Kelab Greenboc |
- SPR & JPN Gunakan Formula Terengganu 2004 Untuk Tumbangkan PR Selangor
- Wanita Tersepit, Diheret Monorel
- Passport Salleh Dikembalikan: NFC Masih Beroperasi Dedah Tender Hanya Wayang UMNO
- Syed Sobri Telah Muflis Sejak Tahun 2010 Lagi
- Nazri Dan Najib Berperang
- PERKASA Nak Anjurkan Himpunan Lawan BERSIH 3.0
- Isu Task Force Beri IC Kepada Warga Asing - Maklumat Datang Dari Orang Dalam Sendiri
SPR & JPN Gunakan Formula Terengganu 2004 Untuk Tumbangkan PR Selangor Posted: 18 Apr 2012 01:04 AM PDT Awas cara Terengganu tawan Selangor KUALA LUMPUR, 17 April: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberikan peringatan, taktik Umno merampas Terengganu pada pilihan raya 2004 akan digunakan semula di Selangor dalam pilihan raya akan datang ini. Beliau memberi peringatan ini dalam wawancara khas dengan Harakahdaily baru-baru ini. "Di Terengganu, kita kalah dalam pilihan raya 2004 bukan kerana penolakan rakyat tetapi melalui pengundi yang diangkut masuk. "Mereka akan ulang cara ini di Selangor dalam pilihan raya akan datang ini," kata anggota Parlimen Marang itu memberikan amaran kepada petugas Pakatan Rakyat di Selangor. PAS telah menang dalam pilihan raya umum 1999 di Terengganu dengan mendapat 28 dari 32 kerusi DUN yang ada namun dalam pilihan raya 2004, kerusi PAS hanya tinggal empat sahaja. Bagi beliau, pendekatan begini satu penipuan yang kotor lagi najis kalau ia dinilai dari perspektif demokrasi sebenar yang sepatutnya adil dan bersih. Menurut beliau, dalam postmortem yang dibuat oleh PAS selepas pilihan raya umum 2004, beberapa kawasan di Terengganu didapati berlaku peningkatan sehingga 2 peratus undi kepada PAS. Berlaku juga di sesetengah kawasan penurunan undi untuk PAS sehingga 2 peratus. "Tetapi di negeri Kelantan, ada kawasan yang menurun undi PAS sehingga 6 peratus. Tetapi apa yang berlaku, Terengganu kerajaan PAS jatuh tetapi kita bertahan di Kelantan," kata beliau. Untuk Parlimen Kemaman, kata beliau, berlaku pertambahan undi berlipat kali ganda yang di luar dari kadar kelahiran manusia di kawasan itu. "Dianggarkan pertambahan pengundi di Kemaman adalah 17,000 pengundi baru (berbanding pilihan raya 1999). "Kawasan lain pun ada juga fenomena yang sama," kata beliau dalam wawancara khas itu. Bagi Abdul Hadi, jentera pilihan raya Umno dan Barisan Nasional (BN) bukanlah kuat sangat tetapi mereka telah menggunakan jentera kerajaan. "Mereka kuat dengan jentera kerajaan. Sepatut tak berlaku macam itu kerana masa pilihan raya, ia hanya caretaker government (kerajaan sementara)," jelas beliau. BN juga, katanya, menggunakan 100 peratus media yang ada dan menghalang parti lawan mereka menggunakan media itu yang bukannya milik BN. "Saya yakin, jika pilihan raya akan datang ini berjalan dengan bersih, kita akan tawan semula Terengganu," beritahu beliau. -HD T'ganu 2004: Konspirasi kotor SPR dan JPN Ulasan GB Tidak hairanlah kita mengapa Najib telah beberapa kali menyuarakan konfidennya beliau bahawa UMNO/BN akan kembali menawan Selangor. GB dimaklumkan bahawa sekalipun isu "Task Force" beri IC kepada warga asing telah didedahkan, namun di ibu negara pada minggu lepas masih terdapat beberapa bas persiaran mengangkut PATI yang diberikan kawalan polis peronda menuju ke destinasi yang tidak diketahui. Kita tunggu kebenaran dan keadilan terdedah, dimana pemuka-pemuka SPR & JPN berserta kumpulan yang mengganggotai "task force" akan dibawa ke muka pengadilan dan dihantar ke penjara. Semuga Allah memperkenankan doa kita. |
Wanita Tersepit, Diheret Monorel Posted: 17 Apr 2012 11:03 PM PDT Kuala Lumpur – Seorang eksekutif pemasaran cedera di badan, tangan dan patah gigi selepas mendakwa tersepit di pintu monorel dan diseret tujuh meter, di hentian Bukit Bintang, 9 Februari lalu. Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa dikenali Cui, 24, menggunakan perkhidmatan awam itu untuk pulang ke rumah selepas tamat waktu bekerja. Katanya, dia cuba masuk ke dalam monorel dan keluar semula kerana gerabak sesak dengan penumpang. "Ketika keluar, tangan kiri saya tersepit di pintu monorel. Petugas di situ cuba menolong dengan mengarahkan pemandu menghentikan monorel, tetapi gagal. "Saya kemudiannya jatuh di landasan dan cedera di beberapa bahagian badan dan patah tiga batang gigi," katanya di Bangunan MCA Jalan Ampang di sini, semalam. Menurutnya, dia dibantu kakitangan syarikat tersebut dan dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan. "Saya dirawat sebagai pesakit luar dan jumlah bayaran rawatan sebanyak RM1,000. Rawatan gigi tidak dilakukan kerana kos perbelanjaan yang tinggi mencecah RM4,700," katanya. Cui berkata, dia menerima surat dari syarikat pengangkutan itu pada 10 Februari lalu yang memintanya menuntut ganti rugi sebagai kos rawatan. Menurutnya, pada 20 Mac lalu, dia membalas surat tersebut, tetapi tiada maklum balas diterimanya sehingga hari ini. Katanya, dia akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya syarikat tersebut tidak memberi maklum balas dalam tempoh seminggu dan mendakwa syarikat itu cuai sehingga menyebabkan dia cedera. Cui juga membuat laporan polis di Balai Polis Kajang berhubung kejadian itu. Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong berkata, pihaknya akan meneliti aduan tersebut dan sekiranya tiada maklum balas, peguamnya akan mengambil tindakan selanjutnya. -SH |
Passport Salleh Dikembalikan: NFC Masih Beroperasi Dedah Tender Hanya Wayang UMNO Posted: 17 Apr 2012 09:22 PM PDT Pasport dipulangkan, NFC masih beroperasi? KUALA LUMPUR, 17 April: PKR hari ini sekali lagi mempersoal tindakan kerajaan membenarkan National Feedlot Corporation (NFC) meneruskan perniagaan walaupun dimaklumkan projek akan ditender semula serta akaunnya dibekukan. Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin berkata, beliau merujuk kepada kebenaran kepada Pengerusi NFC Datuk Sri Dr Mohamad Salleh Ismail untuk ke Singapura dan Kazakhstan masing-masing 23 April dan 5 Mei ini. "Mengapa beliau dibenar ke Singapura dan Kazakhstan bagi tujuan lawatan perniagaan seolah-olah operasi perniagaan berjalan seperti biasa? "Dan mengapa meneruskan kerjasama dan pembukaan ladang di Kazakhstan sedangkan sasaran projek ini adalah bagi mengurangkan kebergantungan daging import," soal Zuraida. Mahkamah Tinggi sebelum ini membenarkan Mohammad Salleh untuk menggunakan pasport beliau bagi tujuan perjalanan perniagaan dan mengarahkan ianya dipulangkan semula kepada mahkamah pada 16 Mei 2012. Laporan akhbar The Star dan News Straits Time pada 14 April lalu melaporkan Mohamad Saleh perlu keluar negara bagi urusan perniagaan NFC. Beliau akan berada di Singapura dari 23 hingga 26 April bagi memastikan perjalanan perniagaan di negara itu lancar. Lawatan ke Kazakhstan pula akan diadakan pada 5 hingga 11 Mei bagi tujuan pembukaan ladang baru. Manakala pada 11 hingga 15 Mei pula Mohammad Salleh didakwa mahu melawat anak perempuannya, Wan Izzana Fatimah Zabedah yang belajar di London. Pada 27 Mac lalu, Menteri Pertanian dan Asas Tani Datuk Seri Noh Omar memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa projek NFC akan ditender semula dan akaun syarikat dibekukan sementara bagi membolehkan siasatan dijalankan. "Saya mendesak agar Perdana Menteri dan Menteri Pertanian bertanggungjawab kepada persoalan-persoalan ini. "Walaupun kes ini masih dalam siasatan pihak mahkamah namun kerajaan bertanggungjawab untuk memastikan kes penyelewengan dana awam ini diselesaikan dengan adil dan bijaksana, bukan seperti melepaskan batuk ditangga," kata Zuraida. -HD Kerajaan buka tender ambil alih projek pusat Fidlot Nasional Ulasan GB Benarlah apa yang GB suarakan dahulu bahawa "betul-betul rakyat pula cuba diperlembukan" dengan pengeluaran tender NFC. Ia hanya "wayang" UMNO/BN menjelang PRU13. klik untuk baca |
Syed Sobri Telah Muflis Sejak Tahun 2010 Lagi Posted: 17 Apr 2012 07:32 PM PDT Muflis: Syed Sobri akur keputusan Speaker ALOR SETAR - Datuk Syed Sobri Syed Hashim akur dengan keputusan Speaker Dun Kedah, Datuk Dr Abd Isa Ismail yang mengarahkan beliau tidak hadir Sidang Dunberiktuan status hilang kelayakan sebagai Adun Kuala Nerang. Katanya, beliau menghormati keputusan Abd Isa yang hanya menjalankan tugasnya sebagai Speaker Dun Kedah. "Saya akur keputusan beliau, itu tugas beliau. Berhubung isu kerusi Kuala Nerang, saya serahkan pada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk putuskan," katanya. Syed Sobri berkata, buat masa ini beliau sedang berusaha untuk membebaskan dirinya daripada status muflis menerusi proses perundangan. "Saya sudah memfailkan injunksi untuk ketepikan perintah muflis sebelum ini pada Jumaat lalu. Saya masih menunggu tarikh pendengaran kes itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dijangka dibuat sehari dua lagi," katanya. Menurutnya, beliau dan peguam sedang berbincang supaya mahkamah dapat memberi tempoh kepadanya selama enam bulan bagi melangsaikan lebihan hutang tertunggak. "Saya harap kes ini dapat diselesaikan dalam minggu ini juga. "Saya benar-benar berharap keputusan berpihak pada saya supaya keputusan kes ini kelak dapat ketepikan keputusan terdahulu. Saya anggap keputusan belum muktamad kerana saya sedang berusaha bebaskan diri daripada status muflis," katanya. Syed Sobri berkata, beliau kini sedang berusaha untuk melunaskan separuh daripada hutang RM8 juta manakala baki RM4 juta lagi akan diuruskan kemudian. Naib Ketua Umno Bahagian Padang Terap itu berikrar akan terus berikhtiar membayar hutang walau dengan apa cara sekalipun. Hutang itu adalah sebahagian daripada pinjaman RM50 juta yang dibuat pada 1998 bagi membolehkan syarikatnya, Kulim Enterprise Sdn. Bhd. disenaraikan di papan kedua Bursa Saham Malaysia pada ketika itu. "Saya akan usahakan untuk membayar balik hutang demi untuk bebaskan diri daripada status muflis. Selepas itu bolehlah saya teruskan khidmat sebagai wakil rakyat sehingga keputusan rasmi daripada SPR," katanya. -SH Muflis: Speaker sah Syed Sobri hilang kerusi Adun Ulasan GB Memang dasar penipu. Sepatutnya SPR sudahlama mengisytiharkan kekosongan kerusi Kuala Nerang apabila mahkamah memutuskan ADUN berkenaan muflis sejak 7 April 2010. Tetapi kemudian digembar gemburkan BERITA PALSU kononnya ADUN Kuala Nerang itu tidak muflis dengan bantuan dari agensi berita BERNAMA sehingga rakyat Kedah akhirnya ditipu UMNO/SPR lebih 2 tahun. Dakwaan Adun Kuala Nerang Muflis Tidak Benar Sepatutnya kerusi itu telah disytiharkan kosong dan pilihanraya kecil telah lama dipanggil oleh SPR untuk DUN Kuala Nerang. TETAPI lantaran sikap SPR yang senget sebelah dan sikap media Luncai yang mengampu UMNO/BN, pilihanraya kecil Kuala Nerang tidak menjadi kenyataan sehinggalah PRU13 sudah pun di ambang mata. Namun Hukum Kebenaran dan Keadilan tidak boleh ditutup. Allah tidak boleh ditipu. Akhirnya kebenaran terdedah juga. ADUN itu tetap muflis sekalipun SPR / UMNO /BN telah menipu rakyat Kedah khususnya dan Malaysia amnya. |
Posted: 17 Apr 2012 05:01 PM PDT Saya dah lama berkhidmat, kata Nazri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz bersedia memberi laluan kepada muka baru untuk menjadi calon pada pilihan raya umum akan datang. Beliau yang juga anggota Parlimen Padang Rengas berkata perlu ada kesinambungan kepimpinan dengan memberi peluang kepada generasi baru. "Saya serahkan perkara ini kepada Perdana Menteri, tetapi saya sebenarnya dah lama berkhidmat, sebagai Menteri dah 13 tahun, Timbalan Menteri lima tahun, saya pun dah berumur 58 tahun, dah berkhidmat untuk satu tempoh yang lama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung berkelompok cawangan Umno bahagian Alor Gajah di sini. Mohamed Nazri berkata sebenarnya beliau telah lama berhasrat untuk memberi laluan kepada calon lain bertanding bagi kerusi parlimen tersebut. Malah, katanya, beliau telah menyatakan hasratnya itu kepada Umno Bahagian Padang Rengas, namun masih dicalonkan oleh anggota Umno bahagian tersebut untuk terus bertanding di kerusi parlimen berkenaan. - Bernama Ulasan GB Jika tak ada apa-apa masakan tempua bersarang rendah! Akhirnya hukum kebenaran dan keadilan pun berlaku ke atas Nazri. Beliau secara terbuka kini mengumumkan sedia memberi laluan kepada muka baru - sesuatu yang amat jarang didengar keluar dari mana-mana menteri dari UMNO BN. Apakah gerangannya Nazri menyuarakan demikian? Umum mengetahui bahawa mutakhir ini, Nazri mempunyai pandangan yang berbeza dengan Najib khususnya di dalam skandal lembu NFC. Nazri sudah secara terbuka menyatakan NFC telah melakukan pecah amanah. KUALA LUMPUR, 14 Feb — Datuk Seri Nazri Aziz hari ini berkata, National Feedlot Corporation (NFCorp) telah melanggar syarat perjanjian pinjaman dengan kerajaan persekutuan. Pendirian Nazri ini dilihat berbeza dengan keputusan dan pendirian Najib sebelumnya yang cuba mempertahankan keluarga Sharizat dan NFC. "Kita tidak boleh anggap bahawa semua siasatan akan berkesudahan dengan pendakwaan. Pendakwaan itu mesti mengambil kira peruntukan tertentu dalam perlembagaan. -malaysiakini (26/2/2012) Tetapi Peguam Negara lebih bersetuju dengan Nazri, iaitu tindakan diambil ke atas NFC yang menyebabkan Najib yang beriya-iya cuba pertahan NFC terkedu sebentar. Namun jangan lupa, Najib masih PM. Beliau menggunakan kuasanya untuk mempengaruhi badan kehakiman. Buktinya: Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution mendedahkan wujud campur tangan Perdana Menteri dalam perbicaraan kes perahan minyak melibatkan peneroka dan Felda. Sekalipun dinafikan, (Ahmad Maslan tidak menjelaskan di Parlimen sepertimana yang dijanjikan) namun terbukti nyata, pada 5/4/2012, Mahkamah Tinggi Kuantan telah menolak injunksi interim yang menghalang Koperasi Permodalan Felda (KPF) daripada memindahkan sahamnya dalam Felda Holdings Bhd dan 10 daripada anak syarikatnya kepada Felda Global Ventures Holdings Bhd. Dan di dalam kes NFC pula, Mahkamah Tinggi tiba-tiba telah membenarkan Pengerusi NFC, Mohammad Salleh untuk menggunakan pasport beliau bagi tujuan perjalanan perniagaan. Pemerhati politik melihat di dalam kedua-dua kes tersebut, ada campurtangan Najib bersandarkan kepada minit mesyuarat FELDA yang telah bocor itu. Nazri kini terpaksa akur apatah lagi kini kes anaknya memukul Pengawal Keselamatan kondominium menjadi kes polis dengan pemilikan kereta Porsche dan Najib ada point dan peluang untuk membelasah Nazri. Begitulah kisahnya. Dan Nazri pun akhirnya menerima akibat daripada perbuatan lampaunya. GB pernah membuat pemerhatian bahawa: Najib akan memancung Nazri sebelum PRU13 di dalam satu ulasan GB bertarikh 7 Jun 2011: ....akan berlakulah perebutan kerusi Ketua Pembangkang. Calon utamanya ialah Najib, tetapi akan digugat oleh Nazri Aziz. Kerana Nazri akan mendakwa beliau lebih vokal menentang MP-MP Pakatan Rakyat tatkala BN berkuasa. What goes around turns around. Apa yang Nazri buat ke atas ahli parlimen PR satu ketika dulu, kini beliau menanggung akibatnya. Itu hukum kebenaran dan keadilan. Orang yang diampunya itulah orang yang memancungnya kembali! Giliran Najib akan tiba juga, apa yang dilakukan akan tetap mendapat pembalasan yang setimpal. kerana demikianlah hukum kebenaran dan keadilan. Baca di SINI |
PERKASA Nak Anjurkan Himpunan Lawan BERSIH 3.0 Posted: 17 Apr 2012 06:31 AM PDT Perkasa anjur himpunan 'Raja Berdaulat, Kasih Dijunjung' KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) akan menganjurkan perhimpunan yang dikenali 'Raja Berdaulat, Kasih Dijunjung' pada 29 April ini sebagai tanda taat setia kepada Raja-raja Melayu. Sambil mengalu-alukan penyertaan rakyat daripada pelbagai kaum, Presidennya Datuk Ibrahim Ali berkata pihaknya telah memohon kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk menggunakan sama ada Dataran Merdeka atau Padang Merbuk sebagai tempat perhimpunan. Ketika ditemui FMT beliau berkata, tema 'Ke Titisan Darah Terakhir Demi Raja dan Negara' menjadi pemangkin semangat kepada perhimpunan pada kali ini bagi menarik seramai mungkin ahli dan orang ramai. Menurut Timbalan Presiden, Datuk Abd Rahman, perhimpunan ini juga bagi meraikan Pertabalan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung ke-14, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara Jalan Duta pada 11 April lepas. Beliau mengecam tindakan Pakatan Rakat yang didakwa mengejek dan mempersendakan Raja-Raja Melayu ketika majlis pertabalan tempoh hari. Abdul Rahman berkata, mereka tidak berpeluang untuk bersama-sama dalam Balairong Seri Istana Negara bagi mengikuti adat istiadat majlis pertabalan Tuanku. "Bukan seperti wakil rakyat Pakatan yang diberi keistimewaan hadir dalam Balairong Sri Istana Negara pada majlis tersebut. Bukannya mahu menjaga tata tertib bahkan mengejek dan mempersenda Raja-Raja Melayu termasuk Perdana Menteri," katanya dalam sidang media di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi petang tadi. "Perkasa akan tentang habis-habisan pihak yang cuba menghapuskan sistem pemerintahan raja berperlembagaan dan menukar negara ini menjadi sebuah negara republik. "Perkasa akan terus pertahan dan memperkasakan Raja-Raja Melayu. Itu adalah satu perjuangan Perkasa yang tercatat dalam Perlembagaan Perkasa," tegas beliau. -FMT Ulasan GB Yang nyata himpunan PERKASA itu ialah untuk menyaingi perhimpunan BERSIH 3.0 yang diadakan sehari lebih awal. Baguslah... Nanti seluruh dunia dapat saksikan perbezaan perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April dengan perhimpunan anjuran PERKASA berkenaan. Jangan macam semasa BERSIH 2.0... batang hidung pun tak nampak. |
Isu Task Force Beri IC Kepada Warga Asing - Maklumat Datang Dari Orang Dalam Sendiri Posted: 17 Apr 2012 04:24 AM PDT Maklumat 'task force' IC dari orang dalam yang tak tahan TEMERLOH, 17April: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Mohd Hanipa Maidin menyifatkan Umno dalam keadaan tersepit untuk menang pilihan raya umum (PRU) sehingga tergamak melibatkan penipuan dan pengkhianatan kepada negara. Beliau yang mendakwa didedahkan sendiri maklumat berkenaan daripada orang dalam yang 'dah tak tahan', bahawa beberapa agensi terlibat memberikan kad pengenalan kepada warga luar atau yang masih belum layak. "Di Selangor saja dah ratusan ribu kewarganegaraan diberi kepada mereka yang belum layak dan pengkhianatan Umno ini tak boleh dimaafkan langsung, hanya nak menang secara paksa sehingga membahayakan negara sendiri. "Saudara tahu, ini diakui sendiri oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa 45,000 nama tidak dipastikan warganegara jadi tidak dapat dibersihkan daripada Daftar Pemilih. "Inilah sebabnya itu kita sokong himpunan Bersih 3.0 untuk tuntut PRU yang adil kerana tanpa keadilan mana-mana negara pun boleh jatuh sebagaimana yang terjadi kepada beberapa rejim di Timur Tengah," katanya ketika berceramah di sini semalam. Turut berceramah di Bilik Gerakan PAS Taman Sri Semantan itu Adun Kuala Semantan Syed hamid Syed Mohamad, YDP PAS Temerloh Haji Jusoh Darus dan Ketua DAP Temerloh Woo Chee Wan. Hanipa berkata, dua himpunan Bersih yang lepas telah berjaya membuang rasa takut di kalangan rakyat dan dapat dilihat generasi muda begitu berani keluar walaupun terpaksa bertempur dengan polis. Dalam pada itu Hanipa berkata, perlunya BN dijatuhkan pada PRU akan datang kerana hampir kesemua institusi di negara ini telah rosak dan dipertikaikan umum. "Bayangkan, mahkamah pun dah ada orang baling kasut kerana tidak dihormati lagi. Negara pernah digemparkan apabila bekas hakim Syed Ahmad Idid pernah menulis tentang rasuah berlaku di kalangan hakim. "Bekas Ketua Hakim Tun Mohd Sufian pula pernah berkata beliau malu jadi rakyat Malaysia kerana institusi kehakiman dah jatuh maruah. Itu bukan cakap saja, tengok kes video Linggam ada Suruhanjaya Diraja tetapi apa tindakan terhadap Yusof Chin?," soalnya. Hanipa menambah, kini institusi polis kini mulai dipertikaikan apabila bekas ketuanya sendiri didakwa bersekongkol dengan gangster seperti didakwa seorang lagi pegawai tinggi polis Datuk Ramli Yusof. Hanipa menceritakan, Ramli semasa majlis sambutan hari jadinya yang turut dihadiri Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar mengulangi dakwaan Datuk Mohd Zin dua orang besar terlibat melindungi penjenayah iaitu Musa Hasan dan Ghani Patail. "Bayangkan yang ada bukti seperti itu tidak didakwa tetapi yang tiada bukti, seperti tangkapan ISA boleh dipenjarakan. Ini yang saya maksudkan institusi di negara telah dilihat tercemar," katanya. Mengenai hujah beberapa pemimpin Umno jika dimansuhkan hutang PTPTN mahasiswa negara boleh bankrap, Hanipa berkata itu hanya alas an sedangkan wang Negara yang dibazirkan jauh lebih banyak daripada itu. "Ketua Audit Negara sendiri menjelaskan dalam laporannya setiap tahun wang negara ini bocor RM28 bilion. Itu satu, yang kedua RM19 bilion telah diberi kepada IPP iaitu syarikat yang sudah kaya. "Dua item itu saja dah boleh hapus pinjaman PTPTN. Jadi kenapa kalau hapus RM43 bilion kata bankrap sedangkan itu untuk mahasiswa yang bakal menerajui negara? "Kalau untuk selamatkan kroni tak timbul langsung hal bankrap. Ingat mereka selamatkan Tajudin Ramli dulu kerajaan ambil alih saham MAS yang berharga RM3 tetapi kerajaan bayar RM8. Baru ni dapat pelepasan hampir setengah bilion lagi. Kalau macam itu caranya memang negara boleh bankrap," jelasnya. Tegas Hanipa, sebab itulah BN perlu dijatuhkan, bukan saja negara bankrap wang tetapi bankrap moral. "Sekarang perempuan yang dedah aurat didenda RM25, sebaliknya orang pandai, pakar dan sebagainya dibuang seperti Profesor Dr Aziz Bari dan Tan Sri Hasan Merican sehingga diambil bertugas oleh negara lain," ujarnya lagi. -HD |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan