shalehudin |
- Lelaki diarak berbogel pasai buat seks ngan bini orang
- Cewaahh... Najib dok tembak sapa tue... kahkahkah...
- BONGKAR: Adik Najib ada kepentingan rupanya...
- WAJIB BACA: Konflik Mahathir - Anwar, bila nak habih...
- Susah woo jadi orang bernama Mahathir nie, kahkahkah...
- BERITA PELIK yang wajib dibaca... kahkahkah...
- Dr Asri ni tibai sapa pulak dahh... kahkahkah...
- TERHOT: Bapak Altantuya janjikan kejutan...
- PANAS: Wan Ji balas kritikan Fathul Bari
- Samy, lu cakap biaq terang la woiii...
Lelaki diarak berbogel pasai buat seks ngan bini orang Posted: 17 Apr 2012 11:00 AM PDT Pasangan diarak selepas perbuatan sumbang. | foto Hiasan INDRAMAYU, (WarkahDaily) -- Seorang lelaki terpaksa menanggung aib apabila dia diarak dalam keadaan berbogel oleh penduduk setempat selepas ditangkap ketika sedang berasmara dengan isteri orang. Ran, 39, dari Kabupaten Subang, Jawa Barat itu terlebih dahulu diarak mengelilingi kampung berkenaan dalam keadaan berbogel sebelum diserah kepada pihak berkuasa akibat perbuatan meniduri isteri orang. Kejadian itu berlaku selepas penduduk melihat suami wanita berkenaan sedang bergaduh dan cuba meleraikannya. Namun selepas mengetahui hal sebenar, kejadian sebaliknya berlaku apabila penduduk turut marah dengan Ran dan membawa lelakii berkenaan untuk diarak ke seluruh kampung. Menurut berita tempatan dari kumpulan Jawa Pos (JPNN), sebelum kejadian, Das, 29, yang sudah lama tidak tinggal sebumbung dengan suaminya sedang asyik melakukan hubungan seks dengan temannya, Ran di rumah orang tua Das di Dusun Kedung Waru, Kecamatan Gabuswetan pada Sabtu. Namun kegiatan haram mereka terbongkar selepas kegiatan itu diterjah oleh suami Das sendiri yang tiba-tiba muncul di tempat kejadian. Berang melihat isterinya sedang berasmara dengan lelaki berkenaan, suami Das terus 'mengajar' Ran dan mula berlaku pergaduhan. Akibat bising kerana teriakan lelaki yang dalam keadaan terkejut itu telah menyebabkan penduduk setempat tersedar dan terjaga. Pada mula pergaduhan mereka cuba dileraikan penduduk selepas melihat Ran dipukul suami wanita berkenaan, namun selepas mengetahui hal sebenar, penduduk turut marah dengan lelaki itu. Tanpa mendapat apa-apa arahan, penduduk langsung mengarak Ran mengelilingi kampung dalam keadaan bogel, kemudian dibawa menuju ke pejabat ketua kampung. Selepas mendapat laporan, polis Gabuswetan terus bergegas ke tempat kejadian dan membawa lelaki malang itu ke hospital Bhayangkara Losarang dan ia kini masih menerima rawatan akibat kejadian berkenaan. Ketua balai polis Gabuswetan, AKP Setyo Aji melalui Ketua Unitnya, Bripka Sutarko telah pun mengesahkan kejadian berkenaan. "Suami wanita berkenaan kini masih lagi dalam siasatan polis. Manakala mangsa masih lagi di hospital untuk menjalani rawatan kerana keadaan kritikal," kata Bripka Sutarko. |
Cewaahh... Najib dok tembak sapa tue... kahkahkah... Posted: 17 Apr 2012 09:37 AM PDT Najib masih berbau Altantuya Apapun, seperti yang diucapkan oleh bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada media tidak lama dahulu, "Najib perlu lepaskan diri daripada Altantuya". Ia sangat benar. Ini kerana Altantuya masih lagi menghantui hidup Najib. Tidak dapat disangkal bahawa Najib bertanggungjawab menimbulan permasalahan Altantuya sama ada secara sengaja atau tidak. Bukankah dia juga menteri pertahanan pada masa itu? Adakah ia penting? Apa yang penting adalah tidak lama lagi, beliau juga akan dipertanggungjawabkan atas kes itu, jika bukan untuk yang lain, ia adalah kerana kebodohan politiknya! - MC |
BONGKAR: Adik Najib ada kepentingan rupanya... Posted: 17 Apr 2012 08:00 AM PDT Pemansuhan PTPTN: Satu ancaman kepada Kapitalisme Hari ini, ramai anak muda dan mahasiswa dicederakan dan diintimidasi secara kasar oleh pihak polis dan DBKL untuk memusnahkan khemah-khemah yang didirikan untuk meluahkan perasaan menentang PTPTN. Ia adalah reaksi spontan daripada anak muda melalui "Occupy Dataran" untuk tuntutan Pendidikan Percuma dan menghapuskan pinjaman pendidikan tinggi melalui tabung PTPTN. Dua hari terdahulu, sekumpulan anak muda dan mahasiswa telah berdemonstrasi untuk tuntutan yang sama dan satu mesej yang jelas telah diberikan bahawa agenda untuk menjadikan golongan terpelajar senantiasa di bawah telunjuk kerajaan adalah tidak mungkin berpanjangan. Ada juga dakwaan bahawa kebergantungan terhadap pinjaman PTPTN ini sebenarnya lebih kepada golongan pemodal yang membina kolej-kolej untuk tujuan perniagaan. Persoalannya siapa yang lebih memerlukan PTPTN ini sebenarnya? PTPTN atau Perbadanan Tabung PendidikanTinggi Nasioanal ditubuhkan pada 1997 untuk memberi pinjaman kepada penuntut pengajian tinggi dan selepas belajar, para penghutang ini perlu membayar balik dengan tambahan faedah pengurusan (baca=bunga) sebanyak 4%. Kini kadar faedah bunganya ialah 1%. Menurut Perdana Menteri Malaysia, sejak dimulakan sehingga sekarang sebanyak RM 43 billion telah dipinjamkan oleh tabung ini dan tahun lalu sahaja lebih kurang RM4 billion telah dikeluarkan sebagai pinjaman kepada para penuntut. Tetapi menurut kepimpinan PKR, jumlah sebenar hanyalah RM 27.5 billion sahaja dan baki pinjaman sekarang adalah lebih kurang RM24.7 billion. Walau apapun angka yang diberitahu, isu yang lebih penting ialah mengapa berbillion ringit telah dikeluarkan sebagai pinjaman? Jawapannya hanya satu. Kenaikan yuran pengajian yang melambung tinggi di awam dan swasta. Lebih-lebih lagi, penubuhan ratusan kolej-kolej untuk penawaran pendidikan tinggi dari sijil hinggalah ke Sarjana dan PhD. Sekiranya, sebuah kursus dikenakan bayaran lebih kurang RM 22,000 di universiti / kolej awam, mengapakah bayarannya lebih dua kali ganda di kolej swasta untuk pengajian kursus yang sama? Siapa yang benarkannya? Siapa yang memantaunya? Kerajaan atau "bapa"nya di sektor swasta? Siapa yang untung di sini? Jom kita ambil kursus kejururawatan di Malaysia! Kolej manakah yang menerima pinjaman PTPTN tertinggi di Malaysia? Kolej Masterskill! Pada tahun 2009 sahaja, mereka menerima RM145.5 juta. Tetapi, tahukah kita bahawa Pengerusi Masterskill Governing Council ialah Mohamed Nazim bin Abdul Razak iaitu adik Perdana Menteri Malaysia dan Cancellor Kolej Universiti Sains Kesihatan Masterskill (MUCH) ialah Raja Azureen iaitu anak kepada Sultan Perak. Untung kolej ini pada tahun tersebut ialah RM 97.4 juta. Siapa yang merasai keuntungan ini? Di pihak yang lagi satu? Anak muda kita yang menuntut kursus kejururawatan ini. Apakah nasib mereka? Statistik menunjukkan lebih kurang 37,000 pelajar sedang mengikuti kursus tersebut di IPTS tetapi pasaran swasta hanya memerlukan 1,400 orang setahun. Jika 37,000 penuntut ini dibahagi tiga untuk nilai keluaran ke pasaran setiap tahun, maka lebih kurang 12,000 pelajar ini akan membanjiri pasaran untuk 1,400 peluang pekerjaan. Apakah nasib mereka yang tidak mungkin akan mendapat kerja? Bukankah ini satu skandal/penipuan kepada anak muda kita hanya semata-mata untuk mencarikan keuntungan melalui peruntukan PTPTN kepada adik beradik dan anak-anak VIP kita. Siapa yang untung? Satu kalkulasi ringkas menunjukkan untuk 12,000 pelajar kejururawatan yang dikeluarkan setiap tahun, jika didarabkan keuntungan kasar sebanyak RM 25,000 seorang, maka pihak institusi mendapat untung RM300 juta. Bagaimana pula untuk kursus-kursus yang lain. Berapakah keuntungan yang masuk ke kocek koperat. Siapa yang untung? Pihak yang memiliki institusi atau penuntut institusi? Pembocoran skandal ini oleh Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma yang diterajui oleh Pemuda Sosialis PSM dan Ahli Parlimen Sg Siput masih tidak mendapat jawapan atau reaksi daripada pihak berkuasa. Satu lagi persoalan yang sepatutnya popular ialah mengapa kerajaan memberi reaksi yang keterlaluan apabila Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat akan menghapuskan PTPTN sekiranya menawan Putrajaya? Pelbagai sebab diberikan termasuk negara akan bankrap, kerajaan akan rugi, Petronas akan runtuh, kolej swasta akan ditutup dan akhirnya kad rasis dilayangkan dengan kenyataan pemansuhan PTPTN akan menjejaskan kepentingan Bumiputera. Sebenarnya semua sebab-sebab ini tidak mendapat reaksi yang sepatutnya kerana Laporan Audit oleh pihak kerajaan sendiri menyatakan ketirisan pengurusan kerajaan akibat korupsi, kronisma dan penyalahgunaan kuasa, mencecah hampir RM28 billion untuk setiap tahun. Maka apakah sebabnya reaksi sebegini? Kerajaan telah mengumumkan pojek perkongsian dengan sektor swasta untuk sistem pendidikan dan perkhidmatan awam lain melalui Rancangan Malaysia ke-10. Walaupun projek "penswastaan" pendidikan ini tidak diheboh-hebohkan, beberapa siri tindakan lanjutan telah diambil termasuk pembinaan ribuan tadika di bawah projek Permata (idea Rosmah) dan pemberian kuasa autonomi kepada universiti tempatan dan sekolah. Antara kuasa yang diberikan ialah kemasukan penaja swasta ke sekolah dan universiti. Maka, kuasa tambahan yang diberi termasuk penentuan yuran, pemilihan pelajar dan pendidik serta pengrekrutan tenaga kerja sokongan (pekebun,penjaga keselamatan dan sebagainya). Isunya, pasaran pendidikan telah dibuka seluas-luasnya oleh Kerajaan BN dan lidah korporat ternganga-nganga untuk menghisap keuntungan yang bakal disajikan. Maka, propaganda pendidikan percuma dan pemansuhan PTPTN jelas satu ancaman kepada cita-cita mereka. Maka, dicucuk boneka-bonekanya di kerajaan untuk bangun menentang tuntutan populis tersebut. Rakyat pada umumnya dan anak muda /mahasiswa memang terpikat dengan idea pemansuhan PTPTN dan ini jelas meruncingkan kepentingan golongan koperat. Walaupun Kerajaan Pakatan Rakyat tidak menghebohkan sistem pendidikan negara akan terbebas daripada cengkaman pasaran/pemodal (baca = mereka masih belum bersedia), sekurang-kurangnya penerapan idea reformis untuk pendidikan percuma / penghapusan PTPTN adalah terlalu dialu-alukan pada ketika ini dan mendapat sokongan penuh daripada Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma (GMPP). Apa yang kami impikan ialah satu sistem pendidikan percuma yang bebas daripada pasaran/pemodal selaras dengan tuntutan umum "Pendidikan Bukan Untuk Diniagakan". Anak Muda Kuasa Perubahan *Karthiges ialah Penyelaras Gabungan Menuntut Pendidikan Percuma. |
WAJIB BACA: Konflik Mahathir - Anwar, bila nak habih... Posted: 17 Apr 2012 03:00 AM PDT Konflik Mahathir-Anwar, bila kemuncaknya? Sedar tak sedar sudah hampir 14 tahun pertembungan politik di antara mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Semenjak Dr Mahathir memecat Anwar pada tahun 1998 daripada jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan, pertarungan di antara dua gergasi politik ini masih belum lagi reda. Cuma ada turun naiknya. Pertembungan reda seketika sewaktu Tun Abdullah Badawi memimpin negara. Kedua-dua tokoh hebat. Seluruh negara diheret dalam pertembungan politik mereka. Dr Mahathir masih mampu menyeret seluruh jentera kerajaan untuk bersamanya melawan Anwar – walaupun beliau melepaskan jawatan pada tahun 2003 lalu. Anwar yang dulu anak didik kesayangan Dr Mahathir tidak kurang hebatnya, daripada seorang pemimpin nombor dua Umno, beliau mampu menyatukan parti politik pembangkang seperti PAS dan DAP serta menubuhkan PKR untuk bersamanya melawan Dr Mahathir. Mungkin oleh kerana Anwar banyak menerima ilmu politik dari Dr Mahathir, menyebabkan beliau masih lagi mampu bersilat sehingga hari ini dengan bekas bosnya itu. Igauan Dr M Dr Mahathir banyak belajar dari pemimpin negara jiran - juga sahabatnya. Beliau melihat bagaimana teman baiknya, Presiden Soeharto digulingkan di Indonesia. Soeharto sebagai seorang pemimpin yang kuat akhirnya tersungkur akibat demonstrasi rakyat. 12 tahun sebelum Soeharto tumbang, di Filipina berlaku kebangkitan rakyat menjatuhkan seorang pemimpin kuku besi Presiden Ferdinand Marcos. Marcos dihalau bukan sahaja dari kekuasaan akan tetapi terpaksa melarikan diri ke Amerika Syarikat. Sehingga akhir hayat Marcos tidak sempat pulang ke Filipina. Apabila Dr Mahathir memecat Anwar pada tahun 1998, beliau tidak menyangka akan berlaku kebangkitan rakyat. Hampir setiap minggu demonstrasi berlaku di ibukota walaupun tangkapan ISA berlaku terhadap orang-orang kanan Anwar. Pada ketika itu, penyokong gerakan Reformasi hanya berpayung dibawah sebuah NGO yang bernama ADIL. ADIL mendapat keahlian yang besar. Mahathir nampak akan bahaya gerakan seperti ini kerana tidak jelas hala tuju politiknya. Jika dibiarkan, tidak mustahil beliau akan senasib Marcos dan Soeharto. Maka Mahathir mencabar penyokong gerakan Reformasi untuk menubuhkan parti politik dan bertanding pada pilihan raya. Mahathir tahu, apabila tertubuhnya parti politik, fokus untuk menumbangkan regim akan berkurangan dengan adanya politiking dalaman parti. Sekurang-kurangnya, ia akan melambatkan proses kejatuhan regim pimpinannya. Tepat bacaan politik Dr Mahathir. Sehingga hari ini BN masih bertahan. Gerakan Reformasi pada ketika itu berjaya dilunakkan. Cabaran Dr Mahathir disahut, tertubuhlah Parti Keadilan Nasional (PKN) – kini PKR selepas bergabungnya PKN dan PRM. Pilihan raya 1999 menyaksikan bagaimana Umno kehilangan majoriti undi dari orang Melayu. Jika tidak ada sokongan dari kaum Cina, Umno dan BN sudah pasti akan masuk ke dalam tong sampah sejarah. Keputusan PRU 10 menjadi sebab utama Mahathir berundur. Beliau undur sebelum disepak keluar seperti Marcos dan Soeharto. Dari segi ini, Mahathir selamat. Akan tetapi, yang paling Mahathir takut kini adalah jika BN tumbang, beliau dan kroni-kroni yang berpayung di bawahnya akan diheret ke mahkamah. Sebab itu Dr Mahathir tidak akan duduk diam selagi hayat dikandung badan. Pertembungan berterusan Hari ini, Anwar masih lagi musuh nombor satu Dr Mahathir. Anwar merupakan satu-satunya musuh politik yang gagal dibunuh kariernya oleh Dr Mahathir. Lihat apa yang terjadi kepada tokoh hebat seperti Tengku Razaleigh dan Tun Musa Hitam (kanan)? Kedua-dua tokoh itu hanya tinggal sejarah dan tidak lagi relevan dalam dunia politik hari ini. Untuk Anwar, Mahathir juga adalah penghalang utama untuk beliau ke puncak kekuasaan. Bukan Datuk Seri Najib Razak dan bukan juga Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kedua-dua Najib dan Muhyiddin terlalu "kecil" untuk menjadi lawan Anwar. Jika Mahathir tiada, sudah pasti beberapa tauke-tauke besar yang masih bernaung di bawah bekas perdana menteri itu dijangka belot menyebelahi Anwar. Tauke-tauke ini juga tahu siapa yang kuat untuk menjaga kepentingan mereka. Apabila keadaan ini berlaku, maka tumbanglah BN. Dalam ertikata lain, selagi Dr Mahathir masih hidup, agak sukar untuk Anwar rapat ke Putrajaya. Secara realitinya, Anwar juga tahu, beliau bukan sahaja melawan Dr Mahathir, akan tetapi seluruh jentera kerajaan yang ada. Perlawanan ini tidak akan berjaya semudah pilihan raya. Tidak ada regim dalam dunia ini yang akan menyerah kepada rakyat semudah di medan pilihan raya. Barang siapa yang menyangka BN boleh ditumbangkan pada PRU 13 dengan mengambil kira keputusan PRU 12 lalu adalah terlalu naif kefahaman politiknya. Lihat saja di Mesir, apakah Presiden Hosni Mubarak dikalahkan pada pilihan raya? Persoalnnya, apakah Anwar percaya dengan pilihan jalanraya? Pertarungan pusingan akhir Kini pertarungan Mahathir-Anwar masuk ke pusingan akhir. Setakat ini, kedua-dua tokoh mempunyai stamina panjang. Tanpa boleh mengharapkan seratus peratus pada Najib, Mahathir sendiri terpaksa masuk kembali ke gelanggang. Apabila timbul isu kenyataan Anwar tentang isu Palestin – Israel, Mahathir mendapat peluru. Beliau terus menyerang Anwar. Kata Dr Mahathir, Anwar memang akrab dengan pemimpin Israel. Isu Israel ini akan dijadikan modal untuk terus menyerang Anwar selain isu video seks setelah kes liwat gagal menyebelahi Mahathir. Bagi yang ingin melihat pedebatan di antara BN dan Pakatan dalam bentuk polisi, ia tidak akan berlaku dalam jangkamasa terdekat. Pertarungan pusingan akhir ini akan menjadi lebih hebat lagi. Dari segi usia, Anwar mempunyai kelebihan kerana jauh lebih muda berbanding Mahathir. Pertarungan pusingan akhir akan menentukan sama ada Mahathir atau Anwar yang bakal menang dalam perlawanan yang panjang ini. Hanya masa yang menentukan. Amin Iskandar menerima anugerah zamalah Intelektual Awam Asia (API) 2009-10 untuk menjalankan kajian tentang sejarah pemantauan pilihan raya di Filipina dan Indonesia. Memblog di http://www.aminiskandar.blogspot.com/ dan berkicau di http://www.twitter.com/aminiskandar. |
Susah woo jadi orang bernama Mahathir nie, kahkahkah... Posted: 17 Apr 2012 01:00 AM PDT Akta PTPTN 1997 Digubal Ketika Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak Menerajui Kementerian Pendidikan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) merujuk kepada kenyataan YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri yang dilaporkan oleh agensi berita BERNAMA semalam yang mendakwa bahawa Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diwujudkan ketika YB Dato' Seri Anwar Ibrahim memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri. Berdasarkan fakta, kenyataan YABhg. Tun Dr. Mahathir itu adalah tepat namun demikian adalah mustahil bagi beliau untuk menafikan kenyataan bahawa ketika PTPTN ditubuhkan, beliau sendiri memegang jawatan Perdana Menteri dan YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak (kini Perdana Menteri) pula merupakan Menteri Pendidikan yang bertanggungjawab membentangkan Rang Undang-Undang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 di Dewan Rakyat pada ketika itu. Jika merujuk kepada handsard Parlimen Kesembilan, Penggal Ketiga, Mesyuarat Pertama (Jilid III, Bil. 26) bertarikh 13 Mei 1997 [dilampirkan], Rang Undang-Undang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 telah dibentangkan untuk bacaan kali kedua dan ketiga oleh YAB Dato' Seri Mohd Najib (ketika itu Menteri Pendidikan) pada jam 9.06 malam. Rang undang-undang ini kemudiannya telah diluluskan dan dimaktubkan menjadi Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 dan seterusnya PTPTN telah ditubuhkan di bawah akta ini yang mula berkuatkuasa pada 1 Julai 1997. Justeru, kenyataan YABhg. Tun Dr. Mahathir yang dilaporkan oleh media semalam tidak akan sekali-kali menafikan fakta bahawa inisiatif penubuhan PTPTN adalah dilaksanakan di bawah pentadbiran beliau yang ketika itu merupakan Perdana Menteri dan juga YAB Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak yang ketika itu menjawat Menteri Pendidikan dan merupakan menteri yang bertanggungjawab membentangkan Rang Undang-Undang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional pada 1997. NAJWAN HALIMI Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN |
BERITA PELIK yang wajib dibaca... kahkahkah... Posted: 16 Apr 2012 11:00 PM PDT Tempoh tahanan 'ISA' di Israel lebih baik daripada Malaysia (Oleh: Mohd Martin Kahar) KUALA LUMPUR 16 April: Tempoh penahanan berdasarkan Undang-Undang Military Order 378 di Israel lebih baik berbanding tempoh yang diperuntukkan dalam Rang Undang-undang (RUU) Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, di Malaysia. Ahli Parlimen Machang, Datuk Saifuddin Nasution berkata, di Israel akta itu hanya memperuntukkan lapan hari untuk tempoh penahanan berbanding RUU Kesalahan Keselamtan selama 28 hari. "Saya sempat meneliti terdapat satu akta ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) di Israel, Ia dipanggil Military Order 378, digunakan untuk menangkap pejuang Palestin tanpa bicara. "Akta ini telah dipinda beberapa kali. Pada 1994 akta ini membolehkan tahanan di tahan selama 18 hari tanpa bicara, kemudiaan disingkat kepada 11 hari dan pindaan terakhir pada 1997 akta ini tidak boleh menangkap orang melebihi lapan hari. "Di negara kita selama 28 hari sedangkan kita lebih bertamadun daripada Israel. Lapan itu nampaknya lebih lama daripada 28 hari," sindirnya ketika perbahasan penggubalan Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, di Parlimen hari ini. Saifuddin menambah, di Israel perintah tahanan lanjutan untuk kali pertama memperuntukkan tidak melebihi enam bulan, berbeza dengan undang-undang baru yang diperkenalkan iaitu selama dua tahun. Selain itu, tahanan di Israel masih boleh merayu di mahkamah dan dibenarkan mencari peguam walaupun peguam tidak boleh mendapatkan bukti-bukti mengapa anak guam mereka ditahan. "Hanya mahkamah (Israel) yang boleh mendedahkan berapa banyak bukti yang boleh didedahkan kepada peguam bela. Di Malaysia pula hanya menteri sahaja yang boleh pegang maklumat itu. "Mahkamah (Malaysia) tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan Peguam Negara untuk semak bukti. Negara yang paling kita tidak suka ini pun boleh menawarkan tempoh tahanan yang jauh lebih lumayan daripada negara kita," katanya. Pagi tadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat. Undang-undang baru itu menetapkan 28 hari tempoh penahanan dengan polis diperuntukkan kuasa khas menangkap dan menahan mereka yangn dipercayai terlibat dengan kesalahan keselamatan. Perdana Menteri berkata klausa "sunset" bagi tempoh tahanan 28 hari juga hendaklah disemak lima tahun sekali dan hendaklah terhenti berkuat kuasa melainkan, jika, apabila semakan dibuat, suatu ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis Parlimen untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa peruntukan itu. Sebelum ini, ISA memperuntukkan selama 60 hari berturut-turut tanpa perbicaraan untuk tindak-tanduk yang dijangka mengancam keselamatan negara atau mana-mana bahagian daripadanya. Selepas 60 hari, seseorang tahanan itu boleh ditahan lagi selama tempoh dua tahun jika diluluskan Menteri Dalam Negeri, dan sekaligus membolehkan penahanan terus tanpa perbicaraan. |
Dr Asri ni tibai sapa pulak dahh... kahkahkah... Posted: 16 Apr 2012 09:00 PM PDT Umat kehilangan jenama Sering kali apabila bersolat di Masjidil Haram ataupun Masjid Nabi SAW, perasaan saya tersentuh, penuh rasa kagum kepada umat ini. Apa tidak, ratusan ribu, bahkan jutaan manusia datang dari pelbagai negara dan bangsa, latar pendidikan dan budaya yang berbeza, tidak mengenali antara satu sama lain namun tetap mampu untuk membentuk saf-saf solat yang penuh teratur. Tidak pernah sama sekali sebelum itu mereka melakukan apa-apa raptai membentuk saf untuk jumlah yang demikian besar, melainkan amalan solat berjemaah di negara masing-masing. Namun, apabila sahaja iqamat dilaungkan, jutaan manusia pelbagai bangsa, pelbagai latar budaya, pelbagai gaya, pelbagai negara bangun berdiri mengambil tempat dalam saf-saf solat dengan penuh disiplin. Tiada siapa berhak bertanya apakah awak layak berada di sebelah saya ataupun tidak? Tiada siapa berhak menghalau orang lain keluar dari safnya tanpa sebab yang diizinkan syarak. Tiada saf khas untuk golongan bangsawan yang mengharamkan golongan bawahan berada sebaris dengan mereka. Betapa agama ini telah menghimpunkan dan mendisiplinkan manusia. Demikianlah ibadah-ibadah lain dalam Islam ini. Haji, perlambangan kesetaraan manusia. Tiada hak sesiapa menghalang orang lain bertawaf kerana orang bangsawan ingin bertawaf. Tiada siapa yang berbeza dalam beribadah kepada Allah. Tiada raja ataupun sultan yang boleh menyeru Allah dengan kesombongan diri atau bahasa yang berbeza kerana dia raja atau presiden ataupun sultan. Maha Suci Allah dari membezakan hamba-hamba-Nya disebabkan kedudukan dunia mereka. Bahkan, Allah menerima mana-mana doa yang penuh kerendahan jiwa dan menolak doa yang dilafazkan dengan kesombongan diri. Demikian puasa, zakat dan pelbagai ibadah lain dalam Islam jika dihayati banyak nilai-nilai mulia dalam kehidupan individu dan masyarakat Muslim dapat dibina. ab taharah ataupun kebersihan dan penyucian diri, pakaian dan tempat ibadah mempunyai banyak nilai yang Islam didik penganutnya. Manakah kesannya? Namun, malang sekali negara-negara Muslim itu kebanyakannya kotor. Ambil sahaja Kaherah yang orang Islam bangga kerana adanya Universiti al-Azhar. Ia dianggap sebagai kota ilmu oleh sesetengah pihak. Namun, Kaherah juga merupakan kota sampah-sarap. Kekotoran seakan menjadi budaya. Tiada disiplin dalam hidup bermasyarakat. Rasuah dan salah guna kedudukan bermula dari tukang sapu sampah sehingga ke presiden negara. Jalan raya tiada peraturan. Bunyi hon kereta rukun wajib dalam memandu. Sehingga saya pernah bergurau: "Orang Mesir boleh pandu kereta tanpa tayar tetap tidak boleh pandu kereta tanpa hon." Asap dan bau busuk adalah aroma kehidupan mereka. Di manakah perginya golongan agama dan ilmuwan kota itu? Di mana perginya segala perbahasan ilmu yang laung-laungkan itu? Apakah pula disiplin dan nilai baik yang manusia dapat kutip dari mereka? Dua minggu lepas saya berada di Irbid, Jordan. Bandar yang mengelilingi Universiti Yarmouk. Malang sekali, sampah sarap bagaikan bunga-bunga yang menghiasi bandar itu. Menyedihkan. Saya bukan ingin memuji Oxford berlebihan kerana saya berada di sini sekarang. Namun ini suatu realiti. Bandar ilmu ini bersih. Sukar sama sekali mendengar hon kenderaan. Juga tiada pencemaran asap bas ataupun kenderaan biasa. Orang tahu menggunakan tong sampah, bahkan tahu membezakan jenis sampah. Gereja memang banyak di bandar ini, namun ia tidak semakmur masjid-masjid di tempat kita. Bahkan kebanyakan mereka tidak percayakan agama, sekalipun mereka percaya wujudnya Tuhan. Saya percaya nilai-nilai baik itu tiada kaitan dengan agama, tetapi kejayaan pendidikan yang mantap dan berkesan. Sehingga nilai-nilai baik menjadi budaya. Sementara kita, golongan agama ramai yang sibuk dengan teori itu dan ini, ataupun sibuk mengisi dan menggemukkan poket masing-masing melebihi usaha mendidik dan membentuk umat yang berkualiti. Sibuk menghukum orang lain sehingga terlupa mengemaskan diri, rumah dan negara sendiri. Umat contoh Kita membaca firman Allah (maksudnya): "Demikian Kami jadikan kamu umat yang wasat supaya kamu menjadi saksi ke atas manusia dan al-Rasul itu menjadi saksi ke atas kamu." (Surah al-Baqarah: 143). Perkataan 'wasata' jika diterjemahkan ke dalam bahasa kita bermaksud pertengahan (moderation). Ayat ini dibahaskan oleh para mufasirin dengan pelbagai tafsiran yang kesemua memberi makna umat Islam ini dijadikan Allah sebagai umat yang adil, mulia dan contoh kepada umat lain. Al-Syinqiti dalam Adwa al-Bayan mentafsirkan sebagai umat pilihan dan adil. Demikian juga Ibn 'Ashur dalam al-Tahrir wa al-Tanwirmemberikan tafsiran yang hampir sama. Dalam edisi English Taisirur Rahmanditafsirkan: "Anation which profoundly great and most superior". Persoalannya, di manakah ini semua pada hari ini. Ya, umat ini telah membuat sejarah pada masa lalu, tetapi apakah realiti hari ini? Kita mengutuk ataupun mengkritik Barat tetapi kita jangan lupa bahawa banyak nilai yang baik Barat telah bina untuk kehidupan mereka. Di samping perkara-perkara yang kita tidak setuju tentang mereka, mereka mempunyai banyak perkara positif yang kita gagal dalam kehidupan kita. Ambil sahaja soal hak rakyat dalam mempersoalkan sesiapa yang menyalahgunakan harta awam dan wang pembayar cukai, mereka miliki hak itu. Surat khabar dan media mereka berhak mempertikaikan baju, cuti dan segala perbelanjaan yang digunakan oleh HM Queen dan istananya. Tiada sebarang hukuman kerana itu. Belanja Queen dan istana dibentangkan kepada rakyat jelata. Mereka berhak mempersoalkannya. Jadilah mereka bangsa yang bermaruah dalam soal tersebut. Kita tahu pada tahun ini kerajaan British menolak untuk HM Queen Elizabeth membeli kapal persiaran. Padahal Queen telah 60 tahun berkhidmat. Jurucakap PM David Cameron, Steve Field menyebut: "I don't think anyone is suggesting public money should be used for this. There is a difficult economic situation, there are scarce public resources, therefore we don't think it would be an appropriate use of public money". Inilah sikap rakyat yang merdeka dari menjadi hamba penguasa. Malang sekali di dunia Muslim; presiden, sultan dan raja boleh menggunakan harta awam tanpa dipersoalkan. Lebih buruk lagi, rakyat yang mempersoalkan itu pula yang dianggap bersalah dan derhaka, sedangkan si penguasa dan raja yang menggunakan harta negara dan awam disanjung mulia. Harta dan belanja mereka tidak dibentangkan kepada awam. Istana, kereta, komisen projek itu dan ini didiamkan sahaja. Inilah dunia Muslim. Laung Allahu Akbar (Allah Maha Besar) hanya di corong pembesar suara, tapi dalam kehidupan rakyat, penguasa juga yang maha besar. Inilah rakyat yang diperhambakan dan tidak merdeka. Bagaimana mungkin rakyat yang seperti ini menjadi umat contoh kepada agama lain? Ini bukanlah ciri wasatiah yang dimaksudkan oleh al-Quran. Sama sekali tidak! Sebab itu, walaupun 'Arab Spring' mempunyai kesan negatifnya, tetapi positifnya lebih banyak. Sekurang-kurang umat Islam tidak dilihat menjadi hamba golongan rejim dan pemerintah yang zalim lagi korupsi, yang memeras harta dan darah, sedangkan umat ini berdiam saja. Ini mesti dihentikan! Sekurang-kurang dibuktikan pada dunia, umat ini masih hidup! Saya teringat kisah Khalifah Umar bin al-Khattab yang disebut oleh Ibn Qayyim (meninggal 751H) dalam I'lam al-Muwaqi'in bagaimana satu hari beliau bangun berucap di hadapan rakyatnya sambil berkata: "Hendaklah kamu dengar dan taat!" Tiba-tiba sahabat Nabi SAW yang lain, iaitu Salman al-Farisi bangun dan berkata: "Kami tidak mahu dengar". Umar pun bertanya: "Mengapa wahai Salman?" Jawab Salman: "Engkau membahagikan kepada rakyat pakaian seorang sehelai, sedangkan engkau mengambil sebanyak dua helai." Jawab Umar: "Sabar wahai Salman! Lalu Umar berkata kepada anaknya: "Wahai Abdullah (bin 'Umar), beritahulah dia bahawa pakaian yang aku pakai ini adalah bahagian engkau yang engkau berikan kepadaku." Jawab Abdullah bin 'Umar: "Ya, demi Allah". Jawab Salman: "Kalau begitu, silakan, kami mendengar (taat)". Kita perlu mengembalikan jenama kita yang tinggi nilai di mata manusia. Kita umat yang 'berjenama' pada suatu masa dahulu. Tiada siapa yang wajar membiarkan kemunduran ini. Hanya golongan pengampu ataupun literalis sahaja yang cuba menjustifikasikan kemunduran kita yang gagal menjadi umat contoh. Islam terhijab dalam banyak keadaan disebabkan realiti yang kita alami ini. Kita mesti berubah. Rakyat dan pemerintah mesti bergerak ke arah perubahan. Kembalikan jenama kita. Kita umat yang branded. Kita umatan wasatan. Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin merupakan bekas mufti Perlis. Beliau kini bertugas sebagai zamil di Universiti Oxford, United Kingdom. |
TERHOT: Bapak Altantuya janjikan kejutan... Posted: 16 Apr 2012 07:00 PM PDT Dengar rayuan Altantuya sebelum PRU: Bukti baru dari ayah ada implikasi kuat Saya merujuk kepada rayuan yang ditangguh oleh Mahkamah Rayuan berkenaan kes Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Omar terhadap sabitan pembunuhan warganegara Mongolia Alatantuya Shaaribu. Azilah dan Sirul telah disabitkan oleh Mahkamah Tinggi pada April 2009 yang lalu. Kelewatan dalam rayuan kes yang melibatkan kepentingan awam lebih daripada 3 tahun adalah luar biasa dan tidak boleh diterima. Rayuan itu kini hanya akan didengar pada 27 Ogos 2012. Ini adalah sangat kejam dan tidak adil untuk menunda untuk tempoh yang lama dalam rayuan kes hukum bunuh. Si tertuduh mesti dikekalkan dengan hukuman mati, dibayangi tali gantung, sehingga rayuan itu dilupuskan. Bukti baru dari Bapa Altantuya Ini merupakan kes yang paling diberi perhatian awam. Sirul dan Azilah adalah pengawal peribadi Perdana Menteri pada masa pelakuan kesalahan itu dan Najib sendiri telah dibabitkan dalam kes Altantuya-Scorpene. Rakan rapat PM, Abdul Razak Baginda juga telah didakwa kerana membunuh, tetapi kemudiannya dibebaskan. Telah muncul pula bukti yang memberi implikasi untuk rayuan yang belum selesai. Bapa Altantuya berkata di Malaysia pada minggu ini bahawa dia telah melihat gambar Najib dengan Altantuya di Paris. Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib telah menolak secara terbuka pernah bertemu Altantuya. Rakyat berhak mengetahui dan membuat keputusan tentang pemimpin mereka Misterinya adalah Azilah dan Sirul seperti tidak mempunyai motif untuk membunuh Altantuya. Jika ya, siapa yang mengarahkan pembunuhan itu? Ia penting bagi rakyat supaya rayuan ini didengar segera, sebaik-baiknya sebelum PRU ke-13; rakyat berhak mendapat jawapan sebelum membuat keputusan di peti undi. Orang ramai juga berhak untuk mengetahui apakah sebab-sebabnya untuk melengahkan dan tak rayuan itu. N Surendran ialah timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat |
PANAS: Wan Ji balas kritikan Fathul Bari Posted: 16 Apr 2012 05:00 PM PDT 'Kalung bunga': Wan Ji balas kritikan Fathul Bari Fathul Bari (berbaju merah) pernah berdebat dengan Wan Ji (paling kanan) mengenai baik buruk menegur pemimpin Umno BN secara terbuka pada Mac tahun lepas. Moderator, Mohd Dzul Khairi Mohd Noor. TiNDAKAN mahasiswa mengkalungkan bunga pada gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Khaled Nordin (Menteri Pengajian Tinggi) nampaknya menggamit perbezaan pendapat di kalangan agamawan. Pengerusi Jawatankuasa Kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia (iLMU), Fathul Bari Mat Jahaya mengkritik tindakan itu. Manakala Pengasas Sekolah Pemikiran As-Syatibi, Wan Ji Wan Hussain mengkritik balas beberapa pendapat Fathul Bari. Fathul Bari menuduh mahasiswa berkenaan cuba melakukan simbol pengkafiran ke atas Najib yang juga Presiden Umno. "Sedangkan Perdana Menteri dan Menteri Pengajian Tinggi itu orang Islam. Apa ertinya jika kita panggil orang beragama Islam dengan panggilan mendiang? "Mereka mungkin tak faham hukum hakam agama, tetapi mereka tidaklah boleh menunjukkan perilaku yang tidak matang, dan menggunakan kaedah provokasi melampaui batas," tegasnya di Sinar Harian Online. Jawapan berbeza Wan Ji dalam reaksi spontan pada PenangInsight.com berkata, perbuatan mengkalungkan bunga itu adalah adat, bukan sahaja pada 'Si Mati' tetapi juga pada orang yang masih hidup. Maka katanya, tidak wajar disempitkan penafsiran perbuatan mahasiswa terbabit dengan memanipulasi faham agama Islam. Lebih penting dan menjadi perkara pokok, menurut beliau, adalah membincangkan baik atau buruk sistem Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu terhadap rakyat terbanyak di negara ini. "Perdana Menteri dan Datin Seri Rosmah Mansor (isteri Najib) sendiri pernah dikalungkan bunga dalam satu perayaan agama (Hindu) di Batu Cave sebelum ini, tetapi tidak dibantah oleh iLMU. "Itu (kalung bungan kepada Najib dan Rosmah) adat atau agama (Hindu)? Dia (Najib) masih hidup atau mati (ketika itu)? "Jangan sempitkan soal budaya dengan memanipulasi agama (hukum Islam) jika itu tujuannya," ujarnya. Isu Takafir (saling mengkafir) Menurut Fathul Bari, perbuatan mahasiswa terbabit yang mengkalungkan bunga pada gambar kedua-dua pemimpin negara itu boleh membawa pada kekafiran. Ini kerana katanya "Simbol pengkafiran boleh berlaku sama ada secara lisan ataupun dengan isyarat". Mengulas kenyataan "pengkafiran" itu, Wan Ji berpendapat Fathul Bari seolah-olah cuba mengkafirkan mahasiswa Islam yang menyuarakan bantahan ke atas pentadbiran Najib pula. "Kalau perbuatan itu (mengkalung bunga pada gambar) suatu 'pengkafiran', adakah Ustaz iLMU (Fathul Bari) cuba mengkafirkan pelajar-pelajar terbabit pula kerana memprotes sistem yang dianggap menindas ini (PTPTN)," soal Wan Ji yang juga mahasiswa lanjutan Maqasid asy-Syariah di Universiti Malaysia Kelantan (UMK). Beliau menasihatkan Fathul Bari (kanan) supaya menjelaskan isu 'Kalungan Bunga' tersebut secara ilmiah, bukan secara politik yang menguntungkan sesetengah pihak sahaja. Sindir pemimpin zalim itu wajib Wan Ji menjelaskan, perbuatan mengkalungkan bunga pada gambar kedua-dua pemimpin negara itu adalah di bawah ketegori adat yang harus. "Kaedah fiqh menyebut, 'asal sesuatu itu adalah harus' pada semua perbuatan di bawah ketegori adat namun kaedah sebegini ditolak oleh sesetengah agamawan yang literalis (iaitu) yang berpegang pada zahir nas (al-Quran dan al-Hadith). Wan Ji (kiri) menjelaskan bahawa kaedah fiqh itu berdasarkan firman Allah yang bermaksud, "Dia (Allah) yang telah menciptakan untuk kamu semua perkara yang ada di bumi" (rujuk Surah Al-Baqarah : 25). Tambahnya lagi, Fathul Bari sepatutnya membincangkan isu pokok, iaitu baik buruk sistem PTPTN yang lebih dilihat membebankan mahasiswa terbanyak berbanding perkara harus, iaitu adat mengkalung bunga pada gambar Najib-Khaled. "Tanpa merujuk pada fathul Bari, golongan literalis agama umumnya keliru dalam soal adat dan aqidah. "Sindiran menggunakan perbuatan adat juga adakalanya ditolak oleh mereka sungguhpun di dalam al-Quran pun kaya dengan sindiran-sindiran kepada mereka yang zalim dan sebagainya," ujarnya. Beliau menjelaskan, contoh lafaz sindirian dalam al-Quran antaranya bermaksud, "maka gembirakanlah mereka bahwa mereka akan menerima siksa yang pedih" (Surah Ali Iimran: 21) "Kalau (lafaz) sindiran ada dalam al-Quran, takkan sindiran dalam hal adat (bukan mana-mana agama) ditolak di sisi syarak pula? "Kalau ada ayat al-Quran suruh (mewajibkan) umat Islam jangan cenderung pada mereka yang zalim (ayat 113 dari Surah Hud), takkan menyindir seseorang yang dianggap zalim tidak wajib? "Kalau ditajamkan soal (mahasiswa tiada) adab, adab ini di bawah ketegoriafdhaliyat dan hukumnya sunat... yang selama-lamanya tidak boleh sampai menafikan perkara yang wajib, iaitu tegur pemerintah yang membebankan rakyat. "Jika tindakan pelajar dianggap 'melampaui batas' ianya terhadap pemerintah terbabit sahaja dan tidak sebesar 'melampaui batas' (oleh) kedua-dua pemerintah terbabit yang membabitkan majoriti pelajar di negara ini seperti yang dianggap oleh pelajar. "Jangan alpa... baik buruk PTPTN itu sendiri jangan diperkecil dengan membesarkan isu adat yang harus ini (kalungan bunga)," ujar beliau. Perbezaan pendapat di antara kedua-dua ilmuan muda ini tidak mustahil membuka ruang wacana seperti sebelum ini. Wan Ji yang lebih dikenali sebagai Pak Shaik Muka Buku dan 'ulama Umno' Fathul Bari pernah duduk sepentas membincangkan mengenai baik buruk menegur pemimpin negara secara terbuka menurut disiplih maqasid asy-syariah. -END |
Samy, lu cakap biaq terang la woiii... Posted: 16 Apr 2012 03:00 PM PDT Pendedahan Samy mengelirukan rakyat Datuk Seri Samy Vellu tiba-tiba membuat kenyataan media bahawa kekalahan beliau di Sungai Siput dalam PRU12 adalah kerana anti kempen yang disusun oleh Tun Mahathir. Pertama sekali, kenapakah perkara ini tidak dipampang oleh Datuk Seri Samy Vellu sebaik sahaja beliau kalah dalam pilihanraya itu? Kedua, kenapakah beliau membuat kenyataan ini selepas 4 tahun selepas PRU 12? Ada sesuatu yang tidak kena dengan kenyataan pacul yang dibuat oleh beliau. Saya rasa cukup yakin bahawa Datuk Seri Samy Vellu sedar bahawa 'bermain air basah, bermain api letup'. Oleh yang demikian, kenyataan beliau itu pasti dibuat selepas berfikir masak-masak akan akibatnya. Walau bagaimanapun kenyataan media yang dibuat oleh Datuk Seri Samy Vellu telah membuka mata seluruh rakyat Malaysia. Datuk Seri Samy Vellu menuduh Tun Mahathir sebagai orang yang bertanggungjawab bagi kekalahannya dalam PRU12. Kenapakah Tun Mahathir mahu Datuk Seri Samy Vellu kalah? Tun Mahathir dan Datuk Seri Samy Vellu dilihat begitu sahabat akrab dan rakan kongsi utama dalam komponen Barisan Nasional. Perkara ini diketahui dan terpahat dalam minda seluruh rakyat Malaysia. Apa pula yang menyebabkan Tun Mahathir membenci Datuk Seri Samy Vellu sehingga mahu melihat beliau tumbang dalam pilihanraya. Mesti ada sesuatu sebab yang masih belum diketahui oleh rakyat Malaysia. Oleh yang demikian, Datuk Seri Samy Vellu harus mendedahkan semua perkara-perkara yang disimpan dalam hatinya sebagai rahsia setakat ini. Datuk Seri Samy Vellu telah berani tampil ke hadapan untuk menuduh Tun Mahathir yang menamatkan 'riwayat' politiknya. Tetapi, pendedahan itu tidak cukup kerana tidak ada bukti yang kukuh untuk kenyataan yang dibuat oleh beliau. Datuk Seri Samy Vellu harus membongkarkan sebab-sebab Tun Mahathir mahu memalitkan dan menumbangkan beliau. Apakah keuntungan bagi Tun Mahathir jika Datuk Seri samy Vellu kalah dalam pilihanraya. Datuk Seri Samy Vellu juga perlu mendedahkan kaedah-kaedah yang digunakan oleh Tun Mahathir untuk menumbangkan beliau dalam pilihanraya umum. Ini adalah penting untuk meyakinkan rakyat Malaysia bahawa orang yang menghancurkan riwayat politik seorang Presiden MIC yang paling berpengaruh ialah Tun Mahathir. Datuk Seri Samy Vellu mempunyai tanggungjawab untuk mendedahkan segala-galanya mengenai orang yang menumbangkan beliau dalam PRU12. Kenyataan media Datuk Seri Samy Vellu hanya mengelirukan rakyat dan tidak mempunyai asas yang kukuh. Maka, beliau perlu menjernih air yang dikeruhkan olehnya beberapa hari yang lalu. Rakyat Malaysia juga berhak mengetahui apa yang sebenarnya telah berlaku dalam percaturan politik negara kita sebelum dan semasa PRU12. V Sivakumar ialah ADUN Tronoh |
You are subscribed to email updates from shalehudin To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan