Khamis, 26 April 2012

PERAKITE

PERAKITE


Khalid Samad dihadap ke mahkamah

Posted: 26 Apr 2012 03:21 AM PDT


Anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah pada Khamis atas tuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah di sebuah surau di Kapar di sini pada Ogos tahun lepas.
Khalid, 54, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Syarie Norafizi Fitri Ab. Manaf.
Beliau didakwa mengajar perkara tentang agama Islam tanpa tauliah dalam sebuah surau di Taman Seri Sementa, Jalan Taman Seri Sementa, antara 10 malam dan 11.50 malam pada 16 Ogos 2011.
Khalid yang juga Timbalan Pesuruhjaya III PAS Selangor didakwa mengikut Seksyen 119(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) 2003 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa Syarie daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Saufi Mastorlani mencadangkan supaya Khalid dibebaskan dengan jaminan RM2,500 serta seorang penjamin, dan memohon satu tarikh sebutan bagi membolehkan pihak pendakwaan membuat penelitian terhadap pertuduhan.
Peguam syarie Muhamad Burok yang mewakili anggota Parlimen itu bersetuju dengan permohonan pihak pendakwaan supaya mahkamah menetapkan satu tarikh sebutan kerana pihaknya juga ingin membuat penelitian terhadap pertuduhan dan menghantar representasi.
Norafizi membenarkan Khalid dibebaskan dengan jaminan RM1,500 serta seorang penjamin dan menetapkan 7 Jun ini bagi sebutan semula kes. - BERNAMA

Tiada ulasan: