Ahad, 8 April 2012

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Anwar: Kekuatan raksasa untuk Bersih 3.0

Posted: 08 Apr 2012 04:12 AM PDT

Apr 8 2012 / Keadilan Daily
(Oleh: Sidiqin Omar)

SHAH ALAM 8 April: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia yang cintakan kebenaran dan keadilan untuk turun beramai-ramai ke Dataran Merdeka bagi menyatakan bantahan terhadap penipuan sistem pilihan raya, 28 April ini.

"Saya ulang, kali ini himpunan Bersih pada 28 haribulan, biar ada kekuatan raksasa di kalangan rakyat. Hentikan penipuan ini. Cukuplah!," kata Anwar pada program 'Rapat Rakyat Sempena 25 Tahun Pas Shah Alam', di Stadium Melawati, semalam.

Dalam ucapan di hadapan kira-kira 1500 penyokong Pakatan Rakyat itu, Anwar berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga kini gagal membersihkan daftar pemilih, termasuk pengundi meragukan.

Ia termasuk pertindihan nombor kad pengenalan, kewujudan lebih 100 pengundi pada satu alamat dan pengundi yang telah mati tidak dikeluarkan dalam daftar pemilih.

Perkara itu katanya menunjukkan kerajaan tidak berniat untuk menjalankan pilihan raya secara telus dan adil.

"Termasuk di Permatang Pauh pun, ada 123 nama (pengundi meragukan). Sampai begitu sekali. Inilah penipunya mereka," kata Anwar.

Malah katanya, laporan minoriti yang dikemukakan wakil Pakatan Rakyat dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi menambahbaik pilihan raya, juga ditolak.

"Sebab laporan (eseluruhan) PSC tidak menjelaskan secara terperinci. Macam mana nak adakan pilihan? Nak cakap, tak boleh. Nak bantah, tak boleh," kata Ahli ParlimenPermatang Pauh itu.

Beliau memberikan contoh kira-kira 40,000 nama pengundi meragukan tidak dibersihkan SPR, sepertimana didedahkan oleh Mimos Bhd yang membuat semakan audit.

Dalam pada itu, Anwar mengarahkan jentera pilihan raya Pakatan Rakyat, bersiap sedia mulai sekarang bagi menghadapi pilihan raya yang akan diadakan pada bila-bila masa.

"Jangan pandang ringan. Dalam konteks pilihan raya di Malaysia, undi 51 peratus kepada kita belum boleh dikira menang.

"Kerja, usaha dan ikhtiar mesti dilebihkan. Tanggungjawab kita bukan sekadar pertahankan Selangor, tetapi menjadikan Selangor sebagai kubu menuju Putrajaya," katanya.


Hapus PTPTN : Ibrahim Ali Yang ‘Muflis Idea’

Posted: 08 Apr 2012 03:23 AM PDT

1. Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) menyelar kenyataan Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali yang mengatakan bahawa janji Pakatan Rakyat untuk menghapuskan pinjaman di bawah skim Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sekiranya berkuasa tidak masuk akal dan boleh menyebabkan negara menjadi muflis. Ibrahim Ali berkata demikian selepas merasmikan mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Datuk Abdul Hamid (I) di Pasir Mas semalam.

2. Bagi DPPNK, bukan negara yang muflis akibat penghapusan PTPTN tetapi Ibrahim Ali yang sebenarnya telah 'muflis idea' untuk menyerang Pakatan Rakyat. Umum mengetahui usaha Ibrahim Ali untuk melobi untuk bertanding di dalam pilihanraya umum yang akan datang di atas tiket UMNO justeru kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau hakikatnya merupakan kenyataan yang menyokong UMNO dan Barisan Nasional walaupun beliau memenangi kerusi Parlimen Pasir Mas dengan menggunakan tiket PAS. Keghairahan untuk menjadi calon inilah yang menyebabkan Ibrahim Ali sering tersasar dari landasan kewarasan apabila mengeluarkan kenyataan.

3. Sukalah diingatkan bahawa penghapusan PTPTN dan digantikan dengan pendidikan percuma boleh dilakukan dengan mudah dengan penjimatan terhadap segala ketirisan dan rasuah yang berlaku di dalam negara di bawah pentadbiran UMNO dan Barisan Nasional sekarang. Jika dirujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara 2010, jumlah ketirisan yang berlaku di seluruh agensi kerajaan berjumlah RM21 billion, manakala menurut kenyataan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 7 April 2011, untuk tahun 2010, PTPTN telah meluluskan sejumlah 238,722 bilangan pinjaman dengan peruntukan sebanyak RM6.04 bilion. Ini boleh dirujuk kepada laporan agensi berita BERNAMA yang bertarikh 8 April 2011.

4. Jika jumlah RM21 billion ketirisan yang berlaku dalam pelbagai agensi seperti yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara dapat dielakkan, adakah tidak mustahil wang ini dapat digunakan untuk menampung secara percuma pendidikan rakyat Malaysia di peringkat tinggi yang hanya berjumlah RM6.04 billion? Ini hanya merupakan satu contoh penjimatan dan belum mengambil kira penjimatan yang lain yang dapat dilakukan sekiranya Pakatan Rakyat dapat merampas Putrajaya kelak.

5. Hakikatnya, orang yang 'muflis idea' seperti Ibrahim Ali akan berkata apa saja untuk memastikan dirinya dibenarkan diberikan tempat bertanding menggunakan tiket UMNO dalam pilihanraya umum yang akan datang. Kita yakin, rakyat Kelantan yang matang berpolitik akan menolak individu seperti ini dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Dengan hormat,

AHMAD FADHLI BIN SHAARI,

Ketua Penerangan,

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.

Bertarikh : 8 April 2012

Full Video : Ucapan Mat Sabu Di Program Munajat Perdana Pertahankan Selangor

Posted: 08 Apr 2012 03:18 AM PDT

Najib tak mampu cari RM43bil, dakwa Anwar

Posted: 07 Apr 2012 10:46 PM PDT

Abdul Rahim Sabri


Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan sekiranya tidak mampu menyedia kos RM43 bilion untuk hutang pelajar.

Anwar berkata hutang melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu boleh diselesaikan jika kerajaan mengelak daripada menanggung ketirisan perbelanjaan dan menolak perbuatan rasuah.

Berucap dalam satu ceramah sempena sambutan Jubli Perak PAS Shah Alam malam tadi, Anwar turut menempelak Najib kerana menimbulkan kos sebanyak RM43 bilion untuk langkah tersebut.

Anwar mempertikaikan kos berkenaan memandangkan kerajaan didakwa mampu menanggung kerugian seperti dalam isu pembelian saham MAS dan dalam projek National Feedlot Corporation.

"Hei Najib, RM43 bilion hang (kamu) tak reti (pandai) cari? Hang tak reti cari tak apa. Hang berhenti.

"Kalau tak berhenti, kami tolak hang jadi ketua pembangkang parlimen Malaysia selepas ini. (Sampai) tak tahu nak cari duit," sindir Anwar yang diiringi dengan tepukan hadirin.

Bekas menteri kewangan itu menegaskan bahawa Pakatan Rakyat akan menyelesaikan hutang PTPTN tersebut sekiranya gabungan itu membentuk kerajaan selepas ini.

Anwar mengulas kenyataan Najib semalam yang turut menjelaskan bahawa tindakan itu akan membebankan rakyat kerana kerajaan perlu mengenakan cukai yang tinggi sekiranya langkah itu dilaksanakan.

Keadaan itu boleh dilihat seperti di Norway yang menanggung pengajian tinggi rakyat negara itu sepenuhnya, kata Najib.

Najib juga berkata, kerajaan pada masa ini juga menanggung kira-kira 90 peratus daripada kos pengajian tinggi rakyat manakala PTPTN hanya digunakan untuk membayar yuran pengajian pelajar.

Keghairahan Anwar dan Najib dalam menjuarai isu hutang tersebut dilihat semakin memuncak ekoran rancangan sekumpulan pelajar untuk mengadakan perhimpunan anti-PTPTN pada 14 April.

Perhimpunan yang mensasarkan penyertaan 5,000 pelajar itu dirancang bagi menuntut kerajaan memansuhkan pinjaman tersebut dan menyediakan pendidikan percuma.

Perhimpunan anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia itu juga dirancang sebagai "pemanas badan" sebelum perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April di lokasi yang sama.

Anwar yakin BN tak berjaya rampas S'gor

Posted: 07 Apr 2012 10:43 PM PDT

Abdul Rahim Sabri

Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau yakin bahawa BN tidak akan berjaya merampas semula Selangor daripada Pakatan Rakyat.

Anwar berkata keyakinannya itu berdasarkan tinjauannya Selangor dan juga di Kedah serta Pulau Pinang yang menunjukkan sikap rakyat semakin menyokong Pakatan.

Bercakap dalam satu ceramah malam tadi, Anwar berkata beliau juga yakin bahawa Pakatan mampu menambah kerusi DUN dan juga kerusi parlimen di negeri berkenaan.

Bagaimanapun, Anwar berkata Pakatan perlu bekerja lebih keras dan tidak memandang ringan usaha BN yang begitu "mengidamkan" negeri Selangor.

"Dia idam-idamkan tawan Selangor, insya-Allah, terlepas Putrajaya kepada kita. Saya yakin," katanya kepada kira-kira 1,500 orang yang hadir di program sempena sambutan Jubli Perak PAS Shah Alam itu.

Tambahnya, ramai yang tidak yakin bahawa Pakatan akan berjaya menawan Selangor ketika pilihan raya 2008.

"Tahun 2012, tanggungjawab kita bukan sahaja pertahan Selangor, tetapi kita jadikan Selangor kubu kuat pertahanan kita, supaya kita dapat tawan Putrajaya," katanya lagi.

Pada masa ini, Pakatan memerlukan empat kerusi untuk memperoleh majoriti dua pertiga daripada 56 kerusi DUN.

PKR dan DAP masing-masing menguasai 13 kerusi manakala PAS di tujuh kerusi di negeri itu.

Mufti Selangor: Hati-hati pilih guru agama

Posted: 07 Apr 2012 10:20 PM PDT


Oleh: NURULFATIHA MUAH

SHAH ALAM - Umat Islam dinasihatkan berwaspada dalam memilih guru supaya tidak terjebak dengan ajaran sesat.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid berkata, guru agama yang dipilih perlu 'murshid' (tinggi ketakwaan dan ilmu serta terpelihara daripada sifat hati tidak baik) dan jelas tidak nampak kesalahannya.

"Orang Islam kena berhati-hati dan jauhi ajaran meragukan," katanya ketika mengulas mengenai ajaran Ahmad 100 kepada Sinar Harian, semalam.

Mengulas mengenai Imam Mahdi, Mohd Tamyes berkata, imam itu tidak akan berkelakuan seperti duduk di atas al-Quran ketika berceramah atau menjalin hubungan dengan isteri orang.

"Naluri orang beriman kepada ALLAH, dia tahu apa dipelajari dalam ajaran itu tidak benar. Jika dia mengaku dirinya sebagai Imam Mahdi dan berperangai sedemikian, jelas sekali dakwaan itu salah," katanya.

Menurutnya, ajaran Islam sepatutnya disebarkan secara terang-terangan seperti dilakukan Rasulullah SAW kepada umatnya, bukan secara tersembunyi.

"Pada awal kemunculan Islam, ALLAH memerintahkan baginda berdakwah secara rahsia, ibarat pokok baru mula tumbuh. Kalau tidak, mudah dicabut.

"Lima tahun kemudian, baru ALLAH perintahkan Nabi Muhammad SAW berdakwah secara terang-terangan apabila sudah ramai memeluk Islam. Sekarang, tiada ajaran secara sembunyi, kalau ada, karut," katanya.

Mohd Tamyes turut menasihatkan orang ramai yang pernah terpedaya dengan ajaran sesat supaya meminta ampun daripada ALLAH.

"ALLAH itu maha pengampun, andai kata orang itu tidak sedar ketika jadi pengikut, mohonlah keampunan-Nya.

"Ada empat syarat taubat iaitu menyesal atas perbuatan dilakukan, berjanji tidak akan membuat kesalahan, berhenti lakukan kesalahan dan jika berkaitan dengan manusia, mohon maaf kepada mereka. Jika melibatkan barang, pulangkanlah atau jika sudah termakan, minta dihalalkan," katanya.

Kelmarin, Sinar Harian melaporkan pengakuan beberapa bekas pengikut ajaran Ahmad 100 yang bergerak secara sulit menerusi beberapa pertemuan rahsia di sebuah kediaman di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, bagi mengelak dihidu pihak berkuasa.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenainya kerana khuatir timbul salah faham.

Sebelum ini, Sinar Harian dimaklumkan, perkara itu masih disiasat oleh Jawi.

Tiada ulasan: