Selasa, 3 April 2012

Muslimeen United

Muslimeen United


Tindakan Pandikar Tolak Laporan Minoriti & Halau MP Pakatan Dikecam

Posted: 03 Apr 2012 07:58 AM PDT


Tiga MP pembangkang diarah keluar dewan

Tiga ahli parlimen pembangkang diarah keluar Dewan Rakyat hari ini kerana enggan mematuhi arahan Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhubung isu laporan minoriti.

Mereka mempersoalkan keputusannya tidak membenarkan laporan minoriti dilampirkan kepada laporan jawatankuasa pilih parlimen (SPA) bagi reformasi sistem pilihan raya.

"Di bawah Perintah Tetap 42, apabila speaker bercakap, anda mesti diam," Pandikar memberitahu mereka.

"Di bawah Perintah Tetap 43, keputusan speaker tidak boleh dipersoalkan... dan di bawah Perintah Tetap 44, saya mengarahkan Gombak (Azmin Ali), Subang (R Sivarasa) dan Kuala Selangor (Dzulkefly Ahmad) meninggalkan Dewan."

Pandikar baru sahaja mengambil alih tugas mempengerusikan sidang Dewan daripada timbalannya, Datuk Ronald Kiandee, apabila beliau memerintahkan mereka meninggalkan Dewan.


Sivarasa bangun selepas waktu rihat tengah hari untuk meminta panduan daripada Kiandee mengenai kemungkinan Pandikar silap dalam keputusannya berhubung laporan minoriti.

Kiandee enggan melayan permintaan tersebut, tetapi Sivarasa, tidak putus asa - dengan dibantu oleh celahan daripada Azmin dan Dzulkefly - terus membangkitkan perkara itu.

Mereka membangkitkan duluan-duluan di mana laporan minoriti telah dibentangkan dalam Parlimen negara Komanwel yang lain.

Kiandee (lamam) bertegas bahawa keputusan Pandikar juga dibuat berdasarkan duluan dan amalan yang diterima di Parlimen New Zealand dan negara Komanwel yang lain.

Keadaan menjadi riuh-rendah apabila ahli Parlimen pembangkang terus mendesak perkara itu. -mk


Usul PSC tambah baik p'raya lulus dalam kecoh


KUALA LUMPUR, 3 April: Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya dalam suasana kecoh.


Ianya berlaku ketika Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin menyambung giliran membahaskan usul syor itu selepas persidangan rehat tengah hari ini di hadapan Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee.


Beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat kemudiannya bangun mencelah dengan membantah keputusan Yang Dipertua, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menolak laporan minoriti awal pagi tadi.

Antaranya Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak), Dr Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor) dan Sivarasa Rasiah (PKR-Subang).



Mereka mempertikai alasan Pandikar yang menolak laporan minoriti pagi tadi hanya atas sebab tidak pernah diamalkan di mana-mana parlimen di dunia.


Sedangkan pagi tadi mereka telah mengemukakan bukti ianya pernah dibuat termasuk di Jamaica, New Zealand, United Kingdom dan termasuk di House of Common sendiri.


Selepas beberapa kali namanya disebut, Pandikar kemudian masuk dan menggantikan Ronald Kiandee untuk kembali mempengerusikan persidangan.


Ketika itu dewan sudahpun kecoh dengan perang mulut antara ahli parlimen Pakatan Rakyat dengan BN yang mempertahan keputusan Speaker.


Dalam kekecohan itu Pandikar mengarahkan Azmin, Dzulkefly dan Sivarasa untuk meninggalkan dewan atas alasan mempersoal keputusan Speaker.


Kemudian Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut bangun mempertikai keputusan Speaker itu.


Dalam suasana kecoh itu Anwar mendakwa, Pandikar telah bertindak tidak wajar apabila tidak menerima precedent yang dikemukakan oleh anggota parlimen Pakatan Rakyat.


Anwar juga mendakwan Pandikar sepatutnya meminta maaf di atas kesilapannya itu.


Ahli Parlimen Pakatan Rakyat kemudiannya beramai-ramai melaungkan leave the chair kepada Pandikar.


Tiba-tiba dalam kekecohan itu Pandikar mengumumkan bahawa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat tidak berminat untuk membahaskan usul itu.


Beliau juga meneruskan dengan undian belah bahagi yang menyaksikan usul itu dilulus tanpa bahas.


Persidangan Dewan Rakyat juga ditangguhkan dan akan disambung semula jam 10 pagi esok. -HD



Tolak laporan minoriti, cubaan tutup daftar pemilih kotor


KUALA LUMPUR, 3 April: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) menyifatkan penolakan usul laporan minoriti oleh Speaker Dewan Rakyat hari ini sebagai cubaan untuk menutup kepincangan dalam daftar pemilih.

Ini kerana katanya, laporan minoriti itu antara lain secara jelas mengemukakan bukti senarai daftar pemilih belum bersih.

Beliau merujuk isu 42,000 pengundi ragu yang tidak mempunyai kad pengenalan dalam pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan pendedahan Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia (Mimos) yang mengesan 80,000 pengundi yang berkongsi alamat sama.

"Bagi saya jelas menunjukkan keangkuhan, tidak mahu dengar, dan tidak bagi ruang untuk kita bagi penjelasan dan tunduk kepada tuntutan Umno.

"(Ini kerana) saya lihat laporan minoriti itu mendedahkan bahawa SPR gagal memastikan senarai pemilih yang sah," katanya pada sidang media bersama ahli parlimen Pakatan Rakyat petang tadi.

Terdahulu beliau melahirkan rasa kecewa terhadap sikap Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menolak usul laporan minoriti untuk dimuatkan bersekali dalam laporan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) Penambahbaikan Pilihan Raya.

Beliau juga kesal kerana Pandikar didakwa tidak mahu mendengar hujah ahli parlimen Pakatan berhubung bukti atau 'precedent' laporan minoriti pernah dibuat di negara-negara Komenwel lain.

"Speaker menolak dengan dengan alasan tidak ada 'precedent'. Dia kemudian tak mahu layan langsung perbincangan.

"Dia yang tiga kali cadang supaya kita kemukakan alasan precedent. Bila kita kemukakan dia tak mahu dengar," tegasnya.



PSC: Tindakan Speaker pemangkin Bersih 3.0


KUALA LUMPUR, 3 April: Penolakkan usul berkenaan laporan minoriti dan juga meluluskan cadangan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya tanpa perbahasan merupakan pemangkin kepada perlaksanaan himpunan Bersih 3.0.

Menurut Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, Pakatan Rakyat mempunyai hujah serta bukti apabila Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia meminta mereka mengemukakan bukti amalan laporan minoriti yang dilakukan di mana-mana negara Komanwel.

"Bila Speaker meminta kita kemukakan bukti amalan mana-mana negara komanwel yang melaksanakan laporan minoriti dalam Parlimen mereka.

"Kita mempunyai hujah serta fakta berasaskan apa yang berlaku dalam Parlimen di New Zealand, Australia mahupun negara-negara kecil seperti Jamaica yang ada keutamaan tentang laporan minoriti dimasukkan atau dibahaskan bersama dengan laporan yang dikemukakan," jelasnya.

Tambahnya lagi, adalah tidak munasabah Pakatan Rakyat dilayan sedemikian, yang mana hujah-hujah mereka langsung tidak mahu didengari di Parlimen.

"Saya merasakan dengan penolakkan ini rakyat diluar sana dapat melihat bagaimana proses penyuburan demokrasi di dalam negara ini tidak dapat diletakkan di tempat yang adil.

"Walaupun kita menyertai PSC serta memberi kerjasama sepenuh demi penanbahbaikan proses pilihanraya namun apa yang berlaku hari ini telah menguburkan demokrasi negara," sambung beliau lagi.

Salahuddin ketika ditanya berkenaan pembaziran yang dilakukan sepanjang tempoh enam bulan dan akhirnya laporan tersebut diluluskan tanpa dibahas.

"Saya tidak melihat ia sebagai satu pembaziran kerana kita telah beri kerjasama selama ini, tetapi pada hari ini kita dapat melihat bagaimana wujudnya campurtangan pihak eksekutif mahupun Umno itu sendiri dalam keputusan yang dibuat.

"Kita melihat bagaimana laporan minoriti itu ditolak sedangkan ia tidak sepatutnya berlaku sebab kita boleh buktikan dengan amalan yang dilakukan di parlimen-parlimen di luar negara terutamanya negara komanwel," sambung beliau lagi.

Sebelum itu, Pandikar Amin menolak usul yang difailkan semalam atas alasan tiada peruntukan bawah Perintah Tetap yang memberikannya kuasa untuk mengubah laporan itu.

Tiada perkara seumpamanya, kata Pandikar memetik amalan berparlimen di New Zealand.

Penolakan itu, menyebabkan ahli parlimen pembangkang bangun mendakwa terdapat duluan berhubung laporan minoriti dikepilkan bersama laporan-laporan lain, di Parlimen negara Komanwel lain.

Malah beliau juga turut mengarahkan Azmin Ali (Gombak), R.Sivarasa (Subang) dan juga Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor) keluar dari Dewan Rakyat atas tindakkan ketiga-tiga mereka mengemukakan bukti serta hujah terhadap amalan tersebut.

Pandikar Amin telah mengambil keputusan untuk memutuskan usul tersebut diluluskan tanpa ada perbahasan.
-HD



Anwar bersama anggota Parlimen Pakatan dalam sidang media selepas Speaker luluskan laporan PSC tanpa bahas


Terdahulu, dewan rakyat kecoh apabila berlaku perang mulut antara ahli parlimen Pakatan Rakyat dengan BN berhubung pertikaian penolakan laporan minoriti oleh Pandikar.

Kekecohan itu juga menyaksikan Azmin Ali (PKR Gombak), Dr Dzulkefly Ahmad (PAS Kuala Selangor) dan Sivarasarasiah (PKR Subang) diarah keluar dewan oleh Pandikar.

Suasana tegang itu juga memaksa Pandikar membuat undian belah bahagi bagi meluluskan usul PSC tanpa bahas kerana berpendapat ahli parlimen Pakatan Rakyat 'tidak berminat' untuk berbahas yang kemudian diluluskan.

Mengulas perkara itu Anwar sekali lagi membidas sikap Speaker yang membuat kesimpulan mudah sebegitu
.

"Siapa yang boleh putus kita tak minat bahas. Kita bangun nak selesaikan ini dahulu kemudian nak bahas.

"Kita bawa dokumen (untuk bahas) tapi sengaja ambil alasan, takut hujah dikemukakan dan rakyat tahu," katanya.
-HD

Mata Adam Adli Lebam Kena Tumbuk Di Kampung Kerinchi - updated

Posted: 03 Apr 2012 02:35 AM PDT


Adam Adli ditumbuk ketika rundingan penduduk

Rundingan 34 penduduk pangsapuri PKNS Kampung Kerinchi dekat Kuala Lumpur bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mahu merobohkan kediaman mereka pagi ini dicemari oleh insiden aktivis pelajar, Adam Adli ditumbuk.

Menurut saksi kejadian, Adam Adli Abd Halim kelihatan ditumbuk ketika menuruni pangsapuri empat tingkat itu oleh lelaki, dipercayai penduduk setempat.

Adam yang hadir bersama seorang lagi aktivis pelajar Ekhsan Bukhari kelihatan mengalami kecederaan di bahagian bibir dan mata.

Adam ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan dikasari dan mengalami kecederaan yang kini sedang membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Pantai Baharu.

Adam sebelum ini popular kerana menurunkan bendera memuatkan bendera memuatkan wajah Datuk Seri Najib Razak dalam perhimpunan mahasiswa di depan ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur. -mk


Insiden Kg Kerinchi: 3 mahasiswa dipukul


KUALA LUMPUR: Proses pembersihan penduduk flat PKNS Kampung Kerinchi dicemari insiden pergaduhan apabila tiga aktivis mahasiswa terlibat bersama anggota yang didakwa dari NGO, Pekida.


Tiga aktivis mahasiswa terlibat ialah Adam Adli, Safwan Anang dan Ekhsan Bukhoree.
Difahamkan Ekhsan ditahan di Balai Polis Lembah Pantai dan kemudian dibebaskan.


Insiden pergaduhan itu bermula apabila wujud provokasi dari kumpulan Pekida terbabit ketika ketiga-tiga mahasiswa berkenaan berada di tingkat 3, iaitu salah satu flat yang akan dirobohkan.


Kedengaran kumpulan terbabit menjerit 'turun Adam Adli' dan apabila Adam dan tiga rakannya lain turun dari flat itu, mereka diserbu dan tercetusnya pergaduhan.


Adam ditumbuk di bahagian mata sebelah kiri dan keadaan mulai kecoh sehingga dileraikan anggota polis.


Keadaan yang mulai tegang dileraikan polis sehingga beberapa minit kemudian, FRU mulai kelihatan untuk mengawal keadaan sekitar.


Proses pembersihan flat Kerinchi ini sepatutnya dijalankan awal pagi ini, namun mendapat bantahan daripada 34 penduduk yang masih enggan berpindah atas sebab tertentu.


Mereka memohon menangguhkan tarikh mengosongkan flat berkenaan sehingga 1 Julai untuk mereka membuat persediaan untuk berpindah. -FMT







Zuhudnya Sultan Kelantan. Berjubah dan memakai kasut crocs

Posted: 02 Apr 2012 03:31 PM PDT


Seorang Sultan yang beriman, zuhud, merendah diri, dan menghormati alim ulama...Apa yang lebih membanggakan, baginda mampu menjadi imam solat bagi rakyat jelata. Baginda juga telah menukarkan kalimah "DAULAT TUANKU" kepada "ALLAHU AKBAR". Rakyat Kelantan bangga mendapat Sultan yang berjiwa Islam. Semoga Allah memanjangkan usia baginda dan cepat mendapat jodoh...

Perubahan Anak Muda Yang Menakutkan Umno BN

Posted: 02 Apr 2012 03:27 PM PDT


MERSING - Rata-rata beranggapan bahawa antara tanda-tanda awal UMNO bakal kecundang di negeri Johor adalah apabila sokongan kepada pembangkang semakin terserlah seperti dalam gambar di atas.

Seorang juru gambar pro pembangkang Dhamam dalam ulasannya di facebook rasminya menyebut anak muda yang bermain bola sudah tidak menunjukkan kebencian dan rasa canggung dengan bendera 'purnama' nyata memberi keyakinan bahawa PAS sudah tidak asing buat mereka.

"Sewaktu pulang dari mesyuarat di Teluk Gorek, Mersing...aku melalui sebuah padang bola...kelihatan anak2 muda sedang bermain bola....tidak takut tidak gentar dengan bendera 'purnama'..... #UNTUK MAKLUMAN: Ini di Mersing, Johor....bukan Negeri Kelantan! :)," katanya lagi.

Difahamkan, bendera itu dipasang di kedua pintu gol sebuah padang bola sepak berhampiran persimpangan jalan ke Teluk Gorek dan Tanjung Resang, Mersing. Lokasi berkenaan juga merupakan tempat pelancongan kerana didapati banyak chalet-chalet didirikan disekitarnya.

Sementara itu, Dhamam turut menambah dengan katanya media massa sering mengadu domba dengan menonjolkan sesuatu yang negatif ke atas parti pembangkang, namun bila melihatkan situasi sebegini membayangkan bahawa anak muda kini tidak termakan dengan dakyah yang dilemparkan UMNO.

"Imej PAS sangat buruk di gambarkan media2 UMNO/BN...setiap hari di momokkan dengan pelbagai tuduhan supaya orang benci pada PAS tapi melihat pada situasi ini orang muda tak percaya....kalau mereka percaya segala yg media UMNo/BN gambarkan...usahkan bendara pas...dengar nama PAS pun mereka akan benci.... :)," katanya lagi.

Dalam pada itu, gelombang perubahan semakin kuat melanda bukan sahaja di Johor tapi di seluruh dunia, bagaimanapun persoalan tetap timbul disebalik paparan gambar berkenaan salah satu daerah negeri UMNO paling kuat dalam dunia, mengapa begitu daif sekali keadaan padangnya.

Tambahan pula, tiang golnya seperti menanti masa untuk rebah ke bumi.Bukankah negeri yang diperintah UMNO keadaannya semuanya indah dan hebat?.

Barangkali bendera yang bersama dengan anak muda yang bermain bola itu adalah jawapan yang tepat bagaimana kegagalan dan kepincangan UMNO BN dalam mengurus tadbir negara ini. ~tranungkite

Kunjunganku Ke Kelantan: "Bukan Indah Khabar Dari Rupa, Tapi Indah Rupa Dari Khabar"

Posted: 02 Apr 2012 03:22 PM PDT

Sebenarnya, sejak setahun lalu, selepas menjadi penulis sepenuh masa, saya begitu ingin ke Kota Bharu, Kelantan untuk menikmati suasana di sana. Kali terakhir – juga pertama kali – saya ke sana pada 1995 sempena Perhimpunan Penulis Muda Nasional di Kem Kijang.

Baru-baru ini, pihak tertentu sibuk mengeluarkan kenyataan betapa miskin dan mundur negeri Kelantan. Pasti sahaja segala kenyataan itu bertujuan politik; apatah lagi Pilihan Raya Umum Ke-13 semakin hampir.

Maka, pada akhir Februari lalu, saya mengambil keputusan untuk ke Kelantan – khususnya Kota Bharu – untuk melihat sendiri segala "kemunduran" dan "kemiskinan" yang diperkatakan pihak berkenaan.

Bagi saya, daripada bergantung serta percaya bulat-bulat pada apa yang dikatakan orang, lebih baik saya pergi sendiri untuk melihat, mengalami serta merasai sendiri suasana sebenar di sana.

Sebaik sahaja saya menyatakan keinginan untuk ke Kota Bharu menerusi ruangan status di Facebook, reaksi positif yang diterima amat memberangsangkan.

Begitu ramai rakan-rakan di ruang siber – kebanyakannya belum pernah saya temui secara bersemuka – tampil "mempersilakan" saya melakukan kunjungan yang dirancang.

Mereka yang bukan anak Kelantan juga menyokong cadangan saya untuk ke Kota Bharu; khususnya apabila saya sudah menyatakan sejak awal bahawa saya mahu menulis siri artikel berdasarkan pengalaman saya ke tempat berkenaan.

Harus saya akui bahawa sebelum saya membeli tiket bas ekspres untuk ke Kota Bharu, saya sudah pun dapat merasai kemesraan, kesantunan serta segala nilai positif yang terdapat dalam kalangan penduduk di negeri Kelantan.

Begitu ramai rakan-rakan di Facebook yang mencadangkan tempat-tempat yang perlu dilawati dan makanan yang perlu dicuba. Begitu juga beberapa frasa penting dalam loghat tempatan yang wajar saya ketahui untuk memudahkan komunikasi.

Maka, saya tidak was-was untuk pergi ke Kota Bharu walaupun saya tidak ada kenalan atau saudara-mara di sana. Saya pergi sebagai "orang luar" untuk mendapatkan pengalaman baru secara objektif.

Rombongan besar

Saya tidak pernah menyangka bahawa segala urusan akan menjadi begitu mudah. Amy Suzani Mohd Ainuddin, salah seorang mangsa royalti teks Komsas, menawarkan untuk mengatur tempat penginapan dan perjalanan sepanjang saya di Kota Bharu.

Begitu juga, Nur Hidayah dari Yayasan Kebajikan Anak-anak Yatim Kelantan (Yaatim) tampil menyatakan kesediaan untuk mengatur program yang sesuai sepanjang saya berada di sana.

Seorang lagi mangsa royalti teks Komsas, Rohani Deraman yang berasal dari Pasir Putih, Kelantan dan kini tinggal di Johor Bahru turut melahirkan keinginan untuk ke Kota Bharu.

Maka, akhirnya, kami semua bertemu di Kota Bharu pada 11 Mac 2012 untuk sama-sama merasai suasana yang dilabelkan sebagai "mundur" dan "miskin" oleh pihak tertentu atas kepentingan politik.

Pada masa sama, Nik Faridah Mamat yang menyertai Bengkel Penulisan Cerpen anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada 26 Februari lalu mencadangkan supaya saya tidak melepaskan peluang bertemu Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tentu sahaja saya mahu bertemu Tok Guru! Saya pernah dibawa mengunjungi beliau pada 1995 dan saya dapat melihat serta merasai sendiri sifat-sifat mulia yang dimiliki pemimpin itu.

Hasil maklumat yang diberikan Nik Faridah, saya berjaya menghubungi Wan Nik Wan Yussof, setiausaha politik kepada Menteri Besar Kelantan. Dipendekkan cerita, beliau bersedia mengatur pertemuan seperti yang dihajati.

Sekitar seminggu sebelum saya bertolak ke Kota Bharu, Tasya iaitu anak Amy Suzani dimasukkan ke hospital kerana masalah kesihatan. Nur Hidayah mengambil alih "tugas" untuk mengatur aktiviti sepanjang saya dan rakan-rakan penulis berada di Kota Bharu.

Nur Hidayah juga mendapatkan bantuan adik angkatnya, Abdul Mutalib Awang untuk menjadi pemandu kereta dan pemandu pelancong selama empat hari saya di sana. Pemuda berumur 23 tahun itu sanggup mengambil cuti bagi memastikan tetamu mendapat layanan yang sempurna.

Turut sama dalam "rombongan" ini ialah Zainab Ngah, seorang penulis dari Perak yang kini menetap di Terengganu. Walaupun kesihatannya agak terjejas, beliau tidak mahu melepaskan peluang untuk bersama-sama saya dan Rohani untuk meninjau sendiri segala "kemiskinan" dan "kemunduran" yang diperkatakan pihak tertentu.

Cikgu Roshidayu Che Mat yang berasal dari Pasir Putih, Kelantan dan kini tinggal di Shah Alam turut datang bersama suami dan anaknya untuk sama-sama meninjau keadaan di Kota Bharu.

Saya turut berpeluang bertemu Wan Asyeah Wan Nawang, seorang penulis yang sebelum ini saya kenali berikutan komen negatif yang beliau berikan terhadap saya berhubung kontroversi novel Interlok Edisi Murid dan Kamus Dewan.

Beliau segera meminta maaf dan mengakui bahawa komen negatif yang beliau berikan di Facebook pada tahun lalu adalah terlalu emosional dan "terikut-ikut cakap orang".

Bagi saya, tidak menjadi masalah kerana saya bersedia menerima apa sahaja komen yang mahu dikemukakan.

Agak menarik bahawa hubungan kami berdua menjadi rapat dan mesra. Pasti orang tidak akan percaya bahawa Wan Asyeah pernah menulis komen negatif mengenai saya sebelum ini!

Murah dengan senyuman

Ada suatu perkara yang meninggalkan kesan dalam hati saya. Dalam perjalanan ke rumah Wan Asyeah, beliau singgah untuk membeli murtabak. Beliau membeli murtabak daging (lembu) untuk dihidangkan kepada rakan-rakan penulis yang datang.

Saya sangat tersentuh – secara positif – kerana beliau membeli sekeping murtabak ayam khusus untuk saya kerana beliau tahu dan sedar bahawa saya tidak makan daging lembu.

Insiden kecil ini amat bermakna kerana walaupun majoriti penduduk di Kelantan adalah orang Melayu beragama Islam, mereka amat sensitif terhadap budaya kaum/agama lain.

Semua yang saya paparkan ini berlaku dalam masa tidak sampai 24 jam saya berada di Kota Bharu. Orang ramai yang saya temui di tempat awam pula murah dengan senyuman.

Menceritakan pengalaman di Kota Bharu, Roshidayu berkata, pertemuan itu amat istimewa dan sukar dilupakan.

"Istimewa kerana berpeluang bertemu beberapa penulis yang sebelum ini hanya saya kenali melalui karya atau bersembang menerusi Facebook. Saya juga gembira kerana dapat sama-sama memberikan maklumat sebenar mengenai Kelantan kepada golongan penulis," katanya.

Zainab Ngah pula melahirkan kekaguman melihat segala kemajuan – fizikal, sosial dan rohani – di Kota Bharu berbanding di Terengganu.

"Kalau nak suruh bandingkan antara Terengganu dan Kelantan, saya lebih kagum dengan Kelantan, baik dari segi pusat membeli-belah, rangkaian jalan raya dan bangunan tinggi. Terengganu Cuma berbangga dengan Taman Tamadun Islam yang tersergam indah Masjid Kristal yang tidak diiktiraf untuk solat Jumaat, serta replika masjid-masjid seluruh dunia. Kalau Kelantan dikatakan mundur, ternyata Terengganu pula lebih mundur," katanya.

Bagi Rohani Deraman, beliau pernah tinggal di Kota Bharu pada tahun 1980-an. Melihat akan segala pembangunan di sini sekarang, beliau melahirkan rasa kagum dan bangga.

"Kota Bharu membangun sejajar bandar-bandar lain; termasuk di Lembah Klang. Rasa-rasanya tidak ada beza dengan segala kemudahan yang ada di Johor Bahru. Cuma, apa yang tiada di sini adalah pusat-pusat hiburan, panggung wayang dan kedai nombor ekor.

Mungkin itulah 'kemajuan' dan 'pembangunan' yang dimaksudkan pihak tertentu apabila melabel Kelantan sebagai negeri yang mundur," kata penulis sepenuh masa itu.

Saya akan menulis lagi mengenai pengalaman saya di Kota Bharu; khususnya mengenai "kemunduran" dan "kemiskinan" yang dihebohkan pihak tertentu.

Sama-samalah kita buat kesimpulan sama ada keadaan di Kota Bharu, Kelantan "indah khabar dari rupa" atau "indah rupa dari khabar". -FMT

Uthaya Sankar SB boleh dihubungi menerusi e-mel uthayasb@yahoo.com.my manakala blognya boleh dilayari di www.uthayasb.blogspot.com

Tiada ulasan: