Selasa, 17 April 2012

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


[Dasyat] Baru Bergelar Bapa, Dah Rogol Pelajar Tkn 2

Posted: 17 Apr 2012 12:52 AM PDT

Kuala Terengganu - Seorang lelaki yang baru bergelar bapa dalam tempoh hanya beberapa hari dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas dakwaan bersubahat dengan dua rakannya dalam kejadian rogol pelajar tingkatan dua, awal April lalu.

Tertuduh, Nor Shahrul Zuraimie Noruddin, 20, dari Kampung Gong Pak Mentosa, Tembila, Kampung Raja, Besut, didakwa dengan sengaja telah bersubahat dengan dua rakannya merogol mangsa di sebuah rumah di Kampung Tembila, Kampung Gong Medang, Kampung Raja, Besut, pada 3 April lalu lebih kurang jam 8 pagi hingga 10 pagi.

Bagaimanapun, tertuduh yang bekerja sebagai buruh itu mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas dakwaan mengikut Seksyen 116 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 376 (2) (d) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih dari 30 tahun dan bolehlah juga dikenakan sebat jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Zulfazliah Mahmud di hada­pan Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Zainal Abidin menetapkan 17 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan.

Sementara itu, dua rakannya, yang juga bekerja sebagai buruh itu turut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen berasi­ngan, semalam atas dakwaan merogol mangsa.

Bagi tertuduh, Abdullah Che Pa, 19, dari Kampung Gong Pak Mentosa, Tembila, Kampung Raja, Besut didakwa dengan sengaja telah merogol mangsa pada 2 April lalu antara jam lebih kurang 9 malam hingga 11 malam.

Abdullah didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen sama yang jika disabitkan kesalahan boleh diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat.

Manakala bagi tertuduh, Faizol Yaacob, 22, dari Kampung Gong Medang, Kampung Raja, Besut didakwa merogol mangsa pada keeso­kan harinya iaitu 3 April lalu lebih kurang jam 8 pagi hingga 10 pagi di rumah sama.

Dengan itu, Faizol didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376 (2) (d) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen sama yang jika disabitkan kesalahan boleh di penjara selama tempoh tidak kurang dari lima tahun dan tidak lebih dari 30 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas dakwaan berkenaan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah kedua tertuduh direkodkan, hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris menetapkan 17 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan kedua-dua mereka dijamin RM7,000 dengan seorang penjamin. -SH

Skandal MEX RM1.7 Billion: "Abu Juling" Buat Keuntungan Guna Duit Kerajaan

Posted: 16 Apr 2012 11:31 PM PDT

Dr M: Jual lebuh raya MEX sama teruk jual AP

KUALA LUMPUR, 16 April — Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menuntut Tan Sri Abu Sahid Mohamed menjelaskan tindakannya menjual Lebuh raya Maju Expressway (MEX) kepada umum kerana penjualan itu menyaksikan beliau memperolehi keuntungan.

Kenyataan itu dibuatnya selepas penjualan bernilai RM1.7 bilion bulan lalu menimbulkan tanda tanya terhadap perjanjian Abu Sahid Maju Holdings Sdn Bhd yang membuat keuntungan sebanyak RM660 juta dan RM1 bilion hanya selepas empat tahun beroperasi. Pembinaan konsesi lebuh raya bernilai RM1.3 bilion itu dibuat atas geran daripada kerajaan bernilai RM976 juta.

"Kamu jual milik kamu, bukan hak orang lain. Ia sama teruk seperti menjual permit untuk kereta import (AP)," kata Dr Mahathir kepada pemberita di sini, merujuk kepada amalan biasa ahli perniagaan Bumiputera membuat keuntungan mudah dengan menjual permit kereta import dengan lesen daripada kerajaan.

Bekas perdana menteri itu, yang masih lagi dilihat berpengaruh dalam kerajaan dan Umno berkata, Abu Sahid ada berjumpa untuk memberikan penjelasan kepada beliau.

"Beliau cuba memberi penjelasan kepada saya, tapi saya nasihatkan beliau untuk menjelaskan kepada umum kenapa lebuh raya itu dijual, dan kenapa beliau membuat keuntungan daripada kontrak kerajaan," katanya.

EP Manufacturing Berhad bulan lalu telah membuat perjanjian dengan Maju Holdings untuk memiliki Maju Expressway (MEX) pada harga RM1.15 bilion, dan dengan anggaran hutang sebanyak RM550 juta, jumlah perjanjian itu bernilai RM1.7 bilion.

MEX yang 96.8 peratus milik Abu Sahid menguasai 91 peratus pegangan saham.

MEX adalah konsesi terbesar untuk lebuh raya 26km — menghubungkaan Kuala Lumpur ke Cyberjaya, dan Putrajaya.

Terdapat juga laporan Maju Holding telah memberikan projek pembinaan MEX kepada kumpulan Australia Leighton.

MEX siap dibina pada Disember 2007 dan mula beroperasi Januari berikutnya. -TMI

Ulasan GB

Tan Sri Abu Sahid Mohamed atau lebih dikenali oleh masyarakat tempatan sebagai "Abu Juling" sepatutnya sudah diheret ke muka pengadilan kerana kes menjual Lebuh raya Maju Expressway (MEX) kepada umum dan penjualan itu menyaksikan beliau memperolehi keuntungan dengan penjualan dibuat atas geran daripada kerajaan bernilai RM976 juta.

Adalah amat tidak wajar wang rakyat digunakan untuk membuat keuntungan peribadi dan setakat ini tiada apa-apa kenyataan dari pihak SPRM dan kerajaan.

Gadis Sanggup Ponteng Sekolah Untuk Temui Teman Lelaki Di Hotel

Posted: 16 Apr 2012 09:46 PM PDT

Sura Gate – Demi cinta, seorang pelajar perempuan yang masih menuntut di tingkatan lima sebuah sekolah menengah di sini sanggup ponteng untuk menemui teman lelakinya bagi memadu asmara di sebuah hotel murah, dekat bandar ini.

Bagaimanapun, kunju-ngan gadis itu ke bilik disewa teman lelakinya dengan harga RM65 satu malam sejak dua hari lalu itu membawa padah apabila mereka dicekup pihak Pegawai Penguatkuasa Syariah (PSS) kerana berdua-duaan di bilik hotel.

Ketika serbuan dilakukan PPS Dungun kira-kira jam 8.30 pagi, gadis yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu berpakaian biasa manakala teman lelakinya yang berasal dari Kuala Terengganu hanya berseluar pendek.

Pelajar perempuan itu dikatakan keluar rumah dengan memakai uniform sekolah, namun dia tidak pergi ke sekolah, sebaliknya menuju ke bandar Dungun untuk menemui teman lelakinya di hotel yang terletak di deretan bangunan perniagaan Sura Gate.

Difahamkan, kedua-dua pasangan tersebut berkenalan melalui telefon sejak beberapa minggu lalu dan ketika ditahan, gadis berasal dari Kampung Tanah Lot itu dikatakan datang ke hotel berkenaan untuk menghantar makanan kepada teman lelakinya yang difahamkan baru bangun tidur.

Soal siasat PPS mendapati kedua-dua mereka tiada hubungan muhrim sah dan pasangan itu kemudiannya dibawa ke Pejabat Agama Dungun untuk diambil keterangan.

Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 31(a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu 2001. Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. -SH

Ulasan GB

Baru kenal beberapa minggu melalui telefon sudah boleh ke hotel untuk bertemu...

Sungguh hebat dan sungguh dasyat norma kehidupan remaja masakini....


[Video] Isu Persenda Raja: Fitnah Karut Yang Sengaja Direka Oleh UMNO

Posted: 16 Apr 2012 07:19 PM PDT

Kuala Lumpur – Tiga ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) yang didakwa terlibat mempersendakan pemimpin negara dan Raja-raja Melayu semasa Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara Rabu lalu enggan menjawab secara jelas atau setidak-tidaknya menafikan yang mereka terlibat dalam insiden itu.

Azmin Ali dan Tian Chua dari PKR serta Khalid Samad dari Pas sebaliknya mempersoalkan kesahihan dakwaan serta kredibiliti Dr Rahman Kadir, seorang pegawai perubatan yang mendedahkan mengenai kejadian pada hari Rabu lalu itu.

Malah, Azmin, yang juga Timbalan Presiden PKR seperti biasa terus menyalahkan Umno dan Barisan Nasional (BN) yang didakwanya bertanggungjawab dalam menyebarkan perkara berkenaan.

"Pertama saya tidak tahu apa tohmahan yang dibuat oleh mereka namun daripada maklum balas yang saya terima, ini jelas satu propaganda yang amat jelik oleh Umno dan BN.

"Siapa doktor ini? Bagaimana pegawai perubatan boleh duduk dalam Balairong Seri Istana Negara?" katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Dr. Rahman melalui akaun Facebook mendakwa Azmin, Naib Presiden PKR, Tian Chua dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khaled terlibat dalam kejadian pada pagi hari Rabu itu.

Berikutan itu, Utusan Malaysia yang memuatkan berita tersebut di muka depan dua hari kemudian mengundang reaksi pelbagai pihak, antaranya mahu tindakan tegas diambil ke atas individu terlibat serta mencadangkan sebuah Suruhanjaya Diraja ditubuh bagi menyiasat insiden berkenaan.

Sementara itu, Tian Chua menolak hasrat pihak tertentu berhubung penubuhan Suruhanjaya Diraja kerana mendakwa Dr Rahman tidak mempunyai bukti kukuh atau saksi berkaitan kejadian tersebut.

"Bagaimana apabila seorang tuduh, tidak ada saksi, tidak ada `substance' dalam tuduhan mereka dan tiba-tiba nak buat Suruhanjaya Diraja, buat apa?" katanya, yang bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Utusan Malaysia kerana menerbitkan berita itu tanpa memeriksa kesahihannya.

Khaled pula mendakwa Dr Rahman mempunyai imaginasi tinggi apabila berupaya "membayangkan" perbualan anggota Parlimen pembangkang di majlis itu kerana kedudukan dalam Balairong Seri tidak membolehkan sebarang individu biasa mendengar butiran perbualan.

"... atau mungkin juga Dr Rahman ini terkeliru kerana sebelum Raja-raja Melayu dan pembesar negara masuk ke Balairong Seri, anggota Parlimen pembangkang yang telah menunggu selama dua jam ada berbual mengenai perkara lain," katanya. -SH

Azmin, Tian Chua nafi persenda Raja ketika pertabalan Seri Paduka

TIMBALAN Presiden PKR, Azmin Ali dan Naib Presiden parti itu, Tian Chua menafikan dakwaan mereka mempersenda dan mengejek Raja Melayu pada majlis pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, Rabu lalu.

Mereka mendakwa, tuduhan itu serangan peribadi oleh pihak tertentu demi kepentingan politik.

Azmin mempersoalkan bagaimana Dr Rahman Kadir yang dikatakan bertugas sebagai pegawai perubatan pada majlis berkenaan boleh duduk di Balairong Seri dan mendakwa melihat sendiri kejadian itu.

"Saya tidak tahu apa tohmahan yang dibuat dan ini jelas propaganda UMNO serta Barisan Nasional yang gagal menjawab isu rakyat," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.

Sebelum ini, sebuah akhbar melaporkan Dr Rahman mendakwa melihat Ahli Parlimen pembangkang mempersenda dan mengejek Raja Melayu pada majlis pertabalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Sementara itu, Tian Chua, mendakwa penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat perkara itu seperti yang dicadangkan beberapa pihak tidak berasas kerana ia tuduhan tanpa saksi.

Bagaimanapun, katanya, beliau sedang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar yang menyiarkan berita itu yang didakwa beliau ditulis berdasarkan blog tanpa menyiasat sumber sebenar berita.
-BH







Ulasan GB

GB sudah ulas semalam. Petikan:

Pertama, GB melihat gesaan pemimpin UMNO untuk tubuhkan Suruhanjaya Diraja kononnya untuk menyiasat pemimpin pembangkang yang mempersendakan Raja-raja Melayu semasa istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong minggu lalu hanyalah mainan UMNO untuk meburukkan Pakatan.

Tiada ada satu pun yang jelas dari dakwaan itu. Siapa yang bercakap, apa yang diperkatakan, dan perkara apa yang dipersendakan. Ia hanya hanya rekaan semata-mata berdasarkan kepada tulisan seorang pro-UMNO yang bernama Dr Rahman Kadir dalam facebook yang mendakwa "berada berhampiran beberapa Ahli Parlimen pembangkang sebelum mendengar perbualan­ mereka yang mempersendakan pemimpin negara dan raja-raja Melayu."


Itu saja yang menjadi asas kepada tuduhan mereka. Tetapi mendesak sehingga Suruhanya Diraja ditubuhkan.

Sedang umum mengetahui siapa sebenarnya sebelum ini yang bukan saja telah mempersenda raja-raja, malah menghina mereka dengan perlakuan dan perkataan yang dasyat?




Kedua, GB juga melihat tindakan Ahmad Zahid Hamidi yang disokong oleh Hishamuddin Tun Hussein berkenaan dengan cadangan penubuhan Suruhanjaya Diraja itu hanyalah helah daripada desakan PAS supaya satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat kes pemberian IC kepada warga asing.

Jika di dalam kes dakwaan kononnya pemimpin pembangkang mempersenda raja lansung tiada bukti, tetapi didalam kes pemberian IC kepada warga asing amat jelas bukti yang diberikan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dengan menderetkan nama-nama mereka yang terlibat termasuk pegawai kanan Najib dan Timbalan pengerusi SPR Malah Mahfuz berkata lebih banyak bukti akan diserahkan kepada Suruhanjaya Diraja tentang isu berkenaan. Mengapa takut untuk memberi respons terhadap tuntutan ditubuhkan Suruhanjaya Diraja menyiasat dakwaan itu?


[MELETUP] Bekas CEO YPM Datuk Dr Shariff Hamid Didakwa Buat Tuntutan Palsu

Posted: 16 Apr 2012 05:05 PM PDT

Kuala Lumpur: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pelajaran Mara (YPM), Datuk Dr Shariff Hamid, mengaku tidak bersalah atas tuduhan rasuah lebih RM300,000 di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin dan minta dibicarakan.

Beliau adalah salah seorang daripada dua yang dihadapkan ke mahkamah ini oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan membuat tuntutan palsu ke atas satu program latihan yang tidak wujud berjumlah sehingga lebih RM300,000.

Shariff, 52, sebelum itu telah didakwa dengan sembilan pertuduhan iaitu mengemukakan dokumentasi palsu dengan mengarahkan Pengurus Kewangan YPM, Hafizoh Mohd Shah meluluskan pembiayaan untuk satu program motivasi remaja, sedangkan beliau sedar program itu tidak pernah berlangsung.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat YPM di Medan Mara, Jalan Raja Laut di sini pada jam 1.30 petang 23 Julai tahun lalu.

Pengurus Program YPM, Zainal Rashid Zakaria, 43, juga turut didakwa dengan sembilan pertuduhan menipu yayasan berkenaan dengan mengesahkan kewujudan program berkenaan kononnya telah berlangsung di Perak antara 5 Julai hingga 22 September 2011 walaupun menyedari bahawa program itu tidak mengambil tempat sepertimana yang dikatakan.

Zainal didakwa melakukan kesalahan itu di tempat yang sama pada 25 Mei 2011.

Kedua-dua mereka didakwa menurut Seksyen 18 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Mereka berhadapan dengan hukuman 20 tahun penjara dan denda lima kali jumlah suapan jika disabitkan kesalahan.

Hakim Rozilah Salleh menetapkan ikat jamin sebanyak RM50,000 kepada setiap tertuduh dengan satu jaminan dan mengarahkan mereka menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 2 Mei sebagai tarikh sebutan kes.

Shariff, sebelum menyandang jawatan CEO YPM adalah bekas setiausaha eksekutif di Sekretariat Ibu Pejabat Umno Malaysia.

Beliau juga adalah bekas pengarang ekonomi Berita Harian dan pernah memenangi hadiah tertinggi kewartawanan Malaysia iaitu Anugerah Kajai pada pertengahan tahun 1980-an.

Beliau berkhidmat dengan RTM sebagai wartawan penyiaran pada tahun 1984 sebelum menyertai agensi berita nasional (Bernama) pada tahun 1987.

Shariff kemudian menyertai Business Times dan Berita Harian. Beliau juga pernah menyumbang artikel kepada akhbar bisnes mingguan, The Edge.

Menurut rekod, Shariff memperolehi ijazah kedoktoran dalam bidang pentadbiran perniagaan daripada European-American University yang berpusat di Oxford, England. -mstar

Ulasan GB

Berita memang meletup.

Tetapi biasanya kes-kes rasuah dan penipuan dana yang melibatkan kroni UMNO tak lekat. Maksudnya ia akan dilepaskan.

Ia berdasarkan kepada beberapa kes pemimpin UMNO BN yang pernah dibawa ke mahkamah selepas itu dibebaskan, seperti :

Bekas Ketua Pemuda UMNO WP, Datuk Norza Zakaria,
ADUN Lenggeng, Mustafa Salim,
Bekas Setiausaha UMNO Bhgn Wangsa Maju, Ramli Abdul Manan,
ADUN Mesra UMNO, Osman Jailu dan Jamaluddin Mohd Radzi
Bekas ADUN Jelai, Datuk Omar Othman
Bekas ADUN Semenyih, Ahmad Kuris
dan ramai lagi.

Takda pun yang dikenakan tindakan. Semua dibebaskan akhirnya kerana nanti mahkamah membuat keputusan "tiada cukup bukti".

Macamana rakyat nak yakin dan percaya kepada SPRM dan kehakiman negara??


Bapa Balik, Remaja Tidak Sempat Berasmara

Posted: 16 Apr 2012 08:30 AM PDT

Baling - Seorang remaja 17 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Baling setelah dituduh mencabul kehormatan kekasihnya pada 9 April lalu di rumahnya di Kampung Seberang Ketil, Kupang, di sini. Gambar fail

Ketiadaan ibu dan bapa di rumah mengakibatkan tertuduh nekad membawa kekasihnya yang berumur 13 tahun itu ke rumahnya untuk bermadu asmara.

Namun, tertuduh hanya sempat meraba buah dada dan kemaluan kekasihnya setelah ayahnya pulang ke rumah secara tiba-tiba.

Tertuduh menipu ayahnya dengan mengatakan kekasihnya itu hanya seorang rakannya sebelum bertindak menghantar kekasihnya pulang ke rumah.

Perbuatan tertuduh terbongkar setelah kekasihnya itu dikatakan telah melarikan diri dari rumah dan sedang dicari oleh ahli keluarga perempuan itu.

Tindakan menghantar pulang kekasihnya membawa padah setelah keluarga kekasihnya itu curiga dengan tindakan tertuduh menghantar anak gadis keluarga itu ke rumah.

Sehubungan itu keluarga terbabit membuat laporan polis.

Tertuduh yang kelihatan tenang itu mengaku bersalah ketika pertuduhan di bacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Khairul Hafizudin Ramli.

Berikutan tertuduh masih dibawa umur, mahkamah menetapkan 20 Mei untuk laporan akhlak sebelum diberikan hukuman yang setimpal kepada tertuduh.

Tertuduh disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM4,000.

Sementara itu, seorang lagi remaja berusia 15 tahun dari Kampung Guar Reban mengaku bersalah selepas dituduh mencabul seorang remaja perempuan berusia 14 tahun pada 13 April lalu.

Remaja terbabit dituduh menceroboh sebuah rumah di Kampung Charuk Bemban sebelum bertindak mencabul seorang gadis di dalam rumah itu dengan meramas buah dadah gadis malang itu.

Mahkamah turut menetapkan 20 Mei untuk laporan akhlak dan mengenakan wang jaminan sebanyak RM 5,000 kepada remaja terbabit.

Remaja tersebut dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul, manakala Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

Timbalan Pendakwa Raya diwakili Muhamad Syaiful Akmal Mohd Razi.

Ulasan GB

Apa sudah jadi ni....

Pelajar tkn 1 sudah pun berani melakukan adegan asmara....

Ini belum lagi anak dara yang besar panjang di tkn 3, 4, 5, 6 dan di ipt dan yang dah bekerja... kumpul-kumpulkan semua agaknya dah berapa ramai yang dah terlajak...


GB nyatakan kekhuatiran itu kerana ia bakal mengundang kemurkaan Allah kerana apabila sesuatu kemungkaran itu berlaku maka bala Allah akan turun, tak mengira siapa yang akan terkena, macam gempa bumi dan tsunami

Ada hadith:

Ummu Salamah Radiallahu `anha berkata: aku mendengar Rasulullah Salallahu `alaihi wa sallam bersabda:

"Apabila maksiat sudah merajalela di kalangan umatku, Allah akan menurunkan siksa dari sisi-Nya kepada mereka secara merata…" -HR. Ahmad dll. Hadith Sahih

Lama Kelamaan Hassan Ali Pun Gilalah.. Salah Siapa Jika Terjadi Demikian?

Posted: 16 Apr 2012 05:17 AM PDT

Sketsa terakhir buat Hassan Ali

Hassan Ali, wakil rakyat Gombak Setia yang mengidamkan jawatan Menteri Besar Selangor pada tahun 2008 masih lagi ingin menarik perhatian orang ramai dengan kenyataan-kenyataan beliau walaupun kini jelas beliau sudah kehilangan taring dan sering dikritik oleh orang ramai. Beliau telahpun ditendang keluar daripada PAS dan kini sedang meraba-raba mencari parti politik lain untuk bernaung seraya menyambung kerjaya politik beliau.

Sejak Mac 2008, Hassan sudah pun mula memperlekehkan kepimpinan MB Selangor Khalid Ibrahim dan memperkecilkan-kecilkan Pakatan Rakyat. Motif beliau pada masa itu sangat jelas. Beliau sememangnya menginginkan jawatan MB Selangor akan tetapi usaha beliau menemui kegagalan. Sekarang beliau sedang meraba-raba dalam dunia politik tetapi disebabkan beliau mendapat sokongan UMNO dan Perkasa, beliau masih boleh hidup.

Slogan Kosong

Beliau telah kehilangan kawan daripada parti PAS. Yang beliau gusarkan adalah walaupun mempunyai latarbelakang keagamaan, beliau telah jatuh ke satu tahap yang begitu rendah apabila cuba memalukan bekas rakan PAS yang dipilih untuk menggantikan beliau- seorang doktor perubatan. Beliau menyeru agar si doktor itu pergi untuk mendapat rawatan psikiatri. Ada dikalangan bekas penyokong beliau yang berpendapat bahawa Hassan mengalami masalah psikologi. Beliau dikatakan mempunyai mood yang impulsif dan meroskakkan- trait dan simptom ini dimiliki oleh mereka yang tidak dapat menyesuaikan diri dalam keadaan di mana mereka perlu berkongsi dan melibatkan orang lain.

Hassan juga dikatakan mempunyai tabiat di mana beliau sukar untuk menyimpan perasaan beliau. Ada juga yang mengatakan beliau mempunyai personaliti kacau apabila beliau berhadapan dengan kebimbangan, kesedihan dan perasaan rendah diri. Beliau sekarang kelihatan penat; mental dan fizikal.

Sehingga kini, Hassan sebenarnya masih belum dapat menerima hakikat bahawa beliau telah dibuang daripada PAS, bukan lagi ahli Exco dan impiannya untuk menjadi MB Selangor juga sudah berkecai. Setelah Hassan dibuang daripada PAS, beliau telah diangkat sebagai wira yang memperjuangkan orang Melayu, Islam dan Raja oleh Perkasa dan Umno. Media pro-kerajaan telah menyelamatkan beliau – sentiasa menyiarkan kenyataan-kenyataan beliau yang memburuk-burukkan pembangkang dan Kerajaan Negeri Selangor. Pihak media jelas tidak sedar bahawa isu-isu yang dibangkitkan Hassan adalah isu basi bagi rakyat.

Orang Melayu, Islam dan institusi Raja tidak memerlukan Hassan untuk memperjuangkan mereka. Negara ini mempunyai Perlembagaan dan hak orang Melayu juga bukan Melayu ada termaktub di dalamnya. Islam adalah agama rasmi dan orang bukan Islam pula bebas mengamalkan agama masing-masing. Perlembagaan juga ada menyebut kedudukkan pemerintah. Maka, tidak perlulah Hassan menggembar-gemburkannya kepada orang ramai.

Gimik semata

Beliau yang sekarang bergerak atas platform JATI tidak memberi sebarang impak kepada rakyat. Kewujudannya tidak menjadikan sokongan terhadap PAS berbelah bagi. Setelah dipulaukan penyokong, siri jelajah beliau hanyalah gimik buat beliau melarikan diri daripada realiti- inilah senjata beliau untuk menutup rasa rendah diri. Malah, tuduhan beliau bahawa orang Melayu telah semakin banyak murtad tidak diendahkan oleh orang Melayu. Kunjungan beliau yang ditanggung ke beberapa tempat-tempat di Malaysia tidak berjaya menarik perhatian orang ramai. Ada pun yang datang adalah orang-orang Umno dan berkemungkinan juga yang datang itu cuma ingin tahu semata. Akan tetapi, tidak semua ahli Umno yang mempunyai pandangan yang sama seperti beliau mengenai isu murtad. Pandangan dan kenyataan yang beliau buat mengenai isu murtad pun tidak dapat diambil serius. Ini kerana ia cuma stan politik daripada seorang ahli politik yang sudah jatuh.

Umno dan Perkasa sangat teruja dalam usaha menyokong Hassan memburuk-burukkan pihak pembangkang. Mereka gagal menyedari bahawa Hassan telah menjadikan UMNO sebagai target untuk dikritik dan bukannya pihak pembangkang. Mengetengahkan isu murtad hanya akan menjatuhkan Umno kerana Umno yang mendakwa mereka mempunyai ahli berbangsa Melayu paling ramai dan, kerajaan kita kini merupakan kerajaan yang dipimpin oleh Umno menerusi BN. Umno pula sedang dipertanggungjawabkan untuk menjaga hal ehwal keagamaan orang Melayu, kesucian agama Islam dan kedudukan Raja.

Tetapi Umno sendiri tidak ikhlas dan dilihat sebagai parti politik yang hanya menggunakan entiti-entiti ini untuk kepentingan politik mereka. Kepada orang Malaysia biasa, tidak satu pun entiti-entiti ini sedang digugat. Persepsi mereka adalah Hassan sedang mengeksploitasi isu-isu ini untuk kepentingan politik beliau dan atas sebab ini jugalah Umno sama-sama menumpang beliau untuk misi ini.

Orang Kristian bukanlah ancaman

Disebabkan usaha Hassan yang sia-sia itu, siri jelajah beliau juga telah memburukkan keadaan bagi Umno. Ini tetap berlaku walaupun media pro-Umno cuba untuk memaparkan Hassan sebagai wira yang melindungi Islam, orang Melayu dan institusi Raja. Media di Negara ini cuba untuk mempropagandakan bahawa kesemua entiti ini sedang mengalami ancaman disebabkan system 2 parti di Negara ini. Persoalannya, bolehkah orang Kristian yang membentuk 9.2% rakyat Negara ini menjadi ancaman kepada rakyat Negara ini yang majoriti adalah orang Melayu Islam? Ini adalah analisis lemah dipihak mereka dan rakyat biasa sudah semestinya tidak akan jatuh dalam perangkap bodoh Umno dan Hassan. Populariti Umno dikalangan orang Melayu sedang merudum dan ia perlu bertahan kepada apa jua yang boleh mengekalkannya di arena politik Negara. Hassan malangnya adalah harapan yang mereka sandarkan!

Fokus Hassan terhadap dunia Melayu tidak hanya mengenai Islam dan isu murtad. Taktik beliau sangat difahami oleh orang ramai. Orang ramai tahu apabila beliau memainkan sentimen perkauman dan agama, beliau akan berjaya meyakinkan orang Melayu luar bandar untuk membenci orang bukan Melayu. Umno juga adalah dalang dalam hal ini. Akan tetapi, penyokong pendalaman tidak tertarik dengan apa yang diperkatakan Hassan kerana beliau tidak mengetengahkan isu itu kepada Umno tetapi kepada PAS dan Pakatan. Semua orang sedar bahawa di bawah pakatan, hanya dua negeri yang diterajui oleh PAS iaitu Kedah dan Kelantan. PKR pula satu, iaitu Selangor manakala DAP di Pulau Pinang. Umno yang menerajui BN pulalah yang mengetuai negeri-negeri lain.

Atas sebab ini, jika isu murtad itu benar-benar sesuatu yang meruncingkan dalam negara, Hassan seharusnya membawa ini kepada perhatian Najib Razak yang juga Perdana Menteri dan juga ada seorang menteri yang menjaga hal ehwal Islam berada di bawah beliau. Mengapa harus PAS dan pembangkang yang dipersalahkan sedangkan mereka mempunyai bidang kuasa hanya pada kerajaan negeri? Jelas Hassan salah langkah dan segala tindak-tanduk beliau membuatkan beliau seolah-olah seorang ahli politik yang sudah tidak diterima dan cuma melakukan ini untuk meraih perhatian.

Jika Hassan bermain politik untuk kemabali menjadi wira orang Melayu, Islam dan Institusi Raja di Selangor, mungkin beliau patut bertanding dibawah tiket Umno di Selangor dan kawasan lamanya Gombak Setia pada pilihanraya yang akan datang. Mana tahu, beliau boleh mencapai impiannya untuk menjadi Menteri Besar dengan restu Umno. Memandangkan Umno menyokong penuh usaha Hassan untuk memburukkan pembangkang, tiada masalah untuk mereka menyokong Hassan untuk menjadi MB Selangor kelak jika BN Berjaya menawan balik Selangor.

Kuat berbelanja

Hassan bukanlah seorang ahli politik yang bijak mahupun seorang yang bijak pandai. Beliau gagal sebagai seorang ahli politik dan ini boleh dimaafkan kerana beliau tidaklah dididik untuk menjadi ahli politik dari mulanya. Mungkin kata hati dan semangat kepimpinan yang tinggi yang membawa beliau ke arena politik. Beliau sentiasa mahu sesuatu dengan pantas dan bukan pula seorang ahli politik yang matang. Banyak yang dilakukannya semasa menjadi ahli Exco yang menyakitkan Exco lain dalam Pakatan. Walaupun mempunyai kelayakkan akademik yang tinggi, beliau tidak tahu apa yang sepatutnya dalam politik. Ramai sebenarnya dikalangan ahli politik yang tidak berpendidikan tinggi tetapi kerana bakat dalam politik, mereka berjaya. Malangnya ini tidak terjadi kepada Hassan.

Hassan, bekas pesuruhjaya PAS di Selangor juga mempunyai nafsu berbelanja yang besar. Difahami bahawa dengan membelanjakan RM329 000 untuk kerja pengubahsuaian pejabat Exconya, beliau mahu rakyat sedar bahawa beliau boleh menjadi seorang MB yang terbilang. Sepatutnya, Hassan berkhutbah kepada dirinya sendiri dan juga UMNO bahawa kemewahan itu tidak selari dengan Islam. Selain itu, beliau juga haruslah menyeru Umno agar menghapuskan kemiskinan, rasuah dan membawa keadilan sosial kepada semua orang Islam dan bukan Islam yang menjadi perkara pokok dalam Islam. Jika semua ini dijaga, mungkin juga masalah murtad itu tidak timbul.

Hassan seharusnya sedar bahawa satu-satunya agama yang dipromosikan media Umno baik di televisyen atau radio adalah Islam. Agama lain tidak mempunyai ruang dan tidak mungkin mendapat tempat di media. Jika Hassan mendakwa bahawa orang Islam menjadi murtad kerana mahu memeluk Kristian, tidakkah ia aneh memandangkan ia berlaku dalam negara di mana media massa nya dikawal ketat oleh kerajaan? Jika dibandingkan dengan 9.2 % rakyat beragama Kristian dari 28.3 juta populasi rakyat Malaysia; adakah logik jika kita katakan orang Islam tidak dapat menahan pengaruh untuk tukar agama Islam kepada Kristian?

Tiada bukti sahih

Video murtad yang ditunggu-tunggu daripada Hassan tidak dapat menjadi bukti sahih mengenai perbuatan memurtadkan orang Islam secara beramai-ramai di negara ini. Video yang memaparkan 2-3 orang yang mengaku dihadapan kamera bahawa mereka telah dimurtadkan itu tidak cukup kukuh untuk dianalisis secara saintifik kepada hipotesis Hassan. Sampel itu tidak mewakili populasi yang dimurtadkan di Malaysia. Kenyataannya, Hassan telah gagal dalam tesis beliau dan ianya tidak lebih daripada cerita sahaja.

Mufti Perak, Harussani Zakaria meletakkan angka murtad sebagai 260 000, Ridhuan Tee Abdullah pula mengganggarkan 135 kes manakala Hassan tidak dapat meletakkan sebarang anggaran dan mereka ini semuanya tidak mempunyai bukti emperikal bagi kenyataan mereka. Malang bagi negara ini, kita tidak mempunyai pemikir Islam yang tahu mengenai kaedah saintifik dan empirikal dalam kajian. Mereka hanya bertindak berasaskan kata hati, motif dan emosi yang jelas mementingkan diri.

Yang akhirnya menjatuhkan Hassan adalah hipotesis beliau mengenai isu murtad dikalangan orang Melayu Islam. Hassan mungkin memegang PhD dalam bidang berkaitan Islam. Beliau semestinya tahu apa itu kajian empirik dan kaedahnya dalam menjalankan kajian saintifik. Tesis PhD ditulis berdasarkan kajian yang dilakukan dalam satu bidang. Teknik membuat kajian yang betul adalah suatu yang paling asas dalam penulisan sebuah tesis. Jika tesis itu tidak menggunakan kaedah kajian yang betul dan tidak mempunyai bukti empirik, ia pasti akan ditolak. Tanpa elemen-elemen yang penting ini, sebuah tesis itu hanyalah buku cerita.

Dalam video testimoni 16 minit yang mamaparkan 3 orang Melayu yang mendakwa diri mereka telah dimurtadkan dan kini sudah kembali kepada Islam – ia tidak dapat diterima sebagai sampel yang adil buat populasi orang Islam di Negara ini. Ia juga bukanlah bukti kukuh kepada perbuatan memurtadkan yang boleh menarik siasatan dan sebagainya. Ini hanya menimbulkan rasa marah dikalangan orang Kristian dan Islam.

Kenyataan-kenyataan yang dibuat Hassan tidak akan mengubah pandangan orang ramai atau menjadi penyebab kepada orang Melayu mencurigai orang Kristian. Orang Melayu sendiri memperlekehkan para "pemikir" Islam ini dan gimik politik mereka. Orang Melayu percaya bahawa tiada ancaman pengkristianan di Negara ini. Mereka tidak akan panik hanya kerana seorang pemberontak dan beberapa orang ahli Umno menggunakan taktik ini untuk menakut-nakutkan orang Melayu. Secara hipotikalnya, jika Umno membuat seminar mengenai ancaman pengkristianan dan menyakitkan golongan minoriti yang cintakan keamanan, apa pula reaksi majoriti Melayu sekiranya diadakan satu seminar membincangkan ancaman Islam kepada orang bukan Islam?

UMNO tidak mempromosikan kesederhanaan

PAS melihat Hassan sebagai ahli politik yang boleh mencetuskan ketakutan dan beliau sekarang sudah menjadi liabiliti untuk UMNO. Hassan sebenarnya semata menggunakan taktik menakut-nakutkan dan cuba menyebarkan rasa syak orang ramai terhadap kredibiliti PAS. Plot UMNO jelas: "Orang Islam menjadi murtad dan PAS tidak mengambil serius hal itu kerana ia menjadi sekutu DAP". Tetapi, adakah UMNO ikhlas dalam menangani isu-isu lain yang lebih serius melanda umat Islam di negara ini?

Rasuah, kemiskinan, ketagihan dadah, kadar penceraian yang tinggi, ibu tunggal, jagaan anak, pendidikan yang lemah adalah antara masalah yang sering dihadapi orang Islam di negara ini yang sudah lama tidak dihiraukan UMNO. Orang Melayu yang berpendidikan pula menolak UMNO disebabkan oleh perkara ini dan bukan sebab murtad atau ancaman orang Kristian kepada komuniti mereka.

UMNO tidak mempromosikan kesederhanaan dalam negara. Kaum dan agama adalah senjata yang digunakan UMNO untuk menakut-nakutkan orang Melayu supaya mereka terus mengundi UMNO seraya mengekalkan kuasa mereka. Tetapi, jika pandangan Hassan bahawa hedonism adalah sebab mengapa orang Islam menjadi saranan orang Kristian, maka, mereka harus menyalahkan UMNO yang telahpun berkuasa selama 6 dekad. Hedonism- keinginan mengecapi kebahagian yang tiada had bukanlah ajaran mana-mana agama sekalipun. Ia juga bukan cara hidup yang dibawa oleh PAS mahupun orang Kristian.

Jika Hassan boleh menuduh orang Kristian memurtadkan orang Islam dengan dana mereka yang boleh mempengaruhi orang Islam miskin disebabkan desakan hidup, apa yang telah dilakukan oleh Hassan dan Umno untuk membantu orang Islam yang miskin demi mencegah mereka daripada mendapakan bantuan daripada komuniti lain? Orang Islam yang miskin diseluruh dunia ada menerima bantuan daripada mana-mana negara lain termasuk negara Kristian? Tetapi, adakah orang Acheh, Pakistan dan Arab terus menjadi murtad hanya kerana mereka mendapat bantuan orang Kristian?

Tabik kepada PAS

Apabila Hassan dan ahli politik UMNO berpendapat agama Kristian itu adalah ancaman kepada orang Islam untuk mengganggu emosi orang Melayu dan mendapatkan undian mereka, PAS tidak mempolitikkan isu itu. Ini hanya menunjukkan ketinggian minda dan akhlak ahli politik PAS dalam negara ini berbanding UMNO.

Helah Hassan dan UMNO tidak akan memberi kesan kepada pandangan orang Islam terhadap PAS atau Kristian. Mereka tahu bahawa orang Islam lain adalah lebih rasional dalam pemikiran mereka dan tindakan mereka serta lebih bertolak ansur. Orang Melayu yang berpendidikan juga tidak mungkin akan dipengaruhi oleh ahli politik ektrimis. Sekarang sudah tiba masanya pengundi melihat diri Hassan yang sebenarnya- seorang ahli politik yang memerlukan pentas untuk melakonkan drama beliau dan mungkin juga sedang cuba untuk membuatkan Umno kagum dengannya. Umno mungkin merasakan bahawa Hassan adalah calon yang paling layak untuk melawan Khalid Ibrahim, MB Selangor yang popular sekarang ini. Ada cakap-cakap mengatakan UMNO tiada calon yang sesuai untuk diletakkan sebagai MB Selangor sekarang. Hassan mungkin mahu cuba nasib.

Rakyat Malaysia seharusnya tabik kepada PAS kerana sepatutnya, mereka boleh sahaja mengekalkan Hassan tetapi, mereka tidak melakukan yang demikian malah telah membuang Hassan kerana terlalu besar cita-citanya, memberontak dan menjadi duri dalam daging. -Moaz Nair (Malaysia Chronicle)

Ulasan GB

Yang jelas, kini Hassan Ali terus akan mencadi sasau dan cacau... dalam erti kata sebenar, "GILA".

Beliau menuduh orang lain (ADUN Meru yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor )mempunyai masalah mental sedangkan pada hakikatnya tuduhan itu berbalik kepada dirinya sendiri.

Lama kelamaan Hassan Ali gilalah... salah siapa jika terjadi demikian?

Kita tidak berdoa begitu tetapi beliau sendiri memilih untuk menjadi demikian...

Isu Hina Raja Helah Kuburkan Isu Task Force Beri IC Kepada Warga Asing - Hadi

Posted: 16 Apr 2012 02:34 AM PDT

Hadi: Isu hina raja helah 'kubur' isu penting

ALOR SETAR - Pas menyifatkan dakwaan kononnya pemimpin pembangkang menghina Raja-raja Melayu sebagai helah menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bagi menenggelamkan isu yang lebih penting yang dibangkitkan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, isu terbabit sengaja ditimbulkan di saat PRU13 semakin hampir bagi menutup isu sebenar.

"Saya anggap itu berita PRU13. Isu ini sengaja dibangkitkan untuk menutup isu sebenar yang kita bangkitkan, antaranya pendedahan kewujudan 'task force' memberi kerakyatan kepada warga asing dan penipuan dalam proses mengundi," katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan Badan Perhubungan Pas Negeri Kedah, di Kompleks Pas Kedah di sini sempena lawatan kerja sehari ke Kedah, semalam.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, pendedahan beliau berhubung wujudnya pasukan khas yang bertanggungjawab memberi kerakyatan kepada warga asing di negara ini adalah isu yang lebih penting untuk diberi perhatian berbanding isu remeh yang dibangkitkan kononnya pemimpin pembangkang mempersenda Raja-Raja Melayu.

"Yang menjadi ancaman lebih besar kepada institusi diraja dan kedaulatan negara adalah kes babitkan warga asing, bukannya isu remeh seperti itu. Kes berkenaan yang sebenarnya akan menghakis institusi Raja-Raja Melayu dalam tempoh tertentu," katanya.

Menurutnya, sekiranya berlarutan, tidak mustahil ia turut mengancam keselamatan negara.

"Warga asing ini berada di luar budaya perlembagan diraja, negara mereka tidak amalkan sistem beraja. Apabila mereka diberi kerakyatan dan mengundi, kesannya amat besar termasuk boleh menjejaskan kedaulatan institusi diraja," katanya.

Baru-baru ini, seorang pengamal perubatan, Dr Rahman Kadir dalam blognya mendedahkan beberapa pemimpin pembangkang didakwa bersikap biadap dengan mempersenda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu pada Majlis Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Rabu lalu.

Mahfuz berkata, gerakan Anti Pemalsuan IC (API) dibentuk untuk merangka tindakan bersesuaian bagi membolehkan dakwaan itu disiasat.

"Langkah pertama ialah menghantar memorandum tuntutan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja untuk tubuhkan Suruhanjaya Diraja menyiasat pendedahan itu," katanya.

Mahfuz yang juga Pengerusi API berkata, semua maklumat yang diperolehnya hanya akan diserahkan kepada suruhanjaya terbabit bagi menjamin keselamatan sumber maklumat.

"Buat masa ini saya tidak dapat dedahkan maklumat. Saya berani katakan, gerakan pasukan khas itu beroperasi dari Pejabat Perdana Menteri," katanya.

Menurutnya, berdasarkan laporan interim Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bersetuju dengan cadangan penubuhan suruhanjaya itu untuk menyiasat pemberian kerakyatan warga asing di Sabah.

"Secara tidak langsung, PSC mengakui perkara seperti itu berlaku di Sabah, tetapi saya cadangkan untuk semua negeri kerana difahamkan gerakan itu menyeluruh di setiap negeri," katanya.

Mahfuz sebelum ini mendedahkan wujudnya pasukan khas ini, diketuai Penasihat Khas Perdana Menteri, Datuk Osman Razak; Setiausaha Majlis Keselamatan Negara, Datuk Tajuddin Wahab dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar. -SH

Ulasan GB

Baru pagi tadi GB sudah ulas. Petikan:

GB melihat tindakan Ahmad Zahid Hamidi yang disokong oleh Hishamuddin Tun Hussein berkenaan dengan cadangan penubuhan Suruhanjaya Diraja itu hanyalah helah daripada desakan PAS supaya satu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat kes pemberian IC kepada warga asing.

Jika di dalam kes dakwaan kononnya pemimpin pembangkang mempersenda raja lansung tiada bukti, tetapi didalam kes pemberian IC kepada warga asing amat jelas bukti yang diberikan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dengan menderetkan nama-nama mereka yang terlibat termasuk pegawai kanan Najib dan Timbalan pengerusi SPR Malah Mahfuz berkata lebih banyak bukti akan diserahkan kepada Suruhanjaya Diraja tentang isu berkenaan. Mengapa takut untuk memberi respons terhadap tuntutan ditubuhkan Suruhanjaya Diraja menyiasat dakwaan itu?


Laporan sebelum ini
klik untuk baca




Tiada ulasan: