Khamis, 26 April 2012

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Pemandu Van "Prebet Sapu" Didenda Kerana Cabul Pelajar Tkn 4

Posted: 26 Apr 2012 01:05 AM PDT

Kuala Terengganu - Seorang pemandu van 'prebet sapu' mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, semalam, mencabul penumpangnya yang juga pelajar tingkatan empat dalam satu kejadian 2 April tahun lalu.

Natijah pengakuan bersalah itu, tertuduh, Mohd Sahabuddin Razali, 27, dari Kampung Baru, Pusu 3, dijatuhi hukuman denda RM6,000 atau empat bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan jumlah denda terbabit.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Noradila Ab Latif selepas tertuduh mengaku salah mencabul kehormatan mangsa, 16, dengan cara meraba kedua-dua buah dada dan paha mangsa antara jam lebih kurang 1.30 petang hingga 1.45 petang di tempat letak kereta berhampiran Stadium Gong Badak, di sini.

Dengan itu, Mohd Sahabuddin mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara boleh sampai sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor V Ravi. Berdasarkan fakta kes, semasa hari kejadian, mangsa yang ingin balik ke asrama sekolahnya yang terletak di daerah ini telah menaiki prebet sapu yang dipandu tertuduh di hadapan Sekolah Menengah (SM) Sains Sultan Mahmud.

Bagaimanapun, tertuduh tidak menghantar mangsa ke lokasi, tetapi sebaliknya telah membawa mangsa ke arah jalan Stadium Sultan Mizan Gong Badak dan telah memberhentikan prebet sapunya itu di depan Stadium Tertutup Gong Badak berdekatan dengan tasik di kawasan tersebut lebih kurang jam 1.30 petang.

Mangsa dipaksa memegang kemaluannya dan pada masa sama mengambil kesempatan meraba mangsa yang masih dalam keadaan terpinga-pinga. Sejurus melakukan perbuatan tidak senonoh itu, tertuduh telah meninggalkan mangsa di Pasaraya Mydin Mall, di sini dan mangsa terpaksa mengambil prebet sapu lain untuk ke asrama sekolahnya.

Mangsa yang masih trauma terus menelefon ibu bapanya dan menceritakan kejadian itu, lalu mereka membuat laporan polis. Rentetan laporan itu, tertuduh telah ditahan pada hari sama, kira-kira jam 3.45 petang untuk disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul. -SH

BERS✔H 3.0: Kebangkitan Rakyat Yang Takkan Boleh Dihalang Oleh Sesiapa

Posted: 25 Apr 2012 11:01 PM PDT

Nik Aziz: Hadir BERSIH wajib

Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata hadir ke perhimpunan BERSIH pada 28 April ini wajib kerana ia diadakan untuk menentang ketidakadilan proses pilihan raya yang tidak selari dengan Islam.

"Mana-mana pihak yang melakukan perkara tidak berlandaskan Islam wajib kita tentang," ujarnya kepada akhbar rasmi PAS Harakah di pejabatnya di Kota Baharu.

Setiausaha akhbar kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga berkata, pemimpin nombor satu dalam parti Islam itu akan turun bersama dalam perhimpunan pada Sabtu ini.

Malah, kata Nasaie Ismail, PAS juga telah mengeluarkan arahan kepada semua ahli untuk turun beramai-ramai ke himpunan tersebut.

Mengulas soal pengundi hantu, yang termasuk dalam tuntutan BERSIH, Nik Aziz berkata ia jelas perbuatan kotor dan bercanggah dengan kehendak Islam.

"Andainya Pakatan Rakyat menang dalam pilihan raya akan datang dan mentadbir negara akan melakukan sebagaimana BN buat sekarang, setuju atau tidak sekiranya kami bawa pengundi hantu untuk kekal mentadbir negara pada pilihanraya berikutnya.

"Tentu saja Umno dan BN tidak mahu sebab perkara ini perbuatan mungkar yang tentu saja berdosa besar bila melakukanya," beliau dipetik sebagai berkata.

Kemenangan 'haram'

Justeru, tambahnya 'wajib' rakyat di seluruh negara keluar beramai-ramai menjayakan BERSIH 3.0 untuk menentang pengundi hantu di samping menuntut tujuh perkara lain.

Beliau seterusnya memberitahu, sekiranya wakil rakyat yang menang dalam pilihan raya itu kerana dibantu oleh pengundi hantu, kemenangannya 'haram' di sisi Islam.

"Malah segala elaun bulanan atau segala bentuk yang diperolehi sebagai wakil rakyat, gaji, kereta dan semuanya haram serta tidak sah di sisi Islam.

"Perkara ini bukan perkara main-main dan kena ingat Allah dan balasan akhirat,"ujarnya lagi.

Abim seru pencinta kebenaran ke Bersih 3.0

KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menyokong penganjuran perhimpunan aman Bersih 3.0 pada 28 April ini di Dataran Merdeka.

Presidennya, Amidi Abd Manan berkata, Abim menilai penganjuran Bersih 3.0 adalah manifestasi keprihatinan rakyat terhadap kelemahan tatacara pengendalian pilihanraya di negara ini.

"Pilihanraya adalah wahana untuk mengangkat pemimpin yang didokong oleh rakyat.

"Pilihanraya juga merupakan mekanisme berkesan dalam menguruskan perbezaan pendapat serta aliran politik dalam sesebuah negara secara harmoni sekiranya ia dilaksanakan dengan sebaik-baiknya," ujarnya kepada Harakahdaily.

Justeru, tambahnya adalah amat penting institusi serta tatacara pengendalian sesebuah pilihanraya beroleh kepercayaan serta keyakinan yang tidak berbelah bagi dari rakyat.

Sehubungan itu, Abim menggesa Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) seharusnya mengambil sikap proaktif dan lebih serius untuk menangani sebarang aduan serta desakan yang dikemukakan oleh Bersih 3.0 serta masyarakat terhadap isu-isu berkenaan.

"Dalam hal ini Abim ingin mendesak SPR agar menngamati setiap tuntutan serta aduan yang dikemukakan seperti pembersihan senarai pengundi, penambahbaikan terhadap pengendalian undi pos, akses media yang saksama untuk semua parti di samping membendung budaya politik kotor dan ganas menerusi pengukuhan institusi-institusi awam yang berkaitan," ujarnya lagi.

Menurutnya, SPR tidak seharusnya bersikap acuh tidak acuh dalam menangani sebarang aduan serta tuntutan yang dikemukakan, kerana ia merupakan manifestasi terhadap tingginya kesedaran sivil dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap hak politik mereka.

Beliau menegaskan, kegagalan berbuat demikian (menangani aduan serta tuntutan yang dikemukakan dengan sewajarnya) tidak sahaja akan membentuk persepsi negatif terhadap SPR, bahkan ia menafikan peluang untuk badan terbabit memperbaiki serta mengembangkan tatacara pengendalian pilihanraya yang lebih cekap dan berintegriti.

"Menilai suasana politik semasa yang banyak dipengaruhi dengan teka teki PRU 13 yang akan datang, Abim merasakan isu penambahbaikan pengendalian pilihanraya seharusnya diberikan keutamaan yang paling tinggi oleh SPR serta pihak-pihak yang berkenaan," katanya.

Menurut Amidi lagi, kegagalan berbuat demikian hanya akan mengeruhkan suasana politik semasa serta bakal menjejaskan peranan PRU13 sebagai wahana pengurusan perbezaan pendapat serta aliran politik secara harmoni dan berkesan.

"Justeru, Abim menyeru setiap rakyat Malaysia yang cintakan kebenaran dan keadilan agar sama-sama turun secara aman untuk menghadiri Perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini, untuk sama-sama menzahirkan keprihatinan mereka terhadap masa depan negara yang tercinta ini," ujarnya lagi.
-HD


Persada seru ahli turun Bersih 3.0

KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Kelantan Darul Naim di Selangor dan Kuala Lumpur (Persada) sebagai sebuah NGO bebas menyokong sepenuhnya sebarang usaha ke arah memastikan PRU di Malaysia telus, bersih dan profesional.

Persada juga berpendapat, penganjuran Himpunan Bersih 3.0 'Duduk Bantah' adalah satu tindakan yang proaktif dalam mencapai hasrat murni seluruh masyarakat yang cintakan keadilan dan integriti.

"Ia sesuatu yang harus disokong dan didokong oleh semua lapisan rakyat tanpa mengira anutan agama mereka batasan kaum, pegangan ideologi politik dan sahsiah," demikian tegas Setiausaha Agong Persada Razali Mat Ail.

Katanya, Himpunan Bersih 3.0 pada 28 April ini tidak harus dilihat sebagai satu tindakan politik tertentu tetapi menjangkau lebih daripada itu.

Jelasnya kepada Harakahdaily, semua pihak perlu melihat dari pelbagai aspek lain yang lebih penting terutamanya dalam mendesak pengendalian proses pilihan raya yang harus diperbaiki untuk memastikan rakyat Malaysia dapat menikmati hasil yang bersih dan adil.

"Imej Malaysia sebagai sebuah negara yang dipimpin oleh kerajaan yang diberi mandat secara sah telus dan adil perlu diperbaiki dan tidak diragui," katanya.

Justeru, Persada juga ingin menyeru ahli-ahlinya untuk turut mengambil bahagian secara aktif dalam usaha ke arah mobilisasi rakyat bagi menjayakan Perhimpunan Bersih 3.0 dan menegaskan bahawa perhimpunan secara aman adalah menjadi hak rakyat Malaysia.
-HD


Auntie Bersih seru golongan tua sokong BERSIH 3.0

Anne Ooi, yang lebih dikenali sebagai 'Auntie BERSIH', menggesa golongan tua keluar beramai-ramai Sabtu ini bagi menyokong desakan BERSIH bagi pilihan raya yang bersih dan adil.

Dalam klip video yang disiarkan di Facebook Ahad lepas, Anne, 66, menyeru mereka bangkit menyokong perhimpunan tersebut.

Beliau berharap lebih ramai golongan tua mengambil pendirian mengenai isu penting itu.

"Saya minta orang tua, 60 tahun macam saya, jangan biar pada budak-budak, polis selalu tangkap mereka, bantai mereka," katanya.

Walaupun sudah berusia ketika menyertai kempen reformasi sistem pilihan raya, Auntie Anne tegas dalam menyatakan komitmennya menyokong gerakan tersebut.

Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said, 77, turut dipaparkan klip video tersebut di mana beliau berkata pengalaman usia boleh digunakan dengan bijaksana.
-mk




Ulasan GB

Meminjam kata-kata dari TG Nik Aziz semasa Bersih 2.0 dahulu:

"Bagaikan tabie air, rakyat pun begitu. Sebarang usaha menyekat dan membenteng air yang turun dari gunung akan menunggu bencana di hari depan, di satu masa dan ketika nanti."

Buktinya: Musa Hassan dan Hishamuddin Hussein manusia paling hebat menentang BERSIH 2.0 dahulu< Musa terpaksa mengakhiri kerjaya polisnya dengan hina dan tidak disambung lagi perkhidmatannya sebagai KPN (bakal disaman pula oleh bekas pengarah Jabatan Siastan Jenayah Komersial Datuk Ramli Yusuff kerana didakwa menganiayanya dan merosakkan sistem kehakiman). Dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menuntut penjelasan lanjut daripada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mengisytiharkan gabungan proreformasi pilihan raya BERSIH 2.0 sebagai pertubuhan tidak sah tahun lalu.

Itulah Hukum Kebenaran dan Keadilan yang berjalan ke atas mereka yang menghalang kebangkitan rakyat.

Kes Remaja Dibunuh & Dibakar: Nor Ain Dibunuh 2 Minggu Lalu

Posted: 25 Apr 2012 08:00 PM PDT

Kota Bharu – Nor Ain Shafnie Mohd. Azizi, 16, yang rangka mayatnya ditemui di ladang kelapa sawit di Jeram Tekoh, Gua Musang dekat sini pada Isnin lalu dipercayai telah dibunuh dan dibakar dalam tempoh dua minggu sebelum rangka mangsa ditemui.

Gambar: Nor Ain suka memakai pakaian seperti lelaki.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, polis masih menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui sama ada gadis tomboi itu dibakar hidup-hidup atau mangsa dibunuh terlebih dahulu sebelum dibakar.

"Setakat ini, kita mendapati Nor Ain dan motosikal miliknya dibakar. Polis menemui rangka motosikal mangsa yang hangus dan tulang-tulang manusia termasuk beberapa barangan peribadi mangsa di lokasi kejadian," kata beliau ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Menurut beliau, polis masih menyiasat motif pembunuhan itu dan tidak menolak kemungkinan pembunuhan mangsa ada kaitan dengan dadah dan orang yang dikenalinya.

Kosmo! semalam melaporkan misteri kehilangan seorang remaja tomboi sejak 21 hari lalu terungkai apabila rangka Nor Ain ditemui di ladang kelapa sawit di Jeram Tekoh oleh seorang pemandu lori yang melalui kawasan itu.

Nor Ain yang sudah tidak bersekolah, sebelum ini dilaporkan tidak pulang selepas keluar dari rumahnya sejak 3 April lalu.

Jarak rangka Nor Ain ditemui dengan rumahnya kira-kira 500 meter.

Ekoran penemuan itu, enam lelaki dan dua wanita berusia 17 hingga 30 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Mengulas lanjut, Saiful Bahri berkata, polis dalam proses menahan beberapa suspek lain bagi membantu siasatan pembunuhan Nor Ain. -kosmo


Laporan sebelum ini
klik untuk baca





[PANAS] Zahida Hantar Surat Peguam Kepada Zuraida, Kes Rumah Pula Terbongkar..

Posted: 25 Apr 2012 05:15 PM PDT

Artis wanita hantar surat peguam pada MP

Ketua Wanita PKR Zuraida Kamarudin hari ini berkata, beliau telah menerima surat tuntutan guaman daripada pelakon wanita terkenal Zahida Rafik yang didakwanya menerima bayaran RM1.5 juta daripada menteri Umno.

Zuraida berkata, surat melalui peguam Datuk Seri Shafee Abdullah bertarikh 23 April itu menuntutnya berhenti daripada membuat kenyataan berhubung isu yang mengaitkan Zahida dengan Menteri pembangunan luar bandar Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Zuraida berkata, surat itu juga memintanya menarik balik kenyataan, memohon maaf serta membuat bayaran ganti rugi dalam masa tujuh hari atau prosiding undang-undang akan dimulakan.

"Saya tidak menjangka untuk terima satu surat daripada Zahida. Saya fikir Shafie yang mahu menyaman saya.

"Mengapa pelakon ini menggunakan peguam Umno sebagai peguam?" soalnya yang juga anggota parlimen Ampang.

Sementara itu, Zuraida juga berkata, beliau akan membuat dakwaan dan memberi 'bukti kukuh' kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dakwaannya sebelum ini.

Bagaimanapun, Zuraida enggan memberi gambaran apakah 'bukti kukuh' yang beliau ada.

"Saya akan buat satu sidang akhbar dan berserta bukti dan saksi jika terdapat keperluan.

"Tapi sekarang, mari kita tumpukan perhatian pada BERSIH 3.0," katanya merujuk kepada perhimpunan proreformasi sistem pilihan raya Sabtu ini. -mk

Rumah RM4 juta artis ada hubungan dengan menteri


Banglo 3 tingkat bernilai RM4 juta yang dimiliki seorang artis di The Valley, Taman Bukit Indah, Ampang


KUALA LUMPUR: Seorang artis yang didakwa mempunyai hubungan dengan seorang menteri telah menduduki sebuah rumah berharga RM3 juta mulai awal bulan ini.

Rumah tiga tingkat beralamat di No 18, Jalan Lembah TTDI 3, Taman Bukit Indah (The Valley), Ampang adalah didakwa milik pelakon yang dikaitkan dengan seorang menteri kabinet.

Menurut sumber, rumah tersebut berharga RM3 juta dan pelakon tersebut telah memasuki rumah itu awal April lalu.

Malah menurut sumber itu lagi, artis wanita itu telah melakukan pengubahsuaian ke atas rumah tersebut dengan kos sebanyak RM1 juta.

Bagaimanapun, sumber itu memberitahu, rumah itu tidak dibeli atas nama artis berkenaan tetapi atas nama salah seorang ahli keluarganya.

Bagaimanapun segala urusan berkaitan ubahsuai rumah itu dilakukan oleh artis berkenaan.

Tinjauan Harakahdaily mendapati di bahagian hadapan kediaman tersebut turut terdapat pondok pengawal dan beberapa kamera CCTV dipasang di sekeliling rumah.

Sumber turut menyatakan, pelakon tersebut juga turut memiliki seorang jurulatih gimnasium peribadi yang akan melatih beliau di sebuah kelab dalam kawasan perumahan tersebut.

Dalam pada itu, beliau sebelum ini pernah memberitahu kepada penduduk taman tersebut bahawa beliau sudah berkahwin dan suaminya hanya datang bila ada masa terluang.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin mendedahkan pemberian wang tunai yang dianggarkan berjumlah RM1.5 juta yang didakwa dilakukan oleh seorang menteri kepada seorang artis hanya dalam tempoh empat bulan.

Beliau mendedahkan maklumat itu berdasarkan laporan polis yang telah dibuat oleh bekas pemandu peribadi artis terbabit.

Menteri dan artis nafi

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wilayah dan Luar Bandar Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menafikan beliau mempunyai hubungan dengan seorang artis wanita bernama Zahida Mohd Rafik.

Mohd Shafie kelmarin menafikan dakwaan yang dibuat ke atas sebelum ini dan mengancam untuk mengambil tindakan saman kepada mereka yang mengaitkan dirinya.

Pelakon berkenaan, Zahida juga turut tampil menafikan dakwaan itu Jumaat lalu dan berkata peguamnya juga sedang meneliti kes berkenaan.
HD


Ulasan GB

Ketara sangat Shafie Apdal berpakat dengan Zahida sampai guna peguam UMNO, Mohd Shafee Abdullah.

Apa-apa hal pun kes akan dibawa ke SPRM.

Jadi macam kes lembu NFC nanti, terselak habis kain sang menteri lembu itu, sehingga terlucut juga jawatan menterinya.

"I work hard for the money", kata Zahida dalam twitternya. Perkataan hampir serupa dengan menteri lembu tatkala pertahankan suaminya.

Kepada Zahida, kepada Shafie, jika nak saman, saman saja. Nanti di mahkamah boleh cerita panjang.

Rakyat nak jugak tahu "hubungan sebenar" Shafie Apdal dengan Zahida Rafik nih. Dah kahwin ke belum? Ada kata dah kahwin, tapi Zahida tak mengaku, mungkin khuatir dan takut kena belangkong dengan isteri pertama Shafie.

Kalau belum kahwin, apakah menteri memang seorang sang bedal?

Kalau kata 100% lansung tiada hubungan, tu mengarut dan tak mungkin rakyat mempercayainya sebab banyak sangat rahsia dah bocor..... contohnya:

Gempar!! Rakan - rakan artis dan orang kenamaan yang menghadiri Rumah Terbuka Artis @ Usahanita Jelita, Zahida Rafik terperanjat apabila seorang Menteri Kanan Kabinet Malaysia yang rapat dengan Perdana Menteri tiba-tiba muncul berseorangan di Rumah Terbuka Zahida tanpa ditemani isteri dan pengawal peribadi.

Siapakah gerangan Menteri itu…?

Disember lalu, ketika Menteri berkenaan bercuti di London, Zahida juga turut berada di sana, juga tanpa kelibat isteri menteri berkenaan…..
-medan-info


Tentang kisah menteri itu, nampaknya beliau bukan sembarang orang ditempatnya. Wang berjuta. Berpusu-pusu menyusuri rumahnya. Tahap Kassim Baba.

POLIS TUTUP KES MAUT DI RUMAH SHAFIE?

Oleh : CITRA MASADI

MUNGKINKAH Ketua Polis Daerah Semporna, Mohd Azim Khan menutup kes (cover-up) kematian akibat kemalangan maut di rumah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sehari menjelang Hari Raya Aidilfitri?

Mungkin tidak kerana mungkin tidak ada pihak yang membuat laporan atau Shafie Apdal sengaja menutup kes berkenaan demi untuk menjaga maruahnya?

Tim Pemantauan Angkatan Muda PKR yang menghubungi saya memaklumkan bahawa pada malam tragedi berkenaan begitu memilukan dan semua tetamu kelamkabut apabila besi penghadang tangga rumahnya roboh kerana terlalu ramai PATI dan warga tempatan yang bersesak-sesak menyerbu rumahnya untuk mendapatkan 'Sedekah'.


Dilaporkan lebih 20 orang cedera parah dan ada mangsa yang meninggal dunia kerana tertusuk besi penghadang tangga berkenaan dan dibawa ke Hospital Daerah Semporna, namun jenazahnya dilaporkan 'Hilang' keesokan harinya.

Tetamu yang hadir pada malam itu turut melaporkan seorang pekerja dan pengawal rumah Shafie, Abdul Rahman Awang yang berasal dari Tanjung Kapur (Bugaya) meninggal dunia kerana serangan jantung disebabkan terkejut dengan peristiwa berkenaan.

Manakala seorang Wanita Tua dari Kampung Halo, Bangau-Bangau yang datang ke rumah Shafie untuk mendapatkan sedekah RM50 daripada Shafie, telah meninggal dunia di hadapan rumah Shafie pada hari yang sama; menjadi mangsa langgar lari oleh kenderaan lalu lalang kerana keadaan terlalu sesak.

Selepas tragedi mengejutkan tersebut, Shafie turun dari rumah dan dengan perasaan teramat marah kepada tetamu tidak diundang; sambil berteriak dengan suara lantang sehingga terdengar oleh orang lalu lalang di jalan raya.

"Bang but itu, embal na aku muan sin maka pilak, (kalau macam ini, saya tidak lagi beri wang)," teriak Shafie sehingga tetamu tidak diundang terkejut dan beransur pulang.

Dilaporkan pada malam itu, Shafie sudah berhenti memberi wang kerana esoknya tiada lagi peminta sedekah yang datang ke rumah Shafie dan ketika Majlis Rumah Terbuka Aidil Fitrinya pada hari raya ketiga, sudah tidak kelihatan peminta sedekah yang menyerbu rumahnya sebelum ini.

Persoalannya, kenapa isu ini tidak dilaporkan media sedangkan media Arus Perdana termasuk rangkaian televisyen ada membuat liputan? Kenapa Polis Semporna tidak tahu sedangkan mereka dipanggil untuk menghalau peminta sedekah? Mengapa Hospital Daerah Semporna menafikan ada mangsa yang meninggal dunia yang dihantar ke hospital dan ke mana menghilangnya jenazah berkenaan?

Tim Pemantauan AMK PKR sedang berusaha untuk mendapatkan rakaman video melalui telefon bimbit seorang tetamu yang kini turut diburu penyokong Shafie untuk memastikan kemalangan maut berkenaan tidak tersebar di media massa, terutama Youtube.

Sewajarnya keluarga mangsa memohon Inkues agar isu memalukan ini tidak ditutup begitu sahaja kerana yang meninggal dunia, terutama ibu si Bunga, bukannya tikus, tetapi manusia!

Sebelum ini, isteri Shafie, Datin Suriani Mohd Shuib dilaporkan telah melemparkan sekotak wang dominasi RM100 dan RM50 sejumlah antara RM50,000 sehingga RM100,000 kepada para peminta sedekah yang menyerbu beliau untuk mendapatkan wang ketika Shafie masih berucap di Dewan Masyarakat Semporna; tetapi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak berminat untuk menyiasat kes ini.
-sabahkini


Seperti yang GB tulis sebelum ini:

Betapa pantasnya Allah perkenankan doa kita untuk menunjukkan kebenaranNya melalui doa kita sebelum ini:

Marilah kita sama-sama berdoa agar kebenaran dan keadilan itu didedahkan.

اللهم ارنا الحق حقا وارزقنا اتباعه وارنا الباطل باطلا وارزقنا اجتنابه

Allahumma arinal haqqa, haqqa, warzuqnattiba'ah,
wa arinal bathila bathila, warzuqnajtinabah


Ya Allah, tunjukkanlah yang kebenaran itu sebagai kebenaran, dan kurniakanlah kami kekuatan untuk mengikutinya (memperjuangkannya), dan tunjukkanlah yangg batil itu sebagai batil dan kurniakanlah kami kekuatan untuk menjauhinya (menghapuskannya).


Laporan sebelum ini
klik untuk baca



Kenapa Kau Takut Dengan Pemerhati Luar Wahai SPR, Wahai UMNO?

Posted: 25 Apr 2012 07:24 AM PDT

PKR: SPR, Umno-BN Takut Pemerhati Luar

SHAH ALAM, 25 APR : Umno-BN sewajarnya mengalu-alukan kehadiran pemerhati politik luar bagi memantau pilihanraya di negara ini sekiranya benar mereka mengamalkan sistem pentadbiran yang telus dan adil selama ini.

Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nor Manuty berkata tiada apa yang perlu ditakuti dan diselindungi Umno-BN mengenainya kerana ia bakal memberi gambaran positif kepada mereka seandainya apa didakwa parti kerajaan itu benar.

"Kalau Umno-BN amalkan demokrasi yang telus dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengikut prosidur demokrasi. Apa yang nak ditakutkan?," begitu kata Dr Muhammad Nur kepada TVSelangor di sini hari ini.

Beliau menjelaskan kehadiran pemerhati politik luar bagi memantau pilihanraya di sesebuah negara di dunia ini adalah amalan biasa yang tidak perlu dipersoalkan.

Menurutnya, isu itu adalah isu yang biasa dan Umno-BN seharusnya mengakui perkara itu.

Katanya, SPR sebagai badan bebas perlu membuka pintu terhadap pemerhati politik luar supaya pilihanraya di Malaysia mendapat imej yang baik dan terpuji dimata dunia.

"Sepertimana yang didakwa Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof disebabkan kerja profesional SPR menyebabkan ramainya pengundi baru seperti di Selangor yang di luar jangkaan mereka. Maka biarlah pemerhati-pemerhati ini meneliti prosidur-prosidur yang ada pada SPR.

"Biar mereka (pemerhati politik luar) berjumpa dengan rakyat, pimpinan NGO dan semua parti politik. Sepatutnya ia dialu-alukanlah dan ini adalah amalan biasa yang berlaku dalam mana-mana negara dalam dunia," katanya.

Dr Muhammad Nur berkata, pemimpin Umno-BN perlu berlapang dada dan bersikap demokratik dalam isu seperti itu.

"Banyak negara di dunia menjemput pemerhati luar ketika pilihanraya di adakan bagi membuktikan ketelusan sistem demokrasi di negara tersebut.

"SPR dan pemimpin BN tidak perlu takut sekiranya kita benar-benar telus dan bersih dalam mengadakan pilihanraya.

"Ketika imej SPR terjejas teruk masakini, kehadiran pemerhati politik luar adalah langkah terbaik bagi mengembalikan kepercayaan umum kepada badan bebas itu dan seterusnya kerajaan." jelas Dr Muhammad Nor. -selangorku

Kes Sri Wani, Hujjah DNA 25 Mei, Keputusan Jantina 19 Jun

Posted: 25 Apr 2012 05:31 AM PDT

Kes Sri Wani: Hujah isu DNA 25 Mei

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Syariah menetapkan 19 Jun ini untuk memberi keputusan sama ada pengusaha kosmetik, Sri Wani Abdullah perlu menjalani pemeriksaan jantina atau tidak.

Gambar: Sri Wani bersama peguamnya di mahkamah semalam.

Pendaftar Mahkamah Nurul Wazeera Ahmad Dahlan menetapkan tarikh itu berikutan Hakim Syarie Abdul Walid Abu Hassan yang menghakimi kes berkenaan berada di luar daerah atas urusan rasmi.

Sri Wani yang berpakaian sedondon merah jambu hadir ditemani ibu saudaranya Connie Chee, 47, dan peguam syarie Boestaman Ahmad.

Mereka dilihat masuk ke pejebat pendaftar pada jam 9 pagi dan beredar kira-kira setengah jam kemudian.

Bagaimanapun, suaminya Bahrom Sunagi, 61, dan peguam Muhammad Hafiz Ab Rashid tidak kelihatan di mahkamah hari ini.

Sri Wani berkata, prosiding hari ini sepatutnya ditetapkan untuk keputusan mahkamah sama ada dia perlu menjalani ujian jantina atau tidak.

"Saya ada dapat mesej mahkamah Jumaat lepas yang menyatakan prosiding hari ini tangguh. Saya datang ke mahkamah untuk proses wakalah iaitu melantik peguam untuk mewakili saya dalam kes ini," katanya.

Sri Wani berharap media memahami situasinya ekoran Bahrom turut memfailkan injunksi mahkamah bagi menghalangnya dari mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan kes terbabit.

Sementara itu, Boestaman memberitahu, mahkamah menetapkan 25 Mei untuk kedua-dua pihak mengemukakan hujahan akhir berkaitan isu ujian DNA yang difailkan Bahrom.

Sri Wani, 37, menjadi tarikan umum apabila suaminya, bekas dekan universiti memfailkan permohonan membatalkan perkahwinan kerana mendakwa dia lelaki.

Bahrom turut memohon mahkamah memerintahkan DNA dijalankan bagi mengesahkan jantina isteri ketiganya itu, yang dinikahi pada 19 Ogos 2009.

Susulan itu, Sri Wani memfailkan bantahan awal dengan alasan dia dianiaya.

Sri Wani turut memfailkan injunksi 'ex parte' (sebelah pihak) terhadap dua madunya agar tidak mengganggu dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadapnya.

Mengulas mengenai isu saman malu yang pernah disuarakan Sri Wani sebelum ini, Boestaman berkata, mereka sedang mengumpulkan bukti dan akan memfailkannya dalam masa terdekat.



Video ehsan Mymetro

Lelaki Cari Adik Maut Dirempuh Komuter

Posted: 25 Apr 2012 04:59 AM PDT

Shah Alam: Hasrat seorang lelaki yang mahu mencari adik kandungnya tidak kesampaian apabila dia maut dirempuh komuter dalam kejadian di Seksyen 15, di sini, semalam.

Difahamkan, mangsa mencari adiknya sejak dua minggu lalu berdasarkan maklumat yang diperoleh dari seorang pemandu teksi sekitar Shah Alam yang memaklumkan kepada polis sejurus selepas mayat mangsa ditemui.

Dalam kejadian 9.20 pagi itu, mangsa yang berusia 50-an dipercayai berasal dari Ladang Raja Musa, Kuala Selangor.

Setakat ini, identiti mangsa belum dikenal pasti berikutan tiada dokumen pengenalan diri ditemui polis di tempat kejadian.

Jurucakap Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berkata, kejadian berlaku di Kilometer 22.5 membabitkan komuter dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju Pelabuhan Klang.

Katanya, pemandu menghentikan komuter secara mengejut selepas menyedari seorang lelaki melintasi landasan berkenaan walaupun hon kecemasan sudah dibunyikan beberapa kali, namun tidak diendahkan.

"Sejurus selepas kejadian, pemandu komuter berkenaan memaklumkan kejadian kepada pihak KTMB sebelum kami menghubungi polis dan bergegas ke tempat kejadian," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Saksi kejadian, Mohd Zul Hazlin Sameon, 19, berkata ketika kejadian dia mengawal di pintu belakang kilang apabila dia nampak komuter berhenti secara tiba-tiba.

Katanya, apabila komuter perlahan, pemandu terbabit menunjukkan sesuatu ke arah belakang komuter.

"Saya pergi dekat pagar untuk periksa apa yang ditunjukkan pemandu berkenaan, tapi saya tidak nampak apa-apa.

"Saya hanya sedar ada orang dilanggar komuter sebaik nampak kereta peronda polis datang dan beberapa anggota polis memasuki kawasan landasan," katanya yang juga pengawal keselamatan di kilang berhampiran. Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, mangsa disahkan mati di tempat kejadian kerana parah di kepala, pinggang dan kaki.

Kes kemalangan berkenaan disiasat sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, untuk bedah siasat.

Zahedi berkata, sesiapa yang kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi balai polis berdekatan untuk memberi maklumat.

Lihatlah Shafie Apdal Selamba Langgar Undang-undang!

Posted: 25 Apr 2012 03:30 AM PDT


Sekeping gambar adalah lebih baik dari seribu perkataan.

Dan setiap sesuatu yang dijadikan oleh Allah itu tidak ada yang sia-sia.

Gambar di atas tersiar di dalam sebuah akhbar online dengan kapsyen "SHAFIE menunggang motosikal bersama para belia di Kampung Bangau Tanjung, Temerloh semalam."

Apa yang menarik di dalam gambar itu ialah menteri berkenaan yang terpalit dengan isu skandal dengan seorang artis didapati menunggal motosikal tanpa memakai topi keledar dengan membawa pembonceng pun tidak memakai topi keledar.

Dengan selamba beliau menunggang motosikal terasa semacam tidak perlu mematuhi apa-apa undang-undang. GB tidak percaya jalanraya yang digunakan itu jalanraya yang tidak digazetkan kerana yang lain-lain di dalam gambar itu semuanya bertopi keledar belaka.

Kejadian tersebut menjelaskan bahawa Shafie adalah seorang yang selamba dan bersahaja apabila melakukan kesalahan dan hukum kebenaran dan keadilan mendedahkan "Shafie sememangnya bersalah!"

Sikap dan gelagatnya itu tidak boleh diteladani.

Hukum kebenaran dan keadilan (yang kita umat Islam memanggilnya sebagai "sunnatullah") tidak boleh diubah, tidak boleh direka dan tidak boleh ditipu. Ia akan terpapar dengan sendirinya.


سُنَّةَ اللَّهِ فِي الَّذِينَ خَلَوْا مِن قَبْلُ وَلَن تَجِدَ لِسُنَّةِ اللَّهِ تَبْدِيلاً


Yang demikian adalah menurut sunnatullah yang berlaku kepada orang yang telah lalu; dan kamu tidak akan mendapati perubahan bagi sunnatullah itu. Surah Al-Ahzab : 62

Jika tidak percaya, kita boleh tunggu nanti kesalahan-kesalahannya yang bakal didedahkan oleh hukum universal tersebut. Hari ini dilaporkan kes skandal Shafie Apdal & Zahida akan dibawa ke SPRM.

Betapa pantasnya Allah perkenankan doa kita untuk menunjukkan kebenaranNya melalui doa kita sebelum ini:

Marilah kita sama-sama berdoa agar kebenaran dan keadilan itu didedahkan.

اللهم ارنا الحق حقا وارزقنا اتباعه وارنا الباطل باطلا وارزقنا اجتنابه

Allahumma arinal haqqa, haqqa, warzuqnattiba'ah,
wa arinal bathila bathila, warzuqnajtinabah


Ya Allah, tunjukkanlah yang kebenaran itu sebagai kebenaran, dan kurniakanlah kami kekuatan untuk mengikutinya (memperjuangkannya), dan tunjukkanlah yangg batil itu sebagai batil dan kurniakanlah kami kekuatan untuk menjauhinya (menghapuskannya).



Bandingkan dengan gambar-gambar yang pernah tersiar di blog ini:





Tiada ulasan: