Khamis, 5 April 2012

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


Tarikh Pilihanraya : Ini kena tanya Rosmah

Posted: 05 Apr 2012 12:07 AM PDT

KUALA TERENGGANU-Rakyat Malaysia perlu bertanya kepada Datin Seri Rosmah Mansor samada suaminya Perdana Menteri Najib Razak sudah mendapat satu tarikh yang sesuai untuk pilihanraya umum ke 13 (PRU13).

"Beliau berkerja bersama-sama dengan Rosmah bukan dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tun Dr Mahathir atau sesiapa saja dalam Umno, Najib sedang mencari satu tarikh yang boleh memberikan ganjaran 2/3 majoriti di PRU13.

"Bagi Rosmah dan Najib, perkara ini bukanlah susah kerana semua bekas perdana menteri Umno, termasuklah Pak Lah telah memenangi PRU mereka melebihi 2/3 majoriti apabila pertama kali mereka menerajui Barisan Nasional (BN).

"Ini adalah kali pertama untuk Najib dan mereka berdua adalah pendekar, sudah tentu mereka tidak mahu kehebatan politik mereka kelihatan tidak sehebat para pemimpin terdahulu yang membawa BN ke arah kemenangan," kata Setiausaha Agong PAS, Datuk Mustafa Ali kepada Harakahdaily hari ini.


Namun, kata Mustafa , Najib sebenarnya dalam dilemma untuk memilih satu tarikh yang sesuai untuk pilihanraya, kerana seandainya silap, teori RAHMAN akan menjadi kenyataan.

Ini kerana, menurut teori RAHMAN, Najib adalah perdana menteri terakhir daripada Umno.

Teori RAHMAN adalah khabar angin yang sering diperkatakan orang mengenai rancangan menyusun turutan perdana menteri di Malaysia.

Teori RAHMAN merupakan singkatan kepada nama perdana menteri Malaysia yakni Tunku Abdul (R)ahman, Tun (A)bdul Razak, Tun (H)ussien Onn, Tun Dr (M)ahathir, Tun (A)bdullah dan (N)ajib.

"Najib kini sebenarnya tersepit mencari tarikh yang sesuai untuk PRU13. Terlalu awal, negeri-negeri Pakatan Rakyat mungkin tidak ikut.

"Terlalu lambat, segala faktor feel good yang dijana melalui pemberian duit seperti RM100 kepada sekolah rendah, RM200 baucar buku dan RM500 melalui BR1M akan dilupakan," kata Mustafa.

Mustafa berkata pemberian duit bantuan yang bertujuan untuk menunjukkan bahawa pengundi telah mendapat pembelaan tidak akan bertahan lama.

"Untuk kekal perasaan feel good itu, pilihanraya tidak boleh dilengahkan. Seperti kata Mahathir, Melayu mudah lupa," kata Mustafa dengan seloroh.

"Jadi apakah tarikh sesuai untuk Najib? Rasanya Jun hingga pertengahan Julai kerana selepas itu ialah bulan Ramadan, Hari Raya dan orang bersiap hendak pergi menunaikan haji – ia adalah tidak sesuai dan perasaan feel good dah hilang," kata beliau.

Negeri Selangor, pusat pertembungan dalam pilihan raya ini telah mengumumkan bahawa mereka tidak akan ikut serta PRU13 sekiranya ia diadakan sebelum bulan Jun.

Negeri Pakatan Rakyat (PR) yang lain, selain Kelantan belum menyatakan hasrat samada akan turut mengadakan pilihanraya serentak atau tidak.

Dengan itu, Mustafa berkata Najib kini berdepan dengan satu lagi dilemma di mana beliau akan berlawan di PRU13 kemungkinan tanpa hadiah utama, Selangor yang dihajatkannya.

"Kini, PR telah menemui jumlah pengundi hantu yang besar di Selangor, modus operandi yang sama digunakan BN untuk mengalahkan PAS di Terengganu pada 2004.

"Tidak mustahil untuk negeri Pakatan Rakyat untuk menangguhkan pilihanraya ke Mei 2013 untuk membersihkan daftar pemilih terlebih dahulu.

"Najib boleh meneruskan untuk pillihanraya parlimen, dan mungkin menang tapi negeri PR masih kekal," kata Mustafa.

Namun dengan prediksi bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin bahawa BN hanya selamat di tiga negeri iaitu Pahang, Melaka dan Johor, Mustafa bertanya samada Najib berani memanggil PRU13 sekiranya negeri-negeri PR tidak ikut serta.

"Teori RAHMAN akan menjadi kenyataan sekiranya tarikh yang salah dipilih, dan Najib mungkin adalah perdana menteri terakhir daripada Umno dan ketika itu berakhirlah BN," Mustafa memberikan amaran.

Siapakah yang Najib patut rujuk untuk mendapat tarikh PRU13.

"Saya rasa Rosmah. Beliau juga ingin kekal terus berkuasa, jadi beliau mungkin memanggil pilihanraya sekiranya rasa BN boleh menang di peringkat parlimen.

"Peranan Rosmah mungkin ialah mengumpulkan segala prediksi daripada ahli astronomi, nujum, bomoh dan feng shui untuk mendapat tarikh yang sesuai," sindir beliau.

-Harakahdaily

KEDAH : Phahrolrazi, Ismail angkat sumpah pelantikan semula sebagai exco

Posted: 04 Apr 2012 11:22 PM PDT

ALOR SETAR: Dua lagi anggota exco kerajaan negeri hari ini mengangkat sumpah jawatan di hadapan Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Datuk Seri Tunku Annuar Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit, di sini.

Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr Ismail Salleh sebelum ini tidak mengangkat sumpah bersama lapan lagi exco pada 28 Februari lalu kerana menolak dilantik semula ke jawatan itu.
Senarai exco yang dikeluarkan selepas majlis itu menyaksikan beberapa perubahan portfolio dengan Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul kini menjadi Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran dan Koperasi, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan.

Datuk Amiruddin Hamzah kini menjadi Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perumahan, Kerja Raya, Pertanian dan Industri Asas Tani dan Bioteknologi, manakala Phahrolrazi dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga.


Dr Ismail pula dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO), Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi.


Datuk Dr Hamdan Mohamed Khalib, Datuk Siti Ashah Ghazali, Datuk S. Manikumar, Lim Soo Nee, Abd Ghani Ahmad dan Tan Joon Long @ Tan Chow Kang, yang menerima tawaran pelantikan semula lebih awal, kekal dengan jawatan masing-masing.

Dr Hamdan kekal sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Belia dan Sukan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan; Abd Ghani kekal sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Badan-badan Bukan Kerajaan dan Pembangunan Insan.

Siti Ashah kekal sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Masyarakat; Manikumar sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Hal Ehwal Masyarakat Siam.

Lim kekal memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Perpaduan dan Pengurusan Sumber Manusia manakala jawatan Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Pengangkutan kekal disandang Tan.

Azizan ketika ditemui pemberita selepas majlis angkat sumpah itu berkata dengan pelantikan semula dua exco berkenaan diharap mereka akan dapat bersama memadu tenaga demi membawa pentadbiran Kedah ke arah yang lebih mantap.

"Saya gembira kerana kedua-dua exco dapat bersama semula. Disamping akan menghadapi pilihan raya, kita akan kemaskan saf...apa yang negatif, semua sudah positif," katanya di sini hari ini. - BERNAMA

Tiada ulasan: