Ahad, 20 Mei 2012

.

.


Renungan Sabtu

Posted: 19 May 2012 07:42 PM PDT

Perjuangan Berasaskan Bangsa Akan Ketinggalan

Sewaktu menjadi ahli panel satu seminar politik anjuran Pusat Kajian Pilihan Raya dan Demokrasi (Umcedel) Universiti Malaya minggu lalu, semasa ruang soal jawab dibuka, seorang peserta melontarkan pertanyaan yang saya kira penting dan menjadi stigma dalam kepala kebanyakan orang Melayu waktu ini, khususnya ketika hendak membuat pilihan pada PRU 13 kelak.

Soalan itu antara lain mengenai keraguan beliau kepada Pakatan Rakyat yang mana kedudukannya tidak sama dengan BN. Menurutnya di dalam BN ada Umno yang menjadi tunggak kepada gabungan berkenaan di mana Umno adalah Melayu, tetapi dalam Pakatan Rakyat tidak ada mana-mana puak yang menjadi tunggak apa lagi Melayu tidak mendominasi.

Katanya orang Melayu tidak dapat menguasai Pakatan Rakyat apabila kedudukan atau percentage  mengikut kaum hampiran sama saja. Jadi soalya dimanakah kekuatan Melayu di dalam Pakatan Rakyat berbanding dengan Umno di dalam BN. Apa yang penanya itu igin tahu bagaimana masa depan Melayu sekiranya Pakatan Rakyat memerintah negara ini kerana di dalam pakatan itu Melayu tidak dominan macam Umno dalam BN.

Pertanyaan dan persoalan itulah yang dilemparkan oleh Umno kepada orang ramai kini. Yang dijadikan bahan ugutan atau pun ancaman kepada orang Melayu sekiranya orang Melayu tidak memilih Umno. Umno menimbulkan kesangsian mengenai masa depan mereka. Kebimbangan dan kepercayaan seperti itu sebahagian daripada mitos yang dipuja dan dikeramatkan oleh Umno atau pun disulakan dalam minda Melayu.

Pandangan atau pun kebimbangan itu bukan terbit atau idea dari kalangan broker politik di kedai kopi, ruang legar gotel tetapi ia adalah antara isu atau realiti yang dimamah oleh cerdik pandai. Buktinya di dalam seminar berkenaan hampir 100 peratus ia dihadiri oleh golongan akademis yang memahami politik dan juga simpulan-simpulan politik serta sistem demokrasi.

Tetapi kerana ia dilontar dalam forum rasmi begitu untuk mendapat jawaban, ataupun ingin menguji apakah ada jawaban di luar sana terhadap permasalahan itu, walhualam. Tetapi saya lihat soalan itu cuba membimbing orang lain agar ikut terperangkap dalam perminan 'cilok' politik Umno. Saya menjawab persoalan yang dikemukakan itu dengan memberi huraian seperti berikut.

Saya kata, kalau Pakatan Rakyat dalam konteks.. ini Pas masih berfikiran seperti Umno meletakkan soal bangsa atau kaum di hadapan, memang kebimbangan itu berlaku. Tetapi umum kena sedar bahawa matlamat atau perjuangan Pas bukan berdasarkan kepada ras lagi tetapi berdasar kepada realiti.

Realitinya, politik kini kata saya, baik Pas, PKR atau DAP tidak lagi memperjuangkan kaum malahan ideologi juga sudah di kesampingkan. Apa yang ada dalam kotak politik mereka ialah menang dan dapat menumbangkan kerajaan BN. Itu matlamatnya. Politik mendapatkan kuasa sesuai dengan matlamat atau teori Machiavelli - matlamat menghalalkan cara.

Manakala Pas pula telah mesejagatkan perjuangannya dengan meletakkan agama sebagai tonggak utama. Dalam hal ini Pas lebih ke depan dalam merealisasikan realiti politik di negara ini baik mengikut demografi pengundi berasaskan kaum dan juga persefahaman awal semasa membentuk negara ini.

Kata saya, sesiapa yang berjuang berdasar atau mengutamakan kaum akan kecewa kerana politik sebegitu bukan sahaja tidak praktikal lagi tetapi sudah tidak relevan dengan realiti politik negara ini. Umno juga lama kelamaan akan hilang dan lenyap kalau mereka tidak memperbetulkan natijah dan matlamat politik mereka. Kalau Umno berterusan obses memperjuangkan kaum dalam lingkungan diri sendiri, budaya sendiri parti itu lama kelamaan akan pupus. Pada saat dunia melimpahi sempadan 'politik gogak' tidak boleh diamalkan lagi.

Kesimpulan menjawab persoalan tadi, di alaf ini sudah tidak ada kekuatan sesuatu bangsa atau kaum yang akan menjadi tonggak dalam apa juga sistem pemerintah. Soal bangsa bukan lagi asas kepada perjuangan walaupun bangsa itu adalah identiti kepada sesuatu kelompok atau komuniti.Manakala makin tinggi ilmu dan kesedaran diri seseorang individu atau bangsa itu terhadap hakikat kejadian mereka, maka makin jauh mereka akan meninggalkan soal-soal kepentingan bangsa sebaliknya akan mengambil agama sebagai pegangan dan ideologi perjuangan kerana agama itulah yang akhirnya dinilai bukannya bangsa. [wm.kl.10:31 am 20/05/12]

Tiada ulasan: