

"Hampir setiap hari, rakyat Malaysia dijamu dengan bukti terbaru bahawa tidak akan wujud suatu platform di mana pilihanraya yang berlandaskan proses yang bebas dan adil di Malaysia boleh berlaku," kata Kit Siang.

Menurut beliau, berita berkenaan menunjukkan bahawa ketiga-tiga bekas Ketua Polis Negara telah dipergunakan untuk memberi justifikasi kepada tindakan keras yang telah digunakan oleh pihak berkuasa sedangkan tidak wujud sedikit bukti pun yang menunjukkan bahawa perhimpunan aman "duduk-bantah" Bersih 3.0 adalah satu percubaan untuk menggulingkan kerajaan sepertimana yang didakwa oleh Najib.

Ketiadaan bukti itu terlihat pada kenyataan Haniff sendiri yang berkata, "Perlu ada bukti kerana Perdana Menteri tidak boleh membuat andaian semata-mata. Ianya mungkin berlaku dan pasti ada segolongan yang akan melakukan sedemikian untuk kepentingan masing-masing."

Kata Lim, "Buat pertama dalam sejarah 55 tahun negara ini wujud, sebuah kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri sendiri tanpa mengira bagaimana liar dan tidak masuk akal telah menjadi bukti sahih yang mencukupi untuk tindakan lanjut pihak kerajaan."

Menurut Ahli Parlimen Ipoh Timur itu lagi, kerajaan Barisan Nasional telah jauh terpesong daripada menjawab lapan tuntutan Bersih 2.0 dalam perhimpunan aman 9 Julai 2011 untuk pilihan raya yang bebas dan adil serta tiga tuntutan tambahan perhimpunan aman "duduk bantah" Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Berikut adalah lapan tuntutan Bersih 2.0:
1. Membersihkan senarai pengundi berdaftar
2. Mereformasikan undi pos
3. Penggunaan dakwat kekal
4. Tempoh berkempen minima 21 hari
5. Akses media yang bebas dan adil bagi media arus perdana
6. Pengukuhan institusi awam
7. Hentikan rasuah
8. Hentikan politik kotor

Tiga Tuntutan Tambahan "Duduk-Bantah" Bersih 3.0 adalah :
1.       Suruhanjaya Pilihanraya mesti meletak jawatan, terutama sekali atas kegagalannya dalam melaksanakan tanggungjawab dan telah kehilangan kepercayaan umum.
2.       Proses pilihanraya mesti dibersihkan sebelum Pilihanraya Umum Ke-13.
3.       Menjemput pemerhati antarabangsa untuk meneliti proses Pilihanraya Umum Ke-13.

Lim mengingatkan bahawa dua daripada lapan tuntutan Bersih 2.0 adalah 'akses bebas dan adil bagi media arus perdana' dan 'hentikan politik kotor'.

"Rakyat Malaysia sedang menyaksikan 'politik kotor' yang paling teruk dalam sejarah 55 tahun negara ini dalam rangka menuju Pilihanraya Umum Ke-13.

"Ia mendapat tempat di dalam media arus perdana dan diberi kebebasan yang dinafikan bagi pihak-pihak lain yang bertanding dan mempunyai kepentingan terhadap pilihanraya yang bebas dan adil."

Mahfuz: Kami sertai Bersih 3.0 dengan niat baik

Posted: 08 May 2012 01:00 AM PDT

Fakhrurrazi Usuldin

Datuk Mahfuz Omar
 
 
KUALA LUMPUR - Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar menjelaskan bahawa perhimpunan Bersih 3.0 bulan lalu disertai dengan naik yang baik, bukannya untuk menggulingkan kerajaan seperti didakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Dia (Majlis Fatwa Kebangsaan) kata haram untuk menyertai demonstrasi yang bertujuan dengan niat yang tidak baik, kami pergi dengan niat yang baik untuk masa depan negara kita.
"Niat kita ialah untuk duduk dan bantah dan menuntut pilihan raya yang bersih dan adil.

"Ini niat baik, saya tidak tahulah kalau tuntut pilihan raya yang bersih dan adil pun Majlis Fatwa Kebangsaan kata niat jahat," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini, tengah hari tadi.
Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata peserta, perhimpunan Bersih 3.0 bukan bertujuan menimbulkan kekecohan.

"Kami tidak membawa senjata, kalau kami berniat mahu menghuru-harakan negara, menimbulkan kekecohan sudah tentu bawa senjata. Tetapi kami hanya membawa botol air mineral dan garam.

"Saya menghormati apa yang disebut  Majlis Fatwa Kebangsaan, tetapi mereka harus melihat secara keseluruhan, punca orang ramai keluar melakukan tunjuk perasaan.

"Masyarakat keluar kerana ada masalah, kerana pilihan raya tidak bersih dan adil, ada unsur penyelewengan terhadap daftar pemilih umpamanya dan saya tidak kata tidak bersetuju dengan fatwa itu, tetapi itu hak mereka untuk membuat fatwa, terpulanglah," katanya.

Katanya, pengamatan beliau menunjukkan pihak polis yang telah melanggar fatwa tersebut apabila mereka memukul perusuh dan mencetuskan keganasan.

"Dalam keadaan kelam-kabut itu jurugambar pun mereka (polis) tumbuk dan Ketua Polis Negara  pun sudah meminta maaf kepada jurugambar terbabit. Jadi di sini polis yang melanggar fatwa itu," katanya.

Malah beliau turut melahirkan rasa kecewa apabila polis bertindak hanya berasaskan kepada blog penyokong Umno dan gambar disiar blog itu.

"Kelmarin dia (polis)  tangkap pelajar UiTM, Khalid Ismath. Apabila pergi di hadapan Majistret, Khalid dibebaskan sebab polis tidak boleh membuktikan gambar yang didakwa Khalid memukul seorang anggota polis disiar sebuah akhbar tempatan.

"Macam mana polis yang ada unit Forensik mengambil tindakan memalukan, sepatutnya gambar tu dia perlu siasat dulu, tetapi apabila dibawa di hadapan Majistret tidak boleh buktikan individu di dalam gambar itu adalah Khalid," katanya.

Pakatan: 'Kami tak takut, BN makin bimbang'

Posted: 08 May 2012 12:54 AM PDT

Wartawan Sinar Harian

BERSIH 2.0
 
Himpunan Bersih 2.0
 
 
SHAH ALAM - Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR) menegaskan perikatan tiga parti itu tidak pernah takut untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), sebaliknya mendakwa Barisan Nasional (BN) yang bimbang dengan kebangkitan pihaknya dan sokongan yang diterima buat masa sekarang.

Mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, kenyataan bekas Perdana Menteri itu hanyalah satu manifestasi terhadap kebimbangan Umno dan BN menjelang PRU13.

"Mahathir telah menyatakan kami tak yakin menang dalam PRU13 akan datang adalah satu tanggapan yang salah dan itu hanya ingin menutup kerisauan pada ahli Umno dan BN sendiri," kata Salahuddin lagi ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Kelmarin, Dr Mahathir dipetik berkata, pembangkang jelas tidak mempunyai keyakinan untuk menang dalam PRU13 menyebabkan mereka melemparkan pelbagai tuduhan untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa kerajaan sedia ada zalim dan perlu digulingkan.

Dr Mahathir berkata, pembangkang sudah banyak kali berdepan dengan kekalahan malah sejak negara ini merdeka, mereka tidak pernah menang di peringkat pusat.

"Sebab itu mereka mahu bersedia, kalau kalah kali ini (PRU13), mereka akan cetuskan huru-hara, buat demonstrasi dan desakan yang kononnya kerajaan menipu untuk menang.

"Ini memang pendekatan pembangkang yang bertujuan menjatuhkan kerajaan melalui demontrasi, bahkan Nik Aziz (Mursyidul Am Pas, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat) sendiri turut mengatakan bahawa demontrasi ini halal," katanya.

Mengulas lanjut, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubanhg Kerian berkata, masyarakat sudah lebih celik politik dan dapat menilai pemerintah yang layak dalam mengemudi negara ke arah yang lebih baik seperti yang dituntut Bersih 3.0.

"Kebangkitan rakyat yang ditunjukkan melalui perhimpunan Bersih 3.0 yang berkumpul tanpa mengira kaum pada April lalu jelas menggugat dan memberi ancaman kepada Umno," kata Salahuddin.

Perhimpunan Bersih 3.0 yang dianjurkan oleh NGO, didakwa dihadiri lebih seratus ribu orang dari seluruh pelusuk negara telah mengundang pelbagai reaksi ekoran insiden ganas.

"Kami telah meminta untuk ditubuh satu pasukan suruhanjaya bebas bagi menyiasat siapa dalang di sebalik insiden tersebut dan masyarakat boleh menilai sendiri melalui video yang dirakam dan muat turun dalam mana-mana laman sosial," tambah Salahuddin lagi.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr Tan Seng Giaw berkata, "kita tidak tahu siapa yang akan menang dalam PRU13 nanti sehingga semua undi dikira dan diumumkan kepada semua."

"Mahathir tidak sepatutnya membuat kenyataan seperti itu dan beliau hanya memperlihatkan kebimbangan Umno dalam meraih undi dalam PRU13 akan datang.   "Jika benar Umno tidak bimbang mengapa Parlimen masih belum dibubarkan sehingga hari ini dan jika masih mencari masa yang sesuai, Umno akan menjadi seperti telur di hujung tanduk," kata Seng Giaw yang juga Ahli Parlimen Kepong.

Dalam pada itu, Naib Presiden PKR, Tian Chua juga melahirkan pandangan yang seiring dengan rakannya.
"Saya merasakan kenyataan Mahathir adalah tidak berasas dan tidak mempunyai bukti kukuh mengaitkan demonstrasi Bersih 3.0 sebagai cara untuk menjatuhkan kerajaan.

"Manakala usaha memburukkan imej polis adalah satu klasifikasi yang jauh berbeza dengan untuk menggulingkan kerajaan," kata Ahli Parlimen penggal pertama ini.

"Suruhanjaya Pilihan Raya haruslah telus dan adil dalam setiap PRU dan menggalas tanggungjawab yang diberikan dengan betul, serta mereka perlulah bebas dari mana-mana badan politik.   "Kewujudan perhimpunan Bersih bukanlah bertujuan untuk meraih undi dan menjadikannya sesuatu yang boleh menggugat keamanan negara tetapi adalah untuk menuntut lapan perkara yang disebutkan sebelum ini," tambah wakil rakyat kawasan Batu.

Adun BN keluar Dun lagi pagi ini

Posted: 08 May 2012 12:52 AM PDT

MOHD IDROS MOHD ALI
 
 
GEORGETOWN - Adun Barisan Nasional (BN) sekali lagi keluar Dewan  Undangan Negeri (Dun) pagi ini setelah usul yang dikemukakan ditolak Speaker, Datuk Abdul Halim Hussain.

Adun Sungai Dua, Datuk Jasmin Mohamad mengemukakan usul mengikut Peraturan 34 (viii) untuk merujuk Ketua Menteri, Lim Guan Eng kepada Jawatankuasa Hak Kebebasan Dewan  kerana mengeluarkan kenyataan berbaur perkaunan dan hasutan semalam.

Guan Eng didakwa mengeluarkan kenyataan di dalam Dewan berbunyi "kuil Hindu akan dirobohkan jika Umno kembali memerintah Pulau Pinang".

 Abdul Halim menolak isu itu dengan alasan Guan Eng hanya menyebut "akan terancam" dan bukan dirobohkan apabila merujuk kepada verbatim kenyataan itu dan bukan usul perlu disegerakan, kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan.

Berikutan itu, Azhar membantah keputusan itu dan menganggap Speaker tidak bersikap adil dan mengambil keputusan meninggalkan Dewan dan dIikuti oleh 10  Adun lain.

Bicara kes bekas setiausaha politik menteri 25 September

Posted: 08 May 2012 12:51 AM PDT

SINAR HARIAN

SHAH ALAM-- Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 25, 27 dan dan 28 Sept ini sebagai tarikh perbicaraan kes Hasbie Satar, bekas setiausaha politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop yang menghadapi 28 tuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram.

 Hakim Mohd Fadhir Harun memutuskan sedemikian ketika kes itu disebut di hadapannya hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Hazril Harun hadir bagi pihak pendakwaan sementara Hasbie diwakili peguam Y. Sheelan Samuagam.

Pada 20 Mac lepas, Hasbie, 39, mengaku tidak bersalah terhadap 28 tuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu transaksi mendepositkan wang tunai berjumlah RM935,000 ke akaun 11 individu termasuk anggota keluarganya.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di beberapa bank dan Tabung Haji di tiga lokasi iaitu Salak Tinggi, Bandar Baru Bangi dan Putrajaya antara 4 Dis 2008 hingga 18 Jun 2009.

Hasbie didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh sedang dibicarakan atas satu lagi tuduhan melakukan pengubahan wang haram membabitkan RM2.134 juta di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang.- Bernama  

Saudara baru kesal kerani JPN pertikai status agama

Posted: 08 May 2012 12:49 AM PDT

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Sepasang suami isteri saudara baru merasa kesal dengan layanan buruk yang mereka terima ketika berurusan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Jalan Duta dan Batu Caves di sini baru-baru ini termasuk mempertikaikan status agama Islam mereka.

Muhammad Yusof Abdullah dan isterinya Siti Aisyah Abdullah kedua-duanya berusia 37 tahun berkata kejadian pertama berlaku di kaunter JPN di Jalan Duta pada 19 April lalu manakala kejadian kedua berlaku di kaunter JPN Batu Caves pada 7 Mei.

Muhammad Yusof memberitahu Bernama di sini bahawa kedua-dua kejadian itu berlaku ketika beliau dan isterinya mahu membuat laporan tentang kehilangan kad pengenalan dan surat beranak mereka serta empat anak mereka, ekoran satu kejadian samun di kedai mereka di Taman Segar, Selayang pada 17 April lepas.

Beliau berkata ketika membuat laporan di JPN Jalan Duta dengan menggunakan nama Islam isterinya, kerani terbabit didakwa telah mengherdik isterinya dengan berkata "mengapa kau letak nama Islam dan tidak letak nama kristian (agama asal mereka)".

Muhammad Yusof yang hampir menitiskan air matanya ketika menceritakan kejadian itu berkata beliau terkejut dengan pertanyaan pegawai terbabit.
 
"Dia (pegawai) itu sendiri pun orang Islam, tidak terfikirkah dia bahawa soalannya itu melukakan hati kami suami isteri yang sebenarnya sangat-sangat menyintai agama Islam dan kami bercadang untuk ke Sumatera untuk mengislamkan ibu bapa isteri saya yang berasal dari sana sebelum kejadian samun itu berlaku," katanya.

Muhammad berkata pegawai itu kemudian meminta mereka merujuk ke pejabat JPN di Batu Caves di mana surat beranak keempat-empat anak mereka dikeluarkan.

Katanya pada 7 Mei di kaunter JPN Batu Caves pula, seorang kerani wanita mengherdik mereka dan mempertikaikan penggunaan nama Islam pada laporan kehilangan dokumen penting.

"Yang anehnya itu merupakan pejabat yang sama yang mengeluarkan semua dokumen isteri dan anak-anak saya sebelum ini. Dahulu tidak timbul pula masalah penggunaan nama Islam pada dokumen-dokumen penting," katanya.

Muhammad atau nama asalnya S. Sivasubramaniam berkahwin dengan Siti Aisyah pada 2009. Siti Aisyah yang berasal dari Sumatera memeluk agama Islam pada 1995.
 
Siti Aisyah juga kecewa dengan layanan kakitangan kerajaan yang beragama Islam terhadap saudara baru seperti mereka hanya disebabkan kekeliruan antara nama asal dan nama Islam mereka.

"Ketika anak-anak saya dilahirkan saya telahpun memeluk agama Islam dan sudah tentu dokumen sijil beranak mereka menggunakan nama Islam dan perbuatan kedua-dua pegawai JPN itu mempertikaikan nama Islam keluarga saya amat saya kesali," katanya.- Bernama

2.5 juta rakyat Malaysia tidak kahwin, lelaki lebih ramai

Posted: 08 May 2012 12:48 AM PDT

Wartawan Sinar Harian
 
KUALA LUMPUR - Sekitar 2.5 juta rakyat Malaysia yang berusia lebih 25 tahun dan mewakili 16.7 peratus penduduk negara ini, masih belum atau tidak berkahwin.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Senator Heng Seai Kie berkata, berdasarkan Bancian Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010, daripada jumlah itu 60.4 peratus adalah lelaki.

Bancian itu juga mendapati purata umur perkahwinan pertama bagi lelaki menurun kepada 28 tahun berbanding 28.6 pada tahun 2000, manakala bagi wanita pula meningkat kepada 25.7 berbanding 25.1 tahun, katanya menjawab soalan Senator Datuk Boon Som Inong.

Heng berkata Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia keempat pada 2004 yang dijalankan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Negara, mendapati 32.1 peratus daripada responden tidak pernah berkahwin.

Daripada jumlah itu, 55.6 peratus adalah lelaki, katanya dipetik Bernama.

"Sebanyak 44.7 peratus daripada responden lelaki tidak berkahwin kerana masalah kewangan, tiada calon sesuai (19.3 peratus), kerjaya (12.8 peratus), komitmen keluarga (6.3 peratus) dan selebihnya sebab lain.

"Sebanyak 40 peratus wanita tidak berkahwin kerana tiada calon sesuai, masalah kewangan (14 peratus), kerjaya (8.4 peratus), selesa hidup membujang (8.4 peratus), komitmen keluarga (7.4 peratus) dan selebihnya sebab lain," katanya.

Heng berkata, kementerian tidak bercadang mewujudkan perkhidmatan pusat temu jodoh atau perkhidmatan temu jodoh secara dalam talian kerana perkhidmatan itu telah disediakan swasta, pertubuhan bukan kerajaan badan agama dan beberapa parti politik.

Kalau menjerit sakit, dipukul lebih teruk lagi

Posted: 08 May 2012 12:46 AM PDT

Muhammad Faizal,
SHAH ALAM: "Sepanjang 300 meter perjalanan saya ke Kelab Diraja Selangor, saya dipukul oleh pihak polis tanpa ada perasaan belas kasihan, jelas mangsa kekejaman polis pada Himpunan Bersih 3.0, Nour Islam Niamat, 30.

Nour Islam yang juga merupakan aktivis NGO, Jingga 13 memberitahu beliau ditahan oleh pihak polis ketika berada hampir dengan pengadang jalan di Dataran Merdeka dan ketika itu beliau hanya meninjau keadaan di sana tanpa melakukan apa-apa provokasi.

"Ketika saya hampir di Dataran Merdeka lebih kurang pukul 5 petang, saya tidak mendengar pun arahan pihak polis meminta peserta Bersih bersurai malah mereka terus bertindak dengan menyembur air serta menembak gas pemedih mata.

"Dalam keadaan saya berada di barisan paling hadapan maka menyenangkan pihak polis menahan saya dan dalam keadaan saya baru ditahan tiba-tiba datang sembilan hingga sepuluh orang anggota polis ke arah saya dan telah bertindak memukul, menendang serta menumbuk saya," jelasnya.

Nour Islam yang menceritakan peristiwa tersebut memberitahu beliau telah berjalan hampir 300 meter dan melalui trak-trak polis yang dipenuhi anggota polis untuk ke Kelab Diraja Selangor

"Saya telah dibawa melalui trak-trak polis dan ketika melalui trak tersebut terdapat lebih kurang 200 orang anggota polis yang berbaris di situ, saya telah dipukul dan ditendang oleh polis-polis yang berada berhampiran trak itu.

"Setiap seorang dari mereka tidak melepaskan peluang memukul saya, saya terpaksa tempuhi mereka sikap kejam mereka tanpa boleh dielak langsung malah mereka terus tumbuk serta terajang saya tidak kira di muka mahupun di perut," sambung beliau lagi.

Menurutnya lagi setiap kali beliau dipukul polis mengarahkan beliau senyum dan jangan menjerit kesakitan, jika beliau menjerit sakit polis mengatakan beliau melawan dan akan dipukul dengan lebih teruk lagi.

"Apabila saya sampai di tempat tahanan tidak ada Ambulan mahupun pegawai kesihatan yang menunggu, apabila saya bertanya di mana pihak kesihatan mahupun Ambulan.

"Pihak polis cuba mengelak untuk menjawab dan mereka melengah-lengahkan untuk memanggil ambulans walaupun terdapat peserta yang cedera teruk sehinggakan ada mereka yang hampir pengsan," cerita beliau lagi.

Beliau yang mendapat tiga jahitan di dahi akibat ditendang oleh polis itu menjelaskan ketika dipukul pihak polis mengarahkan beliau tunduk serta tidak boleh melihat polis-polis yang memukulnya.

"Saya langsung tidak boleh melihat muka-muka polis yang memukul saya kerana anggota polis memegang kepala saya kebawah tanpa memberi peluang saya mengangkat kepala saya.

"Ketika saya jatuh pun polis meminta saya tundukan kepala dan jangan sesekali cuba melihat siapa yang memukul saya, namum saya perasaan setiap anggota polis yang bersikap kejam itu tidak mempunyai nombor polis dan yang ada hanyalah nama. Saya tak pasti siapa sebenarnya mereka," tegasnya.

Beliau yang mengalami cedera yang teruk itu telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas sejam beliau dipukul untuk mendapat rawatan.

"Pihak hospital telah membuat pemeriksaan keatas saya termasuk menjahit luka di kepala saya, mereka juga turut melakukan pemeriksaan x-ray bagi mengetahui kecederaan dalaman akibat tendangan yang kuat dari pihak polis.

"Setelah selesai melakukan pemeriksaan saya telah membuat laporan polis di Balai Polis yang berada di HKL termasuk menyerahkan laporan perubatan dari pihak hospital," tambahnya lagi.

Namum beliau bersyukur apa yang dialami olehnya direstui oleh Ibunya dengan menyifat ia adalah maruah diri dalam memperjuangkan kebaikan.

Fitnah: Rahim diberi 24 jam tarik balik kenyataan

Posted: 08 May 2012 12:34 AM PDT

Aslani M,
KOTA BHARU: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor diberi tempoh 24 jam menarik balik tuduhan terhadap Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dianggapnya "bapa kafir".

Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Kelantan, Hisham Fauzi (gambar) berkata, kenyataan bekas ketua polis negara terbabit jelas tidak matang dan bersifat fitnah.

"Oleh itu kami memberi tempoh 24 jam untuk Rahim menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf secara terbuka kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

"Sekiranya beliau didapati gagal menarik balik kenyataan fitnah tersebut, kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan mahkamah terhadapnya," katanya di sini.

Bekas Ketua Polis Negara itu dalam kenyataan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini melabelkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai "bapa kafir" kerana dianggap mengelirukan umat Islam ekoran kenyataannya wajib menyokong Bersih 3.0.

Sebelum ini Menteri Besar Kelantan meminta rakyat keluar beramai-ramai pada himpunan Duduk Bantah pada 28 April lalu sebagai tanda membantah ketidakadilan dan kewujudan daftar pemilih yang meragukan.

Hisham berkata, kenyataan Rahim begitu melulu sekali dan langsung tidak mencerminkan seseorang yang memegang jawatan tinggi dalam pasukan polis.

Oleh itu kata beliau tindakan undang-undang akan diambil sekiranya bekas ketua polis terbabit tidak menarik balik kenyataan dan memohon maaf dalam tempoh ditetapkan.

Kafir: Giliran Rahim Nor pula keluar 'fatwa'

Posted: 08 May 2012 12:32 AM PDT

Harakahdaily,

KUALA LUMPUR: Belum reda dengan fatwa majlis fatwa kebangsaan bahawa himpunan Bersih 3.0 haram, kini timbul pula fatwa baru oleh bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor yang menyifatkan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai bapa kafir.

Bagi Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), tuduhan tersebut amat keterlaluan dan bersifat kurang ajar.

"Menuduh seseorang itu kafir adalah tuduhan yang berat, terlebih lagi jika yang dituduh itu adalah alim ulama.

"Kita mendesak bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor menarik balik kenyataannya," kata naib ketuanya Dr Raja Ahmad Al Hiss (gambar).

Kenyataan Rahim itu telah disiarkan di New Straits Times (NST) pada hari ini.

"Soalnya, siapakah Tan Sri Rahim untuk menghukumkan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz sebagai sesat dan kafir?

"Apakah latar belakang beliau jika hendak dibandingkan dengan ulama ini dan sejauh mana kefahaman Islam beliau sehingga boleh mengeluarkan pandangan seseorang itu sesat atau betul," soal Raja lagi.

Baginya, kenyataan Rahim itu juga dengan jelas menghina institusi ulama.

Apatah lagi katanya, ramai para guru agama dan ulama turut hadir dalam perhimpunan Bersih 3.0 tempoh hari.

(Gambar kanan: Tuan Guru Haji Salleh Musa Sik antara ulama yang turut serta bersama rakyat dalam himpunan Bersih 3.0)


"Tan Sri Rahim Noor lebih faham Islam daripada ulama-ulama'yang hadir dalam Bersih 3.0," tegasnya mempersoalkan.

Sehubungan itu beliau meminta Rahim supaya bertaubat dan beristighfar dengan segera kerana menuduh seorang ulama yang berjuang demi menegakkan Islam serta mempertahankan kebenaran dengan tuduhan kafir dan sesat adalah suatu dosa yang besar di sisi Islam.

"Mungkin inilah nasib para ulama yang memperjuangkan kebenaran, dicaci dan dihina oleh mereka yang menolak Islam.

"DPPM bimbang, kenyataan beliau (Rahim) akan memakan tuan dan mengena balik kepada dirinya," katanya.

Bersih 3.0: Pengalaman wartawan ditahan polis

Posted: 08 May 2012 12:27 AM PDT

Izwan Abdul Halim,
 
 
Menghayati wajah-wajah dan perilaku para demonstran Bersih 3.0, saya dapat melihat bahawa mereka serius untuk menuntut perubahan. Pun begitu, suasana tetap harmoni dan muhibah walaupun kebanyakannya kali pertama bersua muka. Ia berbeza dengan Bersih 1.0 dan 2.0 di mana kelihatan mereka-mereka yang hadir hanya untuk suka-suka atau tanpa mesej jelas. Tetapi penyaksian terpenting saya pada Bersih 3.0 adalah soal sifat diri manusia yakni antara ketamadunan dan kebinatangan.

Saya memulakan perhimpunan dengan menyertai peserta di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR). Selepas mengambil gambar suasana himpunan dan agak lama di situ, saya beralih pula ke Jalan Raja Laut. Sehinggalah pihak polis melepaskan gas pemedih mata dan semburan air asid, saya turut berundur bersama peserta lain. Saya melihat semangat tolong-menolong yang tinggi di kalangan peserta pelbagai kaum menghadapi kesan gas dan air tersebut.

Provokasi

Ketika berada hampir Stesen LRT Bandaraya, sebuah kereta polis bergerak dengan membunyikan siren dalam arus pergerakan peserta yang sedang berundur itu. Kelihatan peserta-peserta membaling botol minuman. Seterusnya diikuti sebuah lagi kereta polis dengan aksi sama dan mengalami tindakan serupa dari peserta. Namun anggota polis di dalam kedua-dua kereta itu kelihatan tidak bimbang pun, malah tingkap kereta juga ada yang dibuka.

Selepas beberapa ketika, saya kembali ke Jalan TAR dan berbual-bual dengan peserta di Bangunan Mara bertanyakan pengalaman mereka. Ketika berada di situ, secara tiba-tiba kenderaan awam masuk dengan banyaknya dan mereka terperangkap kerana keadaan peserta yang padat. Pun begitu, peserta bertindak hemah hingga akhirnya kenderaan-kenderaan tersebut dapat keluar dari keadaan itu.

Namun saya dilanda rasa curiga, bagaimana kenderaan-kenderaan ini dapat masuk dalam jumlah yang banyak? Tentu sekali sekatan di hujung jalan telah dibuka. Termasuk yang lalu di jalan itu juga adalah dua ambulan. Seketika kemudian datang pula berderetan kenderaan Pasukan Perubatan dan berhenti dihadapan Kompleks Pertama. Rupanya mereka datang membawa minuman botol dalam jumlah yang banyak. Pergerakan mereka kemas ala-ala gaya CSI. Perkara menarik perhatian saya ialah wajah mereka tidak seperti orang yang ingin menyantuni orang, menimbulkan seribu tanda tanya.

Setelah itu, lalunya sebuah kenderaan SUV polis dengan membunyikan siren dalam lagak memprovokasi peserta. Akibatnya mereka dibaling botol minuman yang berisi air. Diikuti kereta waja polis (dengan tingkapnya terbuka) turut menyaksikan aksi sama. Tetapi dari Kompleks Pertama saya dapat melihat dengan jelas kereta waja itu meningkatkan kelajuan sebagaimana insiden yang telah ramai tonton di internet.

Kemudian sekumpulan polis trafik bermotosikal melalui jalan itu dan mereka mengalami tindakan dari peserta. Namun anggota-anggota beruniform Unit Amal segera meluru kepada kumpulan polis trafik bagi mengawal keadaan dan saya turut serta. Empat anggota polis trafik memberhentikan motosikal mereka disebabkan kejadian itu dan dua dari mereka mengacukan pistol kepada orang awam. Saya sempat merakamkan aksi tersebut dan turut perasan terdapat berkotak-kotak lagi air yang tidak teredar kepada peserta. Kenderaan polis tadi juga diserang dengan botol yang masih belum dibuka. Kenapa mereka tidak minum? Apakah ia sengaja dijadikan senjata oleh orang-orang tertentu yang menyerang polis?

Selepas itu polis trafik tersebut diiring anggota Unit Amal dan mereka diberikan kawalan keselamatan di Bangunan Sogo dari dikasari peserta. Malah, motosikal mereka juga dijaga dengan baik walaupun terdapat cubaan peserta yang emosi. Di sinilah saya melihat betapa tingginya tamadun ditunjukkan peserta himpunan, mereka menjadi penyelamat kepada anggota pasukan keselamatan.

Keganasan

Beberapa ketika kemudian, kumpulan besar polis beruniform biru tiba dan menyuraikan peserta dengan cara yang kasar. Malah, kumpulan peserta yang mengawal keselamatan anggota polis trafik tadi juga dihalau tanpa ucapan terima kasih pun kecuali oleh beberapa Pegawai Polis. Ketika sama juga saya melihat polis sudah bertindak mengasari peserta.

Anggota trafik bermotosikal yang datang dalam kumpulan besar juga 'mengambil bahagian' membelasah peserta. Dahsyatnya ialah seorang peserta dibelasah tidak kurang 10 anggota beruniform. Saya mengambil gambar semua kejadian tersebut sehinggalah saya diherdik seorang anggota dan tidak lagi mengambil gambar. Tiba-tiba anggota yang sama bertindak menangkap saya di Bangunan Mara itu, kamera diambil dan diserahkan kepada anggota seorang lagi.

Anggota itu terus memaksa saya berjalan sambil berleter panjang mendakwa saya mengambil gambar untuk memburukkan polis. Disebabkan beliau enggan mendengar penjelasan saya, maka saya memberitahu anggota seorang lagi bahawa saya wartawan dan memintanya tidak melakukan sesuatu kepada kamera saya. Kejadian itu sekitar jam 4 petang.

Saya dibawa melalui Jalan Raja Laut, ketika dipersimpangan trafik itu, anggota yang menangkap saya telah melaungkan pada sekumpulan kira-kira 50 anggota beruniform mengenai tindakan saya. Ada mereka yang 'nakal' menyepak kaki saya dan memaki hamun. Ketika melalui pasukan FRU di situ, dua anggota mengambil kesempatan memukul kaki saya dengan cota, saya hanya beristighfar. Anggota yang menangkap saya terus memprovokasi polis lain dengan ungkapan serupa. Saya dimaki hamun dengan pelbagai kata termasuk digelar "Yahudi". Malah, anggota beruniform Dewan Bandaraya Kuala Lumpur turut mengambil kesempatan sama.

Saya dikumpulkan bersama Orang Kena Tahan (OKT) lain berhampiran Bangunan Sultan Abdul Samad. Anggota tadi membawa saya kepada Pegawai Tinggi Polis tetapi tindakannya itu ditegur. Saya berterusan memerhatikan kamera saya, ketika itu OKT lain diminta menyerahkan kad pengenalan mereka. Saya tertinggal semua dokumen, hanya sepucuk surat di dalam beg kamera dijadikan dokumen pengenalan.

Gaya Samseng

Kami semua dibawa untuk dikumpulkan di belakang Bangunan Kelab DiRaja Selangor. Ketika itu polis yang menahan saya datang mengembalikan kamera saya dan mendakwa beliau tidak mengusik sebarangan serta meminta saya tidak melakukan lagi di masa akan datang. Saya menegaskan padanya bahawa saya Wartawan Harakah dan bersalam dengannya. Anggota di situ hanya terkelu bila saya memperkenalkan diri.

Di belakang Bangunan Kelab DiRaja Selangor, saya dapati Profesor Dr Aziz Bari juga ditahan di situ. Beberapa pertengkaran kecil berlaku antara OKT dengan polis yang bertindak macam samseng. Mata saya tertumpu kepada beberapa OKT yang cedera di bahagian kepala dan dibiarkan polis dari sebarang rawatan. Ketika sama orang awam yang mengambil gambar kami diberi kata amaran anggota polis.

Dalam kawalan polis, kami bersolat berjamaah diimamkan saya. Kebanyakan mereka diminta bertayamum kerana tiada air. Selesai solat jamak asar zohor, peserta meminta saya teruskan dengan solat hajat. Ketika berdoa, saya membacakan lafaz doa qunut nazilah sekuat-kuatnya.

Ada mereka yang bersimpati datang memberikan minuman kepada kami. Ketika itu juga didatangkan lebih ramai OKT, tetapi keadaan kecederaan mereka sangat teruk dan terus dibelasah polis. Tindakan keterlaluan itu menyebabkan kami bangun memprotes tindakan polis. Keadaan sedikit tegang antara kumpulan OKT dengan kumpulan polis hingga terpaksa ditenangkan Pegawai Polis. Saya melihat kamera, barulah disedari kad memorinya telah diambil.

Semangat OKT kian membara apabila Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dibawa kepada kami. Aksi-aksi kasar polis ke atas OKT yang dihadirkan berikutnya menyebabkan kami memprotes. Apatah lagi Tian Chua juga mempersoalkan tindakan anggota bawahan tersebut. Pegawai Tinggi Polis yang berada di situ juga tidak mampu menangani keadaan, beliau hanya meminta OKT bertenang.

Semua OKT dibawa dengan trak dan bas polis ke Pulapol. Saya kelompok terakhir yang menaiki bas. Ketika menunggu itu saya dapat menyaksikan anggota-anggota trafik juga seperti samseng apabila bertindak mengejar orang awam yang berhenti mengambil gambar kami. Ketika menaiki bas, Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia, Badrul Hisham Shaharin @ Chegubard baru dibawa ke situ. Beliau dibelasah semahu-mahunya oleh lebih 10 anggota beruniform walaupun beliau tidak melawan dan telah mengalami pendarahan.

Kami semua menyaksikan, mereka yang baru ditangkap ketika itu semuanya dalam pendarahan atau dibelasah seperti haiwan. Sepak, terajang bahkan tandukan kepala dilakukan kepada OKT. Lebih memeranjatkan saya, OKT yang berada ditangan Pegawai Tinggi Polis juga turut diterkam anggota tanpa pangkat. Rasa marah kian membengkak dalam hati saya, namun kejadian itu sudah tidak dapat dirakam kamera.

Polis Tangkap Polis?

Tiba di Pulapol sudah maghrib, saya mahu duduk kerana kesakitan di kaki baru terasa menjalar. Lepas solat jamak maghrib isyak, barulah saya mencari-cari kenalan dari Kedah untuk dilaporkan kepada pimpinan PAS Kedah yang menunggu di luar Pulapol. Jumlah OKT ada sekitar 500 orang. Sambil-sambil berbual dengan OKT lain yang sedang berehat dan menikmati makan malam, saya juga membuat beberapa panggilan. Saya tidak mahu menjamah makan, sekadar minum sahaja.

Kesakitan di kaki menyebabkan saya lebih banyak duduk sambil melayani panggilan. Semua OKT juga kelihatan berehat dan berbual sesama berdekatan. Namun sekali sekala kami tetap ceria. Selepas tengah malam barulah saya dipanggil untuk diambil butiran peribadi diikuti sesi gambar. Walaupun dilihat banyak kaunter dan anggota bertugas, tetapi proses tersebut lambat sekali. Tepat jam 1:55 pagi barulah saya dibebaskan dan turun di pagar belakang Pulapol sebelum berehat di kediaman berhampiran bersama sahabat-sahabat yang menunggu.

Keesoknya, bila membaca di akhbar bahawa jumlah 388 OKT Bersih 3.0, saya musykil. Ini kerana nombor tahanan saya adalah 381, sedangkan yang beratur selepas itu masih ramai. Mungkinkah polis (special branch) turut ditangkap?

Namun penglibatan aktif anggota polis sebagai agen provokator bukanlah mustahil. Hasil penelitian ke atas hampir 1,000 keping gambar dari pelbagai sumber bersama sahabat dan ingatan saya ketika detik-detik keganasan kepada peserta, terdapat empat kelompok polis yang disimpulkan.

Pertama memakai baju berbelang melintang atau membawanya. Kedua, memakai baju warna merah dengan vest. Ketiga memakai baju Bersih atau baju kuning dengan vest. Keempat menutup mulut dengan bandana atau tuala kecil atau menyangkut tuala kecil di leher.

Saya juga jelek membaca pujian Ketua Polis Negara bahawa anggotanya berani. Bagaimana pula dengan anggota kamu yang seperti samseng itu? Apapun, terlalu banyak persoalan yang saya pasti sukar dijawab KPN secara telus kepada masyarakat awam.
  *Penulis adalah wartawan Harakah negeri Kedah

Mahfuz tuduh polis langgar fatwa, ulama gesa fatwa tidak terlalu jumud

Posted: 08 May 2012 12:12 AM PDT

 
 
KUALA LUMPUR — PAS hari ini menuduh pihak polis adalah pihak yang bertanggungjawab melanggar fatwa yang dikeluarkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan semalam apabila mereka menggunakan kekerasan terhadap perusuh.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar turut berkata, pihaknya menghormati fatwa yang dikeluarkan, namun pihak Jawatankuasa Fatwa perlu melihat demonstrasi itu dalan konteks yang lebih luas, bukan semata-mata demonstrasi tersebut.

"Majlis Fatwa perlu melihat punca demonstrasi tersebut berlaku. Rakyat turun ke jalanan bagi menuntut pilihan raya yang adil dan bersih.

"Menurut pengamatan saya, pihak polis yang telah melanggar fatwa tersebut apabila mereka memukul perusuh dan mencetuskan keganasan.

Tambah Mahfuz (gambar), terdapatnya unsur penyelewengan dalam daftar pemilih yang menjadi punca masyarakat turun ke jalanan.

"Saya tidaklah kata tak setuju, itu hak mereka membuat fatwa. Tapi fatwa perlu lihat keseluruhan. Jadi sesuai dengan fatwa itu sendiri.

"Lagipun kami turun ke jalanan mengadakan demonstrasi hanya membawa air mineral dan garam, tiidak melibatkan penggunaan senjata," katanya menegaskan niat mereka adalah menuntut pembersihan daftar pemilih dalam sistem pilihan raya dan bukannya ingin menghuru-harakan negara.

"Sewaktu kita pergi demonstrasi ia dalam keadaan aman. Kita sendiri tidak tahu yang demonstrasi itu akan bertukar ganas.

Jelas Ahli Parlimen Pokok Sena ini lagi, fatwa itu menyatakan haram jika berniat jahat sewaktu menyertai demonstrasi tersebut, beliau bagaimanapun menegaskan, pihaknya menyertai demonstrasi tersebut dengan niat yang baik.

"Kita hanya duduk bantah, menuntut pilihan raya bersih dan adil," tambahnya.

Sementara itu, ulama PAS juga menyeru Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan agar tidak mengeluarkan pandangan yang sempit dan melibatkan demonstrasi semata-mata, sebaliknya mengambil kira punca demonstrasi itu sendiri iaitu kepincangan sistem pilihan raya.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Harun Taib menegaskan, demonstrasi yang menjurus kepada perkara kebaikan dan tugas "amar makruf nahi mungkar" adalah sangat digalakkan dalam Islam.

"Demonstrasi menyatakan pandangan adalah berasaskan kepada kewajipan amar makruf nahi munkar yang dituntut oleh Islam," katanya mengulas pandangan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, semalam berhubung demonstrasi Bersih 3.0.

Lapan tuntutan Bersih adalah bagi menambah baik sistem pilihan raya di negara ini yang dilihat tidak telus dalam proses pilihan raya.

Jelas Adun Manir ini lagi, "ia merupakan sebahagian tugas amar makruf nahi munkar yang mesti dilaksanakan oleh rakyat terutamanya umat Islam".

Tambahnya, keganasan ketika insiden Bersih 3.0 tidak akan wujud sekiranya tiada provokasi daripada pihak-pihak tertentu,

"Tanpa sebarang provokosi daripada pihak tertentu demonstrasi aman tidak akan mencetuskan huru-hara," katanya.

Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat, Dr Khairuddin Aman Razali, pula menegaskan, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan diminta tidak menyempitkan pandangan muzakarah melibatkan demonstrasi yang berlaku sahaja.

Tetapi, tambahnya mereka perlu mengeluarkan pandangan terhadap kepincangan pengurusan kewangan negara, seperti amalan rasuah yang berleluasa, dan ketirisan dengan tujuan politik jahat.

"Dengan itu, Jawatankuasa Fatwa akan dilihat berwibawa dan tidak menjadi alat pemerintah semata-mata, malah menjadi suara amar makruf nahi munkar mewakili rakyat," tambahnya lagi.

Jawatankuasa fatwa semalam berkata mereka memandang serius isu perhimpunan itu di mana adanya umat Islam menjadi perusuh jalanan, seperti dalam perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lepas.

Pengerusi jawatankuasa itu, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin, dipetik berkata: "Tindakan merusuh, membawa kacau bilau dan merosakkan harta benda awam adalah suatu perbuatan yang ditegah Islam. Malah niat untuk menjatuhkan negara yang sah di sisi undang-undang melalui penganjuran demonstrasi seumpama itu juga haram di sisi agama.

"Sesiapa juga tidak boleh buat, tidak (boleh) bersetuju ke arah (usaha) mendatangkan kemudaratan, keresahan, menjadikan rusuhan sesama kita hingga berpecah, apatah lagi kalau berlaku pertumpahan darah."

Abdul Shukor berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan muzakarah ke-99 jawatankuasa itu semalam.

BN Sarawak kekal dengan gabungan muka lama dan baru pada PRU akan datang

Posted: 08 May 2012 12:09 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER


MUKAH— Barisan Nasional (BN) Sarawak akan tetap berpegang kepada strategi yang telah terbukti kejayaannya iaitu dengan meletakkan calon muka lama dan baharu atau penyandang bagi sesuatu kerusi bagi pilihan raya umum akan datang, kata Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Beliau yangjuga Pengerusi BN Negeri berkata muka lama atau penyandang diperlukan kerana mereka berpengalaman dan telah diuji walaupun mereka mungkin kurang aktif.

"Kita perlu muka baharu supaya kita dapat melatih mereka dengan pengalaman kita untuk menjadi pemimpin masa depan. Yang baru juga lebih aktif," katanya pada sesi bertemu orang ramai di Oya dekat sini, hari ini.

Taib yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata parti beliau akan meletakkan satu atau dua muka baharu pada pilihan raya akan datang.

"Semuanya terpulang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai pengerusi BN untuk membuat keputusan dan menyokongnya.

"Sudah pasti kita masih memerlukan pemimpin muda yang mahu melihat Sarawak dan negara ini kekal teguh, stabil, bersatu dan progresif," katanya.

Sarawak mempunyai 31 kerusi Parlimen dengan 14 daripadanya dipegang oleh PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (tujuh), enam oleh Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan empat dipegang Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Taib berkata pada pilihan raya negeri lepas, PBB juga meletakkan 10 muka baharu manakala enam daripada 14 Anggota Parlimennya merupakan mereka yang pernah berkhidmat satu penggal.

Beliau juga berkata tiga anggota wanitanya merupakan Anggota Parlimen dan ada kemungkinan mereka akan meletakkan lebih ramai calon wanita dalam pilihan raya pada masa depan.

Sementara itu, beliau mahu rakyat supaya memikirkan mengenai soal mengenai pembangunan, kestabilan, kemakmuran dan perpaduan di negara ini dan mengenepikan soal-soal remeh dalam pilihan raya akan datang.

"Hanya kerajaan BN dan wakil rakyatnya mampu memenuhi impian itu kerana mereka mempunyai kriteria dan kualiti sedemikian," katanya.

Pada majlis itu, Taib mengumumkan geran RM100,000 bagi menggalakkan lebih ramai kaum wanita menceburi bidang perniagaan di bandar Dalat yang berdekatan.

Kerajaan akan tumpu pada pengeluaran tenaga kerja mahir, kata Muhyiddin

Posted: 08 May 2012 12:06 AM PDT

 
 
ABU DHABI — Kerajaan kini menumpukan kepada bagaimana sistem pendidikan dapat mengeluarkan tenaga kerja mahir dan berkelayakan di masa depan, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 
Tan Sri Muhyiddin: "Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua juga penting." — Foto fail
Beliau berkata ini adalah kerana program transformasi ekonomi yang sedang dilaksanakan kerajaan, diunjur mewujudkan kira-kira 3.3 juta peluang kerja baru yang kebanyakannya perlu diisi dengan tenaga kerja mahir tempatan.
 "Ini amat penting. Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua juga penting, sains dan teknologi juga sama penting.

"Jadi (sektor) pendidikan perlu bergerak seiring dengan keperluan negara," katanya kepada kira-kira 250 rakyat Malaysia pada Majlis Mesra Bersama Rakyat Malaysia Abu Dhabi, di sini semalam.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata oleh yang demikian, kerajaan pada minggu lepas memutuskan untuk melakukan semakan terhadap sistem pendidikan.

Beliau berkata Dialog Pendidikan Negara mempelawa semua pihak berkepentingan untuk mengemukakan pandangan, idea, cadangan dan pendapat untuk penambahbaikan sistem pendidikan.

Dalam langkah penting itu, Muhyiddin berkata dialog berkenaan akan selesai dalam tiga bulan dan akan merumuskan draf rangka kerja untuk perancangan dan hala tuju pendidikan untuk tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.

Dasar pendidikan sekarang adalah berdasarkan Laporan Razak 1956.

"Negara perlu mempunyai sistem pendidikan yang bukan sahaja menjaga kepentingan masyarakat umum pada masa kini tetapi juga apa yang diunjurkan dalam 10 hingga 15 tahun akan datang," katanya.

Beliau berkata tenaga kerja mahir Malaysia yang bekerja di luar negara juga digalakkan untuk pulang ke tanah air dan membantu negara untuk maju dan makmur.

Muhyiddin kini dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Emiriah Arab Bersatu (UAE). Beliau diiringi isterinya Puan Sri Norainee Abdul Rahman dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Terdahulu, Muhyiddin menghadap Putera Mahkota Abu Dhabi Jeneral Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.

 "Sheikh Mohamed amat gembira dengan rakyat Malaysia yang bekerja di UAE dan pujian harus diberikan kepada anda semua. Ia adalah kerana khidmat bagus yang diberikan untuk membantu pertumbuhan bandar raya ini dan mereka memerlukan perkhidmatan dan kepakaran ini," kata Muhyiddin.

Timbalan Perdana Menteri kemudian mengadakan pertemuan dan menghadiri majlis makan malam dengan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri UAE Sheikh Saif Zayed Al Nahyan. — Bernama

Tenaganita dakwa Malaysia tidak selamat untuk pekerja Indonesia

Posted: 08 May 2012 12:03 AM PDT

 
 
JAKARTA — Pengarah Eksekutif Tenaganita Irene Fernandez membuat kenyataan mengejutkan di sini apabila mendakwa Malaysia tidak selamat langsung untuk pekerja Indonesia kerana negara itu tidak mempunyai rangka kerja mahupun undang-undang khusus untuk melindungi pekerja.

Dalam satu temu bual berbentuk soal jawab yang disiarkan The Jakarta Post pada Isnin, beliau turut mendakwa kerajaan Malaysia mengamalkan diskriminasi terhadap pembantu rumah dan pekerja ladang, yang mana kedua-duanya tidak termasuk di bawah polisi kadar gaji minimum sektor swasta.

"Pekerja migran telah dijadikan sasaran eskploitasi, penderaan fizikal, keganasan dan rogol seiring dengan kemunculan industri perkhidmatan penjagaan dan penswastaan sektor jagaan kesihatan, yang merupakan sebahagian kapitalisme neo-liberal yang merosakkan ekonomi Malaysia dan meningkatkan ketaksamaan pada kalangan pekerja migran, khususnya wanita," katanya.

Fernandez juga berkata majikan Malaysia yang menyimpan pasport amah mereka bebas melakukan apa sahaja terhadap pekerja kerana mereka membeli amah terbabit serta bebas daripada tindakan kerana telah membayar polis dan keputusan mahkamah jika pekerja berkenaan menyaman mereka.

Kerajaan Indonesia, katanya tidak harus menyambung penghantaran pekerja ke Malaysia sehingga kerajaan dan majikan menukar pemikiran dan menggubal undang-undang khusus untuk melindungi pekerja dan hak mereka.

Fernandez juga berkata ramai majikan melanggar undang-undang imigresen kerana mengupah pekerja yang tiada dokumen sah, tetapi tidak dihukum kerana mereka membayar polis dan pegawai imigresen dalam pakatan sulit untuk menyalahkan pekerja.

"Pada 2011, kami merekodkan lebih 1,500 kes membabitkan pekerja tanpa dokumen dan 500 kes melibatkan majikan melanggar undang-undang imigresen.

Kebanyakan pekerja tanpa izin dihantar pulang selepas menjalani hukuman penjara sementara majikan bebas daripada tuduhan," katanya.

Mengulas Program 6P yang dilaksana kerajaan Malaysia, beliau berkata:" 6P adalah akronim untuk penipuan dan bukan pendaftaran, pemutihan, pengusiran, pemantauan, penguatkuasaan dan pengampunan kerana 1,000 daripada 1,300 pekerja yang ditahan bagi tempoh Januari-April masih belum didokumentasikan walaupun telah membayar antara RM2,000 hingga RM4,000.

"Daripada 1,000 pekerja yang masih tiada dokumen dan menjadi mangsa dalam Program 6P itu, 400 adalah warga Indonesia. Kami telah memfailkan aduan kepada polis terhadap ahli perniagaan tempatan yang didakwa terlibat dalam penipuan dan penyeludupan berkaitan pelaksanaan sistem biometrik untuk melaksanakan program itu."

Mengenai kes tembak ke atas tiga pekerja Indonesia di Negeri Sembilan, Fernandez berkata polis tidak ada kuasa untuk menembak mereka sekalipun mereka adalah suspek penjenayah dan mereka sepatutnya ditahan serta dihadapkan ke muka pengadilan jika ditangkap ketika melakukan jenayah.

"Berdasarkan laporan yang kami terima tiga pekerja terbabit bukan penjenayah atau pelarian dan mereka tidak ditangkap melakukan jenayah. Kes itu mesti disiasat bagi membuktikan dakwaan bahawa mereka mangsa penyeludupan untuk tujuan pemerolehan organ manusia," katanya.

Fernandez berkata penyeludupan buruh, kanak-kanak dan juga bayi semakin berleluasa di negara itu sejak tiga tahun lepas, dan di Sarawak pekerja wanita yang menjadi mangsa penyeludupan dirogol serta dipaksa melahirkan anak, yang mana dibeli oleh ramai rakyat Singapura pada harga US$24,000 bagi setiap bayi.

Beliau berkata pekerja warga Indonesia, terutama pembantu rumah dan tukang kebun, akan terus menghadapi masalah dengan majikan dan pihak berkuasa memandangkan perjanjian yang disemak semula antara Indonesia dan Malaysia tidak meliputi pelbagai hak membabitkan hak mereka.

"Saya hargai polisi kerajaan Indonesia untuk tidak menyambung semula penghantaran pekerja sehingga perjanjian bilateral itu menjelaskan hak pekerja dan sistem pengambilan yang disemak semula bagi meletakkan pekerja dan majikan pada kedudukan setara.

Terdapat kira-kira dua juta pekerja dari Indonesia yang kebanyakannya bekerja sebagai pembantu domestik dan buruh di sektor pertanian.

Najib umum durian runtuh rm15,000 kepada setiap keluarga peneroka

Posted: 07 May 2012 11:56 PM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER
TERKINI 
 
 
JERANTUT— Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan durian runtuh bukan sahaja kepada peneroka warga kerja Felda malah untuk isteri dan anak peneroka.

Durian runtuh untuk peneroka adalah berjumlah RM1.689 bilion untuk diagihkan kepada 112,635 keluarga peneroka di seluruh negara sempena penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia.

Datuk Seri Najib di Padang Felda Jengka 8, Jerantut: Felda kini telah memasuki satu transformasi baru. — Foto oleh Choo Choy May
Ketika mengumumkan berita baik itu di hadapan kira-kira 50,000 warga peneroka Felda di Majlis Peneroka Bersama Perdana Menteri di Felda Jengka 8,

dekat sini, Najib berkata Felda kini telah memasuki satu transformasi baru setelah penyenaraian FGVH.

Beliau berkata pemberian durian runtuh itu akan dilakukan dalam tiga fasa iaitu fasa pertama berjumlah RM5,000 untuk ketua keluarga, fasa kedua sebanyak RM5,000 untuk isteri peneroka dan fasa ketiga RM5,000 kepada generasi kedua Felda.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan bonus dua bulan setengah gaji kepada petugas dan pegawai Felda.

Turut hadir, isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Bercakap kepada pemberita selepas pengumuman itu, Najib berkata pembayaran bagi fasa pertama akan diagihkan dalam tempoh antara dua hingga tiga minggu dari hari ini.

"Pembayaran akan dibuat secara tunai dan fasa kedua akan dibuat sebaik sahaja selesai pembayaran fasa pertama manakala pemberian bonus kepada kakitangan Felda juga akan dibuat dalam masa terdekat," katanya.

Pada majlis itu juga, Najib turut mengumumkan tiga lagi insentif yang disifatkan beliau sebagai 'durian gugur' iaitu tabung amanah, "blue form" untuk saham FGVH kepada peneroka dan tambahan bantuan untuk dana Yayasan Felda bagi membantu program baik pulih kampung-kampung lama dan tradisional di kawasan Felda.

Berkenaan dengan tabung amanah itu, Najib berkata sebanyak 20 peratus dalam tabung amanah adalah untuk penyenaraian FGVH dan sekiranya FGVH dapat keuntungan maka dividen akan diberi kepada setiap peneroka.

"Pada tahun depan kita jangkakan keuntungan sebanyak RM1.5 bilion dan sekiranya jumlah itu kekal seperti tahun lepas, setiap peneroka akan menerima lebih RM1,300, kalau untung lebih, peneroka akan dapat lebih lagi." — Bernama

Kasih anak: Saya tidak pernah derhaka - Azmin

Posted: 07 May 2012 11:51 PM PDT

  Azmin Ali


Allahyarham ayahanda saya, Pak Ali senantiasa mendidik saya untuk patuh kepada tuntutan Al-Quran, berakhlak luhur dan tuntas istiqamah kepada prinsip perjuangan. Didikan dari kecil untuk menghormati serta mengasihi kedua ibu-bapa sesuai dengan pesan ajaran agama Islam menjadi pegangan saya.

Saya tidak pernah menderhaka kepada ibu saya. Saya senantiasa kasih dan sayang kepada ibu dan bapa saya. Saya tetap mendoakan semoga ibu saya senantiasa berada dalam lindungan Allah SWT dan mendapat rahmatNya serta beroleh kesihatan yang baik. Saya turut mendoakan semoga Allahyarham ayahanda saya mendapat husnul khatimah dan ditempatkan ruhnya di syurga yang penuh nikmat.

Saya menyeru kepada media supaya tidak mengganggu ibu saya dan Umno janganlah mengheret ibu saya ke dalam kancah politik Umno yang kotor dan jijik. Institusi keluarga termasuk hubungan kekeluargaan perlu disejahterakan dan bukannya diaibkan di dada media.

Saya tetap sayang dan hormat ibu saya. Saya juga bersyukur dianugerahkan isteri, Shida yang taat dan setia serta anak-anak yang memahami citra perjuangan yang murni ini.

Saya bertekad untuk meneruskan perjuangan menjana perubahan melalui wacana segar yang mengangkat dasar kepedulian rakyat. Saya berazam untuk melawan budaya politik jelek yang disuburkan oleh Umno dan media yang ditunggangi mereka.

Saya berserah segala-galanya kepada Allah SWT dalam menghadapi mehnah ini tetapi saya tidak akan tunduk menyerah kepada tekanan fitnah Umno. Saya akan tumpu kepada usaha dan kerja- kerja Parti selaku Pengarah Jabatan Pilihanraya Pusat (JPRP) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13 yang dijangkakan pada bulan Jun 2012.

Mohamed Azmin Ali
Timbalan Presiden KEADILAN

Anwar: 'Najib tidak tahu beza Bersih-Mesir'

Posted: 07 May 2012 05:32 PM PDT

Wartawan Sinar Harian

Datuk Seri Anwar Ibrahim
 
Datuk Seri Anwar Ibrahim
 
 
KUALA LUMPUR - Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak dapat membezakan matlamat perhimpunan Bersih 3.0 baru-baru ini dan kebangkitan rakyat yang disaksikan di Dataran Tahrir, Mesir tahun lalu.

Justeru katanya, Kerajaan Pusat pimpinan Najib menggunakan pelbagai pihak dan agensi untuk mengelirukan rakyat.

"Jadi dia gunakan bekas Ketua Polis (Negara) dan ahli Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan," kata beliau ketika berucap pada siri Ceramah Perdana dan Jelajah Merdeka: Pasca-Bersih 3.0 di Padang Kampung Baru, Batu Caves dekat sini, malam tadi.

Siri ceramah itu susulan kepada perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara pada 28 April, dilihat sebagai usaha mengekalkan momentum menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat berkata mahu menggunakan platform itu untuk menjelaskan tujuan dan matlamat perhimpunan Bersih 3.0 sementara Barisan Nasional (BN) pula termasuk Najib mendakwa pembangkang menggunakan perhimpunan itu untuk menggulingkan kerajaan sebagaimana berlaku di Mesir awal tahun lalu.

Hadir sama Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agungnya, Datuk Saifudin Nasution Ismail dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang juga ahli jawatankausa Pas Pusat.

Dilihat menyentuh kenyataan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia dikeluarkan kelmarin, Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata, persoalan fatwa mengenai menyertai demonstrasi itu haram ataupun tidak sudah pun dijawab dalam buku terbaru ulama tersohor, Dr Yusuf Al-Qardawi.

"Buku itu bertajuk 'Taurah Syaar' yang bermaksud kebangkitan rakyat.

"Dah jawab dah soalan ahli jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan pada bab pertama dalam buku tersebut.
"Ada orang mengatakan demonstrasi itu bukan budaya Islam, bukan budaya Arab dan diimport dari luar, tetapi Qardawi mengulas dengan menulis ayat Quran yang bermaksud `harus kerjasama dalam membuat kebaikan'...," kata Anwar yang turut berada di kawasan berhampiran Dataran Merdeka pada 28 April lalu.

Sebelum ini ada dakwaan mengatakan Anwar dan Pengerusi Bersama 2.0, Datuk S. Ambiga harus bertanggungjawab menyebabkan peserta merempuh sekatan polis menghala ke Dataran Merdeka. Bagaimanapun perkara itu telah dinafikan oleh Anwar dan Ambiga.

Dalam pada itu, Anwar turut menyatakan keyakinan untuk menang pada PRU13 dengan sokongan yang ditunjukkan oleh penyokongnya.

"Jika kita menang, kita akan laksanakan pendidikan percuma, pemberian permit teksi kepada semua pemandu teksi dan memberi hak kewarganegaraan kepada kaum India yang masih tidak mendapat taraf kerakyatan.

"Politik bukanlah persaingan melalui perkataan tetapi perjuangan untuk rakyat," tambah Anwar.
Anwar juga turut menyatakan beliau tiada masalah dengan pihak polis dan mereka juga akan menjadi penjaga keamanan negara pada kerajaan reformasi apabila Pakatan Rakyat menang nanti.

BONDANYA DIPERGUNAKAN, AZWAN ALI MENGAMUK SAKAN?

Posted: 07 May 2012 05:28 PM PDT

Panas!!Azwan Ali Mengamuk Dalam Twitter Lagi...
  
Oleh: usamah

" 
Aku hairan la dengan pompuan nih.Sanggup mempergunakan ibu sendiri demi mencapai cita-cita politik.Sanggup menggunakan politik kotor mengheret ibu yang uzur tua bagi memburukkan anak sendiri dalam media sex.Aku yakin kenyataan yang dibuat oleh ibu tua ni bernsur politik dan ada orang politik Umno yang mendalangi segmen nih..Tambahan pula gambar lucah individu mirip azmin Ali kini tersebar luas di media-media Umno terutamanya Surat khabar Lucah Umno UTusex Meloya.

Dengan kebiadapan perempuan yang bernama Ummi hafilda nie telah membangkitkan kemarahan dan kebencian yang amat sangat kepada saudaranya Azwan Ali.Baru-baru nih aku tengok dah berbaik 2 orang nih.Tapi aku yakin azwan ali berbuat demikian disebabkan terpaksa untuk menjaga hati ibunya dan mungkin juga diugut oleh individu..Perbuatan terkutuk Perempuan yang dahulunya digelar oleh Azwan Ali dengan"BN"Betina NEraka telah menaikkan marah azwan dalam twitternya.


Woit hafilda!!!Sudah-sudahla dengan politik kotor hang tuu...Sampai nak gunakan Mak kandung sendiri apa kejadahnya???Berapa habuan dunia yang hang dapat??

http://siasahkini.blogspot.com/2012/05/panasazwan-ali-mengamuk-dalam-twitter.html

Kualiti Ziana Zain

Posted: 07 May 2012 05:18 PM PDT

KOSMO 


TANGGAL 2 Mei lalu, genap 44 tahun usia penyanyi, pelakon dan model terkenal Ziana Zain. Bagi meraikan ulang tahun kelahiran Ziana, satu sambutan ringkas telah diadakan bersama peminatnya di Red Box, The Gardens, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.

Bertemu dengan ibu kepada empat orang anak iaitu Muhammad Aiman, 12, Muhammad Ammar, 9, serta pasangan kembar Muhammad Ariel Armin dan Siti Nour Kaseh Armin Zaharin, 1 tahun 5 bulan, yang kekal jelita itu, ternyata Ziana seorang yang cukup merendah diri berbeza dengan nama besarnya, malah dia cukup suka tertawa.

Bercerita perihal kerjayanya, Ziana antara anak seni yang cukup sukses dan kekal bertahan selepas 21 tahun aktif dalam dunia seni sejak muncul dengan album pertama berjudul Madah Berhelah pada tahun 1991.

Namanya terus harum, malah menjadi semakin mahal dan terus dipuja sehingga sekarang. Rahsianya, mungkin kerana vokalnya yang berbeza dan tidak mempunyai klon yang serupa dengan dirinya.

Tertawa dengan pujian yang diberikan, Ziana mengatakan suara yang dimiliki adalah kurniaan Allah. Vokal setiap penyanyi berbeza-beza dan dia bersyukur kerana vokal serta lagunya diterima peminat.

"Saya sangat bertuah dan bersyukur kerana disayangi peminat sejak muncul dengan album pertama sampai saya sudah ada empat orang anak," tuturnya.

Ditanya bagaimana Ziana menjaga vokalnya, tegasnya, dia mengelak untuk meminum air sejuk dan minuman bergas.

"Pernah ketika mula-mula jadi penyanyi, saya langsung tidak sentuh air sejuk dan bergas kerana bimbang boleh mengganggu kualiti vokal.

"Namun, sekarang suara saya sudah lasak, sesekali minum air sejuk dan bergas apa salahnya. Rugi pula kalau tidak merasa minum air sejuk," katanya yang telah muncul dengan tujuh buah album studio.

Bukan setakat vokal, jelas penyanyi yang pernah bergelar gadis kilang serta pramugari itu lagi, untuk mengekalkan reputasi dan juga kejayaan, dia menjadi dirinya sendiri setiap masa.

"Saya menjadi diri saya yang sebenar iaitu Siti Roziana pada setiap masa, tidak kiralah di rumah, di pentas persembahan dan juga ketika bersama peminat.

"Apabila kita menjadi diri sendiri dan merasakan pekerjaan saya iaitu menyanyi, berlakon dan model sebagai satu tanggungjawab, saya akan melakukan sebaik mungkin dalam semua perkara.

"Tidak perlu meniru atau menjadi orang lain semata-mata mahu dihargai. Paling penting, saya harus jujur dengan orang yang menyayangi saya, iaitu jujur terhadap keluarga dan peminat," luahnya lagi.

Selepas 10 atau 15 tahun akan datang, andai kata Ziana tidak lagi bergerak aktif di pentas nyanyian, beritahunya, dia mahu meninggalkan nama, imej yang bersih serta lagu malar segar buat peminat.

"Saya mahu lagu-lagu saya menjadi motivasi buat orang yang mendengarnya dan juga meninggalkan imej serta semua perkara terbaik yang peminat boleh ingati apabila saya sudah tidak bergelar anak seni lagi nanti," katanya dalam nada serius.




ZIANA ZAIN tidak suka menghampakan harapan para peminatnya. Saban tahun, dia akan berkumpul dengan peminat yang sentiasa menyokong karier seninya.



Sambutan ulang tahun

Ziana memang cukup mesra bersama peminatnya. Hal itu dapat dilihat sewaktu sambutan ulang tahunnya, baru-baru ini. Dia memberitahu, hampir saban tahun jika dia tidak bercuti daripada mengandung atau berpantang, pasti ada sahaja sambutan ulang tahun dirancang oleh peminat setianya.

"Jika tiada peminat, tiadalah Ziana Zain hari ini. Jadi, apa salahnya saya meluangkan masa sehari bersama peminat yang tidak putus-putus menyokong saya daripada dahulu sehingga ke hari ini.

"Boleh dikatakan, saya rapat dengan peminat kerana bukan sekali dua perjumpaan seperti ini diadakan, tetapi sudah banyak kali. Memang saya seronok kerana rasa diri dihargai, begitu juga peminat yang merasakan diri mereka dihargai oleh saya," katanya yang berusaha untuk memenuhi undangan setiap peminatnya.

Apabila disoal adakah dia turut meraikan ulang tahun bersama keluarga, Ziana tersenyum lebar. Katanya, sambutan hari ulang tahun bukan satu tradisi dalam keluarganya, tetapi memadai dengan ucapan tanda kasih sayang terutamanya daripada suami tercinta, Armin Zaharin.

"Saya amat pentingkan kad ucapan. Tahun ini saya menerima tiga kad ucapan daripada suami. Bagi saya kad ucapan lebih romantis dan mempunyai nilai nostalgia yang tinggi," katanya yang mempunyai sekotak koleksi kad ucapan daripada suami.

Ditanya antara perkataan daripada suami yang menyentuh hatinya, sambil menitiskan air mata, Ziana memberitahu: "Saya selalu menyakiti hati awak dan membuatkan awak menangis, tetapi awak tetap setia berada di sisi saya. Terima kasih kerana menyayangi saya sebagai suami serta menjadi isteri yang terbaik buat saya."

Ulas Ziana, kad ucapan merupakan barang paling penting berbanding material lain. Ini kerana, dia berpendapat, kad ucapan mampu menghangatkan hubungan kerana ia boleh dibaca berulang kali untuk mengingati saat-saat indah.

"Bukan semua orang boleh meluahkan ucapan sayang di bibir, sebaliknya mereka akan menjadi ikhlas apabila menulis di atas kad," katanya yang turut menerima kad hari lahir daripada dua anaknya iaitu Aiman dan Ammar.

Awet muda 

Tampil dengan busana berwarna kuning rekaan Zery Zamry yang merupakan warna tema majlis sambutan hari ulang tahunnya, Ziana kelihatan cukup anggun dan lebih muda daripada usia sebenarnya.

Apabila disoal apa rahsianya mengekalkan awet muda, Ziana memberitahu dia mengikut petua orang tua seperti berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW setiap pagi dan melakukan senaman muka.

"Orang tua kita banyak petua yang baik untuk diamalkan, selain itu saya juga mengambil vitamin untuk mengekalkan kecergasan tubuh. Saya juga banyak mengambil jus buah-buahan setiap hari," katanya yang memberitahu hati yang gembira merupakan kunci kepada awet muda.

Tidak berselindung, Ziana juga mengakui mengambil kolagen dan juga vitamin C untuk mengekalkan kecantikan wajah serta tubuh.

"Sebenarnya sudah lama saya ambil kolagen dan vitamin C dan nampak perubahan yang ketara. Bagaimanapun dengan lambakan produk kolagen serta vitamin C hari ini, saya risau ada pengguna yang tersalah pilih produk.




ZIANA cukup terharu apabila diberi sejambak bunga oleh peminatnya pada sambutan ulang tahun ke-44nya baru-baru ini.



"Sebelum saya mengambil sesuatu produk, saya akan kaji dan bertanyakan kemusykilan kepada doktor yang bertauliah. Bagi saya tidak ada salahnya mengambil kolagen dan vitamin C untuk kesihatan," ujarnya yang mengambil produk tersebut dalam bentuk serbuk.

Disebabkan terlalu ramai peminat yang sering bertanya tentang rahsia kecantikannya, Ziana mengambil keputusan untuk mengeluarkan produk kesihatan atas jenamanya sendiri, selewat-lewatnya pada hujung tahun ini.

"Apabila ramai yang bertanya tentang rahsia kecantikan, saya terfikir untuk mengeluarkan produk kesihatan sendiri. Bagi saya, produk yang bakal dikeluarkan ini merupakan salah satu cara saya berkongsi rahsia dengan peminat.

"Sebelum menjual produk kesihatan, saya telah mencubanya sendiri untuk tiga bulan dan melihat hasilnya yang memuaskan baru saya yakin untuk menjualnya. Harganya tidak mahal dan boleh dibeli oleh pelbagai lapisan masyarakat," ulas Ziana mengenai perancangan menjual produk jenama sendirinya itu.

Tiada ulasan: