Selasa, 1 Mei 2012

BRIGED MP SEGAMBUT

BRIGED MP SEGAMBUT


Majlis Peguam: Tindakan polis 'sangat buruk'

Posted: 01 May 2012 05:49 AM PDT

Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee berkata tindakan pihak polis ke atas peserta perhimpunan BERSIH 3.0 diperhatikan "lebih ganas" berbanding ketika menangani perhimpunan sebelum ini.
Perkara itu merupakan antara yang dimuatkan dalam laporan awal badan itu, berdasarkan pemerhatian ke atas perjalanan perhimpunan tersebut.
NONELaporan awal itu disusun daripada laporan oleh seramai 78 orang sukarelawannya yang membuat pemerhatian di enam lokasi semasa perhimpunan tersebut.
"Pemerhati kami menyaksikan lebih banyak keganasan polis (tahun ini), lebih banyak penggunaan meriam air dan gas pemedih mata sesuka hati, dan lebih banyak kepungan terhadap peserta himpunan," katanya dalam satu sidang media hari ini.
Beliau mempertikaikan tindakan polis yang menembak gas pemedih mata terus ke arah peserta himpunan dan tidak memberikan ruang kepada kumpulan itu untuk bersurai.

"Kami memerhatikan beberapa amalan kepolisan yang sangat buruk kali ini. Mereka tidak seharusnya menembak terus gas pemedih mata ke arah peserta apabila peserta berhimpit-himpit dan berasak sesama mereka.

"Kita bernasib baik tiada sesiapa dipijak. Polis seharusnya memberikan ruang untuk orang ramai bersurai dan beredar," katanya.
Serang selepas tangkap

Turut bercakap dalam sidang media di bangunan Majlis Peguam itu ialah timbalan presiden badan tersebut, Christopher Leong yang kesal dengan serangan polis terhadap peserta perhimpunan dan petugas media.

"Apa perlunya menyerang peserta yang sudah ditangkap? Apa perlunya media dihalang daripada membuat kerja mereka?" katanya.

Menurutnya lagi, polis sewajarnya mempertimbangkan keputusan untuk membiarkan peserta memasuki kawasan Dataran Merdeka apabila hadangan dirobohkan.
NONEKatanya, polis mempunyai pilihan untuk berbuat demikian, berbanding tindakan menyerang peserta perhimpunan dengan gas pemedih mata dan meriam air.

"Apakah akibatnya apabila khalayak memecahkan halangan pada hari itu? Apakah akibat paling buruk apabila khalayak merempuh halangan polis pada hari itu?

"Akibatnya cuma 100,000 orang duduk di Dataran Merdeka dan berkumpul di sana selama sejam lagi. Mereka bukannya mahu merosakkan kemudahan awam atau bangunan ketenteraan yang sensitif.

"Jadi di manakah keseimbangannya di antara keselamatan nasional dan hak asasi manusia?" kata Christopher.

Perhimpunan disertai sehingga 100,000 peserta menuntut pilihan raya bebas dan adil di ibu kota 28 April lalu berakhir dengan aman pada jam 2.30 petang apabila penganjur mengarahkan peserta bersurai.

Bagaimanapun sebahagian peserta bertindak menceroboh pengadang dan memasuki kawasan Dataran Merdeka – menyebabkan polis menembak gas pemedih mata dan meriam air ke arah mereka.

Tiada ulasan: